05 August 2014

PKR desak PAS hormat hak mereka tentukan MB Selangor

PKR meminta PAS menghormati hak mereka untuk menentukan calon pengganti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor. Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR pada 21 Julai sudah menetapkan presiden mereka Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti Khalid.

"Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat pada 23 Julai lalu yang turut dihadiri pemimpin tertinggi PAS bersetuju untuk menghormati hak PKR untuk menentukan calon MB Selangor. "Jadi tidak timbul mana-mana pemimpin PKR yang dimahukan PAS sebagai calon kompromi sebagai MB Selangor," kata Saifuddin kepada The Malaysian Insider.

Akhbar berbahasa Cina baru-baru ini melaporkan pemimpin PAS sudah menamakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ijok Dr Idris Ahmad sebagai calon kompromi untuk memecah kebuntuan berhubung calon menteri besar Selangor. Memetik sumber PKR, Sin Chew melaporkan parti itu akan menamakan doktor perubatan itu sebagai calon kompromi untuk mengakhiri krisis tersebut yang mungkin memecahkan Pakatan Rakyat (PR).


 "Apabila pemimpin tertinggi PAS sudah bersetuju, PKR berhak menentukan siapa calon menteri besar Selangor, tidak timbul isu ketua cawangan PAS Selangor atau PAS Selangor setuju atau tidak. “Sehingga hari ini, PKR hanya ada satu nama sebagai pengganti Khalid iaitu Dr Wan Azizah," kata Saifuddin. Menurut laporan Sin Chew, Khalid tidak mempunyai bantahan sekiranya Dr Idris dijadikan menteri besar dan Istana Selangor dijangka tidak akan membantah sekiranya Adun Ijok itu dinamakan.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok sebelum ini dipegang oleh Khalid sehingga Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Dr Idris yang mempunyai klinik di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur dilihat sebagai pemimpin tanpa kontroversi dan dihormati pemimpin PKR dan menyertai politik semasa gerakan reformasi dulu.

 Pemimpin PAS juga mengharapkan pemilihan Idris yang berasal dari Selangor akan melembutkan kedegilan Khalid untuk terus kekal berkuasa. Sin Chew melaporkan, pemilihan Dr Idris akan melembutkan golongan konservatif PAS yang tidak boleh menerima wanita sebagai pemimpin negeri terkaya Malaysia itu. Laporan tersebut mengatakan, kebimbangan utama PKR untuk menjadikan Dr Idris sebagai calon adalah tentangan daripada penyokong Timbalan Presiden PRK Mohamed Azmin Ali.

 Pada Sabtu, The Malaysian Insider memetik sumber mengatakan terdapat usaha mencari calon alternatif kepada Dr Wan Azizah untuk jawatan tertinggi Selangor itu. Seorang pemimpin PKR sudah dikenal pasti tetapi tidak boleh dinamakan sehingga konsensus dicapai di antara PKR, DAP dan PAS. Sumber itu turut memberitahu The Malaysian Insider, nama Azmin turut dicadangkan tetapi ditolak oleh kebanyakan pemimpin PAS.

“Calon ketiga haruslah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR, pengikut setia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seorang yang boleh diterima MB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim,” kata sumber dan menambah, rekod pencapaian yang baik juga diambil kira. Krisis menteri besar Selangor menimbulkan pergolakan dalam PR selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyokong secara terbuka agar Khalid kekal sebagai menteri besar sebelum parti itu berbincang pada 10 Ogos sama ada mahu menyokong Dr Wan Azizah atau tidak.

Krisis bertambah buruk apabila perbincangan mesej kumpulan WhatsApp Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat yang mencadangkan parti Islam itu keluar PR tersebar. Perbincangan WhatsApp itu mendedahkan Dr Mohd Zuhdi Marzuki mencadangkan kemungkinan PAS bekerjasama dengan Umno untuk menubuhkan kerajaan perpaduan dan pada masa yang sama mengekalkan Khalid sebagai menteri besar.

PAS sendiri berpecah dalam isu menggantikan Khalid dengan Dr Wan Azizah kerana dua sebab: beliau seorang wanita yang menyebabkan beberapa pemimpin negeri tidak selesa dan beliau tidak boleh membuat keputusan kerana Anwar adalah suaminya. – 5 Ogos, 2014.

1 comment:

  1. Bangang punya Saifuddin. Pas kan dah dua kali setuju PKR lantik MB Selangor dari partinya. Dah dua kali PKR pegang jawatan MB. Sekarang PKR tak boleh lagi minta Pas sokong. Cukuplah dua kali....berapa kali mahu minta daah. Pas bukan cawangan PKR. Kalau PKR ada nama calon cadangan; Pas pun berhak letak calon sendiri. Itu baru adil. Lagipun kalau bagi jawatan MB itu pada PKR, masaalah tak juga selesai; sebab perangai PKR berebut2 jawatan ni dah jadi darah daging; DNA umno ni susah nak padam.

    ReplyDelete