LagiBerita
Sinar Harian | Malaysiakini | CariGold | Utusan | Mstar | BHarian | HMetro | Kosmo | Astro Awani | Harakahdaily | Bernama | Malaysian Digest | Keadilan | Mynewshub | SemasaPost (V) | Malaysiakini (Vid) | MediaRakyat (Vid) | Google | E-mail | Video | Blogger
eXTReMe Tracker

29 June 2016

Lima Ketua Umno Cawangan Pagoh letak jawatan

Admin | 7:01 AM | 2 Comments
PAGOH - Lima ketua Umno Cawangan Pagoh meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta ekoran kecewa dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno yang melucutkan keahlian Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada parti berkenaan baru-baru ini.

Bagaimanapun, kelima-lima individu terbabit mendakwa mereka masih mengekalkan keahlian dalam parti berkenaan kerana masih sayangkan Umno.

Mereka adalah Ketua Cawangan Grisek, Datuk Tahir Mohd Taat; Ketua Cawangan Batu Enam, Datuk Abd Aziz Hashim; Ketua Cawangan Parit Medan, Mohd Solihan Badri dan Ketua Cawangan Kurnia Sakti, Hedzer Ahmad serta Ketua Cawangan Kundang Ulu, Ahmad Kamit.

Tahir berkata, tindakan mereka meletakkan jawatan adalah sebagai tanda protes selain membantah keputusan yang dibuat oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

"Kita membantah pemecatan Tan Sri Muhyiddin yang dibuat oleh MT baru-baru ini. Bagi saya, pemecatan itu dibuat tanpa mengikut prosedur yang selaras dengan perlembagaan parti.

"Tan Sri Muhyiddin menjalankan tanggungjawabnya dengan amanah dan tindakan beliau menegur presiden adalah demi menyelamatkan parti ini," katanya ketika ditemui selepas perjumpaan tertutup dengan Ketua-ketua Cawangan dalam bahagian Pagoh di Kompleks Seri Pekembar di sini.

Manakala bagi Ahmad, keputusan MT melucutkan jawatan Muhyiddin sememangnya meninggalkan kesan kepada beliau.

"Beliau (Muhyiddin) merupakan pemimpin yang disegani dan dihormati. Saya boleh terima sekiranya beliau hanya dilucutkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden, namun tindakan MT yang turut melucutkan keahliannya sebagai Umno turut membuatkan saya terasa.

“Saya sememangnya tidak dapat menerima keputusan ini dan membantah sekeras-kerasnya tindakan yang dilihat tidak wajar dalam sesebuah parti,” katanya.

Sementara itu, bagi Mohd Solihan yang juga merangkap sebagai Pengerusi Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) berkata, beliau juga tidak menolak andainya wujud parti baru yang diterajui Muhyiddin.

“Jika Tan Sri Muhyiddin mahu memperjuangkan nasibnya dengan menubuhkan parti politik baru, saya dan rakan-rakan yang lain sedia untuk membantu beliau dan meneruskan perjuangan parti berkenaan.

“Saya percaya sebenarnya ramai yang membantah dan mahu keluar daripada parti namun mereka masih teragak-agak kerana tidak jelas dan keliru dengan pendirian mereka. Namun saya pasti, keputusan kami ini boleh mempengaruhi ahli Umno lain yang dilihat begitu kecewa terhadap tindakan MT ini,” katanya. - SH

Pintu kami sentiasa terbuka

Admin | 6:57 AM | Be the first to comment!
SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) menjelaskan mereka sentiasa membuka pintu kepada mana-mana pemimpin termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin yang baru dipecat daripada Umno.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, sebagai individu yang cukup dewasa dalam dunia politik, Muhyiddin yang juga bekas Timbalan Presiden Umno semestinya tidak suka dirinya dipaksa bagi memilih hala tuju selepas ini.

“Saya rasa Tan Sri (Muhyiddin) orang yang cukup dewasa dalam dunia politik, beliau tidak mungkin suka orang lain cuba menentukan hala tuju politik beliau seterusnya.

"Justeru, biarlah beliau sendiri menentukan hala tujunya selepas ini. Bagi Amanah, kami sentiasa membuka pintu,” katanya.

“Selepas dipecat, beliau mempunyai kebebasan untuk menentukan platformnya sekiranya ingin terus berjuang. Di hadapan beliau ada banyak pilihan,” katanya.

Salahuddin memberitahu, adalah lebih baik keinginan untuk menyertai Amanah datang dengan sukarela tanpa paksaan.

“Kita sentiasa membuka pintu untuk beliau dan sesiapa sahaja bersama dengan Amanah. Namun bukan dengan cara paksaan,” katanya. - SH

28 June 2016

Umno Bahagian Semporna umum keluar parti

Admin | 10:06 AM | Be the first to comment!

SEMPORNA - Naib Ketua Umno Bahagian Semporna Datuk Dr Jaujan Sambakong hari ini mengumumkan keluar parti.

Turut mengambil tindakan sama ialah tiga ketua sayap iaitu Ketua Pemuda Mohd Aziz Jamman, Ketua Wanita Manis Muka Dara dan Ketua Puteri Zakiah Kalipunya dan 300 ketua cawangan bahagian itu.
Keputusan itu dibuat mereka selepas mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) bahagian itu di sini yang dipengerusikan Jaujan yang juga Adun Sulabayan.

Dalam sidang media, Jaujan berkata, keputusan itu dibuat susulan tindakan Majlis Tertinggi (MT) Umno pada Jumaat lepas menggantung keahlian Naib Presiden Umno yang juga Ketua Umno Bahagian Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Afdal.

Beliau berkata Mohd Shafie telah tidak diberi peluang membela diri dengan diberikan surat tunjuk sebab terlebih dahulu sebelum MT membuat keputusan menggantung keahliannya.
Bagaimanapun, Mohd Shafie tidak hadir pada mesyuarat itu kerana sedang mengerjakan umrah. Turut tidak hadir Timbalan Ketua Bahagian Datuk Nasir Tun Sakaran.

Umno Bahagian Semporna mempunyai 481 ketua cawangan. –Bernama

26 June 2016

Perlu Kaji Keupayaan Untuk Wujudkan Platform Politik Baharu - Muhyiddin

Admin | 9:14 PM | Be the first to comment!
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang dipecat daripada Umno Jumaat lepas,  mengesahkan mereka ada menerima tawaran menyertai parti-parti politik tertentu.

"Kami ada menerima banyak tawaran secara tidak rasmi dari parti-parti politik yang mempelawa sertai mereka tetapi semua ini perlu difikirkan secara mendalam.

"Saya dan Mukhriz akan membuat keputusan yang amat besar dalam sejarah hidup kami," katanya dalam sidang media yang turut dihadiri Mukhriz, pada Ahad.

Muhyiddin berkata, mereka berhasrat meneruskan perjuangan politik mereka menerusi platform politik baharu.

Bagaimanapun kedua-dua mereka tidak menyatakan secara terperinci mengenai platfom baharu itu, sama ada menyertai parti politik lain atau menubuhkan parti baharu.

Muhyiddin yang juga bekas Timbalan Presiden Umno berkata pada masa ini beliau dan Mukhriz masih mengadakan perbincangan dan sedang mendapat pandangan pelbagai pihak untuk menentukan hala tuju mereka dalam politik.

Jumaat lepas, Majlis Tertinggi Umno memutuskan memecat Muhyiddin dan Mukhriz daripada parti itu, dan menggantung keahlian Naib Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Ditanya tempoh masa untuk menentukan platform baharu itu, Muhyiddin bagaimana pun tidak dapat menyatakannya kerana perlu memikirkan secara mendalam dalam konteks negara pada hari ini.

"Kalau setakat tubuh parti baharu, hari ini pun boleh tubuh, tapi ia bukan hanya soal tubuh parti, ini bukan sebab saya atau Mukhriz, ini soal negara, apa nak difikirkan adalah hala tuju negara," katanya. -Bernama

25 June 2016

GKCM bayang kemungkinan wujud parti baru

Admin | 5:16 PM | Be the first to comment!
Menganggap 'penghinaan' terhadap beberapa tokoh Umno oleh Datuk Seri Najib Razak sebagai "tidak dapat diterima lagi", Gabungan Ketua Cawangan Umno Malaysia (GKCM) membayangkan kemungkinan bakal wujud parti baru di negara ini.

Menamakan kumpulan penentang Najib itu sebagai 3M (Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir), Ketua GKCM Kamarul Azman Habibur Rahman mempertikaikan tanggapan mereka tidak lagi berpengaruh.

"Benarkah 3M ini tidak ada pengaruh? Bagaimana jika mereka menubuhkan sebuah parti baru?

"GKCM akan mula bertindak. Umno akan dilanda badai ketidakpercayaan yang amat dasyat," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan malam tadi.

GKCM adalah gabungan pemimpin Umno peringkat bawahan yang tidak bersetuju dengan kepimpinan Najib sebagai perdana menteri dan presiden Umno.

Kenyataan GKCM itu dibuat selepas Majlis Tertinggi Umno sebulat suara memecat Muhyiddin dan Mukhriz, serta menggantung keahlian Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dari Umno.

Muhyiddin adalah bekas timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno, manakala Mohd Shafie adalah naib presiden parti. Mukhriz pula bekas menteri besar Kedah.

Ketiga-tiga mereka - bersama Dr Mahathir - adalah antara pengkritik paling lantang terhadap kepimpinan Najib.

Dr Mahathir sendiri terlibat menggerakkan kempen Deklarasi Rakyat bersama beberapa parti pembangkang bertujuan mendesak Najib berundur daripada jawatannya sebagai perdana menteri.

Kata Kamarul Azman pemecatan Muhyiddin dan Muhkriz serta penggantungan keahlian Mohd Shafie sebenarnya akan melahirkan banyak persoalan.

Persoalan utama, katanya, ialah tentang integriti Najib.

Beliau mendakwa bahawa Najib kini menjadi 'orang nombor satu paling dibenci di negara ini' tetapi beliau tidak mahu menerima hakikat itu.

Manakala pemecatan Muhyiddin dan Muhkriz serta penggantungan Mohd Shafie, tambah Kamarul, akan mempunyai tempias negatif terhadap MT.

Justeru katanya Najib dan MT Umno perlu mengambil iktibar daripada revolusi rakyat Filipina yang berjaya menggulingkan Fredinand Marcos pada 22 hingga 25 Februari 1986. - Mkini

Umno Pagoh tolak keputusan MT Umno

Admin | 5:09 PM | Be the first to comment!
MUAR - Umno bahagian Pagoh hari ini sepakat menolak keputusan yang dibuat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang  memecat Tan Sri Muhyiddin Yasin daripada jawatan Timbalan Presiden Umno berkuat-kuasa semalam.

Ketua Penerangannya, Hairul Izam Abd Samat berkata, keputusan itu dibuat setelah pihaknya mengkaji dan meneliti beberapa perkara.

"Kami menolak keputusan ini kerana pemecatan tersebut dibuat tanpa mengikut prosedur sepatutnya seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti Fasal 20 Disiplin.

"MT dan Perlembagaan Umno disalah guna oleh Presiden dengan mengenepikan amalan demokrasi dalam parti di mana Tan Sri Muhyiddin tidak dipanggil untuk mempertahankan tuduhan terhadapnya sejak daripada awal penggantungan beliau.

"Selain itu, pemilihan Tan Sri Muhyiddin dalam jawatan berkenaan sebelum ini dibuat berdasarkan sokongan daripada ahli parti seluruh negara. Jadi kami sebagai ahli berasa dikhianati dengan keputusan MT," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Umno Bahagian Pagoh sebentar tadi.

Menurutnya, tindakan Muhyiddin yang sebelum ini menegur Presiden adalah bertujuan memperkukuhkan parti yang bukan digunakan untuk kepentingan peribadi.

"Segala kenyataan Tan Sri Muhyiddin berhubung salah laku dan jenayah yang dilakukan oleh presiden adalah berdasarkan daripada laporan berintegriti daripada agensi kerajaan.

"Maka, tindakan MT memecat Tan Sri Muhyiddin telah menimbulkan rasa kecewa dan tidak puas hati kepada ahli Umno Bahagian Pagoh serta merosakkan perpaduan dan keutuhan parti," katanya. - SH

Rampaslah Yayasan Kepimpinan Perdana, kata Dr M

Admin | 8:35 AM | 1 Comment
PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersedia sekiranya kerajaan berhasrat untuk menarik balik peruntukan Yayasan Kepimpinan Perdana (YPM) yang diterajuinya sejak tertubuhnya badan itu.

Katanya, kerajaan berhak menggunakan kuasanya untuk menarik balik yayasan itu seperti yang dicadangkan Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun.

“Saya ucap terima kasih kepada Khairul Azwan yang mengesyorkan supaya kerajaan menghentikan segala bantuan kewangan dan harta kepada YPM, termasuk penggajian kakitangan.

“Memanglah menjadi hak kerajaan mengguna kuasa yang diberi rakyat dengan apa cara sekalipun. Ini saya terima. Rampaslah,” katanya dalam entri terbarunya di blog chedet.cc.

Namun, Dr Mahathir turut menyatakan kekesalannya berhubung sikap Khairul Azwan yang disifatkan sebagai angkuh dan sudah menunjuk kebengisan menjadi pemimpin rasuah sebelum berkuasa. - http://www.tranungkite.net

Yayasan Kepimpinan Perdana Jadi Pusat Rancang Jatuh Kerajaan - Najib

Admin | 8:28 AM | Be the first to comment!
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, Yayasan Kepimpinan Perdana yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad digunakan sebagai pusat merancang menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik dan tidak sah.

Sehubungan itu, Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO berkata, adalah wajar bagi kerajaan menghentikan pemberian sumbangan dengan serta-merta.

"Yayasan ini digunakan sebagai pusat merancang untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik dan tidak sah di sisi undang-undang," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato' Onn, di sini, hari ini.

Najib berkata, pihaknya akan meminta pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN) mengambil tindakan selanjutnya susulan keputusan terbabit.

"Tidak wajar bagi kita meneruskan sumbangan ini," katanya sambil menegaskan semua kakitangan yayasan itu akan diberi notis pemberhentian dalam masa terdekat.

-Berita Harian

Kurangkan guna motosikal untuk elak kemalangan maut

Admin | 8:25 AM | Be the first to comment!

GUA MUSANG: Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) menyeru orang ramai agar mengurangkan penggunaan motosikal untuk bersiar-siar bagi mengelakkan kemalangan maut yang semakin meningkat.

Ketua Pengarah JKJR Abd Ghafar Yusof berkata 62 peratus daripada 6,706 kes kemalangan maut yang berlaku pada tahun lepas membabitkan motosikal.

“Kita mahu perkara ini diberi perhatian kerana jika kita berjaya mengurangkan penggunaan motosikal sebanyak 10 peratus, kita jangka dapat selamatkan 400 nyawa setahun.

“Penggunaan motosikal itu bukan dihalang kerana ada keluarga yang hanya memiliki kenderaan itu sahaja, tetapi penggunaannya boleh dilakukan jika perlu dan dalam keadaan terdesak sahaja bagi mengelak risiko kemalangan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Advokasi Khas Keselamatan Jalan Raya di sini, hari ini.

Pada majlis itu, JKJR turut menyumbang sebanyak 60 topi keledar termasuk 30 topi keledar khusus untuk kanak-kanak kepada penunggang motosikal di jajahan tersebut.

Abd Ghafar berkata ibu bapa perlu melengkapkan anak-anak kecil mereka dengan topi keledar bagi mengelak risiko kehilangan nyawa ketika kemalangan berlaku.

“Topi keledar untuk kanak-kanak juga perlu mempunyai tahap keselamatan yang dibenarkan bagi mengelak ia pecah ketika kemalangan berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya melarang anak mereka yang tidak mempunyai lesen daripada menunggang motosikal. - Bernama

Militan IS ancam ‘gegar’ Bukit Aman

Admin | 7:44 AM | Be the first to comment!
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempertingkatkan kawalan susulan penyebaran video dipercayai dari anggota militan IS yang melaungkan amaran untuk ‘mengegarkan’ Bukit Aman.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya memandang serius perkara ini kerana ianya adalah satu ugutan berbentuk ancaman.

“Siasatan dijalankan dan kita sentiasa berwaspada termasuklah mempertingkat kawalan dan pemantauan termasuklah di pintu masuk lapangan terbang dan sempadan negara.

“Kita pantau perkara ini secara berterusan dan kita tidak mahu video-video sebegini terus mengancam keselamatan negara,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, lelaki itu telah dikenal pasti sebagai Mohd Rafi Udin dari Negeri Sembilan.

Menurutnya, semakan yang dibuat dapati dia (Mohd Rafi) pernah ditangkap dan ditahan dibawah tahanan ISA sekitar tahun 2003.

Beliau berkata, Mohd Rafi ini merupakan bekas anggota Kumpulan Militan Malaysia (KMM).

Mengulas tentang ugutan yang dibuat melalui rakaman video tersebut, Ayob Khan berkata, perkara ini bukanlah satu benda baharu.

“Kita sudah pun mempertingkat kawalan keselamatan sejak tahun 2015 lagi...kawalan ini bukan sahaja di Bukit Aman, tapi lokasi-lokasi lain di negara seperti pusat beli-belah dengan kerjasama bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Jika dilihat, rondaan di pusat beli-belah ini adalah susulan beberapa ugutan yang pernah dibuat mereka (IS) sebelum ini,” katanya.

Memetik laporan media tempatan, video yang dikeluarkan oleh sayap media militan IS pada Selasa lalu itu memaparkan lelaki rakyat Malaysia yang sedang berperang di Syria.

“Kepada mereka yang berada di bukit-bukit yang aman, ketahuilah kalian tidak lagi akan aman sebentar lagi.

“Kami akan pulang untuk menyerang kalian ataupun sahabat-sahabat kami yang berada di sana, insya-ALLAH akan memenggal leher-leher kalian.” kata lelaki itu. - SH

Wartawan Berita Harian maut dalam kemalangan

Admin | 7:44 AM | Be the first to comment!

KUALA LUMPUR - Seorang wartawan Berita Harian maut dalam kemalangan jalan raya di Persiaran Barat susur Lebuh Sentosa, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Hamizar Abd Hamid, 43.
Sumber polis berkata, ketika kejadian  kad pengenalan mangsa tidak dijumpai dan hanya miliki pas kerja media NSTP.

"Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC difahamkan pada mulanya sedar dan mengadu sakit di bahagian rusuk.

"Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Putrajaya dengan menaiki ambulans sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 8.10 malam," katanya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) 1987 Akta Pengangkutan Jalan. - SH

Prof. Izzi Haji Ali Meninggal Dunia Ramadan Ke-19

Admin | 7:29 AM | Be the first to comment!
PAKAR motivasi terkenal Profesor Madya Md Izuddin Ali atau lebih dikenali sebagai Prof. Izzi telah kembali ke rahmatullah pada 12.45 tengah hari tadi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

Allahyarham dilaporkan meninggal dunia akibat terkena strok.

Berita duka itu dimaklumkan oleh anak saudaranya menerusi laman akaun Twitter, Fadednv.

Fadednv turut meminta orang ramai sedekahkan Al-Fatihah kepada allahyarham.

Menerusi semakan Mynewshub di laman Twitter Prof Izzi, allahyarham ada memuat naik gambar melawat jenazah seorang individu yang meninggal dunia pada hari pertama Ramadhan, iaitu 6 Jun lalu.

Menerusi kapsyen gambar tersebut, Prof. Izzi turut menulis “walau ramadhan akan ditempuhi, belum tentu melaluinya’ sekali gus memberi makna yang cukup mendalam.

Selain itu, Prof. Izzi turut berkongsi pesanan seorang ustaz pada 11 Jun lalu yang berbunyi “Tika Abu Talib nak mati, kiri kanan ada Abu Lahab & Abu Jahal serta di kaki ada Abu Sufian. Nabi SAW di kepala suruh beriman kepada Allah tapi dia enggan kerana lebih ikut kata-kata TIGA ABU ITU.. matilah dia dlm kafir… Moga kita tak tergolong orang seperti ni.

Allahyarham suatu ketika dahulu sangat popular dengan tagline ‘renung-renungkan dan selamat beramal’ dan sering muncul menerusi radio Hot FM.

Selain itu, Allahyarham juga merupakan seorang pensyarah Matematik di Universiti Teknologi Mara (UiTM). – MYNEWSHUB.CC

18 June 2016

Polis ingatkan parti menang tak buat perarakan

Admin | 4:57 PM | Be the first to comment!
Polis hari ini mengingatkan penyokong parti yang menang dalam pilihan raya kecil (PRK) kawasan Parlimen Sungai Besar, agar tidak melakukan sebarang perarakan bagi meraikan kemenangan mereka selepas pengumuman rasmi dibuat malam ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata ini kerana tindakan sedemikian dikhuatiri boleh mencetuskan perkara yang tidak diingini selain menimbulkan rasa tidak puas hati dalamn kalangan penyokong parti yang kalah.

"Jika mereka hendak meraikan kemenangan, mereka boleh berbuat demikian di dalam Dewan Sri Bernam, tempat penjumlahan undi dibuat," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Sungai Besar hari ini.

Abdul Samah turut memuji perjalanan kempen dan pengundian di PRK Sungai Besar yang disifatkan antara yang teraman.

Tambahnya kematangan rakyat dalam berpolitik dilihat sebagai faktor utama tempoh berkempen dalam PRK ini berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

"Diharapkan keadaan ini kekal sehingga pengumuman keputusan malam nanti,". katanya.

Mengenai perjalanan proses mengundi hari ini, Abdul Samah berkata setakat ini ia berjalan lancar dan seramai 4,546 anggota polis dikerahkan bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam sehingga pengundian berakhir 5 petang nanti.

Katanya, sejak hari penamaan calon sehingga 1 petang tadi, sebanyak 21 laporan polis diterima antaranya melibatkan kesalahan membakar dan menconteng poster, menaikkan papan iklan berbau fitnah, mencuri dan mengadakan ceramah
tanpa permit.

Keputusan PRK itu yang dijalankan serentak dengan PRK Kuala Kangsar, Perak dijangka akan diumumkan selewat-lewatnya pada 9 malam nanti oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Seramai 42,365 pengundi biasa layak mengundi hari ini di Sungai Besar selepas 265 (92.6 peratus) daripada 286 pengundi awal melaksanakan tanggungjawab mereka pada Selasa lepas (14 Jun).

- Bernama

14 June 2016

Pusat Pengundian Awal Dibuka 8 Pagi, 286 Orang Layak Mengundi

Admin | 9:56 AM | Be the first to comment!
SUNGAI BESAR: Pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar yang melibatkan 286 anggota polis dan pasangan masing-masing, berlangsung di dua tempat mengundi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Sabak Bernam di sini, hari ini.

Dua tempat mengundi berkenaan ialah di Bilik Cawangan Latihan/Sukan bagi pengundi awal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang dan Bilik Cawangan Latihan/Sukan IPPD 1 bagi pengundi awal DUN Sekinchan.

Pusat pengundian awal dibuka dari 8 pagi hingga 5 petang bagi DUN Sungai Panjang manakala bagi DUN Sekinchan, ia dibuka dari 8 pagi hingga 2 petang.

Proses pengundian awal disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding pada PRK berkenaan, selain pemerhati tempatan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Parlimen Sungai Besar mempunyai 42,655 pemilih berdaftar dengan pengundi biasa seramai 42,365 orang, pengundi awal (286) dan pengundi tidak hadir (4) kerana berada di luar negara.

PRK itu menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang Budiman Mohd Zohdi, calon PAS yang juga ADUN Meru Dr Abdul Rani Osman dan Azhar Abdul Shukur daripada Parti Amanah Negara.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

PRK Parlimen Sungai Besar ditetapkan pada 18 Jun.

- Bernama