23 July 2016

14 Militan IS Ditahan

Salah seorang daripada 14 suspek yang ditahan.
KUALA LUMPUR: Seramai 14 suspek militan IS, termasuk seorang wanita ditahan dalam beberapa serbuan di lima negeri.

Kesemua suspek ditahan oleh Bahagian Cawangan Khas Anti-Pengganas (E8) di Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Sabah antara 14 Julai dan 20 Julai lalu.

Kira-kira 12 suspek yang ditahan adalah dari sel yang sama dan dipercayai menerima arahan daripada militan terkenal, Muhammad Wanndy Mohamed Jedi untuk melancarkan serangan di Malaysia.

Polis turut merampas Improvised Explosive Device (IED) seberat 1 kilogram (kg) di Sungai Buloh.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata salah seorang suspek mengaku berkongsi pengetahuan bagaimana untuk membuat IED dengan militan lain melalui aplikasi Telegram.

"Dia mendakwa menerima arahan daripada Muhammad Wanndy untuk menghasilkan IED bagi melakukan serangan di Lembah Klang.

"Muhammad Wandy turut berjanji untuk membekalkannya sepucuk pistol bagi mempertahankan diri," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata seorang suspek berusia 49 tahun yang ditahan di Kedah merupakan ahli senior IS yang masih aktif merekrut ahli menerusi usrah secara rahsia di Sik, Kedah.

"Salah seorang yang direkrutnya adalah Abu Ghani Yaacob @ Abu Kedah yang terkorban di Syria pada 17 April lalu.

Menurut Khalid, seorang wanita berusia 43 tahun yang ditahan di Perak, aktif mempromosikan propaganda IS dan merancang untuk pergi ke selatan Filipina bagi membantu militan yang masih diburu, Dr Mahmud Ahmad.

Tangkapan baharu itu susulan operasi memerangi keganasan selepas dua militan mengaku bertanggungjawab melakukan pengeboman di kelab malam Movida di Puchong ditahan bersama-sama dengan 13 militan lain pada 28 Jun dan 1 Julai lalu. - Mstar

01 July 2016

'Tunku pun pernah sokong DAP, tapi keistimewaan kekal'

Perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman tidak pernah dinafikan keistimewaannya walaupun bercakap atas pentas pembangkang selepas meninggalkan jawatan itu, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Walaupun Tunku mengkritik kerajaan dan bercakap menggunakan platform pembangkang dan menyokong DAP, beliau menikmati keistimewaan itu sehingga meninggal dunia,” kata Mahathir.

Antara lain, kata Mahathir, sentiasa menjadi kelaziman di Malaysia, kerajaanya menyediakan pejabat dan kakitangan untuk bekas-bekas perdana menteri.

“Oleh sebab itu kerajaan menyewakan ruang di Yayasan Kepimpinan Perdana untuk saya dan beberapa kakitangan saya,” katanya.

Mahathir berundur daripada jawatan itu pada 2003, setelah 22 tahun menjadi pemimpin utama negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 22 Jun lalu mengumumkan sumbangan kerajaan kepada Yayasan Kepimpinan Perdana yang diterajui Mahathir akan dihentikan.

Beliau berkata langkah itu atas alasan Mahathir menggunakan yayasan itu sebagai platform untuk menjatuhkan kerajaan. - Malaysiakini