03 April 2020

Warga prihatin bantu 100 pekerja asing di Ampang


Sekumpulan warga prihatin telah mengumpul dana untuk membelikan barang keperluan kepada pekerja asing yang terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan di kawasan sekitar Ampang.

Nur Atasha Azmi yang ikut terlibat bersama bapanya dalam ikhtiar itu berkata sumbangan tersebut diberikan kerana pekerja asing tidak mendapat apa-apa bantuan kerajaan.

“Pekerja asing tidak dapat bantuan kerajaan, bekerja ikut gaji harian dan ada yang dah diberhentikan buat sementara oleh majikan,” jelasnya.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan PKP akan berlanjutan sehingga 14 April dengan beberapa prosedur baru.

Selain itu, Muhyiddin turut mengumumkan Bantuan Prihatin Nasional, iaitu pemberian tunai secara one-off dengan peruntukkan hampir RM10 bilion.

Bantuan tersebut meliputi golongan berpendapatan rendah B40 dan kelas menengah M40 yang terdiri daripada pekerja swasta, peneroka Felda, petani, nelayan, peniaga kecil dan semua yang tergolong dalam golongan M40 dan ke bawah.

Sementara itu, Atasha berkata ikhtiar bantuan tersebut dicetuskan bapanya yang berjaya mengumpulkan dana daripada rakan-rakannya dalam masa dua hari.

“Selepas dapat kumpul duit, mereka terus beli barang keperluan asas seperti beras, minyak masak, tepung, makanan tin dan mula agihkan sejak dua hari lepas,” tambahnya.

Setakat ini, mereka telah membantu kira-kira lebih dari 100 orang pekerja warga asing yang terdiri daripada warganegara Indonesia dan Bangladesh.

Selain itu, Atasha dalam satu ciapannya di Twitter turut berkongsi hantaran mengenai sekumpulan pekerja asing yang bersesak tinggal sebumbung seramai 18 orang dalam sebuah rumah flat.

“Sudahlah duduk rumah berkongsi, majikan tidak ambil peduli dan tidak bagi makanan langsung. Ingat mereka bukan manusia ke?" Ciapnya dalam satu hantaran di Twitter.

Ketika ditanya bagaimana bapanya mendapat tahu mengenai keadaan pekerja asing itu, Atasha berkata ini kerana ramai rakan-rakan bapanya yang terlibat dalam bidang pembinaan.

“Jadi, mereka tahu ada ramai pekerja asing ada di kawasan Ampang dan mudah untuk berhubung,” jelasnya.

- Malaysiakini

No comments:

Post a Comment