31 May 2014

Zoleik miliki wajah baharu selepas tumor dibuang

BRATISLAVA - Tumor seberat enam kilogram (kg) yang terdapat pada leher seorang lelaki, Stefan Zoleik berjaya dibuang menerusi satu pembedahan di sebuah hospital baru-baru ini.
Menurut agensi berita Reuters, Zoleik menghidap penyakit yang dikenali sebagai Madelung itu sejak 10 tahun lalu.

"Ia (menghidap tumor itu) memang tidak menyenangkan. Tumor tersebut menyebabkan kehidupan saya terganggu setiap kali saya memusingkan kepala," katanya
Pembedahan untuk membuang tumor itu dilakukan di sebuah hospital dengan melibatkan masa selama lima jam.

Menurut Zoleik, wajahnya kini jauh lebih tampan sebelum tumor tersebut dibuang.
Dia menganggap pembedahan itu sebagai mengagumkan. - Agensi

Suspek bunuh kanak-kanak belum ditemui

KUALA LUMPUR: Pihak polis masih menggiatkan usaha untuk mencari seorang suspek yang dikatakan terjun ke dalam Sungai Klang di sini selepas membunuh dengan kejam seorang kanak-kanak perempuan bersusia dua tahun di tebing sungai itu Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Superitendan Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata usaha mencari lelaki itu yang dipercayai telah lemas, bermula dari kawasan berhampiran stesen minyak Petronas Brickfields menghala ke selatan. - BH

Kanak-kanak dibunuh kejam dipercayai akibat dendam

Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan mangsa dibawa oleh seorang lelaki sebelum ditemui mati di tepi Sungai Klang berdekatan Jalan Tun Sambanthan, Kuala Lumpur, kelmarin.

KUALA LUMPUR 30 Mei - Hanya kerana dendam, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun enam bulan, Siti Soffea Emelda menjadi mangsa kekejaman seorang lelaki tidak berhati perut yang tergamak menghentak kepala mangsa dengan serpihan seramik serta mengelar leher mangsa hingga putus.

Suspek turut dilihat cuba membaringkan mangsa dipercayai cuba untuk mencekiknya di tempat kejadian yang terletak berdekatan tebing Sungai Klang berhampiran Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM), Jalan Tun Sambanthan di sini, kira-kira pukul 9 malam tadi.

Bekas tentera mahu dapat makanan percuma cedera ditikam di George Town

Seorang bekas tentera cedera ditikam ketika mahu mendapatkan makanan percuma di hadapan sebuah hotel bajet di Lebuh Cinta, George Town pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata kejadian berlaku pukul 10.45 pagi setelah dikatakan berlaku pergelutan antara mangsa dengan penyerangnya.

MH370: Tiada cara lain, pencarian perlu bergantung kepada data INMARSAT- Kapten Nik

Ketua Juruterbang Penerbangan Serantau MAS, Datuk Kapten Nik Huzlan
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Juruterbang Penerbangan Serantau MAS, Datuk Kapten Nik Huzlan menyifatkan data dari firma satelit Britain, INMARSAT memainkan peranan penting dalam misi pencarian seterusnya pesawat Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Katanya tiada cara lain ketika ini, selain bergantung sepenuhnya kepada maklumat dari INMARSAT itu.

Nik Huzlan mengulas mengenai laporan Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) pada 29 Mei, yang menyimpulkan bahawa pesawat MH370 tidak hilang di kawasan empat isyarat ping dikesan sebelum ini.

Menurut Nik Huzlan, sekurang-kurangnya dengan adanya maklumat INMARSAT, penyiasat pasti pesawat hilang dari radar pada jam 2:15 pagi dan pesawat MH370 masih terbang di udara sehingga 8:19 pagi pada 8 Mac.

“Apabila kajian mendalam dibuat ke atas data tersebut, pihak tertentu telah mengunakan kesan Doppler untuk mengetahui arah MH370 setelah ia keluar dari kesan radar. Ini juga dipersetujui oleh pakar bebas yang meneliti data yang dikongsikan tempoh hari.

“Jadi data INMARSAT amatlah penting” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Nik Huzlan turut berpendapat pencarian seterusnya harus dibuat di lokasi awal pencarian yang dikenalpasti oleh data INMARSAT.

Beliau juga tidak yakin dengan beberapa khabar angin yang kononnya pesawat hilang bukan di lokasi dari maklumat yang dianalisis dari data INMARSAT.

"Pihak SAR sebelum ini, telah membuat kajian terperinci bersabit isu MH370 berada di Teluk Bengal atau Laut Cina Selatan dan berdasarkan fakta-fakta sedia ada yang diambilkira, saya bersetuju untuk tidak membuang masa mencari di tempat-tempat tersebut." katanya.

Dalam pada itu, Nik Huzlan mengharapkan agar keluarga mangsa tabah dan dapat maju ke hadapan tanpa ahli keluarga mereka yang hilang.

Oleh yang demikian beliau berharap agar pihak yang bertanggungjawab mengambil langkah yang lebih sensitif serta wajar dalam memberi pencerahan kepada kaum keluarga mangsa.

“Saya bersimpati terhadap pihak ahli keluarga mangsa yang masih menanti dengan penuh harapan dan saya berharap agar pihak tertentu tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap mereka yang menggunakan perkhidmatan MAS,” terang Nik Huzlan yang sudah mempunyai pengalaman lebih daripada 30 tahun dalam bidang penerbangan. - Astro

Kes gadis dirogol 38 lelaki di Kelantan jadi berita antarabangsa

Rumah kosong yang menjadi lokasi remaja berusia 15 tahun dirogol 38 lelaki di Kelantan, 20 Mei lalu. Gambar fail.
Berita seorang gadis 15 tahun dirogol oleh 38 lelaki kini menjadi bahan bacaan antarabangsa apabila disiarkan oleh laman Al-Jazeera hari ini.

Menurut Al-Jazeera, agensi berita Reuters memetik laporan media tempatan tentang peristiwa tersebut.
Kejadian itu berlaku apabila seorang gadis dipujuk memasuki sebuah rumah kosong yang menjadi tempat penagihan dadah di Kelantan 20 Mei lalu.

Semua lelaki itu bergilir-gilir merogol gadis itu. Polis juga menyiasat sama ada rakannya yang berusia 17 tahun juga dirogol.

Sehingga kini polis menahan 13 lelaki dan sedang memburu yang lain. Hampir semua lelaki itu positif dadah dalam ujian air kencing mereka.
"Apa yang mengecewakan saya adalah tidak ada seorang pun dari kampung itu mengesyaki apa-apa sedangkan rumah terdekat dengan rumah kosong itu hanya 20 meter sahaja," kata Ketua Polis Daerah Azham Othman, lapor Al Jazeera memetik sumber The Star.

Malam semalam, seorang kanak-kanak perempuan berumur dua tahun dibunuh dengan kejam apabila kepalanya dipenggal.
Ekoran kejadian ganas yang banyak berlaku sejak kebelakangan ini, pemimpin Islam termasuk dari PAS berhujah aktiviti jenayah yang berlaku disebabkan "kelemahan undang-undang buatan manusia".

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata kes tersebut membuktikan penjenayah tidak gentar atau gerun terhadap sistem perundangan yang ada.
"Keberkesanan sistem perundangan yang ada semakin diragui apabila kadar jenayah dalam negara tidak berhenti daripada terus meningkat," katanya dalam satu  kenyataan. – 31 Mei, 2014. - TMI

30 May 2014

PTD dinasihat lanjut pengajian peringkat sarjana

PUTRAJAYA - Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) digalakkan menyambung pengajian hingga ke peringkat sarjana, sama ada secara sepenuh masa ataupun separuh masa bagi meningkatkan pengetahuan dan kompetensi diri.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata kelayakan di peringkat ijazah sarjana akan menjadi satu keperluan pada masa depan demi kemajuan kerjaya seseorang PTD, selain kecemerlangan dalam perkhidmatan dan potensi untuk memegang jawatan yang lebih tinggi.

"Saya dimaklumkan bahawa daripada 990 PTD, kurang dari 10 peratus yang mempunyai ijazah sarjana ataupun  masters degree," katanya pada majlis Amanat KSN sempena urusan penyerahaan surat pentauliahan untuk pemangkuan dan penempatan PTD Ke Gred M44 di sini hari ini.

Pada majlis itu, 990 PTD menerima surat pentauliahan memangku jawatan Gred M44 daripada Ketua Setiausaha Negara.

Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal; Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad; Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk  Seri Zainal Rahim Seman dan Pengarah Bahagian Perkhidmatan JPA, Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman.

Beliau berkata daripada 1,060 PTD untuk lantikan tahun 2009 dan tahun sebelumnya, hanya 990 PTD berjaya memangku jawatan ke Gred M44 kali ini, sementara 12 PTD akan diberi pemangkuan setelah tamat cuti belajar.

Dalam pada itu, baki 58 PTD pula tidak layak untuk dipertimbangkan kerana pelbagai sebab, antaranya ialah belum disahkan dalam perkhidmatan, tidak diperaku oleh Ketua Jabatan, penilaian potensi yang lemah dan tindakan tatatertib, katanya.

Ali berkata PTD yang berjaya memangku gred M44 dan selepas disahkan kenaikan pangkat mempunyai peluang untuk dipertimbangkan untuk pemangkuan ke Gred M48 pula yang diperkenalkan kerajaan dalam program 'Fast Track' bertujuan menggilap bakat dan potensi penjawat awam.

"PTD berkenaan akan diletakkan di jabatan-jabatan yang strategik di dalam dan luar negara dan pada masa yang sama memberi mereka latihan secara berterusan dari segi pembangunan kepimpinan," katanya.

Menurut beliau penjawat awam juga perlu bersikap setia kepada kerajaan dan menjalankan tugas secara profesional dan tidak mengkritik setiap tindakan dan pelaksanaan dasar kerajaan kerana mereka merupakan tulang belakang kepada pembangunan negara. - Bernama

Lee Chong Wei Berpasangan dengan Lin Dan


29 May 2014

Pengesahan lafaz cerai Abby Abadi ditangguh ke 11 Jun

Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur hari ini menangguhkan permohonan pengesahan lafaz cerai yang difailkan pelakon Abby Abadi terhadap suaminya, Muhammad Noor Farhan Che Bakar yang dibuat melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin menetapkan 11 Jun ini untuk sebutan semula kes itu selepas Abby atau nama sebenarnya Arbaeyah Abdul Manan, 37, memaklumkan terdapat satu lagi lafaz cerai yang masih belum difail dan disahkan oleh mahkamah.

Dalam prosiding itu, Abby memaklumkan kepada mahkamah bahawa suaminya Muhammad Noor Farhan, 25, pernah memberitahu kepada rakannya bahawa mereka sudah bercerai pada Januari lalu.
Bagaimanapun, pelakon itu berkata beliau tidak pernah memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai itu kerana mereka sudah merujuk kembali dan perkara itu sudah dirujuk kepada ulama sebelum ini.

Kenyataan Abby itu mengejutkan orang ramai termasuk media yang berada di dalam galeri awam dan Shaiful Azli kemudian meminta supaya pelakon itu memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai tersebut secepat mungkin.

"Kalau kamu sudah berbaik semula pun, kamu tetap kena failkan permohonan itu kerana lafaz yang pertama itu perlu disahkan dan sekiranya lafaz itu sah, mahkamah khuatir jumlah talak bertambah," katanya.
Terdahulu, Abby selaku plaintif memberitahu mahkamah bahawa Muhammad Noor Farhan selaku defendan melafazkan cerai kepadanya melalui SMS yang tertera "Aku ceraikan kau" kira-kira jam 10.25 pagi pada 9 Mei lepas.

Menjawab lanjut soalan hakim, Abby yang pernah berlakon dalam drama bersiri "Gerak Khas", memberitahu mahkamah beliau turut menerima satu lagi rantaian SMS yang dihantar suaminya yang mengandungi ayat "Mulai hari ini kau dah tiada apa-apa hubungan dengan aku" selepas mereka berbalas SMS pada hari yang sama.

Abby, yang berada di dalam keadaan suci dan tidak mengandung ketika lafaz cerai itu dibuat, berkata SMS itu dihantar kepadanya selepas timbul perselisihan faham pada malam itu yang berlarutan hingga ke pagi berikutan suaminya itu tidak pulang ke rumah.

"Semasa saya terima SMS itu, saya berada di dalam kereta tetapi saya tidak ingat ada atau tidak membalas mesej itu untuk mendapatkan kepastian daripadanya dan kami hanya berkomunikasi melalui SMS," katanya sebak sambil menambah mereka tidak lagi tinggal sebumbung sejak lafaz cerai itu dibuat.

Dalam pada itu, Muhammad Noor Farhan yang kelihatan tenang bersetuju dengan penjelasan Abby dan mengesahkan beliau berada dalam keadaan waras dan menghantar SMS itu kepada Abby dengan niat untuk bercerai tanpa paksaan sesiapa.
Abby memfailkan permohonan cerai itu mengikut Seksyen 45 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Sejurus selesai kes, Muhammad Noor Farhan bergegas meninggalkan mahkamah sebelum pihak media sempat mendapatkan sebarang penjelasan berhubung kes itu.
Sementara itu, Abby ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata beliau tidak menyangka perkara itu berlaku sekelip mata dan berakhir dalam masa yang singkat.

"Saya sayang sangat-sangat padanya, namun saya tidak diberi ruang untuk bersemuka dan memperbaiki hubungan. Saya redha dengan ketentuan daripadaNya dan masih berharap ia dapat diselesaikan dengan baik," katanya yang hadir ke mahkamah dengan ditemani dua anak perempuannya.

Abby dan Muhammad Nor Farhan bernikah di Selatan Thailand pada 9 Julai tahun lepas di selatan Thailand selepas dua minggu berkenalan dan mendaftarkan perkahwinan mereka di Kelantan.
Abby pernah diceraikan oleh pelakon Norman Hakim di mahkamah yang sama pada 18 Disember 2008 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga orang anak. – Bernama, 29 Mei, 2014.

Nurul Izzah mohon hak penjagaan dua anaknya

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar memfailkan tuntutan hadhanah (hak penjagaan) terhadap dua anaknya yang berusia tujuh dan empat tahun di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Peguam Azmi Mohd Rais yang mewakili suaminya, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim, memaklumkan demikian ketika kes mereka disebut di dalam kamar Hakim Syarie Amran Mat Zain, di sini, hari ini.

Permohonan itu difailkan Nurul Izzah pada 30 April lalu melalui peguam Nor Mawaddah Ramli.

Peguam itu memfailkan permohonan dan dan menyerahkan dokumen berkaitan kepada defendan dan peguamnya pada 24 Mei lalu.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 Jun ini untuk sebutan semula kes itu.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Azmi berkata, mahkamah turut menetapkan tarikh itu bagi membolehkan Raja Ahmad Shahrir Iskandar selaku responden bagi menyempurnakan wakalah pelantikan peguam secara rasmi.

Azmi dan peguam Syarie Zulkifly Che Yong akan menyerahkan wakalah ekoran Raja Ahmad Shahrir tidak hadir kerana berada di luar negara.

Nurul Izzah, 34, anak sulung ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya itu awal Januari lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, pada awal Januari.
 
Seksyen itu menyentuh pembubaran perkahwinan yang memperuntukkan perceraian dengan talak atau dengan perintah mahkamah.

Nurul Izzah dan Raja Ahmad Shahrir berkahwin pada 9 Mei 2003 dan dikurniakan seorang anak perempuan berumur tujuh tahun dan seorang anak lelaki berusia empat tahun. - SH

Johor mahu tuntut Pulau Batu Putih

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri Johor diminta menubuhkan satu pasukan khas bagi membuat rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan Pulau Batu Puteh.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan tuntutan itu bagi terus mengekalkan pulau tersebut milik Johor.

Titahnya sempena pembukaan penggal persidangan kedua dewan negeri Johor yang ke-13, di Bukit Timbalan, di sini, hari ini. - SH

24 May 2014

Suri rumah didakwa sokong pengganas

KUALA LUMPUR 23 Mei - Seorang suri rumah berusia 54 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua tuduhan memberi sokongan terhadap berlakunya perbuatan pengganas melalui laman sosial Facebook, bulan lalu.

Azizah Md. Yusof berhadapan dengan hukuman penjara seumur hidup atau penjara sehingga 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniatkan untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu.

Walau bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripadanya setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin.

Ibu lima anak itu didakwa memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas melalui laman sosial Facebook bernama 'Wan Jah' dan 'Azizah Yusof'.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukannya di Bahagian E8, Cawangan Khas, Tingkat 24, Menara 2, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini kira-kira pukul 2 petang, 24 April lalu.

Pertuduhan tersebut dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan.
Wanita yang bertubuh kurus dan kecil serta berkaca mata dilihat tenang ketika jurubahasa membacakan pertuduhan kepadanya.

Sebelum prosiding bermula, wanita itu yang memakai tudung berwarna merah gelap dan kemeja T lengan panjang berbelang merah jambu serta berseluar panjang gelap bercorak bunga dilihat menangis apabila ahli keluarganya memeluk dan menciumnya yang ketika itu berada dalam kandang tertuduh.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes itu pada 30 Mei ini.

Terdahulu pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan semula seminggu dari hari ini sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Wanita itu yang ditahan oleh pihak polis pada 28 April lalu, diwakili peguam, Nadzarin Wok Nordin dan KC Suzanalena Salleh.

Pada 29 April lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan penahanan seorang suspek kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan militan mirip pengganas Al-Qaeda dan Jemaah Islamiah (JI) .

Wanita berusia 55 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan itu ditahan di kawasan Keramat di ibu negara pada pukul 4.40 petang.
Berikutan penahanan wanita berkenaan, jumlah ahli kumpulan yang dipercayai membawa fahaman ‘Salafi Jihadi’ itu kini meningkat kepada 10 orang. - Utusan

Lepas lancar buku, Zunar minta disaman

Kartunis terkenal Zunar mencabar ahli politik dan individu terkenal yang dinamakan dalam buku kartun terbarunya berkaitan kes pertuduhan liwat kedua terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim menyamannya jika fakta disampaikan tidak benar.
 
Katanya, beliau tidak  gentar didakwa di mahkamah Malaysia ekoran penerbitan buku barunya berjudul Komplot penjara Anwar: Najib jatuh hukum, hakim ikut skrip itu.
 
“Hari ini saya mencabar keempat-empat nama ini saman saya kalau saya tulis ini tidak betul saman sahaja.
 
“Saya tidak ada masalah keluar masuk mahkamah Malaysia, sudah jadi perkara biasa bagi saya. Masuk mahkamah Malaysia kalau kita langkah saja kita sudah kalah.
 
“Jadi pergi mahkamah Malaysia ini bukti dan keterangan yang kuat itu sudah tidak memadai, sudah tidak mempunyai apa-apa makna,” katanya ketika berucap dalam acara pelancaran buku beliau di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, di ibu negara malam tadi.
 
Tambahnya, karya beliau yang ke-20 itu berkisar dakwaan wujudnya “perancangan kotor” dan “fitnah kerajaan BN” terhadap Anwar. 
 
Selain kartun, buku setebal 52 muka surat dan mengandungi 50 kartun baru itu turut mengandungi kapsyen dan fakta apa yang didakwanya sebagai “konspirasi” bermula daripada era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Najib Razak.
 
Ketika pelancaran turut hadir memeriahkan majlis dan menyampaikan ucapan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, peguam dan aktvisi Datuk Ambiga Sreenevasan dan ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar.
 
Zunar pernah ditahan bawah akta hasutan kerana menerbitkan buku kartun yang dikatakan menghasut rakyat Malaysia membenci kerajaan. 
 
Tujuh buah buku beliau telah diharamkan oleh kerajaan.
 
Sementara itu, A Samad Said (kanan) memuji keberanian Zunar menerbitkan karya sebegitu.
 
“Saya yang tidak begitu tahu tentang kuasa turut rasa terpanggil untuk menghidangkan hal yang genting ini, oleh kerana ia bersangkutan dengan pemimpin yang sedang terdera (Anwar),” katanya. - Mkini

DNA babi dalam produk coklat susu dikesan

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan penemuan DNA babi (porcine) dalam produk makanan Coklat Susu dengan Kacang Hazelnut dan Coklat Susu dengan Kacang Badam jenama Cadburry Dairy Milk.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan analisis yang diambil dari tiga sampel, dua daripadanya didapati mengandungi porcine manakala satu lagi produk iaitu Coklat Susu Cadburry Dairy Milk Chocolate dikesan tidak mengandungi DNA tersebut.

"Ini bertujuan untuk melindungi orang awam daripada bahayanya dari segi kesihatan dan penipuan pada penyediaan, penjualan dan penggunaan makanan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, pihak pengeluar produk, Cadburry Confectionery Malaysia Sdn Bhd memberi jaminan untuk menarik balik produk terbabit dari pasaran dengan serta-merta.

"Kami ingin menasihatkan orang ramai supaya membaca nombor kelompok (batch no.) pada label produk sebelum membeli atau memakannya," jelasnya.

Orang ramai dan pengguna boleh merujuk laman web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) di http://fsq.moh.gov.my atau www.facebook.com/bkkmhq untuk sebarang soalan dan pertanyaan. - SH

19 May 2014

Ustaz Abdul Ghani Kembali Ke Rahmatullah

KUALA LUMPUR: Bekas AJK PAS Pusat dan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman (gambar) kembali ke rahmatullah kerana komplikasi darah tinggi dan buah pinggang di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras 12.05 tengah hari ini.

Menurut menantu keempat Allahyarham, Mahazan Hashim, ketika ini jenazah masih berada di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) bagi urusan mengeluarkan jenazah.

Sejurus itu, jenazah Allahyarham akan dibawa ke rumahnya di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, sementara nmenanti kepulangan seorang anaknya yang menuntut di Mesir.

Jenazah Allahyarham dijangka akan disempurnakan dan disolatkan pada jam 2.30 petang ini, di Surau Al-Mustakimah, Bandar Tun Razak, dan seterusnya dibawa ke Melaka untuk dikebumikan di kampung halamannya. di Tanjung Bidara.

Allahyarham sebelum ini hampir sebulan menerima rawatan di HUKM ekoran komplikasi penyakit yang dihidapinya.

Pada Khamis lalu, keadaan Allahyarham semakin merosot apabila doktor mengesahkan terdapat jangkitan kuman di dalam badan Allahyarham dan dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.

Sejak Khamis lalu, Allahyarham sudah tidak sedarkan diri sehingga menghembuskan nafas terakhir di samping isteri dan anak-anaknya.

Allahyarham meninggalkan dua orang balu, Maya Sulaiman dan Aziah Saad, serta 13 orang anak. - HARAKAHDAILY

'Shahrizat perlu belajar dari ibu saya'

Calon DAP untuk pilihan raya kecil parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud menggesa ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil belajar daripada ibunya, Yammy Samat yang memberi sokongan kepadanya walau berbeza parti.

"Saya minta beliau belajar daripada ibu saya yang juga seorang anggota Umno tetapi menyedari bahawa pencalonan saya oleh DAP memberi peluang kepada wanita muda dalam politik, terutama wanita Melayu muda, yang sering terhalang dengan struktur kebapaan dalam Umno.

"Apa yang saya capai sekarang disebabkan oleh keluarga, ibu saya, dan kerja keras... dan keputusan peribadi yang saya buat sepanjang hidup saya," kata Dyana dalam satu kenyataan hari ini.

Ibu Dyana, seorang anggota Umno, ketika hadir sebagai tanda sokongan kepada anaknya itu semasa pengumuman calon pilihan raya kecil tersebut semalam berkata kini tiba masanya untuk golongan muda memikul lebih bertanggungjawab.

Yammy merupakan wanita pertama yang menjadi setiausaha wanita Umno bahagian dan kini kekal menjadi anggota Umno di Ipoh.

Shahrizat semalam berkata beliau bersimpati dengan Dyana yang didakwanya diperalatkan oleh DAP dan menjadi "boneka" DAP.

Ketua Wanita Umno itu juga berkata, Dyana tidak akan berada di kedudukan sekarang jika tidak kerana Umno.

Dalam jawapan balasnya, Dyana berkata beliau akan menjadi MP paling muda di Parlimen sekiranya dipilih oleh pengundi dalam pilihan raya kecil ini.

Perkara itu pastinya tidak akan dapat dicapai sekiranya beliau menyertai Umno, katanya.

Katanya, kenyataan Shahrizat itu menunjukkan Wanita Umno gagal melonjakkan wanita ke kedudukan utama dalam negara. - Malaysiakini

13 May 2014

Krisis Terengganu: PAS mahu mandat dikembalikan kepada rakyat

Cara terbaik untuk menilai sama ada PAS akan mendapat sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ialah dengan mengadakan undi tidak percaya atau melalui pilihan raya semula, kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Yahaya Ali.

Beliau berkata, PAS berpendapat jalan paling mudah adalah mengadakan kerjasama dengan bekas Adun Umno berkenaan yang menjadi Adun Bebas untuk membentuk kerajaan bersama seperti yang berlaku di Perak.

Bagaimanapun, katanya, beliau sendiri masih belum yakin dengan "angkanya" untuk membolehkan PAS mendapat sokongan majoriti dalam DUN Terengganu.
"Cara terbaik adalah dengan menilainya melalui satu undi tidak percaya dalam sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu.

"Jika BN tidak cukup sokongan maka bolehlah kerajaan negeri bertukar tangan. Atau kita buat melalui pilihan raya semula," katanya kepada The Malaysian Insider.

Pentadbiran Terengganu bakal bertukar tangan?

SHAH ALAM - Persoalan sama ada BN mampu mengekalkan kuasa di Terengganu menimbulkan persoalan apabila memiliki 14 kerusi Dun berbanding 17 sebelum ini selepas tiga Adunnya mengumumkan keluar dari parti awal hari ini.

Pengumuman itu sekaligus, menjadikan kedudukan PR mendahului di negeri itu dengan 15 kerusi Dun.

Konflik timbul berikutan tindakan bekas Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Said dan Adun Ajil, Ghazali Taib keluar dari Umno dan menjadi wakil rakyat bebas.

Kemudian Adun Bukit Besi, Roslee Daud mengesahkan beliau turut keluar dari Umno dan menjadi wakil rakyat bebas.

Mengenai keputusan keluar Umno dan menjadi wakil rakyat bebas, Ahmad dilaporkan berkata, beliau telah memohon kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menangguhkan pertukarannya selepas majlis perkahwinan anaknya pada 17 Mei ini.

"Saya sudah lama bekerja dengan Umno. Saya sudah beritahu PM bahawa anak saya kenduri saya kahwin pada 17 Mei dan tukar selesai selesai kenduri.

"PM kata itu soal peribadi. Jadi saya beritahu, kalau saya keluar (parti), jangan salahkan saya," katanya seperti dilaporkan sebuah portal web.

Sementara itu, menurut sumber, ekoran konflik yang melanda negeri Darul Iman ini, Pas Terengganu turut dilaporkan akan mengadakan satu mesyuarat khas pagi ini. -SH

Ahmad Said keluar Umno

KUALA TERENGGANU - Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan anggota Dewan Undangan Negeri Ajil, Ghazali Taib mengisytiharkan keluar daripada Umno dan bertindak sebagai wakil rakyat Bebas.

Ahmad yang juga Adun Kijal dalam salinan surat bertarikh 12 Mei yang dihantar kepada Bernama awal pagi ini berkata: "Dimaklumkan bahawa saya dengan ini meletakkan jawatan saya dalam parti berkuat kuasa serta merta."

Beliau dan Ghazali juga mengisytiharkan keluar daripada Umno dan menjadi wakil rakyat bebas masing-masing bagi kawasan Kijal dan Ajil.

Kedua-dua surat itu dihantar kepada Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan salinan kepada speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu. - SH

Ahmad Said sah letak jawatan MB Terengganu

KUALA TERENGGANU - Datuk Seri Ahmad Said hari ini meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu.  

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata peletakan jawatan itu bagi membolehkan pelantikan menteri besar baharu, bagaimanapun beliau enggan mendedahkan siapa bakal menggantikan Ahmad, 57.
  
"Saya datang jumpa Adun (Anggota Dewan Undangan Negeri)...seperti dimaklumkan ada pertukaran (menteri besar), saya maklum balas dan mereka terima dan tidak ada masalah, memang betul ada pertukaran.

"Kita tunggu (watikah pelantikan menteri besar baharu) daripada Tuanku Sultan Terengganu (Sultan Mizan Zainal Abidin) dengan pengesahan daripada pihak istana...dah sah memang disahkan dia (Ahmad Said) dah jumpa Perdana Menteri letak jawatan hari ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan beberapa pemimpin Umno negeri di sini hari ini.
  
Katanya pertukaran itu tidak akan menimbulkan sebarang masalah kepada Umno  di Terengganu kerana pemimpin negeri akur kepada keputusan pucuk pimpinan parti.  

Spekulasi memuncak akhir-akhir ini bahawa Ahmad akan digantikan termasuk  cakap-cakap kononnya beliau bersetuju menjadi menteri besar untuk selama setahun selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei tahun lepas.
  
Ahmad dilantik semula sebagai Menteri Besar selepas menerima watikah pelantikan daripada Sultan Terengganu pada 9 Mei tahun lepas.
  
Beliau yang juga Adun Kijal pertama kali dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu pada 22 Mac 2008.
  
Sepanjang perkhidmatannya, Ahmad cukup terkenal dengan slogan “Merakyatkan Pentadbiran Dan Pembangunan” sebagai teraju utama dalam kepimpinan beliau.
  
Pentadbiran yang mesra rakyat menjadi tonggak dan keutamaan beliau dalam memastikan kepentingan dan permasalahan rakyat diselesaikan.
  
Pada PRU13, Barisan Nasional (BN) Terengganu menang majoriti mudah 17 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri termasuk pilihan raya kecil Kuala Besut pada 24 Julai tahun lalu. - Bernama

06 May 2014

Mahkamah lepas Nik Nazmi dari tuduhan baru

Mahkamah membebaskan ADUN Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini daripada satu pertuduhan baru ke atasnya berhubung perhimpunan 'Black 505', Mei tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya Yasmin Abdul Razak memutuskan, Nik Nazmi telahpun dibebaskan dan dilepaskan dari pertuduhan sama oleh Mahkamah Rayuan, 11 hari lalu.

Hakim Yasmin memutuskan Nik Nazmi dilepaskan tetapi tidak dibebaskan dari pertuduhan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 itu.

Katanya, pendakwaan sepatutnya meneruskan rayuan ke Mahkamah Persekutuan atas keputusan Mahkamah Rayuan dan tidak memfailkan kes baru di Mahkamah Sesyen.

Nik Nazmi, 32, didakwa mengikut Seksyen 9(5) akta tersebut kerana didakwa gagal mengeluarkan notis 10 hari mengikut Seksyen 9(1) akta sama, kerana menganjurkan perhimpunan 'Black 505'.

Perhimpunan berkenaan berlangsung di Stadium Kelana Jaya tidak lama selepas pilihan raya umum tahun lalu.

Tuduhan itu serupa dengan tuduhan yang dikemukakan ke atasnya di mahkamah sama tahun lalu selepas perhimpunan 8 Mei itu. - Mkini

Kumpulan bersenjata culik warga China di Sabah

Satu lagi kes penculikan bersenjata dilaporkan berlaku di perairan Sabah membabitkan sekumpulan lima orang lelaki yang dilaporkan melarikan seorang lelaki dipercayai warga China.

Kiriman SMS oleh Utusan Malaysia menyebut, kejadian berkenaan berlaku di perairan Silam, Lahad Datu pada kira-kira jam 2.55 pagi.

Ini merupakan kejadian kedua yang berlaku tahun ini di Sabah, sebulan selepas kejadian penculikan di Singamata Reef Resort, Semporna.

Dalam kejadian di Semporna itu, kumpulan berkenaan menculik dua orang wanita, salah seorangnya berusia berusia 40 tahun warganegara Filipina yang bekerja di pusat peranginan tersebut dan seorang lagi adalah adalah pelancong warga yang berusia lingkungan 20-an.

Pada November tahun lepas, seorang pelancong Taiwan ditemui mati ditembak dan isterinya diculik oleh sekumpulan lelaki dalam kejadian di Pulau Pom Pom, Semporna. - Mkini




Kes terbaru culik bersenjata di Sabah, pengurus syarikat diculik di Lahad Datu

 

Satu lagi kes penculikan bersenjata berlaku di Sabah pagi ini apabila seorang pengurus syarikat diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata dekat ladang ternakan ikan berhampiran Pulau Babi, di Lahad Datu.
Penyiasatan awal mendapati, mangsa dikenali sebagai Yang Zailin dengan pasport bernombor G35101668.
Mangsa adalah pengurus Wonderful Terrace Sdn Bhd.

Kejadian dilaporkan berlaku antara 2.45 hingga 2.55 pagi ini.
Ketua Pengarah Pusat Arahan Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Muhammad Mentek tidak mahu memberikan apa-apa komen kerana beliau kini berada di luar negara.
Ketua Polis Sabah, Datuk Hamza Taib dijangka mengadakan sidang media pada jam 1 petang ini untuk menjelaskan kes ini.

Ini adalah kejadian penculikan kedua tahun ini selepas kejadian Mac lalu yang melibatkan warganegara China dan Filipina.
Dalam kejadian pada Mac lalu, Gao Hua Yun, 29, dari Shanghai dan Marcy Dayawan @ Mimi, 40, diculik dari Singgahmata Reef Resort dekat Semporna.
Ia berlaku beberapa bulan selepas warganegara Taiwan Chang An Wei, 57, diculik oleh kumpulan bersenjata di pulau Pom Pom.

Dakam kejadian pada November tahun lalu itu, teman Chang, Li Min Hsu, 57, mati selepas ditembak beberapa kali oleh kumpulan bersenjata itu.
Chang dibebaskan Disember lalu selepas sejumlah wang tebusan dibayar untuk membebaskannya.
Apa berlaku kepada Gao dan Marcy sehingga kini tidak diketahui selepas penculiknya membuat tuntutan untuk membebaskan mereka. – 6 Mei 2014. - TMI

 

05 May 2014

Bantah hudud: Tukar Kurup ke kementerian lain, kata Perkasa

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup tidak layak memegang portfolio perpaduan nasional selepas mengatakan hudud akan merosakkan hubungan antara kaum, kata Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Presidennya Datuk Ibrahim Ali menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak segera memindahkan Kurup ke kementerian lain kerana kenyataannya itu tidak sensitif kepada umat Islam.

“Saya kutuk keras kenyataan Kurup. Siapa dia Kurup nak kata begitu? Dia menteri bertanggungjawab kepada perpaduan nasional. Bagaimana dengan kepentingan orang Islam? Jika perkara berkaitan agama ditentang, adakah ini membantu perpaduan?

“Bila dia kata (begitu) mencemar keharmonian agama. Saya menggesa Perdana Menteri untuk memindahkannya sebagai menteri yang bertanggungjawab kepada perpaduan nasional. Dia patut ditukar kepada kementerian lain,” katanya selepas mengadakan pertemuan bersama wakil Suruhanjaya Tinggi Brunei di Kuala Lumpur hari ini.

Kurup hari ini mendakwa cadangan PAS untuk memperkenalkan hudud akan mengancam perpaduan nasional, integrasi dan keharmonian di Malaysia, katanya seperti dilapor akhbar milik MCA, The Star.
Katanya, perdebatan mengenai hudud akan melukai hati bukan Islam dan mereka tidak gembira untuk menerimanya.

Ibrahim berkata kenyataan Kurup berkenaan tidak adil dan hanya mewakili bukan Islam malah menafikan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan.
“Saya nak tekankan negara ini agama Islam adalah agama Persekutuan dan majoriti orang Melayu tetapi dia awal-awal lagi dah berat sebelah terhadap Islam dalam kepalanya.

“Kita tahu perpaduan Melayu dan kepentingan agama Islam adalah teras kepada perpaduan nasional. Jika dia tidak ada perasaan ini, bagaimana dia nak mempromosikan perpaduan?” katanya.
Bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu turut mengingatkan ahli Parlimen Umno dan PAS agar berhenti mempolitikkan hukum hudud dan mengingati hukuman berkenaan adalah suruhan Allah.

Katanya, jawatankuasa teknikal hudud ditubuhkan kerajaan dan tiada individu kepentingan politik yang menggerakkan jawatankuasa tersebut.
“Saya juga menasihatkan parti politik Melayu, Umno dan PAS untuk berhenti mengeluarkan kenyataan politik. Malulah kepada negara kecil seperti Brunei. Kita bukan cari kebaikan suruhan Allah tetapi semua mahu mencari kepentingan politik.

“Ingatlah hidup hanya sementara. Kepada pemimpin PAS dan Umno, mereka beragama Islam.
“Ingatlah pembalasan Allah di akhirat nanti. Jangan permainkan agama Allah. Jangan guna agama untuk kepentingan politik,” katanya.
Ibrahim juga sempat meminta MCA agar sedarkan diri mereka dalam arena pentas politik di Malaysia dan tidak keterlaluan menentang Umno.

Katanya, Umno sejak dahulu lagi beralah kepada MCA, maka parti Cina itu jangan sesekali memberi tentangan kepada aspirasi umat Islam.
“Saya cuma nak ingatkan MCA dalam peta politik Malaysia, mereka dikira sebagai parti politik yang sudah berlalu.

“Kita kena terima kenyataan itu. MCA selalu selamat kerana pengundinya separuh Melayu atau 60% Melayu.
“Umno berkorban kerusi kepada MCA demi tolak ansur kepada kaum Cina dan berkongsi kuasa politik sejak merdeka. Cuba kita toleh ke belakang.

“Pernah MCA menang kerusi Bukit Bintang, Seputeh, Kepong, Jelutong, Kota Melaka dan Ipoh Timur? Tak pernah menang malah sebelum tsunami politik 2008,” katanya.
Ibrahim berkata jika MCA terus memberi tentangan kepada hudud, maka undi Melayu yang sebelum ini berpihak kepada MCA akan menyebelahi PAS.

Katanya, MCA harus menerima kenyataan itu dengan tidak memberi tentangan terhadap hudud.
“JIka mereka sertai Kabinet, orang Melayu-Islam tidak akan menyokong MCA. Semua undi Melayu akan pergi kepada PAS. Saya katakan kepada MCA jangan terus buat kesilapan.

“Jika dukung Perlembagaan dan menerima Islam, jangan kata tidak menentang Islam, hanya hudud sahaja. Hudud adalah sebahagian daripada Islam,” katanya.
Pemimpin radikal itu turut mengambil kesempatan mencerca mendiang Karpal Singh dengan mendakwa peguam ulung itu bukan jaguh Perlembagaan.

Katanya, kenyataan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu atau dikenali sebagai Mat Sabu yang menyebelahi Karpal dan menyalahkan Tun Dr Mahathir Mohamad kerana menolak hudud adalah tidak tepat.

“Mat Sabu bela mendiang Karpal dan mendakwa kononnya Dr Mahathir menghina Islam. Saya nak tanya Mat Sabu jika betul Karpal mempertahankan Perlembagaan, mengapa mendiang tidak pernah mengeluarkan kenyataan bila orang mengusik Perlembagaan?

“Pernah Karpal pertahan Perkara 153? Jika orang kata Karpal mempertahan Perlembagaan pada saya, jangan mengarut.. Dia tak konsisten. Hanya jaga kepentingannya,” katanya. – 5 Mei, 2014. - TMI

Asri bantah ulama muda Umno katakan Muslimah bantah GST pelacur kelas atasan

Bekas mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyelar ‎kenyataan ulama muda Umno dan menyifatkannya sebagai tindakan biadap apabila menyamakan Muslimah bertudung labuh yang menyertai perhimpunan Bantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 1 Mei lalu dengan pelacur kelas atasan.

‎Katanya, tindakan Setiausaha Ulama Muda Umno (Ilmu), Mohd Radzi Othman menggunakan hadis dilihat bukan sahaja menghina malah ia amat menjatuhkan martabat Rasulullah.

‎Mohd Asri berkata mengkritik atau mempunyai perbezaan pendapat itu merupakan satu perkara yang seringkali terjadi, namun bukan sehingga mengeluarkan kata-kata menghina.

"Ulama muda Umno membuat satu kenyataan yang biadap sama ada setuju atau tidak, kita boleh mengkritik, tetapi menyamakan mereka dengan pelacur malah menggunakan agama itu ialah satu kebiadapan dan lambang buruknya nilai akhlak dan perilaku.

"Kemudian dia juga cuba untuk mempertahankan kenyataannya itu dengan menggunakan hadis yang salah, ia menjatuhkan dan seakan-akan menghina Rasullah," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Kenyataan ulama Umno  yang menyamakan Muslimah bertudung yang menyertai protes sama dengan pelacur golongan atasan  ditulis dalam entri laman Facebooknya atas nama 'Abu Amru Radzi Othman' pada Jumaat lalu.

Gambar diambil dari laman Facebook Abu Amru Radzi Othman, 5 Mei, 2014. 

Gambar diambil dari laman Facebook Abu Amru Radzi Othman, 5 Mei, 2014.Pada laman Facebooknya turut menyatakan lelaki yang menyokong Muslimah bertudung tersebut keluar berdemonstrasi ibarat para pelanggan yang ghairah merasai pelacur yang dilanggannya.

"Muslimah tuduh labuh yang keluar berdemonstrasi adalah setaraf dengan pelacur atasan.
"Hendak saya samakan para Muslimah kaki demo ini dengan martabat Ummul Mukminin, jangan harap," katanya seperti yang dipetik dalam ‎laman Facebook itu.

Selain itu, bekas mufti itu turut menolak dakwaan ulama Umno itu terhadap kritikan menyatakan ia sebagai kiasan dan ramai yang tidak memahami bahasa Melayu.
"Ini bukan mengenai pandai atau tidak bahasa Melayu atau faham atau tidak, kerana individu yang menulis itu pun bukannya tahu bahasa Arab," kata Mohd Asri.

Katanya, golongan seperti ini menggunakan agama untuk memaki orang lain, berniat jahat dan menunjukkan kecenderungan sangat bahaya.
"Budaya maki hamun ini sangat merbahaya," katanya.
Justeru itu, beliau menyarankan supaya Umno cuba mengelakkan daripada mempunyai kaitan dengan golongan yang berakhlak sedemikian.
"Kita katakan buruk nilai budinya. Saya rasa Umno perlu mengelak daripada dikaitkan dengan ahli seperti ini," katanya.
Bagaimanapun, status ulama Umno itu menerima kritikan daripada pengguna Internet yang lain dalam Facebooknya.

Ekoran daripada kritikan tersebut, pada hari yang sama, ulama Umno itu sekali lagi menulis di entri Facebooknya untuk mempertahankan kenyataannya itu.
Dalam statusnya Abu menulis, "siapa yang terasa adalah jahil budaya" yang merujuk kepada kenyataan menyamakan penyertaan Muslimah bertudung dalam demonstrasi sebagai pelacur golongan atasan.
Katanya lagi, ‎mereka yang mengkritik kenyataan itu jelas jahil dengan budaya Melayu walaupun berbangsa Melayu.

"Guru bahasa Melayu sering berkata bahawa bukan semua bangsa Melayu itu faham bahasa dan budaya mereka," katanya.
Ulama muda Umno itu mengakui kenyataannya itu mengundang ketidakpuasan hati orang ramai, terutama peserta demonstrasi Khamis lalu.
"Tapi tidak kurang juga orang yang condong kepada PAS dan neo-Khawarij dan beberapa orang yang kononnya berbudaya tinggi merasa kecil hati lantas marah," katanya.

Ulama muda itu turut mempertahankan kenyataannya itu dengan menyamakannya dengan karya novel SHIT tulisan sasterawan negara Datuk Shahnon Ahmad.
Katanya, sekiranya novel tersebut banyak dipertahankan orang ramai, jadi mengapakah kenyataannya dikritik.

"Kalau buku SHIT dipertahankan lalu ibarat di atas tentang sebab apa, sebab ibarat itu terkena batang hidung sendiri," katanya.
1 Mei lalu menyaksikan puluhan ribu rakyat turun ke jalanan dalam demonstrasi bantahan besar-besaran pelaksanaan cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Demontrasi itu dianjurkan gabungan bersama 95 badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik. – 5 Mei, 2014. - TMI