31 December 2012

Janji Najib jika diberi mandat PRU13

Najib
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini mengajak rakyat untuk bersama-sama beliau menanam azam tahun baru ke arah membina masa depan Malaysia yang lebih cerah.

Najib berkata, jika diberi mandat yang jelas, beliau dan kerajaan pimpinannya berikrar akan menggunakan kepercayaan yang diberi dengan sebaik-baiknya dengan menepati segala janji dan komitmen yang diberi seperti yang telah dibuktikan selama ini.

"Marilah bersama-sama saya untuk menjadikan impian kita ini suatu realiti.

Berdirilah di sisi saya untuk kita bersama-sama menentukan kejayaan, bergeraklah dan bekerjalah bersama-sama saya untuk melakar sebuah masa depan yang terbaik, untuk negara dan anak-anak kita," katanya dalam perutusan Tahun Baru 2013 yang disiarkan melalui radio dan televisyen malam ini.

Perdana Menteri berkata beliau dan kerajaan hari ini tidak akan mampu mengkhidmati rakyat Malaysia dengan kadar yang terbaik tanpa sokongan dan dukungan padu daripada seluruh rakyat.

Najib juga berkata negara amat memerlukan sumbangan daripada rakyat dalam setiap perancangan yang dibuat di mana bagi kerajaan tidak ada istilah sumbangan kecil atau besar, yang ada hanyalah kesanggupan untuk melakukan sesuatu.
      
"Marilah kita tanyakan diri kita apakah yang mampu kita lakukan untuk menentukan apa yang kita dambakan, apa yang kita impikan mampu tercapai.

"Masa depan negara dan anak-anak kita adalah terlalu penting untuk dipertaruhkan mahupun untuk dijadikan bahan eksperimen. Membina sebuah negara yang berjaya memerlukan usaha yang berterusan dengan hala tuju yang jelas.

"Meruntuhkan sebuah negara pula hanya memerlukan masa yang pendek namun kesannya berpanjangan. Di tangan kitalah terletak keputusan bagaimana masa depan
negara hendak dicorakkan, ke mana Malaysia hendak dibawa," katanya.

Menyimpulkan kesan transformasi kerajaan pada tahun 2012 sebagai positif selepas berakhir fasa pertama prakarsa transformasi yang melibatkan kerajaan, ekonomi dan politik, Perdana Menteri berkata angka tunjuk negara dalam pelbagai bidang di peringkat antarabangsa telah meningkat secara yang membanggakan.

Najib berkata ia terbukti melalui laporan Bank Dunia, "Doing Business 2013" meletakkan Malaysia sebagai negara ke-12 paling mudah berurus niaga di dunia manakala laporan "World Competitiveness Yearbook 2012" telah menempatkan Malaysia sebagai negara ke-14 paling berdaya saing di dunia.

Beliau berkata di sebalik semua yang berlaku, kerajaan tetap perlu mengambil iktibar dan pengajaran daripada pengalaman lalu dalam menangani cabaran yang
bakal mendatang tahun depan dengan meneruskan dan menambah baik apa yang terbukti baik dan terbukti berjaya serta setiap kegagalan ditamatkan dan dijadikan teladan.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menyarankan empat asas daripada Dasar Transformasi Nasional yang perlu diteruskan, ditingkatkan dan dipastikan dalam memastikan wawasan Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi tercapai.

Pertama, katanya, perlu meneruskan agenda nasional bagi mengukuhkan perpaduan kebangsaan yang merupakan teras kelangsungan negara dengan berpandukan falsafah 1Malaysia 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.

Kedua, usaha untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dengan sistem jaringan keselamatan sosial akan diteruskan di mana bantuan kebajikan dan subsidi adalah
disasarkan kepada yang benar-benar memerlukan.

"Ini diperkukuhkan lagi dengan jaringan kebajikan institusi keluarga, korporat dan keagamaan di mana setiap rakyat yang memerlukan bantuan akan memperolehnya," katanya.

Ketiga, katanya meningkatkan kemakmuran negara dengan memastikan pertumbuhan ekonomi yang mapan, kesihatan fiskal dan merangsang sistem pergerakan sosial
yang bertunjangkan harapan, di mana pencapaian seseorang individu tidak hanya dihadkan oleh daya imaginasi.

Beliau berkata sebaliknya daya keusahawanan dan sejauh mana kesanggupan individu berkenaan untuk bekerja keras dengan gabungan kreativiti, inovasi dan kesanggupan mengambil risiko akan mendatangkan laba yang lumayan.

Najib berkata asas keempat yang perlu diteruskan dan ditingkatkan adalah memastikan Malaysia menjadi tempat terbaik untuk membina kehidupan berkeluarga dengan segala aspek dan keperluan hidup seperti keselamatan, kejiranan, kesihatan dan pendidikan dipenuhi sebaiknya. - Bernama

Rakyat Malaysia akan menghukum UmnoBN pada pilihanraya ke-13 nanti. Hukumannya adalah jatuh kuasa selama 5 tahun dengan harapan dapat muhasabah diri.

Kumpulan anti Lynas alih perhatian kepada ‘tukar rejim’

wong
KUALA LUMPUR, 31 Dis ― Kumpulan pejuang alam sekitar Himpunan Hijau kini mula beralih untuk “menjatuhkan rejim” bermula tahun hadapan, dengan bermulanya konvoi alam sekitar mereka dari Gombak ke Gebeng, Pahang sebagai usaha menentang pembangunan kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di sana.

Konvoi akan berkumpul di Balok malam ini bakal menyaksikan kekuatan mereka menjelang sambutan tahun baru, yang diharapkan mereka untuk membawa perubahan positif dalam perjuangan  menentang “simbol rasuah.”

“Lynas bukan lagi fokus utama kami selepas ini. Tetapi untuk menghancurkan ancaman, kami perlu menghentikan rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” kata Pengerusi Himpunan Hijau Wong Tack (gambar)kepada The Malaysian Insider semalam.

Konvoi mereka dimulakan dengan 13 hari perarakan dari Kuantan ke Dataran Merdeka bulan lalu melibatkan sekitar 200 ahli, dan 100 jam mogok lapar dilakukan kumpulan pejuang alam sekitar lain,  Anak Muda Menentang Projek Memudaratkan Alam Sekitar.

Gerakan mereka bermula pada 9 Oktober tahun lalu, apabila sekitar 5,000 peserta daripada Pahang ― negeri kelahiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ― untuk menyatakan sokongan menentang kilang tersebut, yang menurut mereka sebagai sebuah lagi contoh kerajaan mengutamakan keuntungan berbanding kepentingan rakyat.
Dengan perhimpunan kedua mereka pada 26 Febuari lalu di Kuantan, kemarahan telah disuarakan sekitar 20,000 peserta dan menjadi simbol kehendak rakyat Malaysia.
28 April lalu, Himpunan Hijau turut menyertai kumpulan pendesak pembaharuan daftar pemilih Bersih yang turut menyaksikan pertempuran dengan pihak polis.

Memandangkan pilihan raya semakin hampir, mesej Himpunan Hijau akan menjadi lebih relevan, dengan mendesak pembaharuan sistem ― cubaan untuk menukar pentadbiran yang membenarkan Lynas didirikan di Malaysia.

“Kami akan berusaha menjatuhkan rejim ini ... kami akan menjatuhkan kerajaan,” kata Wong.
Wong juga turut mengakui mustahil untuk kumpulannya menjatuhkan Lynas yang telah diberikan lampu hijau untuk beroperasi apabila menerima Lesen Operasi Sementara (TOL).

Bagaimanapun, jelasnya, kumpulan itu hanya mahukan Lynas melalui proses yang sah di sisi undang-undang dalam membangunkan kilang pemprosesan nadir bumi, dan bukannya melalui “pintu belakang” dan berharap kerajaan baru akan memaksa Lynas bagi tujuan itu.
“Kami tidak menentang Lynas ... kami tidak menghalang nadir bumi, kami cuma tidak mahu mereka menggunakan jalan singkat,” tegas Wong.

“Sebaik sahaja mereka siap 100 peratus, 100 peratus selamat dan mematuhi peraturan, mereka boleh teruskan. Kenapa Malaysia perlu mengambil risikonya?”
Walaupun  berubah fokus, Wong menegaskan Himpunan Hijau tidak akan duduk diam berkaitan Lynas.
“Operasi di Balok akan diteruskan,” katanya merujuk kepada contoh halangan kereta yang telah dilaksanakan mereka bagi menghalang penghantaran keluar masuk ke kilang tersebut.

Himpunan Hijau juga akan turut bekerjasama dengan kumpulan pejuang alam sekitar antarabangsa yang turut akan memboikot HSBC, syarikat multinasional British yang didakwa membiayai Lynas.
“Kami akan menggesa orang ramai tidak menggunakan khidmat mereka lagi,” kata Wong.
Kumpulan itu telah melakukan demonstrasi terhadap bank tersebut di Jalan Mahkota, Kuala Lumpur minggu lalu.

Walaupun konvoi tersebut belum berakhir, Wong mengesahkan perjuangan mereka telah menemui kejayaan.
“Ini adalah tangan gelap yang sedang kami tentang, syarikat multinasional bekerjasama dengan kuasa dalaman melalui pakatan. Ia cabaran besar buat kami sebagai rakyat biasa,” kata Wong.
Beliau turut menjelaskan penentangan terhadap sumber tenaga yang menggunakan arang batu di Sabah yang mengambil masa lima tahun untuk selesai, ini kan pula Lynas yang baru berlangsung sekitar setahun.

“Bila kami memulakan kempen, 97 peratus LAMP sudah siap, dan mereka dijangka memulakan operasi penghujung tahun ini.
“Hari ini, walaupun ia telah mula beroperasi, mereka masih belum memulakan pengeluaran,” kata Wong.
“Mereka tidak akan berjaya menutup kem kami yang berada di depan pintu masuk mereka.”
Wong turut memuji rakyat yang bersama-sama mereka demi menjaga negara ini untuk generasi akan datang, dan menyelar pemimpin politik yang telah melupakan rakyat dalam agenda mereka.

“Apa yang kami kata, tidak didengar, apa kami lakukan tidak diendahkan ... ini adalah perjuangan rakyat, dan kami semakin menghampiri kemenangan,” katanya. - TMI

PR semakin kuat.

K'jaan jemput mufti tampil bersama Hadi di TV

Rais
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata tokoh agama dan mufti negeri-negeri akan dijemput untuk bersama dalam forum yang akan memberi peluang buat julung kalinya kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi memperjelas amanatnya yang telah memecah-belahkan umat Islam di Malaysia.

Rais berkata, Hadi tidak boleh membuat keputusan bersendirian dan terlalu yakin dengan kebolehan dirinya yang berlatar belakangkan pendidikan agama "kerana sentiasa ada orang yang lebih bijak daripada kita".

"RTM adalah hak rakyat dan ia boleh diguna untuk menjelaskan sesuatu perkara, tapi bukan satu saluran sahaja (Hadi seorang), ia mesti disertai oleh pihak-pihak yang juga ada ilmu, nas dan pengalaman," katanya kepada pemberita selepas Program Larian Tahun Baru 1Malaysia di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur hari ini.

Presiden PAS itu, katanya harus bersedia untuk menerima pendapat orang lain dan forum tersebut akan dibuat dalam suasana yang sesuai.

Rais berkata Hadi tidak boleh membuat tanggapan bahawa keputusan (Amanat Hadi Awang) yang beliau buat pada 1981, itu adalah muktamad.

Menurut Rais Hadi bukan ahli jawatankuasa fatwa atau majlis agama Islam negeri, sebaliknya beliau hanyalah seorang ahli politik yang mengeluarkan pandangan sendiri dan pandangan itu pula berasaskan sentimen yang diselubungi oleh politik.

Rais juga berharap Hadi akan menarik balik tuduhan kafirnya ke atas pengikut Umno semasa berlangsungnya program itu dan jika beliau mahu meneruskan amanatnya, Hadi harus mendengar pandangan daripada tokoh-tokoh agama lain yang akan turut serta.

"Sehingga kini, belum ada lagi permohonan rasmi dari Hadi tetapi segala perancangan untuk menyediakan rancangan berbentuk forum tanpa kehadiran penonton studio itu sedang berjalan," katanya.

Rais menjelaskan demikian ketika mengulas mengenai hasrat Hadi yang mahu muncul dalam kaca televisyen secara langsung selama sejam untuk menerangkan keadaan sebenar berhubung isu pepecahan umat Islam selepas mengeluarkan amanatnya yang mengkafirkan Umno pada 1981, di Kuala Terengganu.

Dalam pada itu, Rais meminta parti-parti politik dalam negara ini supaya bersatu dalam konteks kemasyarakatan Malaysia.

Malaysia harus dibantu tanpa mengira latar belakang politik, agama dan budaya supaya negara ini terus mendapat tempat tertinggi dalam aturan keduniaan dan antarabangsa, katanya.

"Kita perlu bersatu dalam konteks di luar politik dan bukan hanya politik sahaja yang boleh satukan kita, tetapi perasaan kekitaan sebagai rakyat Malaysia," katanya.

"Orang PKR (Parti Keadilan Rakyat) perlu jayakan anak mereka, orang Umno pun sama, kita tidak boleh terlalu banyak berlopak dalam politik sampai kita lupakan negara dan kewarganegaraan kita," katanya.

Di Putrajaya, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan pula mengesyorkan supaya Hadi mengadakan sidang akhbar terbuka atau melalui web TV mengenai amanatnya tanpa perlu memberi penjelasan secara langsung di stesen televisyen tempatan.

Menurut Ahmad tindakan Presiden PAS itu yang hanya mahu tampil di stesen televisyen tertentu seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan TV3, seolah-olah mempunyai agenda tersendiri.

"Mungkin ada tujuan-tujuan tertentu. Tapi pada saya panggil sidang akhbar lagi ramai boleh datang. Ia boleh disiar secara langsung oleh segala web TV. Nak panggil stesen TV luar negara pun boleh," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Kopitiam Killiney Putrajaya di Putrajaya, hari ini.

Ahmad berkata pada sidang akhbar Sabtu lepas selepas sekian lama berdiam diri daripada menjawab isu berkenaan, Hadi tidak memaklumkan untuk menarik semula amanat itu, tetapi hanya ingin memberi penjelasan.

"Mudah-mudahan dia akan tarik amanat itu. Tapi kelihatannya sukar. Saya kira kalau dia menarik balik amanat itu dan memohon maaf, dia berjiwa besar seperti Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) yang memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Walaupun tak nampak apa salah perdana menteri, tapi (memohon maaf) bagi pihak pemimpin yang tidak turun padang, yang tidak melaksanakan tugas dengan baik yang menyebabkan kekalahan pada pilihan raya umum 2008," kata Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri - Bernama

Forum selama 1 jam. Ahli panel seramai 10 orang. Tolak sana tolak sini. Hadi Awang dapat 3 minit memberi penjelasan. Seronok agaknya menipu rakyat ni.

30 December 2012

Jakim: Tindakan pada Hadi jika pertahan 'amanat'

Datuk Othman Mustapha
Ketua pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Datuk Othman Mustapha berkata tindakan boleh diambil ke atas Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekiranya presiden PAS itu tetap mahu mempertahankan satu amanat kontroversi pada 1981 yang didakwa mengkafirkan Umno.

Menurut laporan Berita Harian hari ini, Othman berkata jabatan itu bagaimanapun akan memanggil Abdul Hadi terlebih dahulu dan mahu presiden parti tersebut menarik balik amanat berkenaan.

"Kesan amanat itu besar, mereka lepaskan kepada masyarakat dan tidak cuba memperbetulkan semula, tuduh orang Islam lain tidak boleh kawan, kafir.

"Kalau kita lihat, di negara Arab mereka berpecah-pecah soal mazhab, kita di sini soal amanat... sebenarnya mengkafirkan orang (Islam) lain itu lebih parah," katanya.

Beliau turut mengakui bahawa tindakan telah dijalankan ke atas isu berkenaan sebelum ini dan mendakwa jabatan itu mempunyai bukti berhubung elemen mengkafir itu.

"Benda ini (amanat) pun sudah lama, tindakan pun sudah diambil, tapi timbul balik... Mengikut rekod kami yang dikumpul sejak amanat itu diucapkan, elemen mengkafir itu jelas ada.

"Kami ada bukti dan simpan semua termasuk rakaman ceramah mereka. Kesan apa yang mereka ucapkan itu juga berlaku termasuk dalam majlis perkahwinan, kenduri kendara, makan sembelihan orang Umno tak boleh," katanya.

MP Shah Alam Khalid Samad pada hujung minggu lalu menjelaskan bahawa petikan ucapan Abdul Hadi Awang yang dinamakan sebagai 'Amanat Haji Hadi' tidak pernah sama sekali mengkafirkan mana-mana ahli Umno.

Sebaliknya, Khalid berkata, dakwaan bahawa Hadi mengkafirkan orang Umno menerusi amanat itu adalah "putar-belit media Umno" semata-mata.

"Ia (amanat itu) sebenarnya petikan ucapan Ustaz Hadi yang dinamakan 'amanat' oleh orang yang menyokong PAS dan dijual sebagai poster oleh penyokong atau ahli PAS," kata Khalid. - Malaysiakini

Nasib baik di dalam blog ini dilarang mencarut.

29 December 2012

(Video) Anwar Ibrahim - Jelajah Merdeka Rakyat, Kuchai Lama

RTM tiada masalah siar penjelasan Hadi jika sesuai

Rais
KUALA LUMPUR - Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, pihaknya tiada masalah untuk menyiarkan penjelasan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkenaan isu Amanat Haji Hadi.

Bagaimanapun kata beliau, ia boleh dibuat secara rakaman dan bergantung kepada pertimbangan RTM sama ada ia sesuai dijadikan bahan berita atau sebaliknya.
"Kita minta Datuk Seri Hadi beritahu lokasi penjelasan itu hendak dibuat rakaman.

"RTM boleh buat liputan dan sekiranya kandungan berita itu sesuai, kita akan tayangkan di TV," kata beliau kepada pemberita ketika menyaksikan persiapan dan raptai Majlis Rumah Terbuka Krismas 2012 dan sambutan Tahun Baharu 2013 di Dataran Merdeka di sini, hari ini.

Pagi tadi di Marang,  Hadi berkata, beliau sedia menjelaskan isu amanatnya pada 1981 sekiranya beliau diberi peluang untuk berbuat demikian menerusi siaran langsung di stesen televisyen tempatan.

Pemimpin tertinggi Pas itu berkata, jika diberi peluang itu, beliau akan menjelaskan segalanya berkaitan amanat beliau mengkafirkan Umno supaya masyarakat dapat menilainya.
  
Pada masa sama, Hadi berkata,  beliau juga bersedia memberi penjelasan secara bertulis mengenai pendiriannya itu berkaitan amanat yang dicetuskan sejak lebih 30 tahun lepas.

Mengulas lanjut hasrat Hadi itu, Rais  berpandangan kenyataan yang dibuat pemimpin Pas itu pada 1981 perlu mendapat penilaian daripada pihak lain memandangkan isu akidah itu telah menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini.

"Pandangan mufti lain pun harus dipertimbangkan di samping penilaian pihak Jakim dan pihak berkuasa lain dalam soal akidah," jelasnya.

Meskipun Rais dilihat secara terbuka menerima hasrat Hadi itu, namun penyiarannya mungkin dihadkan bagi menjaga kepentingan kerajaan.

"Saya kira itu tidak jadi masalah tetapi hanya panjang pendeknya terpaksa dilihat dari sudut praktikaliti penyiaran di RTM," katanya. - SH

Masih ada yang mempertikai yang Umno ini zalim?

Hadi minta RTM, TV3 beri satu jam jelaskan isu Amanat Hadi

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
KUALA TERENGGANU – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta kerajaan memberi beliau peluang siaran secara langsung sejam menerusi RTM untuk menjelaskan isu Amanat Haji Hadi yang kembali menjadi polemik semasa.

Selain RTM, Abdul Hadi turut meminta rangkaian Kumpulan Media Prima terutama TV3 juga memberinya peluang yang sama.

Ahli Parlimen Marang itu enggan menyatakan pendirian sama ada amanat itu harus ditarik balik atau tidak dalam sidang media kerana percaya kenyataannya tidak akan disiarkan penuh sebagaimana diharapkan selain berlakunya diputar belit fakta.

“Saya minta supaya diberi peluang secara langsung sejam oleh RTM dan TV3. Beri satu jam biar saya jelas, lepas itu masyarakat boleh nilai,” kata beliau selepas melancarkan Petugas Muslimat Marang PRU13 di Dewan Tok Guru, Rusila, Marang, pagi tadi. - SH

24 jam serang dan fitnah Hadi Awang, tak patut tak beri peluang beliau menjawab selama 1 jam.

Cuepacs mahu kerajaan umum segera jadual gaji

Cuepacs
KUALA LUMPUR - Cuepacs hari ini mahu kerajaan mengumumkan jadual gaji yang lengkap untuk pekerja sektor awam secepat mungkin bagi memastikan mereka dapat menikmati pergerakan gaji yang mantap.
  
Setiausaha Agungnya, Loke Yim Pheng berkata, dengan adanya jadual gaji yang baru, ia juga dapat mengatasi masalah pekerja yang akan menghadapi masalah mencapai tahap gaji maksimum atau 'gaji mati' tahun depan.
  
"Awal tahun depan, dianggarkan hampir 50,000 penjawat awam akan menikmati gaji maksimum, kalau mereka tidak ada jadual gaji yang lengkap, bermakna mereka tidak dapat pergerakan gaji," katanya kepada Bernama di sini.
  
Sementara itu, Loke yang juga Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berkata, cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengambil guru dari India yang mahir dalam Bahasa Inggeris mengajar di sini merupakan cadangan yang baik.
  
Beliau berkata kemasukan guru dari negara luar dapat berkongsi kepakaran dan idea serta amalan baik dengan guru di negara ini bagi melahirkan pelajar yang kreatif dan inovatif.
  
"Tetapi, untuk jangka panjang, kita perlu membina dan membentuk satu kumpulan guru yang betul-betul berkualiti dan bertaraf antarabangsa, justeru mereka juga boleh berkongsi idea, kefasihan dalam Bahasa Inggeris dengan negara luar," katanya. - Bernama

(Video) Bukti Umno tolak hukum Islam

Suri rumah berusia 17 tahun maut dipukul suami

Nor Fatimah Anis Md. Radzi dan
suami pada majlis pernikahan mereka di Kodiang, Jitra, Jun lalu.
ALOR SETAR 28 Dis. - Angkara cemburu, seorang suri rumah berusia 17 tahun yang baru enam bulan melangsungkan perkahwinannya maut selepas dipukul suaminya di kepala dipercayai menggunakan objek keras dalam satu pertengkaran dengan seorang kenalan lelaki mereka awal pagi ini.

Dalam kejadian pukul 2.15 pagi di sebuah rumah di Kampung Alor Gelegah di sini, Nor Fatimah Anis Md. Radzi ditemui mati di rumah mertuanya itu oleh salah seorang ahli keluarga mereka yang tinggal bersebelahan kediaman dua tingkat tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Zakaria Ahmad berkata, pasangan suami isteri berkenaan pada mulanya dikatakan bertengkar di hadapan rumah tersebut sebelum mereka keluar dengan menunggang sebuah motosikal. - Utusan

27 December 2012

Fathul Bari saran Pas keluar Pakatan

Fathul
SHAH ALAM – Pas dinasihatkan keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) supaya parti itu lebih dihormati dan dimuliakan kerana prinsipnya walaupun menjadi parti minoriti.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya berkata, Pas hari ini dilihat menggadaikan prinsip dan pendiriannya serta tidak selantang dahulu dalam mengemukakan isu.

“Kita nasihatkan Pas keluar PR, walaupun akan menjadi minoriti tetapi dia (Pas) akan lebih dimuliakan kerana prinsipnya.

“Suatu ketika dahulu Pas lantang bersuara bahkan sampai ke tahap mengkafirkan kelompok tidak sealiran dan sependapat dengannya.

"Hari ini Pas hanya diam dan tidak membangkitkan lagi isu hudud, negara Islam dan pendirian-pendirian lain yang pernah dilaungkan,” katanya ketika sidang media di Bangunan Umno Selangor, semalam.

Fathul mendakwa, hanya kerana kuasa dan Putrajaya prinsip dan pendirian Pas selama ini tergadai begitu sahaja.

Beliau berkata, kerjasama Pas dengan DAP dan PKR pada hari ini disifatkannya menggadai pegangan-pegangan asal parti itu.

"Mungkin kerana Putrajaya atau kelemahan mereka serta kuasa membuatkan mereka jatuh ke tahap ini.

“Tidak dapat dinafikan manusia jatuh kerana pangkat, kuasa dan harta. Ini juga satu muhasabah kepada Umno sendiri, jika berlaku perselisihan pendapat, jangan kerana kuasa semata-mata kita gadaikan pendirian dan prinsip kita tentang agama,” katanya.

Dalam pada itu, Fathul berkata, belum PR menawan Putrajaya, telah timbul pelbagai kontradiksi dalam pakatan pembangkang berkenaan dan dijangka akan lebih parah sekiranya mendapat kuasa itu.

Katanya, dalam PR, tiada agenda Islam, yang ada hanya mempertahankan perlembagaan sedia ada termasuk Islam sebagai agama persekutuan dan hak-hak keistimewaan orang Melayu.

“Tapi agenda Islam secara jelas seperti mempertahankan akidah Islam, hukum Islam yang Pas laungkan puluhan tahun lalu sudah tiada.

“Pas dalam bab ini menyebut bahawa negara berkebajikan disebut adalah manifesto itulah negara Islam sebenar, tetapi saya katakan pada mereka, kenyataan itu salah kenyataan kerana DAP sendiri memaklumkan negara berkebajikan dalam manifesto
PR bukan negara Islam sebaliknya negara sekular,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan pertembungan dan percanggahan dalam pakatan ini dan tidak relevan untuk diberi mandat untuk memerintah.

“Pas nak bawa objektif dia, DAP kata tak boleh dah janji dah. Lim Guan Eng kata dah jelas kepada Pas dan juga PKR pelaksanaan hudud tak dibenarkan kecuali dengan persetujuan DAP," katanya. - SH

Umno adalah parti yang dominan dalam BN. Umno ada kuasa jika hendak melaksanakan hukum Islam. Sama ada Umno tolak hukum Islam atau Umno tunduk kepada MCA. Paling tepat Fathul Bari keluar dari parti mungkar sebelum terlambat.

25 December 2012

BBIM sasar miliki 200 kampus

bbim
BRAINY Bunch International Montessori Berhad (BBIM) optimis mempunyai 200 kampus dengan perolehan RM60 juta menjelang 2015.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Fadzil Hashim berkata , ketika ini BBIM mempunyai 38 kampus dengan majoriti di sekitar Lembah Klang dan satu di Kuantan, Seremban dan Melaka.

“Melangkah ke tahun depan, kami akan membuka kampus pertama di Singapura dan Indonesia. Kami melihat permintaan pembelajaran Islamik Montessori di Indonesia adalah sangat besar.

Fadzil berkata,  sasaran tersebut antara lainnya akan disokong oleh bangunan sekolahnya sendiri di Cyberjaya yang menelan belanja RM200 juta untuk segala kemudahan dan infrastruktur.

“BBIM juga sedang dalam perbincangan bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk mendapatkan tanah seluas 3.2 hektar membangunkan bangunan sendiri dilengkapi sekolah rendah dan pra sekolah yang bakal siap pada 2015,” katanya selepas majlis menandatangani kontrak dapur pusat bersama Asia Food Caterer Sdn Bhd (AFC).

Fadzil berkata, pemilihan Cyberjaya sebagai lokasi membangunkan bangunan perintis BBIM adalah tepat berikutan lokasinya strategik selain mempunyai akses mudah bagi ibu bapa.

Sementara itu, AFC telah dilantik untuk menjadi katerer utama di kesemua kampus BBIM selama dua tahun dengan nilai keseluruhan berjumlah RM5 juta.

Dalam perkembangan lain, BBIM kini turut menawarkan program sekolah rendah untuk kanak-kanak berusia antara enam hingga 12 tahun sekali gus menjadikannya sekolah Montessori pertama di Malaysia yang menyediakan program tersebut. - SH

24 December 2012

Jelajah Oren: Kenderaan rosak, 2 peserta cedera

samseng
Sebuah kenderaan pacuan empat roda konvoi Jelajah Oren ‘Selamatkan Felda” pecah cerminnya manakala dua peserta konvoi itu cedera dalam satu kejadian di Negeri Sembilan.NONEBerikutan itu, beberapa pemimpin PAS dan PKR serta mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol.

Kejadian itu didakwa berlaku lebih kurang jam 10 pagi di Jalan Dangi-Jelai yang hanya beberapa meter sahaja dari simpang utama ke NONEFelda Bukit Rokan Utara.

Ia didakwa berlaku apabila peserta Jelajah Oren itu dihalang oleh lebih kurang 80 peneroka dan anak peneroka Felda Bukit Rokan Utara yang dipercayai penyokong Umno dan BN berdasarkan NONErata-rata mereka memegang bendera BN dan Umno.

Presiden Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman, mendakwa, sejurus peserta Jelajah Oren tiba di situ, NONEterdapat sekatan jalan yang dibuat peneroka Felda Bukit Rokan Utara di tengah-tengah jalan.

Dalam kekecohan tersebut, sebuah kereta pacuan empat roda milik salah seorang peserta Jelajah Oren didakwa dirosakkan apabila cermin depan dan cermin tingkap sebelah kiri dipecahkan oleh NONElelaki-lelaki yang tidak dikenali.

“Dua peserta kita turut dicederakan. Naraza Muda luka di kepala manakala Razali Rashad cedera di kening," kata Mazlan.

Beliau mendakwa pihak polis yang berada di lokasi kejadian itu, hanya NONEmemerhatikan sahaja dan tidak menghalang serangan tersebut.

Ekoran kejadian itu, Mazlan membatalkan niat untuk meneruskan konvoi ke destinasi seterusnya iaitu ke Felda Jelai, Tampin; Felda Palong 4, 5 & 6, Jempol; Felda 9 & 10, Jempol; Felda Lui Selatan, Jelebu dan Gugusan Felda Serting di Jempol.

Sebaliknya Mazlan, beberapa pemimpin PAS dan PKR serta mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol di Bandar Baru Serting pada pukul 12.30 tengahari.

Sebelum itu peserta Jelajah Oren memulakan konvoi bermula di Felda Kepis, Kuala Pilah. Bagaimanapun sejurus tiba di dalam kawasan Felda itu, mereka dihalang masuk oleh lebih kurang 120 peneroka Felda di jalan utama kawasan Felda tersebut. Tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Setelah memberi ucapan lebih kurang 100 meter dari halangan tersebut (di tepi jalan) dan menikmati sarapan pagi, peserta Jelajah Oren menuju ke Felda Bukit Rokan Barat yang hanya terletak lebih kurang lapan kilometer dari Felda Kepis.

Bagaimanapun kira-kira 60 penduduk Felda Bukit Rokan Barat mengadakan sekatan di simpang masuk ke penempatan berkenaan.

Mereka melaungkan-laungkan agar peserta Jelajah Oren balik dan jangan masuk ke Felda Bukit Rokan Barat.

Malaysiakini menemubual Ketua Kampung Felda Bukit Rokan Barat, Mohd Zamrud Johari dan beliau berkata: “Peneroka dan pihak pengurusan Felda sendiri tidak mahu ‘orang luar’ masuk ke kawasan Felda kerana ditakuti akan menimbulkan kekecohan.

“Walaupun mereka hanya membawa kenderaan dan ‘berjalan” sahaja tetapi kami bimbang berlaku kekecohan."

Tidak berlaku sebarang insiden buruk melainkan penduduk Felda Bukit Rokan yang memegang bendera BN meminta peserta Jelajah Oren agar meningggalkan tempat itu.

Selepas Mazlan dan beberapa pemimpin PAS dan PKR memberi ucapan ringkas dari atas sebuah kereta pacuan empat roda di tepi jalan, peserta Jelajah Oren meneruskan perjalanan ke Felda Bukit Rokan Utara dan berlakulah insiden buruk tersebut.

Sementara itu Pengarah Program Jelajah Oren “Selamatkan Felda” peringkat Negeri Sembilan, Abdul Rahman Ramli mempertikaikan apakah hak mereka yang Abdul Rahman dakwa merupakan orang Umno-BN (berdasarkan mereka membawa bendera Umno dan BN) menghalang peserta dan lalulintas di jalan utama Dangi-Jelai itu.

“Kalau mereka mengadakan sekatan di dalam kawasan Felda OK lagi. Tapi ini mereka mengadakan sekatan jalan di jalan besar, jalan utama.

“Setelah melihat tindak-tanduk mereka seperti orang hilang akal, kami memang mengambil keputusan tidak mahu masuk ke Felda Bukit Rokan Utara, tetapi kami cuma mahu lalu menggunakan jalan besar ke destinasi seterusnya.

“Kenapa mereka halang kami lalu atau gunakan jalan besar? Kenapa mereka pecahkan cermin kereta dan memukul dua peserta kami dengan kayu?" katanya. - Malaysiakini

Samseng lawan dia samseng juga. Teruskan jelajah dengan jumlah yang lebih tinggi lagi.

23 December 2012

Ummi Hafilda: Tarikh dan lokasi majlis kahwin rahsia

Ummi
SEJAK penglibatannya dalam pentas politik, Ummi Hafilda Ali tidak putus-putus dilanda kontroversi sehingga ada berita yang mengatakan beliau sudah berkahwin dan bercerai sebelum ini.

Terbaru, Ummi Hafilda, 45 dikhabarkan bakal berkahwin dengan lelaki pilihannya, seorang pakar terapi kecantikan, Dr Zaman Khan, 33.

Namun katanya, tarikh dan lokasi perkahwinan terpaksa dirahsiakan atas faktor keselamatan.

“Dalam waktu terdekat ini saya akan melangsungkan majlis perkahwinan. Tarikh dan tempat sudah ditetapkan. Mungkin dalam dua atau tiga minggu lagi.

“Tetapi saya terpaksa merahsiakannya buat masa sekarang atas faktor keselamatan, memandangkan saya ada ramai musuh politik,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Ummi Hafilda yang tidak menyangka perkenalan singkat dengan lelaki kelahiran Pakistan itu sampai ke tahap merancang perkahwinan.

Jatuh cinta pandang pertama membuatkan Dr Zaman Khan tidak teragak-agak melahirkan hasrat untuk menyunting Ummi meskipun beliau menolak berkali-kali atas faktor usia.

“Bagi saya, perkahwinan ini terlalu awal, tetapi dia berjaya meyakinkan ibu saya, malah dia mengambil berat terhadap ibu saya. Ini yang menyentuh hati saya.

“Dua perkara yang membuatkan saya tertarik pada dia. Pertama, dia mengambil berat terhadap keluarganya dan keluarga saya. Kedua, dia menjaga solat,” katanya yang mungkin bakal berbulan madu di Eropah.

Ummi Hafilda merupakan adik kepada Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Ketika ditanya sama ada Azmin bakal dijemput, Ummi menjawab, “saya tak nak jadi hipokrit. Saya tak dapat menjemput dia bukan kerana politik.”

“Kalau saya jemput pun dia tak akan hadir. Sedangkan anak saudara kami berkahwin pun dia tidak hadir... pergi majlis orang lain boleh.

"Malah, dia sudah anggap saya musuh, bukan adik,” jelasnya.

Menurut Ummi Hafilda, aktiviti politiknya tidak akan terhenti selepas berkahwin memandangkan itu prioriti utamanya.

“Saya sudah jelaskan pada bakal suami bahawa hal berkaitan parti adalah prioriti saya, peribadi jatuh nombor dua atau tiga.

“Saya tetap akan aktif berpolitik dan alhamdulillah, dia faham,” katanya yang pernah membawa Dr Zaman ke salah satu ceramah politiknya sebelum ini. - SH

Hidup dalam ketakutan di negara yang dikatakan aman ini.

Guru bingung dengan cadangan import guru bahasa Inggeris dari India

guru
KUALA LUMPUR, 23 Dis — Rancangan Putrajaya untuk mengimport guru bahasa Inggeris dari India kelihatan ditentang oleh para pendidik yang meragui idea dari kerajaan untuk membantu pelajar menguasai bahasa tersebut.

Guru bahasa Inggeris tempatan dan kumpulan reformasi pendidikan ketika dihubungi The Malaysian Insider merasa gusar dengan apa yang mereka sifatkan sebagai “penyelesaian jangka pendek”, yang tidak akan membantu kelas berbilang kaum untuk mempelajarinya, kerana penggunaan loghat yang berbeza.

“Saya ingin bertanya, kenapa kita perlukan orang asing mengajar rakyat Malaysia?” kata Khairun Nisa yang mengajar bahasa tersebut di sebuah sekolah di Manjung, Perak.
Guru yang berusia 27 tahun itu berkata dakwaan kerajaan mengenai kekurangan guru bahasa Inggeris adalah mitos dan tidak masuk akal.

Beliau berkata, tenaga pengajar di negara ini adalah cukup mengikut standard yang dimahukan oleh Kementerian Pelajaran.

“Apa yang cuba kita capai? Untuk peringkat mana kita mahu pelajar kita untuk pergi?” katanya lagi.
“Guru tidak dipindahkan keluar dari daerah saya sendiri, tidakkah ini menunjukkan guru bahasa Inggeris mencukupi?” katanya, sambil menerangkan karenah birokrasi perlu dipersalahkan dari masalah kekurangan guru dalam bahasa tersebut. - TMI

Kurangkan beban kerja guru dan jumlah murid dalam kelas supaya mereka boleh fokus mengajar. Bukan ambil orang asing mengajar dengan bayaran yang tinggi dan beban kerja yang ringan.

Ummi Hafilda pilih pakar terapi sebagai bakal suami

Ummi
Ummi Hafilda Ali, 45, saksi utama dalam perbicaraan Liwat 1, akan berkahwin dengan pakar terapi kecantikan, Dr Zaman Khan tidak lama lagi.

Menurut Mingguan Malaysia, Zaman Khan, 33, berasal dari Pakistan dan perkahwinan tersebut bakal dihadiri pembesar-pembesar negara.

"Terdapat dua perkara yang membuatkan saya tertarik kepada Zaman, iaitu beliau seorang yang amat amanah dalam menjaga keluarganya dengan penuh kasih sayang. Menjadi anak sulung kepada tujuh adik-beradik, beliau tidak pernah melupakan tanggungjawabnya terhadap ibu dan adik-beradiknya.

"Kedua, beliau sentiasa menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Beliau amat menjaga solatnya. Sunnah Rasulullah SAW juga meminta umat baginda mencari suami yang mempunyai rupa, pegangan agama kukuh, berilmu dan berharta," kata Hafilda kepada Mingguan Malaysia.
Ummi berkata kehadiran Zaman dalam hidupnya sedikit sebanyak membawa sinar kebahagiaan kepada ibunya, Che Tom Yahaya, yang sudah sekian lama kehilangan kasih sayang daripada seorang anak lelaki.

Walaupun Ummi tidak menyatakan secara khusus, tetapi berkemungkinan dia merujuk kepada abangnya Azmin abangnya, yang merupakan timbalan presiden PKR.

Ummi sebelum ini mendakwa Azmin tidak menziarahi ibu mereka selama beberapa tahun. Biasanya, laporan seperti itu muncul semasa sambutan Aidifiltri.

Ummi diingati kerana menuliskan surat, yang telah ditandatangani oleh empat adik-adiknya, pada 1997 kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menuduh timbalannya, Datu Seri Anwar Ibrahim dengan pelbagai perbuatan salahlaku.

Selepas Anwar dipecat, Ummi Hafilda menjadi saksi pendakwaan semasa perbicaraan Liwat I.  Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Ummi Hafilda juga aktif di ceramah BN. - Malaysiakini

22 December 2012

Nik Aziz celupar, kata Muhyiddin

Muhyiddin
KUALA TERENGGANU - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai bermulut celupar dan suka membuat fatwa sendiri apabila mengatakan orang Melayu yang menyokong Umno sebagai mungkar.
  
Muhyiddin berkata, kenyataan itu adalah rentetan fatwa songsang pemimpin Pas itu setiap kali menjelang pilihan raya.
  
"Itu satu lagi bukti Nik Aziz mengeluarkan faktwa yang tidak mengikut hukum bila dia sebut kumpulan orang yang mungkar ni kafir, orang Umno ni Firaun dan macam-macam lagi zalim dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan khas bersama pegawai, pengurusan dan profesional negeri Terengganu di sini, hari ini.
  
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Nik Aziz dua hari lepas yang menegaskan bahawa beliau tidak akan bersara daripada politik selagi ada orang Melayu yang menyokong parti Umno yang beliau anggap mungkar.
  
Muhyiddin berkata kenyataan sedemikian yang dikeluarkan pemimpin Pas itu bertujuan mempengaruhi pengundi supaya tidak menyokong calon Umno dan BN pada pilihan raya umum nanti.

"Saya bimbang pasal (perkara ini) bukan baru, Nik Aziz selalu dia celupar, lepas cakap yang tidak ada bersandarkan hukum, dia buat fatwa sendiri, banyak tokoh-tokoh ulamak mempertikaikannya," katanya.
  
Muhyiddin berkata apa yang dilakukan Nik Aziz hanya bertujuan memecahbelahkan umat Islam; "Inilah antara sebab masalah perpecahan di kalangan umat Islam kerana oleh fatwa-fatwa songsang oleh pemimpin Pas," katanya.
  
Mengenai hukum hudud, Muhyiddin berkata kerajaan BN tidak pernah menolak hukum Islam.
  
"Sebagai orang Islam, kita tidak menolak hukum Islam, namun ada beberapa fasa yang boleh dipertimbangkan, pendirian Umno, mereka nak buat hudud PAS dan bukannya hudud Islam, kalau buat tak betul susah kerana ia membabitkan isu melibatkan orang bukan Islam, banyak benda kena ambil kira," katanya. - Bernama

Cuba Muhyiddin muhasabah diri dengan 'ingatan' Tuan Guru itu.

NUTP: Cadangan ambil guru bahasa Inggeris dari India perlu kajian mendalam

guru bi
KUALA LUMPUR, 22 Dis — Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu kajian mendalam dilakukan berhubung cadangan mengambil guru bahasa Inggeris dari India untuk mengajar pelajar di negara ini.

Presidennya Hashim Adnan berkata perbincangan perlu dilakukan dengan pakar dalam bahasa itu bersama NUTP dan Kementerian Pelajaran bagi memastikan sebarang keputusan dibuat akan menguntungkan kerajaan.

“Kajian lebih mendalam perlu diatur supaya ia tidak menjadi kerugian di mana-mana pihak. Kedua, adalah lebih baik perbincangan dibuat dengan para profesor bahasa Inggeris di negara ini bersama kesatuan dan kementerian dan apa keputusan dibuat selepas itu sudah pasti akan menguntungkan kerajaan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Malaysia bercadang mengambil sejumlah guru bahasa Inggeris dari India untuk mengajar pelajar Malaysia dalam usaha meningkatkan kemahiran bahasa itu.

Najib yang berada di India bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-India selama dua hari bermula semalam, berkata cadangan itu sebagai tambahan kepada program yang dilaksanakan dengan Amerika Syarikat (AS), Yayasan Fullbright dan Suruhanjaya Amerika Syarikat Mengenai Pertukaran Pendidikan (MACEE) sebelum ini

Di bawah program dengan AS itu, Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) dari negara itu ditempatkan di beberapa sekolah terpilih seluruh negara khususnya di luar bandar.
Hashim turut mencadangkan supaya guru-guru bahasa Inggeris yang telah bersara diambil bagi mengajar bahasa itu berikutan mereka dari budaya dan latar belakang sama serta mengetahui kaedah untuk mengajar pelajar Malaysia.

“Diharap (cadangan itu) tidak akan dilaksanakan kerana ia sangat merumitkan. Budak-budak akan menjadi bahan uji kaji dan ini tidak sihat kepada pelajar yang ingin mendapatkan pelajaran bahasa Inggeris daripada orang yang berlainan punca dan latar belakang,” katanya.

Beliau juga berkata adalah memadai dengan guru-guru bahasa Inggeris dari Amerika Syarikat untuk mengajar bahasa itu di negara ini kerana jika dicampuradukkan, bukan sahaja menjadi beban kepada pelajar tetapi juga sistem pendidikan negara.

Bagaimanapun, katanya bayaran untuk memanggil guru-guru yang telah bersara untuk mengajar bahasa Inggeris juga perlu setimpal dengan pengalaman dan kepakaran mereka dalam bahasa tersebut.
Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) Datin Noor Azimah Abdul Rahim pula mencadangkan supaya kerajaan mengambil guru bahasa Inggeris dari England jika kerajaan mempunyai peruntukan untuk mengambil guru dalam bahasa itu dari luar.

 “Guru bahasa Inggeris Fullbright itu ok sebab Amerika Syarikat dan aksen mereka boleh terima, tetapi aksen orang dari India pekat. Kita rasa kalau betul nak membantu pelajar, jika bajet itu ada, kenapa kita tak ambil guru bahasa Inggeris dari England.
“Sebab kita dulu belajar bahasa Inggeris daripada orang Britain sebab itu kita berterusan macam ini,” katanya.

Beliau juga berkata jika kerajaan mahu mendapatkan kepakaran daripada negara berkenaan, adalah lebih baik guru dalam bidang sains dan matematik diambil berikutan itu adalah kepakaran mereka.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad Tan Sri Alimuddin Mohd Dom menyambut baik cadangan tersebut berikutan sejarah awal pendidikan bahasa Inggeris di negara ini pada akhir abad ke-19 didominasi guru-guru dari India yang dibawa penjajah untuk mengajar di sekolah mubaligh dan sekolah bahasa Inggeris di negara ini.

“Daripada sejarah yang dilihat, mereka banyak memberi perkhidmatan dalam bidang pendidikan terutama ramai lepasan sekolah mubaligh menjadi pemimpin dan tokoh ternama negara. Sejarah telah lama berakar umbi di negara kita.
“Jika guru-guru dari India dibawa kembali, saya rasa tidak mendatangkan masalah kerana boleh membawa kebaikan berdasarkan sejarah yang dilihat dulu,” katanya.

Beliau berkata guru yang akan dibawa masuk juga adalah guru cemerlang dan bilangan guru di India adalah 10 kali ganda daripada bilangan guru di negara ini iaitu seramai 400,000 orang dan sudah tentu kementerian mempunyai banyak pilihan untuk memilih guru terbaik untuk mengajar di negara ini.

“Di India juga, sistem pendidikan mereka lebih menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dan sudah tentu dari segi kepakaran tidak timbul masalah. “Jadi, atas sebab-sebab itu, saya rasa cadangan itu begitu baik untuk dilaksanakan pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pemuda Gerakan Dr Dominic Lau Hoe Chai dalam kenyataannya berpendapat cadangan itu adalah langkah yang baik tetapi menegaskan terdapat beberapa masalah yang perlu ditangani sebelum pengambilan itu boleh dilakukan.

Beliau berkata antara masalah itu seperti perbezaan budaya dan sebutan bahasa Inggeris yang dituturkan oleh pendidik dari luar negara ini mungkin sukar difahami oleh pelajar Malaysia.

“Berdasarkan pengalaman saya, membawa pendidik asing mengajar bahasa Inggeris ia adalah usaha yang baik, tetapi mereka mesti diberi taklimat tentang budaya tempatan dan tingkah laku pelajar. “Sebagai contoh, sebahagian pensyarah Barat yang pernah mengajar di sini memberi komen pelajar Malaysia sangat pasif di dalam kelas kerana tidak bercakap. “Tetapi mereka gagal menyedari bahawa pelajar Asia lazimnya kurang lantang berbanding pelajar Barat disebabkan hakikat bahawa pandangan pengajar harus dihormati dan tidak dicabar,” katanya.

Justeru katanya, malu atau takut diejek oleh rakan-rakan mereka adalah antara sebab mengapa mereka berbuat demikian. “Bagaimanapun, langkah pengambilan tenaga pengajar asing tidak berpanjangan di masa depan kerana kosnya yang tinggi. Ia hanya sebagai langkah sementara. Lebih ramai guru bahasa Inggeris harus dilatih untuk mengelak kita daripada terlalu bergantung kepada orang luar,” katanya. — Bernama

Selain tapisan SPRM, calon UmnoBN juga perlu lulus tapisan  kecerdikan otak.

Lupakan bidang seni selama-lamanya

noor
TIADA istilah menyesal dalam kamus hidup Noor Kumalasari apabila dia bercakap tentang persaraannya dari dunia seni. Bekas pengacara, penyanyi dan pelakon popular era tahun 70-an dan 80-an ini bukan baru bersara daripada bidang-bidang tersebut.

Sebaliknya dia telah bersara dari dunia yang penuh dengan kilauan glamor itu sejak 16 tahun lalu. Menurut Noor, dia bukan sahaja tidak menyesal meninggalkan bidang seni malah berasa bersyukur kerana berjaya berhijrah ke arah lebih baik dalam kehidupannya seharian.

"Saya tidak teringin untuk kembali ke dunia seni seperti dulu. Saya juga tidak berasa rindu untuk menjadi Noor Kumalasari yang dulu. Saya berasa bahagia dan tenang dengan kehidupan yang saya lalui pada hari ini. Saya bersyukur dengan apa yang telah saya lalui selama ini.

"Syukur kepada Allah yang telah menukar perjalanan hidup saya sewaktu saya berusia 40 tahun," kata selebriti berusia 56 tahun ini kepada Hits sewaktu ditemui sebelum majlis pratonton filem Adik Manja Returns (29 Tahun Kemudian) di Wangsa Walk, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Noor hadir pada majlis itu bukan sebagai pelakon dalam filem sekuel Adik Manja yang pernah dilakonkannya pada tahun 1979 tetapi sebagai menghargai jemputan pengarah filem sekuel tersebut, Dharma Harun Al-Rashid yang pernah berlakon bersama-samanya 33 tahun lalu. Dia hadir ditemani suaminya, Wan Mohd. Yusoff, 61.

Menurut Noor atau nama sebenarnya Noor Kumalasari Mohamed Taib, dia tidak menjangka bersara awal dari bidang seni biarpun ketika persaraannya hampir dua dekad lalu penyanyi yang popular dengan lagu Selamat Pagi Sayang itu masih mempunyai ramai peminat.

Tidak menafikan dunia seni lazimnya jarang menjanjikan kepuasan buat para penggiatnya termasuklah dirinya sendiri namun atas rasa kesedaran dan hidayah daripada Allah, selebriti bertubuh tinggi lampai dan bekas model terkenal ini bersyukur dengan ketentuan-Nya itu.

"Kalau diikutkan hati memang saya rasa belum puas dengan dunia seni yang saya ceburi dulu tetapi saya rasa tidak teringin untuk kembali seperti dulu dalam bidang ini. Saya bersyukur kerana meninggalkan dunia pada yang kena pada masa dan usia saya ketika itu.

"Saya tidak boleh bayangkan ketika itu kalau Allah cabut nyawa saya sedangkan saya belum berubah atau membuat persediaan menghadapi mati. Sebab itu, saya anggap penghijrahan hidup dan persaraan saya dari dunia seni adalah pilihan yang tepat," ujarnya. - Utusan

21 December 2012

Gempar VCD 'seks' libatkan Speaker Dun

R Ganesan
IPOH - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak khususnya wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) gempar menerima sampul surat mengandungi dan cakera padat video (VCD) didakwa memaparkan Speakar Dun, Datuk R Ganesan bersama seorang wanita dalam aksi yang mengaibkan.

Adun Tronoh, V. Sivakumar berkata, sampul berkenaan turut mengandungi helaian kertas bertarikh 27 Julai 2012 yang memaparkan laman portal berita berhubung isu skandal seks MIC melibatkan Ganesan.

Menurutnya, sampul surat berkenaan turut diterima Adun Buntong, A. Sivasubramaniam dan ia turut mengandungi VCD serta helaian laman portal yang memaparkan isu skandal seks yang sama.

“Kami agak terkejut setelah menerima sampul surat yang berisi kandungan sedemikian. Apatah lagi, ia diterima ketika sidang dewan sedang berjalan.

“Bagaimanapun, demi menjada nama baik Dewan yang mulia ini kami daripada pihak pembangkang mengambil keputusan untuk menyerahkan sampul berkenaan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media hari ini.

Sivakumar dan beberapa barisan pimpinan PR Negeri kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh berhubung perkara berkenaan selepas itu.

Dalam pada itu, Ganesan menafikan terlibat dalam aksi yang didakwa dipaparkan dalam VCD itu.

Katanya, dakwaan itu bertujuan mengaibkan kedudukan beliau sebagai Speaker Dun. - SH

'Jangan ungkit isu lampau, rakyat dah hukum kami'

pembangkang selangor
Penyelaras BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed menggesa DAP agar tidak mengungkit isu-isu lampau berkaitan pentadbiran BN di Selangor sebelum tahun 2008.

"Mengapa (DAP) perlu mengungkit semua isu ini? Segala yang silap berlaku sebelum 2008.

NONE"Kami (BN) berhadapan pelbagai isu dan ya, rakyat telah menghukum kami pada tahun 2008, PM juga telah mengaku silap dan kami juga mengaku kelemahan dan memohon maaf," katanya.

Mohd Zin menegaskan demikian sewaktu diminta mengulas dakwaan-dakwaan DAP berhubung pemilikan 24 keping tanah oleh BN yang didakwa dibeli secara murah sewaktu BN mentadbir Selangor.

Menurutnya, beliau yakin dakwaan-dakwaan itu tidak lebih daripada bersifat putar belit politik dan ia tidak sama sekali akan mengganggu tumpuan BN dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Tak ada mengganggu dan kita menghadapi pelbagai isu dan halangan dan kita tahu itu satu putar belit politik yang dilakukan pihak DAP," katanya lagi.

Zin sebaliknya mencabar kerajaan Selangor agar telus dan berani tampil ke hadapan menjelaskan kemampuan mereka mengumpul rizab tunai negeri sebanyak RM2 bilion.

NONE"Hari ini kita minta secara telus - secara kompeten, akauntabel,dan telus - supaya mereka berikan kita dokumen berkenaan apa yang mereka sebut mereka telah berjaya mengumpulkan hasil Selangor sebanyak RM2 bilion.

"Kita mahu tahu keluar masuk (duit) dan kita mahu dokumen ini untuk kita berikan kepada akauntan untuk dianalisa secara perakauanan forensik.

"Sama ada hasil pungutan cukai dengan menaikkan kadar bayaran taksiran menyumbang kepada kumpulan wang disatukan, atau pun dengan pelupusan aset?" tanya beliau.

Menurutnya, tumpuan sekarang ini perlu diberikan kepada usaha membina negara dan beliau berharap rakyat akan memberi BN peluang untuk kembali mentadbir Selangor. - Malaysiakini

Undi Umno Selangor seperti melepaskan anjing yang tersepit.

Pemegang unit ASB dapat dividen 7.75 sen, bonus 1.15 sen

ASB
KUALA LUMPUR, 21 Dis — Pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) akan menerima dividen 7.75 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2012 berbanding 7.65 sen tahun lepas.

Sejumlah 7.82 juta pemegang unit, yang kini memiliki sejumlah 110.2 bilion unit ASB, juga akan menerima bonus sebanyak 1.15 sen seunit.
Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata bahagian agihan pendapatan membabitkan jumlah pembayaran sebanyak RM8.13 bilion manakala bayaran bonus sebanyak RM712.21 juta.

“Malah, ia merupakan pembayaran tertinggi sejak lima tahun lepas iaitu mulai  2008 hingga 2012, tujuh sen pada 2008, 7.30 sen pada 2009 dan 7.50 sen pada 2010,” katanya kepada pemberita pada pengumuman agihan pendapatan ASB di sini hari ini.
Sehingga Rabu lepas, beliau berkata skim itu mencatat pendapatan kasar sebanyak RM8.54 bilion.

“Pendapatan dividen daripada syarikat pelabur menyumbang RM4.80 bilion atau 56.21 peratus daripada pendapatan kasar dan keuntungan daripada jualan saham menyumbang RM2.68 bilion atau 31.38 peratus,” katanya.

Beliau berkata baki 12.41 peratus atau RM1.06 bilion dikumpul daripada pendapatan lain.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata tahun ini jumlah baharu pemegang unit seramai 543,000 bagi kesemua skim dan 472,821 pemegang unit ASB.

Mengenai prospek tahun depan beliau berkata memandangkan ekonomi Malaysia stabil, prestasi dana itu dijangkakan lebih baik. — Bernama

Tahun depan boleh cecah 9 sen.

PBB akui keganasan Syria tiada penamat

Tentera pembebasan Syria telah menawan 
sebahagian kelengkapan tentera kerajaan.
WASHINGTON - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon mengakui, konflik keganasan Syria yang berlarutan lebih 21 bulan masih belum ada penamat, kelmarin.

Ki-moon sewaktu sidang media akhir tahun berkata, salah satu jalan bagi menghentikan konflik itu adalah dengan penyelesaian politik selain menggesa Majlis Keselamatan PBB bersatu dan menggunakan kuasa politiknya terhadap pembangkang.

"Syria memulakan tahun 2012 dengan konflik dan menamatkannya dengan peperangan. Hari demi hari, jumlah kematian meningkat dan jumlah daerah yang bergolak turut bertambah," katanya.

Sementara itu, Pegawai Hal Ehwal Politik PBB, Jeffrey Feltman menerusi laporan Majlis Keselamatan 15 negara berkata, Syria akan terus musnah jika tiada mana-mana pihak yang sanggup berubah dan bergerak ke arah satu penyelesaian politik.

Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas Timbalan Presiden Syria, Farouq Al-Sharaa mengaku bahawa kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan tentera pembebasan Syria tidak akan berjaya menamatkan konflik berdarah itu. - Reuters

19 December 2012

Jangan ganggu urusan PRU, SPR ingatkan Bersih

pru13
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan Bersih 2.0 supaya tidak mengganggu urusan pilihan raya walaupun mempunyai hak sebagai rakyat untuk menjadi pemantau Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, kempen Jom Pantau PRU13 yang bakal dilancarkan oleh Bersih 2.0 tidak akan membantu kelancaran pilihan raya, sebaliknya akan menimbulkan pelbagai masalah.

Menurutnya, SPR tidak menafikan hak rakyat Malaysia untuk menjadi pemerhati dalam pilihan raya, namun mereka tidak boleh mengganggu kerja-kerja pihak penguat kuasa dan SPR.

"Kita tak nafikan itu hak rakyat untuk turut menjadi pemantau dalam pilihan raya, namun kita khuatir akan timbul masalah lain kepada SPR dan pihak penguatkuasa sendiri.

"Kita nak ingatkan agar Bersih 2.0 yang melancarkan kempen ini supaya tidak mengganggu urusan pilihan raya ini," katanya kepada Sinar Harian Online.

Bersih 2.0 akan melancarkan kempen Jom Pantau PRU13 bulan depan bagi memantau PRU13 agar diadakan dengan lancar tanpa sebarang unsur penyelewengan dan penipuan.
Beliau berkata, kempen itu akan memastikan rakyat Malaysia yang telah berdaftar sebagai pemilih, keluar mengundi pada hari pemilihan nanti.

“Kita akan jemput pengundi untuk keluar mengundi pada hari tersebut kerana jumlah pengundi yang ramai akan membawa perubahan kepada penipuan.
"Ia juga akan meminimumkan dan mengurangkan penipuan daripada berleluasa,” katanya.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata secara umumnya Bersih 2.0 ini ditubuhkan atas kepentingan sesuatu parti, jadi mungkin mereka mempunyai agenda tertentu untuk kepentingan parti tersebut.
Soal beliau, Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk S. Ambiga seorang yang mengetahui undang-undang, "namun mampukah beliau menjaga ahli yang terlibat dalam Jom Pantau PRU13?"

"Bukan semua yang tahu undang-undang, dengan keadaan pilihan raya yang semakin dekat, mungkin pelancaran kempen ini akan menyebabkan pelbagai masalah timbul," katanya. - SH

Kalau tidak menipu dan menyeleweng mengapa perlu takut.

Banglo dipecah masuk, orang kenamaan rugi RM2 juta

rompak
PETALING JAYA - Sebuah banglo dua tingkat milik seorang kenamaan di sini, dipecah masuk malam semalam, dan mengakibatkannya kerugian kira-kira RM2 juta.
  
Mangsa yang berusia 70 tahun dan enggan dikenali itu berkata sepucuk pistol dan 62 biji peluru juga didapati hilang dari kediamannya.
   
Katanya kejadian berlaku ketika beliau dan lima penghuni lain termasuk seorang pembantu rumah keluar menghadiri satu majlis sejak pukul 3 petang semalam dan hanya kembali tengah malam tadi.
  
Ketika tiba di rumah, didapati tingkap dapur terbuka dan setelah masuk ke dalam rumah saya dapati tiga bilik tidur di tingkat atas diselongkar dan enam utas jam tangan berjenama, barangan kemas, koleksi syiling emas serta wang tunai yang disimpan dalam peti keselamatan hilang, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
  
Selain itu, beberapa gajet elektronik termasuk iPad, kamera dan komputer turut lesap, katanya.
  
Menurut mangsa, kejadian itu merupakan yang keempat sejak beliau mendiami banglo berkenaan 31 tahun lepas.
  
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian, namun enggan mengulas lanjut. - Bernama

Perompak itu sekarang sudah bergelar jutawan. 

Asri: 'Isu Amanat Hadi harus dihentikan'

Dr. Mohd Asri
SHAH ALAM – Sambil menyifatkan isu Amanat Haji Hadi sebagai "kisah lama", bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, adalah lebih baik sekiranya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat penarikan secara rasmi amanat yang pernah diberikan kepada ahli Pas lebih tiga dekad lalu.

Menurutnya, amanat yang berbunyi Umno itu kafir diungkapkan Hadi sewaktu angin kebangkitan Islam kira-kira 30 tahun lalu.
“Sungguhpun ahli Pas hari ini sudah tidak mengamalkan amanat tersebut, tetapi Hadi wajar membuat penarikan semula sebagai pencerahan kepada masyarakat.

“Ini perkara lama. Amanat tersebut diungkapkan ketika zaman muda beliau (Hadi). Ketika itu angin kebangkitan Islam mempengaruhi segenap pemuda ditambah dengan ketegangan sistem Perlembagaan yang menjadi teras negara ini,” katanya kepada Sinar Harian mengulas gesaan dua mufti agar Hadi menarik balik amanat beliau.

Katanya, perkara sama turut berlaku kepada ramai tokoh-tokoh pemimpin muda pada ketika itu.
“Pas sekarang sudah lain. Saya melihat kepimpinan hari ini sudah tahu hala tuju perjuangan mereka. Hadi juga sudah bertemu dengan pemimpin parti lain termasuk Umno.

“Jadi, ahli parti itu sudah boleh mengagak dan tahu amanat lama sudah tidak ada lagi,” katanya.

Menurutnya, penggabungan Pas bersama Pakatan Rakyat (PR) juga memperlihatkan parti itu semakin realistik dalam perjuangan politik mereka.

“Jika dapat dibuktikan, masih wujud ahli yang berpegang teguh dengan amanat seumpama itu, bermakna Hadi perlu tampil membuat penarikan semula dengan segera,” katanya.
Tambah Asri, isu lama ini seharusnya tidak lagi dibangkitkan kerana ia akan mengundang pelbagai perkara lain yang boleh mendatangkan kontroversi.
“Seharusnya ia dihentikan. Jika tidak, akan muncul macam-macam lagi termasuk isu 13 Mei. Tutup buku lama.

“Semua pihak perlu melihat ke depan bukan membongkar kisah lama lagi. Ia sudah tidak relevan lagi,” katanya. - SH

Perlu tubuh panel khas mengkaji akidah Umno yang terdiri daripada ulama bebas (termasuk dari luar negara).

Lelaki cuba samun pusat internet ditembak mati

tembak mati
Seorang lelaki ditembak mati polis selepas cuba menyamun sebuah pusat internet bersama seorang lagi rakannya di Taman Len Seng dekat ibunegara malam tadi.
  
Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohan Singh Tara Singh berkata dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam, suspek dalam lingkungan umur 20-an bersama seorang rakannya dikatakan cuba menyamun premis tersebut sebelum ditembak seorang anggota polis yang kebetulan membuat risikan di kawasan itu.
  
"Kedua-dua suspek bersenjata parang masuk ke premis itu untuk menyamun. Jeritan juruwang di premis tersebut didengari polis terbabit," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian malam ini.
  
Beliau berkata suspek cuba melarikan diri bila menyedari kehadiran polis.
  
Anggota polis berkenaan menahan suspek sebelum seorang dari mereka cuba melawan dengan menggunakan parang.
  
"Anggota polis itu terpaksa melepaskan satu tembakan dan mengenai dada suspek manakala seorang lagi suspek sempat melarikan diri," katanya sambil menambah menemui sedikit dadah pada suspek.
  
Beliau berkata suspek yang mati serta merta dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat.
  
Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.
  
Sementara itu juruwang premis tersebut yang dikenali sebagai Winnie, 20, berkata suspek yang memakai topi masuk ke premis tersebut bersama seorang lagi rakan jenayahnya.
  
"Suspek pergi ke tempat saya (cashier) meminta wang sambil mengacukan parang, suspek menggeledah mesin juruwang yang kosong sebelum melarikan diri," katanya kepada pemberita.  - Bernama

Hidup jangan menyusah orang lain. Tahniah polis.

18 December 2012

MTUC mahu KWSP beri dividen lebih tinggi

kwsp
KUALA LUMPUR, 18 Dis — Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengisytiharkan dividen lebih tinggi pada tahun ini berikutan peningkatan pendapatan pelaburannya.

KWSP baru-baru ini mengumumkan pendapatan pelaburannya meningkat kepada RM7.02 bilion pada suku ketiga tahun ini berakhir 30 Sept.

Naib Presiden MTUC A.Balasubramaniam hari ini memberitahu Bernama bahawa berdasarkan keadaan itu, adalah wajar bagi KWSP mengisytiharkan dividen lebih tinggi.
KWSP mengisytiharkan enam peratus dividen bagi 2011.

Balasubramaniam berkata majoriti daripada 10 juta pekerja sektor swasta mengharapkan dividen lebih baik daripada KWSP kerana ia merupakan satu-satunya sumber simpanan bagi mereka. — Bernama

Mahkamah tidak benar ikat jamin mekanik didakwa dera anak tiri

T. Rajasegaran
KLANG - Mahkamah Majistret di sini tidak membenarkan ikat jamin terhadap seorang mekanik yang dituduh mendera anak tirinya berumur tiga tahun demi keselamatan mangsa yang tinggal bersama tertuduh.

Majistret Suhaima Mohd Noor kemudian menetapkan 15 Jan depan untuk sebutan semula kes ke atas T. Rajasegaran, 32, dari Kapar di sini yang mengaku tidak bersalah menganiaya kanak-kanak lelaki itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal di sebuah rumah di Kapar, kira-kira 12.30 tengah hari pada September lepas.

Kes itu adalah rentetan kejadian dera terhadap mangsa menggunakan senduk nasi dan acuan maruku, yang disebarkan melalui laman Facebook baru-baru ini.
Timbalan Pendakwa Raya Munirah Shamsudin @ Baharum yang mengendalikan  pendakwaan membantah ikat jamin diberikan kepada tertuduh atas alasan mangsa tinggal bersama lelaki itu.
Rajasegaran yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon mahkamah membenarkannya diikat jamin atas alasan dia menanggung dua orang isteri yang tidak bekerja serta empat anak berumur antara lima tahun ke lapan bulan.
Tertuduh berkata isteri keduanya juga sedang mengandungkan anak kelimanya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mangsa merupakan anak kepada isteri kedua tertuduh.
Terdahulu, tertuduh pada mulanya mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Tamil oleh jurubahasa mahkamah.

Mahkamah kemudian menangguhkan seketika prosiding bagi memberi masa kepada pihak pendakwaan untuk menyediakan fakta kes sebelum menjatuhkan hukuman.
Bagaimanapun, apabila kes dipanggil semula selepas ditangguhkan kira-kira sejam setengah, tertuduh memutuskan untuk menukar pengakuannya kepada tidak bersalah.

Isteri kedua tertuduh turut berada di mahkamah semasa prosiding sambil mendukung mangsa yang nyenyak tidur.
Wanita itu kemudian bertindak memarahi jurugambar yang cuba merakam wajahnya bersama mangsa di luar mahkamah.

Media sebelum ini melaporkan mengenai kejadian seorang lelaki mendera anak tirinya di Klang.
Kes itu menjadi perbualan hangat apabila klip video lapan minit dan 33 saat itu yang merakamkan tindakan lelaki itu menampar, membaling serta menyepak kanak-kanak tersebut yang menangis teresak-esak dimuatkan ke laman Facebook baru-baru ini.- Bernama

Peguam Negara arah gantung kes saman AES

AES
Pejabat Peguam Negara hari ini mengarahkan supaya semua prosiding kes saman melalui Sistem Penguatkuasan Automatik (AES) digantung.

Dalam satu kenyataan petang ini, ia bagaimanapun menegaskan bahawa saman melalui AES yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah sah.

"Bagaimanapun, ekoran kebimbangan yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu mengenai undang-undang dan aspek teknikal lain, maka Pejabat Peguam Negara telah memutuskan untuk mengkaji perkara itu dan mengarahkan semua prosiding ditangguhkan sehingga kebimbangan tersebut ditangani.

"Satu keputusan akan dibuat dalam tempoh beberapa hari akan datang mengenai isu berkenaan," tambahnya.

Mengenai empat kes saman yang telah dilepaskan tanpa dibebaskan, semuanya akan dikaji semula dan akan didaftar semula jika pendakwaan perlu dibuat. - Malaysiakini

UmnoBN adalah 'wakil syarikat' bukan 'wakil rakyat'.

Pembantu peribadi anggota Parlimen Kapar ditemui mati dibunuh

Natchymuthu
SHAH ALAM - Pembantu peribadi kepada anggota Parlimen Kapar S.Manikavasagam ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di hadapan pondok pengawal keselamatan Pangsapuri Seri Sinar, Sunway Kayangan di sini hari ini.
  
K.S.Natchymuthu, 53, ditemui mati pada kira-kira 8.15 pagi oleh penduduk pangsapuri itu, dipercayai akibat dipukul dengan objek tajam selepas terlibat dalam pergaduhan dengan seorang lelaki yang juga penduduk di situ.
  
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam DSP Muhammad Idzham Jaafar berkata siasatan awal mendapati mangsa yang juga pengerusi persatuan penduduk pangsapuri berkenaan, bertengkar dengan suspek berhubung rasa tidak puas hati dengan sistem pengurusan di kawasan kediaman itu.
  
"Suspek dipercayai bertindak menyerang mangsa dengan senjata tajam iaitu sejenis alat berkebun menyebabkan mangsa cedera parah di kepala dan belakang badan," katanya kepada Bernama.
  
Muhammad Idzham berkata polis menahan seorang lelaki berumur 43 tahun bagi membantu siasatan.

Mayat Natchymuthu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk bedah siasat.
  
Sementara itu, Manikavasagam ketika dihubungi berkata mangsa yang juga pemandunya, baru dua bulan dilantik sebagai pengerusi penduduk pangsapuri berkenaan.
  
Beliau mendakwa Natchymuthu telah membuat beberapa laporan polis sebelum ini berikutan menerima ugutan beberapa individu yang tidak puas hati berhubung kutipan yuran penyelenggaraan pangsapuri berkenaan.
  
"Saya berharap polis mengambil tindakan sewajarnya bagi menyiasat kes ini dan saya bersimpati dengan keluarga mangsa dengan kejadian itu," katanya sambil menambah Natchymuthu meninggalkan isteri dan empat anak. - Bernama


Operasi Lynas tidak memudaratkan

Dr. Mahathir Mohamad (kiri) diiringi
Pengerusi Majlis Industri Kimia Malaysia (CICM),
Dr. Abd Hapiz Abdullah (dua dari kanan)
menyampaikan anugerah kepada Pengarah
Urusan Pacific Ole Chemicals Sdn.Bhd,
Tan Geoh Chen pada majlis penyampaian
Anugerah Responsible Care CICM di Kuala Lumpur, malam tadi.
KUALA LUMPUR 17 Dis. - Dakwaan sesetengah pihak mengatakan kilang pemprosesan nadir bumi, Lynas Corporation Ltd. (Lynas) di Gebeng, Pahang tidak selamat adalah tidak benar sama sekali, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sebaliknya kata beliau, operasi itu selamat dan tidak memudaratkan penduduk serta persekitaran setempat.
Menurut beliau, unsur nadir bumi yang digunakan perlu dikendalikan dengan cermat dan bertanggungjawab serta mengikut prosedur betul.

"Unsur nadir bumi tidak berbahaya dan menyebabkan penyakit termasuk di Lynas. Sesetengah orang hanya mempolitikkan isu ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Makan Malam dan Penyampaian Anugerah Responsible Care anjuran Majlis Industri Kimia Malaysia (CICM) di sini malam ini.

Yang turut hadir isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.
Pada majlis tersebut, sebanyak 25 syarikat petrokimia, kimia organik, kimia pertanian, sub sektor kimia dan SME kimia diumumkan sebagai pemenang bagi pelbagai kategori sempena Anugerah Resposible Care CICM 2011/2012.

Dr. Mahathir berkata, tahap radiasi radioaktif di Lynas tidak berbahaya berbanding kuasa nuklear.
Katanya, kilang pemproses nadir bumi Lynas bukan seperti operasi kuasa nuklear yang mengancam keselamatan.

"Sebagai contoh, sesetengah pihak ada mendakwa penggunaan telefon bimbit akan menyebabkan kanser otak tetapi sehingga hari ini tiada kes seumpama itu dilaporkan," katanya. - Utusan

Tindakan membawa masuk sisa buangan radioaktif ke dalam negara ini di bawah pemerintahan UmnoBN adalah salah satu penyebab UmnoBN kalah dalam pilihanraya yang akan datang.

Presiden Indonesia: Artikel Zam mengenai Habibie tidak wajar

akrab
JAKARTA - Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono berkata artikel yang ditulis oleh bekas Menteri Penerangan Malaysia Tan Sri Zainuddin Maidin mengenai presiden ketiga Indonesia BJ Habibie, adalah tidak wajar dan tidak beretika.

Artikel itu, katanya boleh menjejaskan hubungan baik antara Indonesia dan Malaysia.

"Kami telah bincangkannya, Menteri Luar akan mengambil nota diplomatik di sini dan juga di Kuala Lumpur," kata Yudhoyono dipetik oleh agensi berita Antara sepertimana diterbitkan oleh akhbar berbahasa Inggeris, The Jakarta Post pada Selasa.

Yudhoyono yang akan berlepas ke Malaysia pada Selasa bagi menghadiri Rundingan Tahunan, forum peringkat tertinggi dalam hubungan dua hala Malaysia-Indonesia, berkata Indonesia akan membangkitkan isu saling hormat menghormati supaya insiden serupa tidak berulang yang boleh menjejaskan persahabatan antara kedua-dua negara.

Artikel Zainuddin disifatkan oleh banyak pihak di Indonesia sebagai "serangan" terhadap Habibie. Sementara itu, jurucakap presiden, Teuku Faizasyah berkata presiden akan membangkitkan isu-isu penting termasuk perlindungan warga Indonesia yang bekerja di Malaysia, sempadan, perdagangan dan pelaburan pada mesyuarat itu.

Yudhoyono juga akan mengadakan pertemuan peribadi, secara empat mata dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum mengetuai delegasi Indonesia pada Rundingan Tahunan kesembilan itu.

Universiti Utara Malaysia (UUM) dijadual menganugerahkan ijazah Kehormat Doktor Falsafah Kepimpinan Keamanan kepada presiden. - Bernama

Keceluparan Zainuddin Maidin amat memalukan Malaysia.
 
 

Putrajaya pertimbang bekukan AES kerana bertindih dengan sistem saman polis

KUALA LUMPUR, 18 Dis — Putrajaya mempertimbangkan untuk membekukan pelaksanaan kontroversi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) untuk mengelakkan saman berganda dengan sistem saman polis yang boleh menambahkan kesusahan kepada pengguna jalan raya, menurut sumber.

Projek swasta bernilai RM700 juta bermula pada bulan September dengan 14 kamera fasa percubaan tetapi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berikrar untuk melancarkan sebanyak 831 kamera menjelang akhir 2013 untuk menangkap pemandu laju dan mencegah lebih banyak kematian di jalan raya.

Gambar fail menunjukkan kamera perangkap kelajuan. Hampir 300,000 saman telah dikeluarkan sejak pelaksanaan AES pada September 23, 2012.

Pihak polis yang menguatkuasakan undang-undang hadlaju, berkata mereka akan meneruskan penguatkuasaan dan meletakkan perangkap kelajuan mudah alih berhampiran kamera AES, meningkatkan prospek denda dua kali bagi pemandu ingkar.

“Kerajaan sedang mempertimbangkan membekukan pelaksanaan AES disebabkan pertindihan sistem saman. Ini akan menyebabkan kesusahan,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.

Beliau juga menyatakan beberapa ahli parlimen dari Barisan Nasional (BN) juga meminta kerajaan untuk menghentikan pelaksanaan sehingga semua pandangan dipertimbangkan.

Sumber lain berkata kerajaan mahu memastikan AES akan membantu memastikan pemandu mengikut had laju sepanjang perjalanan mereka bukannya hanya di kawasan-kawasan di mana kamera diletakkan.
“Sistem ini adalah untuk menguatkuasakan had laju dan memastikan keselamatan jalan raya,” tambah beliau.

Kira-kira 10,000 pemandu sudah membayar saman mereka di bawah AES sejak ia dilaksanakan 23 September lepas. JPJ berkata ia juga mengeluarkan hampir 300,000 saman sejak itu.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Solah Mat Hassan berkata awal bulan ini bilangan kesalahan trafik menurun sebanyak tiga perempat semenjak kamera AES digunakan.
“Rancangan pelaksanaan AES tidak akan ditangguh dan ia akan diteruskan kerana ia adalah satu usaha murni dan bukan untuk menghukum pengguna jalan raya,” katanya dipetik dari agensi berita Bernama.

Daripada 14 kamera yang sudah dipasang di seluruh negara: tujuh di Perak, dua di Selangor, dan lima di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Empat kamera lagi adalah unit mudah alih.

Tetapi polis mengumumkan ia akan mengekalkan perangkap kelajuan bersama-sama AES untuk menangkap pemandu memandu laju, kata timbalan menteri kepada Parlimen bulan lepas, dalam usaha membuktikan kontroversi dan mencetuskan lebih banyak bantahan orang ramai kepada kamera baru yang dipasang di lebuh raya dan jalan awam lain.

“Kerajaan tidak akan menghentikan saman ekor oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) walaupun Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dikuatkuasakan.
“Pendekatan sekarang yang digunakan oleh polis akan masih lagi dilaksanakan kerana AES akan dilaksanakan oleh JPJ,” kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Abu Seman Yusop menjawab soalan di Parlimen pada 5 November.

Timbalan menteri itu menegaskan penggunaan kamera AES dan perangkap kelajuan polis  akan membantu mengurangkan kadar kemalangan negara dengan meningkatkan kesedaran dan “persepsi ditangkap”.

Beberapa ahli parlimen berhujah bahawa AES hanya akan memberi manfaat kepada dua syarikat menjalankan sistem tersebut — Beta Tegap dan Ates — oleh kerana syarikat tersebut didakwa akan mendapat RM16 dari setiap saman yang dikeluarkan oleh sistem. - TMI

Bila kita kata UmnoBN tak reti perintah dia marah.