27 February 2016

Keputusan gantung Muhyiddin gerakkan Umno ke hadapan

KUALA LUMPUR - ‎Keputusan penggantungan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan bukti kerjasama Umno sebagai satu pasukan.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia merupakan bukti Umno mampu bergerak seiring untuk berhadapan dengan rakyat.

"Hakikatnya, keputusan telah dibuat oleh MT dan keputusan yang dibuat ini bersandarkan kepada matlamat kita untuk melihat ke hadapan.

"Harapan saya bersandarkan kepada kerjasama satu pasukan dan secara peribadi saya, keputusan yang dibuat secara bersama (menggantung Muhyiddin), ia dapat membantu kita bergerak ke hadapan sebagai satu pasukan tanpa kita mempertikaikan gerakan.

"Saya tengok penting dalam nak berhadapan dengan rakyat," katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Ahli MT, di Menara Dato' Onn, hari ini.

Muhyiddin hari ini dilaporkan digantung serta-merta daripada jawatan beliau dalam parti.

[ARTIKEL BERKAITAN: Jawatan Muhyiddin digantung serta-merta]

Perkara itu diumumkan oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam sidang media selepas Mesyuarat MT Umno yang berlangsung petang ini.

Difahamkan, ‎keputusan itu dibuat selepas ahli MT Umno sebulat suara menyokong usul tersebut yang dibawa secara bersama oleh semua ahli MT dalam satu mesyuarat, hari ini.

Menurut Hishammuddin lagi, keputusan penggantungan itu bukan sahaja diputuskan secara konsensus malah ia juga bersandarkan kepada keinginan pucuk pimpinan parti. - SH

No comments:

Post a Comment