29 April 2017

“Kau Kutuk MB Selangor Tapi Nak Kekal Jadi Exco”

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) mengecam tindakan PAS mengutuk Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tetapi masih terus memegang jawatan dalam kerajaan negeri itu.

Setiausaha Organisasinya, Suhaizan Kayat berkata, niat PAS mahu terus mengekalkan jawatan exco kerajaan Selangor juga tidak boleh diterima kerana mengutuk Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.

“Kau kutuk Menteri Besar Selangor, kau hina Naib Presidennya, kau putuskan hubungan dengan partinya. Tapi tiba bab kuasa di Selangor kau mahu kekal jadi exco. Susah orang bawah nak pertahankan hujah pemimpin macam ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR dan Naib Presidennya, Rafizi Ramli antara yang dikecam hebat oleh barisan pimpinan dan akar umbi PAS dalam muktamar Ke-56 parti itu sejak beberapa hari lalu.

Dewan Ulama PAS dan Pemuda PAS malah meluluskan usul untuk memutuskan ‘tahaluf siyasi’ atau kerjasama politik dengan PKR yang dilihat terlalu cenderung kepada DAP.

Suhaizan dalam pada itu menasihati PAS supaya tidak bertanding banyak kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kerana parti itu tidak akan menang dikebanyakan kawasan yang mahu ditandinginya.

“Apa guna bertanding banyak kerusi? Contohnya parlimen Pulai Johor, pengundi cina 41 peratus. Terimalah hakikat pengundi Cina menolak PAS. Kalau PAS bertanding pun tak boleh menang. Lebih baik beri pada Pakatan Harapan yang mempunyai lebih banyak kelebihan,” katanya. – MYNEWSHUB

No comments:

Post a Comment