26 February 2014

Kabinet Mesir letak jawatan


Kaherah: Kerajaan Mesir pimpinan Perdana Menteri Hazem al-Beblawi semalam mengumumkan peletakan jawatan Kabinet, menjelang pemilihan presiden yang berkemungkinan akan membawa ketua tentera Abdel Fattah al-Sisi memegang tampuk kuasa.

Sisi, yang popular di negara itu, bagaimanapun belum mengumumkan pencalonannya untuk pilihan raya presiden itu, tetapi pegawainya berkata dia sudah membuat keputusan untuk bertanding dan akan membuat pengumuman tidak lama lagi.

Beliau yang juga menteri pertahanan dan timbalan perdana menteri pertama dalam Kabinet yang meletak jawatan itu, perlu meletak jawatan daripada kerajaan dan tentera sebelum boleh membuat pengumuman rasmi mengenai pencalonannya.

Kerajaan Beblawi dilantik pada Julai selepas Sisi menggulingkan presiden yang dipilih dan yang pertama di kalangan orang awam, Mohamed Morsi.

“Kabinet memutuskan berdasarkan situasi yang dilalui negara sekarang... untuk mengemukakan peletakan jawatan kepada presiden sementara Adly Mansour,” kata Kabinet dalam satu kenyataan.

Beblawi dalam siaran televisyen memuji prestasi kerajaan. - AFP

No comments:

Post a Comment