28 February 2014

'Tuhan Harun' minta dilepas dengan jaminan


KUANTAN 27 Feb. - Ketua ajaran sesat 'Tuhan Harun', Harun Mat Saat yang menghadapi tuduhan berhubung pembunuhan Ketua Penolong Pengarah (Penguat Kuasa), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abd. Malek, mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk dibebaskan dengan jaminan.

Peguam Hermes Media Putra Ibrahim yang mewakili Harun, 48, menyatakan, permohonan itu dibuat atas faktor kesihatan anak guamnya yang diserang angin ahmar menyebabkannya memerlukan pengawasan dan rawatan rapi.

Sementara Timbalan Pendakwa Raya, Khalmizah Salleh pula memohon tuduhan bunuh yang dihadapi oleh Sumustapha Suradi dan tuduhan subahat membunuh ke atas Harun serta dua lagi pengikutnya dibicarakan secara serentak.

Hakim Datuk Ab. Karim Ab. Rahman kemudian menetapkan 17 Mac ini untuk sebutan kedua-dua permohonan itu.
Beliau turut berharap pengurusan kes itu dapat dipercepatkan supaya tarikh perbicaraan dapat ditetapkan.
Harun yang diserang angin ahmar sejak Jun tahun lalu, hadir di mahkamah dengan berbaju putih dan berkerusi roda diiringi isterinya, Azida Mohd. Zol, 31.

Pada 16 Disember tahun lalu, Sumustapha, 40, didakwa membunuh Ahmad Raffli bersama-sama dua lagi yang masih bebas di rumah mangsa di Nombor 7, Lorong IM 2/29, Bandar Indera Mahkota di sini kira-kira pukul 1.50 petang, 10 November tahun lalu.

Tertuduh dari Kampung Sibugal Besar, Sandakan, Sabah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori.
Sementara Harun, Azida dan seorang lagi pengikut ajaran sesat itu, Shaizral Eddie Nizam Shaari, 38, didakwa bersama-sama Sumustapha dan dua lagi yang masih bebas untuk bersetuju antara satu sama lain melakukan konspirasi jenayah yang membawa kepada pembunuhan Ahmad Raffli.

Kesalahan itu yang didakwa dilakukan pada masa, tarikh dan tempat yang sama mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun tersebut yang turut memperuntukkan hukuman mati mandatori. - Utusan

No comments:

Post a Comment