Saturday, March 10, 2012

Tiada sebab untuk tolak BN pada PRU-13

KUALA PILAH 9 Mac - Rakyat tiada sebab untuk tidak memilih Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 kerana sejak 54 tahun lalu kerajaan inilah yang telah terbukti membela dan mensejahterakan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan BN telah membina banyak kejayaan dan kemajuan, hasil kerjasama yang baik antara rakyat dan pemimpin selain direstui oleh Allah SWT.

"Saya percaya ketika ini penting untuk kita sama-sama merenung sejenak mengapa kita memilih sesebuah kerajaan itu atau parti pada pilihan raya akan datang.

"Pada masa sama kita harus menilai adakah parti dan kerajaan yang dipilih itu kelak mampu memikul amanah, menjaga masyarakat, agama, bangsa dan negara," katanya di Johol, dekat sini.

Muhyiddin seterusnya bertanya apakah dalam tempoh 54 tahun lampau, kerajaan sedia ada ini sudah gagal dan kalau sudah berjaya, apa pula kejayaan itu sudah dinikmati oleh rakyat? - Utusan

* Antara sebabnya anak isteri pemimpin Umno tidak menutup aurat. (Melanggar perintah agama)

Arahan rekod kecenderungan politik guru ditarik balik

Pejabat Pendidikan Tawau hari ini menarik balik arahan yang dikeluarkan kepada guru besar supaya merekodkan kecenderungan politik kakitangan mereka.

Arahan asal yang meminta guru besar mengkategorikan kakitangan mereka, termasuk guru, sebagai 'hitam', 'kelabu' dan 'putih' mengikut kecenderungan politik masing-masing, adalah satu "kesilapan", kata pegawai pendidikan daerah, Darman Shah Asakil kepada Malaysiakini hari ini.

Darman Shah berkata arahan itu adalah inisiatif Pejabat Pendidikan Tawau dan tiada kaitan dengan Kementerian Pelajaran atau Jabatan Pelajaran Sabah dalam apa jua cara.

"Ia adalah satu kesilapan dan surat itu tidak sepatutnya dihantar. Ia ditulis oleh kakitangan saya dan saya tidak semak betul-betul.

"Hasrat kami adalah semata-mata untuk menasihat guru-guru supaya memberi tumpuan kepada pengajaran dan tidak terlibat dalam politik," katanya.

Jabatannya, tambah Darman Shah, telah mengeluarkan surat pekeliling kepada semua guru besar memaklumkan kepada mereka tentang penarikan balik arahan asal itu.

Awal hari ini, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Puad Zarkashi memberitahu Malaysiakini tiada arahan seumpama itu dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran. - Malaysiakini

* Sepatutnya bukan setakat arahan itu ditarik balik, jawatan pegawai ppd itu juga perlu ditarik balik...

Bekas polis kanan gesa siasat semula kes Altantuya

Bekas pengarah jabatan siasatan jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim menggesa polis membuka semula siasatan ke atas kes pembunuhan wanita Mongolia Antantuya Shaariibuu kerana khuatir terdapat "banyak perkara yang tidak kena" dalam kes tersebut.

Malah, tegasnya, polis juga berkuasa untuk menjalankan siasatan berasingan dalam kes tersebut tanpa perlu menerima arahan mahupun menyerahkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Beliau mendakwa terdapat "banyak perkara tidak kena, penyembunyian bukti material dan juga manipulasi" dalam perjalanan kes berkenaan yang menyebabkan penganalisis politik Abdul Razak Baginda dibebaskan daripada tuduhan bersubahat dalam kes pembunuhan itu.

Dua lagi tertuduh dalam kes berkenaan, Insp Azilah Hadri dan Kpl Sirul Azhar Umar didapati bersalah oleh mahkamah dan dijatuhkan hukuman mati.

Mengulas lanjut, Mat Zain berkata polis mempunya kuasa dan juga justifikasi untuk melihat semula keseluruhan siasatan mereka sedaya upaya untuk mencari bukti.

“Tiada (pihak) yang mempunyai kuasa untuk menghalang polis daripada menjalankan tugas mereka. (Peguam Negara) Tan Sri Abdul
Gani Patail pun tidak boleh (halang). Seorang pegawai polis boleh menahan, tanpa waran, mana-mana orang yang menghalang mereka.

“Peguam Negara mungkin mempunyai kuasa untuk memulakan, menjalankan atau menamatkan apa-apa prosiding jenayah namun beliau tidak berkuasa untuk memalsukan, memanipulasi, menyembunyikan atau memusnahkan bukti pada bila-bila yang dia suka.

“Fahami juga bahawa IGP (ketua polis negara) bukannya pak turut AG dan bahawa polis boleh berfungsi secara bebas tanpa perlu menyesuaikan siasatan menurut kehendak AG," katanya lagi dalam kenyataan kerasnya hari ini.

Tambahnya, pendakwaan dan hukuman ke atas Azilah dan Sirul Azhar mungkin dijalankan berdasarkan "bukti palsu" yang diakui Abdul Razak dan seorang saksi dalam kes berkenaan, penyiasat persendirian P Balasubramaniam.

Dalam penghakiman kes berkenaan, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Mohd Zaki Md Yasin tidak menyentuh secara langsung mengenai motif dua anggota polis yang dijatuhi hukuman itu. - Malaysiakini

* Apa yang mendorong pembunuhan Altantuya? Jika kes ini melibatkan rakyat biasa sudah tentu ada jawapan dia. Bagaimana kehakiman negara hendak diyakini?

Friday, March 9, 2012

Tugas pasukan petugas khas SBPA selesai

PUTRAJAYA 8 Mac - Pasukan petugas khas penambahbaikan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) hari ini secara rasminya menamatkan tugas biar pun tarikh akhir yang ditetapkan kerajaan adalah pada 16 April ini.

Pengerusinya, Tan Sri Ismail Adam ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, tanggungjawab pasukan petugas itu adalah untuk menyemak semula SBPA dan mengemukakan cadangan penambahbaikan.

''Hari ini kerajaan telah membuat keputusan. Jadi tugas pasukan petugas sudah selesai,'' katanya ketika ditanya sama ada pasukan petugas khas itu akan terus terlibat dalam kerja-kerja penambahbaikan perkhidmatan penjawat awam.

Pasukan petugas khas itu telah mengadakan beberapa pertemuan dan perbincangan dengan semua pihak terbabit terutamanya Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dalam merungkai kemelut SPBA. - Utusan

iPad 3 diperkenalkan

SAN FRANCISCO 8 Mac - Apple semalam mendedahkan generasi ketiga iPad yang dipertingkatkan dengan ciri-ciri menarik bagi memastikan ia terus menjadi komputer tablet terkemuka di pasaran.

Model iPad baru itu mempunyai pemproses yang lebih berkeupayaan tinggi dan resolusi yang jelas berbanding iPhone 4S.

Ia juga berkemampuan dihubungkan dengan jaringan telekomunikasi LTE 4G yang mampu mempercepat proses pemindahan data berbanding model sebelum ini.

"Kami sekali lagi telah mentakrif semula kategori Apple yang dicipta hanya dua tahun lalu dengan iPad yang asal,'' kata Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook pada satu sidang akhbar. - Utusan

Pengarah akhbar Turki didenda siar gambar pemain Real Madrid

TUNIS 9 Mac - Mahkamah Turki semalam mendenda pengarah syarikat akhbar kerana menyiarkan sekeping gambar pemain Real Madrid, Sami Khedira berpelukan dengan teman wanitanya yang berbogel.

Pengarah syarikat akhbar harian Ettounsia, Nassredine Ben Saidam didenda sebanyak 1,000 dinar (RM1,980) atas kesalahan melanggar undang-undang tatasusila.

Mahkamah turut mengarahkan syarikat itu menghapuskan kesemua salinan edisi akhbar pada 15 Februari yang menyiarkan gambar tersebut.

Gambar Khedira dan teman wanitanya, Lena Gercke, yang juga merupakan model, pada asalnya disiarkan dalam majalah GQ. - AFP

SBPA batal kerana Pakatan, kata Anwar

GEORGETOWN - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dibatalkan kerana Pakatan Rakyat (PR).

Menurutnya, sebelum ini beliau bersama dengan kesemua ahli PR mengadakan demonstrasi di seluruh negara bagi membantah skim baru berkenaan.

“Nampaknya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terpaksa akur dengan kita, yang membantah SBPA untuk rakyat adalah PR bukannya Umno ataupun Perkasa.

“Dia (Najib) terpaksa tangguhkan skim ini sehingga Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang, sebab mereka masih yakin belum menang sehingga PRU ini,” katanya.

Anwar berkata, skim berkenaan tidak sepatutnya dilaksanakan kerana hanya menjaga kepentingan sesetengah pihak sahaja.

“Gaji pegawai atasan yang sudah mencecah RM40,000 naik kepada RM40,000 lagi tetapi gaji kerani rendah naik juga, tapi hanya naik RM40 sahaja.

“Kerana itulah kami kempen ke seluruh Malaysia kerana ia tidak adil untuk rak­yat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena menyertai Kunjungan Muafakat Rakyat Pulau Mutiara 2012 di Little India. - Sinar Harian

* Logik juga kata Anwar. Cuepacs tidak pernah sentuh hendak batal SPBA. Kakitangan kerajaan hanya berani komen di dapur. Pakatan masih hendak naikkan gaji guru RM500 walaupun sudah dinaikkan 13%?

Cuepacs: Batal SBPA tiada kaitan PRU tapi 'perlu'

SHAH ALAM - Cuepacs, badan induk kesatuan sekerja sektor awam, tidak melihat keputusan kerajaan membatalkan pelaksanaan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) sebagai "tindakan politik" menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), yang disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat.

Sebaliknya menurut Timbalan Presidennya, Azih Muda, pihaknya menganggap keputusan pembatalan SBPA yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam sebagai tindakan yang perlu diambil demi masa depan kakitangan awam negara ini.

SBPA yang diumumkan pelaksanaan pada Oktober lalu, sepatutnya dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu tetapi ditangguhkan awal tahun ini ekoran protes kakitangan awam.

Pembatalannya diumumkan pagi semalam.

"Saya tidak mahu cakap mengenai pilihan raya atau politik, tetapi keputusan ini menunjukkan kerajaan mendengar kehendak rakyat, kerajaan harus meningkatkan pendapatan rakyat.

"Yang penting keputusan yang diambil ini adalah keputusan demi masa depan kakitangan awam, ini soal survival, bagaimana kita perlu mengambil tindakan untuk mengurangkan beban kos hidup dalam keadaan kos sara hidup semakin meningkat," kata beliau kepada Sinar Harian Online.

Azih juga berkata, Cuepacs akan mengadakan mesyuarat khas petang ini untuk mengumumkan secara rasmi pendirian berkenaan dengan keputusan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.
Najib yang juga Menteri Kewangan pagi semalam mengumumkan pembatalan skim SBPA dan mengembalikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik.

Perdana Menteri turut mengumumkan pelarasan gaji 13 peratus bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana di Gred 1 hingga Gred 54, di samping pelarasan gaji sembilan peratus untuk gred Utama dan Khas C, B serta A.

Pelarasan gaji untuk Kumpulan Turus III serta Turus II pula sebanyak lapan peratus, dan Kumpulan Turus I dan Ketua Setiausaha Negara sebanyak tujuh peratus.

Kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia, yang bukan sahaja melibatkan sistem saraan tapi juga rupa bentuk perkhidmatan awam masa depan yang diperlukan negara.

Perdana Menteri berkata sebarang cadangan yang disyorkan oleh suruhanjaya yang dianggotai semua pihak berkepentingan yang bekerja menerusi prinsip musyawarah, perundingan dan permuafakatan itu akan dipertimbang mengikut
kemampuan kerajaan.

Kata Najib, struktur gaji SSM akan diubah suai daripada jadual Gaji Matriks kepada Jadual Gaji Minimum-maksimum dengan kadar Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bagi Gred 1 hingga 54 ditetapkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred.

Kadar KGT bagi JUSA dan ke atas pula kekal menggunakan Kenaikan Gaji Tahunan SSM dengan diberikan pelarasan mengikut peratusan yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pembatalan SBPA menunjukkan keputusan telah dibuat melalui proses yang tidak teliti terhadap semua kemungkinan dan implikasi yang bakal dihadapi.

"Dan, kerajaan yang ada tidak punya integriti dan ketelusan untuk uruskelola pentadbiran yang baik," kata beliau.

Jelas Azmi, apabila JPA mengumumkan setiap penjawat awam perlu menandatangani berhelai-helai dokumen, begitu banyak dokumen yang dicetak khas untuk ditandatangani oleh penjawat awam yang melebihi sejuta orang.

"Setiap penjawat dan kerani di pejabat mengambil masa berhari-hari mengejar kakitangan supaya melengkapkan dokumen sebelum tarikh yang ditetapkan.

"Ketika mana keputusan menguatkuasakan cadangan SBPA diumumkan, maklum balas negatif dari pelbagai pihak nampaknya terlalu lambat untuk diambil kira dengan serius," kata beliau dalam satu kenyataan.

Azmi menambah, teguran dan bantahan dilihat dari kaca mata politik pembangkang.

"Sehingga JPA dan pejabat Perdana Menteri menerima lebih 1,000 memorandum bantahan yang bertalu-talu barulah akhirnya keputusan dimansuhkan diumum," kata beliau.
Sehubungan itu kata beliau, Teras mempersoalkan kebijaksaaan dalam proses membuat keputusan di pihak kerajaan sejak awal lagi.

"Apakah ketika sesuatu perubahan hendak dilancarkan, suatu kajian yang cukup mendalam tidak dilakukan terlebih dahulu sebelum pengumuman hendak dilakukan?

"Kini ramai penjawat awam yang telah menandatangani dokumen yang berkaitan. Setelah diumumkan pemansuhan SBPA, ramai yang hilang kepercayaan kepada pentadbiran kerajaan kerana kelihatan seolah keputusan dibuat tidak dengan teliti," katanya lagi.

Menurut Azmi, kini kerajaan terpaksa menanggung implikasi persepsi negatif penjawat awam terhadap kepimpinan pemerintah.

"Apakah kerajaan di bawah Najib kembali mempamerkan kerajaan 'flip-flop'.

"Apakah kerajaan perlu mendapat tentangan yang meluas dari rakyat baru kerajaan cuba merasionalkan keputusan untuk merubah?" katanya lagi sambil menambah, perkembangan terbaru ini menunjukkan kelemahan dalam uruskelola yang sangat buruk.

Kata Azmi, jika polisi boleh ditukar-tukar dalam masa yang singkat, tetapi sumber peruntukan wang dibelanjakan dengan sebegitu besar, ia jelas menunjukkan kelemahan dan kepincangan.

"Teras juga memanjangkan penelitiannya terhadap banyak lagi projek gajah putih yang telah dilaksanakan oleh kerajaan.

"Betapa pembaziran yang bernilai ratusan juta diseluruh Negara berlaku di hadapan mata rakyat menimbulkan pertanyaaan kerajaan tidak memperdulikan lagi wang rakyat yang dibelanjakan," katanya lagi. - Sinar Harian

* Seterusnya, kerajaan perlu kawal harga barang...

Cuepacs SSM 'ganti' SBPA hanya interim

SHAH ALAM - Cuepacs, badan induk kesatuan sekerja sektor awam, berkata Sistem Saraan Malaysia (SSM), yang hendak digunakan semula sebagai pengganti kepada Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang dimansuhkan hari ini, hanya bersifat sementara hingga skim baru yang menyeluruh dirangka kelak.

Timbalan Presidennya, Azih Muda berkata, pihaknya percaya kerajaan akan memperkenalkan satu sistem saraan yang baru memandangkan SSM digunakan semula dengan SBPA yang pembatalannya diumumkan hari ini.

SSM, yang digunakan hampir satu dekad, diperkenalkan bagi menggantikan Sistem Saraan Baru (SSB). SSB dikuatkuasakan pada Januari 1992.

Kedua-dua SSB dan SSM menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan kakitangan kerajaan.

"Saya yakin kerajaan akan datang dengan satu sistem yang baru sama sekali, sebab itu kerajaan bentuk satu suruhanjaya bagi menjalankan kajian," kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Sehubungan itu kata beliau, Cuepacs akan mengemukakan cadangan tambahan selain berharap suruhanjaya yang dibentuk akan mengkaji segala pandangan yang telah diberikan sebelum ini kepada pasukan petugas khas yang dibentuk bagi menyemak SBPA.

Azih juga berkata, Cuepacs akan mengadakan mesyuarat khas esok untuk mengumumkan secara rasmi pendirian berkenaan dengan keputusan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan pagi tadi mengumumkan pembatalan skim SBPA dan mengembalikan SSM yang ditambah baik.

Perdana Menteri turut mengumumkan pelarasan gaji 13 peratus bagi Kumpulan Pengurusan dan Professional dan Kumpulan Pelaksana di Gred 1 hingga Gred 54, di samping pelarasan gaji sembilan peratus untuk gred Utama dan Khas C, B serta A.

Pelarasan gaji untuk Kumpulan Turus III serta Turus II pula sebanyak lapan peratus, dan Kumpulan Turus I dan Ketua Setiausaha Negara sebanyak tujuh peratus.

Kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia, yang bukan sahaja melibatkan sistem saraan tapi juga rupa bentuk perkhidmatan awam masa depan yang diperlukan negara.
Perdana Menteri berkata sebarang cadangan yang disyorkan oleh suruhanjaya yang dianggotai semua pihak berkepentingan yang bekerja menerusi prinsip musyawarah, perundingan dan permuafakatan itu akan dipertimbang mengikut
kemampuan kerajaan.

Kata Najib, struktur gaji SSM akan diubah suai daripada jadual Gaji Matriks kepada Jadual Gaji Minimum-maksimum dengan kadar Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bagi Gred 1 hingga 54 ditetapkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred.

Kadar KGT bagi JUSA dan ke atas pula kekal menggunakan Kenaikan Gaji Tahunan SSM dengan diberikan pelarasan mengikut peratusan yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia, Khairil Niza Khairuddin berkata, pihaknya menyambut baik keputusan membatalkan SBPA dan penambahbaikan skim SSM dengan pelarasan gaji yang lebih adil.

"KPISM juga bersetuju sepenuhnya dengan penubuhan suruhanjaya khas bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia dan kewajaran untuk mengkaji dan mewujudkan skim khusus bagi semua agensi penguatkuasaan," katanya lagi.

Sehubungan itu, kata beliau, KPISM mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan kerana prihatin dan mendengar denyutan nadi setiap penjawat awam khususnya pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Imigresen.

Menurut Khairil, KPISM berharap kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam akan sentiasa berbincang dan berhubung rapat dengan Cuepacs dalam menentukan hala tuju skim perkhidmatan awam yang lebih baik dan jitu di masa hadapan.

"KPISM juga ingin mencadangkan kepada pihak kerajaan agar bersedia memberikan gaji minimum kepada semua penjawat awam khususnya penjawat awam di Kumpulan Sokongan agar ia melepasi garis kemiskinan di bandar," kata beliau lagi. - Sinar Harian

Pelarasan gaji kuat kuasa 1 Januari

PUTRAJAYA - Pelarasan gaji yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak hari ini akan berkuat kuasa 1 Januari lalu dan dibayar mulai bulan ini atau April, kata Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman.

Omar berkata, ia berdasarkan kepada perbincangan Cuepacs dengan Perdana Menteri sebaik selesai Perhimpunan Khas Penjawat Awam Bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini di mana pengumuman itu dibuat.

"Sama ada pembayaran akan dibuat secara penuh atau berperingkat, ia bergantung kepada jabatan masing-masing," kata Omar ketika ditemui pemberita selepas itu.

Pada perhimpunan itu Perdana Menteri turut mengumumkan pembatalan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan mengembalikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang akan ditambah baik.

Najib turut mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 13 peratus untuk Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana Gred 1 hingga 54; sembilan peratus untuk Gred Utama dan Gred Khas C,B dan A; lapan peratus Kumpulan Turus III dan Turus II; dan tujuh peratus untuk Kumpulan Turus I dan Ketua Setiausaha Negara.

Omar berharap pengumuman itu disambut baik 1.4 juta penjawat awam dan tiada lagi suara tidak puas hati sebaliknya mereka perlu membalas keperihatinan kerajaan dengan bekerja lebih rajin serta berusaha meningkatkan produktiviti.

Mengenai penubuhan suruhanjaya yang akan turut disertai wakil Cuepacs untuk mengkaji secara menyeluruh perkhidmatan awam Malaysia, beliau berharap suruhanjaya itu akan memberi tumpuan kepada tuntutan Cuepacs yang lain.

Mengenai Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) beliau berkata, PTK kekal dimansuhkan seperti mana yang diumumkan sebelum ini dan diganti dengan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (Prospek).

Omar berkata, umur persaraan wajib 60 tahun dikekalkan. - Bernama

'SBPA tidak berapa sesuai dengan 1Malaysia'

KUALA LUMPUR - Langkah kerajaan membatalkan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan mengembalikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) sangat responsif terhadap kehendak masyarakat, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, langkah itu diambil setelah satu jawatankuasa yang ditubuhkan untuk menilai semula SBPA berpendapat ia tidak berapa sesuai dengan gagasan 1Malaysia iaitu Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan.

"(Justeru) Perdana Menteri telah mengambil satu langkah (untuk) menilai balik (SBPA)," katanya selepas merasmikan set tren MyKomuter yang operasinya bermula hari ini.

Pembatalan skim SBPA itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada satu perhimpunan khas dengan penjawat awam di Putrajaya hari ini.

Muhyiddin berkata, cadangan SBPA itu telah dikemukakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tetapi selepas ia diteliti semula kerajaan mendapati ada beberapa perkara dalam skim itu yang perlu dipinda.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata dengan keputusan ini, guru-guru juga diharap berasa gembira kerana kerajaan akan melaksanakan seberapa segera janji-janjinya sebelum ini.

"Macam perdana menteri kata, guru-guru jangan gundah gulana, apa yang dijanjikan dalam bajet itu (Bajet 2012) akan dipenuhi dan mungkin dalam tempoh yang terdekat perincian itu akan dimaklumkan oleh pihak JPA. Dengan jaminan perdana menteri itu, kita harap ia akan dapat memuaskan hati," katanya.

Ketika ditanya sama ada tarikh pilihan raya umum ke-13 telah hampir memandangkan kerajaan sudah menyelesaikan isu SBPA, Muhyiddin berkata, "Belum ada sebarang keputusan yang jelas mengenai tarikh pilihan raya umum ke-13."

"Semua orang boleh membuat spekulasi kononnya pilihan raya akan berlaku sebaik sahaja kerajaan menyelesaikan status kedudukan SBPA, tidak ada salahnya.

"Yang saya tahu, kita masih lagi fokus untuk membuat persediaan bagi pilihan raya, apa yang kita boleh buat dan kita masih teruskan usaha kita kerana yang penting kita mesti memperoleh kejayaan dan kemenangan," katanya.

Mengenai keputusan kerajaan menganugerahkan konsesi Lebuh Raya Kinrara-Damansara (KIDEX) berharga RM2.2 bilion kepada sebuah syarikat yang dipertikaikan oleh pembangkang, Muhyiddin berkata permohonan daripada syarikat tersebut dibuat mengikut saluran yang betul dan ia turut dinilai oleh agensi-agensi kerajaan yang lain seperti Unit Perancangan Ekonomi.

"Tidak ada sebab kita hendak menolak permohonan syarikat tersebut kerana sebarang keputusan pemberian dibuat ke atas merit," katanya.

Beliau berkata kerajaan bersikap terbuka dan akan menerima cadangan sesiapa sahaja yang mahu menaik taraf tahap pengangkutan awam negara ini. - Bernama

PKR: Pemansuhan SBPA bukti kegagalan kerajaan

KUALA LUMPUR, 8 Mac — PKR hari ini menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atas pemansuhan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), namun mendakwa tindakan itu menunjukkan kegagalan kerajaan mengambil kira pendapat golongan yang terkesan sebelum merangka dan mengumumkan dasar-dasar sedemikian.

PKR turut mendakwa kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) jelas dilihat terus mempamerkan sikap sambil lewa terhadap keperluan membasmi jurang pendapatan yang menekan penjawat awam yang di tangga yang paling rendah, iaitu di antara gred 1 hingga 54.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar menjelaskan, setelah didesak beberapa kali, barulah kerajaan mengambil tindakan dengan memansuhkan skim berkenaan yang mendapat kritikan ramai ekoran perbezaan ketara antara kakitangan atasan kerajaan dan penjawat awam bawahan.

“Kegagalan Kerajaan Umno-BN untuk prihatin akan kewujudan jurang pendapatan yang menekan penjawat awam yang di tangga yang paling rendah, iaitu di antara gred 1 hingga 54, benar-benar mempamerkan sikap sambil lewa dan elitis pemerintah. Ini berlaku di persekitaran di mana jurang pendapatan antara gaji terendah dan tertinggi yang pada waktu ini dianggarkan pada 19.5 kali.

“Hanya setelah didesak menerusi kritikan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat (PR) berserta wakil-wakil pekerja CUEPACS barulah tindakan seraya ‘sudah terhantuk baru terngadah’ diambil oleh Perdana Menteri hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Najib dalam pertemuan dengan penjawat awam di Putrajaya hari ini mengumumkan kerajaan akan memansuhkan pelaksanaan SBPA, manakala Sistem Saraan Malaysia (SSM) akan diperkemas supaya kakitangan kerajaan akan menikmati kadar kenaikan gaji yang lebih munasabah.

Tambah naib presiden PKR ini lagi, kerajaan seharusnya mengamalkan prinsip yang menunjukkan keprihatinan terhadap golongan penjawat awam di peringkat bawahan dan memberikan mereka kadar kenaikan gaji sekurang-kurannya RM1,100 seperti mana cadangan Pakatan Rakyat dalam Belanjawan PR 2012.

“Kenaikan gaji bagi golongan penjawat awam gred terendah haruslah membolehkan mereka menerima gaji ‘sara hidup’, dengan jumlah sekurang-kurangnya RM1,100 seperti yang dicadangkan di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2012.

“SSM harus mengambil kira prinsip merapatkan jurang dan mengutamakan majoriti, tetapi dengan kenaikan atau apa yang sepatutnya dipanggil penyelarasan gaji minima perkhidmatan awam, harus bersifat komprehensif termasuk perancangan peningkatan produktiviti yang melibatkan perbincangan dengan semua pihak secara terbuka dan bukan secara tertutup dan kemudian diumum secara serang hendap seperti sebelumnya,” tambah Nurul Izzah.

Menurutnya lagi, “SSM harus mengambil kira beberapa prinsip penilaian prestasi dan piawaian perkhidmatan termasuk usaha mengurangkan pembaziran, ketirisan dan amalan rasuah wang rakyat dengan menggalakkan penggunaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat serta pemberian saguhati di atas laporan salah laku kewangan di dalam kerajaan dan perlu disemak secara interim setiap lima tahun, dan semakan utama setiap sepuluh tahun, dengan semakan harus melibatkan semua pihak berkepentingan di dalam siri perbincangan dan keahlian jawatankuasa kecil dan teknikal semakan skim saraan.”

Najib turut memberitahu penjawat awam ketika pertemuan bersama mereka di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini bahawa Ketua Setiausaha Negara hanya akan menerima kenaikan gaji sebanyak tujuh peratus, berbanding sistem SBPA yang menyaksikan pendapatan ketua penjawat awam itu mencecah RM60,000 sebulan.

Kadar bayaran terhadap KSU itu telah menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan pekerja gred bawahan yang hanya diberi kenaikan serendah RM1.70, dan menerima bantahan daripada 1.4 juta kakitangan awam yang merupakan “lubuk undi” untuk Barisan Nasional (BN), memandangkan pilihan raya umum mungkin akan diadakan dalam masa terdekat.

Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa kenaikan untuk Kumpulan Pengurusan dan Professional, dari Gred 1 hingga 54 adalah terhad kepada 13 peratus sahaja. - TMI

Skim SBPA dimansuh, pelarasan gaji 7 - 13 peratus

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan Skim Saraan Baru Penjawat Awam (SBPA) yang sepatutnya dikuatkuasakan pada 1 Januari tahun ini dimansuhkan.

Dalam pengumuman di depan ribuan penjawat awam di Putrajaya hari ini, Najib berkata keputusan itu dibuat setelah mendengar rintihan penjawat awam yang tidak berpuas hati.

"Dengan keputusan ini, Skim Saraan Malaysia (SSM) dikembalikan dengan penambahbaikan," katanya pada majlis Perhimpunan Khas Penjawat Awam bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Berhubung pelarasan gaji pula, ia dibuat berdasarkan jadual gaji matriks SSM mengikut peratusan gred yang ditetapkan
seperti berikut:

•Kenaikan 13 peratus bagi kumpulan pengurusan, profesional dan pelaksana dari gred 1 hingga 54.
• Kenaikan 9 peratus untuk gred utama kumpulan JUSA C, B dan A.
• Kenaikan 8 peratus untuk turus 3 dan 2.
• Kenaikan 7 peratus untuk turus 1 dan ketua setiausaha.
Najib mengakui sepanjang tempoh tiga bulan SBPA diperkenalkan, kerajaan menerima hampir 1,000 aduan dan memorandum, termasuk cadangan daripada 23 persatuan berkaitan.

"Saya harap semua pihak reda dan tak ada lagi yang tak puas hati di semua peringkat. Saya doakan ini jadi penyelesaian terbaik.

"Kita bukan seperti puak-puak yang belum berjaya membentuk kerajaan sudah mahu membuang kakitangan awam," kata Perdana Menteri sambil menjelaskan bahawa berikutan rasa tidak puas hati itu, kerajaan pada 12 Jan lalu memutuskan supaya SBPA dikaji semula.

Sebuah pasukan petugas yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam TanSri Ismail Adam kemudiannya ditubuhkan dan diberi tempoh tiga bulan untuk meneliti semua aduan serta maklumat balas yang dikemukakan.

Ia diberi tanggungjawab mengemukakan cadangan penyelesaian kepada kerajaan.

Najib juga berkata kerajaan turut bersetuju elaun bantuan sara hidup (COLA) bagi kawasan B dan C masing-masing dinaikkan daripada RM150 kepada RM250 sebulan.

Sebelum ini, COLA bagi kawasan B dan C masing-masing ditetapkan pada kadar RM200 dan RM100.

Beliau juga mengumumkan pembentukan suruhanjaya yang dianggotai pihak berkepentingan, seperti kementerian kewangan dan Cuepacs bagi mengkaji tuntutan-tuntutan lain penjawat awam.

Sementara itu, Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata, beliau akan membangkitkan beberapa perkara yang belum diputuskan dalam suruhanjaya yang dibentuk itu.

"Kita rasa lega sikitlah dengan adanya suruhanjaya. Kalau tak, kita kena buat jawatankuasa itu, jawatankuasa ini," katanya.

Omar juga berharap kenaikan gaji yang diberikan tidak diikuti dengan kenaikan harga barangan yang boleh membebankan pengguna. - Malaysiakini

Imam baling selipar dihukum penjara setahun

Mahkamah Persekutuan hari ini menjatuhkan hukuman penjara setahun ke atas seorang penjawat awam, Hoslan Hussin atas kesalahan menghina mahkamah berikutan tindakan lelaki itu yang melemparkan seliparnya ke arah panel hakim.

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin (kanan) ketika menyampaikan hukuman berkenaan berkata, hukuman setimpal bagi kes berkenaan adalah penjara setahun.

Beliau sebelum itu berkata, tindakan membaling alas kaki itu boleh menggugat kuasa mahkamah dan menjatuhkan maruah mahkamah sekiranya tiada tindakan dilakukan untuk kesalahan seperti itu.

"Kesalahan yang dilakukan kamu adalah serius di sisi undang-undang," katanya yang menambah, tindakan seperti itu tidak boleh dibiarkan tanpa dibendung.

Beliau yang mengetuai panel tiga hakim, menyampaikan hukuman tersebut selepas mendengar hujahan daripada wakil Peguam Negara, Suzana Atan dan juga wakil Majlis Peguam, Arthur Wong.

Suzana berkata tindakan Hoslan telah menyebabkan institusi kehakiman dipersenda dan mencadangkan hukuman penjara.

Wong turut mempersetujui cadangan hukuman oleh wakil Peguam Negara itu.

Seorang lagi panel hakim, Datuk Suriyadi Halim Omar pula berkata beliau tidak begitu bermurah hati dalam menjatuhkan hukuman atas insiden yang "amat memalukan" itu.

Beliau juga mendapati Hoslan tidak menunjukkan imej seorang imam yang berbudi pekerti tinggi sebagai seorang yang menyandang jawatan keagamaan.

Sebaliknya, tindakan imam itu menunjukkan sikap "angkuh, biadap, riak, ganas dan langsung tidak menghormati institusi (kehakiman)," katanya.

Tambahnya, Hoslan menunjukkan kepercayaan kepada mahkamah apabila mengemukakan kes tersebut.

"Tapi bila kecewa atas tindakan yang tidak cekap, anda bertindak sedemikian.

"Jadi sekarang anda perlulah terima padahnya," katanya lagi.

Terdahulu mahkamah turut mendengar permohonan maaf daripada Hoslan, 46 berhubung tindakan membaling selipar itu.

"Saya kesal atas apa yang berlaku dan memohon maaf kepada seluruh kehakiman.

"Marilah kita sama-sama bermaaf-maafan," katanya lagi.

Hoslan turut menjelaskan bahawa beliau keliru dengan perjalanan kes melibatkan dirinya dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan diputuskan di mahkamah tersebut pada 22 Februari lalu.

Hoslan yang mewakili dirinya sendiri dalam kes berkenaan berkata, beliau keliru dengan perjalanan kes tersebut "bermula daripada awal."

Kes tersebut sepatutnya didengar di Mahkamah Syariah dan bukannya di Mahkamah Sivil, katanya lagi yang meminta prihatin mahkamah.

Hoslan yang tidak berkasut hari ini turut dilihat menangis dengan kuat selepas memohon maaf daripada mahkamah.

Beliau turut menarik perhatian orang ramai apabila beliau menunaikan solat sunat di ruang legar mahkamah ketika mahkamah berhenti rehat.

Dalam mitigasinya selepas itu, peguam Karpal Singh yang mewakili Hoslan turut memberitahu mahkamah bahawa tindakan membaling selipar itu "tidak dapat dipertahan."

Bagaimanapun mahkamah perlu mengambil kira faktor emosi Hoslan dan tindakan itu dilakukan secara tiba-tiba kerana beliau "keliru."

Hoslan juga perlu menyara tujuh anaknya, berusia antara enam hingga 16 tahun dan kini bekerja sebagai pegawai alam sekitar di Jabatan Alam Sekitar, kata Karpal lagi. - Malaysiakini

Thursday, March 8, 2012

Skim SBPA dimansuhkan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan Skim Saraan Baru Penjawat Awam (SBPA) dimansuhkan.

Dalam pengumuman di depan ribuan penjawat awam di Putrajaya hari ini, Najib berkata keputusan itu dibuat setelah mendengar rintihan penjawat awam yang tidak berpuas hati.

"Dengan keputusan ini, Skim Saraan Malaysia (SSM) dikembalikan dengan penambahbaikan," katanya.

Berhubung pelarasan gaji pula, keputusan yang dibuat seperti berikut:

•Kenaikan 13 peratus bagi kumpulan pengurusan, profesional dan pelaksana dari gred 1 hingga 54.
• Kenaikan 9 peratus untuk gred utama kumpulan JUSA C, B dan A.
• Kenaikan 8 peratus untuk turus 3 dan 2.
• Kenaikan 7 peratus untuk turus 1 dan ketua setiausaha.

Hubungan telefon pada malam Altantuya dibunuh

Beberapa panggilan telefon dikenalpasti dibuat antara penganalisis politik Abdul Razak Baginda dan tertuduh pertama, Ketua Inspektor Azilah Hadri, pada malam warga Mongolia ltantuya Shaariibuu dibunuh.

Ini termasuk satu panggilan yang dibuat sejurus sebelum pembunuhan itu - perkara itu dinyatakan pada kertas pertuduhan yang mencatatkan masanya sebagai antara jam 10 malam pada 19 Oktober 2006 hingga 1 pagi, keesokan harinya - yang menyaksikan Azilah dan Koperal Sirul Azhar Umar didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati.

Azilah menelefon Abdul Razak, sekutu rapat dan orang kepercayaan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, ketika itu, pada jam 9:41 malam, 19 Oktober 2006, dan perbualan telefon itu berlangsung selama 40 saat.

Panggilan itu dirakamkan oleh syarikat pengendali telefon dilakukan sekitar pondok tol di Jalan Duta. Pada hari berikutnya, sekitar jam 10:41 pagi, Azilah sekali lagi berhubungan dengan Abdul Razak selama 32 saat.

Azilah dan Sirul - kedua-dua mereka adalah anggota polis yang ditugaskan menjaga keselamatan Timbalan Perdana Menteri - bersama-sama disabitkan kesalahan membunuh Altantuya di kawasan hutan yang sedang dibersihkan di Shah Alam enam tahun lalu.

Walau bagaimanapun, bentuk perbualan antara Abdul Razak dan Azilah tidak diketahui.

Azilah dan Sirul membawa Altantuya dari luar rumah Abdul Razak di Damansara Heights pada malam 19 Oktober, selepas penyiasat persendirian P Balasubramaniam, yang ketika itu berkhidmat dengan penganalisis politik itu, menyerahkannya kepada mereka. - Malaysiakini

Penganggur OKU Dipenjara 64 Bulan, 10 Sebatan Kerana Miliki Dadah

PETALING JAYA: Seorang penganggur yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) dihukum penjara 64 bulan dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan memiliki dadah jenis kanabis seberat 182.58gram, tiga tahun lepas.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz menjatuhkan hukuman itu terhadap M.Alagesan, 30, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah pada Rabu.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu 9 Okt 2009.

Alagesan yang berkerusi roda didakwa memiliki dadah itu di Blok Q-018, Apartment Harmoni 55, Jalan PJU 10/4C, PJU 10, Damansara Damai dekat sini pada 10 malam, 9 Oktober, 2009.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta sama.

Terdahulu, peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili tertuduh memohon hukuman terhadap Alagesan diringankan kerana anak guamnya lumpuh sejak 2001 selepas terbabit dalam satu kemalangan.

"Ini juga merupakan kesalahan pertama Alagesan dan anak guam saya kini tinggal bersama ibunya yang merupakan seorang ibu tunggal serta dua adiknya," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Chong Kak Sen. - BERNAMA

Ella, bakal suami hadiri kursus kahwin

KUALA LUMPUR - Ratu rock negara, Norzila Aminuddin yang lebih dikenali dengan panggilan Ella dijangka menamatkan zaman daranya tidak lama lagi selepas dia dilihat menghadiri kursus perkahwinan pada 3 Mac lalu bersama bakal suaminya.

Ella, 46, dan lelaki yang dikenali sebagai A itu dikatakan memilih Pusat Kursus Perkahwinan di Pusat Bandar Damansara di sini iaitu tempat yang sama pasangan, Yusry dan Lisa Surihani menghadiri kursus tersebut.

Menurut sumber, jejaka pilihan Ella itu bertugas sebagai seorang juruterbang di sebuah syarikat penerbangan tempatan dan mereka sudah lama berkenalan.

Pada satu ketika, hubungan pasangan tersebut dikatakan pernah terputus tetapi kemudiannya bertaut semula setelah kedua-dua bertemu pada satu konsert Ella pada Disember tahun lalu. - Kosmo

Ustaz kena penjara 18 tahun

ALOR SETAR - Selepas hampir setahun turun naik mahkamah, seorang ustaz akhirnya dijatuhi hukuman penjara selama 18 tahun setelah dia mengaku bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian seorang pelajar, Saiful Syazani Saiful Sopfidee di Arau, Perlis tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd. Zaki Abdul Wahab memerintahkan Hanif Mohd. Ali, 27, menjalani hukuman tersebut pada prosiding di Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Hukuman tersebut dijatuhkan selepas mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh ke atas tuduhan pindaan iaitu menyebabkan kematian Saiful Syazani, 7, di bilik warden asrama putera Sekolah Rendah Agama Al-Furqan, Arau antara pukul 6 petang hingga 12 tengah malam pada 31 Mac 2011.

Dia dituduh mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 30 tahun dan denda. Sebelum ini, dia dituduh mengikut Seksyen 302 kanun yang sama tetapi ia dipinda selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Dalam penghakimannya, Mohd. Zaki berkata, jenayah yang dilakukan tertuduh sememangnya satu kesalahan yang amat berat. - Kosmo

SBPA: Berita baik untuk penjawat awam hari ini?

KUALA LUMPUR - Kira-kira 1.4 juta penjawat awam menunggu dengan penuh debaran pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung semakan semula Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), hari ini.

Najib dijadual berucap pada perhimpunan khas yang dihadiri ketua-ketua jabatan kerajaan dan badan berkanun serta pegawai kanan perkhidmatan awam di
Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Kenyataan bahawa Datuk Omar Osman, Presiden Cuepacs, badan yang menjadi payung kepada kesatuan-kesatuan sektor awam, yang akan berucap pada majlis itu,
memberi petunjuk jelas bahawa ia mungkin memberi tumpuan kepada skim SBPA yang disemak semula.

Walaupun beberapa penganalisis melihat skim SBPA sebagai "durian runtuh" untuk penjawat awam, pelaksanaannya merupakan sebahagian daripada inisiatif
untuk mentransformasikan perkhidmatan awam negara menjadi sesuatu yang dinamik dengan budaya berpretasi tinggi yang cekap dan mampu memenuhi permintaan yang
semakin meningkat daripada masyarakat moden.

Skim itu, yang bermatlamat menyediakan ganjaran yang lebih baik dan berdaya saing kepada penjawat awam serta mengurus tarikan bakat, pengekalan dan pemacu
dalam perkhidmatan awam, merupakan sebahagian daripada pelan transformasi Najib bagi meletakkan asas ke arah mencapai ekonomi berpendapatan tinggi.

Pada mulanya, Najib telah mengumumkan rancangan kerajaan untuk melaksanakan skim gaji yang lebih baik bagi penjawat awam ketika beliau membentangkan
Belanjawan 2012 pada 7 Oktober tahun lepas.

Kerajaan telah memperuntukkan RM64.1 bilion untuk gaji dan pencen kakitangan kerajaan di bawah Belanjawan 2012 tetapi semakan boleh bermakna gaji yang lebih
tinggi.

Skim itu, yang dijadual dilaksanakan pada 1 Januari tahun ini, ditangguhkan selepas CUEPACS membantah terhadap kewujudan perbezaan gaji yang begitu ketara
antara mereka yang menduduki gred JUSA dan Premier berjumlah kira-kira 2,600 pegawai dan mereka yang berada dalam Gred 54 dan ke bawah.

Berikutan keadaan yang tidak seimbang, Perdana Menteri mengambil tindakan tepat pada 12 Januari apabila beliau meminta supaya skim itu disemak semula.

Satu pasukan petugas khas diketuai bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, dibentuk bagi mengkaji kelemahan yang dikatakan wujud
dalam skim yang dicadangkan itu.

Walaupun, pasukan petugas diberi tempoh sehingga 16 April untuk menyelesaikan tugasnya, tetapi ia telah dapat membereskannya lebih awal daripada
yang diduga.

Penyelesaian bagi isu yang hangat ini memberi kelegaan kepada kakitangan yang terjejas, yang mana, seterusnya ia mungkin memberikan kesan positif berganda di mana empat juta orang lagi akan mendapat manfaat jika anggaran kasar empat tanggungan bagi setiap pekerja digunakan.

Sesungguhnya, ia akan menjadi durian runtuh jika mereka juga mendapat bayaran tunggakan kerana Cuepacs meminta supaya pakej gaji SBPA yang disemak
semula berkuatkuasa daripada tarikh pelaksanaan asal iaitu 1 Januari walaupun ia ditangguhkan.

Bagaimanapun, bukan hanya penjawat awam yang mendapat faedah di bawah program transformasi Perdana Menteri ke arah mewujudkan ekonomi berpendapatan
tinggi pada akhir dekad ini. Pada akhirnya, mereka yang berada dalam sektor swasta, terutama yang berada di peringkat rendah, juga akan menikmati faedah
kerana kerajaan juga sedang menumpukan usaha bagi melaksanakan dasar gaji minimum.

Dasar yang dicadangkan itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 3.2 juta kakitangan sektor swasta. Sementara begitu banyak perdebatan mengenai kebaikan dan keburukan bagi dasar sedemikian, perlu diingatkan bahawa teras utama ialah bagi menyediakan gaji yang memuaskan dan membebaskan mereka daripada belenggu kemiskinan.

Kesimpulannya, semua ini adalah sebahagian usaha di bawah orientasi kerajaan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" di bawah pentadbiran Najib bagi
meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyat Malaysia untuk masa depan yang lebih baik. - Bernama

PM jumpa penjawat awam

PUTRAJAYA 7 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka membuat beberapa pengumuman penting untuk kakitangan awam dalam perjumpaan khas bersama penjawat awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini esok.

Perjumpaan yang akan bermula pada pukul 9.30 pagi itu dijangka disertai kira-kira 10,000 penjawat awam dari seluruh negara, selain barisan kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam termasuk Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah.

Difahamkan, pertemuan esok turut menyentuh mengenai skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang kini memasuki bulan kedua semakan semula oleh pasukan petugas khas yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam. - Utusan

PKR dakwa pengarah NFC beli lot kedai di Bangsar

PKR hari ini mendakwa bahawa pengarah National Feedlot Corporation telah menggunakan pinjaman mudah oleh kerajaan bagi memudahkan pembelian lapan hartanah komersial di Bangsar, Kuala Lumpur.

Pengarah strateginya, Rafizi Ramli mendakwa pengerusi eksekutif NFC, Datuk Mohamad Salleh Ismail telah menggunakan kawalan ke atas dana berkenaan untuk mendapatkan pinjaman bagi membeli lapan lot kedai berkenaan.

"Dana awam yang diberikan kepada NFC untuk mengusahakan projek fidlot telah diselewengkan untuk dijadikan jaminan bagi mendapatkan pinjaman peribadi dan dibelanjakan dengan membeli hartanah di atas nama peribadi mereka," dakwanya dalam satu sidang media hari ini.

Rafizi yang memetik dokumen bank, sebahagiannya diedarkan kepada wartawan, mendakwa unit kedai KL Eco City itu dibeli dengan nilai tebusan pinjaman RM9.69 juta.

Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat PKR hari ini, Rafizi menganggarkan bahawa nilai pasaran hartanah berkenaan boleh mencecah sehingga RM12 juta.

"Berdasarkan harga pasaran semasa unit komersial di KL Eco City iaitu RM1,000 hingga RM1,100 setiap persegi dan kami anggar harga pasaran semasa unit ini boleh mencecah RM12 juta," dakwanya lagi.

Rafizi mendakwa pembelian tersebut dibuat dengan menggunakan pinjaman oleh Mohamad Salleh dan juga oleh individu yang setakat ini masih belum dapat dikenalpastinya.

Rafizi mengemukakan beberapa dokumen bank sebagai bukti bahawa Mohamad Salleh dan pengarah NFC diberikan pinjaman bersama itu melalui kawalan ke atas akaun syarikat berkenaan.

Dokumen yang didedahkannya itu menyebut, NFC mempunyai simpanan sebanyak RM71.4 juta di dalam akaun di sebuah bank.

Dokumen itu seterusnya menyatakan bahawa Mohamad Salleh hanya mempunyai RM421 di dalam akaunnya di bank tersebut pada satu masa, namun tetap diberikan pinjaman berjumlah RM4,391,240 untuk membeli hartanah.

Selain itu, dokumen itu juga menunjukkan bahawa Mohamad Salleh telah bertindak sebagai penjamin untuk satu lagi pinjaman berjumlah RM663,743.

Ia turut menunjukkan bahawa dua lagi syarikat yang turut dimiliki Mohamad Salleh – National Meat and Livestock Corporation (NMLC) dan Agroscience Industries masing-masing merekodkan baki sebanyak RM1,872,254 dan RM197,338 melalui akaun di bank sama.

Rafizi mendakwa, pembelian hartanah tersebut, yang setiap satunya bernilai antara RM1.1 juta hingga RM1.56 juta dibuat oleh ahli keluarga Mohamad Salleh.

Rafizi mendakwa perkara itu telah disahkan oleh satu sumber beliau, yang tidak didedahkan. [Baca berita penuh]

Sementara itu, NFC menafikan laporan media yang menyatakan bahawa pengarah NFC telah menggunakan pinjaman mudah kerajaan bagi memudahkan pembelian lapan hartanah komersial di Bangsar.

Dalam satu kenyataan malam ini, NFC berkata, hartanah ini tidak dibeli oleh syarikat itu.

Pembelian itu, katanya, adalah pelaburan individu pengarahnya. - Malaysiakini

KDN tak puas hati penjelasan akhbar The Star

Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak berpuas hati dengan penjelasan The Star berhubung penyiaran gambar seorang artis luar negara dengan tubuhnya bertatu kalimah Allah pada sisipan 27 Februari 2012.

Oleh itu, ia menuntut akhbar tersebut mengemukakan cadangan tindakan lebih tegas kepada KDN bagi memastikan kesilapan sama tidak berulang dan dapat dijadikan pengajaran pada masa hadapan.

"Susulan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) ingin menegaskan supaya The Star dan pihak media seluruhnya mengambil tindakan lebih preventive, corrective dan informative bagi mengelakkan paparan kandungan menyentuh sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini," kata Ketua Setiausaha KDN, Tan Sri Mahmood Adam dalam satu kenyataan hari ini.


Sebelum ini, harian berbahasa Inggeris itu memohon maaf kepada umat Islam kerana menyiarkan gambar artis Amerika Syarikat Erykah Badu yang memperlihatkan tatu kalimah Allah tertera di dadanya.

"Kami dengan ikhlas memohon maaf kepada umat Islam atas kesilapan ini," kata permohonan maaf yang disiarkan dalam lamanwebnya.

Tatu dalam bahasa Arab itu disiarkan dalam seksyen "Star2" di samping rencana satu muka penuh berhubung penghibur yang digelar "Ratu Neo-Soul" sempena konsertnya di Kuala Lumpur pada Rabu depan.

Selain dua tatu kalimah Allah, simbol lain pada dada dan lengannya yang terdedah juga memperlihatkan huruf-huruf dalam bahasa Yahudi dan simbol seakan-akan piramid.

Akhbar web PAS Harakahdaily, dengan memetik pandangan seorang pembacanya, telah mempersoalkan tindakan akhbar itu yang "seolah-olah menghina Islam".

Lidah rasmi parti Islam itu juga mempersoalkan kehadiran penyanyi 41 tahun itu mengadakan konsert di negara ini dan pihak berkuasa patut memantaunya. - Malaysiakini

Zaid akan bertanding di Kota Bharu atas tiket KITA

Dalam satu lagi keputusan yang mengejutkan hari ini, presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Datuk Zaid Ibrahim mengumumkan bahawa partinya tidak akan dibubarkan dan beliau akan bertanding di kerusi parlimen Kota Bharu di bawah tiket KITA dalam pilihan raya umum akan datang.

"Calon-calon Pakatan Rakyat dan BN tidak mempunyai banyak pengalaman, dan saya sebagai veteran di sana, jadi saya fikir saya lebih baik berbanding mereka," katanya dalam sidang akhbar di Petaling Jaya.

Beliau juga berkata, KITA akan mengumumkan senarai calonnya bagi pilihan raya umum akan datang lewat bulan ini.

Katanya, KITA tidak akan dibubarkan setelah krisis dalaman parti itu di Kedah dan Pulau Pinang diselesaikan.

"Adalah satu kesilapan untuk menerima mereka, tetapi kerana kita sudah pecat mereka, tidak ada masalah lagi sekarang," kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang merujuk kepada bekas pengerusi KITA Kedah, Zamil Ibrahim dan bekas pengerusi KITA Pulau Pinang, Tan Tee Beng. - Malaysiakini

Mahkamah panggil imam kes baling kasut

Seorang Imam, Hoslan Hussin hari ini dipanggil ke Mahkamah Persekutuan untuk menjelaskan tindakannya membaling kasut ke arah panel hakim berkenaan dalam satu insiden bulan lalu.

Hoslan, 46, berkata beliau telah menerima surat berkenaan hari ini, yang meminta beliau hadir ke mahkamah berkenaan pada pagi esok.

Beliau diminta menjelaskan sebab yang boleh menghalang Mahkamah Persekutuan daripada mengambil tindakan ke atas kesalahan "menghina mahkamah" itu, kata Hoslan yang membacakan surat berkenaan.

Surat itu juga menyebut, "(Hoslan) telah bertindak menghina mahkamah dengan membaling selipar ke arah panel hakim ketika mahkamah sedang bersidang."

Hoslan berkata, surat berkenaan diserahkan kepadanya oleh anggota polis ketika beliau pulang ke rumahnya di pangsapuri Projek Perumahan Rakyat Cochrane, Kuala Lumpur tengahari ini.

Ketika ditanya, Hoslan berkata "insya-Allah" beliau akan hadir ke mahkamah berkenaan pagi esok.

Bagaimanapun, Hoslan berkata beliau tetap akan mendapatkan pandangan daripada peguamnya terlebih dahulu, petang ini.

Dalam kejadian pada 22 Februari lalu, Hoslan membaling kasutnya ke arah panel hakim berkenaan selepas mahkamah itu menolak rayuannya berhubung satu kes melibatkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Surat oleh timbalan pendaftar mahkamah Jumirah Marjuki itu juga menyatakan bahawa balingan tersebut mengenai seorang timbalan pendaftar ketika mahkamah itu bersidang.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini sebelum ini, Hoslan menjelaskan bahawa tindakan tersebut dilakukannya sebagai tanda bahawa "kehakiman negara sudah rosak."

Beliau turut menimbulkan semula dakwaan penyelewengan yang berlaku di Masjid ar-Rahimah, Kampung Pandan yang didakwa tidak mendapat perhatian.

Hoslan juga mendakwa, tindakannya yang sering menimbulkan dakwaan penyelewengan itulah yang menyebabkan beliau dipecat daripada jawatannya sebagai imam rawatib.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menamatkan perkhidmatan Hoslan di Masjid Ar-Rahimah pada 2008 dan mengeluarkan notis ke atasnya supaya mengosongkan kuarters yang didudukinya itu.

Hoslan bagaimanapun tetap berkeras untuk tinggal di kuarters berkenaan, menyebabkan MAIWP mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang beliau daripada terus tinggal di situ.

Perintah Mahkamah Tinggi pada Jun 2011 itu bagaimanapun dirayu oleh Hoslan di Mahkamah Rayuan dan seterusnya ke Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan keputusan itu pada 22 Februari lalu. - Malaysiakini

Polis jumpa penduduk bincang kes serang balai

Polis akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang baik anggota pasukan keselamatan itu sendiri atau orang awam yang bertindak melaksanakan sendiri undang-undang.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Salleh Mat Rasid berkata tiada siapa di negara ini yang tidak tertakluk kepada undang-undang negara.

"Masyarakat tidak seharusnya mengambil undang-undang di tangan sendiri, sebaliknya harus membuat laporan polis atau aduan rasmi kepada ketua balai," katanya kepada pemberita di George Town hari ini.

Beliau mengulas mengenai insiden kira-kira 100 penduduk kampung menyerang balai polis di Teluk Bahang pada Ahad lalu setelah tidak berpuas hati dengan tindakan anggota polis yang didakwa membaling topi keledar ke arah sekumpulan penunggang motosikal dalam operasi membanteras 'mat rempit' di kawasan itu.

Dalam kejadian pada jam 11 malam Sabtu itu, lima daripada penunggang motosikal terbabit terjatuh dan cedera dengan dua daripadanya dilapor parah dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Salleh berkata siasatan berhubung insiden itu masih berjalan.

"Kami telah mengadakan sesi perjumpaan dengan penduduk kampung untuk membincangkan hal ini untuk melicinkan siasatan kes," katanya.

Susulan kejadian itu, seorang anggota polis berpangkat lans koperal ditukarkan ke unit lain sementara menunggu siasatan. - Bernama

Wednesday, March 7, 2012

Sisa kilang Lynas akan dihantar ke luar negara

KUANTAN – Syarikat perlombongan nadir bumi Lynas (M) Sdn. Bhd. bersetuju untuk menghantar ke luar negara bahan buangan dari kilang memproses bahan itu yang terletak di Gebeng dekat sini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Lynas telah menghantar surat jaminan kepada kerajaan sebagai mematuhi sebahagian syarat yang dikenakan kepada syarikat itu ketika mereka menerima lesen beroperasi sementara daripada Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) baru-baru ini.

“Walaupun kerajaan berpuas hati bahawa tidak akan ada residue (bahan buangan) radioaktif yang dihasilkan oleh Lynas semasa operasi mereka, sebagai langkah tambahan setelah disyorkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), kerajaan mengarahkan Lynas memberikan jaminan dan merancang untuk menyediakan kemudahan pelupusan tetap (PDF) jauh dari penempatan awam.

“Sekiranya syarikat gagal mendapatkan lokasi kemudahan pelupusan tetap tersebut, residue yang dihasilkan akan dibawa keluar dari Malaysia,” katanya ketika membaca kenyataan bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri di sini semalam. - Kosmo

Taubat nabi palsu sudah terlambat

SHAH ALAM – Rayuan terakhir lelaki yang mendakwa ‘Rasul Melayu’, Abdul Kahar Ahmad untuk mengetepikan hukuman penjara 10 tahun, denda RM16,500 serta enam kali sebatan ditolak oleh Mahkamah Rayuan Syariah di sini semalam.

Tiga panel Hakim Syarie diketuai Tan Sri Ibrahim Lembut, Datuk Md. Yusop Che Teh dan Datuk Aidi Mokhtar sebulat suara memutuskan bahawa hakim bicara Mahkamah Tinggi Syariah di sini tidak terkhilaf dalam mengenakan hukuman tersebut terhadap perayu.

Sehubungan itu, hukuman yang dikenakan ke atas Abdul Kahar pada 16 September 2009 selepas dia ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ketika menonton televisyen di rumah sewanya di Sungai Long, Hulu Langat, Kajang pada pukul 9.45 pagi kekal.

Tertuduh kini ditahan di Penjara Kajang.

Abdul Kahar, 62, kelihatan tenang mendengar keputusan tersebut namun ahli keluarga termasuk anak-anak tertuduh yang hadir sepanjang prosiding menangis teresak-esak.

Pada 21 September 2009, Hakim Abu Zaky Mohammad mensabitkan bekas pekerja Zoo Negara itu bersalah selepas menerima pengakuan salah terhadap lima tuduhan menyebarkan ajaran sesat yang diasaskannya tujuh tahun lalu.

Selain hukuman berkenaan, Abdul Kahar turut diperintah dihantar ke Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman, Hulu Yam bagi tempoh enam bulan terakhir daripada hukuman penjara.

“Secara keseluruhan mahkamah bersetuju dengan responden (Ketua Pendakwa Syarie) bahawa kesalahan ini melibatkan akidah yang serius dan sesuatu hukuman perlu bergantung pada berat kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Selain itu, merujuk kepada hujah perayu yang mendakwa sudah bertaubat dan insaf, Ibrahim berkata, taubat hanya boleh dibuktikan dengan amal soleh dan hakim bicara memutuskan hukuman berdasarkan apa yang dilihat secara zahir.

“Perlu diingat, hukuman adalah serampang dua mata: Satu untuk menyedarkan pesalah dan satu lagi adalah untuk memberi peringatan kepada yang lain supaya tidak berbuat yang sama,” katanya. - Kosmo

Hukuman ustaz ditentukan hari ini

ALOR SETAR – Mahkamah Tinggi di sini semalam menetapkan hari ini bagi menentukan nasib seorang ustaz yang dituduh menyebabkan kematian seorang pelajar, Saiful Syazani Saiful Sopfidee di Arau, Perlis pada tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd. Zaki Abdul Wahab membuat keputusan tersebut selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Hanif Mohd. Ali (gambar), 27, yang menyebabkan kematian Saiful Syazani, 7, di bilik warden asrama putera Sekolah Rendah Agama Al-Furqan, Arau di antara pukul 6 petang hingga 12 tengah malam pada 31 Mac 2011.

Hanif dituduh mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 30 tahun dan denda. Sebelum ini, dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan namun ia dipinda selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan. - Kosmo

Tentera Syria letupkan jambatan pemberontak

DAMSYIK 7 Mac - Tentera Syria semalam bertindak membedil kubu kuat penentang dan meletupkan sebuah jambatan yang biasa digunakan oleh pemberontak untuk melarikan diri ke Lebanon, menurut kumpulan pemantau.

Tindakan itu susulan pengumuman Presiden Bashar al-Assad, yang berikrar untuk menentang keganasan sehingga ke akar umbi.

“Rakyat Syria sekali lagi membuktikan kapasiti mereka untuk mempertahankan negara dan membina Syria baru melalui ketetapan untuk meneruskan reformasi bersama menentang keganasan yang didalangi pihak asing,” katanya kepada sebuah agensi berita.

Dalam serangan yang berlaku di bandar herak, wilayah selatan Daraa itu, sekurang-kurangnya enam orang terbunuh semalam termasuk seorang kanak-kanak perempuan, menurut kumpulan pemantau. - AFP

Satu juta penduduk hadapi gangguan air 14 Mac ini

Kira-kira satu juta pengguna di Selangor dan Kuala Lumpur akan mengalami gangguan bekalan air pada 14 Mac ini ekoran kerja-kerja penyenggaraan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1.

Pengarah Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Korporat Syabas Abdul Halem Mat Som berkata gangguan akan melibatkan 153 kawasan di Hulu Selangor, Petaling, Kuala Lumpur Klang/Shah Alam dan Kuala Langat.

"Gangguan bekalan air dijangka berlaku selama 36 jam bermula pada pukul 8 pagi 14 Mac sehingga 8 malam keesokan harinya," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata di Hulu Selangor kawasan terlibat ialah Kuang, Kundang dan keseluruhan Bandar Tasik Puteri manakala kawasan Petaling melibatkan SS1 hingga SS6 Petaling Jaya, Kelana Jaya, kawasan perdagangan bebas SS8, Sungai Way, Damansara Kim, Damansara Utama, Damansara Jaya, Kampung Sungai Kayu Ara, Taman Megah, Taman Mayang Mas dan Taman Mayang.

Turut terlibat ialah Bukit Mayang Mas, Kampung Cempaka, Sungai Mas & Aman Suria, Damansara Idaman, Sunway Damansara & Mutiara Tropicana, Kampung Kayu Ara, Mutiara Damansara, Damansara Perdana & Bukit Lanjan, Taman Megah Mas, Bandar Utama, Tropicana Golf, TTDI & Pinggiran TTDI, Sungai Pencala, Seksyen 2 hingga 11, Kota Damansara, Pusat Perdagangan Kota Damansara, Monteres, Kayangan Height & Subang Sejahtera, Seksyen 12 hingga 14, Petaling Jaya, Kampung Melayu Subang, Subang Perdana, Mah Sing dan Subang Bestari.

Kawasan Kuala Lumpur melibatkan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Bukit Kiara, Kelab Diraja Selangor, Bukit Kiara Resort, Pusat Sukan Bukit Kiara, Pusat Sains Negara, Suruhanjaya Sekuriti, Bahagian Teknologi Pendidikan, Pusat Konvensyen Sime Darby , Jalan Segambir, Jalan Belimbing, Jalan Setia Bistari, Jalan Setia Murni 1 hingga 12, Jalan Setia Budi, Jalan Setia Rasa, Jalan Setia Raya, Jalan Setia Jaya, Jalan Medan Setia, Jalan Setia Bakti, Jalan Setia Kasih, Plaza Damansara dan Taman Seri Beringin.

Klang/Shah Alam pula melibatkan Sunway Kayangan, Subang Impian, Sunway Suria, Puncak Perdana, Sungai Kapar Indah, Pekan Meru, Bukit Kerayong, Kampung Budiman, Felda Bukit Cerakah, Cerakah Jaya, Bukit Kapar, Kampung Delik Kanan, Kampung Delik Kiri, Kampung Delik Dalam, Kampung Delik Baru, Kampung Sungai Udang, Jalan Sungai Bertik, Jalan Yadi, Jalan Batu Unjur, Jalan Kim Chuan, Taman Kim Chuan, Taman Bayu Perdan, Flat Sri Angkasa, Vista Indah Apartment, Bandar Puteri, Bandar Ambang Botanic dan Taman Kota Permai.

Turut terlibat ialah kawasan Bandar Botani, Bandar Bukit Tinggi 1 dan 2, Flat Pendamar Indah, Taman Sentosa, Bandar Parkland, Kampung Idaman, Taman Gembira, Jalan Raja Lumu, Flat Perumahan Teluk Gadong Indah A, Rumah Teres Teluk Gadong Indah A, Flat Pandamaran Indah, Kampung Pendamar, Jalan Tengku Badar, Persiaran Raja Muda Musa, Jalan Kastam, Pandamaran, Pandamaran Jaya, Taman Telok Gedung Besar dan Sobena Jaya.
Kawasan Kuala Langat pula melibatkan kawasan Sijangkang, Telok Panglima Garang dan Kebun Baru.

Abdul Halem berkata sebagai langkah persediaan Syabas telah meletakkan 42 buah lori tangki dalam keadaan bersedia serta sebanyak 192 buah tangki statik di kawasan strategik bagi membekalkan air sekiranya berlakunya kecemasan.

Katanya orang ramai yang memerlukan bantuan bekalan air menerusi lori tangki atau ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual itu boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (PUSPEL) di talian bebas tol, 1-800-88-5252.

Abdul Halem berkata Syabas terpaksa menutup loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1 itu sepanjang penyenggaraan kerana melibatkan kerja-kerja menukar peralatan yang mengalami masalah teknikal seperti injap.

Beliau berkata hentitugas itu juga perlu dilakukan bagi penambahbaikkan pam di loji rawatan itu bagi mencapai tahap kapasiti kepada 950 jumlah liter sehari (JLH) berbanding 840 JLH sekarang. - Malaysiakini

Tuesday, March 6, 2012

Hukuman 10 tahun penjara ke atas “rasul Melayu” kekal

SHAH ALAM 6 Mac – Mahkamah Rayuan Syariah di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara 10 tahun, denda RM16,500 dan enam sebatan ke atas ketua ajaran sesat “Rasul Melayu”, Abdul Kahar Ahmad.

Abdul Kahar mengaku bersalah terhadap lima tuduhan pindaan mengikut Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, tiga tahun lepas.

Bagaimanapun, beliau merayu terhadap hukuman dijatuhkan Mahkamah Tinggi itu.

Panel tiga hakim, Tan Sri Ibrahim Lembut, Datuk Md. Yusup Che Teh dan Datuk Aidi Mokhtar membuat keputusan itu selepas mereka sebulat suara menolak rayuan Abdul Kahar, 62, untuk meringankan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya pada 21 Oktober 2009.

Dalam penghakiman mereka, Ibrahim selaku pengerusi berkata, pihaknya menolak lapan alasan yang dikemukakan oleh Abdul Kahar bahawa Hakim Abu Zaky Mohammad telah terkhilaf semasa menjatuhkan hukuman itu ke atasnya.

Mereka sebaliknya berpendapat, hukuman penjara, denda dan sebatan itu sesuai dengan kesalahan perayu mengaku dirinya sebagai rasul yang sangat serius serta merosakkan akidah umat Islam. – BERNAMA

Gambar bogel: Polis persoal tindakan Hilmi lari ke Indonesia

KUALA LUMPUR 6 Mac — Polis Malaysia mempersoalkan tindakan Hilmi Hazimin Malek, yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes penyebaran gambar separuh bogel Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor Elizabeth Wong, melarikan diri ke luar negara sehingga ditahan pihak berkuasa Indonesia di Pulau Batam kerana memiliki dokumen perjalanan palsu.

"Kalau dia (Hilmi) tidak bersalah, mengapa dia takut dan lari ke luar negara, kalau dia berada di pihak yang benar, maka beliau perlu menjelaskan segala-galanya,” kata Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, ACP Aziz Zakaria.

Beliau berkata, keterangan Hilmi Hazimin akan membantu siasatan terperinci polis berhubung rakaman dan penyebaran gambar Elizabeth.

Sebuah portal Indonesia sebelum ini melaporkan seorang rakyat Malaysia dikenali sebagai ”Azmin Helmi”, yang kemudian disahkan sebagai Hilmi Hazimin, ditahan Imigresen Indonesia kerana memiliki dokumen palsu.

Hilmi dikesan mempunyai alamat di Ampang, Selangor dan dikatakan memiliki kad pengenalan serta kad keluarga Indonesia palsu.

"Kita telah merakam kenyataan ibu bapa dia (Hilmi) dan kita percaya kes ini dapat diselesaikan dengan segera,” katanya.— BERNAMA

* Anwar Ibrahim tidak lari ke luar negara dan sudah pun menjelaskan segala-galanya. Adakah puak Umno terima Anwar tidak bersalah?

Tiada kes prima facie terhadap Abdul Razak Baginda

KUALA LUMPUR 6 Mac — Penganalisis politik Abdul Razak Baginda tidak mempunyai kes prima facie untuk menjawab pertuduhan bersubahat dengan dua anggota Unit Tindakan Khas dalam kes bunuh Altantuya Shaariibuu yang berlaku pada 2006, menurut penghakiman bertulis yang dikeluarkan hari ini oleh Mahkamah Tinggi yang mendengar kes itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Mohd Zaki Md Yasin berkata, nota-nota yang ditulis Abdul Razak, yang ditemui dalam beg Ketua Inspector Azilah Hadri, berserta dengan alamat penuh kediaman Abdul Razak dan nama bapanya, Datuk Abdullah Malim Baginda, adalah konsisten dengan seorang lelaki yang tidak bersalah yang telah meminta bantuan polis untuk melakukan rondaan di kawasan rumahnya (Abdul Razak) berikutan gangguan dan ugutan daripada Altantuya.

Dalam penghakiman setebal 70 muka surat, Hakim Mohd Zaki juga berkata, malahan sekiranya Abdul Razak boleh disimpulkan sebagai mempunyai “motif” berdasarkan semua surat peras ugut daripada si mati (Altantuya), ia tidak boleh dijadikan sebagai asas bagi sabitannya tanpa sebarang keterangan langsung atau keadaan bagi pembabitannya dalam apa juga cara dalam perlakuan kesalahan itu.

"Saya berpuas hati bahawa tiada prima facie untuk beliau menjawab pertuduhan terhadapnya. Dengan itu, saya mendapati tertuduh ketiga tidak bersalah dan memerintahkannya dilepas dan dibebaskan,” katanya dalam penghakiman beliau yang diedarkan kepada media hari ini. - BERNAMA

* Apa yang mendorong Altantuya dibunuh? Adakah kedua anggota UTK itu bunuh Altantuya saja-saja tanpa mendapat lampu hijau daripada bossnya?

Ibu rakam anak dirogol teman lelaki

SHAH ALAM - Seorang janda bukan sahaja bertindak keji membiarkan anaknya diratah teman lelakinya, malah tambah jijik dia tergamak merakam aksi rogol itu menggunakan telefon bimbit untuk kepuasan nafsu.

Nasib kanak-kanak berusia 11 tahun itu mendapat pembelaan apabila Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara 21 tahun terhadap wanita itu kerana bersubahat dengan teman lelakinya merogol mangsa, tiga tahun lalu.

Hakim Latifah Mohd Tahar turut menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 15 sebatan terhadap tertuduh Ma Kassim Sirat, 44.

Ma Kassim, pemandu teksi, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan merogol mangsa di sebuah pangsapuri di Rawang pada 12 tengah malam, pertengahan Disember 2009 dan 30 Januari 2010, dan jam 10 malam, Mac 2010.

Sementara itu, ibu kanak-kanak itu didakwa bersubahat dengan teman lelakinya di tempat dan masa yang sama.

Pasangan kekasih itu didakwa mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Peguam Roland Engan dan M Hafiz Zainol Abidin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan mengambil kira pengakuan salah anak guamnya yang telah insaf dan menyesal.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Hemy Annerina Haja Mydin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana peranan ibu mangsa yang bersubahat dalam kes itu amat mendukacitakan.

"Perkara ini menyedihkan kerana ia tidak pernah didengar dalam mana-mana kes sebelum ini," katanya.

Beliau yang dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya R Kalaiyarasi berkata, mahkamah perlu mengambil kira kesan terhadap mangsa yang trauma sepanjang hayat akibat perbuatan kedua-dua tertuduh.

"Setiap hari, mangsa akan tertanya-tanya mengapa ibunya sendiri tidak menyelamatkannya (dari kejadian rogol). Hanya disebabkan oleh nafsu kedua-dua tertuduh, mangsa berdepan titik hitam dalam hidupnya. Kecederaan fizikal boleh diperbaiki, tetapi tidak emosi," katanya.

Berdasarkan keterangan mangsa, ibu memanggilnya masuk ke bilik tidur sebelum Ma Kassim merogolnya.

Pada kejadian kedua, ibu mengumpan mangsa dengan hadiah sempena hari lahir dan pada kejadian terakhir, wanita itu merakam perbuatan terkutuk lelaki itu. - Sinar Harian

* Kemaluan anak diserahkan, agak-agak kemaluan sendiri bagaimana?

Orang ramai marah polis 'tendang' motosikal remaja

Kurang dua hari disiarkan, gambar seorang anggota polis yang didakwa menendang seorang penunggang motosikal semasa sekatan jalan raya sehingga menyebabkan remaja berusia 14 tahun itu mengalami kecederaan teruk telah dikongsi oleh tidak kurang 10,000 warga maya.

Gambar-gambar yang dimuat-naik itu menunjukkan seorang anggota polis berpangkat koperal yang memakai jaket hijau kuning serta bercermin mata gelap hitam dan remaja yang terlentang selepas terjatuh itu menimbulkan kemarahan warga maya yang membidas apa yang disifatkan mereka sebagai keganasan polis.

Kejadian pada Sabtu lalu dikatakan berlaku di Taman Tangkak Jaya, Ledang, Johor, dan telah dilaporkan dalam akhbar-akhbar Cina, dengan beberapa daripada mereka menyiarkan cerita itu di muka depan akhbar mereka.

Menurut akhbar Kwong Wah Jit Poh, penunggang motosikal itu yang dikenali sebagai Lim Hup Hwang menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar pada sekitar jam 5:50 petang apabila beliau melalui sekatan jalan itu.

Ketika cuba menghentikan Lim, anggota polis berkenaan menendang motosikalnya menyebabkan remaja jatuh itu melanggar pembahagi jalan lalu terjatuh.

Lim kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tangkak sebelum dipindahkan ke sebuah hospital swasta di Melaka akibat kecederaan teruk pada kepala, telinga kanan, leher, kaki dan bahagian lain di badannya.

"Ini anggota polis itu! Hanya kerana adik saya tidak memakai topi keledar, dia menendang motosikalnya. Kenapa dia berbuat demikian kepada adik saya yang berusia 14 tahun apabila dia hanya boleh mengeluarkan saman?" soal kakak Lim di posting Facebook posting yang turut memaparkan gambar polis yang sedang bertugas itu.

"Adik saya koma. Beliau mengalami pembekuan darah di lehernya yang terseliuh. Pendarahan juga dilaporkan pada bahagian kepala dan di telinga. Beliau juga terpaksa menerima jahitan untuk kecederaan di seluruh badannya!" - Malaysiakini

* Dua-dua salah, cuma yang polis belum terima hukuman...

Jimmy mengaku tampar isteri

SHAH ALAM - Pengacara televisyen Astro, Jimmy Shanley mengaku telah menampar isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy sebanyak dua kali sepanjang 19 hari berkahwin.

Menurut Jimmy, kali pertama dia menampar Nursuhaila adalah pada hari ketiga berkahwin di rumah mertuanya di Sungai Buloh dekat sini.

Kali kedua dia berbuat demikian ketika berbulan madu di Koh Samui, Thailand pada 19 Oktober 2010.

Katanya, tindakan tersebut dilakukan sebagai pengajaran untuk mengelak wanita itu menjadi derhaka selepas mengabaikan dirinya sebagai suami.

"Dia ada menangis, namun tiada kecederaan," katanya yang mengakui perkahwinan mereka bermasalah sejurus selepas bernikah pada 1 Oktober 2010.

"Selepas kejadian (ditampar), isteri saya terus daftar keluar (dari hotel) dan pergi ke Bangkok seorang diri manakala saya pulang ke Kuala Lumpur pada 20 Oktober," katanya semasa disoal peguam syarie, Mohd. Noor Aizan Md. Idrus. - Kosmo

* Lelaki penyayang, jelentik isteri pun tak sanggup...

Penangan Pak Din, mengaku setaraf wali

GOMBAK – Sebuah keluarga sanggup bergolok bergadai dan berhabis ratusan ribu ringgit dalam tempoh empat tahun untuk seorang lelaki berperwatakan alim yang mengaku sebagai wali.

Tidak cukup dengan itu, lelaki yang layak digelar warga emas itu turut melarikan anak gadis keluarga berkenaan dengan meyakinkan seluruh ahli keluarga itu bahawa mereka berkahwin secara ghaib dengan bersaksikan malaikat.

Bagaimanapun, ‘sihir’ lelaki itu berakhir selepas keluarga malang berkenaan tidak diiktiraf menjadi kaum kerabatnya sebaik keluarga itu tidak lagi mampu membiayai kehidupannya.

Mangsa, Mohd Zin Mamat, 62, berkata, dia mengenali lelaki yang berasal dari Kelantan itu menerusi seorang rakan selepas cuba berikhtiar mengubati sakit kaki anak gadisnya yang ketika itu baru berusia 20 tahun.

Berusia sekitar 60 tahun, wajahnya berjambang dan berkopiah, dia selalu berulang–alik dari rumahnya di Pasir Mas untuk mengubati kaki anak perempuan kami, Siti Maizura.

“Namun, memikirkan anak kelima saya itu memerlukan rawatan susulan, kami membenarkan lelaki berkenaan tinggal di rumah ini tanpa sebarang syak wasangka,” katanya kepada Sinar Harian sewaktu ditemui di rumahnya di Gombak.

Mohd Zin berkata, meskipun penyakit anaknya itu sudah sembuh, lelaki itu masih terus mahu menetap di rumahnya.

Mengenangkan keadaan lelaki berkenaan yang hidup susah, Mohd Zin sekeluarga sanggup membantu membayarkan sewa rumah.

“Lama-kelamaan kami jadi macam bodoh dan menuruti kemahuannya, dia sering mengatakan dirinya setaraf Nabi Isa dan berjanji akan membayar balik semua wang selepas dia mengeluarkan wang dari alam ghaib bernilai RM99 bilion,” katanya.

Mohd Zin berkata, lelaki itu turut mengakui bahawa mereka sekeluarga adalah kerabatnya dan pernah membawa mereka ke Pantai Cahaya Bulan bersama enam keluarga lain yang tidak dikenali, kononnya untuk memberikan pangkat dan nama gelaran sebagi persediaan tinggal bersama di sebuah istana yang bakal dibina di atas bukit di daerah Machang.

“Setiap bulan kami diperintah membayar sewa rumah dan pembiayaan sekolah serta makan dan minumnya, jika berada di Kelantan, dia akan menghubungi saya atau isteri untuk memasukkan wang dalam akaunnya. Jika kami tidak berbuat demikian, dia akan mengenakan dam’ atau denda yang mencecah RM2,000,” katanya.

Difahamkan, dalam tempoh itu juga, anak lelaki Mohd Zin membuat pinjaman sehingga RM100,000 hanya untuk membiayai kehidupan lelaki berkenaan.

Isteri dan anak perempuannya juga dikatakan sanggup menggadai barang kemas bernilai puluhan ribu ringgit semata-mata untuk memberikan wang kepada lelaki itu.

Anehnya Mohd Zin berkata, mereka sekeluarga tidak boleh marah kerana lelaki itu dikatakan pandai bermain dengan kata-kata dan sering memberitahu bahawa al-Quran itu hanya di bawah telapak kakinya, malah lelaki itu mengakui mampu mengampunkan dosa orang kerana boleh naik ke langit dan berunding dengan ALLAH.

“Sampai satu tahap, kami tidak boleh membiayai perbelanjaannya kerana sudah tidak mempunyai wang, lelaki itu memberitahu kami tidak layak menjadi kerabatnya dan perlu dibuang. Ketika itu barulah kami sedar tentang apa yang berlaku selama empat tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, sejak berkahwin, warga emas itu juga tanpa segan silu melakukan hubungan kelamin bersama anaknya diruang tamu rumah secara terbuka pada waktu malam.

“Sampai sekarang anak mereka tidak boleh dibintikan nama bapanya kerana perkahwinan dianggap tidak sah oleh Jabatan Pendaftaran Negara” katanya.

Salurkan maklumat kepada keluarga

Isteri Mohd Zin, Siti Habshah Yusof, 65, berkata, anak perempuan berjaya ditemui selepas hampir setahun menghilangkan diri dan dibawa pulang ke rumah, namun lari semula mengikut lelaki itu.

“Kami tidak tahu dia lari ke mana, ada sekali dia hubungi dan beritahu supaya kami sekeluarga tidak mencarinya sampai bila-bila kerana dia bahagia bersama suaminya.

“Ibu mana yang tidak sedih apabila anak sendiri berkata begitu, sudah berpuluh ustaz dipanggil untuk membantu memulihkan dan mencari Maizura, semuanya tidak berhasil, saya yakin anak saya sekarang hidup susah kerana sewaktu mula-mula berjumpa dengannya, keadaan amat lesu, pucat dan tidak bermaya,” katanya.

Katanya, dia sudah berikhtiar pergi mencari lelaki itu di rumahnya di Pasir Mas, namun isterinya memberitahu suaminya tidak pulang ke rumah sejak lebih setahun yang lalu.

“Tujuan saya menghebahkan kepada media bukan mahukan publisiti, tetapi berharap orang ramai yang mengetahui di mana anak saya berada dapat menyalurkan maklumat, kami juga berharap agar tidak ada lagi orang di luar sana terus terpedaya dengan lelaki ini,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Maizurah boleh menghubungi talian Mohd Zin 017-3257271 atau Mohd Affendi 019-6137014.

Sehingga kini, empat laporan polis telah dibuat di Ampang dan Gombak berhubung penipuan warga emas berkenaan. - Sinar Harian

3 suspek culik budak ditahan

JOHOR BAHRU 5 Mac – Polis memberkas tiga individu termasuk seorang wanita yang disyaki terlibat dalam kes penculikan seorang kanak-kanak di sebuah rumah kosong berhampiran kediaman mangsa di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam dekat sini Khamis lalu.

Ketiga-tiga suspek berusia antara 36 hingga 40 tahun itu diberkas hasil maklumat penduduk yang curiga dengan kehadiran mereka di rumah kosong berkenaan sejak Disember lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, kesemua suspek ditahan pada hari yang sama selepas polis menerima laporan mengenai kehilangan kanak-kanak berusia 5 tahun itu, Nurul Nadirah Abdullah.

“Kesemua suspek direman sehingga esok bagi membantu siasatan dan polis sedang berusaha mengesan kanak-kanak itu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini. - Utusan

* Yakin polis Johor tidak akan berehat sehingga dapat menyelamatkan kanak-kanak malang ini...

Kes Nirmala Bonat: Majikan jalani rawatan psikiatri

PUTRAJAYA 5 Mac - Buat kali kedua, Mahkamah Rayuan menolak permohonan pendakwa raya agar waran tangkap dikeluarkan terhadap Yim Pek Ha ekoran kegagalan suri rumah itu hadir pada prosiding rayuan kerana kesalahan mencederakan bekas pembantu rumahnya, Nirmala Bonat, lapan tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk K.N. Segara yang bersidang bersama Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Linton Albert hari ini sebulat suara memutuskan demikian selepas berpuas hati bahawa keadaan kesihatan wanita itu tidak membenarkannya hadir ke mahkamah.

Sehubungan itu, kuorum berkenaan menerima dan menghormati penjelasan Pakar Perunding Psikiatri, Profesor Madya Dr. Subash Kumar Pillai yang merawat Pek Ha bahawa wanita itu memerlukan rawatan berterusan kerana sering mengalami gangguan fikiran menyebabkannya mempunyai ingatan secara pasif untuk membunuh diri. - Utusan

Monday, March 5, 2012

Najib sedia debat dengan orang berfikiran munasabah

Datuk Seri Najib Razak berkata beliau sedia berdebat mengenai politik dengan sesiapa saja yang mempunyai pemikiran yang munasabah dan yang serius mengenai masa depan negara.

Perdana Menteri berkata bahawa sebagai seorang ahli politik dalam sebuah negara demokrasi, beliau tidak dapat elak daripada orang bercerita perkara buruk mengenai diri beliau.

"Jika saya tidak boleh menerima hakikat ini, maknanya saya telah buat pilihan kerjaya yang salah.

"Saya terima dengan adanya. Saya sedia berdebat mengenai politik dengan sesiapa, sama ada lelaki atau perempuan, yang mempunyai pemikiran yang munasabah dan saya hargai suasana politik di Malaysia yang meriah," katanya dalam entri terbaru bertajuk "Kebenaran Mengenai Malaysia" dalam blog beliau di www.1malaysia.com.my.

Bagaimanapun, Najib berkata ada satu garis di mana perdebatan demokratik berakhir dan digantikan pula dengan penyalahgunaan, penipuan dan penyalahgambaran.

"Mereka yang serius mengenai masa depan negara kita harus cuba untuk tidak menyeberangi garisan ini," katanya.

Katanya ada sesetengah pihak di negara ini yang tidak dapat menahan daya tarikan teori konspirasi yang hanya wujud dalam filem-filem Jason Bourne, bukan dalam perdebatan politik yang rasional, kerana teori sebegitu membebaskan diri mereka daripada menanggung tanggungjawab atas kegagalan mereka sendiri.

"Sukar untuk memenangi sesuatu hujah atau gagal mendapatkan sesuatu cara anda? Cara penyelesaian yang lebih mudah adalah untuk mengadu bahawa sistem yang ada ini telah dikongkong daripada bekerja keras untuk mencari hujah yang lebih baik atau mengakui kesilapan diri dengan rendah diri," katanya.

Najib berkata beliau sangat bimbang apabila melihat terlalu ramai yang mengatakan mereka mahu memimpin Malaysia namun mereka tidak mampu mengawal diri apabila berdepan dengan sesuatu perdebatan.

"Bagi mereka, tiada batasan dalam menggunakan apa sahaja cerita, tuduhan atau teori yang keterlaluan, tidak kisahlah sama ada ia berasas atau tidak, dan berlandaskan fakta atau tidak.

"Mereka tetap menggunakannya walaupun ia akan merosakkan reputasi negara di mata antarabangsa dan mengganggu kestabilan dalam negara," katanya. - Bernama

* Kesimpulanya, Najib takut berdebat dengan Anwar...

Sunday, March 4, 2012

Dirotan sampai berdarah

ALOR GAJAH - Hanya kerana mengejek seorang rakan, seorang pelajar Tingkatan Dua di sebuah sekolah tahfiz swasta di Alor Gajah, dirotan sebanyak 10 kali oleh gurunya sehingga berdarah.

Kejadian berlaku di sebuah kelas di sekolah berkenaan, kira-kira 7.30 pagi, Khamis lalu, mengakibatkan Amir Azamuddin Abd Rahim, 14, lebam dan calar balar di bahagian belakang badan, kedua-dua bahu serta betis.

Guru berkenaan yang dipanggil mereka sebagai ustaz menjatuhkan hukuman di hadapan pelajar lain dengan menggunakan rotan sebesar ibu jari tangan yang dibalut pita pelekat di hujungnya.

Bapa mangsa, Abd Rahim Abdul Wahid, 37, berkata, anaknya memberitahu, kejadian berpunca daripada seorang rakannya mengadu kepada guru berkenaan mengenai perbuatannya mengejeknya, sehari sebelum itu.

“Ustaz berkenaan datang berjumpa anak saya dan tiga rakannya sebelum merotan kesemua mereka. Bagaimanapun, hanya anak saya seorang dirotan sehingga 10 kali, sementara yang lain dirotan sebanyak tiga dan empat kali.

“Akibat tidak tahan, anak saya lari keluar dari kelas dan mendapatkan pertolongan rakan saya,” katanya.

Abd Rahim berkata, dia dihubungi isterinya, Meme­dalina Abu, 34, yang berada di rumah kira-kira 12 tengah hari, selepas dimaklumkan kejadian itu oleh lelaki terbabit.

“Saya pergi ke sekolah berkenaan untuk membawa pulang Amir Azamuddin. Di dalam kereta anak saya menceritakan segalanya sebelum saya terus membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, kira-kira 3 petang,” katanya.

Menurutnya, ketika di IPD, guru berkenaan turut dipanggil polis untuk memberi keterangan dan sempat meminta maaf atas perbua­­tan­nya, serta mengakui bertindak mengikut emosi.

“Saya tidak kisah anak saya dirotan kerana kesalahannya, tapi hukuman sebegitu adalah keterlaluan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Abd Rahman Jid berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan. - Sinar Harian

Malaysia - Negara Islam Ada Perkhidmatan Seks Escort

Kadar gaji minimum ditetapkan, beza RM100 antara timur, barat Malaysia, kata sumber

KUALA LUMPUR, 3 Mac — Kabinet bersetuju untuk menetapkan kadar gaji minimum di bawah RM1,000 untuk 3.2 juta pekerja di sektor swasta, dengan perbezaan RM100 antara negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dan Sabah dan Sarawak, kata sumber.

The Malaysian Insider difahamkan pentadbiran Najib memutuskan membuat kelainan kadar gaji daripada perbezaan sektor walaupun beberapa sektor akan diketepikan daripada polisi.

Kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat telah menetapkan kadar gaj minimum RM1,500 seperti yang dituntut kebanyakan kesatuan tetapi dibantah majikan.

“Gaji minimum di bawah RM1,000 kerana menteri berkata sebelum ini dan Kabinet meluluskannya,” kata sumber merujuk Menteri Sumber Manusia Datuk Seri S. Subramaniam (gambar) berkata dua minggu lalu bahawa Kabinet akan membuat keputusan tidak lama lagi.

“Pengumuman akan dibuat tidak lama lagi,” kata seorang lagi sumber.

Kerajaan telah memperbaharui perkhidmatan gaji awam sejak 1 Januari tetapi berdepan dengan masalah selepas kesatuan kakitangan awam Cuepacs berkata kenaikan gaji tidak sama dengan kira-kira 2,000 pegawai kanan mendapat kenaikan yang tinggi sementara 1.3 juta yang lain sebaliknya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan kajian semula yang akan dibentangkan pada 16 April.

Kesatuan sekerja sektor kerajaan dan awam telah meminta kadar gaji minimum sejak beberapa tahun kebelakangan ini namun majikan mengatakan ia tidak bagus bagi pasaran tempatan terutamanya persaingan dari ekonomi serantau yang menggunakan tenaga kerja yang lebih murah. Tetapi Najib mensasarkan sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam meminta agar isu gaji minimum dipertimbangkan, mengingatkan Malaysia boleh manjadi muflis jika ia dilaksanakan sekarang seperti yang berlaku di negara Barat.

Beliau yang masih berpengaruh walaupun telah bersara pada 2003 menegaskan kerajaan persekutuan mahu melaksanakan dasar gaji minimum tanpa mengambil kira cuti umum termasuk cuti hujung minggu dan cuti perayaan yang akan mendatangkan risiko kepada ekonomi negara.

Beliau menggambarkan negara Barat muflis disebabkan mereka tidak mampu bertahan daripada terus membayar gaji yang tinggi kepada kakitangan walaupun khidmat yang diberikan kurang terutamanya pasaran Asia yang menjadi lebih kompetitif.

“Saya bimbang Malaysia menuju ke arah ini jika kita membayar lebih untuk khidmat yang kurang, seperti yang kita lakukan sekarang,” kata Dr Mahathir dalam tulisan terbaru di blognya.

Bagaimanapun Dr Subramaniam bulan lalu berkata struktur gaji dicadangkan selepas mengambil kira kajian Bank Dunia, termasuk faktor-faktor utama seperti kos sara hidup, indeks garis kemiskinan, produktiviti dan kadar pengangguran.

Kadar gaji baru akan memberi impak yang besar di Sabah, di mana purata pendapatan di sana adalah RM577, diikuti Sarawak, RM758. Di Semenanjung Malaysia, purata gaji minimum adalah RM1,131. Hampir 33 peratus kakitangan di sektor swasta dibayar kurang RM700 sebulan, yang ia di bawah garis kemiskinan, menurut laporan News Straits Times.

“Jika kita membayar antara RM800 dan RM1,000, ia tidak mempunyai sebarang kesan negatif ke atas tarikan pelaburan, tetapi jika ia lebih tinggi daripada RM1,000 maka ia boleh menyebabkan kesan negatif terhadap ekonomi,” katanya menambah dasar itu boleh dilakukan secara berperingkat, dengan menangguh pelaksanaan itu dan memberikan majikan tempoh menstruktur semula rangka gaji mereka, kemudian baru laksanakan kadar gaji minimum.

Beliau menambah ia perlu dikaji semula setiap dua tahun, mengingatkan majikan bahawa mereka akan berdepan denda maksimum RM10,000 jika gagal mematuhi dasar itu.

“Sebab untuk dasar ini kerana sepanjang 10 tahun lalu, terdapat peningkatan hanya 2.6 peratus setahun dan kita ketinggalan di belakang negara lain yang telah melaksanakan kadar gaji minimum.

“Sekarang kita sedang memperkemaskan kadar gaji kita, merentasi jurang mereka yang hidup di bawah garis kemiskinan,” kata Dr Subramaniam. - TMI