Sunday, June 19, 2011

LL4G: Pidato Mohamad Sabu diarah dibatalkan

Penampilan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu sebagai seorang daripada pemidato semasa pelancaran Pasukan Lifeline4Gaza (LL4G) Malaysia malam tadi dibatalkan.

Menurut Harakahdaily, difahamkan pembatalan itu dibuat oleh pihak penganjur setelah “mendapat tekanan” daripada Pejabat Perdana Menteri.

"Pihak JPM maklumkan kepada kita, Datuk Seri Najib tak nak Mohamad Sabu menyampaikan pidato.

"Kalau penganjur nak teruskan juga dengan Mohamad Sabu, PM pula tak mahu datang rasmi," kata salah seorang petugas yang tidak mahu identitinya diumumkan.

Pihak penganjur juga menutup nama Mohamad dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin Abu Bakar yang dijemput sebagai mewakili BN pada backdrop di pentas.

Mohamad yang dihubungi Harakahdaily juga mengesahkan pembatalan itu.

"Semalam penganjur kata saya dijemput berucap tentang isu Palestin selama 10 minit.

"Tiba-tiba hari ini kata tak boleh pula, sedangkan dalam media semua dah sebut saya akan berpidato malam ini.

"Saya rasa dipermainkan," katanya dengan nada kecewa.

Sementara itu, Bernama melaporkan pada perasmian LL4G, malam semalam, Najib berkata Malaysia akan meminta Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memastikan keselamatan flotilla kemanusiaan yang bakal berlepas ke Gaza pada minggu depan.

MP PAS juga sertai Freedom Flotilla

Perdana Menteri berkata beliau akan menulis kepada Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon untuk melantik wakil bagi memeriksa dan mengesahkan flotilla kemanusiaan itu yang disertai lebih 600 pertubuhan bukan kerajaan dari 20 negara itu tidak membawa sebarang senjata, dan semata-mata membawa bantuan kemanusiaan.

Malaysia juga meminta PBB supaya memastikan keselamatan kapal-kapal flotilla kemanusiaan tersebut semasa ia berada di perairan antarabangsa.

Seramai 10 orang rakyat Malaysia, termasuk dua wakil media akan turut sama dalam pasukan Lifeline4Gaza (LL4G) kali kedua ke Gaza yang dikenali sebagai "International Freedom Flotilla II".

Selain Ketua Misi LL4G, Dr Noorazman Mohd Samsudin, rombongan kali ini akan disertai Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, Pengerusi AMAN Malaysia Datuk Ahmad Zaki Zahid, anggota parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad (kiri), dan Bendahari Muslim Care Malaysia Zulkefli Wahijan.

Turut sama Setiausaha Agung Pertubuhan Kebajikan Islamiah al Ehsan Ismail Darus, Wartawan Astro Awani Nazri Kahar serta jurukamera Astro Awani, Wan Yusani Amir.

Najib berkata permohonan yang kerajaan Malaysia kemukakan kepada PBB adalah berasaskan permohonan yang diterima dari LL4G yang didapati wajar dibantu oleh kerajaan.

"Kita tidak hendak 10 wira kita ini dilakukan sebarang penganiayaan terhadap mereka," katanya.

Terdahulu, dalam ucapan aluannya, Noorazman meminta kerajaan supaya mengemukakan dua cadangan kepada PBB bagi mengelak berulangnya tragedi ke atas "Freedom Flotilla" pada 31 Mei tahun lepas di mana enam buah kapal daripada flotilla itu diserang oleh tentera Israel di perairan antarbangsa.

Ketika tragedi itu, "Freedom Flotilla" anjuran Gerakan Pembebasan Gaza (FGM) dan Yayasan bagi Hak Asasi Manusia Turki sedang membawa bantuan kemanusiaan dan bahan binaan.

Misi tersebut yang dijangka memulakan pelayaran ke Gaza pada 27 atau 28 Jun bertemakan "Pertahankan Kemanusiaan" (Stay Human) dan akan disertai 13 buah kapal antarabangsa -- 10 kapal penumpang dan tiga kapal kargo.

Misi itu untuk menghantar bantuan kemanusiaan, turut akan memberi tekanan kepada Israel supaya menamatkan halangan ekonomi terhadap penduduk Palestin khususnya di Gaza.

Noorazman berkata, sebagai persiapan menghadapi sebarang kemungkinan termasuk serangan daripada tentera laut Israel, pihaknya akan memulakan latihan bermula esok, termasuk latihan kecemasan ketika berada di air, berhadapan dengan komando Israel dan tekanan mental.

Beliau berkata mereka akan membawa alat pendidikan, makanan, ubat-ubatan serta barang-barang binaan. - Malaysiakini

* Mana contoh persaudaraan Islam, jika benar Umno mendokong nilai-nilai Islam...

Pelakon komedi 'Pak Uda' meninggal dunia

Pelakon komedi Zami Ismail, 67, yang sinonim dengan panggilan "Pak Uda" dalam sitcom "Pi Mai Pi Mai Tang Tu" meninggal dunia pagi ini di Institut Jantung Negara (IJN).

Anak kedua Allahyarham, Ahmad Yamashita, 25, berkata ayahnya meninggal pada jam 10.30 pagi selepas seminggu dimasukkan ke IJN ekoran masalah jantung.

Bulan lepas Allahyarham menerima rawatan di Hospital Ampang.

Ahmad Yamashita berkata ayahnya pernah berpesan supaya beliau dikebumikan di tempat kelahirannya di Tapah Road, Perak sekiranya beliau meninggal dunia.

"Sebagai memenuhi permintaan itu, jenazah ayah akan dibawa ke Tapah Road untuk dikebumikan di tanah perkuburan di sana selepas solat Asar," katanya kepada Bernama di rumah mayat IJN.

Allahyarham meninggalkan isteri Hanizan Ibrahim serta sembilan orang anak termasuk pelakon Mohd Saopi atau dikenali sebagai Opie dan pengarah filem dan drama Mohd Latiff atau Hitler.

Opie ketika ditemui menyifatkan ayahnya sebagai seorang yang tekun dan komited dalam setiap tugas yang diberikan kepadanya sehingga sanggup ke lokasi penggambaraan walaupun ketika itu beliau kurang sihat.

"Saya dan adik-beradik yang lain pernah melarang ayah pergi ke lokasi penggambaraan, namun ayah tetap pergi secara senyap-senyap tanpa pengetahuan kami," katanya.

Presiden Karyawan Datuk Freddie Fernandez yang turut berada di IJN berkata beliau amat terkejut mendengar berita kematian Allahyarham dan menyifatkannya sebagai satu kehilangan besar dalam dunia seni hiburan tanah air.

"Sepatutnya beliau (Zami) akan dijemput sebagai tetamu untuk rancangan Pesta Lawak pada Ahad depan (26 Jun). Namun setelah pemergiannya kita tetap akan mengadakan malam penghargaan untuk beliau," katanya.

Pengarah filem dan drama, Othman Hafsham pula berkata watak Pak Uda yang dilakonkan Allahyarham adalah tunggak kepada sitcom "Pi Mai Pi Mai Tang Tu" sekitar 1980-an yang menjadi siri sitcom yang diminati ramai penonton selama 18 tahun.

Allahyarham turut berlakon hampir 20 buah filem termasuk dua filem yang belum ditayangkan iaitu "Husin Mon Dan Jin Pakai Toncit" dan "Shh… Dia Datang".

Zami pernah memenangi anugerah Pelakon Komedi Terbaik dalam Festival Filem Malaysia Ke-9 pada tahun 1991. - Bernama