Tindakan
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih isterinya yang juga
Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri
besar Selangor baharu menunjukkan beliau seorang yang tidak memahami
perlembagaan negeri.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Noh Omar berkata
tindakan ketua pembangkang itu juga menunjukkan seolah-olah beliau
mempunyai kuasa penuh dalam menentukan kedudukan menteri besar dan
menguasai PAS dan DAP.
Beliau berkata untuk menukar menteri besar perlu ada dua perkara iaitu
menteri besar ketika ini (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) secara sukarela
meletak jawatan selain undi tidak percaya dalam Dewan Undangan Negeri
(DUN).
"Kita
lihat Khalid sampai sekarang cakap beliau tidak akan meletak jawatan
dan pada masa sama kita lihat kenyataan pemimpin parti politik dalam
pakatan pembangkang juga bercanggah antara satu sama lain," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Program Ihya Ramadan iM4U
yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di
Masjid Ar-Rahman, Kampung Sungai Manggis, Banting hari ini.
Semalam, PKR menamakan Dr Wan Azizah sebagai calon menteri besar
Selangor yang baharu menggantikan Khalid yang memegang jawatan itu sejak
2008.
Keputusan itu diumumkan Anwar pada sidang media di ibu pejabat PKR di
Petaling Jaya dekat sini, selepas mesyuarat majlis pimpinan pusat parti.
Khalid dalam satu kenyataan di sini hari ini bagaimanapun berkata
walaupun menghormati keputusan itu beliau berpegang teguh kepada enakmen
Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri yang menetapkan tatacara yang
khusus bagi pelantikan atau penggantian menteri besar.
Khalid berkata setakat ini beliau akan terus menjalankan tugas sebagai
menteri besar dengan penuh tanggungjawab, tekun dan amanah seperti yang
diamanahkan rakyat Selangor yang memilihnya melalui proses pemilihan
yang sah.
Mengulas lanjut, Noh berkata pertukaran menteri besar di Selangor tidak
boleh disamakan dengan apa yang berlaku di Terengganu berikutan negeri
itu (Terengganu) mempunyai dua parti utama dalam DUN iaitu BN dengan 17
kerusi dan PAS (14) manakala Selangor mempunyai empat parti iaitu PAS
dengan 15 kerusi, DAP (15), PKR (14) dan BN (12).
"Ertinya adakah 56 Adun di Selangor buat keputusan siapakah yang akan
menjadi menteri besar? Kita lihat Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar
Abdul Samad seperti menyokong Khalid dan Naib Pengerusi DAP negeri Datuk
Teng Chang Khim pun nampak sokong beliau (Khalid).
"Ini menunjukkan apa yang berlaku di Selangor hanyalah gimik politik
semata-mata dan membuktikan pakatan pembangkang lebih mementingkan
politik daripada menjaga kebajikan rakyat," katanya. – Bernama, 22
Julai, 2014.
otak udang telah berkata2..kah kah
ReplyDelete