20 March 2012

Hasan Ali tiada masalah jadi wakil Bebas

ADUN Gombak Setia Datuk Hasan Ali hari ini tampil kali pertama ke sidang DUN Selangor sebagai wakil bebas dan yakin tidak akan menghadapi masalah dengan situasi baru itu.

"Saya tiada masalah. Saya dipecat sebagai ahli PAS dengan bermaruah.

"Saya bukan rasuah, saya bukan liwat," katanya sinis ketika ditanya persediaannya untuk sidang DUN kali ini.

Ditemui pemberita selepas pembukaan sidang DUN dirasmikan Sultan Selangor, Hasan berkata beliau akan terus membangkitkan isu Islam, Melayu dan Raja sepanjang sesi dua minggu itu.

Bekas exco agama negeri itu berkata, dewan perlu membahaskan perkara berkenaan kerana hak istimewa Melayu kini diancam "kepupusan".

"Saya akan juangkan begitu," katanya lagi yang kini memimpin NGO Jalur Tiga (JATI).

Pada sidang kali ini, Hasan dipindahkan tempat duduknya daripada barisan exco di depan ke kawasan ADUN bebas, berdekatan wakil Pelabuhan Klang di bahagian belakang.

Mesyuarat jawatankuasa pusat pada PAS 8 Januari lalu membuat keputusan memecat pemimpin kontroversinya itu sebagai anggota parti.

Hasan menimbulkan keresahan pelbagai pihak khususnya di kalangan anggota dan penyokong Pakatan Rakyat kerana mengambil pendirian bercanggah dengan PAS dan pembangkang.

Beliau antaranya mempersoalkan konsep dasar negara kebajikan yang diterajui PAS.

Hasan sebelum ini juga pernah mengecam golongan bukan ulama dalam PAS dan menuduh parti itu menyeleweng daripada perjuangan Islam.

Sementara itu, ditanya tentang penyiaran video membuktikan amalan memurtadkan umat Islam yang dijanjikannya, presiden NGO Jalur Tiga (JATI) itu berjanji akan melakukannya secepat mungkin.

"Saya minta tunggu sedikit masa lagi. Masih ada beberapa perkara teknikal belum diselesaikan," jawapnya ringkas.

Hasan sebelum ini berjanji mendedahkan video itu dalam masa dua minggu tetapi gagal melakukannya.

MB: Kita tak sekat Hasan

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim (tengah) berkata, sebagai wakil rakyat, Hasan bebas menyuarakan pandangan dalam dewan.

"Bila rakyat pilih, wakil itu boleh suarakan apa yang difikirkan perlu untuk rakyat. Jadi, kita (Pakatan Rakyat) tidak sekat," katanya ketika ditanya.

Menurutnya lagi, selepas Pakatan mengambil alih Selangor pada 2008, mereka sudah memanjangkan sidang DUN bagi memberi peluang semua pihak terlibat dalam perbahasan. - Malaysiakini

No comments:

Post a Comment