04 August 2008

Tetap bertanding walaupun mereka menghalang bertanding dengan menahan ke dalam lokap

Liwat: Anwar tetap bertanding walau ditahan di lokap

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tetap akan bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh walaupun beliau berada di dalam lokap.

Beliau berkata, dalam apa keadaan sekalipun hasratnya untuk bertanding itu tidak pernah luntur bagi mencapai matlamat Pakatan Rakyat menawan Putrajaya.

"Saya tidak tahu sama ada saya akan dibenarkan berkempen atau tidak selepas ini. Sama ada saya masuk lokap atau tidak, saya tetap akan bertanding di Permatang Pauh," katanya pada ceramah perdana PKR di Tapak Ekspo Seberang Jaya, Ahad malam.

Katanya, bagi mencapai matlamat menyelamatkan ekonomi negara, Pakatan Rakyat perlu cepat bertindak memandangkan keadaan semakin buruk.

Sebab itu beliau memilih untuk bertanding di Permatang Pauh kerana beberapa kerusi Parlimen lain seperti Kulim Bandar Baru masih dalam proses menunggu keputusan mahkamah, tambahnya.

Anwar berkata, tidak timbul soal isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengkhianati pengundi di Permatang Pauh dengan meletakkan jawatannya sebagai Anggota Parlimen kawasan itu kerana sejak awal lagi beliau telah menjelaskan akan memberi laluan kepada suaminya sejurus sahaja beliau layak bertanding.

Selain Anwar, beberapa pemimpin parti Pakatan Rakyat, antaranya Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden PKR, Dr Wan Azizah turut berucap pada majlis itu.

Majlis Ceramah Perdana itu merupakan acara pembuka tirai kempen PKR menjelang pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh. Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) akan bermesyuarat Rabu ini untuk menetapkan hari penamaan calon dan mengundi.

www.mstar.com.my

No comments:

Post a Comment