30 September 2011

Najib: Namewee penyokong kuat 1 Malaysia

KUALA LUMPUR, 30 Sept — Datuk Seri Najib Razak menyifatkan penulis lirik dan pembikin filem yang kontroversial Wee Meng Chee sebagai seorang pendukung kuat 1 Malaysia meskipun banyak pihak mahu tindakan dikenakan ke atas penerbit “Nasi Lemak 2.0” kerana didakwa mengkritik negara.

Presiden Umno berkata Wee (gambar), yang turut dikenali sebagai Namewee, seorang yang unik dan tidak konvensional dalam pemikiran dan kaedah menyampaikan ideanya. - TMI





Mahkamah dapati Utusan bersalah fitnah Khalid Samad


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Utusan Malaysia bersalah memfitnah ahli parlimem Shah Alam, Khalid Samad dalam kenyataan yang disiarkan di muka akhbar berkenaan.

Hakim Dr Prasad Sandosham Abraham Prasad berkata plaintif (Khalid) telah berjaya membuktikan kenyataan itu - yang diambil dari blog ahli parlimen Bandar Baru Kulim, Zulkifli Nordin - adalah salah.

Hakim bagaimanapun menarik perhatian mengapa ahli parlimen Bandar Baru Kulim itu tidak dinamakan sebagai defendan.

Mahkamah menolak pelindungan bersyarat sebagai pembelaan dalam kes tersebut kerana hakim berkata kehidupan di Malaysia perlu mengambilkira sensitiviti semua kaum, tidak seperti undang-undang di Australia atau United Kingdom.

Dalam penghakiman lisannya, hakim berkata semua defendan bersalah memuat-turun artikel dari blog tersebut tanpa memeriksa kandungannya (berhubung sensitiviti).

Hakim Sandosham menetapkan 11 Oktober untuk mendengar penghujahan tentang gantirugi.

Beliau berkata, mahkamah mendapati menggelar seseorang sebagai Abu Jahal dan sebagai kafir adalah fitnah.

Dalam saman yang difailkan tahun lalu, Khalid (kiri), dari PAS, menamakan Utusan Malaysia dan ketua pengarang kumpulan
Mingguan Malaysia, Datuk Aziz Ishak dan penerbit Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia sebagai defendan.

Ahli parlimen Shah Alam itu mendakwa bahawa pada 11 September 2009, Aziz - selaku ketua pengarang kumpulan kedua-dua akhbar tersebut - dengan niat jahat, membenarkan penerbitan dan pencetakan perkataan fitnah terhadapnya di muka depan akhbar berkenaan.

Beliau juga mendakwa bahawa artikel bertajuk 'Zulkifli bidas Pak Janggut' secara langsung atau tidak langsung merujuk kepadanya walaupun namanya tidak disebut. - Mkini

Dua madu sepakat mohon cerai

KUALA LUMPUR 29 Sept. - Walaupun masing-masing didakwa saling sihir-menyihir antara satu sama lain, dua madu pada hari ini berpakat untuk bercerai secara baik dengan suami mereka setelah mendakwa tidak tahan dengan sikap buruk lelaki tersebut.

Menurut Marziana Zakaria, sikap suaminya yang panas baran dengan memaki-hamun dan memukulnya adalah antara sebab dia mengemukakan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Isteri kedua itu menambah, selama 10 tahun melayari bahtera rumah tangga dengan Liaquat Ali, dia tetap bersabar dengan sikap buruk suaminya dan mendakwa lelaki itu enggan untuk menjalani sesi kaunseling di Pejabat Agama Islam berdekatan.

"Untuk makluman mahkamah, saya dan madu, Siti Shahina Abdul Rahim, tinggal serumah, pernah antara kami saling melihat dipukul, dimaki dan dimarahi suami.

"Dia sering menghambur perkataan yang kami perempuan pelacur dan lembu," luah Marziana sambil mengesat air matanya di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini, Shaiful Azli Jamaludin.

Liaquat kemudian ditanya oleh hakim syarie tersebut berhubung persetujuannya untuk menceraikan kedua-dua isterinya, lelaki itu yang berkopiah putih dan berbaju Melayu biru menjawab: "Saya tidak bersetuju untuk bercerai dengan mereka."

Dia yang berusia dalam lingkungan 40 tahun kemudian mendakwa kononnya kedua-dua isterinya mempunyai hubungan dengan lelaki lain, selain mendakwa mereka tidak menghormatinya dan melanggar perintah agama.

Liaquat juga mendakwa isteri-isterinya pernah melakukan perbuatan khurafat iaitu saling sihir-menyihir antara satu sama lain.

Shaiful Azli kemudian memutuskan agar setiap seorang daripada pihak terbabit melantik seorang wakil yang terdiri daripada ahli keluarga terdekat untuk menganggotai Jawatankuasa Pendamai yang diwujudkan bagi mencari penyelesaian berhubung kemelut rumah tangga itu.

Beliau kemudian menetapkan 13 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Kedua-dua plaintif itu menamakan suami mereka sebagai defendan dan kesemuanya tidak diwakili peguam syarie. - Utusan

Pembunuh budak ke tali gantung


SHAH ALAM 29 Sept. – Keadaan di pekarangan Mahkamah Tinggi di sini kecoh seketika apabila bapa kepada kanak-kanak yang meninggal dunia dua tahun lalu ‘menyerang’ pembunuh anaknya sejurus tertuduh dijatuhi hukuman mati hari ini.

A. Karigalan, 43, menghampiri dan memarahi M. Rajamorgan, 33, dalam bahasa Tamil ketika tertuduh itu diiringi keluar oleh anggota polis selepas hukuman dijatuhkan.

Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah menjatuhkan hukuman gantung hingga mati ke atas Rajamorgan selepas mendapati pihak pembelaan telah gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu.

Tertuduh disabit kesalahan membunuh K. Haresvarra di taman permainan kanak-kanak, Pangsapuri Vista Damansara, Jalan Kenanga, Kampung Sungai Kayu Ara di sini antara pukul 9.40 malam dan 10.10 malam, 3 Mac tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kira-kira pukul 12 tengah malam, 4 Mac tahun lalu akibat cedera parah di seluruh badan.

Antara kecederaan yang dialami mangsa seperti patah enam tulang rusuk, cedera parah di bahagian kepala, luka di kemaluan akibat diramas dengan kuat serta pecah hati.

Keterangan oleh pakar patologi menyatakan, kanak-kanak itu meninggal dunia akibat cedera parah di bahagian hati kerana tumbukan yang kuat di belakang badannya yang turut menyebabkannya hilang banyak darah.

Sepanjang perbicaraan seramai 10 saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan dipanggil memberikan keterangan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd. Jeffery Ong manakala tertuduh diwakili oleh peguam bela Aida Mansor.

Karigalan ketika ditemu bual oleh pemberita berkata, dia dan isterinya sangat tertekan apabila dituduh membunuh anak mereka sendiri berikutan campur tangan oleh ahli politik yang menyebarkan dakwaan tersebut serta membuat laporan polis supaya siasatan dijalankan terhadap dia dan isterinya.

“Kami bersyukur dengan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini, walaupun saya dan isteri gembira tetapi anak kami tidak mungkin akan kembali dan oleh sebab itu saya sangat marah terhadapnya (tertuduh),” katanya. - Utusan

Wanita mati, inspektor parah


KENINGAU: Seorang wanita terbunuh akibat ditikam bertubi-tubi perompak yang memasuki rumahnya manakala rakan lelakinya, pegawai polis berpangkat inspektor yang cuba membantu parah juga akibat ditikam dalam kejadian di Taman Andika di sini, awal pagi semalam.

Pegawai polis berusia 29 tahun berkenaan dikatakan menerima panggilan daripada mangsa berusia 27 tahun yang meminta bantuan apabila mendapati pintu rumahnya diumpil seorang lelaki tidak dikenali pada kira-kira jam 4.40 pagi.

Anggota polis itu kemudian bergegas ke rumah wanita terbabit dan mendapati pintunya terbuka sebelum melihat mangsa sedang bergelut dengan seorang lelaki yang memegang pisau lalu cuba memberi bantuan.

Dalam keadaan kelam-kabut, suspek nekad menikam anggota polis terbabit di kaki, bahu dan belakang badan menyebabkannya berlumuran darah, sebelum menikam wanita terbabit berulang kali sehingga mati.

Pegawai polis yang parah itu kemudian mendapatkan bantuan dari Balai Polis Keningau, sebelum dikejarkan ke Hospital Keningau untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menghubungi inspektor polis itu melalui telefon bimbit untuk meminta bantuan selepas seorang lelaki tidak dikenali cuba membuka pintu rumahnya.

“Namun sebaik tiba, pegawai polis ini turut bergelut sebelum ditikam ketika cuba membantu mangsa,” katanya, semalam.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Omar Mammah dan Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Zahari Mohamed.

Mengulas lanjut, Hamza berkata, selepas menikam inspektor polis terbabit, suspek kemudian turut menikam wanita berkenaan bertubi-tubi sehingga mati.

“Malah, sebelum melarikan diri, suspek turut sempat menikam wanita berkenaan walaupun wanita itu dilihat sudah tidak bergerak lagi.

“Tiada tangkapan dibuat pada masa ini dan polis sudah menggerakkan operasi bagi memburu suspek,” katanya.

Katanya, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu tampil atau menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Keningau, Asisten Superintendan Lee Nyuk Kim di talian 016-862 5302 dengan segera.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 394/302, Kanun Keseksaan iaitu pecah rumah dan bunuh,” katanya. - Mymetro

Uji Rashid, rakan-rakan dijel 10 tahun

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki Indonesia bernama Uji Rashid dan lima rakannya yang cuba merompak sebuah kapal dagang di perairan Tanjung Piai, Pontian, 19 Sept lepas dihukum penjara 10 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Uji, 33; Rudiarto, 39; Andagunawan, 27; Edi, 45; Saleh, 45, dan Khairu Fahmi, 25; semuanya berasal dari Dumai, Indonesia, mengaku bersalah cuba melakukan rompakan secara berkumpulan di kapal MT Sky Jupiter pada 12.49 pagi hari berkenaan.

Mereka yang bekerja sebagai buruh dituduh melakukan perbuatan itu pada kedudukan garis lintang satu darjah 15.44 minit Utara dan garis bujur 103 darjah 28.26 minit Timur di dalam perairan Malaysia pada jarak lebih kurang 2.65 batu nautika perairan berkenaan.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda dan sebatan. - Bernama

Nabil (Raja Lawak) Sah Bergelar Suami Kepada Nazirah


PUTRAJAYA: Dengan dua kali lafaz, Pelawak dan pelakon, Ahmad Nabil Ahmad, 28, sah bergelar suami kepada bekas pramugari AirAsia, Nazirah Ayub, 23.

Majlis pernikahan mereka diadakan di Masjid Tuanku Mizan, di sini, selepas solat Asar kira-kira pukul 5.15 petang, Jumaat.

Pasangan tersebut dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk Putrajaya, Ustaz Mohd Ridza Ahmad berwalikan bapa kepada pengantin perempuan Ayub Hassan.

Pengantin perempuan menerima mas kahwin RM300 dan sebentuk cincin bernilai RM5,000 manakala wang hantaran sebanyak RM15,000.

Turut menyaksikan majlis tersebut adalah ibu dan keluarga kedua-duapasangan pengantin.

Pihak perempuan menerima tujuh dulang hantaran seperti cincin, duit hantaran, sirih junjung, kasut, “playbook”, alat solek, pewangi dan dibalas sembilanhantaran iaitu coklat, kasut, “PlayStation 3”, I-pad, sejadah, cincin dan sirih junjung.

Pada majlis tersebut, Nazirah anggun mengayakan busana kurung moden rekaan Wazira Zainal.

Sementara majlis resepsi mereka akan diadakan serentak pada Ahad inidi I-City Shah alam berkonsepkan “fairy tale” dan persandingan dalamtaman. - Mstar

LHDN: Penalti hingga 35 peratus jika lewat isytihar cukai


KUALA LUMPUR, 30 Sept — Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan mengenakan penalti antara 20 peratus dan 35 peratus terhadap pembayar cukai yang lewat atau gagal mematuhi penghantaran Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP).

Peraturan baru ini berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Dr Mohd Shukor Mahfar berkata pengenaan penalti itu akan dilakukan mengikut tempoh kelewatan penghantaran BNCP, antara 12 bulan dan 36 bulan.

“Amaun penalti yang akan dikenakan tidak melebihi tiga kali ganda cukai yang dikenakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata LHDN memandang serius kesalahan yang dilakukan oleh pembayar cukai apabila lewat atau gagal mengemukakan BNCP mengikut tempoh yang ditetapkan.

Tindakan itu akan dikenakan di bawah Subseksyen 112(3) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 melalui arahan terbaharu, yang merupakan pembaikan kepada arahan sebelum ini untuk menghasilkan peningkatan dalam pematuhan penghantaran BNCP mengikut tempoh. - TMI

Gaji satu lapis sektor awam diwujud semula, naik hingga 40 peratus

KUALA LUMPUR, 30 Sept — Putrajaya dijangka memperkenalkan sistem saraan baru sektor awam, menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) — antara lain menawarkan skim gaji satu lapis atau peringkat — yang bakal membawa kenaikan gaji sehingga 40 peratus.

Sistem saraan yang namanya masih dirahsiakan dijangka diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2012 — yang ramai melihatnya sebagai “bajet pilihan raya umum ke-13”.

Kerajaan bercadang untuk melaksanakan mulai 1 Januari 2012 bersama sistem penilaian baru, yang dikenali sebagai Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (Prospek).

“Difahamkan agensi-agensi kerajaan sudah melengkapkan kajian memperkenalkan sistem saraan yang baru, bukan pelarasan tetapi satu sistem yang baru, skim gaji satu lapis yang pernah digunakan sebelum SSB,” kata sumber kepada The Malaysian Insider.

Di bawah sistem satu lapis bilangan tangga gaji juga akan ditambah sampai 25 hingga 30 dan kemungkinan lebih dalam gred tertentu.

Minggu lalu, The Malaysia Insider membawa laporan bahawa kerajaan kemungkinan akan menaikkan gaji kakitangan awam dan membayar bonus menerusi bajet kali sebelum menghadapi pilihan raya umum.

Kali terakhir kerajaan meluluskan pelarasan adalah pada 2007 iaitu sehingga 35 peratus dan menaikkan kadar bantuan sara hidup sebanyak 100 peratus.

Bulan lalu, kerajaan membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam. Kerajaan juga bersetuju memberi bayaran khas sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.

Satu sumber berkata, “langkah ini (memperkenalkan sistem saraan baru) juga satu bentuk kenaikan gaji tetapi pelaksanaan menjangkaui kenaikan gaji sebab ia akan membabitkan penyusunan semula skim dan gred.”

“Tindakan paling signifikan ialah memperkenalkan sistem gaji satu peringkat,” kata beliau yang turut merujuk kepada permintaan Cuepacs pada 1995, mendesak kerajaan memperkenalkan semula sistem gaji satu lapis dengan memansuhkan SSB.

Bagaimanapun tuntutan itu tidak dilayan dan kerajaan hanya memberi pelarasan gaji ketika itu.

“Cuepacs juga sebenarnya telah berharap sistem gaji satu lapis akan diperkenalkan semula pada 2002 (ketika SSM diperkenalkan), tetapi tidak menjadi kenyataan.

“Jika ia diperkenalkan semula bermakna ia akan membawa faedah besar kepada kakitangan awam ... kenaikan kemungkinan boleh sampai RM300 hingga RM700, bergantung pada skim dan gred masing-masing,” kata sumber itu sambil menambah, maklumat ini benar sehingga semalam dan kemungkinan boleh berubah mengambil kira keadaan ekonomi global dan tempatan.

“Kalau dari segi peratusan, kita boleh katakan kenaikan ini antara lapan hingga 30 peratus, mungkin dalam kes gred tertentu boleh mencapai 40 peratus,” kata sumber itu lagi.

Satu lagi perubahan di bawah sistem saraan baru ini ialah langkah kerajaan menyatukan Kumpulan Sokongan I dan II iaitu perkhidmatan kumpulan rendah di bawah satu grup yang bahawa dikenali sebagai Kumpulan Pelaksana. Nama Kumpulan Pengurusan dan Profesional dijangka akan dikekalkan.

SSM diperkenalkan pada 2002 menggantikan Sistem Saraan Baru (SSB) yang mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan kakitangan awam.

SSM terdiri daripada sistem gaji tiga lapis dengan kenaikan tahunan secara mendatar, menegak atau melintang dengan masing-masing mempunyai kuota.

Sistem kuota itu yang mencetuskan rasa tidak puas hati dan dakwaan wujud diskriminasi dalam proses penilaian prestasi. Proses penilaian itu kemudian digantikan dengan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dan sekali lagi membawa kepada kontroversi.

The Malaysian Insider difahamkan sistem saraan ini, yang mirip dari segi sistem gaji satu lapis yang digunakan sejak negara merdeka sehingga 1991.

Awal bulan ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi jaminan bahawa Prospek, sistem baru menggantikan PTK, akan membuka lebih peluang kepada penjawat awam untuk mendapat kenaikan pangkat.

Penjawat awam yang mempunyai kompetensi dan memiliki potensi iaitu melepasi syarat untuk lulus dan melepasi tahap potensi yang telah diukur oleh panel penilai dijamin memperolehi ganjaran.

Prospek yang diperkenalkan Mei lalu hanya akan dilaksanakan sepenuhnya pada 1 Januari ini.

Mei lalu, JPA mengumumkan Prospek sebagai pengganti PTK berkuat kuasa 1 Julai lalu, tidak lagi berasaskan peperiksaan tetapi akan ditentukan oleh panel penilai yang berwibawa.

Ia membabitkan lapan prinsip penilaian baru iaitu falsafah, tujuan, dimensi kompetensi, kaedah penilaian dan pembangunan kompetensi, fleksibiliti, kawalan kualiti, ganjaran dan pencapaian penilaian. - TMI

'Saya tak gentar amaran PERKASA'

Timbalan presiden PAS Mohamad Sabu berkata beliau tidak gentar dengan amaran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Negeri Sembilan yang mahu mengadakan protes sekiranya beliau berceramah lagi di negeri itu.

Sebaliknya, tokoh yang dikenali sebagai 'ayam sabung PAS' itu, akan terus berceramah termasuk di negeri itu sekiranya menerima jemputan.

"Saya tidak rasa apa-apa (dengan amaran itu). Sebenarnya mereka yang gelisah. Saya telah didakwa, (jadi) tunggu mahkamah (buat keputusan).

"Saya akan terus berceramah kalau dapat jemputan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Menurutnya, beliau akan menghadiri satu lagi ceramah di negeri tersebut, yang dijadual pada 6 Oktober ini di DUN Paroi.

Mohamad mengulas kenyataan Yang Dipertua PERKASA negeri itu, Datuk Mohd Noor Nordin Abdullah yang dilapor akan mengetuai protes terhadap Mohamad jika pemimpin PAS itu enggan memohon maaf berhubung kenyataannya mengenai peristiwa Bukit Kepong.

Amaran itu dikeluarkan selepas kekecohan tercetus di ceramah Mat Sabu di Ampangan, Seremban Sabtu lalu sehingga menyebabkan dua penyokong PAS cedera selepas mereka cuba menghalang ahli PERKASA mara ke pentas ceramah.

Mat Sabu mencetuskan kontroversi tersebut ekoran ucapannya pada 21 Ogos lalu yang didakwa memuji Mat Indera, seorang pemimpin yang mengetuai serangan ke atas balai polis Bukit Kepong pada tahun 1950, sebagai pejuang kemerdekaan.

Mengulas mengenai keselamatan yang pada ceramahnya akan datang, Mohamad menyerahkan perkara tersebut kepada polis untuk berbuat demkian termasuk ceramah yang dibuat dalam kawasan persendirian yang tidak memerlukan permit.

Sementara itu, amaran PERKASA tersebut mengundang reaksi balas, khususnya dari pemimpin Pemuda PAS yang mengecam dan menyelar "kenyataan amaran dan ancaman" pemimpin PERKASA itu.

Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Malaysia menganggapnya kenyataan kurang cerdik dan dangkal yang "hanya dilakukan oleh puak-puak yang tidak mempunyai keberanian untuk berhujah secara ilmiah dan beradab."

Pengarahnya, Mohd Sany Hamzan berkata PERKASA sepatutnya mengadakan protes terhadap akhbar Utusan Malaysia yang didakwanya "memutarbelitkan dan menyalahtafsirkan" kandungan sebenar ucapan Mohamad.

Sehubungan itu, beliau meminta polis melakukan siasatan dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap kenyataan PERKASA yang didakwanya berbaur ancaman dan hasutan untuk mendatangkan kecederaan ke atas Mohamad.

"Kenyataan PERKASA ini juga menunjukkan mereka ini sebenarnya kumpulan 'samseng' yang tidak menghormati undang-undang, tetapi sebaliknya berselindung di atas nama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," katanya.

Mohd Sany juga mengingatkan semua pihak supaya tidak mengambil sebarang langkah yang membelakangkan undang-undang untuk memudaratkan pimpinan PAS.

Sementara itu, ketua penerangan Pemuda PAS pusat, Riduan Mohd Nor juga kesal dengan PERKASA yang didakwanya "sengaja membiarkan ahli dan penyokongnya bertindak liar bagi menghangatkan suasana supaya penyokong PAS bertindak balas" sewaktu kekecohan itu berlaku.

"PAS telah lama bergelumang dalam politik, dan tahu asam garam serta sepak terajang politik tanahair. Ahli-ahli PERKASA tidak perlu mencetuskan provokasi seumpama itu.

"PAS telah lama mentarbiyah ahlinya supaya bersabar dan bertenang dalam situasi seperti ini sebagaimana PAS juga mentarbiyah ahlinya agar berjihad dan tidak gentar kepada sesiapa juga," kata ketua penerangannya Riduan Mohd Nor.

Dengan nada menyindir, Riduan menyifatkan tindakan PERKASA mengganggu dan didakwa memukul penyokong PAS sebagai "tindakan penakut bagi mereka yang tidak mahu mencari kebenaran". - Malaysiakini

* Perkasa ni gertak saja lebih...

Malaysian Insider mohon maaf kepada Tajudin

Portal berita The Malaysian Insider hari ini mengemukakan permohonan maaf kepada bekas pengerusi eksekutif Malaysia Airlines (MAS), Tan Sri Tajudin Ramli kerana penerbitan berita tanpa fakta dan berunsur fitnah.

Syarikat The Malaysian Insider Sdn Bhd; Ketua Pegawai Eksekutifnya Jahabar Sadiq dan wartawan Shazwan Mustafa Kamal menyerahkan surat kenyataan itu menerusi peguam mereka George Miranda di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Harminder Singh Dhaliwal di dalam kamar di Kuala Lumpur

Turut hadir peguam Lim Kian Leong yang mewakili Tajudin.

Di luar mahkamah, Miranda memberitahu pemberita bahawa kesemua pihak menandatangani surat kenyataan maaf itu dan selain kenyataan tersebut, beberapa terma lain turut dibincangkan tetapi tidak boleh didedahkan.

Melalui surat tersebut ketiga-tiga pihak menyatakan kekesalan mereka di atas segala kesulitan yang dialami Tajudin berikutan tersiarnya berita berkenaan.

Kesemua pihak juga bersetuju menarik balik berita yang disiarkan serta mengakui berita itu fitnah, tidak berasas dan tanpa sebarang fakta sahih.

Penyelesaian hasil rundingan di luar mahkamah ini adalah rentetan daripada permohonan saman Tajudin terhadap portal itu berjumlah RM200 juta pada 18 Ogos lepas.

Beliau menamakan syarikat The Malaysian Insider Sdn Bhd sebagai defendan pertama, Jahabar dan Shazwan sebagai defendan kedua dan ketiga. - Bernama

Guan Eng mohon maaf pada Sultan Johor


Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memohon maaf kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar kerana menyinggung perasaan baginda berhubung satu kenyataan yang didakwa memburukkan negeri Johor.

Lim berkata beliau memohon maaf sepenuhnya kepada baginda dan rakyat negeri Johor.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Pulau Pinang hari ini, Lim berkata, beliau tidak mempunyai sebarang niat untuk memburukkan Johor atau mana-mana negeri lain.

Berikut adalah kenyataan penuh Guan Eng.

Sebagai rakyat Malaysia yang setia kepada Raja dan negara, patik ingin memohon maaf kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor, atas rasa tersinggung DYMM Tuanku terhadap kenyataan berikutan dengan Johor yang telah dibuat oleh patik.

Dan juga kepada rakyat jelata Johor di bawah naungan DYMM Tuanku atas perkara yang sama.

Patik tidak berniat untuk memburukkan Johor atau mana-mana negeri atas apa-apa sebab dan alasan sekali pun.

Dalam laporan media, DYMM Sultan Johor juga bertitah bahawa Baginda tidak mahu diseret ke dalam arena politik. Patik bersetuju dengan titah DYMM Sultan Johor.

Saya merasakan bahawa saya telah disalah lapor oleh media massa yang dikawal oleh Barisan Nasional.

Saya akan membawa perkara ini ke mahkamah untuk menentukan kebenaran tentang di mana saya membuat ucapan saya, apa yang sebenarnya yang diperkatakan, bagaimana ia dikatakan dan dalam konteks apa kenyataan itu dibuat.

Setakat ini, selain daripada pita rakaman yang disiarkan oleh TV3, tidak ada sebarang laporan media tentang apa yang saya katakan di Singapura atau di Australia. Saya mempunyai akses untuk pita rakaman wawancara saya dengan Radio Australia. Saya masih sedang mencari pita rakaman tentang apa yang saya katakan di Singapura yang dibuat secara peribadi dalam satu sesi tertutup.

Saya telah pun mengarahkan peguam-peguam saya untuk memfailkan saman di mahkamah, ke atas semua media massa kawalan BN bermula dengan Bernama.

* Jangan bimbang Guan Eng, Sultan Johor terlalu bijak untuk mempercayai pembohongan Umno ni...

28 September 2011

Kes liwat: Jelaskan pertemuan dengan Saiful, Anwar kata PM dan Rosmah


KUALA LUMPUR, 28 Sept — Pasukan peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Datuk Seri Najib Razak dan isterinya merupakan saksi yang relevan dalam kes liwat dihadapi Ketua Pembangkang itu.

Dalam afidavit balas ke atas permohonan Najib yang difailkan hari ini, Anwar berkata beliau memerlukan Presiden Umno itu datang ke mahkamah bukan untuk menunjukkan beliau terlibat dalam "konspirasi tetapi bagi mendapatkan penjelasan" tentang pertemuannya dengan pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 24 Jun 2008 iaitu dua hari sebelum dia mendakwa diliwat.

Anwar (gambar) juga membangkitkan poin yang sama dalam afidavit balas ke atas permohonan Datin Seri Rosmah Mansor.

Ketua Umum Pakatan Rakyat itu berkata Rosmah ada memberi kenyataan saksi kepada pegawai polis yang bertanggungjawab dalam siasatan kes liwat iaitu DSP Jude Pereira.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mendengar permohonan Najib dan Rosmah esok agar dikecualikan daripada menghadiri sebagai saksi perbicaraan peringkat pembelaan sekarang.

Perbicaraan disambung pada 3 Oktober ini.

"Datuk Seri Najib ada mengatakan bahawa 'keluarkan sepina, saya akan datang," kata Anwar kepada pemberita di luar mahkamah petang ini.

Anwar mengulangi bahawa beliau kecewa dengan sikap Najib tidak menunaikan kata-katanya.

"Mereka mengatakan bahawa mereka bukan saksi yang relevan dan keterangan mereka bukan penting dalam kes," kata peguam Anwar, Sankara Nair dengan merujuk kepada kandungan afidavit Najib dan Rosmah.

"Kami kata ia penting," kata Sankara.

Kedua-dua Najib dan Rosmah telah disepina bulan lalu selepas enggan ditemu bual secara tertutup oleh peguam Anwar. - TMI

* Ada perangkap besar untuk Najib dan Rosmah di mahkamah?

Namewee bidas Utusan dalam video terbaru


Tersinggung dengan ulasan akhbar Utusan Malaysia yang mengkritik filem suluungnya, Nasi Lemak 2.0, penyanyi rap yang kini menjadi pembikin filem, Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee, membidas akhbar berbahasa Melayu itu yang disifatkannya sebagai “sampah”.

Artikel yang ditulis oleh Fauziah Arof, bertajuk 'Bukan Nasi Lemak 2.0, soalnya Namewee' disiarkan Rabu lalu.

Fauziah menulis bahawa walaupun ramai yang memuji filem itu, namun dia tidak berminat menontonnya walaupun ditawarkan tiket percuma.

Dia kemudian mengimbas kembali beberapa klip video yang diterbit oleh Namewee, yang dakwanya telah menyinggung orang ramai serta menghina umat Islam di negara ini, termasuk klip kontroversi Negarakuku.

Mengulas artikel akhbar milik Umno itu, Namewee membalas dengan memuat-naik satu lagi klip video dalam bahasa Melayu ke laman web perkongsian video YouTube malam tadi yang berjudul 'Namewee Fxxx Utusan'.

Video yang durasinya sedikit kurang daripada tiga minit, memaparkan kekecewaan Namewee yang bercakap dalam bahasa pasar 'menghentam' akhbar itu dan Fauziah.

Walaupun semua perkataan yang mencarut dan memaki dalam video itu telah disenyapkan, namun sebahagian daripadanya masih boleh didengar secara samar-samar.

Bersifat patriotik

Menjawab bidasan terhadap videonya yang lalu, Namewee berkata: “Dulu, dulu apa xxx? dulu punya polis ah, pakai seluar pendek leh; dulu punya orang ah, jalan pakai basikal leh; tapi sekarang you naik apa? You naik AirAsia leh!”

Hujahnya, semua lagu-lagu yang digubahnya itu adalah bersifat patriotik dan mempersoalkan sama ada Fauziah memahami lirik berkenaan.

“Lu tak faham, lu cakap saya dulu buat apa xxx... Saya kutuk siapa? Dulu saya kutuk siapa?

“Saya panggil orang jangan jadi orang yang perkauman. Saya panggil orang kerja betul-betul. Saya sokong 1Malaysia tak boleh ah?”

Namewee kemudian melabel Fauziah sebagai 'tidak berotak' kerana menulis artikel berkenaan tanpa menonton filem itu terlebih dahulu, yang katanya, jelas tidak mencerminkan sikap profesional untuk seorang wartawan.

Perlinya lagi, jika ranya Fauziah mempunyai masalah kewangan, beliau bersedia menawarkan dua tiket percuma untuk wartawan Utusan itu dan rakannya untuk menonton secara percuma.

“Sampah tu suratkhabar, sampah! Sampah masyarakat, sampah penulis! You tulis sahaja, you ada pen, you ada keyboard, you sudah boleh jadi reporter ah? XXX!”

Beliau juga menekankan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, yang ditemuinya tahun lalu, telah menyatakan dengan jelas bahawa beliau tidak melanggar mana-mana undang-undang negara.

“Ikut law lah, kalau you benci saya sendiri, you benci dalam hati lah, kenapa you tulis macam ini di suratkhabar?"

Balik sekolah

Sambil mempamerkan ijazahnya dalam bidang komunikasi massa, Namewee mencadangkan Fauziah "balik ke sekolah" jika dia tidak boleh menjalankan tugasnya secara profesional.

“Saya ada degree tahu, mass communication tahu. You jangan tipu saya tak pernah makan durian, tahu. Suratkhabar ialah laporkan, lapor! You judge orang macam apa? Bukan tulis you shiok sendiri punya. You punya certificate dari mana punya? Longkang ah?”

“Kalau you tak tahu apa ialah reporter ah, you balik sekolah dulu. You panggil you punya boss dengan you dengan you punya kawan semua balik sekolah dulu. You fikir semua suratkhabar yang lain semua bodoh punya kah?”

Namewee berkata bahawa beliau boleh menerima kritikan daripada mereka yang telah menonton filem itu tetapi tidak dari Fauziah, yang tidak menjalankan apa-apa "penyelidikan" sebelum mengulas.

Beliau menamatkan video itu dengan satu montaj yang berbunyi “I say no (to) Utusan Malaysia”. - Malaysiakini

Pegawai kanan polis tembak mati suspek samun

Seorang pegawai kanan polis menembak mati seorang pemuda yang cuba menyamunnya bersama-sama lima lelaki lain di hadapan rumahnya di Lorong Burhanuddin Helmi 6, Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur, malam semalam.

Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata kejadian berlaku kira-kira 9.45 malam ketika pegawai polis berpangkat Superitendan dari Bukit Aman itu baru pulang dari makan malam sebelum beliau diserang.

"Mangsa ketika itu baru turun dari keretanya sebelum diserang enam lelaki bersenjatakan parang. Mangsa kemudian melarikan diri sambil mencampak barang berharga yang kemudiannya dikutip suspek.

"Helah mangsa menjadi, lalu mangsa mengeluarkan senjatanya dan melepaskan tiga das tembakan dan mengenai badan seorang suspek," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Ku berkata suspek rebah dan mati di tempat kejadian dan rakannya yang terkejut terus melarikan diri dengan menaiki motosikal yang diletakkan berdekatan dengan rumah mangsa.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati suspek yang mati berumur 19 tahun dan berasal dari Batu Caves, Selangor.

Mayatnya dihantar ke hospital berdekatan untuk bedah siasat, katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan ada rakan suspek yang turut cedera dalam kejadian itu.

Siasatan polis turut menemui parang yang digunakan suspek lain kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.

"Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan keterangannya telah diambil. Baki lima lagi suspek sedang diburu dan kita percaya masih berada di sekitar Lembah Klang," kata Ku. - Bernama

* Pistol sudah di tangan tapi seorang sahaja yang tumbang...

Peragut dibelasah orang ramai


JOHOR BAHRU: “Menyedari tindakan peragut saya memecut motosikal mengejarnya sebelum menendang motosikal lelaki itu dari belakang menyebabkan kami berdua jatuh ke jalan raya.

“Akibatnya, peragut terbabit gagal bergerak kerana dihempap motosikalnya lalu saya mencapai beg tangan dan lari ke restoran berhampiran untuk mendapatkan bantuan,” kata mangsa ragut, Cindy Tan, 52, di Jalan Maju, Taman Pelangi, semalam.

Dalam kejadian jam 4.15 petang itu, Cindy menunggang motosikal Yamaha Ego berseorangan dalam perjalanan ke sebuah premis percetakan kad nama di lokasi berkenaan apabila menyedari diekori seorang lelaki yang menunggang motosikal berkuasa tinggi.

Menurut Cindy, setiba di lokasi kejadian lelaki terbabit tiba-tiba menghampiri dan meragut beg tangannya yang diletak di dalam raga motosikal sebelum cuba melarikan diri.


“Saya tidak rela membiarkan wang diperoleh hasil kerja keras dirampas begitu saja oleh peragut dan kerana itu saya memberanikan diri melawan,” katanya yang bertugas sebagai jurujual barangan perubatan di sebuah syarikat swasta di Singapura.

Orang ramai yang melihat kejadian serta pelanggan restoran segera keluar dan menahan pemuda itu sebelum diserahkan kepada polis.

Bagaimanapun, sebelum itu, orang ramai yang berang dengan peragut terbabit bukan setakat mengikatnya malah turut ditumbuk serta ditendang hingga berdarah, Polis yang tiba tidak lama kemudian menahan lelaki itu untuk siasatan lanjut.

Menurut Cindy, ia adalah pengalaman ragut kedua berlaku terhadapnya dengan kali pertama pada 2005 di Taman Megah Ria.

“Pengalaman pernah diragut ketika menunggang motosikal enam tahun lalu menyebabkan saya nekad mengejar peragut terbabit,” katanya. - Mymetro

Pensyarah menang tuntutan keputusan PhD

KUALA LUMPUR — Seorang pensyarah kanan Universiti Malaya (UM) hari ini memenangi tuntutannya di mahkamah terhadap universiti itu berhubung keputusan pengajian ijazah kedoktoran (PhD) beliau.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Rohana Yusuf membenarkan permohonan G.Sivapalan mendapatkan semakan kehakiman untuk membatalkan keputusan UM yang menyatakan dia gagal dalam peperiksaan mendapatkan ijazah doktor falsafah.


Peguam M.Eswary, mewakili Sivapalan, memberitahu pemberita hakim berkenaan membenarkan permohonan anak guamnya itu bagi semakan kehakiman dengan kos RM7,000.

Peguam itu berkata, hakim mendapati keputusan dibuat UM menerusi sepucuk surat bertarikh 24 Dis 2009 yang menyatakan Sivapalan telah gagal dalam pengajiannya untuk PhD dan pemohon tidak dibenarkan meneruskan program pengajiannya itu sebagai tidak sah.

Sivapalan dalam permohonan mahkamah antara lain menuntut perisytiharan bahawa keputusan UM melalui surat itu tidak sah juga memohon mendapatkan balik segala faedah termasuk kenaikan gaji daripada tahun 2006. — Bernama

27 September 2011

Turki, Israel tidak akan berbaik - Erdogan

WASHINGTON 26 Sept. - Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata, hubungan 'retak' antara negaranya dengan Israel tidak akan pulih buat selama-lamanya selagi rejim Yahudi itu terus menghalang flotila bantuan dan mengenakan sekatan ke atas Genting Gaza.

Erdogan berkata, Turki sangat bersabar dengan bekas sekutunya itu meskipun hubungan menjadi tegang selepas komando Israel menggempur flotila kapal bantuan kemanusiaan ke Gaza pada Mei tahun lepas.

"Saya boleh menyatakan dengan jelas dan terus-terang hubungan antara Israel dengan Turki sudah retak disebabkan isu yang ditimbulkan oleh Israel apabila flotila yang membawa bantuan kemanusiaan cuba masuk ke Gaza (pada tahun lalu).

"Flotila itu membawa aktivis kemanusiaan dari 33 negara dan diserang dari laut dan udara (oleh komando Israel)," kata Erdogan kepada program GPS CNN, semalam.

Katanya, Turki menuntut Israel memohon maaf, membayar ganti rugi dan menghapuskan sama sekali sekatan ke atas Gaza.

"Jika tuntutan itu tidak dipenuhi, hubungan Turki dengan Israel tidak akan pulih untuk selama-lamanya," tegas beliau.

Erdogan mengulangi kenyataan sebelum ini bahawa kapal-kapal perang Turki boleh dikerahkan untuk melindungi kapal bantuan ke Gaza pada masa depan.

"Dalam situasi ini, demokrasi, hak-hak dan kebebasan hendaklah dipertahankan.

"Jika kamu terus berkeras untuk mewujudkan punca kekacauan, kamu sudah tentu akan menjadi semakin tersisih," katanya dalam satu kenyataan yang ditujukan kepada Israel. - AFP

Polis temui semula wang dikatakan disamun pegawai SPRM

KUALA LUMPUR 27 Sept. - Polis menemui semula wang tunai yang dikatakan disamun tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dekat sini pada 15 September lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar bagaimanapun enggan menyatakan jumlah sebenar wang tunai itu, yang ditemui baru-baru ini.

Proses siasatan berjalan lancar dan banyak perkara yang perlu diselesaikan termasuk menjejaki dua lelaki yang dipercayai turut terlibat dalam kes itu, katanya selepas menghadiri sambutan Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau juga berkata, tempoh tahanan reman tiga pegawai SPRM itu, yang berakhir semalam, dilanjutkan tiga hari mulai hari ini.

Tiga pegawai itu, yang bertugas di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, ditahan kerana disyaki menyamun seorang pengurup wang rakyat asing membabitkan wang berjumlah kira-kira RM900,000. - Bernama

* Sungguh memalukan...

Pas tunduk kepada DAP dalam hukum hudud - Mukhriz

SUNGAI PETANI 27 Sept. - Langkah Pas untuk tidak melibatkan masyarakat bukan Islam dalam hukuman hudud yang dicadangkan oleh kerajaan Kelantan menunjukkan parti itu tunduk kepada tekanan DAP, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir.

Malah, katanya, ada kemungkinan Pas akan menarik balik cadangan untuk melaksanakan hukuman hudud seperti yang berlaku berulang kali berlaku sebelum ini kerana DAP dilihat sebagai parti paling dominan dalam pakatan pembangkang terdiri Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat.

"DAP tidak pernah kalah dalam sebarang tuntutan, desakan mahupun sebarang perselisihan ideologi yang wujud antara tiga parti komponen ini, malah hukuman hudud ini diperkatakan sejak berpuluhan tahun dahulu tetapi hingga ke hari ini ia masih tidak dapat dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis jamuan raya UMNO Bahagian Sungai Petani di sini hari ini. - Utusan

* Kalau kita kata jahil dia marah pula...

Abu Seman: Polis pukul orang tak akan dilindungi

Anggota polis yang melakukan kesalahan tidak akan dilindungi dan tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap mereka yang didapati bersalah, tegas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop.

Beliau berkata, polis dianggap sebagai anggota profesional dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan bertolak ansur dengan sebarang perlakuan yang menyalahi undang-undang.

"Pegawai kerajaan sepatutnya bagi contoh baik kepada orang ramai dan bukan melakukan sebaliknya," kata beliau ketika diminta mengulas dakwaan seorang pekerja pembersihan sisa pepejal, Mohd Ridzuan Mohd Noor dibelasah enam anggota polis di Kodiang, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 11.20 pagi itu, Mohd Ridzuan, 23 dibelasah kerana menegur seorang anggota polis berumur 40-an yang membuang sampah di luar tong sampah.

Mohd Ridzuan berkata, mereka bertengkar dan anggota polis itu memberi amaran akan menembaknya sebelum meninggalkan tempat kejadian. Bagaimanapun kira-kira setengah jam kemudian anggota polis itu kembali bersama-sama lima rakan dan membelasahnya.

Pekerja sisa pepejal itu juga mendakwa digari dan dimasukkan ke dalam lokap di Balai Polis Kodiang dan dilepaskan setengah jam kemudian. Beliau membuat aduan di ibu pejabat polis Kubang Pasu kira-kira jam 1.40 pagi Ahad lalu.

Abu Seman berkata, tindakan hanya boleh diambil berdasarkan hasil siasatan Akta Polis atau Kanun Keseksaan.

Beliau yang diiringi Setiausaha Bahagian Keselamatan Kawasan Sempadan merangkap Ketua Pengarah Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP), Datuk Abdul Rahim Ismail mengadakan lawatan ke kawasan sempadan dari Bukit Kayu Hitam hingga Perlis hari ini.

- Bernama

* Buktikan...

Tentera pengaman AU akui bunuh jurugambar



Tentera pengaman Kesatuan Afrika (AU) yang melawan pihak pemberontak di ibu negara Somalia, Mogadishu, mengakui hari ini bahawa askarnya mungkin secara tidak sengaja telah menembak mati seorang jurugambar Malaysia pada awal bulan ini.

Noramfaizul Mohd Nor terbunuh apabila tentera pengaman dari Burundi yang meronda di bandar itu melepaskan tembakan ke atas kenderaannya. Seorang lagi wartawan Malaysia juga cedera pada kejadian itu.

"Lembaga siasatan yang ditubuhkan mendapati empat orang askar terlibat dalam kejadian tembakan itu ... dan mengesyorkan supaya keempat-empat askar, dari Burundi itu dihadapkan ke mahkamah mengikut proses ketenteraan dan undang-undang negara mereka," kata kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukan pengaman Amisom.

Menurut kenyataan itu lagi, keempat-empat orang askar itu juga telah digantung daripada dtugas.

Amisom mempunyai kira-kira 9000 askar di Somalia bagi menghalang pemberontak yang disokong oleh al-Qaeda dan sekutunya daripada menumbangkan kerajaan yang didirikan dengan bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Militan al-Shabaab menarik diri dari Mogadishu pada bulan lalu tetapi memberi amaran, mereka akan menjalankan serangan gerila di bandar itu, termasuk melancarkan serangan bom kereta dan serangan berani mati. - Reuters

* Bila nak hantar bantuan ke sana lagi? dan jangan lupa baju kalis peluru...

Nik Aziz: DAP ibarat ‘budak kecil takut hantu’


KOTA BARU, 26 Sept – Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata hukum hudud yang mahu dilaksanakan di Kelantan sama sekali tidak kena-mengena dengan masyarakat bukan Islam terutama DAP yang juga tiada sebab membantah undang-undang Islam itu dilaksanakan.

Ia kenyataan pertama beliau selepas petang tadi kepimpinan Pakatan Rakyat mengarahkan pemimpin-pemimpin parti komponen tidak membuat kenyataan isu berkenaan sehingga ia dibincangkan Rabu ini.

Sehubungan itu beliau menyifatkan DAP seperti “budak-budak kecil takutkan hantu” sedangkan hukum hudud sebenarnya lebih adil dan tidak membabitkan golongan bukan Islam.

“DAP nak keluar (gabungan pembangkang) pasal apa? Hudud untuk orang Islam dan apa hubungan dia (DAP) dengan orang Islam,” katanya kepada pemberita di kediaman Menteri Besar di sini hari ini.

Semalam, Nik Aziz (gambar) berkata hukum hudud itu akan dilaksanakan di Mahkamah Syariah di Kelantan walaupun mendapat tentangan daripada DAP.

Malah semalam, pemimpin-pemimpin kanan DAP dilaporkan akan meletakkan jawatan beramai-ramai sekiranya terdapat usaha meletakkan matlamat menjadikan negara Islam atau melaksanakan hukum hudud di negara ini.

Pada satu ceramah di Kuala Lumpur kelmarin, Nik Aziz menegaskan hukuman gantung sampai mati yang dilaksanakan dalam sistem perundangan negara ini lebih kejam daripada undang-undang Islam atau hukum hudud.

Jelas beliau, bagi jenayah berat seperti membunuh, merompak, menjual dadah dan sebagainya penjenayah boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati tetapi jika mengikut hukum hudud adalah potong tangan.

“Apa yang nak takut sangat (dengan hukum hudud)? Macam takut hantu... orang takut hudud macam takut hantu, tapi bila tanya apa itu hudud tidak tahu,” katanya lagi.

Petang tadi, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali meminta semua pemimpin Pakatan Rakyat tidak membuat sebarang kenyataan mengenai hukum hudud sehingga mesyuarat bulanan mereka lusa.

Ia adalah persetujuan yang dicapai antara beliau dengan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifudin Nasution Ismail dan Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke, katanya kepada pemberita.

Mustafa berkata, mesyuarat pada hari tersebut yang sepatutnya membincangkan mengenai Bajet 2012 tetapi akan meletakkan isu sensitif hukum Hudud sebagai keutamaan dan satu pendirian bersama akan dibuat. - TMI

26 September 2011

Bapa 5 anak rogol gadis OKU

KUALA TERENGGANU: Seorang bapa lima anak dihukum penjara 14 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas didapati bersalah merogol seorang remaja kurang upaya (OKU) di sebuah bangsal kebun limau pada 21 Ogos lalu.

Hakim, Wan Fadhilah Nor Wan Idris menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang bekerja sebagai pengait buah kelapa sawit selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap mangsa yang turut mempunyai ikatan kekeluargaan dengannya. Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan hukuman atas alasan dia mempunyai anak yang ramai selain mengaku insaf atas perbuatannya. Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 13 tahun satu bulan di bangsal kebun limau pada jam 4 petang.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun dan dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Masriwani Mahmud manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bharian

Mahkamah Rayuan ketepikan keputusan membebaskan lima lelaki

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini memerintahkan lima lelaki membela diri atas tuduhan membunuh selepas mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Johor Baharu yang melepas dan membebaskan mereka.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datin Paduka Zaleha Zahari, Datuk Abdul Wahab Patail dan Datuk Zaharah Ibrahim membenarkan rayuan pihak pendakwa supaya mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi itu yang membebaskan lima orang itu tanpa diminta membela diri. Hakim Zaleha berkata, mahkamah Rayuan berpendapat wujud kes prima facie terhadap Rasdi Ngasiman, 29; Samsudin Muhammad Yusuf, 29; Zaini Sabtu, 26; Zainal Sabtu, 28; dan Mohd Yazid Tukimin, 28. Beliau kemudian mengembalikan kes itu ke Mahkamah Tinggi untuk mereka membela diri.

Lima lelaki itu adalah antara sembilan orang yang dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 19 November 2007 kerana kematian Md Ridzuan Jumaat, 19, di padang permainan di Jalan Tembikai 17, Taman Kota Masai, Johor Baharu.

Bagaimanapun, pihak pendakwa meneruskan rayuan hari ini terhadap lima orang itu selepas ia tidak dapat menyerahkan notis pendengaran rayuan pada empat yang lain.

Hakim Zaleha kemudian menetapkan 8 Nov bagi sebutan kes Rosman Jiman, 30; Mohd Eddy Mohamed, 28; Mohd Nazri Dempok dan Mohd Syawal Shamsuddin, 25; selepas timbalan pendakwa raya Najib Zakaria memberitahu mahkamah bahawa beliau akan cuba menyerahkan notis ke atas empat orang itu.
Terdahulu, Najib berhujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad (kini hakim Mahkmah Rayuan) silap bila beliau membebaskan lima orang itu tanpa memerintahkan mereka membela diri.

Beliau berkata, pakar patologi mendapati sebab kematian Ridzuan ialah kecederaan berganda, besar kemungkinan disebabkan pukulan benda tumpul.

Mayat Ridzuan ditemui terapung dekat tebing sungai oleh seorang pemandu lori Ng Chiew Piae ketika sedang memancing.

Najib berkata, hakim perbicaraan membebaskan mereka atas alasan terdapat keraguan tentang sebab kematian sebagaimana dinyatakan oleh ahli patologi yang menyatakan terdapat kemungkinan mati lemas.

Beliau berkata, bukti pendakwaan menunjukkan si mati dipukul oleh responden, termasuk dengan helmet dan batang kayu, dan juga ditendang akibat cemburu, yang cukup untuk dibuat kesimpulan bahawa responden memang mahu membunuh Md Ridzuan.

Najib berkata, keterangan teman wanita si mati yang menemaninya (si mati) ke padang permainan itu dan mengenalpasti responden sebagai orang yang memukul si mati yang tidak mempunyai peluang untuk mempertahan diri.

Peguam K Sandrasegaran berkata, tidak terdapat kaitan antara rantaian peristiwa kerana tidak terdapat bukti yang mengaitkan serangan itu di padang permainan dengan kejadian lemas. - BERNAMA

Pelacur solo kejar lelaki miang

KUALA LUMPUR – Penglibatan wanita asing dalam kancah pelacuran seakan-akan tiada penghujungnya walaupun banyak operasi dilakukan apabila mereka kini didapati menggunakan dua taktik baharu bagi mendapatkan wang.

Pelacur-pelacur muda berusia lingkungan 20-an dari China, Uzbekistan, Vietnam, Afrika, Mongolia dan Filipina itu kini memilih menjalankan perniagaan secara bersendirian tanpa membabitkan ejen dan akan ‘beraksi’ di kondominium atau apartmen mewah.

Difahamkan, rata-rata mereka yang memasuki negara ini dengan menggunakan pas lawatan sosial dan pelajar, mengenakan bayaran RM500 untuk sekali perkhidmatan.

Mereka yang terlibat kebanyakannya pernah dijadikan pelacur oleh ejen masing-masing ketika mula datang ke sini dengan bekerja di pusat urut dan refleksologi. Mungkin kerana bosan dicekup, mereka kemudian memilih modus operandi baharu itu.

Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Azman Mohd. Isa (gambar) memberitahu, siasatan mendapati, pelacur dari Afrika, Nigeria, Filipina, Vietnam dan China memilih untuk bergerak sendiri mencari pelanggan.

Katanya, pelacur yang menggunakan pas lawatan sosial dan pelajar itu hanya perlu ke kelab malam untuk memancing pelanggan sebelum membawa mereka ke hotel atau rumah sewa untuk lakukan seks.

“Alasan yang sering diberi jika dicekup ialah mereka perlu mencari duit lebih untuk menampung yuran pengajian kolej. Berdasarkan tangkapan, lebih 50 peratus pelacur negara itu telah datang ke sini berulang kali.

“Ketika dinaungi sindiket, mereka terpaksa menggunakan orang tengah untuk mencari pelanggan tetapi selepas mahir dan mempunyai pelanggan tetap, mereka ‘membuka’ perniagaan sendiri. Cara itu lebih menguntungkan kerana tidak perlu bayar wang perlindungan,” dedahnya.

Azman memberitahu, pelacur dari Mongolia, Uzbekistan, China dan Vietnam pula didapati lebih cenderung menggunakan kondominium dan apartmen mewah untuk menjalankan aktiviti persundalan di sini.

Bagaimanapun katanya, mereka masih memerlukan ejen untuk mencari pelanggan. Mereka mengenakan bayaran RM1,000 bagi setiap perkhidmatan kerana berstatus pelacur kelas atasan.

“Polis menghadapi kesukaran untuk mengekang dan mengesan mereka kerana mereka tidak menetap di kondominium dan apartmen mewah tersebut dan kerap berpindah,” katanya.

Ujar Azman, selain itu, premis tersebut mempunyai kawalan keselamatan yang ketat serta mempunyai kamera litar tertutup.

Bagaimanapun katanya, polis ada juga melakukan serbuan dan tangkapan terhadap pelacur yang menggunakan taktik sebegitu.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti pelacuran supaya menyalurkannya kepada polis berikutan bilangan pelajar dan pelancong warga asing yang terlibat meningkat saban tahun. - Kosmo

Murid tahun 4 ketua penyamun

BETONG: Seorang murid tahun empat dipercayai menjadi ketua satu geng pecah rumah dianggotai enam remaja yang memecah masuk rumah sepasang suami isteri dan melarikan pelbagai barangan kemas bernilai RM5,000.

Budak lelaki itu dan lima rakannya yang berusia antara 12 hingga 14 tahun melakukan kegiatan itu di rumah mangsa di kompleks kediaman kakitangan kerajaan di sini, 17 Oktober lalu, sebelum mereka ditahan polis pada Jumaat dan kelmarin.

Pemilik rumah berkenaan yang berusia 34 tahun membuat laporan polis sebaik menyedari kejadian itu selepas dia dan isterinya pulang bercuti dari Kanowit, kira-kira jam 8 malam Jumaat lalu.

Polis menahan seorang anggota kumpulan terbabit berusia 13 tahun di rumahnya beberapa jam selepas mangsa membuat laporan sebelum lima yang lain ditahan bersama pelbagai barangan kemas keesokannya.

Sumber polis berkata, semua suspek kejadian pecah rumah itu mudah diselesaikan apabila mereka dikesan memakai minyak wangi yang mempunyai bau sama dipercayai yang dicuri dari rumah mangsa. “Kumpulan penyamun cilik itu dipercayai sempat ‘berkelah’ di rumah pasangan terbabit sambil menjamu selera bijirin dan coklat sebelum mencuri pelbagai barangan kemas dan barang berharga,” katanya.

Menurutnya, sebaik mangsa pulang dari bercuti, mereka terkejut apabila mendapati dapur rumah berselerak dengan bijirin serta coklat sebelum melakukan pemeriksaan.

“Pasangan terbabit kemudian memeriksa bahagian atas dan mendapati laci almari terbuka, manakala barang kemas serta barangan berharga lain hilang sebelum mangsa membuat laporan polis, kira-kira jam 7.30 malam.

“Susulan laporan itu, polis menggerakkan operasi bagi memburu anggota kumpulan terbabit dan berjaya menahan seorang suspek berusia 13 tahun di rumahnya beberapa jam kemudian dan lima lagi rakannya pada keesokan hari,” katanya.

Sumber itu berkata, berikutan penahanan itu, polis menemui semula barangan berharga seperti rantai, gelang, cincin dan subang dicuri suspek.

“Kita turut mendapat maklumat mengenai gerak-geri kumpulan terbabit melalui penduduk yang kebetulan terserempak kelibat mereka di sekitar rumah berkenaan pada hari kejadian,” katanya.

Menurutnya, semua suspek direman empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 457, Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan Mohd Bukhori Saffai ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan ibu bapa remaja terbabit sudah dimaklumkan mengenai penahanan anak mereka. - Mymetro

Lelaki dihentak guna botol arak

AMPANG: Gara-gara mabuk sekumpulan lelaki bertindak di luar kawalan apabila membuat kacau di sebuah restoran di Pandan Indah, di sini, kelmarin, malah hilang kawalan apabila membelasah seorang lelaki dengan kerusi dan botol arak menyebabkan dia menerima 21 jahitan di kepala.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa berusia 24 tahun yang minum di situ terkejut apabila enam lelaki tidak dikenali dalam keadaan mabuk menyerangnya.

Malah, mangsa tidak sempat menyelamatkan diri menyebabkan kepalanya dihentak dengan botol, malah turut dibaling dengan kerusi.

Menurut sumber, kumpulan lelaki terbabit mendakwa mereka samseng dan mengugut pelanggan di situ supaya jangan melawan jika tidak mahu diapa-apakan.

“Mangsa yang berdarah di kepala cuba melarikan diri, namun gagal apabila suspek mengepungnya sebelum memukulnya beberapa kali.

“Selepas beberapa minit membelasah mangsa, kumpulan terbabit melarikan diri menaiki sebuah kereta,” katanya.

Sumber berkata, mangsa yang kesakitan buntu punca dia dibelasah suspek kerana sebelum ini mereka tidak pernah berjumpa.

“Akibat kejadian itu, dia cedera di kepala dan badan serta menerima rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia dengan 21 jahitan di kepala.

“Bimbang kejadian itu berulang, mangsa pergi ke Balai Polis Pandan Indah untuk membuat laporan kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan. - Mymetro

Pekerja swasta dakwa dipukul polis

JITRA – Seorang pekerja syarikat pembersihan sisa pepejal mendakwa dipukul oleh anggota polis ketika sedang menjalankan tugas di sebuah taman perumahan di Kodiang dekat sini pada 11.30 pagi Sabtu lepas.

Mohd Ridzuan Mohd Noor, 23, berkata, ketika kejadian dia sedang mengangkut sampah di kawasan itu dan dia menegur seorang lelaki yang tidak membuang sampah ke dalam tong sampah yang disediakan di situ.

"Saya hanya menegur supaya dia buang sampah ke dalam tong sampah. Mungkin dia tidak puas hati dengan teguran saya dan dia terus tinggikan suara dan masa tu berlaku pertengkaran mulut.

"Dia juga mengugut nak tembak saya kalau dia ada pistol sebelum dia beredar dari tempat itu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Katanya, kira-kira 30 minit selepas kejadian pertengkaran mulut berlaku, dia didatangi lima lelaki lain yang datang dan memukulnya tanpa sebab.

"Depa (mereka) menendang saya hingga jatuh. Kemudian depa heret saya dengan tangan bergari bawa saya ke Balai Polis Kodiang dengan menaiki motosikal. Sampai di balai, saya dibawa masuk ke dalam sebuah bilik dan dipukul.

"Kemudian lelaki yang bertengkar dengan saya datang ke bilik itu dan turut memukul saya sebelum saya dibawa masuk ke dalam lokap tanpa sebab.

“Masa tu baru saya tau dia (lelaki yang bertengkar dengannya) adalah anggota polis,” kata mangsa.

Dia berkata dia ditahan di dalam lokap kira-kira setengah jam sebelum anggota polis tersebut melepaskannya. – Bernama

* Sepatutnya polis ini diambil tindakan ke atasnya jika dia benar-benar bersalah...

Maut ditetak sekumpulan lelaki

IPOH - Seorang remaja maut selepas ditetak sekumpulan lelaki di kawasan perusahaan Menglembu di sini malam tadi, menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dzuraidi Ibrahim.

Beliau berkata, mangsa K. Pirathibaraj, 19, berasal dari Taman Buntung di sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.

Katanya, kejadian berlaku pada pukul 8 malam tadi apabila mangsa yang menunggang motosikal dikejar oleh sekumpulan lapan lelaki yang menaiki empat buah motosikal berhampiran simpang empat lampu isyarat Falim, Menglembu.

Mangsa kemudian dikepung dan kumpulan lelaki itu menyerang dengan menetak di kepala dan badan dengan parang, katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata kumpulan itu kemudian melarikan diri selepas mangsa terbaring di atas jalan manakala polis yang menjalankan siasatan ke tempat kejadian menemui dua bilah parang yang dipercayai digunakan oleh kumpulan berkenaan.

Motif kejadian belum diketahui dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya sambil menambah bahawa siasatan juga mendapati mangsa tidak mempunyai kes jenayah sebelum ini.

Polis melancarkan gerakan memburu kumpulan berkenaan dan meminta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di nombor telefon 05-2451500 untuk membantu siasatan, katanya. - Bernama

Ditahan ragut rantai leher kekasih

KUANTAN – Seorang lelaki ditahan selepas teman wanitanya membuat laporan polis berhubung tindakannya meragut rantai leher dan mencuri pemain cakera video digital (DVD) wanita berkenaan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Supt Nordin Mustapha berkata, mangsa yang berusia 43 tahun ini hanya membuat laporan polis semalam selepas dua minggu merayu teman lelakinya itu memulangkan semula rantai leher dan pemain DVD berkenaan.

"Kejadian ragut itu berlaku pada 11 September lepas apabila teman lelakinya itu datang ke rumah mangsa kira-kira 7.30 pagi sebelum bertindak meragut rantai mangsa dan melarikan pemain DVD milik wanita berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, berikutan laporan itu, polis berjaya menahan suspek yang berusia 30 tahun, yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, di rumah suspek di Batu 3, Jalan Gambang semalam.

"Siasatan awal mendapati rantai leher milik mangsa telah dijual suspek bagaimanapun pemain DVD itu masih disimpannya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya.

Jumlah kerugian mangsa yang bekerja sebagai pencuci pejabat itu dianggarkan bernilai RM3,000. – Bernama

Warga Bangladesh dituduh cabul pelajar kolej swasta

KUALA LUMPUR, 26 Sept – Seorang lelaki warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini Isnin terhadap tuduhan mencabul seorang pelajar wanita kolej swasta, enam hari lalu.

Pekerja pasar raya Md Kamruzaman Chansarif, 28, didakwa mencabul kehormatan dengan memeluk dan mencium pipi pelajar berusia 19 tahun itu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan lif Tingkat 5, Kolej Segi, No. 33-35, Jalan Hang Lekiu, Dang Wangi di sini kira-kira 12.30 tengah hari, 20 September lalu, lapor Bernama Online.

Md Kamruzaman yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh tidak memohon kepada mahkamah untuk diikat jamin atas alasan tiada penjamin.

Majistret Siti Shakirah Mohtarudin menetapkan 31 Oktober untuk sebutan kes dan bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.

Pendakwaan dilakukan Cif Inspektor D.R. Ghanthi Nathan. - TMI

Inkues: Tiada unsur jenayah dalam kematian Sarbaini


Mahkamah Koroner Kuala Lumpur memutuskan Penolong Pengarah Kastam Selangor Ahmad Sarbaini Mohamed, 56 jatuh dari pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kuala Lumpur selepas berada pada belebas tingkap bangunan itu.

Koroner Aizatul Akmal Maharani, dalam penghakimannya kepada mahkamah yang penuh sesak, berkata teori bahawa SPRM terlibat dengan kematiannya tidak boleh diterima.

Sehubungan itu, beliau menolak bunuh diri, homisid ataupun penglibatan pihak ketiga bagi alasan kematian.

"Tidak ada tanda-tanda pergelutan pada kejadian itu dan mahkamah juga menolak bahawa dia membunuh diri."

Menurut koroner, beliau percaya Ahmad Sarbaini terjatuh dari bangunan itu dan dalam keadaan sedar semasa jatuh.

"Mahkamah juga mendapati dia mati serta-merta dalam kejatuhan itu dengan kakinya terjatuh dahulu sehingga mencederakan kedua-dua belah kakinya dan juga mengalami kecederaan teruk di kepala."

Peawai Pejabat Peguam Negara Mohd Abazafree Mohd Abbas membantu dalam inkues itu manakala SPRM diwakili oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Keluarga Ahmad Sarbaini pula diwakili oleh peguam Awtar Singh mewakili manakala peguam Rosli Dahlan dan Nadia Marni Mat Zin bertindak sebagai pemerhati bagi syarikat multinasional DB Schenker Logistics (M) Bhd.

Antara penemuan penting inkues itu adalah bahawa sistem litar tertutup CCTV SPRM didapati diganggu dengan 22 jam rakaman termasuk tempoh apabila Ahmad Sarbaini datang ke premis agensi itu telah dipadamkan.

Seramai 34 saksi memberi keterangan pada inkues yang mengambil masa 14 hari untuk selesai.

Saksi-saksi yang tampil, termasuk dua ahli patologi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Faridah Md Nor dan Dr Shahrum Abd Wahid.

Ahmad Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang, ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu pejabat SPRM di Jalan Cochrane 6 April lalu.

Beliau sebelum itu ditangkap sebagai sebahagian daripada program 3B tetapi kemudiannya dibebaskan sebelum kembali kepada SPRM pada hari kejadian itu.

Beliau dilaporkan ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah membabitkan 62 pegawai Kastam.

Kawan-kawan dan ahli-ahli keluarga mendakwa terdapat unsur jenayah dalam kematiannya. Mereka berkata, Ahmad Sarbaini adalah seorang pegawai yang bersih dan telah merancang untuk menunaikan fardu haji tahun ini bersama isteri dan ibu bapanya.

Balu allahyarham Masiah @ Maziah Manap dan pengerusi Sosial Care Tan Sri Robert Phang turut hadir di mahkamah. - Malaysiakini

* Mengapa dia ada ditingkap itu? Sedangkan dia tidak dibunuh dan tidak membunuh diri. Siapa yang padam CCTV semasa kejadian itu?

25 September 2011

Pegawai Kastam Yang Terlampau

Kesatuan: Jangan aib Kastam, Sarbaini dengan video seks tanpa asas

KUALA LUMPUR, 25 Sept — Blog-blog pro-Umno, yang mengeluarkan klip video seks dengan entri mengaitkan inkues kematian Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed, tidak wajar menyiarkan bahan-bahan tanpa bukti, yang secara langsung mengaibkan Kastam Diraja Malaysia dan individu yang sudah pun meninggal dunia.

Presiden Kesatuan Pegawai-pegawai Kastam Semenanjung Malaysia Ibrahm Ahmad berkata, blog The Unspinners tidak wajar mengeluarkan klip video berjudul “Pegawai Kastam Yang Terlampau” — yang merujuk kepada agensi itu dan kakitangannya kerana inkues hanya menyiasat kematian Sarbaini, yang mati ketika berada di premis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kata beliau, fokus inkues sangat jelas iaitu melihat pada punca kematian Sarbaini di SPRM dan bukannya soal lain.

Sarbaini merupakan salah seorang daripada 62 orang pegawai Kastam disoal siasat oleh SPRM awal April lalu.

“Permintaan kami, tolong hentikan kerja-kerja menyiarkan klip video yang mengaibkan orang lain, tolong hentikanlah,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

“Pihak kesatuan kecewa dengan pemblog yang menyiarkan klip ini. Tolong jangan kaitkan dengan inkues Sarbaini kerana inkues tersebut sedang berjalan untuk mencari punca kematian Sarbaini,” kata beliau lagi.

Keputusan inkues akan diketahui esok.

“Tindakan blog ini sebenarnya akan menyebabkan reputasi atau maruah keluarga Sarbaini tercemar, juga menyebabkan maruah keseluruhan Jabatan Kastam turut tercemar,” tambah Ibrahim.

Ibrahim yang agak terkejut dengan tindakan blog itu menambah, “kami tidak mengesyaki siapa di belakang perbuatan ini.”

“Kami tidak syak sesiapa, walaupun ada orang kata pihak ini pihak itu. Saya tak berani tuduh... tak tahu, cuma kita minta (pemblog dan laman blog) hentikan perbuatan macam ini,” katanya lagi.

Kelmarin, The Malaysian Insider membawa laporan penyiaran klip berkenaan, usaha yang dilihat sebagai percubaan mahu mencemarkan reputasi pegawai-pegawai Kastam Diraja Malaysia menjelang keputusan inkues yang akan diumumkan berhubung kematian Sarbaini.

Video itu, yang kelihatan dirakamkan secara rahsia, menunjukkan seorang lelaki Melayu mengadakan hubungan seks dengan wanita Caucasus, dipercayai di sebuah bilik hotel.

Blog The Unspinners merupakan laman pertama mengeluarkan video itu, mendakwa lelaki dalam rakaman itu adalah seorang pegawai kastam manakala wanita itu pula pelacur rakyat Rusia.

Lelaki dalam video itu tidak dinamakan tetapi pemblog itu memaut rakaman tersebut yang berjudul “Pegawai Kastam Yang Terlampau,” dengan kematian seorang pegawat kastam di bangunan pejabat SPRM Wilayah Persekutuan 6 April lalu.

Pemblog itu berpendirian selari dengan kedudukan SPRM dan peguamnya Datuk Seri Muhamad Shafee Abdullah ketika prosiding berkenaan kematian Sarbaini.

Video itu dikaitkan dengan Kastam Diraja Malaysia selepas balu Sarbaini memberikan satu kenyataan kepada Raja Petra Kamarudin yang mengendalikan blog Malaysia Today, mendakwa kenyataan Shafee dan SPRM telah mencemarkan nama suaminya.

Maziah Manap berkata dia tidak gembira dengan kenyataan Shafee kerana mendakwa suaminya cuba mahu melepaskan diri daripada SPRM untuk bertemu dengan seorang rakannya dan bagi memastikan kenyataan mereka adalah konsisten.

Kata blog itu, Sarbaini adalah pegawai kastam yang ada kes rasuah yang sedang disiasat dan “hairannya Raja Petra cuba nak pertahankan kematiannya seolah-olah SPRM ada lakukan ‘foul play’.”

Pemblog itu menambah, apa yang ditulis Raja Petra adalah motif pembangkang yang mahu kes Sarbaini seperti mendiang bekas setiausaha politik Teoh Beng Hock bagi mendapatkan sokongan pegawai kerajaan.

Pada 12 September lalu, Shafee berkata keputusan inkues berhubung kematian Sarbaini, Penolong Pengarah Kastam Selangor, perlu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Shafee mewakili SPRM dalam inkues itu berkata tiada sedikitpun keterangan untuk mencadangkan bahawa kematian beliau disebabkan dibunuh atau terdapat pembabitan pihak ketiga seperti didakwa seorang peguam bagi keluarga itu, Awtar Singh.

Shafee berkata, mangsa telah mati selepas jatuh dari belebas tingkap di tingkat tiga tingkat bilik pantri dan ditemui mati di tingkat satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane di sini.

Shafee juga menjelaskan bahawa SPRM tidak mempunyai sebab untuk marah atau kecewa memandangkan bahawa mangsa telah bercadang untuk menukar kenyataannya pada 6 April 2011.

Dalam penghujahan bertulis 19 halaman, Awtar berkata wujud elemen ‘main kotor’ oleh SPRM yang menyebabkan kematian Sarbaini.

“Mungkin SPRM tidak berniat menyebabkan kecederaan kepada mangsa atau membunuhnya, tetapi terdapat elemen kecuaian dalam kes ini yang menyebabkan kematian Sarbaini,” katanya.

Awtar berkata siasatan ke atas kematian Sarbaini tidak begitu lengkap kerana banyak persoalan masih belum berjawab termasuk kenapa mangsa berada di luar tingkap.

Inkues itu bermula 4 Julai lalu dan berakhir 4 Ogos. - TMI

KP Kastam: Video seks kait kes Sarbaini perbuatan ‘kejam’

KUALA LUMPUR, 25 Sept ─ Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khalid Yusuf menyelar tindakan blog-blog pro-Umno mengeluarkan video seks, didakwa melibatkan pegawai agensi itu, sambil menyifatkannya sebagai perbuatan kejam kerana sanggup mengaitkan dengan kematian Ahmad Sarbaini Mohamed.

Dalam respons menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada The Malaysian Insider, Khalid berkata tiada bukti yang boleh mengaitkan pelaku dalam video seks itu adalah pegawai agensi tersebut seperti yang didakwa blog The Unspinners.

“Walaupun blog itu memaparkan dengan jelas perlakuan seks, namun setakat ini tiada maklumat lanjut mengenai siapakah sebenarnya pelaku terlibat, justeru tidak boleh dikatakan secara konklusif ia melibatkan warga Kastam,” kata beliau.

Malah kata beliau, “mengaitkan pelakuan seks tersebut dengan kes Sarbaini yang saya tidak nampak pertaliannya adalah perbuatan kejam dan tidak bertangungjawab jika bertujuan untuk mengaibkan orang yang telah kembali ke rahmatullah.”

Pertengahan minggu lalu, beberapa blog pro-Umno mengeluarkan video seks yang dilihat sebagai usaha mencemarkan reputasi pegawai-pegawai Kastam Diraja Malaysia menjelang keputusan inkues Sarbaini, yang akan diumumkan esok.

Klip video itu, yang kelihatan dirakamkan secara rahsia menunjukkan seorang lelaki Melayu mengadakan hubungan seks dengan wanita Caucasus, dipercayai di sebuah bilik hotel.

Blog The Unspinners merupakan laman pertama mengeluarkan video itu, mendakwa lelaki dalam rakaman itu adalah seorang pegawai Kastam manakala wanita itu pula pelacur warga Rusia.

Lelaki dalam video itu tidak dinamakan tetapi pemblog itu memaut rakaman tersebut yang berjudul “Pegawai Kastam Yang Terlampau,” dengan kematian seorang pegawai Kastam di bangunan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan 6 April lalu.

Pemblog itu berpendirian selari dengan pendirian SPRM dan peguamnya Datuk Seri Muhamad Shafee Abdullah ketika prosiding berkenaan punca kematian Sarbaini.

Pada 12 September lalu, Shafee berkata keputusan inkues berhubung kematian Sarbaini, Penolong Pengarah Kastam Selangor, perlu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Tambah Khalid, sepatutnya pihak yang mempunyai bukti penglibatan pegawai Kastam dalam pelakuan seks membuat laporan polis dan bukan mendedahkan kepada umum.

“Jika seseorang mempunyai bukti kukuh mengenai pelakuan warga Kastam lebih sesuai jika dibuat laporan polis dan bertanggungjawab ke atas laporan tersebut,” katanya. - TMI

Nik Aziz: ‘Orang takut hudud macam takut hantu’


KUALA LUMPUR, 25 Sept ─ Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan hukuman gantung sampai mati yang dilaksanakan dalam sistem perundangan negara ini lebih kejam daripada undang-undang Islam atau hukum hudud.

Jelas beliau (gambar), bagi jenayah berat seperti membunuh, merompak, menjual dadah dan sebagainya penjenayah boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati tetapi jika mengikut hukum hudud adalah potong tangan.

“Apa yang nak takut sangat (dengan hukum hudud)? Macam takut hantu... orang takut hudud macam takut hantu, tapi bila tanya apa itu hudud tidak tahu.

“Di Malaysia ada hukuman gantung sampai mati bagi kesalahan jual dadah, merompak dan sebagainya tetapi orang tak kata apa pun... bagaimana dengan keluarga yang suaminya digantung sampai mati? Hudud tak mati, kenapa orang tak marah hukumam gantung sampai mati tapi marahkan saya pasal hudud?” katanya ketika berucap pada majlis Jamuan Aidilfitri Bersama Tuan Guru di dataran parkir Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan Dalam di sini malam tadi.

“Hudud tak mati... hudud adalah undang-undang Allah, benda ini hanya sekadar nak masuk dalam senarai undang-undang Kelantan dan yang laksanakan bukan saya tapi hakim.

“Kalau dibandingkan dengan hukuman gantung yang lebih kejam daripada hudud, hudud tak mati, cuma kerat tangan itu pun perlu ikut syarat-syarat yang ditetapkan. Hukum hudud tak mati, malah mereka masih boleh bekerja macam orang biasa,” katanya.

Sebelum ini, Nik Aziz berkata, beliau akan tetap dengan pendiriannya untuk menegakkan hukum hudud dan penubuhan negara Islam walaupun mendapat tentangan hebat daripada DAP.

Selain itu, Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, beliau juga lebih rela jika DAP mahu keluar daripada Pakatan Rakyat jika tidak bersetuju dengan pendiriannya mahu menegakkan hukum hudud dan menubuhkan negara Islam.

Kerajaan negeri Kelantan pimpinannya berusaha untuk melaksanakan undang-undang itu sejak awal 1990-an tetapi tersekat ekoran amaran kerajaan pusat yang disampaikan pada 1994.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pula secara peribadi menyokong pelaksanaan hukum hudud, tetapi katanya ia belum dibincangkan oleh Pakatan Rakyat.

Tambah Nik Aziz, hukuman hudud tidak semestinya dilaksanakan, namun mahu ia dimasukkan dalam undang-undang syariah Islam sedia ada.

“Dekat pilihan raya timbul balik, saya di Kelantan hanya nak masuk dalam undang-undang syariah Kelantan, lepas pada itu terserah kepada hakim (untuk laksanakan), bukan saya yang laksanakan.

“Bukan saya atau orang politik laksanakan, hakim yang tentukan,” kata Mursyidul Am PAS ini.

Dalam ceramah itu juga, Nik Aziz mengatakan ajaran Islam bukan diwujudkan oleh PAS tetapi Allah dan semua yang beragama Islam perlu mengikut perintah dan meninggalkan larangannya.

“Umno tolak Islam ambil kebangsaan, Islam bukan dari PAS... dari Allah, Islam adalah cara hidup dan semuanya perlu ikut cara Islam.

“Pangkah parti yang boleh selamatkan Islam, sekarang bukan Islam sahaja, demokrasi pun tak selamat... Islam datannya dari Allah, bumi, langit dan kita Allah yang punya,” katanya. - TMI

* Bunyi macam haram undi UMNO...

Bapa jerit minta tolong


BATU PAHAT 24 Sept. - "Buka pintu ini Boboi, cepat tolong ayah, panas!".

Itu jeritan terakhir seorang bapa, Hasan Dg. Patangga, 68, kepada anak bongsunya, Ahmad Borhan, 15, sebelum warga emas itu ditemui rentung dalam rumahnya di Kampung Parit Jabar Laut, Senggarang di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian pukul 1.30 pagi itu, Hasan yang bekerja mengambil upah di kebun kelapa sawit itu maut apabila rumahnya yang diperbuat daripada papan hangus terbakar.

Ketika kejadian, hanya Hasan bersama isterinya, Rohana Md. Amin, 53, yang mengalami penyakit angin ahmar dan anak bongsunya berada di rumah.

Bagaimanapun, Rohana dan Ahmad Borhan berjaya menyelamatkan diri.

Dua lagi anak pasangan itu iaitu Norashima, 20, menuntut di Kolej Teknikal Yayasan Melaka dan Nor Ummi, 17, di Sekolah Menengah Vokasional Inderapura, Kulaijaya.

Tambah menyedihkan arwah menjadi tempat keluarga itu bergantung untuk mencari rezeki kerana keadaan kesihatan Rohana ditambah pula keadaan Nor Ummi yang menghadapi masalah penglihatan.

Menurut Rohana, dia terdengar letupan kuat seperti mercun sebelum melihat api dan asap menyelubungi rumah.

Dia yang panik bergegas mengejutkan suami dan Ahmad Borhan yang tidur di bilik lain.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad mengesahkan kejadian itu manakala Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rengit, Akob Sidik menyatakan punca kejadian masih dalam siasatan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr. Mohd. Puad Zarkashi turut melawat dan menyampaikan bantuan sebanyak RM25,000 kepada keluarga Rohana untuk meringankan beban ditanggung mereka. - Utusan

Tiada ‘lampu hijau’ laksana hudud, tegas Najib


KUALA LUMPUR, 24 Sept — Datuk Seri Najib Razak menegaskan kerajaan pusat akan tetap menyekat sebarang usaha mahu melaksanakan hukum hudud — penegasan kedua oleh seorang perdana menteri Malaysia ke atas usaha kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS.

Penegasan sedemikian telah diberikan secara hitam putih oleh Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 1994.

Ketika bercakap kepada pemberita sempena lawatan kerja ke Tanjung Tualang di Perak hari ini, Perdana Menteri berkata, undang-undang Islam itu tidak sesuai untuk dilaksanakan sebab kerajaan perlu realistik dengan situasi negara ini.

PM Najib: Penegasan diberikan oleh Tun Dr Mahathir pada 1994.Najib berkata undang-undang berasaskan hukum hudud tidak akan dilaksanakan di negara ini kerana realiti keseimbangan jumlah masyarakatnya tidak mengizinkan undang-undang sebegitu dikuatkuasakan.

“Undang-Undang hudud, tidak akan laksanakan di Malaysia ini tetapi kita terima ini adalah undang-undang Tuhan dan sebagai sebuah parti yang terdiri daripada orang Islam, kita terima hakikat ini tetapi jika ia hendak dilaksanakan ia mesti berpaksikan kepada realiti.

“Jika ditanya para ulama sekalipun, undang-undang Islam itu tidak boleh dilaksanakan melainkan kita sudah mengambil kira persekitaran dan realiti sebenar masyarakat ketika itu,” katanya dipetik Bernama Online.

Najib berkata kerajaan kini telah pun mengambil kira prinsip “Maqasid Syariah” iaitu matlamat sebenar dalam pentadbiran untuk menyelesaikan permasalahan rakyat.

“Lagipun, matlamat sesuatu pentadbiran mengikut Islam ialah prinsip Maqasid Syariah yang antara prinsipnya ialah mempertahankan agama, nyawa, akhlak dan harta benda. Jadi dengan undang-undang yang sedia ada, prinsip maqasid syariah boleh dan mampu kita pertahankan,” kata Najib.

Beliau berkata matlamat sebenar perlu dicapai, yang antaranya memastikan rakyat dan negara ini sentiasa aman serta sejahtera.

Kelmarin, Nik Aziz menyifatkan kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai sesuatu yang melucukan apabila meminta Menteri Besar Kelantan itu merujuk hasrat mahu melaksanakan hukum hudud kepada pentadbiran Najib.

Nik Aziz berkata mengikut protokol pentadbiran negara mana-mana surat rasmi yang dihantar kepada perdana menteri tidak akan tamat tempoh kuat kuasa apabila penyandang semasa meletakkan jawatan.

“Saya tidak pernah mendengar dasar bahawa mana-mana surat yang dihantar oleh perdana menteri akan tamat tempoh kuat kuasa apabila perdana menteri tersebut meletakkan jawatan.

“Adakah semua perkara akan tamat tempoh dan perlu diperbaharui apabila berlaku peralihan perdana menteri? Lucu sekali cabaran Tun Mahathir . . . ,” kata Nik Aziz.

Sehubungan itu, kata Nik Aziz, beliau juga memohon Najib agar menarik balik surat, yang dikeluarkan ketika pentadbiran Dr Mahathir menghalang pelaksanaan hukuman hudud, membenarkan Kelantan melaksanakan undang-undang itu jika benar-benar Umno ikhlas berjuang untuk agama.

Dalam pada itu, Najib menyifatkan langkah Nik Aziz, Mursyidul Am PAS, memutarkan kembali cerita lama mengenai hudud sebagai taktik parti itu bertujuan menagih perhatian rakyat.

Beliau berkata taktik ini dilakukan selepas parti itu menerima kritikan hebat daripada rakyat negara ini ekoran kenyataan Timbalan Presiden parti itu Mohamad Sabu yang mempertikaikan peranan anggota polis dalam peristiwa Bukit Kepong dan menyanjung pengganas komunis sebagai pejuang tanah air.

“Saya nampak ini taktikal, sebab parti PAS sudah menerima pukulan cukup hebat ekoran daripada kenyataan Mohamad Sabu yang menidakkan pejuang-pejuang nasionalis yang terbunuh dalam insiden Bukit Kepong dahulu. Ia telah menimbulkan kemarahan yang begitu dahsyat dalam kalangan orang Melayu.

“Mereka sedar bahawa sokongan kepada mereka dah merosot dengan begitu ketara, jadi mereka cuba timbulkan isu hudud ini dengan harapan bahawa isu Mohamad Sabu itu akan tenggelam dan cuba muncul sebagai parti memperjuangkan Hudud dan menawan hati orang Melayu,” katanya.

Najib berkata isu hudud ini turut memperlihatkan kemelut persefahaman antara parti dalam pakatan pembangkang sudah tidak dapat ditutup lagi dan beliau yakin rakyat bijak menilai kelemahan mereka.

Kata beliau, dalam soal undang-undang hudud telah timbul satu keadaan di mana perbezaan “ideologi mereka sudah tidak boleh ditutup lagi, tidak boleh diselindung di hadapan mata rakyat.”

“Saya berharap ini dapat disedari oleh rakyat, kita tidak boleh meletakkan harapan kepada satu gabungan yang tidak sehaluan daripada segi prinsip dan ideologi.

“Walaupun mereka cuba mengaburi mata rakyat, tetapi lambat laun ia akan timbul bukan sahaja daripada segi hudud tetapi juga pembahagian jawatan dalam ‘Kabinet Bayangan’ mereka. Mereka belum berani merangka Kabinet mereka,” katanya. - Utusan

* Jawaplah begitu di hadapan Allah nanti wahai Najib...

Apple perkenal iPhone 5

NEW YORK 24 Sept. - Syarikat teknologi Amerika Syarikat (AS), Apple merancang untuk memperkenalkan telefon pintar generasi baru, iPhone 5, pada bulan depan.

Menurut blog AllThingsD, iPhone 5 dijangka dilancarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Apple Inc. yang baru, Tim Cook pada 4 Oktober ini.

Jelas blog itu, telefon pintar berkenaan akan berada di pasaran beberapa minggu selepas pelancaran tersebut.

‘‘Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang baru, Cook berada dalam tekanan untuk mengekalkan prestasi syarikat pada tahap terbaik.

‘‘Ini selepas beliau menggantikan tempat Steve Jobs yang melepaskan jawatan itu pada 24 Ogos lalu,’’ katanya.

Di bawah pimpinan Jobs, Apple mencipta pelbagai kejayaan cemerlang sehingga diiktiraf sebagai syarikat berpengaruh dalam industri teknologi maklumat global.

Apple juga mengalami revolusi di peringkat tertinggi menerusi pengenalan beberapa produk pengkomputeran moden seperti Power Mac G3, PowerBok dan juga iBook.

Apple turut mencipta kejayaan dalam bidang telekomunikasi pada 2007 apabila memperkenalkan peranti telefon bimbit pintar iPhone dan komputer tablet iPad yang kini semakin menarik perhatian masyarakat dunia.

Pada Jun tahun lalu, Apple mengeluarkan iPhone 4 dan mencatat jualan berjumlah AS$20.34 juta (RM61.02 juta) pada suku terakhir tahun yang sama. – Agensi

PM: Hudud tidak akan dilaksanakan di M'sia

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata undang-undang berasaskan hukum hudud tidak akan dilaksanakan di negara ini kerana realiti keseimbangan jumlah masyarakatnya tidak mengizinkan undang-undang sebegitu dikuatkuasakan.

"Undang-Undang hudud, tidak akan laksanakan di Malaysia ini tetapi kita terima ini adalah undang-undang Tuhan dan sebagai sebuah parti yang terdiri daripada orang Islam, kita terima hakikat ini tetapi jika ia hendak dilaksanakan ia mesti berpaksikan kepada realiti.

"Jika ditanya para ulama sekalipun, undang-undang Islam itu tidak boleh dilaksanakan melainkan kita sudah mengambil kira persekitaran dan realiti sebenar masyarakat ketika itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival 1Malaysia di Tanjung Tualang dekat Batu Gajah.

Najib berkata kerajaan kini telah pun mengambil kira prinsip "Maqasid Syariah" iaitu matlamat sebenar dalam pentadbiran untuk menyelesaikan permasalahan rakyat.

"Lagipun, matlamat sesuatu pentadbiran mengikut Islam ialah prinsip Maqasid Syariah yang antara prinsipnya ialah mempertahankan agama, nyawa, akhlak dan harta benda. Jadi dengan undang-undang yang sedia ada, prinsip maqasid syariah boleh dan mampu kita pertahankan," kata Najib.

Beliau berkata matlamat sebenar perlu dicapai, yang antaranya memastikan rakyat dan negara ini sentiasa aman serta sejahtera.

Perdana menteri juga menyifatkan langkah Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat memutarkan kembali cerita lama mengenai hudud sebagai taktik parti itu bertujuan menagih perhatian rakyat.

Beliau berkata taktik ini dilakukan selepas parti itu menerima kritikan hebat daripada rakyat negara ini ekoran kenyataan timbalan presiden parti itu Mohamad Sabu yang mempertikaikan peranan anggota polis dalam peristiwa Bukit Kepong dan menyanjung pengganas komunis sebagai pejuang tanah air.

"Saya nampak ini taktikal, sebab parti PAS sudah menerima pukulan cukup hebat ekoran daripada kenyataan Mohamad Sabu yang menidakkan pejuang-pejuang nasionalis yang terbunuh dalam insiden Bukit Kepong dahulu. Ia telah menimbulkan kemarahan yang begitu dahsyat dalam kalangan orang Melayu.

"Mereka sedar bahawa sokongan kepada mereka dah merosot dengan begitu ketara, jadi mereka cuba timbulkan isu hudud ini dengan harapan bahawa isu Mohamad Sabu itu akan tenggelam dan cuba muncul sebagai parti memperjuangkan Hudud dan menawan hati orang Melayu," katanya.

Najib berkata isu hudud ini turut memperlihatkan kemelut persefahaman antara parti dalam pakatan pembangkang sudah tidak dapat ditutup lagi dan beliau yakin rakyat bijak menilai kelemahan mereka.

"Dalam soal undang-undang hudud ini, telah timbul satu keadaan di mana perbezaan ideologi mereka sudah tidak boleh ditutup lagi, tidak boleh diselindung di hadapan mata rakyat.

"Saya berharap ini dapat disedari oleh rakyat, kita tidak boleh meletakkan harapan kepada satu gabungan yang tidak sehaluan daripada segi prinsip dan ideologi.

"Walaupun mereka cuba mengaburi mata rakyat, tetapi lambat laun ia akan timbul bukan sahaja daripada segi hudud tetapi juga pembahagian jawatan dalam "Kabinet Bayangan" mereka. Mereka belum berani merangka Kabinet mereka," katanya.

Di majlis itu, Najib yang ditemani isterinya Datin Seri Rosmah Mansor sempat meluangkan masa memancing udang galah di sebuah kolam bersama-sama masyarakat sekitar Tanjung Tualang yang terkenal sebagai Pekan Udang Galah. - Bernama

* Ulama mana Najib rujuk?

23 September 2011

'Lumba lari sambil bogel'


Pelacur khayal seks lintang-pukang tertinggal pakaian apabila diserbu

KUALA LUMPUR: Lima pelacur warga China bersama pasangan mereka rakyat tempatan lari lintang pukang dalam keadaan bogel apabila polis menyerbu sebuah pusat kesihatan haram di Bandar Puteri Puchong dekat sini, malam kelmarin. Semua pelacur dan pelanggan mereka dikatakan khayal dalam seks dan tidak sedar serbuan dilakukan sehingga tertinggal pakaian masing-masing di bilik ketika operasi jam 10 malam. Namun, semua mereka dapat ditahan selepas polis mengepung laluan keluar premis rumah kedai dua tingkat itu yang didapati menjalankan operasi haram berkenaan sejak kira-kira tiga bulan lalu.

Dalam serbuan bahagian risikan dan operasi Urusetia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diketuai Asisten Komisioner Aimmi Shah Fadhil, polis turut menahan lima lagi wanita China yang sedang memperagakan diri dalam keadaan separuh bogel sebelum dipilih pelanggan mereka.

Siasatan polis mendapati semua 10 wanita terbabit berulang-kali memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial dan menawarkan khidmat seks dengan bayaran RM180.

Dalam operasi berasingan di sebuah pusat kecantikan di Pandan Indah, Ampang, setengah jam kemudian polis menahan 13 wanita warga negara Vietnam dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO).
Mereka ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman kerana disyaki menawarkan khidmat seks di premis dua tingkat berkenaan.

Hasil pemeriksaan polis mendapati premis yang berselindung di sebalik lesen pusat kecantikan itu dipercayai bergiat aktif menjalankan aktiviti maksiat dan pelacuran sejak dua tahun lalu.

Ketua Operasi, Cif Inspektor Wiranti Abdul Wahid memberitahu modus operandi premis ini adalah meletakkan wanita warga Vietnam yang berpakaian separuh bogel di dalam bilik cermin kaca khas untuk dipilih pelanggan.

Siasatan polis juga mendapati kadar yang ditawarkan adalah antara RM160 hingga RM180 untuk pakej urutan batin dan khidmat seks.

Semua mereka yang ditahan dalam kedua-dua operasi itu turut disiasat mengikut Akta Imigresen atas kesalahan menyalahgunakan pas lawatan sosial, manakala pelanggan mereka ditahan untuk proses dokumentasi. - BHarian

* Ditahan hanya untuk proses dokumentasi?

Lelaki Arab Saudi dihukum pancung kerana membunuh

RIYADH: Seorang lelaki warganegara Arab Saudi dikenakan hukuman pancung hari ini di atas kesalahan membunuh, menurut kenyataan oleh Kementerian Dalam Negeri. Tertuduh yang dikenali sebagai Hamad al-Shahrani didapati bersalah menikam seorang lelaki beberapa kali dengan menggunakan pisau. Dia dikenakan hukuman tersebut di rantau Asser yang terletak di barat daya negara itu.

Sementara itu, Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Amnesty International menyatakan semalam bahawa negara itu sudah melaksanakan sekurang-kurangnya 44 hukuman mati sejak Januari lalu. - AFP

U Mobile unjur sejuta pelanggan bagi jalur lebar 42 Mbps

KUALA LUMPUR: U Mobile Sdn Bhd mengunjur dapat menarik sejuta pelanggan setiap tahun dengan perkhidmatan jalur lebar 42 Mbps (megabit sesaat), jalur lebar mudah alih terpantas di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Kaizad Heerjee berkata bahagian pasaran syarikat di Malaysia agak rendah berbanding saingan lain. "U Mobile adalah syarikat baru dan saya gembira untuk menyatakan kami pada kedudukan yang baik sebagai peneraju dalam pasaran data tanpa wayar," katanya dalam pengumuman di sini hari ini mengenai tawaran perkhidmatan jalur lebar 42 Mbps di Lembah Klang, Seremban dan Port Dickson. Kaizad berkata, perkongsian U Mobile dengan ZTE Corp akan menyaksikan peningkatan konsisten daripada 42 Mbps kepada 84 Mbps dan seterusnya 100 Mbps di Malaysia.

"Bagi baki tahun ini, U Mobile akan terus memberikan perkhidmatan yang mampu milik dan berkualiti serta kekal komited untuk memenuhi permintaan canggih pengguna yang cekap teknologi," katanya.

Ketua bahagian komersil data mudah alihnya, Kevin Henry, berkata syarikat akan cuba untuk melancarkan produk atau perkhidmatan baru setiap dua minggu.

"Kami merancang untuk membawa produk ini ke Sabah dan Sarawak tahun depan," katanya.
Beliau berkata, syarikat akan membenarkan pelanggan untuk 'menyewa' modem 42Mbps serendah RM20 sebulan apabila mereka memilih produk di pusat perkhidmatan U Mobile atau pengedar sah. - BERNAMA

Budak 2 tahun diperkosa di rumah pengasuh

PETALING JAYA: Seorang budak perempuan berusia dua tahun yang baru dibawa pulang ibunya dari rumah pengasuh dipercayai dirogol selepas mengadu sakit pada kemaluannya di Kota Damansara, di sini, kelmarin.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, ibu mangsa yang baru pulang dari tempat kerja menjemput anaknya seperti biasa di rumah pengasuh terbabit.

Bagaimanapun, setibanya di rumah, kanak-kanak itu menangis dan mengadu sakit di kemaluan dan selepas diperiksa, terdapat luka dan bengkak di bahagian berkenaan.

“Ibu mangsa membawa anaknya itu ke pusat kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan lanjut.

“Wanita itu terperanjat apabila doktor mengesahkan terdapat kesan kecederaan pada kemaluan anaknya akibat tusukan objek keras,” katanya.

Menurutnya, ibu mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Kota Damansara.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, siasatan awal mendapati semua penghuni di rumah pengasuh terbabit adalah wanita, namun tidak menolak kemungkinan suspek adalah orang dikenali mangsa. - Mymetro