27 November 2018

Cepat bangun kamu, rayu tunang Muhammad Adib

Nurul Najihan, tunang Muhammad Adib Mohd Kassim yang cedera parah diserang perusuh di sekitar Kuil Maha Mariamman, USJ 25 awal pagi tadi memohon rakyat supaya mendoakan agar anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya itu selamat dan segera sembuh.
Dalam hantaran di Facebook, katanya, beliau tidak cukup kuat untuk melihat keadaan Muhammad Adib, 24, ketika ini.

"Kamu kuat. Cepat bangun kamu Muhammad Adib. Doakan tunang saya. Tak kuat tengok kamu macam tu," kata Nurul Najihan.

Beliau turut berkongsi gambarnya bersama Muhammad Adib.

Pasangan itu dijadual diijab-kabulkan pada bulan Disember ini.

Sementara itu, tinjauan Malaysiakini juga mendapati ramai warga maya yang mendoakan supaya Muhammad Adib sembuh seperti sedia kala.

Doa yang dititipkan di Facebook tunang anggota bomba itu, Nurul Najihah antara lain juga menasihatkannya supaya bersabar.

“Adib kuat... awak pun kena kuat...,” kata Qaseh Myzara.

“Saya tak kenal awak tp sy doakan agar diberikan kesembuhan kepada tunang,” Sue Khal.

“Semoga Tunang Cik cepat sembuh. Saya betul2 kesal atas apa yg dah berlaku kepada beliau.

“Saya harap pihak berkuasa akan kesan saitan2 yg telah mencederakan tunang Cik.

"Beliau tak bersalah apa pun.. dan mereka2 yg serang tunang cik ni x akan hidup bahagia. Mereka bersamaan dengan taik.

“Harap cik tabah bersama beliau, saya doakan supaya beliau cepat sembuh dan kembali berjasa,” kata Lakshmi Kumar.

Muhammad Adib, kini ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital swasta di Subang Jaya. Beliau sedang ditemani oleh anggota keluarga dan tunangnya setelah keadaannya dilaporkan agak parah.

Beliau juga dilaporkan dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai mengalami kecederaan patah tulang rusuk serta beberapa kecederaan dalaman.

Pada kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, anggota berkenaan diserang apabila pasukannya tiba di lokasi selepas mendapat maklumat sebuah kereta terletak di luar kuil terbakar.

Anggota yang duduk di bahagian penumpang hadapan unit EMRS itu ditarik keluar oleh kumpulan perusuh sebelum dipukul.

Selain itu, serangan berkenaan turut menyebabkan dua jentera bomba iaitu satu unit van EMRS dan jentera pemadam (FRT) turut dirosakkan kumpulan perusuh dianggarkan seramai 1,000 orang.

Antara kerosakan ialah cermin depan dan belakang pecah, tayar pecah serta tercabut, pintu jentera tercabut selain kemek pada bahagian badan kenderaan dipercayai akibat diserang dengan objek keras. - Malaysiakini

No comments:

Post a Comment