26 February 2014

Pesara, penjawat awam perlu berhati-hati beri pendapat - Ahmad Zahid


PUTRAJAYA: Pesara kerajaan dan penjawat awam khususnya warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) diminta tidak mengeluarkan sebarang pendapat tidak berasas yang mampu menggugat keamanan negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penjawat awam dan pesara kerajaan perlu menilai, menapis dan merujuk kepada pihak berkaitan atau berautoriti sebelum mengeluarkan sebarang pendapat atau kenyataan untuk mengelak berlakunya kesalahan maklumat atau disalah erti.

"Kita perlu matang dan bijak menguruskan idea dan pendapat kita terutamanya di dalam media (sosial dan) online, kebebasan internet pada masa ini membolehkan penggunanya melontarkan apa sahaja dalam bentuk pendapat dan sebagainya.

"Ada pendapat yang berguna kepada masyarakat namun pada masa yang sama ia juga boleh memberi kesan negatif," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Apresiasi Kementerian Dalam Negeri 2014 sempena meraikan pegawai KDN yang bertukar ke kementerian lain dan pegawai yang bersara di sini malam ini.

Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Ketua Setiausaha (KSU) KDN Datuk Seri Mohamad Khalid Shariff dan bekas KSU KDN Datuk Seri Rahim Mohamad Radzi.

Mengenai pesara kerajaan, Ahmad Zahid berkata kerajaan telah memberi pelbagai keistimewaan kepada mereka antaranya Kad Pesara yang membolehkan mereka mendapat kemudahan perkhidmatan dan perubatan di klinik dan hospital kerajaan, malah isteri atau penerima pencen serta anak berumur 21 tahun dan ke bawah turut menikmati kemudahan tersebut.
"Tahun lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah melancarkan kad diskaun '1Malaysia Privilege Card' yang sebelum ini dinikmati oleh anggota tentera dan polis, kini ia diperluaskan kepada kira-kira 725,000 pesara kerajaan.

"Menerusi kad ini golongan pesara mampu menikmati diskaun sehingga 25 peratus di kedai-kedai yang terpilih," katanya.

Selain itu, katanya pada setiap pembentangan bajet, kerajaan tidak melupakan golongan pesara kerajaan dengan memberi mereka bonus, contohnya pada bajet 2013, kerajaan telah menaikkan kadar pencen minimum daripada RM720 kepada RM820.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata semua warga KDN harus bekerja dalam satu pasukan tanpa mengira pangkat kerana setiap orang memainkan peranan masing-masing dalam setiap jabatan dan saling memerlukan bantuan sesama mereka. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment