27 February 2014

Polis buru kumpulan samun kedai serbaneka


KUALA LUMPUR – Polis memburu lima individu dipercayai terlibat dalam satu kumpulan aktif menyamun kedai serbaneka di sekitar kawasan Brickfields sejak awal bulan ini, yang membabitkan kerugian kira-kira RM1,456.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, dalam kejadian  pertama, seorang lelaki bersenjatakan pisau menyamun sebuah kedai serbaneka di Kuchai Park, Brickfields, di sini, pada 9 Februari lalu, kira-kira jam 8.40 malam.

“Suspek yang memakai topi keledar itu hanya menyamun tunai RM500,” katanya.

Khairi berkata, kejadian kedua pula berlaku pada Khamis lalu, seorang lelaki berbaju merah bersenjatakan sebilah pisau menyamun sebuah kedai serbaneka di Taman Gembira, Jalan Kuchai Lama, kira-kira jam 7.30 malam.

“Suspek mengacukan pisau ke arah mangsa, sebelum menyamun wang tunai RM99.25 dan 50 kotak rokok pelbagai jenama bernilai RM600,” katanya.

Beliau berkata, dalam kejadian terbaru, sekumpulan tiga lelaki, dua daripadanya bersenjatakan parang dan pisau menyamun sebuah lagi kedai serbaneka di Jalan Klang Lama pada jam 6.17 pagi.

“Kumpulan penyamun itu melarikan wang tunai RM41.10 dan 18 kotak rokok yang dianggarkan bernilai RM216,” katanya.

Khairi berkata, kesemua suspek yang berusia bawah 21 tahun itu menaiki motosikal, sebelum menyamun kedai serbaneka.

“Kita meminta orang ramai mengenali individu berkenaan tampil atau boleh menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 392/397 Kanun Keseksaan. - SH




No comments:

Post a Comment