18 July 2014

Saudara mara berang MAS lambat beri maklumat

Selepas menunggu selama tiga jam, anggota keselamatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadi sasaran ahli keluarga yang gelisah menunggu maklumat daripada MAS berhubung nahas MH17 di Ukraine.

"Jangan beritahu saya selepas tiga jam, anda masih tidak dapat
memberikan kepada kami senarai senarai penumpang," jerit seorang lelaki, yang enggan namanya disiarkan.

Menurutnya, saudara perempuannya, abang iparnya dan anak pasangan itu yang berusia dua tahun dalam penerbangan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam.

"Cuma berikan kami senarai itu supaya kita boleh mengesahkannya dan balik, kita tidak boleh berbuat apa-apa walaupun kita tunggu di sini," katanya.

Satu lagi sepasang adik-beradik juga berdepan dengan kakitangan keselamatan lapangan terbang itu selepas menunggu maklumat sejak jam 12.30 tengah malam tadi.

"Anda kata jam 2 pagi, kemudian 3 pagi, mana senarai penumpang? Saya tidak menyalahkan anda, anda kakitangan keselamatan, tetapi di mana MAS?" tanya seorang daripada mereka.

"Ini bukan kali pertama MAS mengendalikan sesuatu macam ini, di mana wakil-wakil MAS?" celah saudara perempuannya.

Pegawai keselamatan lapangan terbang hanya dapat meminta mereka bertenang dan berkata pegawai MAS sedang dalam perjalanan ke situ.

Kemudian, mereka yang mendapat tahu mengenai nahas itu melalui laporan Facebook, menyatakan kekecewaan mereka kepada pihak media tetapi enggan memberikan butir-butir peribadi.

"Facebook lebih cekap daripada MAS. Itu lucu. Ia (MAS) telah menjadi bahan ketawa. Betul-betul jadi bahan ketawa," katanya dengan marah.

"Malah Amerika Syarikat telah keluarkan  kenyataan, di mana MAS?" tambah saudara perempuannya. - Mkini

No comments:

Post a Comment