31 January 2012

Murid maut dipanah petir, 4 termasuk guru cedera

KUALA KANGSAR – Seorang pelajar maut manakala empat lagi termasuk seorang guru cedera dalam tragedi panahan petir di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Mazuin di sini, petang ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa yang terkorban, Muhammad Syafiq Mohd Tajul Ariffin, 11, bersama tiga rakan dan seorang guru baru sahaja selesai menjalani latihan memanah.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superitendan Abdul Gaffar Mohammad berkata, mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Menurutnya, tiga lagi rakan mangsa berusia 10 hingga 12 tahun dan seorang guru dikejarkan ke Hospital Kuala Kangsar untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Difahamkan ketika kejadian cuaca hujan dan mangsa bersama rakan-rakan masih lagi berada di padang selepas selesai menjalani latihan.

“Mayat mangsa yang berasal dari Kampung Pakri dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat dan kematian disebabkan oleh 'lightning injury'.

“Siasatan lanjut berhubung kes ini masih lagi dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

SBPA: Cuepacs ulangi amaran 'pulau' jika...

KUALA LUMPUR - Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan membuat permohonan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan berhubung tiga lagi pemimpin kanan kesatuan itu untuk menganggotai pasukan petugas khas semakan semula Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata Cuepacs akan mengemukakan surat kepada Mohd Sidek esok berhubung perkara itu bagi mempertimbangkan permohonan tersebut.

"Awal dulu lagi, kita sudah maklumkan bahawa kita hendakkan tiga lagi tambahan pegawai Cuepacs dalam pasukan petugas itu.

"Mungkin kalau nak permohonan, kita akan hantar surat esok, untuk menambah tiga orang lagi anggota Cuepacas sebelum 8 Feb (mesyuarat kedua pasukan petugas khas)," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pengerusi pasukan petugas itu Tan Sri Ismail Adam semalam bahawa pasukan itu tidak mempunyai kuasa untuk melantik atau memilih tiga lagi pemimpin kanan Cuepacs bagi menganggotai pasukan berkenaan.

Dipetik Bernama, kata beliau, sebaliknya hanya Mohd Sidek mempunyai kuasa untuk menentukan perkara itu.

Tiga pemimpin kanan Cuepacs yang dicadangkan untuk menganggotai pasukan itu ialah Timbalan Presiden 1 Azih Muda, Setiausaha Agung Lok Yim Pheng dan Setiausaha Kewangan Jaafar Mansor.

Pasukan petugas khas itu kini dianggotai pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan, Presiden Cuepacs serta pegawai kementerian berkaitan.

Cuepacs sebelum ini, menegaskan bahawa pihaknya tetap dengan pendirian tidak menyertai pasukan petugas khas itu, sekiranya tiga lagi pemimpin kanannya tidak dibenarkan menganggotai pasukan tersebut.

Bagaimanapun, Omar berkata jika masih tiada surat jemputan diterima, beliau tetap akan menghadiri mesyuarat kedua yang dijadual pada 8 Februari, tetapi akan mengisytiharkan secara rasmi untuk menarik diri.

"Ini bukan keputusan Omar Osman tetapi menghormati keputusan kongres dan anggotanya. Cuepacs hari ini adalah harapan 1.3 juta penjawat awam di seluruh negara," katanya. - Sinar Harian

* Belum bincang sudah gaduh tapi kata akan puas hatikan semua pihak. Sudah-sudahlah dengan Umno...

KUIN: ‘Serangan bertalu-talu macam nak jatuhkan Azizan’ dakwa Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR, 30 Jan - Dewan Pemuda PAS pusat hari ini melahirkan kebimbangan terhadap reputasi Datuk Seri Azizan Abdul Razak dalam isu Kolej Universiti Insaniah (KUIN) mendakwa serangan yang dilemparkan seolah-olah mahu menjatuhkan Menteri Besar Kedah itu.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Ketua Pemuda PAS pusat Nasrudin Hassan berkata semua pihak termasuk kepimpinan Pakatan Rakyat perlu menghormati pandangan Azizan dalam isu penggantungan lima mahasiwa KUIN menggunakan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Tegas beliau, walaupun sayap pemuda PAS itu tegas untuk memansuhkan AUKU namun perbezaan pandangan perlu ditangani dengan baik.

"Apabila ada dari kalangan kita yang berbeza pandangan seperti menteri besar Kedah...beliau berbeza pandangan dengan kita mengenai AUKU maka tangani perbezaan pandangan ini dengan positif sebab perkara ini bukanlah sesuatu yang tidak boleh diselesaikan.

"Jadi apabila menteri besar Kedah mempunyai pandangan berbeza, kita perlu dengan dan hadapi isu ini dengan baik...bukan serang bertubi-tubi, mengancam mahu jatuhkan kerajaan dan keluarkan kenyataan agar keluar PAS dan masuk Barisan Nasional (BN)," katanya menambah Pemuda PAS pusat konsisten berjuangan bersama Pakatan Rakyat, kumpulan mahasiswa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mansuhkan undang-undang itu.

Nasrudin berkata pihaknya kesal dan kecewa dengan pihak tertentu yang bertindak menyerang Azizan yang sebelum ini menegaskan tidak campur tangan dalam urusan pentadbiran KUIN.

"Kalau dengan kerajaan Umno-BN pun kita berunding mengenai AUKU, menteri pengajian tinggi dan timbalannya juga kita jumpa untuk bincang tapi mengapa dengan menteri besar Kedah kita pelakukan lebih teruk daripada BN?

"Sehingga ugut beliau keluar PAS, saya tidak nampak rasional melainkan saya bimbang ia adalah usaha untuk menjatuhkan reputasi dan kedudukan menteri besar Kedah...saya bimbang begitu tapi saya harap ia tidak berlaku," katanya.

Mei lalu, lima mahasiswa kolej universiti tersebut dibicarakan dan digantung pengajian kerana didapati terlibat dalam demonstrasi yang bertujuan untuk menyatakan bantahan terhadap pembinaan Sekolah Insan Bestari yang diadakan di kediaman Ar-Razi, KUIN.

Mereka membantah pembinaan di kawasan tersebut kerana dilihat tidak strategik dan akan mengganggu proses pengajian dan pembelajaran mahasiswa tahfiz.

Mereka yang dikenakan tindakan gantung pengajian ialah Mohd Faiz Mohd Arshad, Mohd Azlan Mat Zain, Ahmad Remi Mohd Arof, Zukhilatif Marzuki dan Muhamad Aiman Che Abd Razak.

Ekoran penggantungan itu, kelima-lima mahasiswa itu mengambil tindakan perundangan mencabar keputusan KUIN itu.

Kes itu akan disebut pada 12 Mac depan.

PAS akan meminta Azizan memberikan penjelasan berhubung penggantungan lima mahasiswa KUIN pada 12 Februari ini semasa mesyuarat bulanan parti itu.

Khamis lalu, pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari mengesyorkan agar Pakatan Rakyat mengambil tindakan ke atas Azizan atas alasan bertindak bertentangan dengan prinsip Buku Jingga.

Namun Azizan menegaskan bersedia berdepan dengan apa jua tindakan oleh Pakatan Rakyat termasuk dipecat sekiranya bersalah.

Nasrudin turut membangkit persoalan mengenai serangan terhadap Azizan namun tidak menyerang Pengerusi DAP kebangsaan Karpal Singh yang menjadi peguam bagi KUIN.

"Ia bukan sahaja libatkan Azizan, Karpal Singh juga peguam yang bela KUIN...adakah Karpal Singh sokong AUKU? Adakah Karpal Singh bertentang arus dengan Pakatan Rakyat? Kerapa Karpal Singh tidak diserang sebaliknya hanya serang menteri besar Kedah.

"Persoalan begini menimbulkan tanda tanya...kepada semua saya sarankan tangani keadaan ini dengan baik dan jangan keluarkan kenyataan berbaur jahat," katanya. - TMI

* Bukan Azizan sahaja, rasanya ketua pemuda PAS juga...

'UIA boleh ambil profesor, tapi bukan ilmu saya'

Pakar perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari hari berkata, beliau tidak kisah gelaran sama ada gelaran profesornya ditarik balik oleh Universiti Islam Antarabangsa (UIA) atau tidak kerana kepakaran yang dimiliki tetap bersamanya.

"UIA boleh tarik gelaran itu tapi UIA tak boleh ambil ilmu saya. Kepakaran saya akan terus bersama saya.

"Saya tidak boleh sekat orang panggil saya profesor; apa pun saya saya tidak kisah ada gelaran atau tidak. Saya tetap saya," katanya.

Dr Aziz (kiri) hari ini dilaporkan tidak boleh lagi menggunakan status profesor kerana ia gugur secara automatik setelah menamatkan perkhidmatan dengan UIA.

Menjawab pertanyaan pembaca Utusan Malaysia, Bahagian Komunikasi Korporat UIA berkata, Abdul Aziz masih boleh menggunakan status profesor jika ada universiti lain melantiknya ke jawatan itu.

Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini, Dr Aziz berkata, beliau sedih dengan gelagat UIA yang didakwa jelas menjadi "alat orang lain" dengan mengeluarkan kenyataan memalukannya, hanya kerana pertanyaan sepucuk surat pembaca "yang jahil" tentang ilmu dan gelaran profesor.

"Nampak macam UIA hendak ikut sama memalukan saya supaya saya sukar menghadapi hari-hari yang mendatang.

"Negara sudah tahu saya tidak lagi berkhidmat di UIA; jadi perlukah UIA membuat kenyataan begitu?" katanya.

UIA yang minta saya pohon profesor

Dr Aziz juga berkata, secara faktanya, ramai "profesor pencen" masih dipanggil profesor kerana orang yakin dan hormat dengan ilmunya dan setakat ini tidak ada universiti di Malaysia yang membuat kenyataan umum seperti UIA itu.

Beliau juga berkata tidak kisah atas tindakan itu kerana kegiatan akademik awamnya bermula sejak belum bergelar profesor lagi.

"Dengan itu apa yang mereka lakukan tidak akan memberi kesan kepada saya," katanya.

Menurut Dr Aziz juga berkata, gelaran profesor itu pun dipohonnya sebelum ini atas permintaan UIA sendiri melalui surat rasmi daripada dekan sepuluh tahun lalu.

"Tidak seperti orang lain saya tidak memohon. Saya diminta oleh pihak UIA, hujung 2002, untuk memohon jawatan profesor.

"Mungkin kerana ketika itu tulisan dan autoriti saya mengatasi rakan-rakan lain dalam fakulti dan mereka mahu saya 'masuk' dulu," - Malaysiakini

Salleh: NFC tidak minta Shamsubahrin rasuah polis

Pengerusi eksekutif Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC), Datuk Mohamad Salleh Ismail menafikan dakwaan bahawa beliau meminta ahli perniagaan Datuk Shamsubahrin Ismail merasuah polis berhubung siasatan salah guna pinjaman mudah kerajaan oleh syarikat projek penternakan lembu itu.

Salleh, dalam laporan New Straits Times hari ini, berkata syarikat itu tidak perlu merasuah polis yang disifatkannya sebagai adil dalam siasatan mereka.

"Kami tidak ada masalah untuk menjawab soalan-soalan mereka ataupun untuk bekerjasama dengan mereka dalam siasatan, (jadi) kita tidak mempunyai sebab untuk merasuah mereka," kata beliau dipetik akhbar berkaitan Umno itu.

Semalam, PKR mendedahkan bahawa laporan polis yang dibuat oleh Shamsubahrin mendakwa Salleh memaksanya untuk merasuah polis supaya skandal NFC ditutup apabila beliau dilantik sebagai penasihat korporat dan perunding.

Bagaimanapun, Salleh berkata Shamsubahrin hanya diupah untuk berurusan dengan pihak media.

"Kami hadapi tuduhan dalam akhbar dan ‘serangan’ dari pembangkang. Untuk sebab itu bahawa Shamsubahrin telah diupah," katanya kepada akhbar berkenaan lagi.

Shamsubahrin didakwa pada 30 Dis tahun lalu dengan menipu Salleh sebanyak RM2 juta dalam yuran perundingan. Beliau ditangkap semula selepas diikat jamin pada 19 Jan lalu dan dikenakan dua lagi tuduhan menipu tambahan Jumaat lalu.

Beliau kini merengkuk di penjara Sungai Buloh setelah tidak dibenarkan diikat jamin oleh polis.

Salleh tegas mendakwa bahawa Shamsubahrin telah menipunya serta menafikan bahawa ahli perniagaan itu dijadikan kambing hitam.

"Beliau tawarkan perkhidmatan beliau, dan kemudian menuntut bayaran dibuat dahulu walaupun belum melaksanakan sebarang tugas kerana perjanjian pelantikan beliau belum disediakan," kata Salleh dalam laporan itu.

"Perjanjian perkhidmatan Shamsubahrin disediakan oleh kakitangan NFC tetapi beliau ditangkap sebelum boleh ditandatanganinya. Jika Shamsubahrin adalah kambing hitam, mengapa dia sentiasa menghantar bil dan menuntut kita membayarnya?"

Sambil berkeras bahawa Shamsubahrin berbohong, Salleh berkata beliau mempunyai SMS untuk membuktikan bahawa ahli perniagaan itu mengenakan tekanan terhadapnya bagi menuntut pembayaran. - Malaysiakini

* Pusing-pusing macam lembu...

Hasan Ali tubuh JATI sebagai 'kuasa ketiga'

Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Hasan Ali yang dipecat keahliannya oleh parti itu, akan menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO) dinamakan 'JATI' untuk meneruskan agendanya memperjuangkan agama Islam, hak orang Melayu dan raja-raja Melayu.

"Secara peribadi orang tanya saya nak sertai Umno atau PKR... saya nak katakan, saya tidak akan sertai mana-mana parti politik, saya akan sertai NGO yang namanya JATI," katanya di Shah Alam.

Beliau yang ditemui selepas berceramah di Seksyen 17 malam semalam, turut mengakui masih sayangkan PAS dan mahu membantu parti itu menghapuskan golongan 'parasit' yang cuba merosakkan perjuangan asal PAS.

Sejak dipecat dari PAS pada 8 Jan lalu, spekulasi tersebar luas bahawa bekas anggota exco kerajaan negeri Selangor itu akan menyertai Umno.

Mengulas mengenai JATI, Hasan berkata, NGO tersebut akan dilancarkan pada 21 Februari depan.

Beliau turut mengajak NGO lain untuk bergabung dengan JATI bagi membentuk 'kuasa ketiga' yang diharapkan dapat mengimbangi kehadiran BN dan Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum ke-13.

Ditanya sama ada kuasa ketiga itu akan menyokong parti memerintah, Hasan berkata, perkara tersebut belum diputuskan.

"Kita adalah kuasa ketiga kalau bertanding pun atas nama kuasa ketiga dan kita tak kisah sama ada kita bertanding bersama atau tidak bersama dengan mana-mana parti politik," katanya. - Bernama

* Orang tua ini masih tidak sedar atau buat-buat tidak sedar. Suaranya hanya ada bila 'mengenakan' Pakatan Rakyat. Jika dia berjuang ikhlas untuk Islam secara sendirian, suaranya akan hilang dan akan dilupakan...

Aziz Bari digugur gelaran profesor

KUALA LUMPUR 30 Jan. - Bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Abdul Aziz Bari tidak boleh lagi menggunakan status profesor kerana ia gugur secara automatik setelah beliau menamatkan perkhidmatan dengan institusi pengajian tinggi itu.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UIAM, Abdul Rahim Ahmad berkata, sebarang aktiviti Abdul Aziz selepas ini juga tiada kaitan dengan universiti itu.

Namun katanya, Abdul Aziz masih boleh menggunakan status profesor jika ada universiti lain melantiknya ke jawatan itu.

''Pensyarah yang tamat perkhidmatan dari mana-mana institusi pengajian tinggi awam, tidak boleh menggunakan status profesor kerana ia gugur secara automatik.

''Dengan penjelasan ini, saya harap, semua pihak dapat mengetahui gambaran sebenar tentang Abdul Aziz dan berharap sebarang aktiviti beliau selepas ini tiada kaitan dengan UIAM," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan akhbar bagi mengulas pertanyaan pembaca Utusan Malaysia, SAKINAH melalui ruangan Forum akhbar itu pada Jumaat lalu yang ingin tahu bidang pengkhususan dan siapakah yang memberikan pengiktirafan kepada Abdul Aziz sebagai pakar undang-undang dan perlembagaan. - Utusan

* Berjuang memang pahit...

Azizan: Kalau pelajar buat kacau, kena halang

ALOR SETAR - Lima pelajar Kolej Universiti Insaniah (Kuin) dikenakan tindakan tata tertib termasuk digantung pengajian mengikut peruntukan Akta IPTS 1996, bukannya Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) seperti yang diuar-uarkan pihak luar.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, oleh itu beliau menasihatkan pihak luar supaya tidak mencampuri isu dalaman kolej universiti itu kerana tidak mahu menimbulkan kekeliruan.

"Kedua-duanya berbeza, walaupun hampir sama. Saya harap selepas ini jangan lagi ada pihak yang pertikai keputusan yang dibuat,” kata beliau yang juga Pengerusi Kuin kepada Sinar Harian.

Kenyataan Azizan ini sekali gus menyangkal dakwaan banyak pihak yang menuduhnya tidak sefahaman dengan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang berikrar akan menghapuskan Auku jika dapat menawan Putrajaya.

Azizan berkata, apa yang diperjuangkan oleh pemimpin PR dalam Buku Jingga merangkumi dua perkara dalam Auku iaitu hak untuk berpolitik dan hak untuk berpersatuan.

“Itu yang kita perjuangkan dalam Buku Jingga, namun jika ada pelajar membuat kekacauan dan mengganggu ketenteraman awam, kita perlu halang. Tindakan seperti itu termasuk demonstrasi tiada dalam perjuangan PR, hanya dua perkara kita perjuangkan,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Ketua Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan yang melahirkan kebimbangan terhadap reputasi Azizan berhubung isu Kuin seolah-olah serangan yang dilemparkan mahu menjatuhkan karier Menteri Besar Kedah itu, Azizan menyifatkannya sebagai perkara biasa dalam politik.

“Biasalah… dalam politik ada musuh ada kawan. Pasti ada cubaan untuk jatuhkan mana-mana pemimpin. Saya tidak kisah berdepan dengan situasi seperti itu,” katanya. - Sinar Harian

* Jangan kerana Azizan seorang, Kedah terlepas semula ke tangan Umno...

BMW dirempuh, RM200,000 lesap di lebuh raya

NILAI – Seorang pemilik stesen minyak mengalami keadaan cemas apabila keretanya dirempuh kenderaan penyamun bersenjata yang melarikan RM200,000 di Kilometer 287, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, berhampiran Bukit Mahkota, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu, mangsa, yang memandu kereta jenis BMW dari Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite), dalam perjalanan ke Bangi, apabila disamun di tepi lebuh raya berkenaan.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Yusoff Awang berkata, mangsa sedang membawa wang hasil perniagaannya itu mahu ke sebuah bank di Bandar Baru Bangi.

“Mangsa yang memandu sendi­rian dilanggar oleh sebuah kereta jenis Lexus berwarna putih, dinaiki dua lelaki di kawasan Rehat dan Rawat Nilai.

“Mangsa, bagaimanapun, tidak memberhentikan kereta, sebaliknya meneruskan perjalanan.

“Sejurus tiba di Bukit Mahkota, sekali lagi kereta mangsa dilanggar oleh kereta yang sama dan kali ini mangsa memberhentikan kenderaannya,” katanya, semalam.

Menurutnya, mangsa yang berusia awal 40-an, terus keluar dari kenderaan dan melarikan diri selepas melihat kedua-dua orang itu yang bertopeng, menuju ke arah kenderaannya dengan seorang daripada mereka membawa sebilah parang.

“Mereka terus mengambil wang yang dari dalam but kereta.

“Kemudian, sebuah kereta Honda Accord yang dinaiki dua lelaki bertopeng tiba dan membawa kedua penyamun bersama wang tersebut dan meninggalkan kereta Lexus di situ,” katanya.

Yusoff berkata, semua penyamun itu dipercayai dalam lingkungan 30-an.

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa menyedari diekori lebih daripada dua kenderaan dalam kejadian itu,” katanya. - Sinar Harian

Kenapa pegawai NFC tidak dibawa ke muka pengadilan, soal pemimpin PKR

PETALING JAYA, 30 Jan — Naib Presiden PKR, N.Surendran hari ini menuntut penjelasan pihak polis yang dilihat tidak mengambil tindakan terhadap seorang pegawai tinggi Pusat Fidlot Nasional (NFC) walaupun pihak berkuasa berkenaan telah mempunyai bukti pegawai tersebut telah mengarahkan ahli perniagaan Datuk Shamsulbahrin Ismail merasuah pihak polis.

N.Surendran menegaskan, pihaknya yakin bukti tersebut berada dalam tangan pihak polis berikutan salah satu telefon bimbit yang dirampas mereka daripada Shamsulbahrin mengandungi bukti Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang mengarahkan Shamsulbahrin merasuah polis oleh pegawai tersebut.

“Kami menuntut pihak polis mengemukakan penjelasan mengapa masih lagi membiarkan pesalah ini bebas, sedangkan mereka sudah mempunyai bukti di atas dakwaan cubaan merasuah pihak polis.

“Tindak tanduk agensi penguatkuasa sendiri dilihat berperanan cuba untuk menutup kes dan menjadikan Datuk Shamsubahrin (gambar) sebagai kambing hitam,” tegasnya.

Sehubungan itu, N Surendran yang juga hadir dalam sidang media di Pejabat PKR bersama-sama Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin memohon penjelasan daripada pihak berkuasa berkenaan berhubung perkara itu.

“Saya ingin minta penjelasan daripada pihak berkuasa, sekiranya SMS itu mengandungi maklumat yang betul, apa tindakan yang dibuat?,” soalnya.

Gesaan sama turut dibuat oleh Ahli Parlimen Subang, R.Sivarasa yang turut hadir dalam sidang media tersebut.

“Apakah tindakan yang akan diambil pihak berkuasa kerana ada dakwaan yang serius dalam dokumen ini, pihak berkuasa sudah ada maklumat, tapi mereka bawa dakwaan palsu dan tidak berasas terhadap Datuk Shamsubahrin.

Jelasnya, dakwaan yang dikenakan ke atas Shamsulbahrin tuduhan menipu adalah tuduhan yang amat jahat.

Selain itu, beliau juga menuntut Perdana Menteri dan Datuk Seri Najib Razak, dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat penjelasan yang mengatakan tidak terdapat sebarang isu terhadap skandal NFC.

“Kami mahukan penjelasan perdana menteri dan timbalannya yang menyatakan tiada isu terhadap NFC ini, kami sudah melihat kandungan SMS tersebut, malah telefon Shamsulbahrin masih lagi berada dalam tangan pihak berkuasa,” tegasnya.

Menurutnya lagi, pihaknya juga melihat perkara itu sebagai penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkuasa terhadap Shamsulbahrin. - TMI

30 January 2012

Shamsubahrin: Ketua NFC paksa saya 'rasuah' polis

Ahli perniagaan Datuk Shamsubahrin Ismail, yang dituduh menipu pengerusi eksekutif Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) Datuk Mohamed Salleh Ismail, mendakwa bahawa suami ketua wanita Umno itu memaksa beliau merasuah polis bagi menutup skandal syarikat berkenaan.

Beliau membuat dakwaan itu pada polis laporan yang dibuat di Hospital Besar Klang Jumaat lalu. Perkara itu didedahkan oleh PKR di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya hari ini.

Dalam laporan polis itu, Shamsubahrin didakwa berkata beliau menerima mesej dan tekanan dari Salleh yang memintanya supaya kes NFC dengan pihak polis ditutup.

"Salleh, melalui panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS), mendesak saya untuk memberi rasuah kepada polis untuk menutup kes itu."

Dalam laporan itu, Shamsubahrin mendakwa beliau telah dilantik oleh NFC sebagai penasihat korporat dan perunding untuk "membersihkan" masalah dalaman NFC.

Beliau menambah bahawa telah bertemu dengan pihak polis untuk membantu siasatan mereka tetapi memaklumkan kepada Salleh bahawa beliau tidak akan memberi rasuah.

NFC dituduh menyalahgunakan pinjaman mudah RM250 juta oleh kerajaan dengan berbelanja ke atas aset mewah dan bukannya terhadap projek pusat ternakan lembu di Gemas, yang ditugaskan.

Ditanya jika PKR mempunyai bukti dalam bentuk SMS itu, naib presiden PKR N Surendran berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyimpan telefon yang mengandungi mesej berkenaan.

"Beberapa telefon telah dirampas dari Shamsubahrin dan semua telefon kemudiannya dikembalikan kecuali satu. Yang disimpan oleh SPRM adalah telefon yang mengandungi bukti penting ini.

"Ia di tangan pihak berkuasa tetapi kita mempunyai rekod, kita mempunyai salinannya," katanya. - Malaysiakini

* Modal besar Pakatan Rakyat untuk tumbangkan UmnoBN...

Gerakan tuntut Ibrahim Ali mohon maaf

Gerakan hari ini menyelar tindakan PERKASA menggunakan 'angpow' sampul merah - yang dianggap menghina masyarakat Cina - dalam sambutan tahun baru kaum itu, walaupun hasrat penganjuran majlis itu dianggap baik.

Timbalan presidennya Mah Siew Keong (kanan) berkata, pemberian angpow dalam sampul putih pada tahun baru - sebagai festival kegembiraan - menujunjukkan Presiden PERKASA Ibrahim Ali tidak sensitif.

"Setelah menjadi anggota parlimen dan berada dalam politik sudah beberapa tahun, Ibrahim Ali masih tidak tahu adam resam kaum lain, yang menjelaskan kenapa dia terus melakukan banyak kenyataan tanpa berfikir," katanya.

Dalam majlis Tahun Baru Cina NGO itu di Kelab Sultan Sulaiman yang pertama kali diadakan semalam, PERKASA mengedarkan kira-kira RM10,000 angpow menggunakan sampul putih - tindakan yang menimbulkan rasa tidak puas hati, terutama di laman maya.

Kumpulan pendesak Melayu itu bagaimanapun menjelaskan mereka tiada niat menghina kaum Cina dan pihaknya tidak tahu bahawa warna putih digunakan untuk upacara kematian.

Dalam kenyataannya hari ini, Mah menyifatkan Ibrahim sebagai pemimpin yang cuba menghalang usaha 1Malaysia perdana menteri.

Mah juga menggesa Ibrahim memohon maaf atas tindakannya itu dan mengakui tidak sensitif walaupun tindakannya tidak berniat jahat.

Bagaimanapun, tambahnya, tindakan tidak sensitif dan alpa itu tetap tidak bermakna anggota parlimen Pasir Mas itu tidak melakukan sebarang kesalahan.

Pemuda MCA: Tidak tahu bukan alasan

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung Pemuda MCA Datuk Chai Kim Sen juga menyelar tindakan PERKASA yang didakwa tidak sensitif dan patut tiada tolak ansur pada "kumpulan ekstrim" kaum dan agama.

"Sebagai anggota parlimen, dia (Ibrahim) patut bertindak atas kepentingan rakyat dan memahami masyarakat kita yang berbilang bangsa, dan pantang larang pelbagai budaya," katanya lagi.

"Alasan bahawa tidak tahu tidak boleh dijadikan alasan dalam isu ini." - Malaysiakini

* Pak Pandir moden...

29 January 2012

(Video) Hafiz : Awan Nano Juara AJL ke-26



Ibrahim: Anwar memang selalu salahkan orang

Kumpulan pendesak Melayu PERKASA hari ini menyelar Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa menyalahkan orang lain memutarbelitkan kenyataannya dalam isu berkaitan negara Israel yang dilaporkan media antarabangsa.

"Kami akan clarify (perkara ini) dalam sesi parlimen akan datang. Saya akan bangkitkan perkara ini jika dia berkata begitu.

"Dia menyalahkan orang lain kerana twist kenyataan dia. Tetapi kenyataan dia, semuanya dirakam. Saya tidak terkejut," kata Ibrahim dalam sidang media selepas Majlis Sambutan Tahun Baru Cina anjuran PERKASA di Kuala Lumpur hari ini.

Ibrahim menjawab soalan pemberita berhubung kenyataan Anwar yang dilapor berkata, pandangannya berhubung isu Israel dan Palestin diputar belit bagi menggambarkan beliau mengkhianati aspirasi rakyat Palestin.

Katanya, dalam wawancaranya dengan media antarabangsa Khamis lalu, beliau menegaskan kemahuan dan hak rakyat Palestin mesti dibela dan jika syarat itu dipenuhi maka wajar hak rakyat Israel juga dihormati.

Anwar berkata, pandangannya sejajar dengan prinsip PKR yang menjunjung keadilan sejagat dan tegas membela hak yang dizalimi, serta selari dengan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Inisiatif Keamanan Arab berteraskan "Penyelesaian Dua Negara".

Malahan, katanya, dasar luar negara juga menekankan prinsip penyelesaian itu, sebagaimana diungkapkan menteri luar ketika perbahasan perhimpunan agung PBB ke-66 pada 27 September tahun lalu di New York.

Mengulas lanjut, Ibrahim yang juga presiden PERKASA terperanjat dengan kenyataan Anwar sepertimana yang dilaporkan.

Dakwanya, kenyataan Anwar itu adalah sama seperti polisi Amerika Syarikat sedangkan Malaysia tidak menerima Israel dan tindakan mereka.

Ibrahim mendakwa Anwar mengeluarkan kenyataan demikian bagi "memuaskan hati" Amerika Syarikat, kerana secara politiknya, beliau didakwa memerlukan sokongan negara kuasa besar itu.

"Marilah kita memikirkan mengenai nasib negara Palestin terlebih dahulu, sebelum memikirkan perkara yang lain," katanya.

Mengulas lanjut, Ibrahim menggesa rakyat Malaysia terutama parti politik supaya "melupakan" Anwar memandangkan pelbagai isu dikaitkan dengan ketua pembangkang itu, sehingga membuatkan rakyat "letih" mendengarnya.

"Sekarang ada masa untuk melupakan Anwar. Sekarang adalah masa untuk memikirkan tentang masa depan. Pemimpin datang dan pergi, tetapi Malaysia lebih penting.

"Bagi saya, secara politiknya, Anwar sudah mati. Anwar sudah tidak relevan. Bagi saya, Anwar adalah kawan atas banyak sebab.

"Jadi, kita mesti bergerak ke hadapan dan rakyat Malaysia harus sedar, (adakah) tanpa Anwar, Malaysia akan habis? Tidak!

"Pemimpin datang dan pergi dan Anwar membuktikan dirinya dia tidak 'fit' untuk menjadi perdana menteri dengan pelbagai sebab," katanya. - Malaysiakini

* Kalau anwar sudah tidak releven, mengapa setiap hari ada berita dia...

(Video) Tv3 Putar Belit Kenyataan Anwar



‘Saya pun ada bukti salah laku pemimpin Pakatan’

SHAH ALAM - Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali menggesa Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya mempunyai bukti penyelewengan dan salah laku melibatkan beliau.

Menurutnya, beliau sendiri tidak mengetahui bentuk penyelewengan yang didakwa Azmin sebagai rahsia yang kini berada dalam tangan Pakatan Rakyat (PR).

Sebaliknya, Hasan mendedahkan beliau juga mempunyai bukti-bukti kukuh berhubung salah laku pemimpin PR, menerusi pemberi maklumat dalam gabungan tersebut.

"Bukan niat saya untuk mengaibkan sesiapa, tetapi andainya saya ditolak ke dinding, barangkali maklumat-maklumat tersebut boleh dijadikan senjata ampuh mempertahankan diri.

"Ini kerana sesetengah daripada maklumat tersebut boleh mengundang keaiban kepada individu dan parti," kata beliau dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Azmin mempunyai rahsia berkaitannya dan akan dedahkan kepada rakyat sekiranya Hasan terus menyerang kepimpinan PR.

Hasan berkata, sebagai ahli politik, beliau tidak mampu mempetahankan diri daripada serangan dan fitnah kerana ia perkara biasa dalam dunia politik.

Menurutnya, beliau masih mempunyai rekod baik sepanjang 15 tahun berada dalam dunia politik termasuk dalam perkara fitnah-memfitnah.

"Mungkin ada yang mengatakan bahawa saya angkuh. Tetapi, inilah realitinya. Setakat yang saya ingat, belum ada laporan polis atau siasatan SPRM ke atas saya.

"Tetapi tidak tahulah waktu mendatang kerana saya bersama teman-teman dilihat terlibat dalam program dalaman dan bagi setengah golongan menganggapnya sebagai menentang arus," katanya yang memulakan siri jelajah penerangan selepas dipecat oleh Pas pada 8 Januari lalu.

Ekoran keputusan Pas itu, beliau digugurkan sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Beliau mempunyai masa 30 hari untuk membuat rayuan. - Sinar Harian

* Apalah dosa Hasan sebelum ini. Dari dimulia menjadi dihina di penghujung usia...

Usah sembunyi di belakang undang-undang, kata Aziz kepada MB Kedah

KUALA LUMPUR, 29 Jan – Pakar Perlembagaan, Abdul Aziz Bari menasihatkan Datuk Seri Azizan Abdul Razak agar tidak berselindung di sebalik isu teknikal undang-undang apabila berdepan dengan aktivis mahasiswa tentang kebebasan akademik di Kedah.

"Menteri Besar tidak seharusnya berselindung di sebalik semua isu teknikal. Sebenarnya, terpulang kepada beliau untuk membuat keputusan.”kata bekas professor ini kepada The Malaysian Insider.

Beliau turut mengingatkan Menteri Besar Kedah itu bahawa terdapatnya undang-undang yang baik dan yang buruk, dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) terletak dalam kategori yang buruk.

"Seperti mana ISA, Akta Hasutan, dan PPPA," katanya merujuk kepada undang-undang keselamatan, percetakan dan penerbitan yang disifatkan Pakatan Rakyat sebagai undang-undang "berlebihan" dan "lapuk", yang dijanjikan mereka untuk diubah, menurut manifesto pilihan raya mereka yang kenali sebagai Buku Jingga.

Azizan, pemimpin PAS kanan, mempertahankan tindakan kolej negeri, Kolej Universiti Insaniah (KUIN) menggantung lima pelajarnya di bawah AUKU pada Mei tahun lepas.

"Bagaimana beliau (Aziz) boleh menyuruh saya untuk campur tangan dalam hal ehwal pentadbiran universiti? Keduanya, perkara itu sudah di bawa ke mahkamah ... Apa nak dikecohkan lagi," kata Azizan semalam.

Abdul Aziz kembali bertelingkah lidah dengan Azizan berikutan tuduhannya terhadap Aziz yang mendakwa beliau "buta undang-undang" dan tidak berkelakuan sesuai ahli akademik.

Bekas pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu mendesak Azizan agar membatalkan keputusan mahkamah menggantung lima pelajar terbabit dan menjadikannya kes mahkamah akademik.

"Sebagai ilmuan syariah, menteri besar Kedah seharusnya mengetahui perkara ini. Beliau terlepas pandang berkaitan perkara itu dan seharusnya mengemukakan permohonan maaf dan membatalkan keputusan yang dibuat KUIN," jelas Abdul Aziz.

Beliau terus mengkritik Azizan kerana menggunakan dana kerajaan negeri untuk melantik peguam mewakilinya di mahkamah.

The Malaysian Insider difahamkan bahawa kerajaan negeri telah melantik peguam terkemuka negara, Karpal Singh, yang juga Pengerusi DAP dan pemimpin Pakatan Rakyat, mewakili KUIN sementara penasihat undang-undang PAS, Mohamed Hanipa Maidin, akan mewakili mahasiswa berkenaan.

Abdul Aziz turut mendesak agar Azizan tidak melibatkan pemimpin politik berhubung perkara itu bagi menyelamatkan Pakatan Rakyat “daripada perkara yang bukan sahaja membazirkan wang dan tenaga, tetapi paling nyata menurunkan martabat janji mulia yang dibuat dalam dasar rangkakerja biasa."

Beliau turut mendesak Karpal agar mempertimbangkan semula keputusannya.

Malah, Aziz turut mengingatkan Karpal dan Azizan bahawa, Malaysia sudah mempunyai undang-undang yang cukup untuk mengawal mahasiswa dan mereka seharusnya tidak berterusan dalam menyokong AUKU dan undang-undang tidak adil lain, sebaliknya menunaikan janji mereka untuk pembaharuan, termasuk memansuhkan akta terbabit.

Lima mahasiswa KUIN itu dibawa berdepan jawatankuasa disiplin pada 25 Mei 2011 kerana melanggar undang-undang AUKU dengan menyertai demonstrasi, membuat ucapan menggunakan pembesar suara dan mengadakan sidang media untuk membantah tindakan menggunakan blok untuk kelas agama sebagai tempat untuk sekolah pintar.

Mohd Faiz Mohd Arshad telah digantung dua semester, dan rakan-rakannya digantung satu semester dan diberikan surat amaran.

Walaupun penggantungan tersebut sudah berlangsung sejak lapan bulan lalu, dengan empat daripada mereka telah kembali ke kampus, aktivis berkenaan mengambil keputusan untuk mencabar keputusan mahkamah tersebut.

Mohd Faiz Mohd Arshad menuntut penggantungannya ditarik balik dan rakan-rakannya menuntut ganti rugi kewangan kerana ketinggalan kelas.

Azizan telah membuat kenyataan bahawa pihaknya tidak bersetuju bahawa tindakan KUIN itu salah dan menyerahkan perkara itu kepada mahkamah untuk membuat keputusan. - TMI

(Video) DSAI Di Program Mesra Rakyat Bersama Pemimpin di Dengkil



Penghakiman kesaksamaan gender berdepan rayuan

Ia merupakan satu penghakiman yang amat penting yang telah dicalonkan untuk anugerah 'International Gender Justice Uncovered' tahun ini. Bagaimanapun, ini tidak menghalang kerajaan untuk merayu keputusan tersebut.

Itulah nasib Norfadilla Ahmad Saikin, 29 (kiri), yang menyaman Kementerian Pelajaran dan kerajaan kerana menarik balik surat pelantikannya sebagai guru sandaran tidak terlatih (GSTT) di sebuah sekolah menengah di Kajang tiga tahun lalu, hanya kerana dia hamil tiga bulan.

Beliau menamakan dua pegawai daerah, Jabatan Pelajaran Selangor, kementerian dan kerajaan sebagai defendan dalam samannya, untuk memohon pengisytiharan bahawa pembatalan tawaran penempatannya itu menyalahi undang-undang dan tidak berperlembagaan.

Norfadilla telah berjaya dalam satu temuduga dengan jabatan tersebut yang menawarkan penempatan pada bulan Januari 2009.

Bagaimanapun, beliau dan dua lagi guru sandaran ditanya sama ada mereka hamil atau tidak, dan apabila dimaklumkan yang mereka mengandung, surat tawaran itu terus ditarik balik.

Tidak putus asa, Norfadilla dan suaminya menulis surat kepada kementerian berkenaan untuk meminta penjelasan, dan kemudiannya mereka mengambil keputusan membawa perkara itu ke mahkamah.

Dalam penghakimannya pada 12 Julai lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Zaleha Yusof mengisytiharkan bahawa Malaysia terikat dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), yang ditandatanganinya sejak 1995.

Dalam penghakimannya yang terdapat di lamanweb loyarburok, Hakim Zaleha memetik Artikel 11 (1) CEDAW di mana negara anggotanya hendaklah mengambil segala langkah-langkah sesuai untuk menghapuskan diskriminasi terhadap wanita dalam bidang pekerjaan bagi memastikan, atas asas persamaan antara lelaki dan wanita, hak-hak yang sama khususnya dalam peluang pekerjaan, dan kriteria yang sama untuk pemilihan.

Beliau juga menyatakan bahawa Perkara 11 (2) CEDAW menyatakan bahawa negara anggota hendaklah mengambil langkah-langkah untuk melarang pemecatan atas alasan mengandung.

Kementerian Pendidikan dan jabatan memutuskan tidak menerima Nurfadilla berdasarkan satu surat pekeliling bahawa guru GSTT tidak boleh hamil kerana sepanjang tempoh tersebut selama dua bulan di antara masa bersalin hingga sihat sepenuhnya, wanita berkenaan mungkin kerap tidak dapat bertugas atas pelbagai sebab kesihatan, dan apabila bersalin, dia perlu perlu diganti dan guru ganti tidak boleh mengisi tempat guru GSST.

Bagaimanapun, Hakim Zaleha berkata CEDAW bukan setakat satu pengisytiharan tetapi juga merupakan satu konvensyen.

Memetik kes Ezam Md Nor, Hakim Zaleha berkata CEDAW "mempunyai kuasa undang-undang dan mengikat negara-negara anggota, termasuk Malaysia".

"Ini lebih-lebih lagi memandangkan Malaysia telah mengikrarkan komitmen berterusan untuk memastikan amalan di Malaysia serasi dengan peruntukan dan prinsip CEDAW seperti yang terbukti dalam surat dari Misi Tetap Malaysia kepada Misi Tetap negara anggota PBB bertarikh 9 Mac 2010," katanya.

Peguam Edmund Bon (kiri), yang merupakan peguam utama Norfadilla,apa bila ditanya mengenai keputusan kerajaan untuk merayu, berkata sudah tentulah pihaknya merasa kecewa.

"Kerajaan telah menandatangani CEDAW dan meminda perlembagaan untuk mengharamkan diskriminasi jantina pada tahun 2001, dan ia secara nyata membuat komitmen kepada masyarakat antarabangsa dan khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mendukung piawaian antarabangsa mengenai kesaksamaan gender," katanya.

Sebaliknya, kata Boon, kerajaan perlu menerima keputusan itu, maju ke depan dan memastikan tiada kes-kes seperti ini berlaku. - Malaysiakini

28 January 2012

Hasan tidak perlu masuk Umno

SHAH ALAM - Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membayangkan tidak ada keperluan bekas Exco Kerajaan Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali bersama parti itu sekiranya mahu terus aktif berpolitik.

Katanya, adalah lebih baik Hasan berjuang dengan caranya sendiri kerana beliau percaya tokoh motivasi itu mempunyai kekuatan sendiri."Kekal lah dalam kepompong sekarang, lebih baik berada di luar Umno dan juga luar Pas.

Beliau boleh membawa agenda yang beliau rasakan sesuai dengannya.

"Hasan ada kekuatannya, jika hendak berterusan berpolitik bertandinglah dengan kerusi bebas," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas melawat Karnival Karangkraf 2012, semalam.

Hasan sebelum ini dipecat daripada Pas berikutan kenyataannya berterusan mengecam parti dan Pakatan Rakyat (PR) dimana keputusan dilakukan selepas Pas Pusat mengadakan musyawarah.

Dalam satu kenyataan, Pas menjelaskan, pemecatan itu dibuat berdasarkan Fasal 82(9) dan setelah mempertimbangkan segala pandangan yang diberikan oleh ahli-ahli jawatankuasa Pas Pusat.

Keputusan tersebut dibuat berdasarkan kepada tindakan-tindakan Hasan yang menyalahi dan merugikan kepentingan parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Pas.

Menurut Ahmad Zahid, beliau sudah ada jenama sendiri yang mampu berjuang dengan namanya itu.

"Beliau boleh memberikan pendapat yang lebih profesional dengan berada di luar Pas," katanya.

Hasan Ali kini aktif sebagai penceramah Sekretariat Perhimpunan Sejuta Umat (Himpun) dalam usaha membendung orang Islam daripada terpesong akidah. - Sinar Harian

* PAS pecat, Umno tolak...

Anwar tak risau ugutan Datuk T

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak risau dengan ugutan terbaru Datuk T untuk mendedahkan satu lagi video seks yang didakwa membabitkannya.

Bercakap di majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina di Pulau Pinang di
Seberang Jaya hari ini, Anwar mendakwa ketiga-tiga anggota trio Datuk T digunakan oleh Umno yang tidak boleh menerima keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Januari lalu yang membebaskan beliau daripada tuduhan liwat.

Anggota trio Datuk T ialah ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, bekas bendahari PERKASA Datuk Shuib Lazim dan bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik.

Apabila ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap trio Datuk T yang terus menerus mencemarkan imej beliau, Anwar sebalik bertanya siapakah mereka itu dan adakah mereka boleh dipercayai.

Katanya, pemimpin Umno tidak tidak berani berdepan dan berdebat mengenai dasar-dasar, tetapi lebih suka bersembunyi di sebalik trio Datuk T.

Semalam, 'Trio Datuk T' yang menayangkan video seks yang mereka dakwa pelakunya adalah ketua umum PKR itu, mencabar Anwar membuktikan yang mereka salah atau berdepan dengan satu lagi pendedahan video yang "lebih dahsyat".

Dalam laporan muka depan akhbar harian berbahasa Melayu - Utusan Malaysia - Shuib berkata video baru itu dirakamkan pada 12 dan 13 Januari tahun lalu di Thailand.

Shuib berkata beliau sendiri telah menonton rakaman video ini selepas diberikan oleh seorang lagi anggota trio Datuk T, Shazryl Ekay.

Shuib menambah Anwar perlu segera menyaman Trio Datuk T, jika mana-mana penganalisis forensik antarabangsa boleh membuktikan bahawa pelaku dalam video seks pertama yang didedahkan Mac lalu, adalah bukan Anwar. - Malaysiakini

21 ponteng solat, lepaskan gian di ladang

POKOK SENA - Tindakan 21 lelaki sanggup ponteng solat Jumaat semata-mata melepaskan gian di ladang kelapa sawit mengundang padah apabila kumpulan penagih dadah berkenaan berjaya diberkas polis.

Dalam operasi selama lapan jam bermula pukul 6.30 pagi itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar yang diketuai Asisten Superintendan Muhammad Safuan Abdul Rashid menahan semua suspek berusia 20 hingga 50 tahun.

Kumpulan penagih dipercayai penduduk setempat dan kawasan sekitar itu dipercayai sanggup ponteng solat Jumaat untuk melakukan aktiviti berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Adzaman Mohd Jan berkata, suspek yang bekerja kampung itu disyaki menagih heroin dan mendapat bekalan dari kawasan berdekatan.

“Kita percaya ladang kelapa sawit di Kampung Pokok Pauh ini dijadikan sarang kegiatan itu sejak sebulan lalu dan serbuan dibuat hasil maklumat awam serta risikan selama dua minggu.

“Selain itu kita turut merampas 18 buah motosikal dan pemeriksaan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti status kenderaan itu sama ada curi atau sebaliknya,” katanya kepada media, di sini, semalam.

Difahamkan kumpulan berkenaan menjalankan aktiviti penagihan di bawah pokok kelapa sawit dan sehelai tikar getah turut diletakkan di bawah pokok kelapa sawit sebagai tempat mereka berehat.

Menurut Adzaman, serbuan itu bagi mengelakkan penularan aktiviti penagihan dadah di kawasan tersebut selain untuk mengurangkan kegiatan curi motosikal serta getah sekerap di kawasan ini.

“Siasatan awal mendapati separuh daripada kumpulan lelaki terbabit merupakan penagih berulang yang melebihi tiga kali. Siasatan dijalankan bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Din Jusoh, 65, berkata, kumpulan penagih terbabit sering berpindah lokasi bagi mengelak ditangkap pihak berkuasa.

“Sekiranya ada pekerja di ladang masuk ke tempat ini mereka akan berpindah ke tempat lain,” katanya.

Penduduk, Mohd Khairul Zulkifli, 18, berkata, kelompok penagih itu masuk ke ladang secara berperingkat bermula sebelah pagi dan berkumpul sehingga 7 petang.

“Mujur golongan muda kampung ini tidak terlibat kerana mereka lebih gemar dengan aktiviti bermain bola sepak,” katanya.

Sinar Harian pada 22 Januari lalu melaporkan, polis menahan seramai 33 penagih termasuk pengedar dadah yang sedang melepas gian di bangsal kayu berhampiran ladang kelapa sawit di Kampung Menerung, Mukim Derang, Pokok Sena.

Polis kemudian berjaya menumpaskan modus operandi sama yang menjadikan ladang kelapa sawit di Kampung Pokok Pauh di sini pula sebagai sarang penagih iaitu kira-kira 20 kilometer dari Kampung Menerong. - Sinar Harian

'Video seks 2.0: Satu lagi percubaan cemarkan Anwar'

Laporan muka depan di akhbar Utusan Malaysia milik Umno semalam yang memetik salah seorang anggota Trio 'Datuk T' mengenai video seks baru yang didakwanya membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah merupakan satu lagi percubaan untuk mencemarkan reputasi ketua pembangkang itu, kata Naib Presiden PKR, N Surendran.

Katanya, kenyataan Datuk Shuib Lazim yang juga bekas bendahari PERKASA, dalam Utusan Malaysia adalah satu percubaan yang jelas untuk meletakkan asas bagi video seks baru yang direka bertujuan untuk mencemarkan reputasi Anwar.

"Kami menjangkakan lebih banyak pita lucah seumpama itu akan direka dan diedarkan memandangkan pilihan raya umum ke-13 semakin hampir," kata Surendran berkata dalam satu kenyataan lewat semalam, sambil mendakwa ia adalah taktik "kotor dan tidak bertamadun" Umno dan BN.

Mac tahun lalu, Trio 'Datuk T' - Shuib, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik - telah menayangkan kepada wartawan di Kuala Lumpur sebuah video aksi seks seorang lelaki yang mirip Anwar dengan seorang wanita.

Anwar telah membuat laporan polis menafikan yang beliau adalah lelaki dalam video tersebut, manakala trio Datuk T didapati bersalah menayangkan bahan pornografi di khalayak ramai.

Mengenai cabaran Shuib supaya Anwar membuktikan yang mereka salah melalui ujian forensik atau berdepan dengan satu lagi pendedahan video yang "lebih dahsyat", Surendran menyifatkannya sebagai satu taktik "yang memalukan dan terdesak" Umno.

Semalam, 'Trio Datuk T' mencabar Anwar membuktikan yang mereka salah atau berdepan dengan satu lagi pendedahan video yang "lebih dahsyat".

Dalam laporan muka Utusan Malaysia itu, Shuib dilaporkan berkata video baru itu dirakamkan pada 12 dan 13 Januari tahun lalu di Thailand.

Shuib berkata beliau sendiri telah menonton rakaman video ini selepas diberikan oleh seorang lagi anggota trio Datuk T, Shazryl Ekay.

Shuib menambah Anwar perlu segera menyaman Trio Datuk T jika mana-mana penganalisis forensik antarabangsa boleh membuktikan bahawa pelaku dalam video seks pertama yang didedahkan Mac tahun lalu, adalah bukan Anwar. -

* Bagaimana Umno boleh biarkan penyebar video lucah ini berterusan merosakkan umat Islam. Oh lupa...Umno parti LUCAH, RASUAH, dan FITNAH...

Aziz Bari: Saya terpaksa terjun dunia politik

SHAH ALAM – Setelah hampir sebulan meletakkan jawatan sebagai pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, Prof Dr Abdul Aziz Bari (gambar) berkata, beliau terpaksa terjun ke dunia politik kerana tiada pilihan.

Menurutnya, penyertaannya dalam politik adalah "terpaksa" setelah menyedari haknya sebagai ahli akademik dinafikan, selain mendapat tekanan daripada pihak tertentu.

“Saya dilatih sebagai ahli akademik, bukan dipilih untuk jadi ahli politik dalam konteks sekarang ini. Saya bukan memilih bidang profesion berpolitik itu. Saya terpaksa, seolah- olah dicampak dalam dunia politik.

"Saya dipaksa dan terpaksa memilih jalan politik kerana tidak boleh berfungsi sebagai ahli akademik. Orang melihat saya dan tidak boleh menerima kita memberi pandangan berkaitan perkembangan semasa di mana semuanya dianggap politik.

"Oleh itu, apa pilihan yang saya ada?” katanya kepada Sinar Harian selepas Wacana Sinar Siri ke-10 anjuran Kumpulan Media Karangkraf, semalam.

Bagaimanapun, Aziz bersikap terbuka jika ditawarkan menjadi calon dalam pilihan raya umum akan datang.“Spekulasi akan bertanding mana- mana kerusi akan ada kerana kini saya sudah tidak bekerja.

“Dalam hal ini saya terbuka dan sebagai rakyat Malaysia saya boleh buat apa yang difikirkan sesuai dan tidak melanggar undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini sudah banyak parti politik yang menawarkannya bertanding atas tiket parti masing-masing.

“Saya sudah sebut banyak kali, Pas, DAP dan PKR banyak kali melamar saya menjadi calon pilihan raya. Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk membuat keputusan. Dewan pun belum bubar.

“Saya terpaksa sesuaikan juga kawasan mana yang nak bertanding, kerusi siapa dan adakah yang dibawa sesuai dengan apa yang saya pegang,” katanya.

Katanya, beliau kini sedang meneliti parti mana yang sesuai dengan perjuangan yang hendak dibawa dalam politik.

“Kalau hendak terlibat dalam politik, saya pastikan idea saya diterima, kalau katakan tidak seratus peratus pun sebahagian besar yang kukuh dan boleh diterima.

“Pada saya bertanding dalam pilihan raya ini sebagai satu ruang perjuangan. Kalau soal nak cari makan, saya rasa tak perlu, saya sudah bersara awal,” katanya. - Sinar Harian

MB Kedah: Orang luar jangan campur urusan Kuin

ALOR SETAR - Orang luar tidak perlu masuk campur urusan pentadbiran Kerajaan Negeri termasuk isu Kolej Universiti Insaniah (Kuin) kerana pihaknya lebih tahu situasi yang berlaku berbanding pihak-pihak lain.

Mengulas gesaan Prof Dr Abdul Aziz Bari, Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, sepatutnya, pakar perlembagaan itu lebih mengetahui selok-belok undang-undang dan keputusan mahkamah dan oleh itu, tokoh akademik berkenaan tidak sepatutnya mempersoalkan tindakan pengurusan Kuin menggantung lima pelajarnya.

“Kita tidak akan layan segala desakan untuk menarik balik keputusan yang sudah dibuat. Lagipun isu ini sudah lama,” kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Azizan diminta mengulas kenyataan Aziz dalam Wacana Sinar Harian kelmarin yang mencadangkan Pakatan Rakyat (PR) mengambil tindakan terhadap Azizan kerana menggunakan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) untuk menggantung enam pelajarnya sedangkan perikatan itu mendesak akta tersebut dimansuhkan.

Sebelum ini, dalam perbicaraan pada 25 Mei lalu, enam pelajar kolej universiti itu digantung pengajian dan seorang dikehendaki membayar denda.

Mohd Faiz Mohd Arshad digantung dua semester manakala Muhamad Aiman Che Abd Razak, Zukhilatif Marzuki, Mohd Azlan Mat Zain dan Ahmad Remi Mohd Arof digantung satu semester dan diberi surat amaran.

Seorang lagi, Mohamad Farhan Mohamad Baharin juga diberi surat amaran dan didenda RM100.

Mereka didakwa mengikut kesalahan di bawah Auku kerana menyertai demonstrasi, memberi ucapan di hadapan orang ramai menggunakan pembesar suara di sudut pidato dan mengadakan sidang media.

Mereka didapati terlibat dalam demonstrasi bertujuan menyatakan bantahan terhadap pembinaan Sekolah Insan Bestari.

Azizan yang juga Pengerusi Kuin turut menganggap kes enam pelajar terbabit selesai setelah mereka dikenakan tindakan tata tertib termasuk digantung pengajian manakala seorang lagi dikehendaki membayar denda.

"Kita tidak mahu melayan sebarang isu itu kerana mahkamah sudah menetapkan hukuman setimpal ke atas pelajar terbabit. - Sinar Harian

* Selepas ini, PAS perlu memilih betul-betul calon MB...

(Video) Newsflash: Anwar Ibrahim Di Dengkil 27/01/2012



Video baru 'Datuk T': Saya tak tahu, kata Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau tidak tahu menahu mengenai satu video baru yang didakwa melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ditanya dalam sidang media lewat malam ini selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di PWTC, Najib juga berkata perkara itu sepatutnya ditanya kepada Datuk T yang membuat dakwaan itu.

"Saya tak tahu, kena tanya dialah, jangan tanya saya," katanya.

Ditanya sekiranya beliau telah menonton video tersebut, Najib juga berkata beliau tidak tahu.

"Saya tak tahu. Saya tak ada makluman... Pasal video (pula) tengah-tengah malam ini," katanya lagi yang ketawa besar.

Semalam, 'Trio Datuk T' yang menayangkan video seks yang mereka dakwa pelakunya adalah ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mencabar Anwar membuktikan yang mereka salah atau berdepan dengan satu lagi pendedahan video yang "lebih dahsyat".

Dalam laporan muka depan akhbar harian berbahasa Melayu - Utusan Malaysia - salah seorang anggota Trio 'Datuk T, yang juga bekas bendahari PERKASA, Datuk Shuib Lazim (kanan), berkata video baru itu dirakamkan pada 12 dan 13 Januari tahun lalu di Thailand.

Shuib berkata beliau sendiri telah menonton rakaman video ini selepas diberikan oleh seorang lagi anggota trio Datuk T, Datuk Shazryl Ekay Abdullah.

Shuib menambah Anwar perlu segera menyaman Trio Datuk T, termasuk bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, jika mana-mana penganalisis forensik antarabangsa boleh membuktikan bahawa pelaku dalam video seks pertama yang didedahkan Mac lalu, adalah bukan Anwar. - Malaysiakini

* "Saya tak mahu tahu apa yang engkau lakukan. Apa yang saya mahu Anwar dihancurkan"...

Batu zamrud sudah dipotong terbesar dunia dilelong

KELOWNA, British Columbia - Seketul batu zamrud yang seberat 11.5 kilogram (kg) dan bernama Teodara akan dilelong pada minggu ini.

Batu zamrud yang bersamaan dengan berat 57,500 karat itu ditemui di sebuah lombong di Brazil dan telah dipotong menjadi seperti bentuk buah tembikai di India.

Ia akan dilelong di sini, Kanada pada hari ini.

Batu zamrud tersebut dijangka dilelong di antara AS$2 juta (RM6.07 juta) dan AS$2.5 juta (RM7.59 juta).

Selepas dipotong, ia menjadi milik seorang pemborong Regan Reaney yang membelinya pada 13 Januari lalu.

Sejumlah orang melihat batu zamrud itu semasa ia dipamerkan di Rumah Lelongan Western Star di sini. - Agensi

27 January 2012

3 lelaki, ibu tunggal ditahan

KULIM - Tiga remaja lelaki berusia 16, 17 dan 19 ditahan orang awam ketika sedang melakukan perbuatan sumbang bersama seorang ibu tunggal berusia 22 di tahun di padang permainan di Taman Desa Impiana, kira-kira jam 3.15 pagi semalam.

Saksi yang enggan namanya disiarkan berkata, dia ternampak suspek terlibat menunggang tiga motosikal berasingan dan mengekori mereka dari Taman Alma Jaya sehingga ke Taman Selasih.

“Perlakuan mereka mencurigakan apabila berlegar di sekitar kawasan perumahan. Mereka kemudiannya melarikan diri apabila ternampak Unit Peronda MPV Polis yang sedang membuat rondaan.

“Kira-kira jam 2 pagi, mereka berhenti di kedai makan. Apabila selesai makan, mereka berlegar sekali lagi di kawasan Taman Selasih sebelum berhenti di padang permainan di Taman Desa Impiana.

Menurutnya, dia kemudiannya membuat pemantauan dari jauh dan mendapati dua remaja lelaki bersama seorang remaja perempuan masuk dalam lubang papan luncur di taman permainan itu manakala seorang lagi berada di luar.
“Saya kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada Polis Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Kulim untuk tindakan lanjut, ” katanya.

Dari pemeriksaan dijalankan, polis mendapati mereka tinggal di sekitar kawasan Kulim dan Permatang Pauh. Polis turut menemui senjata buku lima buatan sendiri dalam beg galas yang dibawa salah seorang remaja yang ditahan.
Selain itu, terdapat kesan lebam di leher sebelah kanan ibu tunggal berkenaan.

Mereka kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kulim untuk diambil keterangan sebelum diserahkan kepada Penguat kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK).

Ketua Penguat kuasa PADK, Azmi Rejab berkata, semua remaja lelaki terlibat tidak bersekolah manakala ibu tunggal yang ditahan bekerja di kantin kilang di Perai.

“PADK sudah mengambil keterangan semua suspek dan kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 9 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988. Jika sabit kesalahan, setiap suspek boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

“Mereka dibebaskan dengan ikat jamin RM500 setiap seorang dan diarahkan hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kulim pada tarikh ditetapkan. Sekiranya gagal berbuat demikian, waran tangkap akan dikeluarkan terhadap mereka,” katanya. - Sinar Harian

Abang Bangladesh dicekup khalwat

AMPANG - Berperwatakan menarik, hidung pula mancung bak pelakon ternama Bollywood! Mungkin itulah persona dimiliki seorang lelaki warga Bangladesh sehingga membuatkan wanita tidak keruan.

Berbekalkan kelebihan yang ada, daya penarik itulah digunakan untuk memikat kaum hawa tanpa mengira status mangsa sama ada bujang atau isteri orang.

Malangnya, hubungan terlarang pastinya tidak berpanjangan dan itulah yang berlaku kepada pasangan kekasih di sebuah hotel bajet di sini, awal pagi semalam.

Hubungan intim seorang wanita warga Indonesia berstatus isteri orang dengan seorang warga Bangladesh sejak enam bulan lalu hingga terlanjur ke bilir tidur berakhir selepas dicekup penguat kuasa agama.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, wanita berusia 34 tahun dan teman lelakinya berusia 30 tahun itu hanya memakai tuala ketika penguat kuasa Jabatan Agama Islam (Jais) dan Pegawai Masjid Al-Azim Pandan Indah menyerbu bilik hotel berkenaan.

Pegawai Masjid Al-Azim, Ahmad Nawi Osman berkata, wanita yang bekerja sebagai pembantu rumah itu berkenalan dengan lelaki terbabit yang bekerja sebagai kontraktor mengubah suai rumah majikan wanita berkenaan.

“Difahamkan wanita yang mempunyai empat anak itu lari daripada majikannya, manakala suaminya tinggal di Indonesia bersama anak mereka,” katanya.

Di hotel berasingan, seorang ahli perniagaan dicekup bersama seorang pelajar yang menuntut di salah sebuah kolej di Ipoh, Perak.

Ahmad Nawi berkata, duda berusia 42 tahun bersama wanita yang berusia 28 tahun itu berpakaian lengkap ketika ditahan.

Kedua-dua pasangan terbabit ditahan mengikut Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika disabit kesalahan boleh di denda sebanyak RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali. - Sinar Harian

Anwar tetap mahu debat dengan Najib

SABAK BERNAM – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan idea berdebat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagaimana disarankan oleh Merdeka Center berdasarkan penemuannya baru-baru ini.

Sehubungan itu kata Anwar, debat yang disyorkan wajar bagi menjawab persoalan-persoalan yang ditimbulkan terhadap Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).

“Masing-masing buat tuduhan, kita tuduh Barisan Nasional rasuah dan gagal tadbir negara, BN tuduh kita tidak tahu urus ekonomi, tuduh Anwar jadi alat DAP, masing-masing ada pendekatan dan kita cadang debat.

“Apa yang kita sebut, kita pertahankan, itu sebabnya kita perlu debat. Insya-Allah kita menang dan dapat tawan Putrajaya,” kata beliau pada Program Mesra Rakyat Bersama Penasihat Ekonomi Selangor di Stadium Sabak Bernam di sini, semalam.

Hadir sama dalam siri ceramah itu Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin; pakar perlembagaan, Prof Dr Aziz Bari; Ahli Dewan Undangan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim dan Yang Dipertua Pas Sabak Bernam yang juga Timbalan Pesuruhjaya II Pas Selangor, Sallehen Mukhyi.

Ketika dihubungi Sinar Harian Online awal minggu ini, Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian berkata Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang wajar mengadakan satu debat terbuka berkenaan dasar dan pendekatan kerajaan menguruskan negara.

Menurut Ibrahim, maklumat yang dikumpulkan hasil perbincangan kumpulan berfokus melibatkan profesional-profesional Melayu menunjukkan, mereka berminat untuk melihat satu debat membabitkan kedua-dua pemimpin berkenaan.

"Maklumat ini, kami peroleh hasil perbincangan dengan kumpulan profesional Melayu baru-baru ini, mereka mahu kedua-dua Anwar dan Najib mengadakan debat, membincangkan isu-isu yang besar, isu rakyat dan isu negara... bukannya isu-isu peribadi tetapi lebih kepada kepentingan rakyat.

"Saya nampak seolah-olah ada satu perubahan dalam kehendak dan keinginan di kalangan rakyat, mereka mahu satu budaya baru, diadakan debat (seperti di negara-negara lain), daripada kempen memburuk-burukkan satu sama lain," kata Ibrahim.

Bagaimanapun, dalam reaksinya Umno berpendapat bahawa cadangan debat terbuka antara Najib dan Anwar bagi membincangkan beberapa isu dianggap tidak sesuai untuk dilaksanakan.

Dalam reaksinya semalam, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, debat antara Najib dan Anwar tidak perlu diadakan kerana tidak mengubah pendirian masing-masing.

Sementara itu, PKR mengalu-alukan idea agar diadakan satu debat terbuka antara Najib dan Anwar kerana pendekatan sedemikian perlu bagi menyuburkan budaya membahas dan membincangkan isu-isu menyentuh kepentingan rakyat dari semasa ke semasa secara konstruktif, membabitkan pemimpin-pemimpin negara.

Dalam ceramahnya malam tadi, Anwar juga mengulangi janji yang dibuat sekiranya dapat menawan Putrajaya.

"Hari ini kita tawan Putrajaya, esok harga minyak turun. Dua minggu selepas kita tawan Putrajaya, kita akan minta cara untuk turunkan kadar elektrik,” katanya.

“Rakyat mampu membuat pilihan, BN pernah perintah Selangor, PR masuk empat tahun perintah Selangor dan rakyat perlu diberikan peluang untuk membuat pilihan," kata Anwar lagi.

Anwar yang juga Ketua Umum PKR memberitahu, derita rakyat perlu diatasi begitu juga dengan rasuah dan penindasan.

"Sebab itulah kita kata rakyat ada pilihan. Rakyat mesti bangkit tentukan masa depan mereka,” katanya. - Sinar Harian

* Anwar adalah ahli pidato yang sungguh hebat. Najib tak akan mampu berhadapan dengan beliau...

Tonto serang penguat kuasa

DUYONG – Sekumpulan samseng bertindak kurang ajar apabila menyerang anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang sedang melakukan operasi di sebuah kafe siber dekat Taman Seri Duyung, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 11.45 malam itu, kumpulan seramai hampir 30 orang itu dipercayai tonto dan rakan kepada pengusaha siber kafe yang disyaki menjalankan kegiatan perjudian berkomputer tanpa lesen sejak empat hari lalu.

Akibat serangan itu, empat anggota penguat kuasa cedera dibelasah termasuk seorang daripadanya parah akibat ditikam di lengan.

Mangsa yang parah dikenali sebagai Azizan Abbas, 26, yang mengalami luka sepanjang kira-kira 12.7 sentimeter di lengan kanannya selepas ditikam menggunakan pisau Rambo oleh seorang suspek.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Melaka, di sini dan kini dirawat manakala, empat lagi anggota penguat kuasa yang cedera mendapat rawatan pesakit luar.

Akibat serangan itu juga, anggota penguat kuasa terpaksa mengeluarkan kembali sejumlah komputer yang disita dan diletakkan di dalam van penguat kuasa untuk mengelak tindakan lebih ganas.

Difahamkan, sebuah van MBMB yang digunakan dalam operasi berkenaan turut dipecah suspek.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, semasa kejadian, pergelutan berlaku selepas kesemua penguat kuasa terbabit selesai menyita komputer dan membawa keluar dari premis berkenaan.

"Polis sudah mengenal pasti kumpulan yang terbabit dalam kejadian itu dan siasatan serta tindakan lanjut akan diambil," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Negeri, di Bukit Beruang, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, Kes terbabit kini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyerang menggunakan senjata.

“Polis nasihatkan supaya mana-mana Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang ingin menjalankan operasi supaya mendapatkan kerjasama serta bantuan polis untuk keselamatan mereka,” katanya. - Sinar Harian

* Tonto ini seolah-olah menganggap polis Malaysia lemah...

Syed Husin saman Utusan, Zul Noordin RM10j

Bekas timbalan presiden PKR Senator Syed Husin Ali hari ini memfailkan saman fitnah RM10 juta terhadap ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin dan Utusan Melayu (M) Berhad.

Saman tersebut berhubung tulisan Zulkifli dalam blognya yang mendakwa Syed Husin pernah berjumpa untuk menawarkan supaya mengosongkan kerusinya.

Turut dinamakan dalam saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini, ialah ketua pengarang kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak.

Writ saman tersebut difailkan pagi ini melalui firman guaman Tetuan M/s Edwin Lim Suren dan Soh.

Saman itu difailkan ekoran penyiaran artikel oleh Utusan Malaysia
bertajuk "Zul Noordin nafi dakwaan Syed Husin" dan satu posting dalam blog oleh Zulkifli.

Tulisan dalam blog itu, yang turut disiarkan oleh Utusan Malaysia, mendakwa Syed Husin berjumla dengan Zulkifli dan meminta ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu itu mengosongkan kerusinya.

Jika beliau berbuat demikian, Zulkifli akan ditawarkan jawatan dalam anak syarikat milik kerajaan Selangor oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan imbuhan bulanan antara RM50,000 dan RM60,000 sebulan.

Zulkifli juga mendakwa dalam tulisan blog tersebut bahawa Anwar menjanjikan pampasan yang sama kepada Syed Husin sekiranya beliau mengosongkan kerusi timbalan presiden untuk memberi laluan kepada Azmin Ali. - Malaysiakini

Datuk T dakwa ada satu lagi video 'lebih dahsyat'

Trio 'Datuk T' yang menayangkan video seks yang mereka dakwa pelakunya adalah ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini mencabar Anwar membuktikan yang mereka salah atau berdepan dengan satu lagi pendedahan video yang "lebih dahsyat".

Dalam laporan muka depan akhbar harian berbahasa Melayu - Utusan Malaysia - salah seorang anggota Trio 'Datuk T, yang juga bekas bendahari PERKASA, Datuk Shuib Lazim (kanan), berkata video baru itu dirakamkan pada 12 dan 13 Januari tahun lalu di Thailand.

‘‘Saya sendiri telah menonton rakaman video ini selepas diberikan oleh Datuk Eskay. Saya percaya Datuk Eskay sedia membuat pendedahan mengenai rakaman video ini di dalam mahkamah jika Anwar bertindak menyaman kami," katanya, merujuk kepada seorang lagi anggota trio Datuk T, Datuk Shazryl Ekay Abdullah.

‘‘Cuba periksa pasportnya di manakah Anwar berada pada ketika itu. Cuba tanya isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di mana Anwar pada masa itu,’’ katanya lagi.

Shuib menambah Anwar perlu segera menyaman Trio Datuk T, termasuk bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, jika mana-mana penganalisis forensik antarabangsa boleh membuktikan bahawa pelaku dalam video seks pertama yang didedahkan Mac lalu, adalah bukan Anwar.

Video itu yang mula-mula ditayangkan kepada wartawan, menunjukkan seorang lelaki mirip Anwar melakukan aksi seks dengan seorang wanita.

Anwar telah membuat laporan polis menafikan yang beliau adalah lelaki dalam video itu, manakala trio Datuk T didapati bersalah menayangkan bahan pornografi di khalayak ramai. - Malaysiakini

* Pastikan kali ini bukan hitam putih...

Bekas perunding NFCorp hadapi tuduhan baru

KLANG - Bekas perunding National Feedlot Corporation (NFCorp), Datuk Shamsulbahrin Ismail berhadapan dengan dua tuduhan baru hari ini - melakuan penipuan wang pelaburan RM90,000 milik seorang pemandu teksi dua tahun lalu.

Biarpun masih terlantar di hospital, prosiding ke atas bapa kepada empat anak itu diteruskan dengan kehadiran majistret ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah.

Shamsubahrin, 46, mengaku tidak bersalah menipu seorang pemandu teksi Limat Jonit, 57, untuk membuat pelaburan bernilai RM90,000 dalam syarikat yang diketahuinya tidak wujud.

Perbuatan itu didakwa mendorong Limat untuk memasukkan sejumlah wang itu ke dalam akaun bank milik peribadinya.

Pendakwaan di depan Majistret Hurman Hussain, dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Elya Edzrin Mohd Roslan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh didenda, jika sabit kesalahan. Hadir sama di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, peguam S Surendran dan Lateefa Koya, serta Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Ketika pertuduhan dibacakan oleh Hurman, Shamsubahrin kelihatan tenang.

Hurman membenarkan Shamsubahri diikat jamin RM9,000 dan menetapkan 27 Februari depan untuk sebutan serahan dokumen di Mahkamah Majistret.

Tidak sampai 30 minit prosiding pertama berlalu, Shamsubahrin didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan iaitu menipu orang awam untuk menyediakan pembantu rumah tempatan membabitkan wang sebanyak RM13,000.

Pada 30 Disember lalu, dia mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan menipu Pengerusi NFCorp Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail.

Shamsulbahrin didakwa mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ketika itu.

Bagi pertuduhan pertama, Shamsubahrin didakwa menipu Mohamad Salleh iaitu dengan sengaja menjanjikan suatu perkhidmatan rundingan dan nasihat bertujuan memperdayakannya sehingga mendorongnya bersetuju membayar wang perkhidmatan kepadanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Samsubahrin Resources Sdn Bhd itu didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Bukit Tunku di ibu negara pada jam 6 petang 20 November lepas.

Bagi pertuduhan kedua pula, Shamsubahrin didakwa menipu Mohamad Salleh dengan memperdayanya hingga mendorong beliau menyerahkan cek-cek berjumlah RM1.755 juta.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Lelaki yang memiliki beberapa syarikat termasuk perkhidmatan limosin itu direman oleh polis dan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas ditahan pada 22 Disember. - Sinar Harian

* Peliknya pendakwaan ini berlaku selepas pendedahan penyelewengan NFC. Adakah ini yang dikatakan oleh Anwar undang-undang kuno yang mengenakan orang yang perlu dikaji semula...

Juruterbang didenda khalwat isteri orang

SUBANG - Seorang juruterbang dan seorang suri rumah dihukum denda masing-masing RM2,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam selepas mereka mengaku bersalah berkhalwat di sebuah rumah di Tropicana Golf Resort di sini, Mei lalu.

Juruterbang, Mohd Zafrie Mohd Jasbir Khan, 30, dan pasangannya, Nur Sarah Euzen Petrus, seorang suri rumah yang berstatus isteri orang semasa kejadian turut diperintahkan menjalani hukuman penjara selama dua bulan, sekiranya mereka gagal membayar denda tersebut.

Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Mohamad turut menasihatkan kedua-dua pasangan itu supaya insaf dan tidak mengulangi kesilapan sama.

“Insaf bukan terletak kepada pakaian sahaja. Datang mahkamah pakai tutup aurat, pakai kopiah tapi kalau dalam hati tak insaf tak guna juga.

“Tertuduh kedua (Nur Sarah), kamu masih ada suami yang sepatutnya kamu taati. Tetapi kamu telah menderhaka kepada suami. Sepatutnya kamu wajar dipenjarakan, tetapi atas ehsan mahkamah, kamu dijatuhi hukuman denda,” katanya.

Pasangan itu didakwa berkhalwat di sebuah rumah di Blok K, Kondo Riana Green, Jalan PJU 3/1C, Tropicana Golf Resort di sini, kira-kira jam 4 pagi, 16 Mei lalu.

Pendakwaan terhadap mereka dikendalikan Pendakwa Syarie, Shafezan Rosli mengikut Seksyen 29 (1) (a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Shafezan ketika mengemukakan fakta kes berkata, pasangan itu ditangkap penguat kuasa yang membuat pemeriksaan ke rumah itu selepas mendapat maklumat awam.

Penguat kuasa mengambil masa lebih 40 minit untuk mendapatkan kerjasama penghuni sehingga memaksa mereka memecahkan pintu hadapan.

Pasangan itu ditemui dalam rumah berkenaan yang tidak memasang lampu. - Sinar Harian

MP: Hasan akan jadi 'budak suruhan' dalam 'kuasa ketiga'

Timbalan pesuruhjaya II PAS Selangor, Khalid Samad berkata bekas ketuanya, Datuk Dr Hasan Ali hanya akan menjadi "budak suruhan" dalam Umno apabila berjinak-jinak dalam kem "kuasa ketiga" – kumpulan yang dikatakan akan meraih sokongan pengundi penentu dalam pilihan raya akan datang.

Sambil menyifatkan 'kuasa ketiga' itu sebagai hanya "rekaan romantis" untuk kepentingan BN, Khalid (kiri) yang juga ahli parlimen Shah Alam berkata, ia hanya akan menjadi "pengacau" apabila calon dari kem Pakatan Rakyat berdepan dengan calon BN dalam pilihan raya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Hasan dalam satu program wawancara di TV3, Rabu lalu yang antara lainnya mengupas mengenai gerakan kuasa ketiga yang bakal disertai bekas exco Selangor itu.

Hasan dalam program tersebut juga berkata, beliau tidak merangka untuk bergerak ke peringkat bertanding dalam pilihan raya, namun usaha melalui gerakan kuasa ketiga itu telahpun dimulakan oleh "teman-teman" yang tidak dinyatakannya.

Hasan juga berkata jenama kuasa ketiga itu masih belum ditentukan, namun beliau akan bergabung dengan wakil rakyat bebas yang lain, dengan menawarkan manifesto bersama walaupun tidak mempunyai parti sendiri.

Mengulas kenyataan itu, Khalid berkata, beliau juga tertanya-tanya siapakah lagi yang masih menyokong ADUN Gombak Setia itu, terutamanya di dalam PAS.

"Kalau dia ramai teman-teman yang sokong dia, seharusnya dia dapat pencalonan untuk jadi calon di Gombak Setia," kata Khalid lagi.

Tambahnya, Hasan juga sebelum ini termasuk dalam senarai 'top five' dalam senarai 18 pemimpin tertinggi untuk bertanding dalam jawatankuasa PAS pusat.

"Dalam pemilihan tahun lepas, dia turun ke nombor dua tercorot. Kalau betul ramai sokong dia, kenapa perkara itu berlaku? Sepatutnya dialah yang dapat undi paling banyak," katanya lagi.

Dalam pemilihan parti pada 3 Jun itu, Hasan (kanan) berjaya merebut keanggotaan dalam jawatankuasa pusat dengan kedudukan di tangga ke-16, dengan kemenangan tipis 437 undi.

Khalid juga mendakwa, Hasan bukan saja telah "mengelilingi diri dengan orang Umno" selepas Mac 2008, malah turut mengenepikan orang PAS yang banyak membantu beliau ketika kempen pilihan raya.

"Dia tidak manfaatkan (kerjasama) team PAS. Dia tidak ambil orang PAS untuk berada di keliling dia, tapi dia dikelilingi orang Umno, lebih-lebih lagi semenjak dia tak dilantik jadi menteri besar.

"Orang yang kerja keras semasa pilihan raya 2008, lepas menang tiada lagi (bersama Hasan). Itulah antara sebab dia tak dapat pencalonan (bertanding di Gombak Setia)," katanya yang turut menjangkakan Hasan tidak akan merayu pemecatannya daripada PAS.

Hasan masih berpeluang sehingga 8 Februari untuk berbuat demikian.

Khalid berkata, penyokong dalam PAS juga sebelum ini masih bersimpati dengan Hasan selepas penceramah motivasi itu dikenakan tindakan penggantungan.

"PAS pun tak mahu pecat dia sebab kita sayang ahli kita. Kita nak selamatkan dia biar dia terus bersama PAS.

"Nampaknya dia dah tak mahu bersama walaupun telah diberi penjelasan. Semuanya bermula apabila dia tidak lagi jadi pesuruhjaya. Sebelum ini tak timbul masalah tapi bila tak jadi pesuruhjaya dia tak boleh terima.

"Mulalah dia buat perangai pelik-pelik, kemudian barulah (PAS) terpaksa pecat dia," kata Khalid lagi.

Khalid dan Hasan pada Januari 2010 sama-sama didapati bersalah oleh jawatankuasa disiplin – Hasan diberi amaran manakala Khalid dikenakan tindakan penggantungan jawatan sebagai timbalan yang dipertua PAS Shah Alam, serta keanggotaan dalam biro politik untuk tempoh enam bulan.

Hasan digugurkan daripada jawatan pesuruhjaya PAS Selangor pada Jun tahun lalu. Ketika itu, Hasan merupakan exco hal ehwal Islam, adat-adat Melayu, infrastruktur dan kemudahan awam Selangor.

Sementara itu, ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin (kiri) pula menjangkakan bahawa Hasan tidak akan dapat menarik ramai penyokong Pakatan dalam program jelajah dan ceramah yang akan dijalankannya.

Beliau juga yakin bahawa kuasa ketiga yang diuar-uarkan itu dibayangi pemimpin Umno, manakala gerakan itu pula diwujudkan untuk mendedahkan kelemahan dalam Pakatan.

Idea mengenai penubuhan kuasa ketiga itu kuat dikempen oleh media pro-BN, sebaik PAS bertindak memecat Hasan pada 8 Jan lalu – dengan mempromosi beberapa nama termasuk bekas ahli parlimen PKR, Datuk Zulkifli Noordin.

Hasan juga tampil dalam program wawancara di TV semenjak dipecat daripada PAS, seperti dalam siaran TV3 pada malam Rabu lalu.

"Rakyat telah matang untuk melihat pemimpin seperti ini kerana integriti dan kredibiliti mereka dipertikai," kata Shamsul ketika dihubungi Malaysiakini.

Katanya, masyarakat di negeri ini telah mula mengetahui bahawa isu bersabit Hasan bersifat "peribadi dan dendam kesumat."

"Itu akan menyebabkan Hasan Ali sukar tarik sokongan yang signifikan. Apatah lagi apabila dia dikelilingi orang yang ada krisis kredibiliti (dalam gerakan kuasa ketiga).

"Saya tak nampak dia popular, kecuali beberapa media yang kita maklum cenderung untuk beri laluan kepada beliau. Kerap kali sidang media (Hasan) diberikan siaran utama sama ada oleh TV1 dan TV3," katanya.

Menurutnya lagi, Pakatan juga tidak bimbang dengan program jelajah yang akan dijalankan Hasan dan strategi itu juga diyakininya tidak akan menjejaskan penyokongnya, terutama daripada PAS.

"Dia akan pergi ke semua kawasan parlimen di Selangor dan pastinya bertujuan untuk melemahkan Pakatan. Tapi di Gombak sendiri yang didokong oleh pemimpin seperti Azmin Ali dan Saari Sungib, bukan laluan mudah untuk Hasan Ali," katanya. - Malaysiakini

* Hasan Ali kuatkan Islam tidak tapi melemahkan Pakatan Rakyat...

Guru dijel 12 tahun, 7 sebatan

KOTA BHARU 26 Jan. - Seorang guru dihukum penjara 12 tahun dan sebatan tujuh kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana merogol serta mencabul muridnya yang berusia 12 tahun dalam makmal sains di sebuah sekolah di Pasir Puteh, dekat sini tiga tahun lalu.

Hakim Rofiah Mohamad menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Yek Hock Soon, 29, setelah didapati bersalah atas kedua-dua tuduhan tersebut.

Beliau menetapkan demikian setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan tersebut.

''Saya mengambil kira tentang kepentingan awam serta hubungan antara tertuduh dan mangsa iaitu sebagai seorang guru dan murid yang mana hubungan itu sepatutnya suci dan bertanggungjawab. Penting bagi badan perundangan membendung jenayah seperti ini.

''Dengan itu, saya menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan lima sebatan ke atas tertuduh bagi kesalahan merogol mangsa serta tiga tahun penjara dan dua sebatan bagi kesalahan mencabul. Hukuman dijalankan secara berasingan,'' katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, Hock Soon yang berasal dari Sitiawan, Perak didakwa merogol mangsa di makmal sains sebuah sekolah jenis kebangsaan di Pasir Puteh antara pukul 8 pagi dan 3 petang, awal bulan Ogos 2009.

Bagi kesalahan itu, bekas guru Bahasa Cina dan Sains itu didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan.

Hock Soon turut didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa tersebut dengan niat hendak mencabul kehormatannya di tempat sama pada pukul 12.15 tengah hari, 17 Ogos 2009.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan iaitu mencabul dan jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan.

Terdahulu, sebelum hukuman dijatuhkan, peguam Rosmizan Sulaiman yang mewakili tertuduh memohon hukuman yang ringan dikenakan kerana ia merupakan kesalahan pertama tertuduh.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atas tertuduh.

''Dalam kes ini, mangsa merupakan anak murid tertuduh sendiri dan kejadian berlaku di sekolah. Tertuduh mengajar di sekolah itu dan mangsa belajar di situ. Kes rogol dan cabul tidak sepatutnya berlaku.

''Minta juga pertimbangan mahkamah akan trauma yang melanda mangsa akibat perbuatan tertuduh. Saya mohon hukuman yang berat dikenakan,'' katanya. - Utusan

26 January 2012

AS tekad halang nuklear Iran

WASHINGTON 25 Jan. - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama berkata, penyelesaian masih boleh dicapai secara aman dalam konfrontasi antarabangsa dengan Iran berhubung program nuklearnya tetapi beliau enggan menolak tindakan ketenteraan sebagai satu pilihan.

Kenyataan Obama itu membayangkan kesempatan untuk diplomasi semakin terhad, terutamanya ketika Iran sudah mengancam untuk menutup Selat Hormuz iaitu laluan utama bagi bekalan minyak dunia, ekoran sekatan antarabangsa yang semakin ketat dihadapinya.

Masyarakat antarabangsa sudah mengatasi perbalahan (berhubung isu Iran) dan kini bersepakat mengenai langkah untuk menyekat cita-cita nuklear Iran, kata Obama dalam ucapan tahunannya kepada anggota kedua-dua dewan Kongres AS, malam tadi.

Kesepakatan tersebut dicapai menerusi 'kekuatan diplomasi kita', kata Presiden itu, tanpa menyentuh kenyataan bahawa Rusia dan China terus berkeras menentang tindakan untuk memperketatkan sekatan ke atas Teheran.

"Amerika bertekad untuk menghalang Iran daripada memiliki senjata nuklear, dan saya tidak menolak sebarang tindakan untuk mencapai matlamat itu.

"Namun penyelesaian isu ini masih boleh dicapai secara aman, dan inilah yang jauh lebih baik," kata Obama.

Presiden daripada Parti Demokrat itu menyampaikan ucapan 'State of the Union' tersebut 10 bulan sebelum beliau dijadual bertanding semula untuk menduduki penggal kedua di White House.

Lawan Obama daripada Parti Republikan menggambarkan beliau sebagai tidak tegas terhadap Iran.

Pada November lalu, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) melaporkan, agensi itu mendapat gambaran keseluruhan bahawa Teheran 'menjalankan beberapa aktiviti yang ada kaitan dengan pembangunan sebuah bom nuklear'.

Teheran menolak laporan itu sebagai tidak berasas. - AFP

Warga emas dituduh cabul cucu perempuan

Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur terhadap empat pertuduhan mencabul kehormatan cucu perempuannya yang berumur sembilan tahun.

Warga emas berusia 74 tahun itu dituduh mencabul kehormatan kanak-kanak perempuan itu di empat tempat berasingan termasuk di dua buah hotel dan dalam sebuah kereta di ibunegara antara pukul 1 tengah hari hingga 6 petang, antara April 2010 dan Oktober 2011.

Dia dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau sebatan atau mana-mana dua daripadanya, jika sabit kesalahan.

Semasa pertuduhan itu dibacakan oleh jurubahasa mahkamah, ibu kanak-kanak perempuan itu yang merupakan pengadu dalam kes itu, dilihat menangis dan ditenangkan oleh anggota keluarganya.

Majistret Zulkpli Abdullah membenarkan warga emas itu diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Februari untuk sebutan semula kes.

Tertuduh diwakili peguam Muhammad Fauzi manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya S Malini Anne. - Bernama

Aznil Nawawi Guna Sembilan Produk Kecantikan Wajah

PETALING JAYA: Pengacara Aznil Nawawi mula terdedah dengan penjagaan wajah seawal usia 12 tahun dan sehingga sekarang telah menggunakan sebanyak sembilan jenis produk kecantikan.

Aznil berkata, pada usia tersebut dia sudah mula praktik menggunakan tiga jenis produk wajib iaitu pencuci, penyegar dan pelembap.

"Kebanyakan lelaki selalu menganggap remeh tentang penjagaan wajah mereka. Bagi mereka itu perkara yang leceh.

"Lain pula dengan saya yang sudah mula menjaga wajah pada usia muda. Jika dahulu hanya tiga produk sahaja, sekarang ini saya pakai sembilan jenis yang antaranya seperti krim mata, pemutih, serum, penegang kulit, dan pelindung matahari selain tiga pembersih utama pencuci, penyegar dan pelembap.

"Rasa muka ini seperti bogel pula apabila tidak mengenakan apa-apa," katanya.

Tambah pengacara rancangan Clever itu, dia akan meluangkan masa sekurang-kurangnya sejam untuk merawat wajahnya sebelum keluar rumah melakukan rutin hariannya.

Dan jika tidak meletakkan sebarang pelembap wajah, risiko untuk terdedah dengan cahaya matahari lebih mudah selain kurang berkeyakinan diri apabila bertemu dengan orang ramai.

"Saya percaya, sesiapa sahaja yang menjaga raut wajahnya akan berasa lebih berkeyakinan berbanding yang tidak berbuat apa-apa. Pada masa yang sama juga kita akan lebih maju daripada segi karier kerana personaliti yang dibawa itu," tegasnya.

Sementara itu, pengacara itu berharap agar kariernya diangkat lebih tinggi dengan melakukan satu kelainan untuk menghiburkan peminat-peminatnya yang terdiri daripada kalangan kanak-kanak sehinggalah orang dewasa.

"Saya selalu ingin membuat kelainan agar para peminat tidak bosan dengan persembahan saya tidak kira dalam bidang pengacaraan di televisyen mahupun acara konsert.

"Sebab itu Konsert Hore-Hore dianjurkan kerana bagi saya ia satu kelainan apabila seorang pengacara yang membuat konsert, bukannya penyanyi.

"Pada tahun ini, mungkin saya akan melakukan sesuatu di mana akan menjelajah ke setiap negeri selepas menerima respons positif tentang konsert yang dianjurkan bersama pihak Astro pada Mac tahun lalu," ujarnya. - Mstar