12 August 2014

Majoriti Adun Pakatan Selangor tandatangan surat sokong Wan Azizah jadi MB

Sekurang-kurangnya 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat (PR) sudah menandatangani Akuan Berkanun (SD) menyatakan hilang kepercayaan terhadap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan memberikan sokongan kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti menteri besar Selangor.

Semua 15 Adun DAP, 13 PKR dan 4 Adun PAS menandatangani SD tersebut, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap Khalid yang mengatakan memiliki sokongan majoriti selepas menghadap Sultan Selangor semalam. Sumber daripada DAP dan PAS memberitahu The Malaysian Insider dengan kenyataan bersumpah itu, sangat tidak logik apabila Khalid mengatakan dirinya masih memiliki sokongan.


Terdapat 56 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor. Pemimpin DAP mengesahkan semua Adun Selangor mereka sudah menandatangani SD pada Ahad tetapi buat masa sekarang tidak merancang menggunakannya secara terbuka untuk mendesak Khalid meletakkan jawatan.

Sementara Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail tidak mengesah atau menafikan kewujudan SD tersebut apabila dihubungi The Malaysian Insider. "Kami akan keluar kenyataan selepas ini dan pemimpin parti perlu dirujuk," kata Saifuddin apabila ditanya mengenai SD tersebut. Saifuddin berkata, perbincangan perlu dilakukan secara teliti sebelum mengeluarkan sebarang pendirian selepas perkembangan terkini krisis di Selangor.

Adun Kampung Tunku daripada DAP Lau Weng San yang dihubungi The Malaysian Insider berkata mekanisma tersebut ada dibincangkan tetapi perlu menunggu arahan daripada pusat. Sumber dalaman PAS juga mendedahkan empat Adun mereka sudah menandatangani SD tersebut. Khalid semalam berkata beliau memberikan penjelasan kepada Majlis Dewan Diraja Selangor dan Sultan Selangor mengenai kedudukannya sebagai menteri besar.

"Saya jelaskan di sebalik pemecatan sebagai ahli PKR saya masih memperoleh kepercayaaan majoriti ahli Dewan," kata Adun Pelabuhan Klang itu dan menambah Sultan berpuas hati dengan penjelasannya dan memberi perkenan agar beliau terus menjadi menteri besar Selangor. "Sehingga ada perkembangan terbaru, saya akan terus jalankan tugas,” katanya. Khalid dipecat daripada PKR kerana enggan memberikan laluan kepada Dr Wan Azizah untuk menggantikannya sebagai menteri besar Selangor.

PR kini mempunyai 43 kerusi daripada 56 kerusi DUN Selangor. PKR kini hanya tinggal 13 kerusi, PAS dan DAP 15 sementara Umno mempunyai 12 kerusi DUN. Khalid kini merupakan Adun bebas tetapi masih belum diketahui sama ada beliau akan menyertai parti lain dalam tempoh terdekat. Semalam PKR dan DAP mendesak Khalid membuktikan sokongan yang dimilikinya seperti dipersembahkan kepada Sultan Selangor dengan mengadakan sidang DUN tergempar.

Kedua-dua parti PR itu berkata, kenyataan Khalid mengatakan mendapat sokongan majoriti Adun Selangor meragukan. "Kenyataan Tan Sri Khalid Ibrahim kepada pihak istana, beliau mempunyai sokongan majoriti di DUN itu meragukan," kata kenyataan bersama yang ditandatangani Setiausaha Agung PKR Saifuddin dan Pengerusi DAP Selangor Tony Pua. – TMI

1 comment:

  1. Kan ana dah bilang takkan bubar adun jika UMNO tak yakin akan menang jika bertanding sekali lagi pilihanraya

    ReplyDelete