25 April 2010

Amitabh Bachchan Hidap Masalah Hati

NEW DELHI, 25 April (Bernama) -- Bintang Bollywood Amitabh Bachchan mendedahkan kepada para peminatnya bahawa beliau menghidap sirosis hati yang berpunca daripada pemindahan darah, yang dijalaninya pada tahun 80-an.

Aktor berusia 67 tahun itu menulis dalam blognya bahawa 25 peratus daripada hatinya telah rosak akibat pemindahan darah yang dilakukan pada 1982, selepas kemalangan yang berlaku ketika beliau sedang menjalani penggambaran filem.

"Lapan tahun lepas, ketika melakukan MRI (Imbasan Magnetik Resonan), mereka dapati 25 peratus daripada hati saya telah pun rosak. Oleh itu, saya, secara teknikal atau dalam istilah perubatan, adalah seorang pesakit secara tidak sengaja.

"Seorang pesakit telah menghidap sirosis hati, iaitu keadaan yang lazimnya dikaitkan dengan orang yang suka minum minuman keras. Jadi, inilah saya... seorang yang bukan kaki botol, seorang yang tidak meminum minuman keras, dengan penyakit yang menjangkiti saya menerusi pemindahan darah daripada seorang penderma," Bachchan dipetik sebagai berkata dalam blognya itu.

Beliau cedera parah ketika melakukan penggambaran filem Hindi berjudul "Coolie" dan terpaksa menjalani pemindahan darah bagi menyelamatkan nyawanya. Bintang terkenal itu diberikan darah daripada seorang penderma tidak dikenali yang dijangkiti Hepatitis antigen Australia. Sejak masalah kesihatannya itu dikenal pasti, Bachchan mendapat penjagaan perubatan yang berterusan, katanya.

Bachchan merupakan aktor pujaan ramai peminat di India dan berlakon dalam lebih 100 filem, sebahagian besarnya muncul sebagai 'blockbuster', menjadikan beliau aktor yang terulung dalam industri perfileman India sehingga hari ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment