01 August 2021

Padah miliki ekor ikan pari


Pasir Mas: Seorang tukang rumah dihukum penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memiliki senjata berbahaya satu ekor ikan pari, minggu lalu.

Tertuduh, Abdul Halim Samsuddin, 26, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki senjata berbahaya satu ekor ikan pari berukuran lebih kurang 114 sentimeter tanpa maksud yang sah di tempat awam, iaitu di kawasan semak tepi Sungai Kelantan, Kampung Sat, dekat Tanah Merah, jam 2 petang, pada 26 Julai 2021.

Mengikut fakta kes, ketika pihak polis membuat serbuan di belakang bengkel lori didapati lelaki itu berada di dalam kereta Proton Persona di lokasi kejadian bersama seorang lagi lelaki.

Polis memperkenalkan diri dan tertuduh keluar dari kereta serta cuba melarikan diri ke dalam semak sebelum berjaya ditahan. 

Hasil pemeriksaan menemukan senjata berbahaya satu ekor ikan pari yang disimpan di dalam poket seluar sebelah kanan tertuduh dan lelaki itu gagal mengemukakan kad pengenalan ketika diminta. Hasil pemeriksaan ke atas seorang lagi lelaki tidak menemui apa-apa barang yang menyalahi undang-undang

Polis menahan tertuduh dan barang kes itu dirampas.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun sehingga 10 tahun dan sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar memohon hukuman yang yang sesuai dengan kesalahan dan boleh menyedarkan tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan itu serta boleh menyampaikan mesej kepada orang awam.

Katanya, memiliki ekor ikan pari di tempat awam dan boleh menyebabkan kecederaan.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon satu hukuman yang ringan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun yang bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 26 Julai 2021 dan satu sebatan.

Sumber : Harian Metro 

 


 



No comments:

Post a Comment