LagiBerita
Sinar Harian | Malaysiakini | CariGold | Utusan | Mstar | BHarian | HMetro | Kosmo | Astro Awani | Harakahdaily | Bernama | Malaysian Digest | Keadilan | Mynewshub | SemasaPost (V) | Malaysiakini (Vid) | MediaRakyat (Vid) | Google | E-mail | Video | Blogger
eXTReMe Tracker

14 June 2017

'Kesungguhan mak cik penjual rebung,' kongsi Asri

Admin | 12:59 AM |
SHAH ALAM - "Ketika jam hampir 12 malam, mak cik ini masih di kaki lima menjual rebung dan beberapa jenis makanan segera," demikian coretan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin di Facebooknya mengenai kisah kesungguhan seorang mak cik penjual rebung.

Mohd Asri atau lebih dikenali sebagai Dr Maza berkata, pada awalnya beliau, bertemu dengan anaknya yang masih kecil berniaga di hadapan bangunan KFC Kangar.

"Dia anak istimewa. Dia memberitahu ibunya juga berniaga di sana. Saya mencari ibunya. Saya dapati wanita yang sudah berusia berniaga di kaki lima," ujar Mohd Asri

 Ujar Mohd Asri, tatkala beliau bertamu mata dengan mak cik itu, emak kepada anak OKU itu, beliau bertanya kepadanya sama ada, dia ada mendapat bantuan zakat.

"Dia menjawab: Ya! Mak cik ada terima zakat secara bulanan dan bantuan Badan Kebajikan juga. Cumanya mak cik tidak mahu duduk sahaja sebab ada tanggungjawab tiga anak OKU di rumah," jelas wanita itu kepadanya.

"Saya lihat dia menjual sekarong rebung yang dimasukkan dalam bungkusan-bungkusan kecil. Agak banyak dan berat," katanya.

Saya bertanya: "Dari mana modal mak cik ambil untuk berniaga?" Dia menjawab: "Mak cik cari dan potong sendiri dari hutan".

 Mendengar luahan mak cik itu, Mohd Asri berkata, hatinya tersentuh.

"Saya sedih mendengar kesungguhan beliau berusaha agar tidak meminta-minta. Itulah kemuliaan dan itulah ibadah yang hebat," katanya.

Oleh itu, kata Maza lagi terkesan dengan luahan itu, beliau menghulurkan sedikit sumbangan kemudian beliau membeli kesemua rebungnya sebagai tanda sokongan.

"Hampir 40 bungkus rebong beliau. Saya bukan penggemar rebung. Namun saya pasti pagi esok saya akan cari masjid yang sudi terima semua rebung ini untuk dibuat menu berbuka puasa," katanya.

Ujar Mohd Asri lagi, sebelum beliau dan keluarga beredar, beliau ada bertanyakan kepada mak cik itu, "Mak Cik tinggal di mana?" Jawabnya: "Di Chuping". Saya tanya lagi: "Macam mana semua barang ini dibawa ke sini?"

"Dia menunjukkan motosikalnya yang uzur. Dia beritahu semalam tayar motorsikalnya pecah, dia terpaksa menolak motorsikal itu sehingga ke rumah. Dari jam 12 malam, jam 4 pagi baru sampai rumah. Amat sedih saya mendengar".

Berbicara lanjut, ujat Maza sebelum beliau masuk ke keretanya, beliau bertanya lagi, "Mak cik tahu pejabat Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) di mana? Dia agak terpinga-pinga. Saya tanya lagi: Mak Cik tahu pejabat zakat kat mana? Dia jawab: Tahu! Saya kata kepadanya: "Di situlah pejabat MAIPs. Esok pergi ke situ bagitahu kat kaunter tu mufti suruh mak cik mohon zakat tambahan". Dia mengangguk,".

Menyimpulkan peristiwa itu Mohd Asri berkata, "orang sepertinya yang kuat berusaha tidak duduk saja layak ditambah peruntukan bantuan. Insya-ALLAH MAIPs akan menambahkan bantuan untuknya,".

"Saya beredar dalam jiwa yang sedih. Semoga ALLAH ampuni saya dan segala dosa serta kelemahan saya. Semoga ALLAH memberikan rezeki kepadanya yang banyak. Melihat kepada kesusahan dan kesungguhan orang yang seperti ini, menjadikan kita insaf betapa kita tidak cukup bersyukur kepada ALLAH atas segala kurniaanNYA dan betapa sedikitnya ujian yang kita terima," katanya. - SH

No comments :

Post a Comment