LagiBerita
Sinar Harian | Malaysiakini | CariGold | Utusan | Mstar | BHarian | HMetro | Kosmo | Astro Awani | Harakahdaily | Bernama | Malaysian Digest | Keadilan | Mynewshub | SemasaPost (V) | Malaysiakini (Vid) | MediaRakyat (Vid) | Google | E-mail | Video | Blogger
eXTReMe Tracker

30 April 2017

Ribut landa kawasan Muktamar PAS, 19 dilapor cedera

Admin | 8:10 AM |




Seramai 19 orang dilaporkan cedera selepas ribut melanda khemah utama di Kompleks PAS Kedah, Alor Setar, kawasan berlangsung Muktamar tahunan PAS ke-63 malam tadi.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, kejadian pada pukul 7.25 malam itu membabitkan khemah yang menempatkan pameran dan jualan Kelab Keusahawanan Haraki (KU-Haraki).

Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Bomba Mohd Naim Mat Jaaffar berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 7.43 malam, lapor Bernama.

Seramai 13 daripada mangsa dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah termasuk seorang yang tidak sedarkan diri dan dirawat di zon merah. Manakala enam mangsa yang lain dirawat di lokasi kejadian.

Sementara itu, Hambali Ahmad, 35 yang menjual minuman di luar kawasan kejadian, berkata ramai yang masuk ke dalam khemah untuk mencari perlindungan apabila hujan mulai turun.

"Masa kat dalam dengar macam khemah runtuh. Saya dengar orang menjerit dan nampak ada yang cedera di kepala dan luka," katanya.

Seorang lagi saksi kejadian, Basaruddin Hashim, 60, yang berniaga jubah memberitahu angin bertiup kencang sekitar lima minit, disusuli hujan lebat.

"Masa tu tengah azan Maghrib. Jadi ada yang pergi sembahyang Maghrib. Masa tulah jadi (ribut)," katanya kepada Malaysiakini.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakruddin Sheikh Fakhrurazi dalam kenyataan lewat malam tadi berkata pihak panitia Muktamar PAS melahirkan simpati ke atas mangsa kejadian.

"Pihak Panitia Muktamar serta PAS Kedah ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Amal Malaysia, Pasukan Bomba dan Penyelamat, pegawai kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Medic Papisma dan St. John Ambulance yang telah membantu mangsa di tempat kejadian," katanya.

Menurutnya, semua aturcara program muktamar yang tidak melibatkan tapak ekspo berjalan seperti biasa.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu mengucapkan takziah kepada mangsa yang cedera dalam kejadian itu.

"Saya berharap semoga semua rakyat negeri Kedah, khususnya ahli-ahli PAS yang berkampung sempena muktamar agar bertenang dan saya berdoa semoga mereka semua berada dalam keadaan selamat.

"Kepada mereka yang mengalami kecederaan, semoga mereka akan pulih dan kembali sihat seperti sedia kala," ujarnya.

Pengerusi Parti AMANAH Kedah Datuk Dr Ismail Salleh dalam ucapan takziahnya berharap semua mangsa yang cedera dapat dirawat, manakala khemah-khemah yang roboh dapat dibaiki segera.

"Didoakan agar muktamar dapat diteruskan seperti dijadualkan oleh panitia muktamar," katanya. - Mkini

No comments :

Post a Comment