31 August 2012

PRU-13 penentu survival UMNO, BN

Peti atau keranda di sambutan Hari Kemerdekaan ke55?
BALING 30 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang adalah penentu kepada kesinambungan hidup UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam arena politik negara.

Sehubungan itu, menurut beliau, mahu tidak mahu ahli UMNO dan BN perlu bersatu tenaga bagi membuktikan kepada rakyat hanya parti tersebut mampu menggalas tanggungjawab memimpin dan mentadbir negara dengan baik.
Malah katanya, ahli dan pemimpin parti juga harus belajar daripada pengalaman dan tidak mengulangi kesilapan pada pilihan raya umum lalu yang menyebabkan beberapa negeri jatuh ke tangan pembangkang.

"Saya amat mengharapkan semangat untuk kita berjuang kali ini adalah habis-habisan. Marilah kita jadikan ia sebagai satu ikatan dan azimat kepada kita semua.
"Saya tidak mahu lagi mendengar politik adu domba antara kita, tidak mahu lagi mendengar politik sesama puak. Kita tidak mahu lagi dalam kamus kita, ada yang merajuk apatah lagi yang sanggup mengkhianati parti," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Perasmian Berkelompok Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian-bahagian Kedah Selatan di Kompleks Rakan Muda, Batu 42 di sini hari ini.
Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Menurut Najib, semua UMNO bahagian kini perlu memastikan pemimpin dan ahli-ahlinya kembali kepada perjuangan asal dengan meletakkan parti sebagai keutamaan.
"Kita sudah cakap berulang kali, sampai berbuih dan sudah habis reng (tenaga). Sekarang, sudah sampai masanya untuk kita kukuhkan ikrar. Marilah kita berjanji kepada parti bahawa akan memastikan kemenangan tercapai," katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan pemimpin parti bertindak lebih matang dengan meletakkan agenda parti sebagai keutamaan berbanding kepentingan individu.
"Janganlah kita hanya bercakap di sana dan sini bahawa sudah bersatu tetapi bersyarat. Sepatutnya kalau sayang parti, tidak ada syaratnya. Siapa yang dipilih pucuk pimpinan, kita sokong," katanya.
Dalam pada itu, Najib secara berseloroh juga berkata, beliau dapat mengenali karakter seseorang pemimpin dengan menilai cara mereka bersalam dengannya.

"Bila saya salam dengan pemimpin itu, saya boleh baca. Apatah lagi saya bersalam dan genggam tangannya.
"Siapa yang mahu jadi calon, bila saya sebut calon boleh menang, semua rasa dia calonnya. Namun, hakikatnya semua kena terima, sesetengah daripada kita memang boleh menang, sesetengah tidak. Tetapi kalau kita sayang kepada parti, redalah, kalau dipilih, syukur, kalau tidak sila teruskan demi perjuangan parti," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengajak ahli UMNO berfikir dan bertindak secara matang serta dewasa.
Katanya, pemikiran sedemikian bersesuaian dengan taraf usia negara yang sudah mencapai kemerdekaan selama 55 tahun serta sinonim dengan usia UMNO sendiri yang kini mencecah 66 tahun.
"Bila kita menyebut angka 55 dan 66 tahun, bererti Malaysia ini merupakan sebuah negara yang sudah matang. Begitu juga dengan UMNO, pada takrif dan definisi tersebut bererti sepatutnya parti kita lebih matang dan dewasa kerana sudah 66 tahun," katanya.

Najib menambah, ciri-ciri kematangan itu juga boleh digunakan dalam membuat keputusan penting dalam hidup seperti memilih kerajaan atau pemimpin.
"Bila mencapai usia matang, sepatutnya membawa erti kita sudah mempunyai pengalaman hidup yang luas. Kita juga perlu mempunyai ilmu yang mendalam, cara berfikir yang masak dan bijak membuat pertimbangan," katanya. - Utusan

PKR belakangkan Sultan Selangor?

DUA anggota Angkatan Tentera Malaysia
 memeriksa peralatan pancaragam ketika keluar
 dari sebuah hotel selepas menarik diri daripada
 menyertai istiadat perbarisan sambutan
Hari Kemerdekaan peringkat negeri Selangor di Shah Alam, semalam.
SHAH ALAM 30 Ogos - Sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 peringkat negeri Selangor tercemar apabila Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor membelakangkan peranan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Tidak seperti tradisi sebagaimana dilakukan termasuk tahun lalu, pada tahun ini Sultan Selangor langsung tidak dimaklumkan serta dijemput menghadiri majlis sambutan itu yang berlangsung di Dataran Kemerdekaan di sini malam ini.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani yang mengesahkan perkara itu berkata, sehingga petang ini, baginda tidak dimaklumkan secara rasmi oleh kerajaan negeri mengenai sambutan berkenaan yang dihadiri Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta barisan Exconya. - Utusan

* PKR belakangkan Sultan atau sebaliknya?

Kemerdekaan negara utuh

sambutan merdeka menggunakan
pelajar sekolah
KUALA LUMPUR 30 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kemerdekaan yang dicapai negara sejak 55 tahun lepas akan terus utuh atas teras permuafakatan dan kerjasama daripada semua pihak.

Perpaduan nasional yang bertunjangkan kepelbagaian akan kekal menjadi tiang seri kekuatan nasional, katanya dalam perutusan Hari Kebangsaan yang ke-55 yang disiarkan di RTM di sini malam ini.
Najib berkata selama 55 tahun, "kita berjaya melangkau jangkaan serta telahan yang dibuat pelbagai pihak, termasuk di kalangan warganegara sendiri, dan terbukti, ramalan kononnya apa yang dimenangi bapa-bapa pengasas negara secara aman serta bijaksana tidak akan mampu dikekalkan apatah lagi ditambah baik, adalah meleset sama sekali.

"Jelasnya, dari satu titik ke satu titik, kita telah berjaya membawa kebebasan dan keamanan kepada sebuah negara yang dahulunya terjajah dan terancam," kata Perdana Menteri.

Najib berkata daripada sudut kemakmuran nasional pula, ekonomi negara berkembang mapan dengan usaha sistematik dijalankan kerajaan bagi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan dapat dirasai oleh semua.

Perdana Menteri berkata, Pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan Fasa Kedua (GTP 2) bakal melonjakkan lagi kemakmuran negara ke peringkat lebih tinggi, dan akan menyaksikan penglibatan masyarakat yang lebih meluas, sekali gus pembabitan yang lebih bermakna daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor korporat.

Bagaimanapun, katanya segala usaha dan prakarsa yang dilakukan itu akan hanya tinggal sia-sia jika tidak didakap dan dimanfaatkan oleh semua segmen masyarakat.
"Kita kini berada pada satu kala masa yang amat monumental bagi Malaysia. Di sana-sini, rakyat boleh melihat perubahan ketara bukan sahaja di peringkat individu hatta di peringkat keluarga dan komuniti.
"Justeru, marilah kita menjulang citra Malaysia dengan memenuhi segala janji yang dipateri dan potensi yang dimiliki demi seluruh warganya.

"Janganlah kita sampai mempunah binasa apa yang telah bersusah payah dipupuk dan dicipta. Janganlah sesekali pula, diporak-peranda harmoninya watan yang telah sekian lama terbina," katanya.
Perdana Menteri berkata, kejayaan yang diimpikan Malaysia bukan hanya kejayaan bersifat material tetapi kejayaan yang bersifat holistik, dan untuk itu di bawah Dasar Transformasi Nasional, prakarsa transformasi bukan sahaja melibatkan kerajaan melalui GTP dan ekonomi melalui ETP (Program Transformasi Ekonomi), tetapi juga Transformasi Politik serta Transformasi Kawasan Luar Bandar.

Najib berkata sesungguhnya, langkah berani pihak kerajaan melaksanakan Program Transformasi Politik bagi mengimbangkan kebebasan individu dan keselamatan negara telah membugar dan mengakarkan lagi demokrasi di Malaysia, sebagai satu budaya yang menjadi asas kepada kestabilan nasional.

"Malaysia merupakan bukti dan manifestasi janji ditepati dan harapan yang dipenuhi," tambahnya.
Beliau berkata bagi memahami kebenaran daripada kenyataan itu, setiap rakyat di negara ini perlu kembali kepada susur galur sejarah di mana pada hakikatnya negara mencapai kemerdekaan di tengah-tengah 'pemberontakan bersenjata Parti Komunis Malaya dalam suasana di mana survival kita sebagai sebuah negara berbilang bukan sahaja daripada segi kaum, bahkan juga agama dan bahasa, pernah disangsikan oleh masyarakat dunia'.

"Kita juga telah berjaya mentransformasikan sebuah negara pertanian berpendapatan rendah yang mana suatu ketika dahulu lebih separuh warganya hidup di bawah paras kemiskinan, dengan bergantung kepada beberapa komoditi, menjadi sebuah negara dengan ekonomi bersifat pelbagai," kata Najib.

Perdana Menteri berkata malah, dewasa ini, Malaysia telah berkembang sebagai negara berpendapatan sederhana tinggi dan 'berpacu pantas merealisasikan impian menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020'.

"Sepanjang detik yang berlari, kita telah menggantikan kebimbangan dengan harapan, kita telah mencipta sebuah negara di mana yang penting adalah kemahuan dan kesanggupan untuk bekerja keras.
"Juga, di mana, anak seorang petani, pekebun kecil, buruh dan nelayan berjaya menjadi usahawan serta profesional. Pucuk pangkalnya, kita telah mencipta sebuah negara sehingga anak-anak Malaysia boleh mendambakan masa depan yang lebih baik," kata Najib.

Beliau berkata semuanya ini, merupakan nikmat daripada perancangan penuh teliti dan pelaksanaan amat berkesan oleh pihak kerajaan yang telah diberi mandat mentadbir semenjak kemerdekaan diperoleh.
"Walau apa pun, kejayaan yang dikecapi bukan sepatutnya menjadi alasan untuk kita berpeluk tubuh, sebaliknya, ia harus menjadi mangkin menuju sinar yang lebih terang benderang pada hari muka," kata Najib yang turut mengucapkan selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-55 kepada semua rakyat Malaysia. - Utusan

Mahkamah tolak empat permohonan suami pertikai jantina Sri Wani

Sri Wani Choo Abdullah
KUALA LUMPUR - Usahawan Produk Kecantikan, yang menjadi perhatian media selepas jantinaya dipertikai suami, Sri Wani Choo Abdullah bersyukur dan gembira selepas Mahkamah Tinggi Syariah membatalkan kesemua empat permohonan yang difailkan suaminya, Professor Dr Baharom Sanugi di sini, semalam.

Hakim Syarie Abdul Walid Abu Hassan membatalkan empat permohonan bekas Dekan sebuah Instutusi Pengajian Tinggi Awam itu termasuk permohonan faraq nikah (dipisahkan perkahwinan) dan perintah mahkamah agar Sri Wani menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) selepas meragui jantina sebenar wanita terbabit.

Mahkamah turut menolak permohonan komital (pemenjaraan) dan perintah menegah Sri Wani daripada mengeluarkan kenyataan kepada pihak media yang difailkan oleh Bahrom sebelum ini.

Berikutan itu, mahkamah mengarahkan Baharom untuk membayar kos kepada plaintif sebnyak RM3,000 bagi setiap kes yang difailkan kerana telah membuang masa dan kos plaintif, yang perlu diselesaikan dalam tempoh satu bulan dari kes itu dibacakan.

Abdul Walid berkata, keputusan tersebut dibuat selepas meneliti afidavit permohonan yang difailkan Sri Wani yang memohon untuk menggantung semua prosiding mahkamah kerana Baharom bukan seorang permastautin tetap dalam Wilayah Persekutuan.

“Responden telah gagal memberikan bantahan dan menyerahkan affidavit kepada mahkamah walaupun mahkamah telah memberikan tempoh yang mencukupi kepada pihak responden,” katanya.

Abdul Walid berkata, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes yang difailkan pemohon, sekali gus membatalkan keempat-empat permohonan Baharom.

Hakim turut menolak apabila peguam Baharom cuba membantah keputusan berkenaan, dan meminta mereka membuat rayuan dalam tempoh 14 hari sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan itu sambil menyifatkan pihak responden tidak serius dalam kes berkenaan.

Sementara itu, Baharom yang diwakili peguam Muhammad Hafiz Ab Rashid terdahulu memberitahu mahkamah, alamat yang digunakan anak guamnya di Taman Datuk Senu sememangnya bukan bukan rumah miliknya, sebaliknya Baharom hanya menyewa salah sebuah bilik di rumah itu.

Pada 6 Julai lalu, Sri Wani memfailkan permohonan di Mahkamah tersebut untuk menggantung prosiding perbicaraan dan soal balas permohonan komital bekas Dekan Profesor Dr Baharom Sanugi terhadap isterinya, Sri Wani Choo Abdullah sehingga mendapat keputusan sama ada kuasa mahkamah mendengar kes pasangan itu atau sebaliknya.

Isu bidang kuasa mahkamah ditimbulkan Sri Wani pada prosiding sebelum ini kerana dia mendakwa suaminya menipu alamat penyampaian di Kuala Lumpur dalam semua dokumen kes itu, sedangkan alamat sebenar adalah di Batu Caves.

Baharom Sanugi, 61, mengesyaki Sri Wani  lelaki, telah memfailkan permohonan membatalkan perkahwinan  selepas setahun mengahwini isteri ketiganya itu,  seorang pengusaha produk kecantikan, yang memeluk Islam pada 2001.

Pasangan tersebut bernikah pada 19 Ogos 2009 di Songkhla, Thailand dan mendapatkan sijil nikah di Kedah.

Sementara itu, Sri Wani, yang ditemani peguam Boestamam Ahmad, ketika ditemui media menyatakan kesyukuran kepada ALLAH SWT dan berterima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan kepadanya selama ini.

“Segala hinaan selama ini saya telan, walapun sangat pahit untuk saya lalui. Alhamdulillah hari ini saya bebas kerana ALLAH masih sayangkan saya.

Selama ini saya terpaksa menutup mulut dapada memberi sebarang kenyataan kepada pihak media, kerana saya dalam injunksi mahkamah, hari ini saya bebas. Hanya Allah balas jasa baik semua,”katanya.

Turut hadir peguam Sri Wani, Ahmad Izuddin Fakhrullah dan wakil Sukaguam, Nur Hafidzah Mohd. Yusuff. - SH

* Apa keputusan DNA?

30 August 2012

Maut ditembak depan sekolah

Mayat mangsa dimasukkan ke dalam 
kenderaan polis untuk dihantar ke HKL
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki ditemui mati ditembak di Jalan 29 Selayang Baru berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Darul Ehsan, tengah hari semalam.
K Archuthan, 41, ditembak ketika menunggu anaknya yang berusia 17 tahun pulang dari sekolah berdekatan bersama isterinya, S Citra, 36, di dalam kereta miliknya jenis Toyota Camry.

Dipercayai mangsa yang mempunyai sebuah syarikat kawalan keselamatan maut akibat parah ditembak di beberapa bahagian badan dan leher.

Sementara itu, saksi kejadian yang enggan dikenali berkata, dia mendengar beberapa das tembakan dilepaskan dua suspek yang menaiki motosikal jenis Honda Ex5.

“Saya sangka ada orang bermain mercun tetapi tidak lama selepas itu, orang ramai mula berkumpul di tempat kejadian setelah mendapati mangsa sebenarnya ditembak,” katanya.

Dipercayai, isteri mangsa turut terkena tembakan di rusuk kanan dan dibawa orang awam ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, mangsa ditembak dari jarak dekat dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu.

Menurutnya, siasatan awal polis menemui enam kelongsong peluru saiz 9 milimeter di tempat kejadian.

“Mangsa baru dibebaskan daripada Enakmen Ordinan (EO) dan dibuang ke Perlis sebelum ini. Kita masih menyiasat motif pembunuhan dan usaha mencari suspek sedang dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat. - SH

* Malaysia negara aman. Aman buat penjenayah?

Kes amuk: Muhdalena hadir di mahkamah pakai topeng Power Rangers

Muhdalena Ahmad
PUTRAJAYA - Wanita yang terlibat dalam kejadian amuk di Jabatan Perdana Menteri (JPM) awal Julai lalu memakai topeng 'Power Rangers' warna merah bagi mengelak wajahnya dirakam media selepas selesai sebutan kesnya di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Muhdalena Ahmad dilihat hadir ke mahkamah berbaju dan bertudung merah, ditemani bapanya, sempat menunjukkan isyarat keamanan ketika wajahnya cuba dirakam media.

Pada prosiding hari ini, mahkamah mengarahkan wanita itu, melantik peguam secepat mungkin.

Hakim Mohd Kafli Che Ali berkata, mahkamah memberi tempoh dalam masa satu bulan untuk dia melantik peguam supaya semua isu berkaitan dokumen-dokumen kes itu boleh diselesaikan sebelum tarikh bicara ditetapkan.

Mahkamah turut menetapkan tarikh 12 September depan untuk pengurusan kes berkenaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nor Mazrah Ahmad Din berkata, tertuduh perlu melantik peguam dan menyelesaikan segera perkara-perkara yang dipersetujui antara pihak pendakwaan dengan tertuduh sebelum perbicaraan.

Menurutnya, terdapat pindaan dalam kanun prosedur jenayah yang menyatakan, kes perbicaraan perlu dilaksanakan dalam tempoh 90 hari dari tarikh didakwa.

Pada 19 Julai lalu, Muhdalena Ahmad, 28, mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan iaitu mengugut polis dan membawa pedang.

Prosiding pendakwaan ketika itu terpaksa dijalankan di Hospital Putrajaya kerana dia sedang dirawat selepas cedera dalam kejadian amuk berkenaan.

Bagi tuduhan pertama, dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut mendatangkan cedera parah kepada seorang anggota polis Ridzuan Megat Ahmad manakala bagi tuduhan kedua, dia didakwa membawa sebilah pedang.

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Kompleks B, JPM, Presint 1, Putrajaya kira-kira pukul 2.30 petang, 9 Julai lalu.

Kesalahan pertama didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dia diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu.

Pada kejadian tersebut, dia bersama dengan Khalil Afandi Hamid, 47, mengamuk di pekarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya kira-kira jam 2.30 petang, namun Khalil mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas terkena tembakan di tangan dan bahagian ari-ari, manakala Muhdalena turut terkena tembakan di paha kanan. - SH

* Boleh mula berniaga topeng di luar mahkamah...

Lelaki pecah masuk asrama mati dibelasah sekumpulan pelajar

ALOR SETAR- Seorang lelaki berusia 35 tahun yang memecah masuk asrama sebuah sekolah agama swasta di Jalan Sultanah di sini hari ini, mati setelah dibelasah sekumpulan pelajar lelaki sekolah itu.
  
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, suspek, seorang penagih dadah, dikatakan memecah masuk asrama itu dan mencuri telefon bimbit dan sebuah beg, tetapi disedari oleh sekumpulan pelajar yang kemudiannya bergelut dengan lelaki itu untuk menangkapnya.
  
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata pergelutan antara kumpulan pelajar berusia awal 20-an dengan suspek, menyebabkannya mengalami kecederaan dalaman dan patah tulang rusuk kiri.
  
Beliau berkata suspek yang dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk mendapatkan rawatan disahkan meninggal dunia kira-kira 2 petang.
  
"Satu laporan polis mengenai kejadian tersebut dibuat oleh pelajar terbabit dan masih menunggu laporan hasil bedah siasat terhdap suspek," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Adzaman berkata berdasarkan rekod, suspek mempunyai empat kes jenayah lampau iaitu pada tahun 2006 termasuk satu kes curi dalam kediaman.
  
Katanya setakat ini polis belum menahan mana-mana pelajar untuk memberi keterangan sehingga keputusan hasil bedah siasat ke atas suspek diperoleh. - Bernama

* Kesimpulannya, jauhi dadah...

Wanita hampir putus tangan kiri ditetak peragut

Rohaini Abdullah
KOTA BHARU, 29 Ogos — Seorang wanita hampir putus tangan kiri akibat ditetak dengan parang dalam kejadian ragut di Jalan Che Su di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, Rohairani Abdullah@Ibrahim, 36, baharu sahaja keluar dari keretanya dan ingin ke kedai pakaian untuk membeli tudung sebelum dia didatangi dua suspek yang menaiki sebuah motosikal.

Ketua Polis Daerah Kota Baharu, ACP Azham Othman berkata seorang suspek yang membonceng motosikal berkenaan lantas bertindak menarik beg tangan mangsa, namun mangsa tidak melepaskannya.

“Berikutan mangsa yang enggan melepaskan beg tangannya itu, menyebabkan pembonceng motosikal tersebut turun daripada motosikal dan menetak pergelangan tangan kiri Rohairani menggunakan parang.
“Kejadian itu menyebabkan dua urat tangannya putus dan dia dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk menjalani pembedahan,” katanya ketika dihubungi.

Azham berkata polis sedang menjejaki kedua-dua suspek.
Pegawai Perhubungan Awam HRPZ II, Zaid Ahmad berkata mangsa masih dirawat dan berada dalam keadaan stabil. - Bernama

* Negeri PAS pun tak selamat...

Polis ambil keterangan anak pemimpin parti lahir anak

Datuk Mohd Bakri
Polis telahpun mengambil keterangan anak perempuan seorang pemimpin kanan sebuah parti pembangkang yang melahirkan
seorang bayi lelaki di Jerantut, Pahang baru-baru ini.
  
Sebelum ini, pemimpin pembangkang itu bersama seorang anak lelakinya berumur 14 tahun ditahan reman pada 22 Ogos lepas dan dibebaskan Isnin lalu bagi membantu siasatan polis berhubung satu kes sumbang mahram.

Pengarah Jabatan Siastan Jenayah Bukit Aman Datuk Mohd Bakri Mohd Zinin (kiri) berkata remaja wanita berumur 15 tahun itu diambil keterangan selepas melahirkan seorang bayi lelaki di sebuah pusat bersalin di Cheras, Kuala Lumpur empat hari lepas.
  
"Kita juga akan menyiasat jika benar ada penglibatan individu kedua (anak lelaki pemimpin pembangkang tersebut)," katanya kepada pemberita di ibunegara hari ini.
  
Polis juga akan mengambil sampel DNA kedua-dua suspek dan keputusannya dijangka diketahui dalam tempoh seminggu selain masih meneruskan siasatan, kata Mohd Bakri.
  
Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dalam sidang media di Bukit Aman berkata polis tidak akan berkompromi dalam kes ini.

"Rogol adalah jenayah tidak kira siapa yang melakukan dan bila jenayah berlaku, saya anggap orang yang dikaitkan adalah suspek dan kita akan siasat seperti biasa," katanya.
  
Suspek yang juga saudara terdekat kepada seorang pemimpin kanan sebuah parti pembangkang tanah air, pernah bertanding pada pilihan raya umum ke-12.
  
Bagaimanapun, suspek yang bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri di Pahang pada pilihan raya umum lepas itu kalah kepada calon BN.

- Bernama

Wanita Mengamuk Di Putrajaya Diarah Dapatkan Peguam Untuk Kes Ugutan Jenayah Dan Miliki Pedang

Muhdalena
PUTRAJAYA: Seorang wanita berusia 28 tahun yang didakwa melakukan ugutan jenayah dan memiliki sebilah pedang diarah oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu mendapatkan khidmat peguam bagi membolehkan pihak pendakwa memulakan segera kesnya.

Ketika mengarahkan demikian Hakim Mohd Kafli Che Ali berkata di bawah Kanun Acara Jenayah yang dipinda, tarikh perbicaraan mesti ditetapkan dalam tempoh 90 hari dari tarikh tertuduh didakwa di mahkamah.

Mohd Kafli kemudian menetapkan 12 September bagi urusan kes.
Terdahulu, timbalan pendakwa raya Siti Noor Mazrah Ahmad Din memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwa sedia menyerahkan dokumen berhubung kes itu kepada Muhdalena dan menggesa tertuduh mendapatkan seorang peguam.

Muhdalena memberitahu mahkamah bahawa beliau akan berbuat demikian.
Muhdalena dari Kota Damansara, didakwa pada 16 Julai di katil rawatannya di Hospital Putrajaya selepas beliau terkena tembakan di paha kanannya.

Beliau didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam untuk mencederakan anggota polis bantuan, Ridzuan Megat Ahmad, di perkarangan Kompleks B Jabatan Perdana Menteri di sini pada kira-kira 2.30 petang 9 Julai.
Dakwaan itu di bawah Seksyen 506 Kanun Kesiksaan membawa hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Muhdalena, siswazah Universiti Islam Antarabangsa, juga didakwa memiliki sebilah pedang di tempat dan masa yang sama.
Tuduhan itu di bawah seksyen 7 (1) Akta Senjata Korosif, Eksplosif dan Berbahaya 1958 boleh mengakibatkan beliau dipenjara hingga dua tahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Beliau kini dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu perbicaraannya.
Pada 9 Julai, seorang lelaki berusia 47-tahun, Khalil Afandi Abd Hamid, yang mendakwa dirinya sebagai Imam Mahadi ditembak mati oleh polis bila beliau mengamuk dengan sebilah pedang Samurai di kompleks yang sama.
Muhdalena ada bersamanya semasa kejadian itu. - BERNAMA

* Hukuman yang patut...

Norish Tidak Dicemuh Kerana Kontroversi Anak Keempat

Norish Karman
PETALING JAYA: Pelakon Norish Karman berkata pendedahan mengenai status bayi lelakinya yang dikatakan anak luar nikah di sebuah akhbar harian pada minggu lalu tidak mengundang cemuhan masyarakat.

Norish atau nama sebenarnya Nor’Asikin Karman, 38, berkata, dia mendapat sokongan peminat sejak pendedahan secara terbuka mengenai anak keempat tersebut iaitu Muhammad Haq Lutfie Alexander (Haq) yang berusia 11 bulan.

“Tiada cemuhan atau penghinaan daripada peminat dan masyarakat yang saya terima sejak pendedahan (mengenai bayi lelaki) di akhbar baru-baru ini.

“Sebaliknya, peminat memahami kesulitan yang saya hadapi dan menyatakan sokongan, kasih sayang dan perangsang di laman Facebook kepada saya dan keluarga,” katanya yang melahirkan anak itu pada 24 September tahun lalu.

Aktres dari Singapura itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Hari Raya program Wanita Hari Ini di perkarangan Sri Pentas TV3, Bandar Utama di sini, petang Rabu.
Norish berkata, dia juga tidak kesal atau terkilan apabila gambar-gambar dan tuduhan berkenaan tersebar di Internet sejak beberapa bulan lalu.

“Tiada apa yang perlu saya kesalkan apabila cerita itu timbul dan diperkatakan secara meluas. Saya terimanya dengan reda kerana ini adalah ketentuan Allah.
“Orang yang tidak tahu apa-apa lebih baik jangan buka mulut dan menyebarkan cerita yang mereka tidak tahu kesahihannya,” katanya.

Ditanya mengenai tindakannya berdiam diri seperti mahu melarikan diri sebelum ini, Norish berkata, dia tidak berniat untuk mengelak tetapi menunggu waktu terbaik untuk membuka mulut.
“Pada asalnya saya mahu berkongsi mengenai kemunculan Haq dalam keluarga kami pada sambutan hari lahirnya yang pertama pada September depan. Apabila cerita itu timbul awal dan tersebar saya terpaksa hadapinya dengan tenang, bijak dan matang.

“Jujurnya, saya malas hendak layan dan merunsingkan fikiran. Saya terima kontroversi ini sebagai takdir yang membuatkan saya lebih popular biarpun secara negatif,” katanya.
Mengenai zuriat itu, Norish berkata dia bersyukur kerana dikurniakan anak yang tidak banyak ragam serta dilimpahi kasih sayang keluarga di sebalik cerita-cerita negatif yang timbul.

Terbaru, pelakon filem Sayang Salmah ini sedang mengikuti pengajian peringkat ijazah dalam bidang Psikologi dan Sains Sosial di sebuah institusi yang dirahsiakan, selain tumpuan pada kerjaya lakonan, nyanyian dan penceramah motivasi.
Norish turut memiliki tiga anak hasil pernikahan pertamanya iaitu Muhd. Haqiem Armany, 13, Muhd Hardy Amieran, 9 dan Nur Hanyz Amanda, 8. - Mstar

* Pilihlah pelakon lain yang boleh dibuat contoh buat umat Islam...

29 August 2012

Penggali kubur maut tertimbus liang lahad di Mentakab

KUANTAN, 28 Ogos — Seorang penggali kubur maut selepas liang lahad yang sedang digali runtuh dan menimbusnya.

Dalam insiden pada 10.15 pagi tadi di tanah perkuburan Kampung Penak dekat Mentakab, mangsa, Zailan Hamid, 40, sedang menggali kubur bersama seorang lagi rakan, Mohd Nasir Musa, 40.

Pemangku Ketua Polis Daerah Temerloh Superintenden Zundin Mahmood berkatamangsa dipercayai meninggal dunia akibat cedera parah di kepala dan patah leher.

Liang lahad itu digali mangsa dan rakannya bagi mengebumikan jenazah seorangwarga emas, Minah Ishak, 76, yang meninggal dunia akibat sakit tua.

“Ketika menyiapkan bahagian akhir liang lahad itu, tiba-tiba ia runtuh danmenimbus keseluruhan badan mangsa.

“Mangsa tertimbus lebih setengah meter, hanya kaki kanan mangsa yang terjulur keluar.
“Rakan mangsa dan beberapa penduduk yang berada di kawasan berkenaan menggali dengan tangan dan berjaya mengeluarkan mangsa kemudiannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata Zailan meninggal dunia sejurus selepas itu.
Zundin berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah untuk bedah siasat. — Bernama

28 August 2012

Tauke-Meera sah cerai

Ketika saat bahagia Tauke dan Meera
PELAWAK yang lahir menerusi program realiti Raja Lawak terbitan Astro, Tauke, mengesahkan bahawa dia dan isterinya sudah tidak mempunyai sebarang ikatan, sejak dua minggu lepas.

Tauke atau nama sebenarnya, Zamatul Amri Zakaria, 36, menjelaskan dia sudah melafazkan cerai talak satu ke atas Meera, 23, pada 12 Ogos lalu.

“Sekarang saya sudah tiada apa-apa hubungan dengan dia dan memang saya sudah kembali solo sejak dua minggu yang lalu,” katanya.

Sebelum ini kecoh mengatakan rumah tangga yang dibina Tauke dan Meera yang baru berusia beberapa bulan berdepan masalah besar.  Mereka dikatakan sudah tidak tinggal sebumbung dan khabarnya Tauke juga sudah lama tidak bertemu Meera.

Menjawab dakwaan itu, Tauke menjelaskan, “memang benar sebelum ini rumah tangga kami dilanda krisis agak besar apabila dia keluar dengan membawa semua pakaiannya, pada bulan Julai lalu dan puncanya biarlah saya rahsiakan saja."

Perkahwinan ketiga Tauke dengan model sambilan itu berlangsung pada April lalu dan dia mempunyai enam orang anak hasil daripada dua perkahwinan terdahulu.

Ketika ditanya sama ada dia sudah serik untuk berkahwin lagi, Tauke berkata: “Kalau ada jodoh pada masa akan datang, saya tidak akan menolak tetapi apa-apa pun saya kini mahu lebih fokus kepada kerjaya terlebih dahulu."

Ketika ditanya sambutan Syawal yang lalu, Tauke meraikan Hari Lebaran di kampung halamannya di Pasir Gudang, Johor bersama keluarganya.

Tauke dan rakan kumpulan Jambu, Yus dijangka kembali dengan program komedi berjudul Pondok Jambu yang bakal bersiaran di Astro Warna bermula bulan depan. - SH

* Bukan contoh yang baik...

Lori dirempuh 3 kali, guru antara maut

Kemalangan Lebuhraya Utara Selatan.
ALOR GAJAH - Sebuah lori tiga tan yang merintangi lebuh raya dirempuh tiga kali, mengakibatkan dua maut dalam kemalangan Kilometer 197.3 Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke selatan, berhampiran Alor Gajah di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 4.45 pagi membabitkan lima kenderaan itu, Muhammad Farid Mazlan, 27, yang bertugas sebagai guru di Sekolah Sukan Bandar Penawar, Johor, sementara Mohammad Fakhrulrazi Baharuddin, 28, seorang jurutera, maut di tempat kejadian kerana cedera parah.

Muhammad Farid memandu kereta jenis Perodua MyVi dalam perjalanan ke Johor Bahru selepas bercuti sempena Aidilfitri selama seminggu.

Mangsa dipercayai merempuh bahagian belakang sebuah lori tiga tan yang sebelum itu telah merempuh bahagian belakang sebuah treler.

Sumber berkata, kemalangan menyebabkan kenderaan mangsa terhumban ke tebing lebuh raya, sementara lori terbabit hilang kawalan dan memasuki laluan tengah sehingga merentangi jalan.

"Pemandu lori, Rosli Md Nor, 37, tersepit di tempat duduk selepas merempuh treler dan kemudian dirempuh pula oleh mangsa di bahagian belakang.

"Mangsa yang cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.


Dengar jeritan pemandu lori

Menurutnya, selang 30 minit kemudian, Mohammad Fakhrulrazi yang menunggang motosikal Kawasaki Versys turut merempuh lori terbabit menyebabkan mangsa tercampak ke tebing lebuh raya.

"Beberapa saat kemudian, sebuah kereta jenis Proton Saga dinaiki empat sekeluarga dipandu Ahmad Faisal Azizan, 29, bersama isteri, Putri Hasmiza Irdawati, 29, serta dua anak mereka, Muhammad Faiz Irfan, 4, dan Nur Farzanah Irdina, 1, merempuh bahagian tepi lori terbabit," katanya.

Saksi kejadian, Mohd Farhan Mohd Asri, 23, berkata, dia cuba membantu pemandu kereta Perodua MyVi tetapi gagal berikutan pintu kereta mangsa tidak dapat dibuka.

"Pada masa sama, saya mendengar jeritan pemandu lori yang meminta tolong tetapi saya tidak dapat membantu kerana lorinya berada di tengah jalan dan  terpaksa menunggu anggota peronda lebuh raya tiba.

"Sementara itu, saya lihat empat sekeluarga yang menaiki kereta Proton Saga berjaya menyelamatkan diri ke tepi lebuh raya," katanya yang mengakui panik dengan kejadian itu dan pantas menghubungi bantuan kecemasan sebelum sepasukan anggota Jabatan Pertahanan
Awam Malaysia (JPAM) serta anggota bomba Alor Gajah tiba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Ketua Operasi JPAM, Mohd Rizuan Rahmat berkata, tiga anggotanya bersama sepasukan anggota Skuad Penyelamat Integrasi (SPI) bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan daripada orang awam.

“Kedudukan mangsa yang tersepit rapat di bahagian tempat duduk penumpang menyukarkan operasi. Kami berjaya mengeluarkannya selepas 30 minit," katanya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian tersebut.

"Pemandu lori mengalami kecederaan parah di kaki akibat tersepit dihantar ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan, sementara empat sekeluarga  menaiki kereta Proton Saga mengalami kecederaan ringan.

“Mayat dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.


Isteri pantang anak pertama

Isteri Allahyarham Muhammad Farid, Nurul Ain Suhari, 20-an, yang sedang berpantang selepas melahirkan anak pertama, Muhammad Mikhail Zain Muhammad Farid, berusia 20 hari reda dengan pemergian suaminya itu.

Sementara itu, isteri Allahyarham Mohammad Fakhrulrazi, Ily Zafirah Shahrinan, 27, berkata, dia tidak menyangka permintaan agar kedua ibu bapanya tingal di rumahnya lebih lama adalah petanda dia mahu meluangkan masa bersama mereka.

“Bapa, Shahrinan Ibrahim, 53, dan ibu saya, Zan Abd Ghani, 53, pelik dengan permintaan suami yang seolah-olah menghalang mereka pulang namun hanya menurutkan sahaja permintaannya supaya pulang ke rumah malam ini (semalam),” katanya.

Bagaimanapun katanya, dia terkilan kerana hasrat arwah suaminya untuk membeli sebuah rumah baru buat mereka sekeluarga tidak kesampaian.

"Lebih seminggu arwah bercuti sempena Hari Raya dan tiada reaksi pelik ditunjukkannya cuma arwah enggan membeli apa-apa barangan raya untuk dirinya tetapi melebihkan saya serta anak, Mohamad Adeeb Zuhayr berusia 20 bulan," katanya. - SH

* Jalan raya pun tak selamat...

Ditembak selepas ngaku Pok Mat

Allias (kiri) bersama rakannya
 melakonkan semula keadaan mangsa 
semasa terkena dua das tembakan ketika
 mereka sedang bermain dam di hadapan kedai mangsa.
KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga kedai runcit maut selepas terkena dua das tembakan pada jarak dekat di rusuk kanan belakang dan rusuk kiri depan oleh tiga lelaki tidak dikenali dalam satu kejadian di Kampung Bukit Cempedak, Wakaf Tapai, Marang, malam kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 malam ketika mangsa, Mat Keya Jusoh, 54, sedang bermain dam berhampiran kedainya bersama seorang rakan, Allias Lemas, 51, sebelum didatangi sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dinaiki tiga suspek.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan, Perodua Viva berwarna putih itu berhenti antara jarak lima meter sahaja dari tempat mangsa bermain dam sebelum salah seorang daripada mereka memberitahu ingin mencari ‘Pok Mat’.

“Salah seorang suspek bertanyakan kepada mangsa adakah dia ‘Pok Mat’ dan mangsa yang sememangnya dikenal dengan nama itu dalam kalangan rakan serta orang kampung mengiakan sahaja.

“Bagaimanapun, hanya beberapa saat selepas mangsa mengaku yang dia adalah 'Pok Mat', dua das tembakan dilepaskan oleh salah seorang suspek menyebabkan mangsa terus rebah sebelum mereka memecut kereta meninggalkan lokasi kejadian,” katanya.

Manoharan berkata, mangsa yang cedera parah di bahagian rusuk dihantar penduduk kampung ke Hospital Kuala Berang untuk mendapatkan rawatan susulan.

“Bagaimanapun, bapa lima anak itu disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11.50 malam,” katanya.

Menurutnya, siasatan masih dijalankan untuk mengetahui motif pembunuhan.

Katanya, suspek berusia antara 25 tahun hingga 30 tahun dipercayai lelaki Melayu.

Kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

"Gurau menda ni.."

"Gurau menda ni..." itulah kata-kata terakhir Allahyarham Mat Keya sebelum rebah selepas terkena dua das tembakan di hadapan kedai makan miliknya di Kampung Bukit Chempedak, Pengkalan Berangan, malam kelmarin.

Rakan Allahyarham, Allias berkata, dalam kejadian kira-kira 11.30 malam itu, mangsa ditembak dari jarak dekat ketika sedang bermain dam.

“Sebelum kejadian, kami melihat kereta berhenti di sebuah rumah berdekatan kedai ini tetapi kereta itu hanya berhenti sekejap sahaja di situ sebelum bergerak semula dan berhenti di hadapan kedai ini.

“Sebaik kereta itu berhenti di hadapan kedai, betul-betul di hadapan kami, seorang individu tidak dikenali bertanya adakah kami mengenali ‘Pok Mat’ lalu mangsa mengakui dia adalah ‘Pok Mat’ yang dicari,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, penjenayah itu kemudiannya mengundurkan kenderaan sebelum melepaskan dua das tembakan.

Menurutnya, sejurus selepas bunyi tembakan itu dia melihat mangsa bangun dan memarahi individu berkenaan kerana menganggap ia gurauan melampau.

“Bagaimanapun, Pok Mat kemudiannya rebah dan ketika memegang mangsa saya melihat ada kesan darah di bahagian rusuk lalu memaklumkan perkara itu kepada ahli keluarganya,” katanya.


Sangka bunyi mercun

Sementara itu, isteri mangsa, Sepiah Mamat, 53, berkata, dia juga tidak menyangka bunyi letupan sebanyak dua kali itu adalah bunyi tembakan yang meragut nyawa suaminya.

"Ketika kejadian, saya berada di dapur dan sangka bunyi letupan itu bunyi budak nakal bermain mercun,” katanya yang mempunyai lima anak.

Pemergian ketua keluarga itu bukan sahaja ditangisi Sepiah, tetapi turut dirasai anak-anak mangsa malah salah seorang anak mangsa, Mohd Hafizudin, 17, tidak hadir ke sekolah untuk menduduki peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia, semalam.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Berangan ini sepatutnya menduduki peperiksaan subjek Bahasa Melayu, namun tidak dapat hadir kerana bersedih atas kejadian menimpa ayahnya. - SH

* Betulkah Umno kata Malaysia aman. Macam tak reti perintah...

Juruwang maut ditembak penyamun

Lokasi kejadian dan tempat mangsa bekerja
 di Taman Jinjang Baru, Sentul.
KUALA LUMPUR - Seorang juruwang maut terkena tiga das tembakan yang dilepaskan seorang daripada dua lelaki yang menyamun sebuah kedai Internet di Taman Jinjang Baru, Sentul, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 pagi itu, mangsa, Mohd Rahmat Jul, 34, berada di kaunter, sebelum premis terbabit tiba-tiba dimasuki dua lelaki berusia 40-an yang bersenjatakan parang serta pistol.

Menurut seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd Dhari, 38, ketika kejadian dia bersama lapan pelanggan berada dalam premis terbabit.

Katanya, dua suspek terbabit meluru masuk, terus menuju ke kaunter premis sambil mengacukan pistol dan parang ke arah mangsa.

Menurutnya, kedua-dua penyamun itu mengugut mangsa untuk menyerahkan semua wang tunai yang ada.

"Mangsa terpaksa menyerahkan kira-kira RM2,000 sebelum kedua-dua penyamun itu beredar.

"Mangsa, bagaimanapun, sempat mencapai sebatang kayu dan memukul tangan penyamun yang bersenjatakan pistol, tetapi penyamun itu sempat lari keluar dari premis," katanya, semalam.

Saksi itu berkata, mangsa tidak berputus asa dan terus mengejar penyamun berkenaan, sebelum dia terdengar bunyi tembakan.

"Apabila saya keluar, mangsa sudah cedera parah ditembak. Saya kemudiannya menghantar mangsa ke Hospital Selayang dengan teksi," katanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, penyamun melepaskan tiga das tembakan dan mengenai perut serta paha mangsa.

"Mangsa yang cedera parah disahkan meninggal dunia di Hospital Selayang.

"Dua penyamun itu bersenjatakan sepucuk pistol serta sebilah parang. Mereka kemudiannya melarikan diri dengan menaiki motosikal," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), semalam.

Chin Wah berkata, usaha memburu kedua-dua penjenayah itu sedang giat dijalankan.

Isteri mangsa, Siti Samiah Gapal, 34, yang bekerja di kilang plastik berkata, suaminya ada menghubungi pada jam 3 pagi memaklumkan akan pulang lewat.

"Suami bekerja sambilan di situ dan saya hanya mengetahui kejadian selepas dimaklumkan oleh ibu," katanya. - SH

27 August 2012

Akhbar British pecat kolumnis pro-Israel atas hubungan dengan Malaysia

Joshua Trevino
KUALA LUMPUR, 27 Ogos — Akhbar British The Guardian telah menamatkan perkhidmatan kolumnis konservatif Amerika, Joshua Trevino sebagai koresponden Amerika Syarikat mereka kerana didakwa mempunyai hubungan dengan sebuah syarikat yang terbabit dalam kempen penetapan berita dibiayai oleh kerajaan Malaysia untuk menjalankan sebuah laman web yang menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepentingan pembangkang lain di sini.

Dalam kenyataan pendek hujung minggu lalu, akhbar tersebut mengatakan, ia baru-baru ini mengetahui bahawa Trevino “adalah perunding bagi agensi yang mempunyai kepentingan perniagaan Malaysia dan bahawa dia menguruskan sebuah laman web yang dipanggil Malaysia Matters (Perihal Malaysia). Selaras dengan kod editorial Guardian, ini sepatutnya telah didedahkan.”

Trevino baru-baru ini telah diupah oleh The Guardian untuk menjadi kolumnis konservatif di Amerika Syarikat. Pelantikannya menyebabkan bantahan daripada aktivis liberal selepas beliau menggesa Israel untuk menembak konvoi kemanusiaan pada tahun 2011 yang mahu memecahkan sekatan tentera laut Gaza.

26 August 2012

Laman Facebook Pemuda Umno pohon maaf diatas poster kontroversi

Gambar tangkapan scrin sebelum poster
 tersebut di laman Facebook Pemuda Umno
sebelum diambil keluar pada Sabtu lepas.
KUALA LUMPUR, 26 Ogos — Pentadbir kepada laman Facebook Pemuda Umno membuat permohonan maaf hari ini diatas poster kontroversi mereka siarkan — menyatakan undi kepada Pakatan Rakyat (PR) akan menyebabkan Kristian menggantikan Islam sebagai agama persekutuan.

Laman Facebook tersebut memuat naik poster yang bertulis: “Jika anda setuju untuk jadikan KRISTIAN sebagai agama rasmi persekutuan Malaysia, teruskan sokongan anda kepada Pakatan Rakyat. God bless you my son.”

“Kami minta maaf secara terbuka kepada semua rakyat atas kesilapan mengeluarkan gambar yang tidak patut pada 17/18 Aug 2012. Admin itu sudah dikeluarkan dari fanpage,” tulis pentadbir laman tersebut lewat malam tadi beberapa jam selepas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin memberitahu media dia sudah hampir tahu siapa di belakang poster tersebut.

Poster tersebut mengejutkan warga internet yang melihat permohonan maaf tersebut sebagai satu kontradiksi kepada kenyataan Khairy yang menyatakan Pemuda Umno tidak mempunyai laman Facebook rasmi.

Khairy turut mengarahkan ketua Pemuda Taman Tun Dr Ismail untuk membuat laporan polis menafikan laman Facebook tersebut milik Pemuda Umno dan orang yang menaikkan poster tersebut adalah orang yang tidak beri kuasa.

“Khairy cakap akaun palsu... Rupanya akaun betul la nih. Siap buat report polis bagai akaun palsu. Senang-senang je nak bodoh-bodohkan kami ye... Siapa admin yg kena remove tuh?? Cepat dedahkan siapa... Memburukan imej Pemuda UMNO...,” komen Nur Miba di permohonan maaf tersebut.
“Hampeh betul la korang ni. Monyusahkan… tak mengaku, lepas tu mengaku. Bangang,” kata Shauqie Kharip.

Jika Pemuda Umno dibawa ke mahkamah berkenaan dengan laman Facebook bukan milik mereka itu, ia akan menjadi ujian kepada pindaan Seksyen 114A, Akta Keterangan yang mendapat tentangan daripada ramai pihak.

Seksyen 114A menyebabkan pengusaha kedai kopi yang menyediakan perkhidmatan Wi-Fi boleh dikenakan saman fitnah dan dakwaan jenayah diatas komputer yang digunakan pelanggan.
Suhakam dalam kenyataan yang dihantar kepada The Malaysian Insider meminta kerajaan menyemak semula pindaan undang-undang tersebut.

“Walaupun tanggapan fakta di bawah Seksyen 114A boleh dipatahkan. Seseorang yang dianggap bersalah, mungkin tidak mempunyai masa, sumber dan khususnya kepakaran teknikal berhubung dengan persekitaran Internet, untuk membuktikan sebaliknya bagi mematah tanggapan tersebut,” katanya pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam.

Beliau berkata berbeza pula dalam kes jenayah, pihak pendakwaan boleh lebih bersedia untuk membuktikan kesalahan pihak tertuduh, kerana mereka diberi kuasa untuk memaksa mana-mana saksi berpotensi (seperti pentadbir, pemberi khidmat rangkaian dan pembekal Internet) untuk mengemukakan keterangan. - TMI

Pensyarah UiTM: Dasar air percuma 'tak bijak'

suhaimi
Dasar kerajaan negeri Selangor memberi bekalan air percuma sejak empat tahun lepas adalah langkah yang tidak bijak dan bukan bersifat lestari, kata seorang ahli akademik.

Prof Dr Suhaimi Abdul Talib berkata dasar itu menyebabkan hasil bagi kerajaan negeri terus merosot yang akan sebaliknya memberi manfaat atau berguna bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur.

"Walaupun pemberian air percuma kelihatan baik dari segi faedah jangka pendek, tetapi dari segi jangka panjang kita tidak mendidik orang ramai untuk menghargai air," katanya dalam satu temu bual dengan Bernama hari ini.

Dr Suhaimi, yang juga Penolong Naib Canselor bagi Pembangunan, Pengurusan Kemudahan dan ICT Universiti Teknologi Mara (UiTM), memberi amaran," Kita tidak mempunyai limpahan bekalan air yang tidak terhingga. Kita perlu sedar bahawa sumber-sumber air semakin berkurangan berikutan peningkatan permintaan yang mendadak."

Beliau berkata negeri itu akan sampai pada satu peringkat di mana ia tidak lagi dapat menarik air mentah dari sumber luar dan sumber air yang baru akan perlu datang bergantung kepada bagaimana ia dapat menguruskan sumber dalamannya sendiri dengan cara yang terbaik.

Dr Suhaimi berkata beliau menentang dasar air percuma kerana persoalan berhubung kemampuan bukan satu isu di Kuala Lumpur.

"Jika kita perlu membayar bil air kita sebanyak RM40 sebulan, apa sangat dengan RM40? Anak anda belanja lebih daripada RM40 ke atas (telefon bimbit) prabayar. Jadi, ia bukan satu persoalan mengenai kemampuan. Kita sepatutnya membayar bagi bil air kita."

Dr Suhaimi berkata rakyat negeri Selangor perlu dididik supaya mengubah tanggapan mereka mengenai air dengan cara menghargai nilai sebenar air dan ini tidak boleh dilakukan selagi mereka mendapat bekalan air percuma.

"Rakyat negeri Selangor kena guna air secara berhemah supaya setiap penduduk dapat mengurangkan penggunaan sebanyak 20 peratus. Ini bermakna kapasiti di empangan-empangan kita boleh meningkat 20 peratus. Ini adalah sesuatu yang kita terlepas pandang."

Beliau berkata negara-negara maju telah menukar daripada pengurusan sumber air kepada pengurusan permintaan sambil menambah "kita perlu mengawal rakyat yang menggunakan air."

"Hanya ada satu cara bagi kita untuk memastikan penggunaan air secara lestari. Kita mesti mengubah tingkah laku kita terhadap air dan hanya melalui pengubahsuaian tingkah laku, membolehkan kita mengekang permintaan yang tidak terkawal. Sudah tentu, permintaan akan meningkat tetapi kadar peningkatan itu boleh dikawal," kata Dr Suhaimi.

Dr Suhaimi menjelaskan jika peningkatan tarif air tidak dapat dielakkan, katakan setiap beberapa tahun, ia perlu wajar dan dengan persetujuan kerajaan.

"Maksudnya begini: Dalam negara ini, apa sahaja (bayaran bagi) barangan dan khidmat yang akan dinaikkan akan memberi gambaran buruk ke atas kerajaan. Ini kerana kita biasanya mendapat apa sahaja dengan percuma atau melalui subsidi.

Jadi bila anda cuba untuk mengambilnya balik, orang ramai akan kata ini hak kami, jadi masalahnya dengan rakyat Malaysia adalah ini..ia bukan persoalan mengenai kemampuan, kita boleh membayar tetapi ia satu persoalan mengenai kesediaan individu itu untuk membayar."

Beliau berkata air yang merupakan keperluan asas bagi setiap orang, tidak sepatutnya diberi secara percuma kerana ia memberi makna bahawa komoditi yang berharga itu tidak mempunyai nilai.

- Bernama

* Kita kaya kita jangan lupa rakyat yang susah...

Keyakinan terhadap FGVH akan bertambah

isa samad
PORT DICKSON, 25 Ogos — Keyakinan pelabur terhadap Felda Global Ventures Holding Bhd (FGVH) dijangka akan bertambah dalam masa terdekat, sekaligus akan membawa kepada peningkatan harga sahamnya di Bursa Malaysia.

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata berdasarkan rekod keuntungan yang dicatatkan FGVH sebelum ini, beliau yakin ia akan merangsang pihak pelabur untuk membeli saham FGVH.

"Dari segi harga saham, pada masa sekarang memang ada penurunan tapi ini satu perkara yang berlaku pada semua syarikat dan sudah pasti pihak pelabur akan melihat perkembangan FGVH pada masa akan datang," katanya kepada pemberita semasa ditemui di majlis rumah terbuka sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di kediamannya, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai laporan negatif dalam beberapa blog di Malaysia terhadap penurunan harga saham FGVH ketika ini.
Mohd. Isa berkata soal turun naik harga saham adalah perkara biasa dalam perniagaan dan ia memang dijangkakan dan pihak Felda sendiri sedang mencari kaedah untuk mengatasinya termasuk membuat penambahan pegawai untuk menguruskan FGVH agar syarikat itu dapat terus menjadi syarikat yang terbaik.

Beliau berkata, isu penurunan harga saham FGVH itu sengaja dimainkan oleh pihak-pihak tertentu untuk tujuan politik bagi menghakis kepercayaan pelabur terutama peneroka terhadap Felda dan juga kerajaan.
FGVH yang baru disenaraikan pada 28 Jun lepas, diapungkan pada harga RM4.55 seunit, dan pernah mencecah RM5.50 pada minggu awal disenaraikan sebelum merosot pada harga ketika ini. Sehingga pukul 5.18 petang semalam, harga saham FGVH berada pada paras RM5.03.

Dalam pada itu, mengulas mengenai bayaran durian runtuh RM5,000 kepada generasi kedua Felda yang dijanjikan akan diagihkan selepas Aidilfitri, Mohd Isa berkata ia dijangka akan dibuat pada bila-bila masa sahaja.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) selaku Menteri yang menjaga Felda, akan menentukan tarikh pengagihan bayaran itu. Duitnya ada, cuma tarikh sahaja yang belum ditentukan lagi," katanya.
- BERNAMA

*  Bakal menang sorak kampung tergadai?

'Pusat sokong hudud di Kelantan'

MD ALWI
KOTA BHARU- Kerajaan Pusat menyokong pelaksanaan segera hudud di Kelantan dengan membolehkan cadangan hukuman itu menggunakan satu contoh kes.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata, sepatutnya Kerajaan Negeri sudah mengambil satu kes yang belum selesai di bawah enakmen dan mengenakan hukuman di bawah hukum hudud.

“Hudud dilaksanakan sejak zaman Rasulullah SAW dan di Kelantan ia sudah diluluskan sejak 22 tahun lalu, namun sehingga kini belum dilaksanakan.

“Sekarang, jika Kerajaan Kelantan sudah bersedia, silalah laksanakannya, usaha berdolak-dalik. Caranya, tangkap seorang daripada mana-mana kes tertangguh, dakwa di bawah enakmen dan lakukan hukuman di bawah hukum hudud,” katanya kepada media pada Majlis Aidilfitri di kediaman Ketua Umno Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, di sini, semalam.

Md Alwi berkata, apabila hudud sudah dilaksanakan, jika ada kekurangan, ia boleh sama-sama diperbaiki  jika ada perkara yang tidak lengkap, ia boleh disempurnakan selepas dilaksanakan.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Ketereh berkata, hudud bukan untuk menghukum sesiapa, sebaliknya bagi mencegah jenayah, jadi ia dapat buktikan undang-undang Islam tepat dan adil akan menjadikan umat negara ini lebih bertanggung jawab.

“Barisan Nasional (BN) tidak pernah menghalang hudud dan dakwaan Pas mengatakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad halang, itu tidak betul.

“Dr Mahathir beritahu dalam surat yang dihantar kepada Kerajaan Kelantan, hudud mesti adil dan jika rasa sudah betul, cukup peralatan, bersedia, ia boleh dilaksanakan.

"Dr Mahathir juga beritahu, hudud yang dilakukan di Pakistan dan Sudan tidak berjaya dan cetus kontroversi, jadi Malaysia mahu mengelak perkara tidak baik itu kerana sayangkan Islam,"- SH

* Kalau Umno hendak tawan Kelantan, tukar dia dengan orang yang cerdik...

25 August 2012

2 maut, 8 cedera kes tembak di New York

Anggota bomba dan polis 
membantu mangsa yang tercedera
 dalam kejadian tembakan dekat
 Empire State Building, New York. - Foto ihsan ABC news
NEW YORK - Dua orang termasuk seorang lelaki yang melepaskan tembakan mati manakala lapan yang lain cedera dalam kejadian yang mengejutkan banyak pihak di kawasan dekat dengan Empire State Building di sini, pagi ini.

Lelaki yang melepaskan tembakan itu ditembak mati oleh polis dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 9 pagi ini waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia).
Menurut pihak berkuasa, seorang pekerja kedai berdekatan menara itu, yang dipecat, telah menembak mati bekas rakan sekerjanya.

Penembak berusia 53 tahun manakala mangsa yang mati berumur 41 tahun.
Bagaimanapun laporan media yang diterima tidak pasti punca kejadian, yang berlaku di 34th Street dan Fifth Avenue, antara kawasan yang sibuk di New York City.

Bagaimanapun menurut polis, siasatan awal menunjukkan kejadian itu tidak ada kaitan dengan keganasan.
Mangsa yang cedera tidak serius dan dijangka dapat pulih dalam waktu terdekat. - SH

*  Kalau yang menembak itu seorang Islam, baru ia ada kaitan dengan keganasan?

24 August 2012

Ustaz Don-Husna selamat diijab kabul

Ustaz Don dan Husna menjadi
 tumpuan anggota keluarga dan 
rakan selepas majlis pernikahan pagi
 semalam. - Foto ihsan Beautifulnara
SHAH ALAM - Pengacara program 30 Minit Ustaz Don, Don Daniyal Don Bijayid selamat bernikah pagi semalam, di Pulau Pinang, dengan wanita pilihannya, Husna Zahry Rafie.
Majlis pernikahan itu berlangsung dalam suasana sederhana tanpa liputan besar-besaran.

Dalam kenyataannya dipetik Amin Idris Personaliti Al-Hijrah, Don, seorang penceramah bebas berkata: "Saya hanya bersederhana. Yang penting ialah pengisian selepas kahwin."

Menurut blog hiburan Beautifulnara pula, pasangan pengantin baru itu bakal bersanding 1 September ini.

Husna seorang penuntut tahun kelima jurusan perubatan di Universiti Kaherah, Mesir.
Pasangan yang nampak cantik berseri-seri dalam persalinan berwarna putih itu turut menerima banyak ucapan tahniah daripada peminat dan rakyat Malaysia menerusi laman-laman sosial.

Awal Mei lalu, beliau mengakui bahawa dirinya sudah pun bertunang selepas tersebarnya gambar majlis pertunangan mereka. Majlis pertunangan dikatakan diadakan Mac lalu. - SH

Ustaz Don: Kami sama seperti pasangan lain

Tidak ketinggalan, saudara mara 
mengambil peluang bergambar kenangan 
bersama Ustaz Don.
"BOLEH tak saya skrip jawapan itu." Itulah jawapan ringkas penceramah popular, Ustaz Don ketika ditanya mengenai pertemuannya dengan isteri, Husna Zahry.

Ustaz Don atau nama sebenarnya Don Daniyal Don Biyajid dalam kalangan peminat ceramah agamanya, malah fenomena Ustaz Don sama naik seperti Ustaz Azhar Idrus.

Ceramah yang disampaikan melalui kuliah-kuliah agamanya mula popular melalui laman Youtube sehingga ke laman sesawang Facebook, namun kini dia sudah pun menyampaikan ceramah dan mempunyai peminat yang tersendiri.

Lelaki berusia 28 tahun itu ditemui Sinar Harian setelah tiba di kampung halamannya di Kampung Dodol sebelum dinikahkan petang semalam di Balik Pulau, Pulau Pinang.

Husna berasal dari Balik Pulau dan majlis kenduri sebelah pengantin perempuan diadakan esok sementara majlis perkahwinan Ustaz Don akan diadakan pada 1 September 2012 di Dewan Kuis.

Dia yang bersahaja dengan kemeja lengan panjang hadir bersama adik bongsunya, Don Asyraf, 24, disambut puluhan saudara-mara dan orang kampung di situ.

Ketika ditemui dia dengan rendah diri memaklumkan jamuan berkenaan diadakan bukan untuk menyambut kedatangannya, sebaliknya adalah jamuan Aidilfitri yang diadakan setiap tahun bersama saudara-mara.

“Alang-alang disebabkan perkahwinan saya diadakan hari esok (hari ini), jadi mereka semua menyambutnya sekali,” katanya.

Kes bunuh: Suspek ditahan

SHAH ALAM 22 Ogos - Polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun yang dipercayai mempunyai hubungan dengan empat suspek yang terlibat dalam kes pembunuhan seorang pengawal keselamatan di Taman Desa Coalfields, Sungai Buloh, dekat sini Ahad lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Rosli Mohd. Isa berkata, suspek yang berasal dari Ijok, Kuala Selangor itu ditahan di kawasan Bestari Jaya dekat sini kira-kira pukul 4.45 pagi semalam.

"Polis mengesyaki punca sebenar kematian mungkin disebabkan dendam. Kita percaya suspek berasal dari Ijok itu boleh membantu untuk menjejaki suspek-suspek yang lain," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, mangsa, S. Mariapragasam, 22, yang dalam perjalanan pulang menaiki motosikal selepas menghadiri rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri rakannya mati selepas diserang empat lelaki yang bersenjata tajam di Taman Desa Coalfields. - Utusan

Guru mati terkena tembakan ketika memburu kancil

SEREMBAN 23 Ogos - Seorang guru mati manakala rakannya cedera setelah terkena tembakan senapang patah ketika berburu bersama tiga yang lain di kawasan hutan di Kampung Pondoi Tampin, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian pada pukul 11 malam itu, Amir Ain, 40, yang cedera parah di perut mati ketika dalam perjalanan ke hospital, manakala rakannya yang berusia 50-an cedera di punggung dan kini dirawat di Hospital Melaka.

Ketua Polis Daerah Tampin Supt Wooi Kooi Cheang ketika dihubungi hari ini berkata kelima-lima mereka masuk ke kawasan hutan berkenaan pada pukul 9 malam untuk memburu kancil.
"Siasatan mendapati seorang daripada mereka melepaskan tembakan ke arah satu objek yang dipercayai haiwan itu tetapi selepas dihampiri objek yang disangka kancil itu ialah orang," katanya.

Wooi berkata berikutan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki yang merupakan saudara terdekat mangsa yang mati dan dua rakannya untuk menbantu siasatan.
Polis turut merampas selaras senapang patah milik lelaki itu bersama sembilan butir peluru hidup dan satu kelongsong peluru, katanya. - BERNAMA

Jurukimpal maut ditikam adik ipar

MELAKA 23 Ogos - Gara-gara menegur supaya tidak memukul isteri, seorang jurukimpal maut ditikam adik iparnya dalam satu pergelutan di rumah ibu mangsa di Serkam Pantai di sini malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata dalam kejadian jam 7 malam itu, mangsa, Rashid Ahmad, 46, mengalami kecederaan parah di bahagian pinggang kirinya akibat ditikam dengan pisau oleh suspek yang berumur 41 tahun.

Beliau berkata kejadian bermula apabila mangsa menegur adik iparnya kerana sering memukul isterinya yang berumur 36 tahun yang juga adik kepada mangsa.
"Pertengkaran tersebut diikuti dengan pergelutan di mana suspek kemudiannya mengeluarkan pisau dan menikam pinggang kiri Rashid," katanya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di sini hari ini.

Raja Shahrom berkata suspek yang merupakan seorang pemandu di Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya kemudian melarikan diri menaiki kenderaannya iaitu Proton Iswara berwarna hitam dan bernombor plat NCB3205.

"Mangsa dibawa ke Unit Rawatan Rapi Hospital Melaka pada jam 7.30 malam sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 1.40 pagi dan mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Seremban untuk bedah siasat," katanya.- BERNAMA.

Asri: Hudud perlukan ijtihad baru

DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
PERBINCANGAN ini menyambung artikel yang lepas tentang pelaksanaan hudud. Ramai orang salah sangka apabila membayangkan negara yang dipimpin berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah itu sebagai negara yang agenda utamanya mengintip dan menghukum rakyat yang tidak mematuhi syariat.

Gambaran negara yang islamik sebagai negara yang sibuk mencari pesalah untuk dihukum dengan undang-undang hudud adalah gambaran yang silap yang ada di fikiran sesetengah pihak yang kurang memahami Islam. Seperti yang saya jelaskan sebelum ini, hudud hanya makanisme untuk mengatasi jenayah-jenayah tertentu, bukan gambaran keseluruhan negara Islam, bahkan bukan hudud juga undang-undang yang merangkumi semua jenayah.

Banyak lagi jenayah yang tidak tersenarai di bawah hudud. Peratusan besar jenayah yang pelbagai, terutama di zaman ini berada di bawah takzir. Makanisme ini pula memerlukan suasana yang kondusif untuk pelaksanaannya.

Seseorang Muslim apabila berbicara tentang pemerintahan dan tanggungjawab pemerintahan bukanlah membayangkan mekanisme mengatasi jenayah semata, tetapi membayang tanggungjawab keadilan dan kebajikan yang menjadi asas tersebarnya kebaikan dan keamanan dalam negara.

Justeru, Khalifah Umar bin Abd al-Aziz apabila beliau dilantik menjadi khalifah, beliau seakan tergamam dan begitu hiba. Beliau terus bersendirian bersolat dan menangis. Air matanya bercucuran hingga ke janggutnya. Apabila isterinya Fatimah bertanya, dia berkata:

“Wahai Fatimah! Aku telah dikalungkan urusan umat Muhammad ini yang berbagai bangsa. Maka aku terfikir tentang orang fakir yang lapar, yang sakit lagi derita, orang yang tidak berpakaian yang susah, orang yang dizalimi lagi dipaksa, tawanan perang yang jauh, orang tua yang uzur, orang yang mempunyai keluarga yang ramai sedangkan hartanya sedikit dan seumpama mereka yang berada di segala tempat dan penjuru negara. Aku tahu tuhanku akan bertanya aku mengenai mereka pada hari kiamat kelak. Aku bimbang alasanku tidak cukup kukuh untuk menjawabnya, lalu aku pun menangis” (Al-Zahabi, Tarikh al-Islam wa Wafayat al-Masyahir wa al-A’lam, 7/197. Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi/1407H)

Demikianlah gambaran tanggungjawab pemerintahan yang ada dalam pemikiran beliau. Tanggungjawab menyebarkan kebajikan, pembahagian harta yang adil dan amanah serta kebaikan untuk rakyat di segenap lapisan masyarakat. Tanggungjawab inilah yang beliau takut dan bimbang ALLAH hukum beliau di akhirat kelak. Inilah asas kerahmatan dalam kepimpinan negara yang berdasarkan wahyu ALLAH. Tanggungjawab pemerintah di hadapan ALLAH tentang kebajikan rakyat lebih ditakuti dibandingkan di hadapan rakyat sendiri atau ‘suruhanjaya rasuah’.

Itulah gambaran negara yang sepatutnya berada dalam pemikiran umat Islam yang cintakan Islam. Para sarjana Islam telah lama memperkatakan hal ini. Muhammad bin Ka’ab al-Qurtubi apabila diminta oleh ‘Umar bin Abd al-Aziz untuk menyifatkan keadilan pemerintah, katanya:

“Jadilah engkau bapa kepada yang muda, anak kepada yang tua, saudara kepada yang sebaya. Demikian juga kepada wanita. Hukumlah manusia dengan kadar kesalahan dan kemampuan mereka. Jangan engkau pukul disebabkan kemarahanmu walaupun satu pukulan, nanti engkau termasuk dalam golongan yang melampau”. (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/202. Beirut: Muassasah ar-Risalah/1417H).

Taikun UK larikan RM143j dipenjara 10 tahun

Asil Nadir
LONDON - Bekas taikun Asil Nadir, yang semalam didapati bersalah melarikan kira-kira  £29 juta (RM143 juta) dari empayarnya Polly Peck dua dekad lalu, hari ini dijatuhi hukuman penjara 10 tahun.

Nadir, 71, didapati bersalah mencuri sejumlah wang itu dari Polly Peck International, sebuah syarikat utama di United Kingdom sehingga 1990.
Semalam, dia didapati bersalah berhubung 10 tuduhan. Dia dikenakan 13 tuduhan.

Selepas empayarnya runtuh, dia melarikan diri ke Cyprus utara pada 1993 dan hanya kembali ke UK dua tahun lalu.
Laporan BBC memetik satu kenyataan bagi pihak Nadir berkata, dia "sangat kecewa dengan keputusan mahkamah hari ini."

Di luar mahkamah, isteri Nadir, Nur berkata: "Suami saya tidak bersalah."

23 August 2012

Turunkan harga kereta: BN jangan bermuka-muka

rafizi
Saya merujuk kepada laporan The Star bertarikh 21 Ogos 2012 bertajuk “Car Prices In Malaysia To Drop Gradually?”.

Laporan itu memetik sumber dalaman yang rapat dengan kerajaan berhubung cadangan rombakan Dasar Automotif Kebangsaan (NAP2012) untuk mengurangkan harga kereta. Saya mengalu-alukan perkembangan ini kerana ia jelas mengesahkan pendirian PKR selama ini bahawa penurunan harga kereta melalui pengurangan cukai eksais secara berperingkat-peringkat adalah sesuatu yang mampu dilakukan. Ia juga membuktikan bahawa kajian PKR mengenai kesan buruk harga kereta yang tinggi turut dipersetujui oleh pakar-pakar dan pegawai kerajaan.

Pun begitu, ia membayangkan sikap bermuka-muka dan hipokrasi pimpinan BN yang secara berterusan mengkritik cadangan PKR tersebut atas alasan ia akan memufliskan negara. Pemimpin seperti Ketua Pemuda Umno saudara Khairy Jamaluddin, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Yaakob telah membuat kenyataan rasmi menolak cadangan mengurangkan harga kereta seperti yang dibawa PKR.

Oleh kerana adanya pertembungan maklumat yang disampaikan oleh pimpinan BN setakat ini, saya menyeru supaya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamad yang bertanggungjawab merombak Dasar Automotif Kebangsaan (NAP2012) supaya berterus terang kepada rakyat apakah sebenarnya dasar kerajaan BN berhubung penurunan harga kereta?

Sekiranya beliau bersetuju dengan cadangan PKR untuk mengurangkan cukai eksais secara berperingkat dan menurunkan harga kereta, beliau wajar memanggil kepimpinan Pakatan Rakyat untuk mengadakan rundingan meja bulat membincangkan pelaksanaan dasar ini kerana penurunan harga kereta adalah satu-satunya isu nasional yang mendapat konsensus di kedua-dua belah pihak (Pakatan Rakyat dan BN).

Saya juga menyeru supaya Saudara Khairy Jamaluddin dan Tan Sri Nor Yaakob menarik balik kenyataan mereka sebelum ini mengkritik cadangan PKR. Malah, saya mengalu-alukan Saudara Khairy untuk turut serta bersama-sama mempromosikan kempen #turunkanhargakereta dengan menaiki kereta rasmi Cheapmobile ke tempat-tempat strategik di sekitar Kuala Lumpur dan mengedarkan pelekat kereta kempen.

Saya masih yakin bahawa penurunan harga kereta melalui pengurangan cukai eksais secara berperingkat adalah langkah pertama untuk menyelesaikan pelbagai masalah berhubung ekonomi rakyat, pengangkutan, keselamatan dan pencemaran alam sekitar.
PKR percaya dengan harga kereta yang murah:

  • Beban hutang isi rumah rakyat akan diringankan dan wang lebihan boleh digunakan untuk pelaburan lain yang lebih penting seperti rumah, pendidikan, kesihatan dan lain-lain;
  • Liberalisasi pasaran kenderaan di Malaysia memaksa kerajaan meningkatkan kapasiti dan mutu pengangkutan awam di negara ini bagi mengimbangi risiko kesesakan jalan raya;
  • Harga kereta yang lebih murah memungkinkan dasar tempoh umur kereta (car scrap policy) dilaksanakan untuk mengurangkan jumlah kenderaan persendirian yang telah mencecah 10 juta;
  • Harga kereta yang lebih murah membolehkan rakyat memiliki kereta yang lebih berkualiti dan selamat, seterusnya mengurangkan kemalangan jalan raya;
  • Kereta yang lebih berkualiti dan berteknologi hijau mampu dimiliki rakyat dan mengurangkan pencemaran alam sekitar; dan
  • Lebih banyak kereta berteknologi hijau dan lebih berkualiti akan mengurangkan penggunaan petrol dan seterusnya mengurangkan beban subsidi bahan api negara.

Oleh kerana dasar harga kereta yang lebih rendah ini mempunyai kesan yang besar kepada negara seperti yang dijelaskan di atas, PKR akan bekerjasama dengan rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat untuk membawa kempen ini ke bawah tanpa mempedulikan tindakan BN yang seterusnya kerana saya yakin BN tidak ikhlas untuk menurunkan harga kereta.


NONERafizi Ramli merupakan pengarah strategi PKR. Tulisan ini merupakan pandangan peribadi beliau dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Bashar al-Assad sedia undur?

Beberapa orang ahli keluarga meratapi kematian
seorang anggota Tentera Pembebasan Syria yang
terbunuh dalam pertempuran dengan tentera
 kerajaan Syria di Salaheddine di tengah
 bandar Aleppo, kelmarin. - REUTERS
DAMSYIK 22 Ogos - Timbalan Perdana Menteri Syria, Qadri Jamil berkata, mereka bersedia untuk membincangkan mengenai peletakan jawatan Presiden Bashar al-Assad sebagai sebahagian daripada rundingan bagi menamatkan konflik berdarah yang semakin meruncing di negara ini.

Jamil mengeluarkan kenyataan mengejutkan itu, semalam ketika beliau menjadi wakil Syria ke Moscow dan selepas Rusia memberi amaran kepada Barat atas campur tangan mereka di negara ini ekoran tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama memberi amaran kepada Damsyik berhubung penggunaan senjata kimia.

Sementara itu di seluruh Syria semalam, sekurang-kurangnya 128 orang lagi terbunuh, termasuk 81 orang awam, menurut pertubuhan pemantau yang turut melaporkan mengenai berlaku bedilan dan pertempuran di Aleppo serta Damsyik.
“Selagi peletakan jawatan Assad dijadikan sebagai syarat untuk memulakan rundingan, sebarang dialog tidak akan tercapai.

“Namun, sebarang masalah dapat dibincangkan ketika sesi dialog (yang dicadangkan) itu, termasuk mengenai isu peletakan jawatan Assad sebagai Presiden Syria," kata Jamil selepas mengadakan rundingan di Moscow.
Menurut satu sumber politik di Damsyik, Jamil dihantar ke Rusia untuk membincangkan mengenai pelan pilihan raya Presiden di Syria, di mana semua calon akan dibenarkan bertanding, termasuk Assad.
Kumpulan pembangkang yang hidup dalam buangan, Majlis Kebangsaan Syria turut berkata, mereka sedang mengkaji pembentukan kerajaan peralihan, tetapi tidak menyatakan sama ada ia turut membabitkan tokoh-tokoh dalam kerajaan Assad.

Sementara itu, di bandar komersial Aleppo, bedilan kuat dilaporkan berlaku di kebanyakan bahagian di bandar tersebut, termasuk di kawasan seorang wartawan Jepun ditemui terbunuh akibat terkena tembakan, kelmarin.

Menurut aktivis, pesawat pejuang turut mengebom kawasan utara pekan Marea.
Tentera Pembebasan Syria (FSA), pula mendakwa mereka telah menguasai dua pertiga bandar Aleppo tetapi satu sumber keselamatan di Damsyik menafikan dakwaan itu.
- AFP

Hudud: Nik Aziz tunggu Umno respons MCA

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
SHAH ALAM - Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu pemimpin Umno memberi respons terlebih dahulu berhubung kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menyentuh isu hudud sebelum beliau mengulas pendirian Pengerusi DAP, Karpal Singh.

Mursyidul Am Pas ini berkata, Soi Lek sebelum ini secara berterusan menghina hudud dan pernah melabel seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno dari Johor sebagai “hilang akal” kerana mencadangkan negeri itu melaksanakan hukum hudud.

"Saya diminta respons tentang kenyataan Karpal Singh tentang isu hudud kebelakangan ini.
“Dalam akhbar, saya lihat sudah ada beberapa respons daripada pemimpin parti. Buat masa ini, itu sudah memadai," kata beliau dalam satu entri ringkas menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Bagaimanapun menurut beliau, "saya ingin membaca respons pemimpin Umno terlebih dahulu terhadap kenyataan Presiden MCA yang menyatakan Adun Umno hilang akal kerana mencadangkan hudud."
Menteri Besar Kelantan berkata demikian berhubung laporan terbaru berhubung pendirian Karpal, yang baru-baru ini berkata akan mengambil tindakan mahkamah ke atas bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa.

Portal AS sebar gambar bogel didakwa Putera Harry

Paparan muka depan portal TMZ 
yang menyiarkan gambar 
Putera Harry dalam keadaan bogel 
di sebuah hotel mewah.
LONDON – Istana Buckingham berdepan dengan satu lagi kontroversi ekoran dua keping gambar bogel Putera Harry disebarkan oleh sebuah laman web hiburan popular, TMZ di Amerika Syarikat.

Dua keping gambar itu, dengan salah satunya menunjukkan Harry hanya memakai rantai berloket cincin emas bersama seorang wanita di belakangnya. Satu lagi gambar menunjukkan Harry pula memeluk wanita itu dari belakang.

Gambar itu dipercayai dirakamkan di sebuah hotel di Las Vegas, minggu lalu dan dimuat naik semalam.

Kontroversi terbaru ini dijangka memberi imej buruk ke atas kerabat diraja Britain.

Dalam pada itu, menurut portal news.com.au, keluarga diraja itu sudah mengesahkan gambar Harry dalam keadaan berbogel itu adalah sahih tetapi mereka tidak mahu memberikan sebarang komen mengenainya buat masa ini.

Kontroversi ini muncul hampir dua minggu selepas Harry mewakili Ratu Elizabeth II pada majlis penutup Sukan Olimpik London.

Harry merupakan salah seorang daripada dua anak Putera Charles hasil perkahwinannya dengan mendiang Puteri Diana.

Putera William melangsungkan perkahwinan April 2011.

Menurut TMZ, kedua-dua gambar itu dirakam di sebuah bilik VIP di sebuah hotel dan kasino lima bintang, Wynn Resort yang terletak di Las Vegas.

Suite yang mempunyai tiga bilik tidur itu dianggarkan berharga 5,000 pound sterling (RM24,650) satu malam.

Harry dikatakan menginap di resort itu selepas menganjurkan satu majlis kebajikan untuk latihan tentera udara di San Diego.

Gambar yang dirakam dipercayai di bilik hotel itu selepas Harry dan rakan-rakannya berjumpa dengan sekumpulan wanita pada satu majlis di MGM Grand Hotel, Jumaat lalu.  Kumpulan wanita itu kemudiannya dijemput untuk ke hotel penginapan Harry dan mereka dilaporkan mengambil bahagian dalam ‘strip billiards’.

Gambar itu kemudiannya tersebar di laman-laman web di Amerika Syarikat sehingga membuatkan nama Harry sebagai trending di Twitter, semalam.- SH

Pemuda PAS: Kenyataan Karpal jejas sokongan Melayu

nik
Timbalan ketua Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz memberi amaran bahawa kritikan oleh pengerusi DAP Karpal Singh berhubung pelaksanaan hukum hudud akan menyebabkan PAS kehilangan sokongan pengundi Melayu dalam pilihan raya akan datang.

Akhbar Berita Harian hari ini melaporkan Nik Mohamad Abduh sebagai berkata, kenyataan pengerusi DAP itu memberi gambaran kepada masyarakat Islam bahawa DAP "tidak mesra Islam dan orang Melayu".

"Dari sudut sentimen, kelihatan Karpal Singh, melalui beberapa kenyataan terakhirnya, terlalu yakin DAP tidak memerlukan undi Melayu untuk menang selesa. Sama ada itu satu risiko yang boleh diserap oleh DAP atau tidak, tapi bagi saya hampir pasti boleh menjejaskan undi rakannya dalam Pakatan terutama PAS.

"Walaupun berhak atas nama hak bersuara untuk bercakap dan mengkritik, tetapi atas nama hak kesepakatan bersama pakatan juga perlu untuk tidak memanaskan isu yang 'setuju untuk tidak bersetuju', termasuk perihal dasar perjuangan setiap parti.

"Sama ada kritikan beliau itu atas premis mempertahan sekularisme negara ataupun jahil mahupun keras pedal atau anti Islam, semua itu mendorong kepada andaian bahawa DAP tidak mesra agama Islam dan undi Melayu," kata Nik Mohamad Abduh seperti dilaporkan Berita Harian.

Anak kepada musyidul am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat itu berkata, kenyataan Karpal berhubung hudud sebelum ini juga bertentangan dengan pendirian bersama Pakatan Rakyat.
pas muktamar 130610 nasruddin hassan 1Sementara itu, ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan pula menyifatkan kenyataan Karpal yang terus mempertikaikan hudud "semakin keterlaluan" dan dijangka "bakal berdepan dengan kemarahan orang Islam".

"Saya saran DAP nasihatkan Karpal supaya tidak pertikai hukum hudud sekali gus jaga sensitiviti umat Islam serta hubungan baik sesama Pakatan," katanya seperti  dilaporkan Sinar Harian hari ini.

Laporan itu turut memetik kenyataan Mufti Kedah Datuk Muhamad Baderudin Ahmad yang menggesa Karpal supaya menghentikan kritikan berhubung pelaksanaan hudud.

“Karpal perlu menghentikan segala kritikan dan tohmahan yang dilemparkan selama ini kerana mencetuskan kekeliruan pelbagai pihak.

"Dalam situasi ini, Karpal harus menghormati sensitiviti semua agama terutama agama Islam berikutan agama Islam adalah agama rasmi di Malaysia," kataya. - Mkini

* Tak secerdik bapanya. PAS akan kurang sokongan bukan sebab Karpal tapi sebab 3 orang ini. Nasha, Nik Abduh dan Nasrudin...