19 August 2017

Cikgu didakwa kerana tarik hidung murid

KUALA LUMPUR - Seorang guru sekolah rendah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap murid lelaki berusia 12 tahun, dengan menarik hidungnya menggunakan tangan, dua hari lepas.

Mohd Zaid Yob, 31, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Umzarul An Nur Umar selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Mohd Zaid yang mengajar mata pelajaran pendidikan Islam itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di dalam kelas di sebuah sekolah di sini pada 11 pagi, 16 Ogos lepas.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan bapa kepada tiga anak itu diikat jamin sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 September untuk sebutan semula kes.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abd Halim menawarkan jaminan RM4,000, bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Francis Pereira memohon jaminan yang rendah kerana jumlah jaminan yang tinggi akan memberikan kesan ekonomi terhadap anak guamnya. - Bernama

No comments:

Post a Comment