13 August 2018

Pengasas Kuih Keria Antarabangsa Melaka meninggal dunia

MELAKA - Pengasas Kuih Keria Antarabangsa Haji Jalil, Jalil Tompang meninggal dunia hari ini akibat komplikasi selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada bulan lalu.

Jalil, 72, menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pukul 2.10 pagi di sisi anak-anaknya di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Melaka di sini.

Menurut anak kelimanya, Sudirman Jalil, 38, arwah dimasukkan ke hospital berkenaan selepas terlibat dalam kemalangan motosikal ketika pulang menziarahi kubur isterinya, Rahmah Dollah di Tanah Perkuburan Islam Limbongan Permai di sini pada 10 Julai lalu.

"Selepas arwah emak meninggal dunia pada Jun lalu, ayah akan menziarahi pusara ibu pada setiap pagi sebelum membeli sarapan".


"Bagaimanapun, pada awal bulan lalu, ayah terlibat kemalangan ketika dalam perjalanan membeli sarapan dan mengalami patah tulang paha, punggung, rusuk selain retak tulang tangan," katanya ketika ditemui.

Sudirman memberitahu, ekoran kecederaan itu bapanya perlu menjalani pembedahan, namun keadaan kesihatannya semakin merosot sebelum dimasukkan ke wad ICU. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment