27 February 2014

Bekas ratu cantik cuba hentikan penceraian di Malaysia dengan pemilik Laura Ashley


Seorang bekas ratu cantik Malaysia sedang berusaha untuk menghentikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada mendengar petisyen penceraian difailkan oleh suaminya yang merupakan seorang jutawan terkemuka, Tan Sri Khoo Kay Peng (gambar).

Pauline Chai Siew Pin, Miss Malaysia/International 1969, kini membawa kes tersebut ke Mahkamah Rayuan di Putrajaya.
Pada 6 Mac, mahkamah akan mendengar permohonan Chai untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Disember lepas yang membenarkan Khoo untuk tidak bertemu dengan badan pendamai di London bagi menyelamatkan perkahwinan pasangan tersebut.

Permohonannya untuk menangguhkan pengecualian kepada suaminya ditolak dan Hakim Mahkamah Tinggi Rosnani Saub juga mengatakan Khoo, boleh memfailkan penceraiannya di Malaysia.
Hakim mengatakan mahkamah di Malaysia boleh mendengar petisyen penceraian tersebut kerana domisil Chai mengikut suaminya yang mempunyai saham 40% dalam jenama antarabangsa Laura Ashley.

Disebabkan keputusan mahkamah itu, K Shanmuga, salah seorang dalam pasukan peguam Chai mengatakan, Khoo memfailkan petisyen tersebut beberapa jam selepas Rosnani membuat keputusan.
Dokumen mahkamah yang dilihat The Malaysian Insider juga mendedahkan pasangan tersebut mempunyai rumah sepencarian di Ukay Heights, Ampang.

Dokumen mahkamah difailkan peguam bagi pihak Khoo juga mendedahkan pada Oktober 2012, dalam satu lawatan mereka, Chai yang tidak sihat, membuat keputusan untuk terus berada di England, agar beliau boleh memfailkan petisyen penceraian di sana.

Dokumen itu juga mengatakan Chai berada di sana dengan menggunakan visa pelancong.
Peguam yang mahir dengan undang-undang kekeluargaan mengatakan Chai akan mendapat kurang harta sepencarian dan faedah lain jika keputusan ini diputuskan mengikut undang-undang Malaysia.
Khoo akan kehilangan separuh daripada hartanya berjumlah £500 juta (RM2.75 bilion) jika kes penceraian ini diputuskan di mahkamah di England.

Akhbar British Daily Mail melaporkan tahun lepas Chai memfailkan petisyen penceraian di London di atas sebab "tingkah laku tidak munasabah" terhadap orang ke-36 terkaya di Malaysia mengikut senarai Forbes 2013.
"Mengikut undang-undang England, harta akan dibahagikan sebanyak 50-50 melainkan terdapat alasan munasabah untuk tidak mengikut prinsip itu," kata peguam Chai, Ayesha Vardag dipetik berkata kepada akhbar UK Times, seperti dilaporkan Daily Mail.

"Kekayaan tersebut dibina selama lebih 40 tahun dan hak isteri adalah separuh daripada itu. Persoalan keperluan adalah perkara kedua," peguam tersebut dilaporkan berkata.
Khoo adalah pengerusi Malaysian United Industries, mempunyai harta di London, Kuala Lumpur dan Sydney.

Beliau turut mempunyai 40% saham dalam Laura Ashley yang mencatat jualan £286 juta setahun, selain menjadi pengarah Corus Hotels Limited yang memiliki 10 hotel termasuk Hotel Corus Hyde Park.
Peguam dilaporkan berkata Chai, 67, akan diberikan di antara £400 juta dan £500 juta, menurut Daily Mail.
Vardag juga dilaporkan berkata Chai mempunyai hak mendapatkan keadilan di United Kingdom kerana bekas ratu cantik itu menetap di England.

Chai menetap di bekas rumah pasangan tersebut di estet seluas 1,000 ekar di Hertfordshire yang terletak di utara Greater London.
Chai dan Khoo berkahwin pada 1970, mempunyai lima orang anak dan membeli estet tersebut pada 1998 yang dilaporkan mempunyai dua tasik buatan manusia bernilai £60,000 setiap satu dan koleksi haiwan pelik .
Selain memenangi gelaran Miss Malaysia/International 1969, Chai juga pernah memenangi pertandingan ratu cantik lain termasuk Miss Princess Malaysia 1969 dan Miss Tourism Penang 1969.

Satu lagi kes penceraian yang menjadi tumpuan mengenai golongan berada di Malaysia adalah anak lelaki Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud iaitu Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Abdul Taib.

Isteri Abu Bekir, Shahnaz Abdul Majid mengatakan pada Oktober lepas, Mahmud Abu Bekir mempunyai kekayaan melebihi RM1 bilion semasa membuat tuntutan RM400 juta dalam kes penyelesaian penceraian mereka. – 27 Februari, 2014.

No comments:

Post a Comment