27 May 2019

Lelaki Nigeria didakwa bunuh Siti Kharina

LELAKI warga Nigeria dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang hari ini atas tuduhan membunuh ketua jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin, 40.

Tertuduh, Alowonle Oluwajuwon Gilbert, 36, mengangguk faham atas tuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Inggeris di hadapan Majistret A Akhiruddin@Boy Acho.

A Akhiruddin@Boy kemudian menetapkan 31 Julai ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan Asid Deosiribonukleik (DNA), telefon bimbit, kimia dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Siti Kharina di sebuah unit kondominium di Third Avenue Condominium, Cyberjaya, Selangor antara 12.41 tengah malam pada 9 Mei hingga 2.30 petang pada 15 Mei lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pertuduhan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya Nasharina Nazlan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, dua lagi suspek kes sama, wanita warga Nigeria berusia 35 tahun dan seorang lelaki warga Pakistan berusia 38 tahun dibebaskan dengan Bon Mahkamah masing-masing RM10,000 dan RM11,000.

Pada masa sama, A Akhiruddin@Boy Acho mengarahkan pasport kedua-duanya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai. - Hmetro

No comments:

Post a Comment