10 April 2008

Tapi 'babee' tetap najis! Buat apa ternak kat sini. Bukankah ia diasaskan oleh Khir Toyo?

Jangan kaitkan kerajaan saya - Khir

SHAH ALAM 9 April - Kerajaan negeri sekarang yang diterajui Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas, boleh mengkaji semula untuk membatalkan projek ternakan babi moden bernilai RM100 juta di Ladang Tumbuk, Kuala Langat, jika benar-benar mahu berbuat demikian.

Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo menegaskan tidak sepatutnya kerajaan negeri yang berkuasa ketika ini mengaitkan keputusan meluluskan projek itu pada 2 April lalu, dengan apa yang diluluskan oleh pentadbirannya pada 30 Januari lepas.

"Ini kerana kita (kerajaan negeri dahulu) hanya baru membuat perbincangan awal tetapi tidak ada kata muktamad, kita setuju projek itu untuk skala kecil sahaja, tidak sampai RM100 juta, Selangor tidak perlu projek penternakan babi bernilai sebanyak itu.

"Kita setuju pengambilan tanah dibuat tetapi lokasinya belum ditentukan, pandangan penduduk dan penternak juga belum diputuskan, kalau ada pihak yang membuat bantahan, maka kita boleh membatalkannya.

"Jadi saya terkilan kerana dia (Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) menyalahkan kerajaan lama, sedangkan dia berkuasa penuh sama ada mahu membatalkan atau memindahkan projek itu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam Abdul Khalid berkata, barisan Exco negeri yang bermesyuarat Rabu minggu lepas merasakan amat wajar projek itu diteruskan memandangkan kawasan tersebut menjadi tapak utama ladang babi di Selangor.

Menteri Besar itu mendakwa projek berkenaan sebenarnya diluluskan pada 30 Januari lalu oleh kerjaan negeri sebelum ini.

Menurut Mohamad Khir, kerajaan negeri ketika ditadbirnya mencadangkan supaya mengadakan pusat ternakan babi moden itu bagi mengurangkan jumlah haiwan berkenaan di negeri ini yang mencecah 400,000 ekor sedangkan keperluan hanya sebanyak 250,000 ekor sahaja.

Dalam hal ini, beliau yakin kerajaan negeri yang baru menerima tekanan daripada pihak tertentu termasuk DAP sendiri yang menjadikannya sebagai keutamaan bagi mereka sehingga timbul percanggahan kenyataan di kalangan Exco sendiri.

"Kenyataan dikeluarkan secara tergesa-gesa oleh DAP, sepatutnya kenyataan dibuat Exco berkaitan pertanian, tetapi kenapa dibuat Exco berkaitan pelaburan.

"Kalau hendak buat pun, janganlah menjadi projek pertama yang dibuat secara besar-besaran," katanya.

Beliau turut mengulas tindakan Exco-Exco Pas menyokong projek itu sedangkan ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-12, parti itu mengedarkan risalah membantah cadangan pembinaan pusat ternakan babi di situ.

"Mungkin kerana mereka hendak popular ia menjadi pendekatan digunakan beberapa kerajaan negeri tertentu di Malaysia, sedangkan populariti hanya untuk beberapa bulan sahaja, tetapi lama-kelamaan kerajaan tidak dapat laksanakan apa yang diperlukan untuk membangunkan negeri bagi jangka panjang," ujarnya.

Antara lain risalah yang diedarkan Pas itu menyebut: 'Teknologi dari Jerman, yang terbesar di Asia. Bersih, bau tak ada, katanya. Tapi 'babee' tetap najis! Buat apa ternak kat sini. Tempat lain tak ada? Yang tak ada orang duduk. Sementara ada peluang sekarang, gunakanlah. Jangan diperbodohkan lagi oleh yang penting perut sendiri.'

Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr. Halimah Ali menyokong projek itu selagi ia tidak mencemarkan alam sekitar.

http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment

Recent Posts

Recent Posts Widget