19 August 2017

Anggota Search diperintah bayar ganti rugi RM500,000

TIGA anggota kumpulan rock terkenal, Search diperintah membayar ganti rugi berjumlah RM494,079.71 kepada bekas penganjur ‘Konsert Search 35 Tahun’, Afjets Sdn Bhd atas dakwaan melanggar perjanjian persefahaman berhubung pembatalan konsert itu, tahun lepas.

Peguam Adnan Seman @ Abdullah yang mewakili Afjets memberitahu media bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam M. Gunalan mengeluarkan perintah itu semalam selepas membenarkan permohonan Afjets selaku plaintif untuk mendapatkan penghakiman ingkar terhadap kesemua defendan kerana gagal memfailkan pembelaan dalam tuntutan saman syarikat terbabit.

Mereka ialah pemain gitar Noordin Mohd Taib, 55, pemain gitar utama Hamzah Mohd Taib, 50, atau lebih dikenali sebagai Kid dan pemain gitar bass Nasir Daud, 58.

Katanya selain ganti rugi khas berjumlah RM494,079.71, Afjets turut berjaya memperoleh ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan yang akan ditaksirkan kemudian oleh mahkamah.

Beliau berkata mahkamah turut mengeluarkan perintah bagi menghalang ketiga-tiga defendan melalui diri sendiri, pekerja atau ejen mereka daripada mengeluarkan dan menerbitkan kenyataan yang memburuk-burukkan dan memfitnah syarikat itu sama ada secara lisan atau bercetak.

Adnan berkata, pihaknya masih meneruskan saman terhadap seorang lagi defendan iaitu vokalis Amy Search atau nama sebenarnya Suhaimi Abd Rahman, 59.

Bagaimanapun, peguam itu berkata mahkamah masih belum merekodkan penghakiman ingkar terhadap penyanyi berkenaan.

Dalam saman difailkan pada 14 Oktober tahun lepas, Afjets berkata pihaknya bersetuju untuk bekerjasama dalam penganjuran 'Konsert Search 35 Tahun' dengan kumpulan Search dan kedua-dua pihak menandatangani perjanjian persefahaman pada 25 Disember 2015 tanpa kehadiran pemain dram, Yazid Ahmad, 55.

Plaintif mendakwa bayaran pertama RM75,000 bagi kerjasama itu diserahkan kepada kesemua defendan dan mereka turut memaklumkan akan menyelesaikan soal bayaran kepada Yazid.

Dakwa syarikat itu lagi, sebuah syarikat usahasama, Afjets-Search Plt juga ditubuhkan pada 14 Jan tahun lepas bagi merangka dan menguruskan pelaksanaan konsert, di mana bermula daripada tarikh perjanjian persefahaman sehingga April tahun lalu, pelbagai perbincangan mencari lokasi dan penaja serta aktiviti diadakan.

Plaintif mendakwa pada awal Mei tahun lepas, pihaknya dikejutkan dengan laporan pertelingkahan antara Yazid dan anggota kumpulan Search yang lain berhubung wang pembayaran sehingga Yazid membuat laporan polis.

Syarikat itu berkata pihaknya menerima surat pembatalan konsert daripada peguam defendan pada 19 Mei tahun lepas, iaitu sehari sebelum mengadakan sidang akhbar berhubung konsert berkenaan.

Afjets mendakwa dalam sidang akhbar itu defendan telah mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya dengan menerbitkan kenyataan yang memburukkan dan memfitnah syarikat tersebut. - Bernama

No comments:

Post a Comment