10 July 2017

'Allahyarham Mohamad Thaqif meninggal dunia kerana jangkitan kencing tikus'

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah hari ini mengesahkan bahawa kematian pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi, 11, pada 26 April lalu adalah berpunca daripada jangkitan kencing tikus (Leptospirosis) dan bukannya akibat cedera dirotan warden seperti yang tular di media sosial sebelum ini.

Perkara itu disahkan selepas merujuk hasil siasatan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan juga Jabatan Kimia Malaysia, di mana satu proses bedah siasat telah dilakukan pada jam 6 petang hari yang sama kanak-kanak itu meninggal dunia.

“Beberapa sampel tisu dan darah telah diambil dan dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan juga ke Jabatan Kimia Malaysia bagi tujuan analisa.

“Penyebab kematian adalah Leptospirosis (kencing tikus) dan dirumitkan dengan keadaan kulit nekrosis (Purpura Fulminans) dan pembentukan bekuan darah mikro (microthrombi) di seluruh saluran darah yang mengakibatkan perubahan warna kulit dan seterusnya melibatkan kegagalan organ untuk berfungsi,” jelas Hisham Abdullah menerusi satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, laporan bedah siasat akan dikemukakan kepada pihak Polis DiRaja Malaysia(PDRM) untuk tindakan selanjutnya.

Thaqif Amin meninggal dunia selepas kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong akibat jangkitan kuman yang didakwa kesan dipukul pembantu warden asrama sekolah tahfiz berkenaan.

Susulan kes itu, polis menahan pembantu warden lelaki berusia 29 tahun untuk membantu siasatan, bagaimanapun dia dibebaskan pada 3 Mei lalu dengan jaminan bon mahkamah sebanyak RM20,000. - Astro Awani

No comments:

Post a Comment