05 August 2014

Khalid Ibrahim diberi surat tunjuk sebab

PKR hari ini mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim kerana enggan meletakkan jawatan.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Datuk Dr Tan Kee Kwong berkata keputusan itu telah diambil atas arahan Biro Politik parti itu yang bermesyuarat Ahad lalu.

"Mesyuarat khas MPP (majlis pimpinan pusat) pada 21 Julai 2014 seterusnya telah membuat keputusan sebulat suara bahawa presiden PKR merangkap ADUN Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan menjadi menteri besar Selangor yang baru.


"Namun kenyataan media Tan Sri Khalid Ibrahim pada 22hb Julai 2014 secara terang-terangan telah mengingkari keputusan mesyuarat khas MPP tersebut dengan menyatakan keengganan beliau meletak jawatan menteri besar Selangor.

"Beliau (Khalid) perlu menjawab surat tunjuk sebab tersebut sebelum atau pada 8 Ogos 2014," kata Tan dalam kenyataan hari ini.

Menurut salinan surat itu, Khalid telah pun menerima perancangan parti yang diputuskan mesyuarat MPP pada 15 Januari untuk menggantikan melalui Langkah Kajang.

"Atas sebab-sebab tertentu yang menghalang beliau (Anwar) dari bertanding sebagai calon PRK (pilihan raya kecil) di Kajang, parti kemudiannya memilih presiden sebagai calon.

"Bagaimanapun matlamat 'Langkah Kajang' masih berterusan," surat itu dipetik.

Dalam mesyuarat Ahad lalu, biro politik PKR juga memutuskan supaya sesi penerangan bagi menjelaskan isu itu secara terbuka diadakan dan satu pertemuan antara Wan Azizah dan Khalid dibuat untuk menyelesaikan kemelut pentadbiran Selangor.

Bagaimanapun sumber dari pasukan Khalid menyatakan pertemuan mungkin tidak berlaku. - Mkini

No comments:

Post a Comment