10 April 2008

Pengerusi DAP Karpal Singh diminta tidak mencampuri urusan orang Islam

Dr Haron Din memberi panduan kepada semua tentang Islam

Untuk sekarang ini kita mengambil panduan daripada al-Quran, tentang apakah keutamaan PAS dalam soal pemerintahan.

Ia mesti berpegang kepada dasar PAS, ia termaktub dalam Perlembagaan PAS Fasal 7 (1) yang menyebut bahawa, “Adapun hukum yang tertinggi sekali pada pegangan PAS adalah Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya.”

Merujuk kepada al-Quran, Allah memberi keutamaan, panduan kepada pemerintah Islam yang perlu melakukannya apabila berkuasa sebagaimana firman Allah (mahfumnya): “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Surah al-Hajj, ayat 41)

Kesimpulannya, keutamaan yang perlu disegerakan; pertama, memperkukuh hubungan dengan Allah menerusi menanam aqidatuttauhid yang sebenar, membasmi kesyirikan kepada Allah, menyebarkan ilmu Islam bagi memahamkan manusia umum akan Islam yang sebenar, mengajak mereka mengamalkan ajaran Islam, menghidupkan institusi agama agar ianya benar-benar berfungsi seperti yang sepatutnya.

Kedua, memberi perhatian dan tindakan yang sewajarnya kepada pertumbuhan dan perkembangan ekonomi, khususnya kepada golongan bawahan, fakir miskin agar mereka terbela menerusi pemberian zakat.

Sebagainya perintah Rasulullah s.a.w. (mafhumnya) “Ambillah harta daripada golongan berada dan bahagikannya kepada golongan kurang berada.” Itulah yang dilambangkan dengan zakat.

Sekiranya semua zakat yang wajib atas umat Islam yang berada (kaya) di sesebuah negeri (khususnya di Selangor), dikumpul dengan cara yang berkesan dan sempurna, serta diagihkan kepada golongan yang miskin dengan cara yang betul, maka bayangkanlah apa yang akan berlaku.

Ketiga, makruf ditegakkan. Makruf ialah sesuatu yang diperintahkan oleh Allah SWT. Apa sahaja yang diperintah, hendaklah dicari jalan bagaimana mahu melaksanakannya sehingga syiar Islam tertegak dan kebaikan Islam terserlah, serta nilai-nilai murni menjadi amalan masyarakat.

Keempat, mencegah kemungkaran. Mengikut aturcara yang sesuai dan langkah-langkah pencegahan yang efektif lagi berwibawa, menuju penghapusan nilai-nilai negatif yang tidak disukai wujud dalam masyarakat.

Kelima, berserahlah kepada Allah SWT untuk menentukan yang sebaiknya dalam perlaksanaan semua urusan yang dilaksanakan menurut perintah-Nya.

http://nuraiman.wordpress.com


DAP: Apa lagi selain negara Islam?

Apa lagi isu yang lebih besar daripada hasrat PAS untuk menubuhkan negara Islam di Malaysia? - pengerusi DAP Karpal Singh menjawab gesaan agar beliau "menutup mulut" daripada mengulas isu tersebut.

Menteri besar Kedah, Azizan Abdul Razak, hari ini dilaporkan berkata "saya harap dia (Karpal) jangan bercakap lagi mengenai hal ini jika dia belum benar-benar faham apa itu hukum hudud."

Menjawab tempelakan itu, Karpal berkata negara Islam menjadi isu
awam yang paling penting kerana Malaysia kini sebuah negara sekular dengan Islam sebagai agama rasmi dan jaminan perlembagaan semua agama boleh diamalkan secara aman dan harmoni.

"Isu ini tidak boleh, dan tidak wajar, disapu bawah permaidani," katanya, dalam satu kenyataan hari ini.

"Jika usaha PAS menukar Malaysia menjadi negara Islam menjadi kenyataan, ia bermakna undang-undang hudud akan dikenakan terhadap bukan Islam."

Kenyataan Karpal ini, yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor, siri terbaru dalam perang mulut antara DAP dengan PAS susulan cadangan penubuhan Pakatan Rakyat pada 1 April.

Azizan menggesanya tidak meneruskan isu itu selepas Karpal menjawab kenyataan menteri besar Kelantan, yang juga mursyidul am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Aziz pada Ahad.

Berikut rentetan 'perang mulut' dua parti pembangkang itu:

1 April: Tiga pemimpin utama pembangkang mengumumkan cadangan penubuhan Pakatan Rakyat. Pengumuman itu disertai penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan tokoh utama DAP Lim Kit Siang.

2 April: Timbalan menteri besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakub dilaporkan berkata "PAS wajar menjadi tunjang kepada pakatan itu sekiranya ia mahu merealisasikan impian menubuhkan sebuah Negara Islam."

3 April: Kenyataan ini disokong Pemuda PAS Kelantan.

4 April: Merujuk kenyataan Ahmad dan setiausaha presiden PAS, Roslan Shahir Mohd Shahir, Kit Siang berkata PAS belum mengambil iktibar krisis dalam Barisan Alternatif sehingga mendorong DAP meninggalkan pakatan tersebut pada 2001

5 April: Pengerusi DAP Karpal Singh menggesa Abdul Hadi bertanggungjawab atas kenyataan Ahmad.

Karpal dilaporkan berkata: "Bagaimana mungkin PAS menjadi tunjang kepada Pakatan Rakyat jika kerusi parlimen yang dimenangi mereka adalah yang paling sedikit jumlahnya berbanding DAP dan PKR."

6 April: Menteri besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mendakwa Karpal memperkecil-kecilkan usaha PAS mempromosikan pentadbiran Islam di negeri itu.

Kenyataan Ahmad, setakat ini, menerima dukungan Pemuda PAS, sekurang-kurangnya di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

7 April: Karpal menafikan tuduhan Nik Abdul Aziz. Karpal berkata: "Saya tidak pernah, pada bila-bila masa pun, memperkecil-kecilkan Islam.

"Kami tidak berbalah dengan PAS melainkan berhubung ideologi asas parti itu untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam dan memperkenalkan undang-undang hudud."

Ahmad - yang dilaporkan memulakan kenyataan kontroversi itu minggu lalu - berkata beliau tidak bermaksud memaksa DAP dan PKR menerima PAS sebagai teras utama Pakatan dan menyalahkan media atas kekeliruan yang berlarutan.

Datuk Husam Musa, naib presiden PAS dan exco Kelantan, memberi jaminan negara Islam hanya menjadi idealisme parti itu dan tidak terdapat dalam agenda Pakatan Rakyat.

8 April: Pemuda PAS Kedah meminta Karpal tidak membesar-besarkan isu tersebut, sementara menteri besarnya Azizan Abdul Razak menggesa pengerusi DAP tidak bercakap sesuatu isu yang tidak difahaminya, termasuk isu hudud.

http://www.malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment