05 November 2017

'Kepala bapak kau!'


Dalam serangan terbaru Datuk Seri Najib Razak terhadap pembangkang, hari ini beliau menzahirkan kemarahannya dengan lebih nyata.

Berucap di mesyuarat agung tahunan MCA di Kuala Lumpur pengerusi BN itu berkata hubungan Malaysia dan China yang berlaku di bawah pentadbirannya tidak akan menjejaskan kedaulatan negara.

20 October 2017

Pembantu peribadi berusia 23 tahun sedia jadi suami Vida

KUALA LUMPUR – Pengurus peribadi Datuk Seri Vida, Ahmad Iqbal Zulkefli, 23, sedia bergelar suami kepada jutawan kosmetik tersebut sekiranya mereka ditakdirkan mempunyai jodoh.

Siasatan kes KP SPRM dipantau

PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara telah menubuhkan pasukan petugas untuk memantau siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya (KP) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang didakwa menjalinkan hubungan sulit dengan seorang wanita.

Shafie dimasukkan ke hospital selepas ditahan SPRM

Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dimasukkan ke hospital malam tadi ekoran tekanan darah tinggi selepas disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dana Sabah: Shafie Apdal ditahan SPRM

KOTA KINABALU - Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ditahan Suruhan­jaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan penyelewengan dana pembangunan luar bandar di Sabah RM1.5 bilion.

19 October 2017

9 dragon didakwa kawal Malaysia, kutip RM5 bilion sebulan : Nadzim Johan PPIM

KUALA LUMPUR 18 Okt. - Kegiatan perjudian haram dan semua aktiviti tidak bermoral yang berlaku di negara ini didakwa didalangi oleh sembilan orang ketua atau digelar ‘dragon’ sejak bertahun-tahun lamanya.

14 October 2017

Video 'hubungan sulit' pegawai SPRM, laporan polis dibuat

Satu laporan polis dibuat hari ini berkenaan klip video di internet yang memaparkan dakwaan pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalinkan hubungan sulit dengan wanita yang sudah berkahwin.

"Jika benar kandungan di dalam video tersebut, ia adalah perkara serius kerana hakikat mempunyai hubungan sulit dengan isteri orang sehingga meruntuhkan rumah tangga adalah perkara yang tidak boleh diterima rakyat.

"Ini kerana ia melibatkan akhlak dan moral individu dan mempunyai kesan buruk, lebih-lebih lagi apabila individu tersebut merupakan pegawai kanan satu institusi seperti SPRM," dakwa Muhd Syazwan Ahmad Zainal yang mengeluarkan kenyataan sebagai exco ARMADA BERSATU, hari ini.

13 October 2017

Jais keluar arahan gantung ceramah Zamihan

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengeluarkan arahan menggantung  sementara semua kuliah/ceramah yang disampaikan Presiden Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja), Zamihan Mat Zin.

Arahan tersebut dikeluarkan menerusi surat yang ditandatangani oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Haris Kasim berkuat kuasa serta merta.

"Sedia maklum bahawa Zamihan yang juga merupakan Pegawai Kader Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Ibu Pejabat Jabatan Penjara Malaysia sedang disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengikut seksyen 4 Akta Hasutan 1948.

"Sehubungan itu, memandangkan beliau kini di bawah siasatan, maka pihak pentadbir masjid dan surau di peringkat akar umbi diarahkan untuk gantung sementara ceramah/kuliah yang disampaikan oleh beliau," katanya.

Terdahulu, polis menahan Zamihan yang didakwa mengkritik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dalam kuliah agama pada Ahad lalu.

Dalam video terbabit, Zamihan juga didakwa membuat kenyataan perkauman tentang masyarakat cina. - S Harian

12 October 2017

Zamihan turut diheret ke lembaga tatatertib Jakim

Di sebalik penafian, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan Zamihan Mat Zain sebagai pegawai kader mereka yang ditugaskan di Kementerian Dalam Negeri.

Ketua pengarahnya Tan Sri Datuk Othman Mustapha mengesahkan perkara itu dalam kenyataan media semalam, selepas kontroversi Zamihan mengkritik sultan Johor.

“Jakim memandang serius terhadap ceramah yang telah disampaikan oleh Ustaz Zamihan Mat Zain, pegawai kader Jakim di Kementerian Dalam Negeri yang kini ditempatkan di penjara Kajang,” katanya.

Sementara itu, semakan Malaysiakini di laman web Jakim mendedahkan bahawa Zamihan menyandang jawatan "pegawai hal ehwal Islam".

Zamihan semalam berkata beliau sudah 13 tahun tidak berkhidmat dengan Jakim.

Beliau memberitahu Malaysiakini bahawa beliau hanya berkhidmat untuk Jakim sehingga Julai 2006, ke Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim) sehingga 2012 dan ke KDN sehingga 2016.

“Di mana saya (kerja) sekarang rahsia,” katanya ketika dihubungi.

Dalam kenyataannya semalam, Othman juga mendedahkan Jakim telah memanggil Zamihan pagi semalam untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

“Jakim telah memutuskan untuk merujuk perkara ini kepada lembaga tatatertib untuk tindakan lanjut,” katanya. - Mkini

11 October 2017

Polis tahan Zamihan

Presiden Persatuan Ahli Sunnah wal Jamaah (Aswaja) ditahan polis ekoran ceramahnya yang dikatakan mengkritik Sultan Johor berhubung isu kedai dobi mesra Muslim.

Ketika dihubungi Malaysiakini Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd mengesahkan penahanan Zamihan Mat Zin itu.

Katanya Zamihan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur kira-kira jam 3.50 petang tadi.

"Dia disiasat mengikut Akta Hasutan bersama Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Menurut Wan Ahmad Najmuddin penceramah yang pernah berkhidmat bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta Kementerian Dalam Negeri itu akan dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan kebenaran tahanan reman esok. - Malaysiakini

Zamihan nak saman portal, akhbar siar artikel didakwa fitnah

BANGI, 21 Muharram 1439H, Rabu – Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja), Zamihan Mat Zin, memberi tempoh tujuh hari kepada Free Malaysia Today, Malay Mail Online, New Straits Times Press (NSTP) dan Datuk Zaid Ibrahim menarik balik artikel dan tuduhan liar mereka terhadapnya.

Dalam satu kenyataan di laman Facebooknya sebentar tadi, beliau juga menggesa mereka memohon maaf kepadanya secara terbuka. Beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang memfitnahnya jika gagal berbuat demikian.

Kenyataan itu dibuat berikutan laporan media semalam mengenai ceramahnya di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Shah Alam, Ahad lalu, yang dikatakan menyelar kenyataan Sultan Johor berkaitan isu dobi mesra muslim.

“Saya juga mengesa pihak berkuasa agar menyiasat artikel yang disiarkan FMT, MMO dan NSTP yang jelas berbaur hasutan dan cuba menimbulkan kebencian antara agama serta mencetuskan permusuhan rakyat berbilang kaum di negara ini,” katanya.

Katanya, artikel FMT berniat jahat dan berunsur fitnah terhadapnya selain cuba mengeruhkan hubungan antara agamawan dan istana berhubung isu dobi muslim dan dilihat mempunyai agenda tersembunyi untuk merosakkan hubungan antara kaum dengan mencetuskan kemarahan bukan Islam terhadap umat Islam di negara ini.

“Dalam rakaman video yang kononnya dijadikan rujukan FMT, saya sama sekali tidak menyebut nama Tuanku Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Saya juga tidak menggunakan perkataan yang kasar, kesat atau sebarang elemen yang bersifat hasutan dalam ceramah berkenaan.

“Saya sedia untuk disiasat atas falsafah berani kerana benar dan takut kerana Allah. Namun demikian, amat wajar juga disiasat gerakan ‘agenda republik’ untuk menghapuskan sistem Kesultanan oleh segelintir pendakwah Liberal Muslim di negara ini,” katanya yang pernah membentangkan laporan mengenai ancaman Syiah pada mesyuarat Majlis Raja-Raja 31 Oktober 2013 lalu.

Zamihan yang juga bekas pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut memohon maaf jika Sultan Johor terasa hati dengan salah faham yang timbul.

Beliau mendakwa tajuk artikel yang diberikan oleh portal FMT jelas berniat jahat bagi menyerang dan memburukkan imejnya selaku Presiden Aswaja dan ini bukan kali pertama FMT dan sekutunya mengeluarkan artikel yang cuba membunuh karakternya.

“Berdasarkan kronologi kes dan fakta diatas jelaslah bahawa tindakan wartawan dan portal berkenaan sebenarnya membuktikan mereka bersikap anti Islam, memusuhi agensi agama Islam, khasnya JAKIM dan dilihat tidak pernah mahu menghormati hak dan sensitiviti muslim di negara ini,” katanya. - http://www.ismaweb.net


Zamihan disiasat mengikut Akta Hasutan

KUALA LUMPUR - Polis telah memulakan siasatan terhadap Presiden Pertubuhan Sunni Malaysia (Aswaja), Zamihan Mat Zain yang didakwa mengkritik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dalam kuliah agama pada hari Ahad.

Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya telah menerima sekurang-kurang satu laporan polis sejak semalam terhadap Presiden Aswaja itu.

"Kami sedang menyiasat kes itu di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan .Mungkin lebih banyak laporan polis hari ini," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Breakfast Talk - Integriti di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff.

Apabila ditanya bila Zamihan akan ditahan, Mohamad Fuzi enggan mengulas lanjut dan menegaskan bahawa siasatan sedang dijalankan.

Dalam video terbabit, Zamihan juga didakwa membuat kenyataan perkauman tentang masyarakat Cina.

Susulan itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata kementeriannya akan menyiasat perkara itu dan mengambil tindakan segera berhubung ucapan itu. - Sinar Harian

21 September 2017

Warga emas 82 tahun rogol remaja 13 tahun di sebuah hotel di Miri

MIRI: Seorang ahli perniagaan berusia 82 tahun ditahan polis kerana didakwa merogol pelajar berusia 13 tahun di sebuah hotel di sini, pagi tadi.

Suspek menyerah diri di Balai Polis Pusat Miri susulan laporan polis yang dibuat ibu mangsa jam 8.42 pagi kelmarin, selepas mengesyaki anak perempuannya menghilangkan diri dan menginap di hotel bersama beberapa rakannya termasuk suspek.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah, berkata pelajar itu dipercayai meninggalkan rumah pada 10 September bagi menemani rakannya menginap di hotel.

Katanya, mangsa dipercayai mengenali mangsa yang turut berada di hotel terbabit.

"Mangsa sudah dihantar untuk pemeriksaan perubatan. Belum ada keputusan diterima sehingga petang ini," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

- Bharian

20 September 2017

Cikgu ditahan perkosa pelajar sendiri dalam kereta

KUCHING - Guru sekolah menengah ditahan polis kerana disyaki merogol pelajarnya di Siburan.

Suspek berusia 51 tahun itu ditahan di rumahnya di Tapah dekat Siburan, kira-kira 7 malam semalam.

Dia ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar, berkata perbuatan suspek terbongkar selepas remaja perempuan berusia 14 tahun menceritakan kejadian kepada seorang lagi gurunya.

Menurutnya, terkejut dengan pengakuan itu, guru terbabit kemudiannya memaklumkan kejadian kepada ibu mangsa.

"Ibu mangsa yang berusia 44 tahun kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Siburan, pada kira-kira 5 petang semalam.

“Siasatan awal mendapati mangsa sudah dua kali dirogol oleh suspek di dalam kereta di Siburan antara bulan lalu dan baru-baru ini," katanya di Kuching, hari ini.

Dev berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching di Petra Jaya, hari ini, untuk mendapatkan perintah reman.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan siasatan lanjut masih giat dijalankan polis.- Hmetro

28 August 2017

Guru dinasihat tidak mohon tukar sekolah sehingga sah jawatan

SERDANG – Semua guru baharu yang ingin memohon bertukar sekolah untuk mengikut pasangan masing-masing dinasihatkan berbuat demikian selepas mereka disahkan jawatan atau menunggu sehingga tempoh empat tahun berkhidmat.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya banyak menerima permohonan pertukaran sekolah terutama daripada guru-guru yang baru ditempatkan di daerah-daerah tertentu selepas tamat pengajian.

Bagaimanapun, menurut beliau, walaupun bersimpati dengan guru terbabit, keutamaan diberikan kepada guru yang lebih lama bertugas dan tinggal berasingan daripada pasangan mereka. - Kosmo

25 August 2017

Memali: Hadi salahkan pemimpin 'dulu'

Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata insiden Memali berlaku kesan daripada salah laku pemimpin negara terhadap Islam.

Pada masa sama allahyarham Ibrahim Libya pula enggan menjadi "syaitan bisu" apabila mendengar serta membaca serta mendengar kenyataan menghina serta mempersenda Islam.

Dalam keadaan itu, kata presiden PAS berkenaan, ulama tidak lagi boleh berdiam diri.

"Mengikut ilmu maqasid syariah, salah laku terhadap agama lebih besar daripada salah laku kewangan kerana Islam meletakkan senarai kewajipan menjaga agama adalah yang pertama (sebelum diikuti dengan) menjaga nyawa, akal, keturunan, maruah dan yang terakhir menjaga harta.

"Semuanya disebut dharuriyyat, yakni keperluan hidup bagi manusia," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Abdul Hadi mengulas mengenai desakan supaya kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat kejadian berlaku 1985 lalu.

Abdul Hadi berkata ramai kalangan rakyat masih mengingati bagaimana sesetengah pemimpin kerajaan dulu mempersenda hukum Islam dan sunah Rasulullah SAW.

Antara contoh yang disebutnya ialah ramai orang akan cacat jika hukum hudud dilaksanakan, Rasulullah tidak mencukur janggut kerana pada zaman itu tidak ada pisau cukur, dan amalan menutup aurat adalah adat orang Arab yang bernafsu kuat.

Sekali lagi tanpa menyebut nama, kenyataan itu dilihat disasarkan kepada Dr Mahathir.

Abdul Hadi berkata apabila berlaku pertikaian dalam urusan agama pihak yang sepatutnya dihantar untuk berdepan dengan Ibrahim di Memali ialah agamawan, bukan anggota polis.

Mereka, katanya, perlu dihantar bertemu dengan Ibrahim untuk berhujah bagi mencari kebenaran.

"Polis dipaksa bertindak terhadap golongan agama yang terpaksa mempertahankan kesucian Islam yang dihina.

"Peristiwa yang menyebabkan berlakunya kematian dan tuduhan jenayah atau ajaran sesat perlu disiasat secara adil dan bebas demi mencari kebenaran, bukannya menegakkan kebatilan dan melibatkan semua pihak yang masih hidup," katanya sambil mengulangi tuntutan supaya RCI Memali ditubuhkan. - Malaysiakini

20 August 2017

'Lokap kotor dan jijik, polis pun pakai topeng'










Ketua Geng 36 maut ditembak

ALOR SETAR – Seorang lelaki dipercayai ketua kumpulan kongsi gelap Geng 36 maut dalam kejadian berbalas tembakan di sebuah rumah di Jalan Lagenda 13, Lagenda Heights, Sungai Petani dekat sini semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff memberitahu, sepasukan polis dari Bahagian Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda membuat serbuan ke atas rumah suspek pada pukul 7.30 pagi semalam.

“Pasukan polis terpaksa memecahkan pintu utama kediaman tersebut dan suspek yang lari ke tingkat atas rumah bertindak melepaskan tembakan dari dalam bilik air.

“Polis kemudian bertindak balas dengan melepaskan empat das tembakan yang menyebabkan suspek maut di tempat kejadian,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini semalam.

Asri berkata, suspek cuba untuk melepaskan lagi tembakan tetapi pistol digunakannya tersekat sebelum maut dalam kejadian tersebut.

Menurut Asri, pihaknya merampas sepucuk pistol jenis Bernardelli buatan Itali. - Kosmo

Guru Didakwa Lakukan Seksual Fizikal Pada Murid 9 Tahun

PUTRAJAYA: Seorang guru lelaki di sebuah sekolah  rendah didakwa di Mahkamah  Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak di sini atas pertuduhan melakukan seksual fizikal terhadap murid lelaki berumur sembilan tahun.

Guru yang berumur 27 tahun itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan seksual fizikal dengan cara memeluk tubuh badan dan mencium murid itu di dalam tandas, di sebuah sekolah di Petaling Jaya, antara jam 12.20 tengah hari hingga 6.30 petang, antara Ogos 2016 hingga 17 Julai 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017  dibaca bersama Seksyen  16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 25 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Hakim Yong Zarida Sazali membenarkan tertuduh yang diwakili peguam Farhan Read diiikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan dia dilarang mendekati dan menganggu mangsa dan keluarganya sehingga kes selesai.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap awal bulan serta menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan menetapkan 25 September untuk sebutan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nordalina Ali tidak menawarkan jaminan atas alasan kesalahan itu serius melibatkan mangsa berumur sembilan tahun.

“Tertuduh adalah guru tempat mangsa bersekolah, jika jaminan dibenarkan dikhuatiri  tertuduh akan menganggu saksi pendakwaan terutama mangsa dan ibu bapanya,” katanya.

Farhan pula memohon supaya mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin RM10,000 dan ibu bapa tertuduh bersedia untuk membayar jaminan itu.

“Kami tidak pertikaikan ini merupakan satu kesalahan serius, tetapi tertuduh hanya dituduh dan masih belum didapati bersalah, oleh itu mahkamah mempunyai budi bicara untuk membenarkan jaminan. Jumlah RM10,000 adalah memadai,” katanya.

Beliau berkata tertuduh yang  tinggal dengan ibu bapanya menerima gaji RM1,600 sebulan.-- Bernama

Bunuh Polis: Dua Suspek Direman

JITRA: Dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kes tembak mati anggota polis Bukit Aman yang sedang menyiasa kegiatan penyeludupan di Bukit Kayu Hitam ditahan reman tujuh hari.

Mohd Hatta Johari, 30 dan Mohd Najib Budin, 36 dibawa ke mahkamah majistret pada pukul 8.30 pagi Ahad.

Majistret Mohd Hadi Hakimi Harun membenarkan penahanan itu dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Tempoh reman bagi kedua-dua suspek tamat pada 26 Ogos ini.

Kedua-dua lelaki terlibat yang melarikan diri sebaik Sub Inspektor Abu Hashim Ismail, 54 dibunuh pada pukul 10.25 pagi di kediaman kenalannya di Taman Sri Hosba, Changlun.

Abu Hashim yang sedang bercuti dipercayai akan bersara tidak lama lagi.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superitendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, suspek ditahan sebaik menyerah diri pada Sabtu. - Mstar

Isa Samad dibebaskan selepas direman lima hari

PUTRAJAYA - Mahkamah Majistret di sini hari ini membebaskan bekas pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad selepas direman lima hari sejak Rabu lepas bagi membantu siasatan kes pembelian hotel Felda Investment Corporation (FIC) di Kensington,  London.

Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya Datuk Zainal Abidin Kamarudin yang mengendalikan prosiding itu membenarkan Mohd Isa, 68, dibebaskan dengan jaminan RM150,000 dengan dua penjamin.

Mohd Isa kelihatan tersenyum sebaik keluar dari bilik bicara mahkamah pada kira-kira 10.45 pagi, disambut sorakan gemuruh para penyokongnya di perkarangan Mahkamah Majistret  Putrajaya. Beliau  juga  kelihatan bersalam-salaman dengan mereka.

Mohd Isa yang berbaju lokap SPRM berwarna jingga dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya kira-kira 9.50 pagi, dengan lebih 100 penyokong serta anggota keluarga termasuk isterinya Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid yang menunggu beliau sejak jam 9 pagi.

Datuk K.Kumaraendran yang mengetuai pasukan peguam yang mewakili Mohd Isa berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak memohon lanjutan tempoh reman berikutan anak guamnya telah memberikan kerjasama penuh dalam siasatan itu.


Beliau yang ditemui pemberita selepas prosiding itu menekankan bahawa Mohd Isa hanya ditahan bagi membantu siasatan dan bukan sebagai suspek kes itu.

Kumaraendran berkata, Mohd Isa juga bersedia dipanggil sebagai saksi jika terdapat sebarang pendakwaan dalam kes tersebut.

Selain Kumaraendran, Mohd Isa turut diwakili peguam Dev Kumaraendran, Ridha Ahdar Subry, Datuk Khairul Anwar Rahmat, Lavina Kumarendran dan Datuk N. Sivananthan.

Mohd Isa ditahan kira-kira 4.30 petang Selasa lepas selepas dua jam memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, di sini.

Penyiasatan kes dipercayai berhubung penyalahgunaan kedudukan dalam  kes pembelian hotel di London antara 2014 dan 2015. Kes berkenaan disiasat mengikut Sekyen 16 Akta SPRM 2009. - Bernama

19 August 2017

Anggota polis Bukit Aman maut ditembak



KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, menghantar satu pasukan khas ke Kedah bagi membantu siasatan kes tembak mati anggota polis di Changloon, malam tadi.

Tindakan berkenaan juga dilakukan dalam usaha memburu suspek.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata pasukan terdiri daripada pelbagai elemen JSJ, termasuk Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) sudah dihantar ke utara tanah air awal pagi tadi.

"Setakat ini, saya tidak dapat nyatakan butiran terperinci mengenai penghantaran pasukan khas ke sana (Kedah), namun mereka akan berusaha menjejaki suspek terbabit.

"Selain itu, pihak JSJ masih menunggu laporan dan siasatan yang sedang lagi dijalankan dalam usaha mengenal pasti suspek berkenaan," katanya ketika dihubungi BH sebentar tadi.

Beliau berkata, pihaknya sedang meneliti sama ada lelaki berusia 35 tahun yang sedang berbual dengan anggota polis itu, terbabit atau sebaliknya.

"Pada masa ini, terlalu awal untuk mengesahkan. Individu itu pernah dikenakan sekatan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dua tahun lalu," katanya.

Dalam kejadian berkenaan, Sub Inspektor Abu Hashim Ismail, 54, dari Bahagian Jenayah Kongsi Gelap (D7A) Bukit Aman, terbunuh selepas terkena tembakan ketika sedang berbual bersama lelaki berkenaan di sebuah rumah di Taman Sri Hosba, Changloon.

Suspek seorang lelaki dilaporkan datang secara tiba-tiba dan melepaskan tembakan ke arah Abu Hashim.

Polis kemudian menahan lelaki terbabit untuk siasatan lanjut. Siasatan pada masa ini, dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bharian

Cikgu didakwa kerana tarik hidung murid

KUALA LUMPUR - Seorang guru sekolah rendah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap murid lelaki berusia 12 tahun, dengan menarik hidungnya menggunakan tangan, dua hari lepas.

Mohd Zaid Yob, 31, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Umzarul An Nur Umar selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Mohd Zaid yang mengajar mata pelajaran pendidikan Islam itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di dalam kelas di sebuah sekolah di sini pada 11 pagi, 16 Ogos lepas.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan bapa kepada tiga anak itu diikat jamin sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 September untuk sebutan semula kes.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abd Halim menawarkan jaminan RM4,000, bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Francis Pereira memohon jaminan yang rendah kerana jumlah jaminan yang tinggi akan memberikan kesan ekonomi terhadap anak guamnya. - Bernama

'Lokap polis Ayer Molek berbau busuk'

"Apabila anda masuk, perkara pertama yang menyerang anda adalah baunya," kata Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung lawatan beliau ke lokap polis Ayer Molek di Pulai, Johor.

"Terdapat bau hapak dan bau badan yang sangat busuk.

"Tahanan memakai baju lokap yang tidak selalu dibasuh. Mereka sepatutnya memiliki tiga helai baju bagi setiap seorang tetapi kami diberitahu ia tidak cukup," kata beliau kepada Malaysiakini.

Rabu lalu, suruhanjaya itu mengeluarkan kenyataan keras menyorot keadaan 'tidak berperi kemanusiaan' yang perlu dihadapi oleh 180 orang tahanan lelaki di lokap tersebut.

Asalnya bertujuan untuk lokap sementara, ia kekal beroperasi sejak 2009 dan mengambil sebahagian bangunan penjara Ayer Molek yang dikatakan berusia 100 tahun.

Penjara tersebut telah ditutup dan berpindah ke Simpang Renggam, Kluang bulan Jun lalu.

Selain bau busuk, Joseph berkata beliau terperanjat apabila mendapat tahu para tahanan sukar untuk mendapatkan kemudahan air minuman bersih.

"Tidak ada air minuman bersih disediakan di dalam sel-sel tersebut.

"Tahanan hanya mendapat sebungkus air, tiga kali sehari apabila pembekal makanan datang untuk membawa bungkusan makanan," jelas beliau.

'Keadaan lokap menyeksakan'

Dilaporkan sebelum ini belanja harian untuk setiap tahanan bagi kesemua tiga hidangan tersebut berjumlah RM8.

Berdasarkan pemerhatian beliau terhdapat sehingga sepuluh tahanan di dalam satu-satu sel, paling besar berukuran 7 meter x 7 meter.

"Banyak sel memiliki lantai yang kotor dan pelantar kayu di beberapa sel telah reput. Pada setiap sel terdapat tandas 'terbuka'. Beberapa orang tahanan juga kelihatan sangat sakit," kata beliau lagi.

Tahanan biasanya menghabiskan lima hari di lokap tersebut sebelum didakwa atau dibebaskan mahkamah.

Namun, kata Joseph warga asing yang ditahan kerana kesalahan imigresen boleh ditahan di Ayer Molek sehingga dua minggu.

"Hanya dengan melalui keadaan tersebut ia telah menjadi penyeksaan, malah polis sendiri tidak mahu berada di situ.

"Ia tidak sesuai untuk didiami manusia," tegas beliau.

Dilaporkan sebelum ini para pegawai polis yang bertugas di lokap tersebut telah membeli sendiri topeng muka dan sarung tangan bagi menghalang jangkitan batuk kering (tuberculosis) dari tahanan yang menderita penyakit tersebut.

Lawatan Suhakam pada 31 Julai lalu ke lokap tersebut mendapati tidak ada pegawai perubatan ditempatkan di situ walaupun ia merupakan peraturan di bawah Akta Peraturan-peraturan Lokap dan Penjara 1995.

Para pegawai polis memberitahu Joseph mereka telah memberitahu isu tersebut kepada pegawai atasan tetapi diberitahu tidak ada peruntukan belanjawan bagi memperbaiki keadaan lokap.

Timbalan menteri dalam negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed telah dilaporkan membidas laporan Suhakam berkenaan Ayer Molek sebagai "sudah lapuk."

Nur Jazlan yang juga MP Pulai berkata penjara tersebut telah lama ditutup setelah kementeriannya mendapat laporan keadaan buruk di sana.

"Saya fikir beliau perlu mendapat maklumat yang dikemaskini. Kami bercakap tentang lokap di sini, bukan penjara," kata Joseph. - Malaysiakini

Anggota Search diperintah bayar ganti rugi RM500,000

TIGA anggota kumpulan rock terkenal, Search diperintah membayar ganti rugi berjumlah RM494,079.71 kepada bekas penganjur ‘Konsert Search 35 Tahun’, Afjets Sdn Bhd atas dakwaan melanggar perjanjian persefahaman berhubung pembatalan konsert itu, tahun lepas.

Peguam Adnan Seman @ Abdullah yang mewakili Afjets memberitahu media bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam M. Gunalan mengeluarkan perintah itu semalam selepas membenarkan permohonan Afjets selaku plaintif untuk mendapatkan penghakiman ingkar terhadap kesemua defendan kerana gagal memfailkan pembelaan dalam tuntutan saman syarikat terbabit.

Mereka ialah pemain gitar Noordin Mohd Taib, 55, pemain gitar utama Hamzah Mohd Taib, 50, atau lebih dikenali sebagai Kid dan pemain gitar bass Nasir Daud, 58.

Katanya selain ganti rugi khas berjumlah RM494,079.71, Afjets turut berjaya memperoleh ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan yang akan ditaksirkan kemudian oleh mahkamah.

Beliau berkata mahkamah turut mengeluarkan perintah bagi menghalang ketiga-tiga defendan melalui diri sendiri, pekerja atau ejen mereka daripada mengeluarkan dan menerbitkan kenyataan yang memburuk-burukkan dan memfitnah syarikat itu sama ada secara lisan atau bercetak.

Adnan berkata, pihaknya masih meneruskan saman terhadap seorang lagi defendan iaitu vokalis Amy Search atau nama sebenarnya Suhaimi Abd Rahman, 59.

Bagaimanapun, peguam itu berkata mahkamah masih belum merekodkan penghakiman ingkar terhadap penyanyi berkenaan.

Dalam saman difailkan pada 14 Oktober tahun lepas, Afjets berkata pihaknya bersetuju untuk bekerjasama dalam penganjuran 'Konsert Search 35 Tahun' dengan kumpulan Search dan kedua-dua pihak menandatangani perjanjian persefahaman pada 25 Disember 2015 tanpa kehadiran pemain dram, Yazid Ahmad, 55.

Plaintif mendakwa bayaran pertama RM75,000 bagi kerjasama itu diserahkan kepada kesemua defendan dan mereka turut memaklumkan akan menyelesaikan soal bayaran kepada Yazid.

Dakwa syarikat itu lagi, sebuah syarikat usahasama, Afjets-Search Plt juga ditubuhkan pada 14 Jan tahun lepas bagi merangka dan menguruskan pelaksanaan konsert, di mana bermula daripada tarikh perjanjian persefahaman sehingga April tahun lalu, pelbagai perbincangan mencari lokasi dan penaja serta aktiviti diadakan.

Plaintif mendakwa pada awal Mei tahun lepas, pihaknya dikejutkan dengan laporan pertelingkahan antara Yazid dan anggota kumpulan Search yang lain berhubung wang pembayaran sehingga Yazid membuat laporan polis.

Syarikat itu berkata pihaknya menerima surat pembatalan konsert daripada peguam defendan pada 19 Mei tahun lepas, iaitu sehari sebelum mengadakan sidang akhbar berhubung konsert berkenaan.

Afjets mendakwa dalam sidang akhbar itu defendan telah mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya dengan menerbitkan kenyataan yang memburukkan dan memfitnah syarikat tersebut. - Bernama

17 August 2017

Imigresen Selangor Tahan 41 Pati Dalam Opersi Awal Pagi

SHAH ALAM: Seramai 186 warga asing yang sedang nyenyak tidur di rumah kongsi tapak pembinaan Alam Hijau di Seksyen 22 di sini, dikejutkan dengan kehadiran 38 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Selangor awal pagi tadi, menyebabkan sebahagian daripada mereka bertempiaran lari.

Pengarah Jabatan Imigresen Selangor, Omran Omar berkata bagaimanapun dalam operasi bermula 12.30 tengah malam itu, pihaknya berjaya mengesan kesemua mereka dan daripada pemeriksaan itu menahan 41 orang termasuk tujuh wanita disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959 / 63. "Tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku sepanjang operasi yang berakhir pada pukul 3 pagi, " katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Omran yang turut serta dalam operasi berkenaan, sebanyak 33 warga asing telah ditahan bagi kesalahan menurut Seksyen 6 (1) (c) kerana tiada permit yang sah dan lapan lagi ditahan bagi kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) (c) kerana tinggal lebih masa.

Mereka yang ditahan merangkumi 27 warga Indonesia, lapan warga Bangladesh, tiga rakyat Vietnam, dua warga Nepal dan seorang rakyat India berumur dalam lingkungan 20 hingga 50 tahun.

Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke pejabat Jabatan Imigresen Selangor di Shah Alam untuk siasatan dan tindakan lanjut, katanya.

- Bernama

16 August 2017

Isa direman lima hari, permohonan tahanan di hospital ditolak

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya mendapat perintah reman lima hari terhadap bekas pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad bagi membantu siasatan berhubung isu pembelian sebuah hotel di London oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya, Datuk Zainal Abidin Kamarudin membenarkan permohonan  untuk menahan beliau bermula hari ini sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan.

SPRM bagaimanapun memohon perintah reman tujuh hari, tetapi peguam Mohd Isa, K Kumareandran membantahnya.

Beliau berkata anak guamnya itu bukan berisiko akan melarikan diri dan tidak akan mengganggu saksi lain.

"SPRM juga sedang menahan remannya, jadi mereka boleh merujuk dokumen kepadanya untuk merekodkan kenyataan, kami kata SPRM boleh memanggilnya (untuk merakamkan kenyataan selepas Mohd Isa dibebaskan)," katanya kepada pemberita di luar Mahkamah Majistret Putrajaya.

Kumareandran berkata beliau memohon supaya Mohd Isa ditahan di sebuah hospital memandangkan dirinya mengalami masalah jantung.

Pendaftar menolak permohonan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman memberi jaminan bahawa SPRM akan mengambil maklum dan perhatian terhadap keperluan perubatan Mohd Isa.

"Pegawai SPRM memberi jaminan bahawa dia (Mohd Isa) akan diberi sebuah bilik, sofa dan rawatan perubatan," kata Kumareandran.

Pendaftar juga mengarahkan SPRM untuk menyelesaikan siasatannya sebelum Ahad dan diberitahu bahawa siasatan hampir siap.

Mohd Isa disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM kerana didakwa menerima suapan.

Beliau pagi tadi tiba di Mahkamah di Putrajaya untuk prosiding reman bagi membantu siasatan SPRM berkaitan pembelian hotel oleh FIC di Kensington, London dan Kuching, Sarawak.

Mohd Isa yang berbaju lokap SPRM dan bergari serta diiringi anggota SPRM, tiba pada 9.10 pagi dengan menaiki kenderaan agensi penguatkuasaan itu.

Beliau kelihatan tenang dan mengukir senyuman kepada anggota keluarga, penyokong serta media yang menunggu sejak jam 8 pagi.

Isteri Mohd Isa, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid yang turut menunggu di perkarangan mahkamah, kelihatan menangis ketika suaminya itu tiba di mahkamah.

Mohd Isa ditahan kira-kira 4.30 petang semalam ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk memberi keterangan. - Mkini

15 July 2017

Kini kami kembali bertaut

Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana akhirnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) telah mencapai kata sepakat untuk membentuk satu kesatuan politik yang lebih jitu dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14 dengan pembentukan struktur kepimpinan baharu Pakatan Harapan.

Tiada lagi elaun IPG PISMP ambilan Jun 2018

PUTRAJAYA - Pelajar yang menyertai Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda (PPISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi ambilan Jun 2017, akan terus menerima elaun sara hidup RM430 sebulan dan belanja tambang pergi balik pada kadar maksimum RM500 sekali setahun.

13 July 2017

Budak reka cerita nyaris diculik

Inilah kedai yang dikunjungi oleh seorang kanak-kanak yang mendakwa nyaris diculik dua lelaki menaiki sebuah van putih di Kampung Jawa, Klang kelmarin.
KLANG – Seorang budak lelaki berusia sembilan tahun sanggup menipu ibunya kononnya dia nyaris diculik oleh dua lelaki yang menaiki sebuah van putih hanya kerana takut rahsianya ponteng sekolah agama terbongkar kelmarin.

Kejadian pada pukul 2 petang di Batu 1, Kampung Jawa di sini itu berlaku apabila pelajar Sekolah Agama Kelas Fardu Ain itu takut hendak masuk kelas kerana sudah terlewat.

10 July 2017

'Allahyarham Mohamad Thaqif meninggal dunia kerana jangkitan kencing tikus'

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah hari ini mengesahkan bahawa kematian pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi, 11, pada 26 April lalu adalah berpunca daripada jangkitan kencing tikus (Leptospirosis) dan bukannya akibat cedera dirotan warden seperti yang tular di media sosial sebelum ini.

Zambry nafi adik Ustaz Kazim mahu lompat parti

IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hari ini menyangkal desas-desus Adun Kubu Gajah, Ahmad Hasbullah Elias tidak mahu bertanding pada pilihan raya umum akan datang kerana mahu menyertai parti lain.

Sebaliknya kata Zambry beliau difahamkan wakil rakyat itu masih sayangkan Umno namun mahu bersara.

01 July 2017

MATI DITEMBAK, TIADA PEMBELAAN! MOHON KES DISIASAT SEMULA!!


Demi Allah apa yang cuba saya sampaikan semua ini adalah benar-benar terjadi pada saya dan keluarga, Ini kah UNDANG-UNDANG MALAYSIA?

PDRM SPRM Kementerian Dalam Negeri (KDN)

Sebelum saya memulakan sy ingin meminta Maaf mengganggu semua orang yang sedang bergembira menyambut kedatangan Syawal bersama keluarga dan sanak saudara di kampung. Sedang semua bersuka ria, kami sekeluarga dilanda kesedihan tentang berita yang baru kami terima baru-baru ini. Sebelum saya memulakan coretan saya ini, saya ingin memohon maaf jika terkasar bahasa kepada semua pihak samada terlibat atau tidak seandainya coretan ini membuat sesetengah pihak tidak berpuas hati atau marah kepada saya dan keluarga.

1.4 Juta Penjawat Awam Bakal Naik Gaji 3%?

KIRA-KIRA 1.4 juta penjawat awam pasti menanti penuh harapan pertemuan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Ali Hamsa dengan Kongres Kesatuan Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Ibu hidap kanser meninggal dunia, lima beradik kini sebatang kara

Walaupun baju raya sepasang seorang untuk lima beradik ini sudah dibeli oleh ibunya sebelum dimasukkan ke wad HUSM, namun satu Syawal yang bakal menjelang tiba nanti tidak dinantikan oleh mereka. - Foto Astro AWANI/Muhafandi Muhamad
KUBANG KERIAN: Ibu kepada lima beradik yang mendapat simpati orang ramai selepas kisah sedihnya disiarkan Astro AWANI sehari sebelum Aidilfitri lalu meninggal dunia Jumaat malam.

Tarif elektrik kekal hingga hujung tahun

Kerajaan bersetuju mengekalkan rebat tarif elektrik sebanyak 1.52 sen/kWJ di Semenanjung dan 1.20 sen/kWJ di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember, tahun ini.

Tak untung, 7-Eleven seluruh Indonesia tutup mulai esok

JAKARTA - Indonesia kini tidak lagi mempunyai kedai runcit franchais 24 jam 7-Eleven apabila kesemua kedai serbaneka itu akan ditutup mulai esok.

Penutupan kesemua 141 buah kedai itu diumumkan oleh syarikat pemilik rangkaian 7-Eleven Indonesia, PT Modern International dalam satu kenyatannya kepada Bursa Efek Indonesia baru-baru ini.

30 June 2017

Gengster kena denda

Weh Sang dan Kah Chun didakwa diMahkamah Majistret atas pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pertubuhan kongsi gelap.- FOTO L Manimara
TIGA lelaki termasuk seorang remaja didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, hari ini, atas pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti kumpulan kongsi gelap, Ahad lalu.

Honda Accord terputus dua lepas rempuh pokok di JB

JOHOR BAHRU: Sebuah kereta yang dinaiki empat lelaki terputus dua selepas merempuh pokok di Jalan Indah Utama, Taman Bukit Indah di sini, petang semalam.

Saksi, Yap Keng Tak yang juga Pengerusi Persatuan Komuniti Kepolisian Johor, berkata orang ramai membantu mengeluarkan mangsa dari kereta yang remuk itu dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang.

Jabatan Imigresen buru PATI mulai tengah malam ini

Jabatan Imigresen akan melaksanakan operasi gempur besar-besaran di seluruh negara bermula tengah malam ini bagi mengesan pendatang tanpa asing (PATI) selaras dengan tamatnya tempoh permohonan kad sementara atau ‘Enforcement Card’ (E-Kad), hari ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata pihaknya ternyata kecewa dengan sikap berlengah para majikan yang tidak membuat pendaftaran dengan lebih awal walaupun program tersebut telah dilancarkan sejak 15 Februari lalu.

Tentera Iraq tawan semula Masjid Mosul

Menara Nuri yang kini dijaga pengawal keselamatan.
BAGHDAD.IRAQ - Tentera Iraq sudah menawan semula Masjid Mosul yang sebelum ini di bawah kuasa tentera Daesh.

Memetik laporan Reuters, tentera Iraq berjaya merampas semula selepas tiga tahun ia menjadi tawanan di bawah penguasaan Abu Bakr al-Baghdadi.

29 June 2017

Dua Maut Bas Terbabas

HULU SELANGOR: Dua maut dalam nahas sebuah bas yang terbabas di longkang di Kilometer (KM) 422 Lebuhraya Utara Selatan pada Khamis.

Kejadian berlaku pada kira-kira pukul 5.10 pagi semasa bas tersebut dalam perjalanan dari Kangar, Perlis ke Johor.


14 June 2017

Pelukis batik dipenjara 21 tahun perkosa kekasih sendiri

KOTA BHARU - Janji-janji manis seorang pelukis batik berhasrat menjaga kekasihnya dengan baik hanya tinggal kenangan apabila dia sendiri terpaksa meringkuk 21 tahun di dalam penjara dan dikenakan lapan sebatan kerana kesalahan rogol di mahkamah sesyen, di sini, tadi.

Hakim, Nazri Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mat Bukari Ismail, 29, mengaku salah pada empat pertuduhan merogol kekasihnya yang berusia 15 tahun.


'Kesungguhan mak cik penjual rebung,' kongsi Asri

SHAH ALAM - "Ketika jam hampir 12 malam, mak cik ini masih di kaki lima menjual rebung dan beberapa jenis makanan segera," demikian coretan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin di Facebooknya mengenai kisah kesungguhan seorang mak cik penjual rebung.

Mohd Asri atau lebih dikenali sebagai Dr Maza berkata, pada awalnya beliau, bertemu dengan anaknya yang masih kecil berniaga di hadapan bangunan KFC Kangar.

"Dia anak istimewa. Dia memberitahu ibunya juga berniaga di sana. Saya mencari ibunya. Saya dapati wanita yang sudah berusia berniaga di kaki lima," ujar Mohd Asri

 Ujar Mohd Asri, tatkala beliau bertamu mata dengan mak cik itu, emak kepada anak OKU itu, beliau bertanya kepadanya sama ada, dia ada mendapat bantuan zakat.

"Dia menjawab: Ya! Mak cik ada terima zakat secara bulanan dan bantuan Badan Kebajikan juga. Cumanya mak cik tidak mahu duduk sahaja sebab ada tanggungjawab tiga anak OKU di rumah," jelas wanita itu kepadanya.

"Saya lihat dia menjual sekarong rebung yang dimasukkan dalam bungkusan-bungkusan kecil. Agak banyak dan berat," katanya.

Saya bertanya: "Dari mana modal mak cik ambil untuk berniaga?" Dia menjawab: "Mak cik cari dan potong sendiri dari hutan".

 Mendengar luahan mak cik itu, Mohd Asri berkata, hatinya tersentuh.

"Saya sedih mendengar kesungguhan beliau berusaha agar tidak meminta-minta. Itulah kemuliaan dan itulah ibadah yang hebat," katanya.

Oleh itu, kata Maza lagi terkesan dengan luahan itu, beliau menghulurkan sedikit sumbangan kemudian beliau membeli kesemua rebungnya sebagai tanda sokongan.

"Hampir 40 bungkus rebong beliau. Saya bukan penggemar rebung. Namun saya pasti pagi esok saya akan cari masjid yang sudi terima semua rebung ini untuk dibuat menu berbuka puasa," katanya.

Ujar Mohd Asri lagi, sebelum beliau dan keluarga beredar, beliau ada bertanyakan kepada mak cik itu, "Mak Cik tinggal di mana?" Jawabnya: "Di Chuping". Saya tanya lagi: "Macam mana semua barang ini dibawa ke sini?"

"Dia menunjukkan motosikalnya yang uzur. Dia beritahu semalam tayar motorsikalnya pecah, dia terpaksa menolak motorsikal itu sehingga ke rumah. Dari jam 12 malam, jam 4 pagi baru sampai rumah. Amat sedih saya mendengar".

Berbicara lanjut, ujat Maza sebelum beliau masuk ke keretanya, beliau bertanya lagi, "Mak cik tahu pejabat Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) di mana? Dia agak terpinga-pinga. Saya tanya lagi: Mak Cik tahu pejabat zakat kat mana? Dia jawab: Tahu! Saya kata kepadanya: "Di situlah pejabat MAIPs. Esok pergi ke situ bagitahu kat kaunter tu mufti suruh mak cik mohon zakat tambahan". Dia mengangguk,".

Menyimpulkan peristiwa itu Mohd Asri berkata, "orang sepertinya yang kuat berusaha tidak duduk saja layak ditambah peruntukan bantuan. Insya-ALLAH MAIPs akan menambahkan bantuan untuknya,".

"Saya beredar dalam jiwa yang sedih. Semoga ALLAH ampuni saya dan segala dosa serta kelemahan saya. Semoga ALLAH memberikan rezeki kepadanya yang banyak. Melihat kepada kesusahan dan kesungguhan orang yang seperti ini, menjadikan kita insaf betapa kita tidak cukup bersyukur kepada ALLAH atas segala kurniaanNYA dan betapa sedikitnya ujian yang kita terima," katanya. - SH

12 June 2017

Pemandu GrabCar ditahan disyaki rogol penumpang

Polis menahan seorang pemandu GrabCar dipercayai merogol seorang wanita di dalam kereta miliknya di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan dekat Kuala Lumpur, semalam.

Dalam operasi pukul 10 malam tadi, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Khas Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias, berkata lelaki berkenaan dipercayai merogol wanita berusia 29 tahun yang menggunakan perkhidmatannya pada pukul 4 pagi.

"Ketika kejadian, mangsa dalam keadaan mabuk dan tidak dapat melawan. Selepas itu suspek kemudiannya menghantar mangsa pulang ke rumah.

"Polis turut merampas pakaian serta kereta jenis Myvi milik suspek," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

- Bernama

Saluran Al-Jazeera diharam di hotel arab

RIYADH - ARAB SAUDI. Arab Saudi mengharamkan saluran berita, Al-Jazeera dikeudarakan di hotel-hotel dan faksiliti pelancongan di seluruh negara.

Mereka yang didapati melanggar arahan tersebut oleh didenda sehingga AS$26,000 (RM110,825) dan perniagaan mereka ditutup.

Menurut laporan Al-Jazeera, Suruhanjaya Perlancongan dan Warisan Nasional Arab Saudi mengeluarkan arahan tersebut pada Jumaat.

Kenyataan berkenaan menyebut 'semua saluran dari Al-Jazeera Media Network perlu diganti' dengan saluran yang sesuai dengan 'saluran rasmi Arab Saudi'.

"Mereka yang melanggar arahan akan didakwa dan dihukum dengan denda sehingga RM110,825 atau lesen perniagaan dibatalkan atau kedua-duanya sekali," kata kenyataan tersebut. - SH

11 June 2017

Julia Perez meninggal dunia

Sebuah khabar mengejutkan datang daripada industri hiburan Indonesia. Perjuangan aktres dan penyanyi popular, Julia Perez atau dikenali sebagai Jupe melawan kanser serviks tahap empat berakhir selepas dia menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di Jakarta semalam.

Khabar itu muncul buat pertama kalinya menerusi Instagram adik Jupe iaitu Anggita Perez.

“Innalilahiwainailahirojiun. Kakak kami yang tercinta, Julia Perez sudah meninggal dunia. Mohon doa daripada semua. Terima kasih di atas sokongan kalian selama ini. Saya sayang anda, Yuli,” tulis Anggita.

Khabar itu tidak hanya menjadi duka buat keluarga Jupe, namun pada teman-teman artis dan dunia hiburan Indonesia.

Mendengar khabar sedih daripada adik Jupe itu, peminat-peminat Jupe dan teman-teman artis memberi ucapan duka di laman sosial masing-masing.

Malah, teman-teman perjuangan dalam industri seperti Ayu Ting Ting, Zaskia Gotik, Ruben Onsu, Eko Patrio dan Luna Maya turut mengiringi jenazah Jupe dan memberi penghormatan terakhir kepada wanita cantik itu.

Jupe disahkan mengidap kanser serviks pada 2014 dan telah menjalani rawatan kemoterapi.

Jupe mula bergelar penyanyi sejak tahun 2002 dan dia telah menghasilkan empat buah album iaitu Kamasutra, Aku Rapopo, Dangdut Galau dan The Best Of Julia Perez. - Kosmo

3 Perompak Kopak Tingkap,Isteri Dirogol Dlm Bilik Ketika Suami Tidur DiRuang Tamu

KAPAR: Seorang wanita telah dirogol oleh tiga lelaki tidak dikenali di dalam bilik di rumahnya di Kampung Rantau Panjang selepas dipecah masuk perompak, awal pagi semalam, lapor Berita Harian.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, dalam kejadian pada jam 4 pagi itu, mangsa yang tidur berseorangan di dalam bilik telah dikejutkan dengan kehadiran tiga perompak.

"Seorang suspek dipercayai warga Indonesia memintanya mendiamkan diri dan tidak menjerit sebelum mangsa dirogol manakala dua lagi suspek berada di luar bilik."

"Mangsa diugut jika dia menjerit, suaminya yang sedang tidur di ruang tamu rumah itu akan dibunuh."

"Selepas suspek melarikan diri, mangsa mengejutkan suaminya dan memaklumkan kejadian itu."

"Mangsa turut mengadu dia diacukan pisau oleh suspek, sebaik dimaklumkan, suami mangsa dan jiran cuba mengejar suspek namun gagal. " katanya.

Suami mangsa telah membuat pemeriksaan di sekitar rumah dan telah menemui kesan umpil di bahagian tingkap dapur rumah itu.

"Mangsa kemudian menyedari beg duit berisi kad pengenalan dan wang tunai berjumlah RM300 turut dilarikan," katanya.

Mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk pemeriksaan dan disahkan trauma.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 395/397 kanun sama.