11 June 2017

Julia Perez meninggal dunia

Sebuah khabar mengejutkan datang daripada industri hiburan Indonesia. Perjuangan aktres dan penyanyi popular, Julia Perez atau dikenali sebagai Jupe melawan kanser serviks tahap empat berakhir selepas dia menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di Jakarta semalam.

Khabar itu muncul buat pertama kalinya menerusi Instagram adik Jupe iaitu Anggita Perez.

“Innalilahiwainailahirojiun. Kakak kami yang tercinta, Julia Perez sudah meninggal dunia. Mohon doa daripada semua. Terima kasih di atas sokongan kalian selama ini. Saya sayang anda, Yuli,” tulis Anggita.

Khabar itu tidak hanya menjadi duka buat keluarga Jupe, namun pada teman-teman artis dan dunia hiburan Indonesia.

Mendengar khabar sedih daripada adik Jupe itu, peminat-peminat Jupe dan teman-teman artis memberi ucapan duka di laman sosial masing-masing.

Malah, teman-teman perjuangan dalam industri seperti Ayu Ting Ting, Zaskia Gotik, Ruben Onsu, Eko Patrio dan Luna Maya turut mengiringi jenazah Jupe dan memberi penghormatan terakhir kepada wanita cantik itu.

Jupe disahkan mengidap kanser serviks pada 2014 dan telah menjalani rawatan kemoterapi.

Jupe mula bergelar penyanyi sejak tahun 2002 dan dia telah menghasilkan empat buah album iaitu Kamasutra, Aku Rapopo, Dangdut Galau dan The Best Of Julia Perez. - Kosmo

No comments:

Post a Comment