LagiBerita
Sinar Harian | Malaysiakini | CariGold | Utusan | Mstar | BHarian | HMetro | Kosmo | Astro Awani | Harakahdaily | Bernama | Malaysian Digest | Keadilan | Mynewshub | SemasaPost (V) | Malaysiakini (Vid) | MediaRakyat (Vid) | Google | E-mail | Video | Blogger
eXTReMe Tracker

31 October 2015

AMANAH: Mana ada bas ekspres tak ada destinasi

Parti Amanah Negara (AMANAH) hari ini menempelak Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan Pakatan Harapan ibarat bas ekspres yang tidak ada destinasi.

Tegas timbalan pengerusinya, Salahudin Ayub destinasi Pakatan Harapan adalah jelas iaitu untuk mengambil alih Putrajaya melalui barisan pembangkang.

“Matlamat AMANAH jelas, kami bersama-sama rakan kita dalam barisan pembangkang mahu mengambil alih Putrajaya melalui Pakatan Harapan,” tegas bekas naib presiden PAS itu ketika dihubungi Malaysiakini.

Salahuddin adalah salah seorang pemimpin progresif yang pernah ada dalam PAS sebelum mereka disingkirkan secara pukal dalam muktamar parti itu di Kuala Selangor pada Jun lalu.

Mereka kemudian menyertai Gerakan Harapan Baru sebelum menubuhkan AMANAH yang kini diketuai bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Sebaliknya, bekas ahli Parlimen Kubang Kerian itu mendakwa sebenarnya 'bas' yang dinaiki PAS kini semakin kabur dan tidak tahu ke mana hendak dituju.

“Mana ada bas ekspres dekat dunia ini bergerak tanpa ada destinasi. Semua ada destinasi.

“Cuma PAS sahaja pada hari ini kelihatan kabur mengenai destinasi dia dan rakyat melihat bas PAS tidak tahu ke mana hendak dituju,” kata Salahudin.

Cadangan DAP gurauan biasa

Abdul Hadi dalam sidang Dewan Rakyat sebelum ini dilapor sebagai berkata, Pakatan Harapan umpama bas ekspres yang tidak ada destinasi.

Abdul Hadi yang dipetik Berita Harian berkata, PAS akan terus menjadi pembangkang yang beradab dan berakhlak berlandaskan Islam.

"PAS tidak akan sertai sebarang langkah yang tidak bersandarkan Islam dan matlamat kerana tidak mahu menaiki bas ekspres yang tidak sampai ke destinasinya.

"Apabila tidak sampai, kita pulak kena jalan kaki jauh ...sudah tiada harapan dengan harapan yang tidak sampai destinasi ...naik bas ekspres pergi Kuantan tapi guna jalan ke Kuala Lipis maka mana boleh sampai," kata ahli Parlimen Marang itu.

Sementara itu, mengulas dakwaan DAP mungkin bertanding di lapan kawasan PAS di Selangor, Salahudin berkata ia hanyalah gurauan biasa.

Malah, beliau berkata kenyataan tersebut hanyalah tindak balas daripada hasrat PAS mahu meletakkan calonnya di kerusi yang dimenangi DAP pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, ini kerana Pakatan Harapan setakat ini belum membincangkan isu kerusi yang akan ditandingi mereka.

“Kenyataan DAP itu hanyalah reaksi terhadap tindakan PAS yang nak bertanding di semua kerusi DAP dan saya anggap ia hanyalah gurauan biasa.

“Di peringkat Pakatan Harapan kita masih dalam proses mengukuhkan gabungan pembangkang. Kita pun tak bincang lagi soal kerusi mana yang hendak ditandingi,” tegas Salahudin. - Mkini

Wanita Palestin seludup sperma dari penjara Israel

Lidia Rimawi impikan seorang anak lelaki tetapi suaminya seorang tahanan politik dalam penjara Israel.

Menjalani hukuman penjara 25 tahun, suaminya hanya akan dibebaskan ketika dia berumur 50 tahun.

Lidia, 37, justeru tidak mempunyai jalan lain kecuali menyeludup sperma suaminya dari penjara rejim Zionid itu.

Beliau dan anak lelakinya, Majd, kini tinggal di Nabih Saleh, sebuah kampung di Tebing Barat.

“Majd adalah kemenangan kami,” katanya merujuk kepada kanak-kanak lelaki 18 bulan itu.

“Saya buat semua ini untuk bantah pencerobohan (Israel)," katanya.

Mengenang suaminya, Lidia berkata sejak awal beliau tahu tentang perjuangan suaminya, tetapi ia hanya mengukuhkan tambatan hati mereka.

'Ayah, berilah saya abang'

Malangnya mereka hanya sempat hidup bersama buat beberapa bulan sebelum suaminya dipenjara susulan penglibatan dalam Intifada kedua menentang Israel.

Beliau bagaimanapun sudah mempunyai seorang anak perempuan.

“Saya ingat lagi bila dapat sampel (sperma) daripada suami semasa melawatnya dan anak perempuan kami ada bersama saya dan dia kata, 'ayah, berilah saya abang'.

“Kami terkejut, tetapi gembira bercampur bimbang,” katanya.

Selepas menyeludup keluar sperma itu dalam bekas plastik, Lidia terus mengambil teksi ke Pusat Perubatan Razan di Ramallah, tempat persenyawaan dibuat.

Ia berhasil. Dan apabila berita itu dikongsi dengan suaminya dalam lawatan seterusnya, lelaki itu menjerit kegembiraan seolah-tidak tidak percaya apa yang berlaku.

Sumber: Al Jazeera / Mkini

Mungkin kena bayar RM1,000 untuk gaji amah


SHAH ALAM - Mana-mana majikan yang ingin mengambil pembantu rumah Indonesia kini perlu membayar RM900 sebulan bagi gaji mereka.

Bagaimanapun, memetik laporan The Star Online hari ini, menurut kenyataan daripada Timbalan Duta Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata, kadar itu  mungkin akan dinaikkan sehingga ke RM1,000 kerana merasakan pembantu rumah mereka perlu dibayar setimpal dengan apa yang mereka lakukan.

"Indonesia sudah menghantar surat permohonan meminta gaji dinaikkan sehingga RM1,000," katanya.

Sementara itu memetik laporan itu juga melaporkan mengenai surat daripada Badan Nasional Penempatan dan Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia bertarikh 15 Oktober lalu, meminta kedutaan melaksanakan gaji minimum sebanyak RM1,000.

Surat daipada Badan Nasional itu turut menuntut agar pihak kedutaan tidak membenarkan majikan memotong gaji pembantu rumah Indonesia.

Tuntutan itu dibuat kerana, ketika ini, majikan dibenarkan memotong gaji sebanyak RM1,800 daripada pembantu rumah dalam tempoh 3 hingga 6 bulan bagi menyelesaikan bayaran pendahuluan kos seperti latihan.

Dalam pada itu, Hermono mengelaskan bahawa kerajaan Malaysia dan Indonesia masih membincangkan mengenai kandungan surat itu.

Minggu lalu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot berkata Malaysia dan Indonesia bersetuju menaikkan gaji pembantu rumah yang sebelum ini sebanyak RM800 kepada kadar yang akan diumumkan. - SH

Jejak Guru Besar Ditemui – Polis

KUALA KUBU BHARU – Pencarian dengan turut melibatkan Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan Guru Besar Jashiah Rabu yang dilapor hilang sejak Jumaat lepas pernah menjejakkan kaki di dalam hutan Buluh Telur di sini.
 
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt R Supramaniam berkata anjing pengesan mengesan jejak guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Keramat I itu di sebuah pondok, kira-kira dua kilometer dari pusat gerakan operasi mencari dan menyelamat.

 “Namun jejak kaki mangsa terhapus setakat kawasan terbabit,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi pencarian di Kampung Orang Asli Hutan Buluh Telur hari ini.
 
Beliau berkata operasi pencarian yang memasuki hari kelima hari ini melibatkan kawasan berkeluasan tiga kilometer radius pada pagi tadi dan diperluaskan kepada enam kilometer radius petang ini.
 
“Selain hutan tebal, kita mengalami kesukaran mengesan mangsa kerana terdapat maklumat yang bercanggah daripada orang kampung,” katanya.
 
Namun Supramaniam percaya pergerakan Jashiah bekemungkinan semakin terbatas kerana keletihan dan ini boleh mempercepatkan proses mengesannya.
 
Beliau berkata seramai 71 anggota terdiri daripada PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Renjer Hutan, Pegawai Pendidikan Daerah dan penduduk kampung terlibat dalam operasi pencarian yang bermula 9 pagi tadi.
 
Menurut beliau, operasi turut dibantu Pasukan Gerakan Am Sungai Perak Bidor, Perak, serta lapan orang Tok Batin dari Kampung Buluh Telur.
 
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Kamil Hamadan berkata pasukan operasi dibahagikan kepada empat kumpulan bagi meluaskan kawasan pencarian.

 Ini menurutnya meliputi hutan Bukit Kutu, air terjun berhampiran Taman Milenium, pencarian dari rumah ke rumah penduduk kampung, kebun getah serta anak sungai.

 Jashiah kali terakhir dilihat jirannya keluar dari rumah pada petang Jumaat lalu dan dikatakan berjalan kaki dan menumpang kereta sejauhkira-kira 10 kilometer ke sebuah perkampungan Orang Asli, sebelum dilihat menghala ke hutan simpan berkenaan.- Bernama

Tony Fernandes dilapor mahu jual AirAsia RM853 juta

KUALA LUMPUR 30 Okt. – Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dilaporkan sudah mula mengadakan perbincangan bersama pihak bank bagi mengambil alih syarikat penerbangan tambang murah itu pada nilai AS$200 juta (RM853 juta).

Menurut laporan Reuters, perkara berkenaan ekoran harga saham syarikat penerbangan berkenaan yang dikatakan telah jatuh merudum.

Selain itu, usahawan dan rakan kongsi perniagaan beliau, Datuk Kamarudin Meranun yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X Berhad (AirAsia X), turut dilaporkan meminjam wang ke atas 19 peratus pegangan tidak langsung mereka dalam AirAsia daripada Credit Suisse dan CIMB Bank (CIMB) untuk membantu dana usaha niaga swasta terbabit.

Jelas laporan itu, kejatuhan dalam harga saham AirAsia telah membawa kepada pelanggaran syarat-syarat cagaran pinjaman dan menurut dua sumber, ia adalah salah satu sebab mengapa kedua-dua ahli perniagaan tersebut memulakan rundingan kepada pembelian kuasa pengurusan.

Dalam pada itu, ketika dihubungi, jurucakap AirAsia menolak untuk memberi sebarang komen berkaitan hal itu malah menurut Reuters, Fernandes dan Kamarudin pula tidak membalas emel yang dihantar bagi mendapatkan penjelasan.

Kewujudan pinjaman berkenaan yang tidak pernah didedahkan kepada umum adalah disebabkan transaksi yang bersifat peribadi mula menunjukkan sedikit sebanyak hala tuju serta masa depan syarikat penerbangan berkenaan yang juga merupakan pelanggan utama kepada Airbus di Asia kini terikat kepada pelaburan lain daripada pengasasnya, jelas laporan itu.

Malah mengikut dua sumber yang mempunyai pengetahuan berkaitan situasi itu, pinjaman telah dilakukan bagi membantu membiayai pembelian pada tahun 2011 oleh syarikat induk Fernandes iaitu Tune Group.

Untuk pinjaman saham yang disokong ia merupakan perkara biasa yang berlaku dalam kalangan hartawan di rantau ini, memerlukan sejumlah besar cagaran kerana mereka tertakluk kepada turun naik pasaran saham dan ia adalah situasi yang kurang jelas sekiranya Fernandes dan rakan perniagaannya telah meminta untuk pinjaman yang segera secara rasmi.

Namun begitu, tiada bukti mengatakan sama ada Fernandes atau Kamarudin yang telah memulakan empayar perniagaan yang dianggarkan bernilai melebihi nilai pinjaman saham yang disokong itu dan tidak berkemampuan untuk membayar kembali wang pinjaman itu.

Sementara itu, jurucakap Credit Suisse yang berpangkalan di Hong Kong serta CIMB turut menolak untuk memberikan maklum balas ataupun komen. – AGENSI

(Video) Soalan Tambahan MP Temerloh Melucukan



MP Temerloh, YB Nasruddin Hassan bertanyakan soalan yang tidak berkaitan mengenai pekerja asing tatkala Dewan sedang bberbicara mengenai kewangan asing.

29 October 2015

Khalid sokong Azmin, keputusan MB tak perlu maklum PKR

Bekas menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim menyokong tindakan Mohamed Azmin Ali yang didakwa meluluskan pembinaan tiga lebuh raya di negeri itu tanpa memaklumkan kepada partinya.

Beliau berkata proses kelulusan selalunya dibuat melalui mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan hanya sekiranya perlu, anggota MMKN akan memaklumkan kepada parti masing-masing.

"Saya tidak tahu tentang perkara tersebut (pembinaan tiga lebuh raya). Sebenarnya perkara mengenai kelulusan biasanya diluluskan melalui mesyuarat exco (MMKN)," kata Khalid kepada The Malaysian Insider di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata, Azmin selaku menteri besar Selangor boleh memberi penjelasan berhubung perkara itu dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Kalau ada dalam mesyuarat exco, maknanya ada rekod mengenai perkara ini.

"Perkara ini boleh dijelaskan dalam perjumpaan di DUN yang akan mula berlangsung minggu depan," katanya.

"Exco mesti meluluskan dahulu. Kemudian kalau perlu, ahli exco yang dalam parti politik tertentu boleh membawa ke pengetahuan parti masing-masing," kata ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu.

Khalid sebelum ini digugurkan daripada jawatannya sebagai menteri besar Selangor kerana antara lain, melaksanakan program penstrukturan air di negeri itu tanpa memaklumkan kepada partinya.

Selain kehilangan kedudukan itu, beliau turut dilucutkan keahlian PKR.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli sebelum ini dilaporkan berkata, Azmin diminta memberikan penjelasan berhubung dakwaan yang tiga lebuh raya di negeri itu sudah diberikan kelulusan tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada kepimpinan tertinggi PKR.

Rafizi dipetik akhbar Sinar Harian menegaskan, pihaknya masih belum mendapat sebarang pengesahan berhubung khabar angin tersebut dan beliau akan membawa isu itu ke dalam mesyuarat dalaman parti dalam masa terdekat.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail terdahulu hari ini berkata, beliau akan mendapatkan penjelasan daripada Azmin berhubung perkara itu pada sesi pembentangan Belanjawan Selangor Jumaat ini.

Kerajaan negeri Selangor didakwa meluluskan pembinaan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) sejauh 32 kilometer untuk menjadi laluan alternatif kepada Lebuhraya Jaringan Tengah II (MRR2) dari Sri Petaling ke Ulu Klang, melalui Sungai Besi, Cheras, Kajang dan Taman Putra Ampang.

Konsesi 60 tahun dianugerahkan kerajaan persekutuan kepada syarikat Projek Lintasan Kota Holdings (Prolintas) dan ia dijangka dapat membantu menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas kritikal di beberapa lebuh raya utama di sekitar Lembah Klang.

Pembinaan lebuh raya itu sekali gus menjadi laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) khususnya di kawasan Ulu Klang, Ampang dan Pandan Indah.

Sementara itu, ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Noh Omar yang juga ketua perhubungan Umno negeri Selangor berkata, PKR perlu jelas dalam pelaksanaan keputusan mereka.

Beliau turut membangkitkan persoalan sama ada Azmin, yang juga timbalan presiden PKR, bakal berdepan tindakan sama oleh parti seperti Khalid sebelum ini.

"Kita hendak tengok, PKR kena tegas. Kalau keputusan menteri besar, kena rujuk parti, Khalid dipecat, Azmin bagaimana?

"PKR kena ambil tindakan jelas," kata Noh yang juga ahli Parlimen Tanjung Karang. - TMI

28 October 2015

Kami sudah cukup beradab, Pakatan Harapan jawab Hadi

Pakatan Harapan berikrar akan meneruskan protes terhadap Putrajaya dengan mengangkat sepanduk "Mana RM2.6 bilion" sepanjang sidang Parlimen ini, mengatakan tindakan itu sudah cukup beradab.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata, Pakatan Harapan tidak melihat protes melalui mengangkat sepanduk atau plakad di dalam Dewan Rakyat sebagai perbuatan tidak beradab dan bersopan seperti dakwaan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Kita bukannya membaling kasut, kerusi, atau apa pun. Tak seperti di Eropah, mereka baling gas pemedih, sebagai tanda protes.

"Tapi kita mengangkat plakad. Itu sudah cukup beradab. Tidak timbul huru-hara," kata wakil rakyat Parti Amanah Negara (Amanah) itu pada satu sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, Hadi berkata, tindakan parti pembangkang yang memegang plakad "Mana RM2.6 bilion" selepas Datuk Seri Najib Razak selesai membuat pembentangan Bajet 2016 pada Jumaat lalu satu perbuatan tidak sopan dan tidak wajar kerana ia hanya dilakukan peserta demonstrasi.

Khalid berkata, protes tersebut bakal diteruskan selagi ia tidak mendapat teguran daripada speaker.

"Protes ini akan berterusan. Kita harap ahli pembangkang lain akan bersama menyertai kita.

"Kita akan teruskan selagi tidak ada tertulis (larangan) dalam Peraturan Mesyuarat Dewan, (selagi) speaker tidak membuat kenyataan," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke berkata, kenyataan Hadi itu tidak selari dengan tindakan parti Islam itu sendiri sebelum ini.

Wakil rakyat DAP itu berkata, PAS ketika pembentangan bajet tahun lalu, ketika masih berada dalam Pakatan Rakyat, bersama menyokong protes plakad anti cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

"Kenyataan beliau tidak konsisten. Pada tahun lepas, beliau juga memegang plakad membantah pelaksanaan GST.

"Saya harap, Hadi meskipun tidak bersama dengan kami (Pakatan Harapan), tetapi beliau mestilah konsisten dengan pendirian," katanya.

Sebaliknya, Loke menyifatkan tindakan Pakatan Harapan memegang plakad itu sebagai satu cara yang kreatif dalam menyampaikan mesej.

"Ini adalah cara paling kreatif, bukan tidak beradab. Yang tidak beradab ialah apabila ambil derma, namun tidak dedahkan sumber," kata wakil rakyat DAP itu, menyindir Najib yang menerima wang RM2.6 bilion, dikatakan sumbangan derma, tetapi enggan menjelaskan mengenainya walaupun pelbagai persoalan timbul. - TMI

26 October 2015

Anwar tarik balik rayuan hadiri sidang Dewan Rakyat

Bekas anggota Parlimen Permatang Pauh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara, menarik balik rayuannya dalam usaha untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat dari 9 Mac hingga 9 April tahun ini.

Peguam mewakili Anwar, Latheefa Koya memaklumkan panel tiga anggota Mahkamah Rayuan hari ini berhubung penarikan balik rayuan itu.

Peguam M Kogilambigai yang mewakili dua responden iaitu Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pesuruhjaya Penjara, tidak membantah permohonan itu.

Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid yang mempengerusikan panel itu kemudiannya membatalkan rayuan itu.

Turut bersidang ialah Hakim Vernon Ong Lam Kiat dan Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli.

Anwar, 68, memohon kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi membatalkan keputusan Ketua Pesuruhjaya Penjara tidak membenarkannya menghadiri mesyuarat pertama sesi ketiga sidang ke-13 Dewan Rakyat.

Pada 1 April tahun ini, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Asmabi Mohamad menolak permohonannya bagi kebenaran semakan kehakiman itu. Anwar kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan itu.

Dalam afidavit sokongannya, Anwar mendakwa beliau masih merupakan anggota Dewan Rakyat dan Ketua Pembangkang kerana petisyen bagi pengampunan diraja dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong masih belum diputuskan.

Pada 16 Mac, Lembaga Pengampunan menolak petisyennya bagi pengampunan terhadap sabitan meliwat dan beliau kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh.

Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb tahun ini, mengekalkan tempoh hukuman penjara Anwar bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008. Anwar memfailkan semakan berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan itu dan ia masih tertangguh.

Sementara itu, permohonan Anwar bagi mendapatkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyennya bagi pengampunan masih menunggu pendengaran di Mahkamah Tinggi.

Di luar mahkamah, Latheefa memberitahu pemberita, pihaknya memutuskan untuk menarik balik rayuan itu kerana perkara itu kini bersifat akademik kerana sidang Dewan Rakyat itu sudah berakhir.

-Bernama

25 October 2015

Pakatan Rakyat sudah lama berkubur, kata PKR kepada PAS

Pakatan Rakyat (PR) sudah mati, demikian kata seorang pemimpin PKR hari ini selepas timbalan presiden PAS mengatakan gabungan pembangkang itu masih hidup walaupun hanya mempunyai 2 ahli.

Pengarah Pilihan Raya PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, PR yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS, tidak lagi mempunyai dasar rangka kerja, mahupun Majlis Presiden yang membuat keputusan bersama, begitu juga urusetia yang menyelaraskan program dan aktiviti pakatan itu.

Semua itu wujud selepas PR ditubuhkan pada 1 April, 2008 berikutan pilihan raya umum tahun itu, dengan dasar rangka kerja bersamanya disediakan pada 19 Disember, 2009.

"Hari ini semuanya itu tidak lagi wujud dan ini bermakna PR tidak lagi berfungsi," kata Saifudin yang juga bekas setiausaha agung PKR.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man malam tadi yang PR masih hidup seperti mana terbukti melalui sokongan dan kerjasama politik di Selangor dan Kelantan.

"PR tanpa DAP adalah platform politik yang masih utuh dan kekal sehingga kini. PR masih lagi wujud," katanya.

Timbalan presiden parti Islam itu berkata, PAS dan PKR mengadakan pertemuan minggu lalu dan mereka bersetuju menyusun semula kekuatan antara mereka.

Tetapi Saifuddin hari ini berkata, pemahaman Tuan Ibrahim mengenai apa yang dibincangkan dalam mesyuarat itu mungkin berbeza.

Saifuddin berkata, PKR mengadakan 4 pertemuan dengan PAS setakat ini, dan semuanya diketuai Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Katanya, tidak ada satu pun mesyuarat itu yang turut dihadiri Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Namun, tiada sebarang keputusan politik pernah dibuat ketika mesyuarat itu melainkan sekadar bertukar-tukar pandangan perihal isu semasa, kata Saifuddin, sambil menambah, menjadi dasar PKR mengekalkan pendekatan terbuka dan inklusif dengan semua parti yang bertekad menumbangkan Umno-Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

"Pernah dalam satu pertemuan yang saya turut hadir, PKR mencadangkan PAS dapat bersetuju dengan 'formula satu lawan satu' dan perwakilan PAS meminta untuk kembali membincangkan idea itu dalam mesyuarat pimpinan utama parti.

"Idea ini, jika dipersetujui PAS, boleh dilaksanakan melalui satu 'electoral pact’ dan bukannya Pakatan Rakyat, seperti yang Tuan Ibrahim fahami," katanya.

Saifuddin berkata, Pakatan Harapan kemudiannya ditubuhkan sebagai sebuah gabungan baharu di antara PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah), sebuah parti serpihan diterajui pemimpin PAS progresif yang ditewaskan pada pemilihan parti pada Jun lalu.

"Rasional penubuhannya ialah berlaku kelompangan yang perlu diisi segera demi memberikan pilihan alternatif kepada rakyat. PAS turut dijemput menganggotainya tetapi masih belum bersedia ikut serta," katanya.

PAS enggan menyertai pakatan baharu itu, mengatakan ia tidak lagi boleh bekerja dengan DAP selepas memutuskan hubungan dengan bekas sekutunya itu, dan kerana pemimpin Amanah adalah "pengkhianat" kerana meninggalkan PAS.

Sehubungan itu, Saifuddin berkata, keutamaan sekarang ialah memperkemaskan Pakatan Harapan dan hasilnya semakin dapat dilihat.

Mesyuarat pertama Majlis Presiden Pakatan Harapan diadakan pada 19 Oktober lalu, disusuli pengumuman belanjawan alternatif mereka oleh Dr Wan Azizah selaku ketua pembangkang pada 21 Oktober.

Kenyataan bersama pimpinan Pakatan Harapan juga dibuat, menyentuh pelbagai isu semasa, manakala jelajah Pakatan Harapan ke seluruh negara dilancarkan di Labis Johor pada 9 Oktober, 2015.

"PKR komited dengan usaha Pakatan Harapan untuk turun menemui rakyat dan menerangkan pelbagai perkembangan isu yang membabitkan kepentingan rakyat terbanyak.

"Pada masa sama 'engagement' dengan PAS diteruskan kerana sedar pentingnya seluruh tenaga dan potensi parti pembangkang, termasuk dari Sabah dan Sarawak, digembleng ke arah menumbangkan pemerintahan BN," katanya.

Sehingga itu, katanya, satu-satunya pakatan politik yang PKR terlibat memeterai perjanjian ialah Pakatan Harapan, dan perundingan ke arah melaksanakan 'formula satu lawan satu' dengan BN membabitkan parti lain termasuk PAS akan diteruskan. – 25 Oktober, 2015.

23 October 2015

Penjawat awam dapat RM500, pesara RM250

Kerajaan akan memberikan pemberian khas sebanyak RM500 kepada kira-kira 1.6 juta penjawat awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, sebanyak 700,000 pesara kerajaan pula akan menerima bayaran khas RM250.

“Kedua-dua bayaran ini yang berjumlah hampir RM1 bilion akan dibuat pada bulan Januari 2016,” katanya ketika membentangkan Bajet 2016 bertemakan 'Mensejahtera Kehidupan Rakyat' di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan bersetuju menambah baik beberapa perkara bagi menghargai sumbangan dan khidmat bakti kakitangan perkhidmatan awam.

Ini termasuk menetapkan gaji permulaan terendah dalam perkhidmatan awam kepada RM1,200 sebulan yang akan memanfaatkan 60,000 penjawat awam, selain menambah baik 252 skim perkhidmatan yang bermanfaat kepada 406,000 penjawat awam.

“Kerajaan juga bersetuju menetapkan kadar pencen minimum RM950 sebulan yang melibatkan hampir 50,000 pesara awam dengan sekurang-kurangnya 25 tahun tempoh perkhidmatan,” katanya.

Selain itu, Najib berkata, kerajaan akan memberi faedah pemindahan gaji bersamaan satu kenaikan gaji tahunan mengikut gred, yang akan memanfaatkan 1.6 juta penjawat awam dengan peruntukan RM1.1 bilion.

Tambah beliau, pegawai lantikan ‘Perkhidmatan Kontrak’ yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun dalam perkhidmatan awam juga akan dilantik secara tetap.

Kesemua pelaksanaan itu dengan peruntukan sebanyak RM1.4 bilion akan berkuat kuasa 1 Julai 2016, katanya.

- Bernama

Ummu Jah meninggal dunia malam tadi

JITRA - Balu kepada Allahyarham Ashaari Muhammad, Hatijah Aam dilaporkan meninggal dunia pada kira-kira jam 7.45 malam tadi.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, berkata, Allahyarhamah menghembus nafasnya yang terakhir di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU), Kedah Medical Centre (KMC) di Alor Setar.

Semasa hayatnya, Hatijah adalah Pengerusi Global Ikhwan Sdn Bhd  GISB dilaporkan meninggal dunia akibat serangan stroke.

Beliau yang menerima rawatan di KMC sejak 16 Oktober  lalu dijangka disembahyangkan esok di Masjid Mustaqim, Bandar Darulaman,  di sini, sebelum dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Putat, Batu 20, Jalan Kodiang.

Pada 9 November 2013, Hatijah atau dikenali Ummu Jah bersama 300 pengikut GISB melafazkan taubat kerana melanggar arahan mufti yang mengharamkan ajaran kumpulan al-Arqam dalam satu majlis anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Beliau melafazkan taubat dan menandatangani dokumen pengisytiharan taubat dihadapan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Tan Sri Abdul Shukur Hussein; Timbalan Mufti Jabatan Mufti Selangor, Datuk Abdul Majid Omar dan Pengarah Jais, Datuk Marzuki Hussin.
al-Fatihah

S Harian

22 October 2015

Pengurus akaun didakwa guna kad ATM pengasas D'Herbs keluarkan RM4500

Ampang: Pengurus akaun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tiga pertuduhan menggunakan kad ATM milik pengasas produk kesihatan terkenal D'Herbs, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman hingga menyebabkan kerugian RM4,500.

Hasliani Hashim , 36, bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali.

Tertuduh didakwa dengan curangnya melakukan tiga kesalahan capaian tanpa kuasa mengeluarkan wang tunai menggunakan kad ATM Al Rajhi milik Aliff Syukri berjumlah RM4,500.

Hasliani didakwa melakukan perbuatan itu di mesin ATM Bank Al Rajhi, Setia City Mall, Setia Alam pada 30 Julai lalu.

Tertuduh diwakili peguam MK Thas.

Bagi perbuatan itu, Hasliani didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 yang membawa hukuman denda RM150,000 atau penjara maksimum sepuluh tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. - HMetro

21 October 2015

Speaker mahu lihat senarai sokongan sebelum benar undi tak percaya dibahas

Pihak pembangkang sepatutnya menghantar senarai ahli Parlimen yang menyokong undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Najib Razak sebagai salah satu cara untuk meluluskan usul tersebut di Dewan Rakyat, kata Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Speaker Dewan Rakyat itu berkata, sekiranya pihak pembangkang menghantar senarai tersebut, beliau boleh mempertimbangkan kemungkinan usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri dibahaskan.

"Siapa sahaja boleh membawa usul tersebut, namun perlu ikut peraturan mesyuarat 26 dan 27 dan ia perlu notis.

"Kalau itu dipenuhi, maka kita boleh letak dalam peraturan mesyuarat tetapi tidak semestinya setiap usul, terutama yang dibawa bukan kerajaan akan dapat dibahas.

"Kerana kita kena lihat peraturan mesyuarat 15," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini. – TMI

Bekas pengikut al-Arqam penuhi ruangan ICU

Ummu Jah
ALOR SETAR – Ramai bekas pengikut kumpulan al-Arqam yang diharamkan mula memenuhi ruang menunggu di bilik Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital swasta, di sini, hari ini.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kebanyakannya mula menunggu seawal jam 8.30 pagi untuk menziarahi balu bekas pemimpin al-Arqam, Allahyarham Ashari Muhammad yang kini dalam keadaan tenat.

Hatijah Aam atau lebih mesra dengan panggilan ‘bonda Ummu Jah’ dimasukkan ke sebuah hospital di Australia Khamis lalu sebelum dipindahkan ke hospital berkenaan pada Sabtu.

Doktor yang merawatnya mengesahkan bahawa Ummu Jah mengalami koma akibat kematian otak (brain death) dan terpaksa bergantung kepada mesin bantuan pernafasan.

Menurut sumber, keadaan Ummu Jah kini masih tenat dan tidak menunjukkan sebarang perkembangan positif berbanding hari sebelumnya.

“Hospital masih menanti keputusan ahli keluarga terdekat untuk menghentikan mesin bantuan pernafasan itu sebelum menghantarnya pulang ke Kampung Temalang, Mukim Putat, Jitra,” katanya kepada Sinar Harian.

Semalam, Sinar Harian melaporkan keadaan Ummu Jah berada dalam keadaan tenat di sebuah hospital swasta di Alor Setar.

Ummu Jah sebelum ini berada hampir empat bulan di Australia atas urusan kerja dan bertemu bekas pengikut kumpulan berkenaan.

Bagaimanapun, keadaan kesihatannya kurang memuaskan sebelum dimasukkan ke sebuah hospital di sana. - SH

Penguat kuasa tagih wang haram

PUTRAJAYA – Harap­kan pagar, pagar makan padi. Demikian tindakan 15 pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) dan seorang pegawai polis yang mengambil rasuah daripada tauke-tauke rumah urut yang beroperasi di sekitar Selangor.

Tindakan tidak amanah dan jahat kumpulan penguat kuasa terbabit terbongkar apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang me­lakukan penyamaran dan risikan menerusi Ops Pantul berjaya memberkas 15 pegawai PBT dan seorang pegawai polis berpangkat inspektor.

Semua 15 pegawai PBT itu bertugas di dua buah PBT di Selangor manakala pegawai polis terbabit pula memegang jawatan sebagai Ketua Polis Balai di negeri sama.

Turut diberkas dalam Ops Pantul itu ialah seorang orang awam yang dipercayai menjadi orang tengah kepada pegawai penguat kuasa yang diberkas.

Suspek-suspek yang berusia 20-an hingga 50-an itu didakwa menerima suapan antara RM200 hingga RM600 sebulan bagi setiap seorang melibatkan pusat-pusat urut haram yang setakat ini didapati diuruskan dua tauke. Bagaimanapun, bagi mendapatkan lesen membuka pusat urut, pemohon dikatakan perlu membayar wang rasuah antara RM30,000 hingga RM60,000.

“Transaksi wang ra­suah itu berlaku sama ada penguat kuasa itu ketika melakukan ‘lawatan’ ke premis-premis tersebut atau tauke-tauke pusat urut itu memasukkan wang ke dalam akaun suspek,” kata satu sumber SPRM di sini semalam. - Kosmo

Lupakan undi tidak percaya, guna bajet singkir PM, kata pengerusi BNBBC

Tindakan tidak teratur pembangkang dalam mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Najib Razak menyebabkan ahli Parlimen veteran Umno menasihatkan mereka agar melupakannya dan sebaliknya menyingkirkan perdana menteri melalui Bajet 2016.

20 October 2015

Tidak benar dakwaan yang menyatakan fatwa dari Prof Yusuf Al Qardawi bahawa AMANAH adakah haram

1. Saya telah mengetuai misi Antarabangsa Amanah ke Doha, Qatar Dan Istanbul, Turki dari 13hb Oktober hingga 18 Oktober, 2015. Misi ini bertujuan untuk memposisi dan memperkenalkan Amanah dikalangan gerakan Islam Antarabangsa .

2. Bersama saya ialah Ust Abd Ghani Shamsuddin, Timbalan Penasihat Umum Amanah dan Hj Asmuni Awi, Bendahari Amanah.

3. Semasa di Doha, Qatar 13hb Oktober, 2015, kami telah mengadakan pertemuan dengan Prof Ali Alqaradaghi , Setiausaha Agong Kesatuan Ulamak Islam SeDunia. Pertemuan hampir 2 jam itu antaranya adalah memperkenalkan kewujudan Amanah. Perbincangan kami amat mesra dan saling bertukar pandangan dan memperjelaskan beberapa isu yang dibangkitkan mengenai Amanah.

4. Kami juga telah bertemu dengan Sheikh Ibrahim Munir , Setiausaha Agong Ikhwanul Muslimin semasa di Istanbul, Turki. Diakhir pertemuan beliau telah mencadangkan agar satu pertemuan diadakan diantara Amanah dan Pas dan mengesyorkan Prof Yusuf Qardawi menjadi pihak ketiga. Pertemuan ini diadakan pada 16hb Oktober, 2015.

5. YB Dato' Mujahid Yusuf Rawa pula telah bertemu sendiri dengan Prof Yusuf Qardawi di Doha, Qatar pada 18hb Oktober yang membawa mesej yang sama. Sekali lagi dimaklumkan bahawa usaha untuk mempertemukan Amanah dan Pas adalah dipersetujui dan dialu-alukan oleh Prof Yusuf Al Qardawi.

6. Oleh itu adalah tidak benar sama sekali dakwaan yang menyatakan fatwa dari Prof Yusuf Al Qardawi bahawa kewujudan Amanah adakah haram di Malaysia.

7. Saya sebagai mewakili Amanah mempertegaskan bahawa Amanah bersedia dan sentiasa terbuka untuk bertemu , berbincang dan komited untuk menyertai apa-apa perbincangan dengan mana-mana pihak demi kepentingan perjuangan Islam dan ummah seluruhnya.

8. Amanah juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada tokoh-tokoh ulamak dan gerakan Islam tersohor dunia yang menunjukan sikap terpuji serta mengambil pendekatan terbuka dan memberi peluang untuk berbincang dengan Amanah dan bukanya mengambil pendekatan mencerca dan menghukum sewenang-wenangnya.

Salahuddin Hj Ayub Timbalan Presiden Amanah Kuala Lumpur 19hb Oktober , 2015

Phahrolrazi serah notis tukar parti

ALOR SETAR - Adun Pangkalan Kundur, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi mengadakan kunjungan rasmi ke pejabat Speaker Dun bagi memaklumkan  pertukaran keahlian parti disertainya.

Notis makluman penghijrahan ke Parti Amanah Negara (Amanah)itu diserahkan sendiri kepada Speaker, Datuk Md Rozai Safian di Wisma Darul Aman, di sini.

Phahrolrazi berkata, surat bertarikh 7 Oktober itu ditandatangani Setiausaha Agung Amanah, Mohd Anuar Mohd Tahir.

“Surat ini diserahkan kepada Speker Dun Kedah supaya dapat mempertimbangkan kedudukan saya dalam Dun sebelum Mesyuarat Bajet Kedah 2016 berlangsung bulan hadapan,” katanya kepada media hari ini.

Menurutnya, perpindahan itu mungkin menyebabkan kedudukannya dalam Dun yang selama ini bersama Pas akan berubah bersama kumpulan Pakatan Harapan yang dianggotai oleh PKR dan DAP.

“Perkara itu terserah kepada bidang kuasa Speaker Dun yang tentukan. Saya pun belum tahu di mana saya akan ditempatkan.

“Buat masa ini, perubahan kedudukan dalam Dun hanya melibatkan saya seorang iaitu dari Adun Pas kepada Amanah,” katanya.

Mengulas mengenai kedudukan Ketua Pembangkang Dun, Phahrolrazi berkata ia masih kekal milik Pas kerana mendapat majoriti lapan kerusi pembangkang.

“Berbanding PH hanya ada tujuh kerusi iaitu satu dari Amanah, dua milik DAP dan empat disandang PKR,” katanya.

Sementara itu, Md Rozai mengesahkan menerima notis makluman itu kira-kira jam 11 pagi.

“Ya, saya menerima surat itu secara rasmi dari Phahrolrazi mengenai pertukaran keahlian parti disertainya dan akan pertimbangkan kedudukannya dalam Dun nanti,” katanya. - SH

Hentikan serangan jika bukan ancaman

ALOR SETAR - Pas tidak perlu takut dengan perkembangan positif Parti Amanah Negara (Amanah) jika beranggapan ia bukan saingan dan ancaman kepadanya.

Timbalan Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, sesiapa sahaja bebas menyertai Amanah berdasarkan amalan sistem demokrasi di negara ini.

“Mungkin sudah banyak kali diramalkan bahawa parti baharu tidak akan berpanjangan dan tidak menjadi ancaman kepada mereka (Pas).

“Saya fikir kalau ini bukan ancaman, maka Pas tidak perlu bimbang dengan perkembangan Amanah kerana saya melihat serangan yang dibuat agak teruk dengan pelbagai label,” katanya kepada media, hari ini.

Menurutnya, jika Pas mengakui Amanah bukan saingan mereka, maka biarlah parti Islam baharu itu berkembang tanpa sebarang gangguan.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa Himpunan Fastaqim di Kota Bharu, kelmarin, mengakui kewujudan Amanah bukan ancaman besar kepada Pas kerana sejarah membuktikan pada 1978, parti itu pernah berpecah sehingga sebahagian besar pimpinannya meletak jawatan dan kerajaan Kelantan tumbang.

Program yang dihadiri lebih 60,000 penyokong Pas dari seluruh negara itu diadakan bagi memupuk semangat istiqamah kepada ahli parti.

Mengulas mengenai program itu, Phahrolrazi menjelaskan bahawa Pas adalah sebuah parti yang berteraskan kepada ideologi doktrin.

“Menjadi kebiasaan untuk mereka mengadakan himpunan dari semasa ke semasa. Itu amalan biasa yang dilakukan Pas.

“Jika pertandingan pilihan raya berdasarkan himpunan teramai, maka Pas sudah menang dari sudut itu. Tetapi pilihan raya tidak berdasarkan kepada jumlah himpunan, ia berdasarkan jumlah undi,” katanya.

Pada perkembangan lain, Adun Pengkalan Kundor itu turut menegaskan bahawa tidak ada keperluan untuknya mengosongkan kerusi Dun yang dimenangi pada PRU13 lalu.

“Dari segi undang-undang tidak menghendaki saya mengosongkan kerusi jika berpindah kepada parti lain kecuali di Pulau Pinang sahaja yang perlu mengosongkan kerusi.

“Kita sudah beri banyak kali hujah mengenai tiada keperluan untuk berbuat demikian atas pertimbangan beberapa faktor penting,” katanya.

Ini kerana jika kerusi Dun dikosongkan ia sudah tentu perlu diadakan pilihan raya kecil (PRK) yang melibatkan pelbagai pihak dan kos tinggi.

“Rakyat beri mandat kepada kita dan ia berakhir sehingga Dun atau parlimen dibubarkan. Tetapi kalau kita melepaskan jawatan, bermakna kita menolak mandat yang diberikan rakyat.

“Ini bukan keputusan saya berseorangan, tetapi merupakan keputusan kolektif Amanah untuk tidak mengosongkan kerusi masing-masing,” katanya.

Phahrolrazi berkata, kemenangan mereka pada PRU13 lalu bukan mewakili Pas tetapi penyokong PR.

“Cuma PR tidak ada simbol tersendiri. Kalau ada simbol mungkin ia digunakan semasa pilihan raya.

“Ini hakikat yang perlu diterima kerana sebelum wujudnya PR, peluang untuk Pas menang sangat tipis berbanding hasil dalam pakatan yang dibentuk pada 2008,” katanya.

Menurutnya, kemenangannya itu bukan atas sokongan ahli Pas sahaja tetapi melibatkan penyokong PKR dan DAP yang merupakan parti komponen dalam PR. - SH

19 October 2015

Mahkamah arah Utusan bayar Anwar RM200,000

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan akhbar milik Umno Utusan Melayu (Malaysia) Bhd membayar RM200,000 bersama faedah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memfitnahnya.

Hakim Datuk Hue Siew Kheng juga memerintahkan Utusan dan Ketua Pengarangnya, Datuk Abdul Aziz Ishak selaku defendan membayar ganti rugi am dan ganti rugi teruk, masing-masing sebanyak RM100,000 kepada Anwar selaku plaintif.

Mahkamah juga memerintahkan kos guaman sebanyak RM8,000 dibayar oleh defendan.

Saman itu berhubung dua artikel yang diterbitkan syarikat penerbitan itu membabitkan temu bual Anwar dengan Perbadanan Penyiaran British (BBC) mengenai undang-undang homoseksual.

Hue ketika membuat keputusan itu berkata mahkamah mendapati artikel yang diterbitkan defendan dibuat dengan berniat jahat dan defendan telah gagal membuktikan pembelaan justifikasi dalam kes saman itu.

Beliau juga menolak usaha peguam Utusan, Firoz Hussein Ahmad yang mahu menimbulkan kesalahan terdahulu Anwar.

Peguam Anwar, N Surendran berkata penghakiman hari ini membuktikan bahawa akhbar milik Umno itu mengamalkan kewartawanan yang tidak bertanggungjawab.

“Vindikasi tunjukkan Datuk Seri Anwar difitnah Utusan Malaysia yang diketahui dimiliki sepenuhnya oleh Umno.

“Mereka masih mengulangi kes-kes seperti ini. Kita harap ini satu pengajaran. Ini bukan cara akhbar yang bertanggungjawab,”katanya kepada wartawan di luar mahkmah.

Pada 21 Januari 2013, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk V T Singham membenarkan tuntutan saman Anwar dengan memutuskan dua artikel yang diterbitkan Utusan Melayu pada 17 Januari 2012 berhubung temu bual Anwar dengan BBC, adalah fitnah.

Anwar memfailkan saman fitnah itu pada 10 Jan 2012 bagi menuntut ganti rugi RM50 juta atas dakwaan defendan telah menerbitkan dua artikel di muka depan dan muka surat 10 akhbar Utusan Malaysia, bertarikh 17 Jan tahun sama, berhubung temu bual beliau dengan BBC.

Beliau mendakwa pernyataan fitnah itu seolah-olah telah memberikan gambaran bahawa beliau adalah seorang pemimpin Muslim yang mempunyai pandangan yang tidak selari dengan ajaran Islam. - Mkini

18 October 2015

BR1M kurang kalau tak naikkan tol, kata Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib mempertahankan kenaikan kadar tol lebuh raya yang berlaku pada 15 Oktober lalu dengan alasan kerajaan terpaksa mengurangkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) jika tidak berbuat demikian.

Menurutnya, ini kerana kerajaan mempunyai wang yang terhad dan terpaksa memilih sama ada membayar pampasan kepada operator tol atau menyalurkan wang yang sama kepada rakyat melalui  BR1M.

"Anda tak naikkan tol, awak bayar pampasan, kurang wang untuk benda lain, kurang wang untuk BR1M.

"Jadi anda perlu buat keputusan kerana akan selalu ada imbal balik begini kerana dana yang terhad," katanya dalam ucapan pada Persidangan Perwakilan Nasional ke-44 Gerakan di Shah Alam, pagi ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap gesaan Gerakan agar kerajaan menaikkan jumlah bantuan BR1M dalam Bajet 2016.

Semalam, Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang menggesa operator laluan bertol di negara ini yang tiada laluan alternatif agar memberikan diskaun kepada penggunanya demi mengurangkan beban kos sara hidup mereka.

Berkuat kuasa 15 Oktober lalu, beberapa syarikat konsesi lebuh raya utama mengumumkan kenaikan kadar tol antara 10 sen dan RM6.

Ia melibatkan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Lebuhraya Kajang-SILK, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke), Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong (Smart), Lebuhraya KL-Kuala Selangor (Latar), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Kajang Seremban (Lekas), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Sprint dan Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga).

Pagi ini pula, Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong menggesa Putrajaya agar meningkatkan jumlah pemberian BR1M yang dianggap terus relevan dalam suasana ekonomi masa kini.

"Menentang kritikan terhadap BR1M, Gerakan masih merasakan BR1M adalah tepat, sama seperti skim-skim yang serupa turut dilaksanakan di negara maju seperti Singapura dan Hong Kong.

"Malah Gerakan menggesa supaya bayaran BR1M dinaikkan, di samping langkah-langkah yang lebih berkesan dilaksanakan dengan tujuan untuk mengawal dan mengurangkan kenaikan kos," katanya. - TMI

Pas belum nyata pendirian usul tak percaya Najib

KOTA BHARU - Pas  belum menyatakan secara jelas sama ada mahu menyokong atau menolak sekiranya usul  undi tidak percaya dibuat terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang parlimen bermula 26 Oktober ini.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya ingin melihat dahulu usul tersebut sebelum membuat ketetapan.

“Kita tunggu dan lihat  apa yang kewajarannya, pernah  usul ini  beberapa tahun lalu dibawa,”katanya semasa  sidang media selepas Program Himpunan Fastaqim (H60K) di Stadium Sultan Muhammad IV semalam.

Program itu dikatakan berjaya mengumpul lebiH 100 ribu penyokong dari seluruh negara.

Sementara itu, Hadi ketika ditanya adakah wajar usul itu itu dibawa, Ahli Parlimen Marang itu berkata, “kita lihat hujah mereka”

Dalam perkembangan lain,  beliau berkata, Pas  tidak menolak kemungkinan  akan menambah bilangan calon sama ada di peringkat Dun dan Parlimen dalam PRU 14.

“ Kita akan tambah kerusi dan tambah kemenangan,”katanya. - SH

Sultan Johor miliki trak Mack termahal di dunia





MELBOURNE: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mencapai impiannya memiliki trak 'Mack' termahal di dunia, pada majlis penyerahan yang diadakan di King George Square di pusat perniagaan Brisbane.

Trak mewah itu mengambil masa setahun untuk disiapkan di ibu pejabat pengeluar Wacol, di barat daya Brisbane.

Menurut laporan ABC News, trak itu memiliki beberapa keistimewaan, termasuk dilengkapi enam kamera litar tertutup, dua set televisyen berskrin rata, ruang dapur, barbeku, katil kelamin dan kerusi bersulamkan 72,000 jahitan benang emas.

Ia juga mempunyai perhiasan hud harimau bersadur emas.

"Ini impian beta," titah baginda mengenai trak mewah itu.

Harga trak itu dirahsiakan, tetapi harganya kini dipercayai lebih mahal berbanding sebelum ini yang bernilai A$481,000 (lebih RM1.985 juta) kerana ditempah khas.

Baginda gembira dengan hasil akhir trak itu.

"Beta sentiasa menghargai kemahiran kejuruteraan Australia dan mengumpul beberapa kereta Holden sejak beberapa tahun lalu.

"Beta tidak sabar untuk mempamerkan hasil buatan ini kepada rakyat Johor sebaik sahaja trak mewah ini dibawa masuk," titah baginda.

Sultan juga menitahkan trak mewah itu menunda bot berkuasa tinggi baginda ke seluruh negeri dengan lokasi pertama pemanduan pada acara larian amal hujung bulan ini. - BERNAMA




Najib gesa jangan jadikan 1MDB platform tukar kerajaan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggesa agar isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak digunakan sebagai platform untuk menukar kerajaan.

Pas tolak formula agihan kerusi DAP

KOTA BHARU - Pas menolak cadangan pembahagian kerusi yang dicadangkan bekas rakan sekutunya dalam pakatan pembangkang, DAP, untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.
  
Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu akan bertanding di seluruh negara, malah akan menambah jumlah kerusi yang akan ditandinginya.
  

17 October 2015

Saifuddin tak yakin rakyat percaya laporan Audit Negara mengenai 1MDB

Bekas pemimpin Umno, Datuk Saifuddin Abdullah ragu-ragu orang ramai akan percaya dengan dapatan laporan Ketua Audit Negara mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang dijadualkan siap hujung tahun ini.

TMJ beri amaran Johor boleh keluar Malaysia jika perjanjian tidak dipatuhi

Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan semua negeri termasuk Johor mempunyai hak untuk menarik diri dari Malaysia jika mana-mana terma dalam perjanjian antara Johor dan Persekutuan Tanah Melayu tidak dipatuhi.

14 October 2015

PAS Selangor tolak kerjasama dengan Perkasa

Tidak sampai 24 jam selepas PAS dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Kebangsaan (Perkasa) dilaporkan memeterai kerjasama membabitkan isu yang menyentuh kepentingan Islam dan Melayu, ia menerima 'tentangan' dari dalam parti Islam itu sendiri.

PAS-PERKASA kerjasama, Hadi-Ibrahim berpelukan

PAS hari ini mengumumkan parti Islam itu kini bersetuju bekerjasama dalam tiga isu dengan kumpulan pendesak Melayu PERKASA.

12 October 2015

Chang, Khairuddin didakwa cuba sabotaj ekonomi Malaysia

Peguam Matthias Chang dan bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan melakukan cubaan mensabotaj ekonomi, sistem kewangan dan perbankan Malaysia.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Paris, United Kingdom, Hong Kong dan Singapura di antara 28 Jun dan 26 Ogos tahun ini. - TMI

Shafie: Henti hina rakyat, heret pesalah 1MDB ke mahkamah

Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal hari ini, mengikut jejak langkah Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, menggesa tindakan undang-undang diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab berkaitan kegagalan 1MDB.

Perwakilan MCA gesa Najib berundur berhubung skandal RM2.6b

Selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) Pemuda MCA, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dan skandal RM2.6 bilion sekali lagi menjadi isu panas di AGM MCA.

11 October 2015

Akibat leka main Facebook, anak mati lemas

YORKSHIRE - BRITAIN. Gara-gara leka melayari laman sosial Facebook, seorang ibu dipenjara selepas kecuaianya itu menyebabkan anaknya mati lemas.

Pemilik rumah No 8 diminta berhati-hati bimbang diculik

KUALA LUMPUR: Sekumpulan penculik hanya menyedari mereka tersilap sasaran selepas beberapa minit melarikan mangsa dan bertindak mengarahkannya keluar dari kereta.

Tun M tidak sihat, alami demam dan sakit dada

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dilaporkan tidak sihat selepas mengalami demam, sakit dada serta batuk.

Pengasas MyPerintis, Datuk Lawrence Low Kah Guan memaklumkan berita itu di laman web MyPerintis, semalam.

“Saya baru mendapat panggilan daripada pejabat Tun Mahathir bahawa beliau sedang demam, sakit dada serta batuk.

“Kami terpaksa menangguhkan pelancaran esok (hari ini) kepada tarikh yang akan diumumkan kelak. Mari kita berdoa untuk kesembuhan Tun. Maaf atas kesulitan,” katanya.

Sebelum ini, Tun Mahathir dijadualkan untuk melancarkan program Pertubuhan MyPerintis di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, jam 10 pagi tadi. - SH

09 October 2015

Mahathir: Malaysia sudah jadi negara paria

Selepas seorang lagi ditahan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dalam isu berkaitan 1MDB, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengeluarkan kenyataan kerasnya.

Bank Negara batal 3 kebenaran kepada 1MDB

KUALA LUMPUR - Bank Negara telah membatalkan tiga kebenaran yang diberikan kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 (ECA) terhadap pelaburan di luar negeri bernilai AS$1.83 bilion (RM7.52 bilion).

'Segera bawa pelaku ke muka pengadilan'

MARANG - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang ditemui di Klinik Kesihatan Bukit Payong di sini, amat terkejut dengan kejadian yang menimpa bekas Adun Alur Limbat, Alias Abdullah, 51, hari ini.

'Sebolehnya saya mahu kekal dalam PAS hingga mati'

Bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa berkata, beliau masih lagi ahli PAS dan seboleh-bolehnya akan kekal menjadi ahli parti itu sampai mati.

Dua pegawai kastam parah dirempuh tonto


PADANG BESAR - Dua pegawai kastam dilaporkan parah selepas dilanggar sebuah kereta yang dipercayai tonto ketika melakukan operasi melibatkan sindiket penyeludupan minum keras jam 4 pagi tadi.

Obama minta maaf ekoran serangan maut AS di Afghanistan

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama kelmarin menghubungi Ketua Doktor Amal Perubatan Tanpa Sempadan (MSF) untuk meminta maaf berikutan serangan udara maut AS ke atas sebuah hospital di bandar Kunduz, Afghanistan. 

1MDB kesal gambaran Muhyiddin tentang mereka ‘mengelirukan’

1Malaysia Development Berhad (1MDB) kesal dengan kenyataan bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan syarikat itu yang didakwa "mengelirukan".

08 October 2015

Bekas setpol Dr Mahathir mogok lapar buktikan Najib ‘pengecut’

Bekas setiausaha politik Tun Dr Mahathir Mohamad, Matthias Chang memulakan mogok lapar sebagai protes kepada pentadbiran Datuk Seri Najib Razak selepas ditahan polis mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) 2012.

Peguam Khairuddin juga ditahan Sosma hari ini

Peguam Matthias Chang ditahan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) hari ini.

Melalui SMS kepada Malaysiakini, Chang berkata beliau ditahan bawah seksyen sama dengan anak guamnya Datuk Khairuddin Abu Hassan.

07 October 2015

Imam masjid rentung di LPT 2

KEMAMAN – Seorang pemandu lori yang membawa muatan minyak petrol dan diesel maut apabila ken­deraannya terbalik dan terbakar di Kilometer 315 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Kerteh di sini pagi semalam.