28 February 2014

BN Selangor ucap tahniah pada Khalid


SHAH ALAM - BN Selangor menyambut baik keputusan yang dibuat kerajaan negeri berhubung persetujuan pengambilalihan ekuiti empat syarikat konsesi air di Selangor tetapi mendakwa ia sudah terlambat.

Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, tindakan Menteri Besar,Tan Sri Khalid Ibrahim itu terlewat kerana sebelum ini ada ‘tangan ghaib’ memberi nasihat demi kepentingan sendiri.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Abdul Khalid kerana melakukan keputusan yang wajar dan beliau sudah sedar betapa pentingnya kerjasama dengan kerajaan persekutuan.

“Saya menyokong penuh tindakan beliau kerana akhirnya terima nasihat kita supaya bekerjasama dengan kementerian berkaitan mengenai isu air negeri ini,” katanya, semalam.

Empat ekuiti yang dimaksudkan ialah Puncak Niaga Sdn Bhd, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) dan Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas).

Noh menambah, Abdul Khalid mungkin sudah sedar sebelum ini beliau diperalatkan demi kepentingan ‘tangan ghaib’ yang bertindak sebagai penasihat.

Tanpa menyatakan siapa ‘tangan ghaib’ itu, Noh berharap MoU itu tidak akan menjadi alat politik lagi selepas ini sekali gus mampu direalisasikan.

“Kita sudah tawarkan kerjasama ini lama dahulu, tetapi Khalid melakukan kesilapan pada masa lalu. Tapi akhirnya, beliau sedar yang penstrukturan air amat penting demi rakyat,” katanya.

Tambahnya, pembinaan Langat 2 amat penting bagi menyalurkan sumber air kepada rakyat negeri ini dan ia patut dilaksanakan sejak dahulu lagi.

Ketua pembangkang Selangor, Datuk Mohd Shamsudin Lias turut menyokong keputusan dibuat Abdul Khalid kelmarin dan berharap ia memberi kelegaan kepada rakyat yang terpaksa berdepan dengan krisis air.

“Kita menyokong walaupun ia sudah terlewat dan berharap Khalid akan memastikan perjanjian itu menjadi kenyataan, bukan sekadar bahan politik,” katanya.

Beliau berkata, rakyat sepatutnya boleh menarik nafas lega jika ia dibuat sejak lama dahulu hingga memaksa rakyat sendiri menjadi mangsa.

Setiausaha Umno Selangor, Datuk Johan Abdul Aziz turut lega kerana krisis penstrukturan air negeri ini akhirnya selesai dengan MoU yang ditandatangani menteri besar dengan kerajaan persekutuan, kelmarin.

“Kita sudah desak lama, tetapi baharu semalam (kelmarin) Khalid membuat tindakan, walaupun agak lewat, tetapi saya tetap sokong,” katanya. - SH

No comments:

Post a Comment