12 October 2017

Zamihan turut diheret ke lembaga tatatertib Jakim

Di sebalik penafian, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan Zamihan Mat Zain sebagai pegawai kader mereka yang ditugaskan di Kementerian Dalam Negeri.

Ketua pengarahnya Tan Sri Datuk Othman Mustapha mengesahkan perkara itu dalam kenyataan media semalam, selepas kontroversi Zamihan mengkritik sultan Johor.

“Jakim memandang serius terhadap ceramah yang telah disampaikan oleh Ustaz Zamihan Mat Zain, pegawai kader Jakim di Kementerian Dalam Negeri yang kini ditempatkan di penjara Kajang,” katanya.

Sementara itu, semakan Malaysiakini di laman web Jakim mendedahkan bahawa Zamihan menyandang jawatan "pegawai hal ehwal Islam".

Zamihan semalam berkata beliau sudah 13 tahun tidak berkhidmat dengan Jakim.

Beliau memberitahu Malaysiakini bahawa beliau hanya berkhidmat untuk Jakim sehingga Julai 2006, ke Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim) sehingga 2012 dan ke KDN sehingga 2016.

“Di mana saya (kerja) sekarang rahsia,” katanya ketika dihubungi.

Dalam kenyataannya semalam, Othman juga mendedahkan Jakim telah memanggil Zamihan pagi semalam untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

“Jakim telah memutuskan untuk merujuk perkara ini kepada lembaga tatatertib untuk tindakan lanjut,” katanya. - Mkini

No comments:

Post a Comment