31 March 2011

Bekas pengikut: Al-Arqam masih wujud, gunakan rumah anak-anak yatim

Bekas pengikut Al-Arqam Zabidi Mohamed percaya pergerakan kumpulan masih lagi bergerak secara aktif di negara ini, namun berselindung dengan pelbagai aktiviti termasuk perniagaan.

Kata Zabidi, setelah kematian pengasasnya Ashaari Muhammad atau Abuya, Al-Arqam kini dipimpin balu Ashaari yang dikenali sebagai Ummuh Jah.

“Kalau dulu Al-Arqam gunakan nama Rufaqa dan sekarang gunakan nama Global Ikhwan, malah mereka juga turut berselindung di sebalik kewujudan rumah anak-anak yatim,” katanya ketika ditemui selepas program Benarkah Sesat: Debat atau Tangkap anjuran Sinar Harian dan Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd di sini.

Kata bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu, Ummuh Jah kini berada di Mekah untuk mengembangkan pengaruh Al-Arqam di sana.

“Di Malaysian saya difahamkan Al-Arqam bergerak secara aktif di kampung Ummu Jah Sungai Petani (Kedah) dan Al-Arqam di Malaysia masih mempunyai pengikut kuat yang saya anggarkan kira-kira 3,000 orang,” katanya.

Mengenai strategi terbaru Al-Arqam menggunakan rumah anak-anak yatim, Zabidi berkata, ia berada di seluruh negara.

“Di mana-mana ada (rumah anak-anak yatim), kalau kita lihat banyak sekarang di seluruh negara.

“Al-Arqam gunakan ini untuk kembangkan pengaruh dan boleh dikatakan mereka yang berada dalam rumah anak-anak yatim itu adalah ahli Al-Arqam juga,” katanya.

Awal tahun ini negara dikejutkan dengan perkembangan terbaru Al-Arqam apabila gerakan itu didakwa mengadakan perjumpaan dikenali sebagai “Sidang Parlimen Roh” selepas kematiaan Ashaari pada 13 Mei tahun lepas.

Gerakan itu didakwa cuba menghidupkan kembali ajaran Al-Arqam oleh Ummu Jah yang didakwa telah berhimpun sebanyak 18 kali sama ada di dalam negara termasuk di Bandar Country Homes, Rawang atau di Kampung Sungai Penchala mahupun di luar negara seperti Thailand, Jordan dan Mekah.

Pada setiap persidangan, Ummu Jah akan menyampaikan amanat atau dasar-dasar kepada pengikut ajaran Al-Arqam sambil mendakwa pengasas Tarikat Aurat Muhammadiah iaitu Sheikh Muhamad As-Suhaimi dan Ashaari sendiri telah muncul secara fizikal di Mekah.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan semua Majlis Agama Islam negeri sedang memantau pergerakan saki baki pengikut ajaran Al-Arqam.

Mengulas lanjut mengenai pergerakan Al-Arqam, Zabidi berkata, gerakan itu dilihat mula menyeleweng daripada ajaran Islam selepas tahun 1986 yang mana ketika itu Ashaari berubah dari aktiviti dakwah kepada aktiviti ghaib selain turut mengumumkan beliau bakal menjadi perdana menteri.

Pergerakan Al-Arqam diasaskan Ashaari pada 1968 telah diharamkan kerajaan pada 1994 atas alasan ajarannya didapati menyeleweng.

Al-Arqam juga dikenali sebagai Jamaah Aurad Muhammadiah telah mengembangkan pengaruhnya di setiap lapisan masyarakat Islam di seluruh Malaysia. - TMI

* Banyak lagi benda maksiat lain yang boleh kamu cegah...

Jahil punca ramai sertai ajaran sesat, kata Mashitah

SHAH ALAM, 31 Mac – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata kewujudan kumpulan ajaran sesat yang semakin meningkat berpunca daripada “kejahilan” orang Islam mengenali agama sendiri.

Menurut Mashitah, sejak 2008 hingga 2010 jumlah individu yang ditahan kerana didapati menyertai kumpulan ajaran sesat semakin bertambah.

“Kejahilan adalah penyebab kenapa ramai yang boleh ditarik termasuk profesional dan bila bercakap soal ajaran sesat takrif yang telah digazetkan adalah sebagai ajaran atau amalan Islam yang didakwa berdasarkan ajaran Islam yang sebenar dan ia bertentangan dengan ajaran Islam.

“Jadi isunya sekarang bila seseorang itu sesat, bagaimana status? Bila dikatakan sesat statusnya di mana? Yang sesat adalah orang yang buat benda tak ada (dalam Islam) dan yang tidak diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w.,” katanya pada program Benarkah Sesat: Debat atau Tangkap anjuran Sinar Harian di sini.

Kata beliau, ajaran sesat berlaku atau wujud apabila ada pihak yang cuba untuk “mempermudahkan” ajaran dan amalan yang telah ditetapkan dalam agama Islam.

“Sebagai contoh kalau Rukun Islam dan mengucap dua kalimah syahadah kalau ditambah ia akan jadi sesat, solat kalau hanya buat tiga kali ia juga adalah sesat dan begitu juga dengan Rukun Iman.

“Ada juga ajaran yang mana dosa boleh dibersihkan jika memberikan anak gadis ditiduri oleh ketua kumpulan, mereka cari jalan mudah yang tak boleh diubah... diubahkan,” katanya.

Justeru kata Mashitah, kerajaan berusaha sedaya upaya untuk membendung dan menghalang pergerakan kumpulan ajaran sesat di Malaysia.

“Kerajaan sudah buat strategi bagaimana nak bendung perkara ini yang iaitu kita harus mencegah, merawat dan penguatkuasaan.

“Bukan mudah untuk tangkap (kumpulan ajaran sesat) kerana kalau nak tangkap ia perlukan pembuktian dan ia bukan mudah,” katanya.

Sementara itu, bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata setiap hukuman yang mahu dijatuhkan termasuk kepada kumpulan ajaran sesat perlu terlebih dahulu mendapatkan penjelasan.

“Perkataan sesat adalah perkataan berbentuk hukuman walaupun kadang-kadang hukuman itu ada pengaruh politik.

“Jadi atas nama keadilan Islam maka kita perlu berhujah dengan semua pihak dan siapa yang akan dihukum wajar diberi peluang membela diri,” katanya.

Beliau berkata sebarang keraguan dan salah tanggapan harus diselesaikan secara intelektual.

“Dialog, perbincangan intelektual adalah diperlukan, segala keraguan boleh diselesaikan di meja perbincangan,” katanya. - TMI

* Yang berilmu pun sokong parti sesat...

Ceramah DNA: Polis arah Anwar rakam kenyataan


Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikehendaki hadir ke ibu pejabat polis bagi merakamkan kenyataannya berhubung kekecohan pada sebuah perhimpunan 25 Mac lalu apabila polis dikatakan cuba menyuraikannya.

Menurut naib presiden PKR, N Surendren, polis menyerahkan notis semalam dan berkata siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967 kerana berhimpun tanpa permit.

Surendren mendakwa siasatan ke atas Anwar dijalankan dengan niat jahat dan dengan jelas bermotifkan politik.

Ia juga adalah contoh salah guna kuasa yang paling ketara,” katanya.

“Kami tuntut siasatan tidak berasas ini dihentikan segera dan semua yang bertanggungjawab memulakannya dibawa ke muka pengadilan kerana salah guna kuasa," katanya dalam satu kenyataan.

Perhimpunan Jumaat lalu itu dirancang sebagai majlis pelancaran kempen DNA (Datuk Najib Altantuya) dan dihadiri kira-kira 1,500 orang.

Program yang diadakan di Taman Melawati, Hulu Kelang itu berjalan lancar sehingga polis campur tangan ketika Anwar sedang berucap.

Hadirin yang tidak puas hati dengan arahan supaya Anwar berhenti berucap bertindak membaling objek ke arah anggota FRU.

Para penyokong itu turut menghalang polis daripada anggota pasukan itu menghampiri pentas.

Dalam insiden berkenaan, anggota FRU tersebut bertindak menggunakan perisai merekea untuk menolak individu yang menghalang laluan berkenaan.

Anwar dan timbalannya Azmin Ali, yang juga ahli parlimen Gombak, dibawa beredar dari pentas, tetapi orang ramai yang kelihatan marah tetap berkumpul di situ.

Akibat kekecohan itu, tiga anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) ditahan polis. - Malaysiakini

* Suruh kita hormat polis tapi...

Tiada tangkapan berhubung video seks, kata Hisham


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein hari ini menafikan laporan media bahawa beberapa siri tangkapan telah dibuat berhubung video seks yang didedahkan oleh 'Datuk T' minggu lalu.

“Tidak pada pengetahuan saya,” katanya ketika diminta mengesahkan tangkapan berkenaan pada sidang medianya di bilik mesyuarat bangunan parlimen.

Jumaat lalu, The Star Onlinemelaporkan difahamkan bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah ditahan polis tetapi kini dibebaskan dengan jaminan polis.

Akhbar harian Inggeris milik MCA itu seterusnya memetik Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Ghazali Md Amin bahawa tiga orang telah ditangkap, pada versi sebelah malamnya.

Bagaimanapun edisi cetak the Star pada Sabtu lalu pula melaporkan hanya dua orang ditangkap tetapi mereka bukan Rahim mahupun Shazryl Eskay. - Malaysiakini

'Pegawai SPRM tonton pornografi selepas soal Teoh'


Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikatakan memuat turun dan menonton pornografi pada komputer milik pejabat selepas sejam menyoal-siasat Teoh Beng Hock.

Perkara ini didedahkan oleh pengerusi Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kematian Teoh, tan Sri James Foong hari ini.

Beliau berkata demikian ketika peguam Majlis Peguam, Cheow Wee menyoal bekas timbalan pengarah SPRM Selangor, Hishamuddin Hashim berhubung memorandum dalaman yang mengingatkan kakitanganya supaya sentiasa memerhatikan pelawat, saksi ataupun suspek ketika mereka di kawasan suruhanjaya itu.

Pada satu ketika, Fong berkata penolong penguasa Mohd Ashraf Mohd Yunus sedang menonton pornografi di komputernya pada jam 1.20 pagi, 16 Julai 2009.

Kejadian berlaku kira-kira sejam selepas beliau membantu seorang lagi rakannya menyoal Teoh. - Malaysiakini

Siasat dulu kesahihan berita, mufti senada

Dalam menghadapi keadaan politik yang mengeksploitasi isu peribadi, seperti isu video seks yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, umat Islam dinasihatkan menyiasat dahulu kesahihan dakwaan itu.

Perkara itu disepakati beberapa mufti negara ini, termasuklah Dr Juanda Jaya (Perlis), Datuk Tamyes Abd Wahid (Selangor) dan Datuk Mohammad Shukri Mohammad (Kelantan).

Menurut Dr Juanda, Allah berfirman dalam surah al-Hujurat, apabila datang berita daripada orang fasik, perkara itu hendaklah diselidiki terlebih dahulu.

"Dan kalau tidak cukup empat orang saksi, sepatutnya penuduh dikenakan hukuman Qazaf. Hukum orang fasik ini, dia tak layak lagi jadi saksi untuk sebarang kes kerana sudah hilang kredibeliti."

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Dr Juanda (kanan) berpendapat isu melibatkan keaiban peribadi tidak boleh dijadikan modal politik, apatah lagi jika perkara berkaitan seks yang amat memalukan.

"(Kalau betul pun), kita tak tahu, mungkin dia sudah bertaubat. Kenapa perlu dedahkan perkara itu? Siapa tak ada aib di masa lalu?" soal Dr Juanda lagi.

Katanya, rakaman video sahaja tidak mencukupi jika tidak disokong oleh empat saksi yang adil kerana kesalahan zina amat berat dan hukuman yang dijatuhkan hendaklah bebas daripada sebarang prasangka.

"Kalau ada (hanya) tiga orang saksi yang melihat perkara itu, lebih elok mereka tutup mulut sahaja daripada mendedahkannya. Kesan tindakan itu melibatkan banyak pihak, termasuk anggota keluarga yang terlibat," katanya.

'Jangan terpalit, terikut-ikut'

Semalam, ulama terkenal Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, para mufti wajar menyatakan pendirian berhubung isu “politik selak kain” susulan tayangan video kontroversi minggu lalu.

Sementara itu, Tamyes (kiri) pula menyifatkan apa yang berlaku sekarang ini berjalan secara tidak betul.

"Untuk menuduh, mestilah mendatangkan bukti, iaitu empat saksi untuk mensabitkan kesalahan. Jika tidak, pihak itu boleh dikenakan hukum Qazaf.

"Hukum ini tidak pernah berubah dari dulu sampai sekarang. Kepada yang dituduh, boleh bersumpah untuk menafikan apa yang dituduh. Tetapi sekarang, yang menuduh bersumpah, yang dituduh diminta mencari bukti. Ini terbalik dan tidak betul," katanya.

Tamyes juga menasihatkan orang awam yang tidak tahu menahu tidak masuk campur, walaupun sekadar bersembang-sembang mengenaninya di kedai kopi.

"Biarlah diselesaikan oleh pihak yang berkenaan. Janganlah terpalit sama, terikut-ikut buat tuduhan," katanya lagi.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas berhubung gejala "politik selak kain" yang dibangkitkan Dr Mohd Asri sebelum ini.

"Bagaimanapun, saya minta kembalilah ke jalan Allah. Sekiranya tidak ada asas sesuatu tuduhan itu, eloklah kita sorot kembali (kesasihan dakwaan itu)," katanya.

Kod etika dalam Islam

Sementara itu, Mufti Kelantan Datuk Mohammad Shukri Mohammad pula berkata, Islam menetapkan kod etika untuk pelbagai pihak, sama ada ada penuduh atau orang awam dalam menghadapi isu pendedahan aib orang.

Katanya, pendedahan perkara buruk melibatkan orang lain boleh dibuat bagi tujuan pengadilan dan penghakiman sahaja dan tidak boleh didedahkan secara terbuka.

"Kalau dengan niat hendak aibkan orang memang dilarang. Kalau dengan tujuan mencari kebenaran atau mendapat pengadilan yang adil, perlulah dedahkan.

"Tetapi cara mendedahkannya biasanya dedah pada qadi, hakim atau mufti, tidak kepada orang awam," katanya kepada Malaysiakini.

Bagi orang awam pula, Mohammad Shukri sependapat dengan Dr Juanda bahawa sesuatu berita yang disampaikan mestilah diselidik dahulu dan tidak terus menerimanya bulat-bulat.

"Jabatan mufti sepatunya jadi sumber rujukan. kalau pihak berkenaan rujuk dulu, barangkali ada cara lebih sopan untuk nyatakan kebenaran dan mendapatkan pengadilan.

"Sebabnya menonton video lucah, undang-undang negara pun tak boleh," katanya. - Malaysiakini

* Bila polis nak umum siasatan?

Dr Asri: Poco-poco harus, bukan haram

Bekas Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berbeza pandangan dengan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang memutuskan bahawa tarian poco-poco haram.

Beliau berhujah, semua urusan harian manusia, termasuk tarian, adalah harus diamalkan kecuali terdapat dalil yang jelas mengharamkannya.

Bagaimanapun, tambahnya, jika terdapat unsur yang tidak baik, perkara itu hendaklah ditapis dengan membuang unsur yang buruk, bukan mengharamkan perkara itu secara menyeluruh.

"Atas asas ini, pada pandangan saya, tarian poco-poco adalah harus, melainkan jika seseorang itu mengamalkannya kerana ingin menghayati kepercayaan yang salah dari segi akidah," katanya yang juga pensyarah agama di Universiti Sains Malaysia (USM).

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria sebelum ini dilaporkan berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak memutuskan tarian berkenaan sebagai haram kerana mempunyai unsur kepercayaan agama lain dan pemujaan roh.

Pewartaan fatwa itu akan dibuat tidak lama lagi.

Dalam kenyataan pada Selasa malam, Dr Mohd Asri juga menegaskan, masyarakat Islam hendaklah tahu tentang keluasan Islam, apatah lagi dalam masyarakat yang serba rencam hari ini.

"Maka, fatwa dalam hal tarian, senaman, permainan dan seumpamanya, hendaklah luas, tidak sempit dan berusaha melihat ruang keizinan yang diberikan oleh Islam," katanya.

Menurut Dr Mohd Asri lagi, jika pengharaman dibuat berdasarkan asal-usulnya yang tidak islamik, ia akan mewujudkan kecenderungan pengharaman pelbagai lagi aktiviti seperti Tai Chi, Taekwondo dan senaman Qiqong.

Beliau bagaimanapun menegaskan menghormati pandangan Harussani dan Jawatankuasa Fatwa Perak yang mengharamkan tarian tersebut dan cuma memberikan pandangan berbeza. - Malaysiakini

* Kalau sesama 'dia' pun 'bertelagah'. Yang bawah lagilah...

30 March 2011

Hishamuddin Kena Lawan Tikus Dulu..

KHABARNYA Menteri Dalam Negeri (KDN) Hishamuddin Hussein akan menyaman Anwar Ibrahim. Kesalahannya kerana Anwar dakwa beliau dan abang sepupunya Najib Razak terlibat dalam pembikinaan video lucah yang mengaitkan dirinya.

Saman menyaman itu hak Hishamuddin dan sesiapa saja. Kalau kita merasakan dianiaya maka mahkamahlah tempat mengadu. Adulah kepada mahkamah dan mahkamah akan menentukan apakah yang didakwa itu benar atau tidak.

Tindakan Hishamuddin itu satu keberanian untuk menafikan dia terlibat dengan pendedahan video itu. Tindakan Hishamuddin itu boleh dianggap berani kerana untuk berlawan dengan Anwar bukan calang-calang orang. Tenguklah hari ini dalam semua orang menghala muncung senjata, bedil, keris dan segala macam ke arahnysa, dia masih mendapat sokongan. Hanya orang yang memiliki kuasa ajaib sahaja boleh surivive bila diserang begitu rupa.

Pun begitu di sini saya nak sebut sikit kepada cucu Onn Jaafar itu, daripada dia sibuk hendak menyaman Anwar elok kalau dia jenguk ke Pulapo di Jalan Gurney melihat apa yang berlaku di situ sebaik mungkin. Kejadian di pusat latihan polis itu cukup membimbangkan dan sewajarnya diberikan perhatian serius.

Menurut laporan berita tv sekejap tadi setakat ini sudah tiga orang pelatih meninggal dunia di Pulapo kerana terkena air kencing tikus. Manakala empat orang lagi sedang dirawat di hospital dan sebanyak 59 orang pelatih pula diasingkan.

Ini kes berat ini. Seingat saya inilah pertama kali pelatih mati 'percuma' di dalam pusat latihan. Memalukan lagi bila mana kematian itu disebabkan air kencing tikus.

Jadi adalah baik Hishamuddin selesaikan dulu masalah virus berkenaan daripada bercakap soal-soal politik yang lebih untuk menyembunyikan fakta. Rasanya tindakan menghalau tikus lebih afdal daripada menyaman Anwar.

Masalah yang berlaku itu melibatkan nyawa manusia dan maruah pasukan polis dan negara ini.

Kalau dunia dengar nanti macam mana nak jawab pelatih yang dalam kewalan begitu eksklusif pun boleh diserang tikus. Macam mana pula dengan rakyat yang berada di luar, lebih-lebih lagi terdedah dengan bahaya itu.

Kita tidak mahu dengar selepas ini kerana kelalaian dan pengabaian keselamatan dan kebersihan akan ada pula anggota polis atau bekas KPN yang mati kerana terpijak ekor tikus. He he he... - www.msomelayu.blogspot.com

Kos Selenggara Dua Kapal Selam Negara RM50 Juta Setahun

KUALA LUMPUR: Kos penyelenggaraan dua kapal selam negara, iaitu KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak, yang dikendalikan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia dianggarkan RM50 juta setahun, kata Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Katanya kos itu meliputi perkhidmatan sokongan serta logistik kedua-dua kapal selam jenis Scorpene itu dan tidak melibatkan kos alat ganti.

Menjawab soalan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Rabu beliau berkata kontrak penyelenggaraan kedua-dua aset strategik negara itu, telah dianugerahkan dan dilaksanakan oleh syarikat usaha sama tempatan dengan pembuat Scorpene iaitu Boustead DCNS Naval Corporation Sdn Bhd.

Abdul Latiff berkata kontrak antara kerajaan dan syarikat penyelenggaraan itu meliputi perjanjian selama enam tahun.

"Penyelenggaraan (setiap sebuah kapal selam) bernilai RM25 juta setahun itu untuk pastikan kita (negara) sebagai pengguna aset itu boleh menggunakan aset itu pada bila-bila masa.

"Kalau ia tidak boleh memenuhi hasrat TLDM, kita boleh denda (syarikat itu)mengikut perjanjian yang dimeterai," katanya.

Malaysia menempah dua kapal selam baru jenis Scorpene dengan kos pembelian berjumlah RM3.4 bilion pada 2002 yang dibina secara bersama oleh DCNS dari Perancis dan Navantia, syarikat pembuat kapal selam dari Sepanyol.

KD Tunku Abdul Rahman tiba di perairan Malaysia pada September 2009 dari Perancis manakala kapal selam kedua negara, KD Tun Razak tiba di pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia di Teluk Sepanggar, Sabah pada Julai, 2010.

Kepada soalan wakil yang sama, Abdul Latiff berkata kerosakan teknikal pada KD Tunku Abdul Rahman seperti yang dilaporkan sebelum ini telah berjaya diatasi dengan ujian selaman yang berjaya dilaksanakan pada 22 Feb tahun lepas.

Sebelum ini dilaporkan kerosakan mekanikal dikesan pada 17 Jan tahun lepas ketika kerja penyelenggaraan dilakukan di Pangkalan TLDM di Teluk Sepanggar.

Abdul Latiff mengingatkan semua pihak agar tidak mendedahkan keburukan serta kelemahan aset pertahanan negara kepada anasir luar seperti yang seringkali dilakukan oleh pembangkang sebelum ini.

"Masalah teknikal yang dihadapi oleh kapal selam adalah masalah biasa yang boleh dialami oleh mana-mana kapal selam dunia. Saya kira dalam hal ketenteraan dan keselamatan negara kita patut berkongsi rahsia, jangan mendedahkan kelemahan sistem pertahanan negara ke luar (negara)," katanya.

Beliau berkata pencapaian paling membanggakan dalam operasi kapal selam berkenaan ialah apabila KD Tunku Abdul Rahman membuat penembakan misil SM 39 pada Julai lepas di kedalaman 55 meter dan telah mengenai sasaran yang berada sejauh 40 kilometer.

"Kejayaan itu dapat meningkatkan semangat juang yang lebih tinggi kepada krew kapal walau pembangkang mengatakan kedua-duanya (kapal) bermasalah," katanya.

Abdul Latiff juga berkata Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berpuas hati selepas menaiki KD Tunku Abdul Rahman dan menyelam pada kedalaman maksimum operasi di Laut China Selatan baru-baru ini.- BERNAMA

Mufti wajar nyata pendirian, kata Dr Asri

Para mufti wajar menyatakan pendirian mereka berhubung isu “politik selak kain” susulan tayangan video seks seorang lelaki yang didakwa mirip ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata bekas mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

“Kita kena bezakan (supaya), apabila bercakap, jangan main selak kain (orang). Kita tidak cakap video itu (sama ada) betul atau salah. Kita bercakap mengenai politik idea untuk membela rakyat.

“Kita bercakap tentang prinsip. Apa nak jadi, kalau ahli politik bercakap mengenai melondeh kain orang. Apa yang rakyat dapat.

“Bahkan (dalam) prinsip Islam pun menentang perkara-perkara seperti ini. Jadi mereka (mufti) perlu berkata sesuatu (mengenai perkara ini). Saya tidak mahu memaksa mereka (untuk berkata),” katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Hujung minggu lalu, Dr Mohd Asri mengajak semua pihak menganjurkan satu perhimpunan besar bagi menyatakan kebencian rakyat terhadap politik lucah dan kotor.

Menulis dalam blognya hujung minggu lalu, beliau berkata, semua politikus tanpa mengira parti hendaklah menghentikan amalan mendedahkan aib peribadi musuh politik yang bukan membabitkan kezaliman terhadap rakyat.

Mengulas lanjut mengenai tulisannya itu, pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata, beliau mendapat reaksi banyak pihak termasuk cadangan supaya beliau “mengepalai” perhimpunan anti-politik lucah itu.

Bagaimanapun, beliau menolak cadangan tersebut kerana berpendapat bahawa “ada tokoh besar lain” yang boleh mengetuai perhimpunan tersebut.

“Ada tokoh utama dalam masyarakat, tetapi bukan saya,” katanya.

Dalam reaksinya kepada pihak itu, Dr Mohd Asri berkata, semua pihak perlu memainkan peranan membantah politik lucah itu dan tidak terhad kepada kumpulan atau parti politik tertentu, tetapi seluruh rakyat.

Malah, katanya, bukan Islam pun boleh sertai bersama, kerana semua membenci perbuatan seperti itu. - Malaysiakini

MB: Perak patuhi fatwa haramkan poco-poco

Kerajaan Negeri Perak akan mematuhi keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak berhubung pengharaman tarian poco-poco, kata Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata, selepas fatwa dikeluarkan, semua pihak perlu menghormatinya dan tidak mempersoalkannya.

Zambry berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah akhbar mengenai kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, bahawa Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak telah memutuskan tarian berkenaan sebagai haram.

Harussani dilaporkan berkata tarian tersebut diharamkan kerana ia mempunyai unsur kepercayaan agama lain iaitu Kristian selain pemujaan roh dan pewartaan fatwa itu akan dibuat tidak lama lagi. - Bernama

Video seks: Siasat juga seiras tapi tak serupa

Jika bukan Anwar siapa? Itu persoalan paling hangat ketika ini sesudah ketua pembangkang itu mengemukakan catatan Twitter dan Facebook untuk menolak tuduhan beliau orang dalam rakaman video seks berkenaan sekaligus menganggapnya satu lagi fitnah.

Kalau diikut ungkapan Inggeris, soalan cepumas itu bernilai tujuh juta dolar, bermakna ia sukar dijawab. Namun apa yang pasti adalah dunia ini sentiasa penuh dengan mereka yang mempunyai wajah seiras.

Keajaiban solekan inilah yang membolehkan Ben Kingsley mengaut 11 anugerah Oscar kerana lakonannya sebagai Mathma Ghandi - bapa kemerdekaan India.

Dan jangan lupa Ilham Anans, seorang miskin bertukar menjadi bintang terkemuka di Indonesia, semata- mata kerana wajahnya mirip Presiden Amerika Syarikat Barack Obama.

Berbalik kepada politik Malaysia… bekas Presiden Majlis Belia Malaysia Datuk Suhaimi Ibrahim, tidak pernah leka dari tatapan ramai kerana wajahnya seiras dengan Anwar.

Malah tidak keterlaluan mengatakan ketika bintang Anwar “bersinar” dalam Umno, Suhaimi turut mendapat tempat di bawah naungan parti itu.

Kenapa hitam putih?

Apabila jatuh Anwar (dalam Umno), maka pudarlah dunia politik Suhaimi.

Semua ini menjurus kepada peringatan bahawa siasatan polis terhadap video lucah yang ditayangkan oleh 'Datuk T' harus memperinci kemungkinan pelakunya adalah seorang yang mirip wajah Anwar.

Tidak kira sama ada polis akan bergantung kepada keterangan Yusry KRU atau mendapatkan maklum balas pakar lain – yang penting ialah mengesahkan siapa pelaku dalam video itu.

Kali ini tidak cukup untuk polis mengesahkan video lucah 'Datuk T' adalah “ori” tanpa pengesahan siapa pelaku seks didalamnya.

Dunia akan dan sentiasa, penuh dengan mereka yang mempunyai wajah seiras, tidak kira sama ada orang itu adalah Musa Hassan atau Ben Kingsley dan Mathma Gandhi.

Naluri polis tentunya terangsang untuk mengetahui kenapa rakaman video itu dalam hitam putih dan bukan warna, seperti lazimnya untuk rakaman CCTV hari ini.

Polis juga rasanya mahu mengetahui kenapa Tan Sri Rahim Thamby Chik, Datuk Shazyl Eskay dan Datuk Shuib Lazim menyembunyikan identiti mereka apabila mengatur majlis pra-tonton video ini pada minggu lalu di Hotel Carcosa Seri Negara.

Mereka hanya mengakui mendalangi video itu selepas PKR membongkar identiti mereka, itu pun selepas mereka dilaporkan berjumpa dengan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Hanya ambil jam?

Jika Eskay dihantar kembali ke hotel itu pada 21 Februari, kononnya hanya untuk mengambil semula jam tangan Anwar yang tertinggal, bagaimana beliau boleh muncul dalam rakaman berkenaan?

Adalah tidak keterlaluan untuk mengatakan Eskay sendiri mempunyai iras wajah Anwar dari sudut tertentu.

Apa yang pasti ialah rakyat tidak percaya Eskay “terserempak” dengan rakaman video lucah dan tiba-tiba bertindak mahu mendedahkan siapa Anwar demi “agama, bangsa dan negara.” Ini kerana beliau sendiri pernah mendakwa kerap membawa Anwar ke tempat- tempat maksiat seumpama ini.

Percanggahan pegangan moral Eksay pasti menimbulkan pelbagai persoalan.

Bekas pengawal peribadi Allahyarham ,Tan Sri Megat Junid Megad Ayob, Mohamad Mahti mengesahkan Eskay berdendam dengan Awar kerana urusan perniagaan yang melibatkan sebuah kes saman.

Dendam Eskay tidak banyak berbeza dari dendam Rahim terhadap Anwar.

Apapun terlalu banyak persoalan yang masih belum ditangani, contohnya mana pergi pelaku wanita dalam video itu dan kenapa mereka yang menonton video itu - ahli parlimen Sungai Petani Johari Abdul dan bekas MPP PKR BadrulHisham Shahrin tidak disoal polis. Begitu juga dengan Mahti (kiri).

Publisiti murahan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sering menunjukkan ketangkasan luar biasa dalam menyiasat kes- kes membabitkan pemimpin Pakatan Rakyat walaupun alasan mereka mencurigakan.

Namun siasatan terhadap Anwar kali ini berjalan pada kadar lambat, membolehkan Umno memerah sebanyak mungkin publisiti murahan menerusi media kawalannya.

Ini tentunya untuk menghakis maruah Anwar dan keluarganya menerusi fitnah.

Jika siasatan terus berjalan pada kadar sambil lewa ini, rakyat tidak boleh dipersalahkan jika beranggapan Umno dan polis bersekongkol sekali lagi dengan Anwar Ibrahim sebagai sasaran utama. - Malaysiakini

* Tak ya juga, polis lambat sungguh. Tapi kenapa...

Eskay mahu Anwar jawab lima soalan, dakwa video seks ‘anugerah Allah’

KUALA LUMPUR, 30 Mac — “Datuk T”, Datuk Shazryl Eskay Abdullah mengemukakan lima persoalan untuk dijawab Datuk Seri Anwar Ibrahim sambil menyifatkan video seks didakwanya melibatkan ketua pembangkang itu sebagai “anugerah Allah.”

Dalam tulisan terbaru blog Kickdefella hasil satu pertemuan semalam, ahli perniagaan itu berkata beliau yakin semua yang berlaku sekarang adalah petunjuk Allah s.w.t.

Shazryl Eskay merupakan salah seorang daripada tiga “Datuk T” mengakui terlibat dalam pendedahan rakaman video seks pada 21 Mac lalu.

Pertemuan semalam turut dihadiri seorang lagi “Datuk T” iaitu Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim dan ia disertai lima orang blogger dan seorang pengarang media alternatif.

Kata blog itu, Shazryl Eskay mengerjakan Haji pada tahun 2010 merasakan ini adalah “jawapan dari Allah s.w.t.”

“Saya mahu semua orang tahu. Saya tidak minat politik dan saya rakan karib Anwar. (Dari satu sudut) Saya lihat kehadiran Anwar dalam politik Malaysia, bagus untuk ‘check and balance’.

“Saya bukan ahli Umno dan mana-mana parti pun. Tetapi, saya suka bila pembangkang kuat supaya kepentingan rakyat terjaga,” katanya.

Bagaimanapun blog itu memetik Shazryl Eskay berkata, “tetapi Anwar bukan manusia yang rakyat kenal. Cukuplah rakyat ditipu. Anwar kena berhenti dan letak jawatan.”

Malah Eskay juga berkata, beliau tidak mahu penyokong-penyokong Anwar menyerangnya kerana jika mereka terus berbuat demikian, Eskay mendakwa dia akan bertindak balas.

“Jangan biar saya dedahkan lebih banyak,” katanya.

Jumaat lalu, Mohamad Mahti Abdul Rahim, bekas pengawal peribadi Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayub berkata, Shazryl Eskay ada memberitahunya bahawa beliau akan menjatuhkan Anwar dari arena politik sebelum mempertontonkan satu rakaman video seks kepada media, 21 Mac lalu.

Rakaman video seks itu mendakwa seorang pemimpin kanan Pakatan Rakyat mengadakan hubungan seks dengan seorang pelacur China.

Menurut Mohamad Mahti, Shazryl Eskay marah kerana Ahli Parlimen Permatang Pauh itu enggan menjadi saksi dalam kes samannya berkaitan projek jambatan bengkok yang diluluskan ketika era Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kes itu sedang berlangsung di mahkamah dan Megat Junid pernah menjadi menteri dalam Kabinet Dr Mahathir.

“Selepas beliau bercakap dengan marah mengenai Anwar, beliau mula bercakap buruk mengenai beliau (Anwar), berkata ‘saya akan menjatuhkan Datuk Seri Anwar, dengan apa jua cara pun,” katanya.

“Sekarang awak semua tanya Anwar lima soalan,” Shazryl Eskay dipetik berkata.

Menurut blog Kickdefella hari ini, soalan-soalan tersebut ialah “pertama, sejak dua tahun lalu berapa kali Anwar ke Thailand? Kedua, siapa yang menyambut Anwar di Thailand? Ketiga, di hotel mana Anwar menginap? Keempat, apa Anwar buat di bilik hotel tersebut? Dan kelima, siapa yang menyelesaikan semua bayaran tersebut?”

“Jangan paksa saya dedahkan semua itu… suruh Anwar jawab dulu soalan itu sebelum (semua) serang saya” kata Shazryl Eskay.

“Awak semua balik dan tanya soalan ini di dalam blog,” kata Eskay kepada sekumpulan blogger dan penulis media alternatif.

“Saya tidak takut kepada Anwar…” akui Shazryl Eskay, yang mengakui kekuatan penyokong-penyokong Anwar tetapi akur bahawa di dalam dunia ini, ada yang lebih berkuasa. - TheMalaysianInsider

* Dedahkanlah Shazryl Eskay. Cuma kalau boleh kali ini jangan yang hitam putih...

SPRM: Dua pegawai kanan kastam ditahan, 150 akaun bank disita

KUALA LUMPUR, 29 Mac - Dua pegawai kanan kastam dan lebih 150 akaun bank milik syarikat dan orang perseorangan disita ekoran operasi secara serentak melibatkan tujuh agensi bagi mengatasi aktiviti haram membabitkan berbilion ringgit.

Operasi pasukan petugas khas itu diketuai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara serentak hari ini.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini, SPRM berkata pihaknya dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan dibantu lima agensi lain secara serentak telah membuat serbuan ke atas 84 ejen penghantaran, sebuah syarikat induk dan 24 anak syarikat berkaitan serta 25 premis Kastam Diraja Malaysia di seluruh negara.

SPRM berkata, operasi itu adalah salah satu yang terbesar dilaksanakan secara bersama oleh agensi-agensi penguatkuasaan.

"Dalam operasi ini dua pegawai kanan kastam telah ditangkap bagi membantu dalam siasatan dan pasukan petugas ini juga telah menyita lebih 150 akaun bank milik syarikat dan orang perseorangan," kata kenyataan itu.

SPRM berkata, tindakan menyita dilakukan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Pengganasan 2001.

Kata kenyataan itu, kesemua entiti berkaitan telah diserbu kerana dipercayai terlibat dalam pengistiharan di bawah nilai sebenar cukai kastam, pengelakan cukai pendapatan dan aktiviti-aktiviti pengubahan wang haram, penghantaran wang secara tidak sah ke luar negara yang melibatkan nilai wang mencakupi bilion ringgit dan perlakuan jenayah rasuah.

Kesemua aktiviti tersebut melibatkan kesalahan di bawah Akta Kastam 1967, Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Pengganasan 2001 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Katanya, operasi yang dijalankan adalah mengenai aktiviti haram yang telah menyebabkan kerugian hasil kerajaan mencakupi amaun yang melibatkan berbilion ringgit kerana kegagalan mengutip cukai dan duti kastam, pendapatan yang tidak dilapor yang dihantar keluar negara tanpa kelulusan, pengistiharan tidak betul barangan import serta penyeludupan wang keluar sempadan negara.

"Pasukan tindakan khas berkenaan akan mengambil tindakan serius yang sewajarnya terhadap individu dan syarikat yang terlibat kerana aktiviti-aktiviti berkaitan boleh menyebabkan bahaya kepada ekonomi negara, keselamatan dan reputasi negara," katanya lagi. - TMI

* Tahniah SPRM...

29 March 2011

Anwar: Hidup mati saya di tangan Allah, bukan Umno-BN


Di sebalik serangan moral yang ketiga sejak 1998, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pendedahan dibuat “Datuk T” minggu lalu tidak akan sesekali “membunuh” karier politik beliau.

Sebaliknya, tegas Ketua Umum Pakatan Rakyat itu, hidup dan mati beliau bukan terletak di tangan Umno-Barisan Nasional (BN) tetapi Allah s.w.t.

“Kalau nak mati, saya mati... bukan mati karier politik.

“Hidup mati saya di tangan Allah bukan Umno-BN . . . belum tentu Umno-BN mampu bertahan tanpa rakyat Malaysia,” katanya pada program solat hajat dan Pidato Khas Menangkis Fitnah Jahat di Stadium Melawati di sini malam tadi.

Anwar telah menafikan dakwaan terbaru ini dan membuat laporan polis Selasa lalu.

Menurut Ketua Pembangkang ini, tuduhan fitnah terbaru terhadap diri beliau tidak melemahkan semangatnya untuk terus berjuang sehingga berjaya merampas Putrajaya daripada BN.

“Ujian ini tidak melemahkan semangat saya,” kata Ahli Parlimen Permatang Pauh ini yang dikenakan tuduhan liwat dan salah guna kuasa akhir 1990-an dan kes liwat kedua pada 2008.

Pada September 1998, Anwar dipecat sebagai timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno.

Beliau dibebaskan dari penjara akhir 2004 dan menjadi pengikat PKR-PAS-DAP sehingga Pakatan Rakyat dibentuk tiga tahun lalu.

Anwar berkata, “isunya sekarang adalah kerana Pakatan Rakyat nak ambil pemerintahan negara.”

“Jadi apa yang berlaku ini adalah Umno-BN sanggup lakukan apa sahaja, cara yang mungkin mereka jangka akan menghalang kemaraan Pakatan Rakyat, tetapi rakyat yang mahu menuntut Putrajaya,” katanya lagi.

“Kita yakin kita akan berbicara soal Buku Jingga (Pakatan Rakyat)bukan soal fitnah... bukan lubang . . . bukan najis dan bukan air mani,” kata beliau di hadapan lebih 5,000 orang.
Turut hadir Presiden PAS Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Awal minggu lalu negara dikejutkan dengan tindakan “Datuk T” mendedahkan rakaman video seks melibatkan seorang didakwa pemimpin kanan Pakatan Rakyat dengan pelacur dari China.

Tiga “Datuk T” yang dimaksudkan ialah bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim.

Berikutan pendedahan itu, ketiga-tiga individu terbabit telah disoal siasat polis Bukit Aman dan menyerahkan pita video dan seutas jam tangan jenama Omega sebagai bahan bukti.

Anwar yang juga Ketua Umum PKR juga menyifatkan Abdul Rahim sebagai “jaguh baru” yang dipilih Umno-BN untuk menjatuhkan maruah dan imejnya.

“Dia (Abdul Rahim) jaguh baru . . . tokoh akhlak baru yang ditonjolkan Najib dan (Datin Seri) Rosmah (Mansor)... tokoh moral baru iaitu Rahim Thamby Chik.

“Orang Umno kalau membunuh, tiada tindakan, rogol tutup kes, rasuah tutup kes... jadi saya minta kezaliman ini dihentikan,” katanya.

Beliau juga berkata pendedahan rakaman video seks itu dibuat dengan tujuan untuk memecahbelahkan keluarganya.

Dalam ucapannya itu, Anwar meminta agar barisan kepimpinan dan jentera Pakatan Rakyat tidak memberikan tumpuan terhadap rakaman video seks itu, sebaliknya fokus kepada pilihan raya negeri Sarawak bulan depan.

Sementara itu, Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata peristiwa pendedahan itu yang dibuat Datuk T adalah satu perkara yang “menjijikkan”.

“Sejak satu minggu (lalu) di televisyen, radio dan surat khabar, adalah satu peristwa yang jijik, bagaimana kalau fokus sasaran peristiwa jijik di Carcosa Seri Negara ini adalah Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, mungkinkah peristiwa itu boleh berlaku? Sudah tentu tidak.

“Skuad khas akan sampai dan tidak akan benarkan rakaman tersebut ditonton, ini menunjukkan ‘double standard’ seolah-olah ia adalah satu komplot politik,” katanya.

Ahli Parlimen Ipoh Timur juga mempersoalkan hasil siasatan polis yang sehingga kini masih belum ada sebarang tangkapan dibuat walaupun “Datuk T” telah mengakui terlibat dengan pendedahan tersebut.

“Ada kesalahan dan jenayah tapi adakah tangkapan dibuat? Adakah mereka diheret ke mahkamah? Adakah kita akan percaya satu siasatan yang adil akan dibuat,” katanya.

Lim turut mencadangkan agar satu persidangan meja bulat diadakan bagi mencari jalan penyelesaian menghentikan politik “kotor dan jijik”.

“Kita perlu adakan mesyuarat meja bulat, panggil pemimpin BN, pemimpin Pakatan Rakyat, NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan persatuan agama untuk kita menamatkan politik kotor dan jijik ini dan langkah pertama yang perlu kita lakukan adalah menangkap Datuk T ini,” tegasnya. - TMI

28 March 2011

Ezam: Saya sudah serik, keputusan tak mahu tanding PRU muktamad

KUALA LUMPUR, 28 Mac — Bekas ketua Angkatan Muda Keadilan Senator Ezam Mohd Nor berkata keputusannya tidak mahu bertanding pilihan raya umum ke-13, yang disebut-sebut diadakan tahun ini, adalah muktamad kerana sudah “serik” untuk aktif berpolitik.

“Saya sudah serik, sudah serik,” kata beliau yang menyertai Umno pada Mei 2008 dan tahun lalu dilantik sebagai anggota Dewan Negara.

Ezam berkata beliau akan menyampaikan pendirian yang sama sekiranya pucuk kepimpinan parti memintanya mengkaji semula keputusan itu, sekali gus bertanding dalam pilihan raya umum ke-13.

“Keputusan saya tidak mahu bertanding tetap dan ia kekal,” kata Ezam.

“(Pendirian saya) sudah jelas... kalaupun pemimpin parti meminta saya (agar) bertanding nanti, saya akan memberitahu mereka perkara yang sama,” kata beliau.

Beberapa blog sebelum ini menyebut beliau akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri dan disebut-sebut sebagai pemimpin pelapis negeri Selangor.

Kata Ezam, beliau memutuskan demikian selepas melalui pengalaman cukup “serik” sepanjang dua dekad lalu termasuk mengorbankan banyak aspek termasuk ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana perjuangankan PKR dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selepas Anwar dipecat pada September 1998, beliau bersama beberapa pemimpin yang lain keluar Umno untuk menubuhkan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau keluar PKR pada 2007 dan menyertai semula parti Umno pada 28 Mei 2008.

“Saya sebenarnya sudah keluar untuk tidak aktif berpolitik, selama dua tahun selepas saya keluar PKR dan menyertai usaha melawan rasuah,” katanya yang merupakan ahli Umno Petaling Jaya Selatan.

Ezam merupakan bekas pengerusi Gerakan Demokrasi dan Antikorupsi (Gerak), sebuah badan yang ditubuhkannya selepas beliau bebas dari tahanan ISA.

Semalam, Ezam berkata beliau tidak berminat untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya beliau akan menolak sekiranya ditawarkan oleh BN untuk bertanding di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri atau Parlimen.

Ini kerana, katanya beliau sudah serik dengan senario politik semasa yang dilihat telah banyak mengikis nilai moral manusia.

“Sehingga hari ini saya tidak ada perancangan ke arah itu (bertanding), bagaimanapun walaupun tidak bertanding saya akan tetap berjuang dan berusaha sedaya upaya membantu BN melawan mereka (pembangkang) dan membantu merampas kembali Selangor,” katanya.

Kata Ezam, misinya untuk menjelaskan kedudukan perjuangan politik PKR dan Anwar sudah selesai dan kini mahu meluangkan masa untuk membantu kerajaan membasmi rasuah.

“Saya menyertai Umno untuk menjelaskan tentang Datuk Seri Anwar dan PKR, di mana tugas ini sudah selesai, sudah dapat menjelaskan kepada rakyat.

“Sekarang saya mahu membantu kerajaan dalam melawan rasuah,” katanya lagi.

Ketika ditanya mengenai cakap-cakap bahawa beliau merupakan pemimpin lapisan menerajui kerajaan negeri Selangor, Ezam berkata:

“Perkara itu tak timbul. Bukan itu yang saya mahukan.”

“Saya dari awal sudah memberitahu kepimpinan parti bahawa saya hanya mahu memberi penjelasan tentang PKR dan Datuk Seri Anwar dan membantu kerajaan. Saya tidak mahu apa-apa jawatan,” katanya lagi. - Ezam



* Sumpah pun dia langgar...

Naib Canselor ‘gila ranking’ digesa letak jawatan

KUALA LUMPUR 27 Mac – Naib Canselor atau Rektor mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT) yang meminggirkan pembelajaran, penyelidikan dan penerbitan dalam bahasa Melayu digesa supaya meletakkan jawatan kerana melanggar prinsip asas agenda nasional.

Ketua Dua Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Profesor Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar berkata, sikap mereka yang ‘gila ranking’ itu perlu dihapuskan supaya bahasa Melayu dapat dijadikan bahasa ilmu bertaraf antarabangsa.

“Bagi menggalakkan perkembangan pesat bahasa Melayu, IPT awam dan swasta perlu memartabat dan mendaulatkan bahasa tersebut dalam sistem pendidikan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia pada Mesyuarat Agung Gapena ke-40, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Satu Gapena, Prof. Emeritus Tan Sri Ismail Hussein.

Abdul Latiff berkata, dalam usaha sesebuah IPT untuk meningkatkan ranking, peranan mereka sebagai pendaulat bahasa tersebut juga perlu diutamakan supaya ia seimbang sebagai pemangkin pembangunan negara.

Sementara itu, katanya, kerajaan juga digesa supaya menubuhkan sebuah jabatan pemantauan dan pelaksanaan bahasa Melayu di setiap IPT bagi mendaulatkan bahasa tersebut.

Tambahnya, penubuhan jabatan itu dapat menggalakkan pembelajaran dalam bahasa Melayu dan menarik minat pelajar asing untuk mendalami peradaban orang Melayu serta memperluaskan lagi penggunaan bahasa tersebut ke serata dunia.

“Penyelidikan dan penerbitan yang dikeluarkan IPT dalam bahasa Melayu perlu diutamakan dan usaha mereka mendaulatkan bahasa ini perlu dihargai dengan pemberian anugerah dan sijil kecemerlangan tahunan,” katanya. - Utusan

Video seks: Alibi Twitter Anwar terus dibahas

Perbahasan berhubung alibi Datuk Seri Anwar Ibrahim - dalam isu rakaman video seks -melalui laman sosial Twitter dan Facebook terus rancak dibahaskan.

Pengarah Strategi PKR Mohd Rafizi Ramli (kiri) hari ini mengemukakan hujah meliputi aspek teknikal bagaimana penentuan masa laman popular itu ditentukan - yang didakwanya gagal difahami oleh media milik Umno.

"Saya dengan sengaja meninggalkan penerangan mengenai kenapa pesanan yang dipaparkan di laman Twitter adalah sejam lebih cepat berbanding di laman Facebook pada 21 Februari 2011 itu, untuk memberi peluang kepada Utusan Malaysia, media perdana dan blogger Umno mengkaji dengan lebih mendalam demi kebenaran.

"Saya menjangkakan mereka tidak akan berusaha memahami bagaimana laman Twitter dan Facebook berfungsi, sebaliknya akan terus memfitnah dan menggunakan perkara itu," katanya.

Berikut ringkasan hujah-hujah Mohd Rafizi:

1. Anwar membuat sembilan pesanan di akaun Twitter yang turut dipamerkan di laman Facebook bermula jam 10:38 malam, 21 Februari lalu. Pesanan itu menunjukkan mustahil pelaku dalam video yang didakwa.

2. Pesanan yang dipaparkan di Twitter sejam lebih cepat berbanding di Facebook pada 21 Februari. Ia boleh diterangkan melalui konsep daylight time saving dan bagaimana kedua-dua laman itu berfungsi.

3. Facebook mempamerkan tempatan kerana iamengikut masa dalam komputer semasa akaun dibuka. Twitter mengikut masa dalam pelayannya di San Francisco, Amerika Syarikat. Masa setiap pesanan Twitter harus ditambah perbezaan masa mengikut zon masa dunia.

4. Penggunaan amalan perubahan jam mengikut daylight saving - yang perlu diubah setiap Mac dan November - memberi kesan kepada perbezaan masa antara zon-zon dunia. Apabila jam diubah di Amerika Syarikat; masa di pelayan laman Twitter juga berubah.

5. Pada musim sejuk (November hingga Mac), perbezaan masa antara San Francisco dan Malaysia adalah 16 jam. Setiap pesanan dalam tempoh itu,Twitter secara automatik mengira waktu di tempat asal berdasarkan perbezaan itu.

6. Sehubungan itu, pesanan yang dibuat pada jam 10:40 malam di Malaysia pada 21 Februari bersamaan 7:40 pagi di San Franciso (jam Malaysia tidak mengikut daylight saving). Pelayan Twitter akan menambah 16 jam, yang menyebabkan ia dipamer 11:40 malam (satu jam cepat).

7. Apabila jam diubah semula bermula hari Ahad kedua bulan Mac (mengikut daylight saving) perbezaan masa Malaysia dan San Francisco menjadi 15 jam. Maka, pesanan yang di Twitter mempamerkan masa yang seragam dengan masa tempatan.

8. Oleh itu, masa yang ditunjukkan oleh Facebook (yang menggunakan masa tempatan) adalah masa tepat dan tidak dipengaruhi oleh perubahan akibat daylight saving. - Malaysiakini

Tidak perlu lapor polis jika hilang MyKad

PUCHONG - Jika sebelum ini orang ramai yang kehilangan MyKad atau pasport perlu membuat laporan polis namun kini mereka tidak perlu berbuat demikian.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Mahmood Adam berkata, mereka yang kehilangan kedua-dua dokumen itu hanya perlu ke Jabatan Imigresen atau Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membuat permohonan baru mulai 1 Mac lalu.

"Mengikut rekod sebanyak empat juta laporan polis telah dibuat sehingga hari ini.

"Kita tidak mahu lagi menyusahkan pihak polis dan mengambil inisiatif ini untuk membantu meringankan beban mereka," katanya selepas Majlis Penyerahan Pangkat Kehormat Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) di sini semalam. - Kosmo

Ke mana Anwar?: Penjelasan PKR jadi 'senjata makan tuan'

KUALA LUMPUR 27 Mac - Tindakan terdesak Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjadikan Facebook sebagai bukti alibi, kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berada di hotel ketika rakaman video seks yang didakwa membabitkan seorang pemimpin pembangkang berlaku, bertukar menjadi 'senjata makan tuan'.

Ini kerana PKR melalui Pengarah Strateginya, Mohd. Rafizi Ramli, mungkin tidak sedar terdapat perbezaan waktu antara laman sosial Facebook dengan Twitter sebelum 13 Mac lalu, akibat Waktu Musim Panas (DST) yang menyaksikan masa di Facebook sejam lebih awal berbanding Twitter.

Ini kerana Facebook bergantung kepada server (pelayan Internet) di Amerika Syarikat yang mempunyai perbezaan waktu (cepat sejam) akibat DST tetapi server Twitter tidak bergantung kepada Amerika sebaliknya, ia mengikut waktu sebenar sesebuah negara pengguna.

Perbezaan waktu tersebut hanya kembali sepadan di antara Twitter dan Facebook apabila Amerika Syarikat pada 13 Mac lalu, menambah sebanyak sejam waktu di negara tersebut bagi menyelaras semula perbezaan waktu siang yang lebih panjang ketika musim bunga dan musim panas.

Sebab itu, berlakunya perbezaan masa antara mesej Anwar di Twitter dengan Facebook untuk kandungan yang sama pada 21 Februari lalu, iaitu tarikh di mana rakaman video seks membabitkan seseorang yang didakwa sebagai pemimpin kanan pembangkang dirakamkan di sebuah bilik hotel.

Bagaimana mesej di kedua-dua laman sosial tersebut tetap mempunyai persamaan iaitu Anwar didapati 'hilang' lebih dua jam dari pukul 9.20 hingga 11.38 malam (Twitter) dan 8.20-10.40 malam (Facebook) tanpa sebarang penjelasan kukuh daripada Ketua Pembangkang itu sendiri.

Sedangkan, dalam tempoh itulah aksi seks yang mengaitkan seorang pemimpin pembangkang dengan wanita China dirakamkan (10.20-10.41 malam) dan dengan mengambil kira fenomena DST (perlu tambah sejam), waktu sebenar 'kehilangan' Anwar di Facebook adalah dari pukul 9.20 hingga 11.40 malam.

Menurut penulis blog Minda Intelek Melayu (MIM), Dr. Novandri Hasan Basri, akibat tindakan terdesak Mohd. Rafizi itu, semakin banyak rahsia ke mana Anwar 'menghilang' pada waktu aksi seks tersebut dirakamkan kini terbongkar sedikit demi sedikit.

"Sungguh memalukan sebagai Pengarah Strategi PKR, Mohd. Rafizi cuba mengelirukan rakyat dengan jam di Facebook tetapi hakikatnya, jam di Twitter adalah waktu semasa iaitu waktu ketika mesej ditweet. Jika Anwar tweet pukul 9.20 malam, ia bermaksud pukul 9.20 malam.

"Tetapi Mohd. Rafizi sendiri telah menyulitkan isu Anwar 'hilang'. Disebabkan kenyataan beliau mahu membuktikan kehadiran Anwar, MIM juga dapat tahu bahawa Anwar turut 'hilang' dalam Facebook lebih dua jam (8.20-10.40 malam)," katanya dalam blog http://novandri.blogspot.com.

Menurut Mohd. Rafizi, berdasarkan waktu di Facebook itu (belum ditambah sejam) adalah mustahil 'aktor' yang melakukan hubungan seks tersebut adalah Anwar sebagaimana didakwa oleh banyak pihak.

Namun semalam, Anwar ketika diajukan soalan ke mana beliau 'menghilang' dalam tempoh lebih dua jam itu langsung tidak mahu menjawab sebaliknya mempersoalkan mengapa mereka yang bertanggungjawab mendedahkan rakaman video tersebut tidak ditahan oleh pihak berkuasa.

Sedangkan sebelum ini, ketika menafikan dirinya ialah pemimpin pembangkang dimaksudkan, Anwar dengan tegas memberitahu, dia berada bersama keluarganya dan sedang mengemas kini laman sosial Twitter dan Facebook ketika aksi seks itu berlangsung. - Utusan

27 March 2011

Lebih baik ditadbir penjajah jika hak Melayu hakis, kata Ibrahim Ali


KUALA LUMPUR, 27 Mac — Kaum Melayu lebih baik tinggal di bawah pentadbiran penjajah jika Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan yang melindungi hak istimewa mereka diketepikan dan terhakis, kata Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali hari ini.

Dalam kritikan pedas beberapa jam sebelum pentadbiran Najib mengumumkan laporan tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP), Ibrahim berkata, agenda nasional mesti digerakkan selari dengan kehendak Artikel 153.

“Hak tetap hak,” kata beliau pada akhir Konvensyen Transformasi Ekonomi Bumiputera anjuran Perkasa di sini hari ini.

Justeru kata beliau, tindakan-tindakan sebaliknya bersamaan dengan pendekatan mengabaikan kesemua hak yang diperjuangkan oleh nasionalis Melayu ketika menentang pembentukan Malayan Union, yang memberikan bukan Melayu lebih banyak hak.

“Perlembagaan Persekutuan mesti dijadikan terma rujukan dalam mana-mana dasar nasional,” kata Ibrahim.

“Meskipun kita sedang menuju ke arah satu transformasi dengan cenderung kepada meritokrasi dan liberalisasi untuk memenuhi kehendak ekonomi global, terma rujukan yang seharusnya mestilah Perlembagaan Persekutuan,” kata Ahli Parlimen Pasir Mas ini.

Katanya, Model Baru Ekonomi (MBE) yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak boleh melindungi hak Melayu dan Bumiputera kerana ia bersifat terlalu longgar dan terdedah kepada manipulasi.

Tambah beliau, mana-mana dasar ekonomi yang tidak bertunjangkan Artikel 153 bercanggah dengan perlembagaan dan ia juga satu tindakan jenayah.

Ibrahim juga mengecam kerana kerajaan memberi terlalu banyak perhatian kepada syor-syor pakar luar negara dalam melaksanakan MBE sedangkan mereka tidak faham latar belakang sejarah yang bersangkut-paut dengan ekonomi Malaysia.

“Mereka datang ke sini untuk merangka ekonomi bagi Malaysia berdasarkan pertimbangan asing dan bukannya (keperluan) sosioekonomi negara,” katanya lagi.

Sehubungan itu beliau menggesa kerajaan memberi tekanan kepada tindakan afirmatif yang pro-Bumiputera, sebagaimana ditekankan dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB). - TMI

Konvensyen bimbang 6 KSU diganti bukan bumi


Konvensyen tranformasi ekonomi bumiputera anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) hari ini menyuarakan kebimbangan terhadap pelantikan bukan bumiputera sebagai ketua setiausaha (KSU) di enam kementerian.

Menurutnya, kesemua jawatan tersebut sebelum ini disandang oleh KSU bumiputera.

Konvensyen itu bimbang pelantikan tersebut akan menjejaskan agenda pembangunan ekonomi bumiputera.

Menurutnya, dengan kuasa mutlak yang ada, mereka berupaya secara terang dan berselindung menggagalkan agenda pembangunan ekonomi bumiputera di kementerian mereka.

Enam kementerian tersebut ialah Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pelancongan, Kementerian Tenaga dan Hijau, Kementerian Perdagangan Antarabangsa (MITI), Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pengangkutan.

Perkara tersebut merupakan antara 13 resolusi yang diluluskan dalam konvensyen sehari yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara hari ini.

Sehubungan itu, konvensyen berkenaan mendesak Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) mengambil tindakan dengan mengarahkan ketua setiausaha negara menukar KSN berkenaan jika mereka terbuka membelakangkan agenda ekonomi bumiputera.

MTAB adalah badan peneraju pembangunan sosio-ekonomi Melayu yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib TUn Razak dan dianggotai lapan menteri kabinet.

Hampir 700 peserta yang terdiri termasuk wakil 76 NGO Melayu dan bumiputera menghadiri konvensyen tersebut.

Selain itu, konvensyen itu menyokong penubuhan Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) sebagai usaha meletakkan orang Melayu dan bumiputera dalam agihan kek ekonomi negara dalam suasana transformasi ekonomi.

"Konvensyen berpendapat bahawa TERAJU tidak sepatutnya dilihat sebagai sebuah lagi organisasi yang menjaga kepentingan bumiputera, tetapi masih lesu dalam tindakan afirmatif.

"Peranan TERAJU seharusnya seiring dengan agensi-agensi yang lain seperti PEMANDU yang diberikan peranan besar dalam memacu Program Transformasi Ekonomi Negara," resolusi itu dipetik.

Sehubungan itu konvensyen tersebut menggesa supaya TERAJU mesti diberi kuasa penuh mengarah dan memantau menteri, KSU, Ketua-ketua pengarah agensi dan GLC dalam hal berkaitan agenda ekonomi bumiputera.

Selain itu beberapa resolusi yang diluluskan antaranya:

1. Menjadikan pembangunan ekonomi bumiputera sebagai agenda nasional

2. MTAB perlu memastikan ketua pegawai eksukutif syarikat GLC yang hendak dilantik mesti berjiwa Melayu dan bukannya terdiri dari mereka yang golongan Melayu Liberal.

3. Meningkatkan komitmen pengurusan Petronas dalam agenda bumiputera di Petronas.

4. Mewujudkan satu badan khas yang memantau dan menyelia kemajuan tanah rizab Melayu yang boleh dinamakan Perbadanan Kemajuan Tanah Rizab Melayu Greater Kuala Lumpur.

Sementara itu, dalam sidang medianya, Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali meminta kerajaan berhati-hati terhadap pakar-pakar luar yang dijemput memberi pandangan tentang ekonomi tetapi "tidak mengetahui latar belakang sejarah dan perkembangan dalam negara ini".

"Mereka menggubal ekonomi tidak berasaskan kepada sosioekonomi Malaysia,"katanya.

Menurutnya, beliau menerima pandangan dan input yang didakwa bahawa pandangan mereka "tidak ada roh" dan "tidak ada latarbelakang sejarah Malaysia".

Ibrahim yang juga ahli parlimen Pasir Mas akan menyerahkan resolusi tersebut kepada Najib, timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pihak-pihak lain selepas ini. - Malaysiakini

Soi Lek sendiri terpalit dengan seks haram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Batu Tian Chua menegaskan bahawa Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek tidak layak bercakap soal moral dan integriti kerana beliau sendiri mengaku melakukan perhubungan seks haram bersama rakan wanita yang dirakamkan dalam video.

Naib Presiden PKR itu membidas kenyataan Chua dalam akhbar The Star semalam menggesa supaya Ketua Pembangkang Datuk Seri

Anwar Ibrahim membuktikan bahawa beliau (Anwar) bukanlah si pelaku dalam video seks yang didalangi oleh Datuk T.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Tian Chua berkata, “saya pasti rakyat Malaysia turut sama berkongsi rasa mual apabila seorang ahli politik yang mempunyai rekod kurang moral yang diketahui umum cuba memberi komen mengenai moral dan integriti.

“Seluruh rakyat Malaysia arif tentang skandal seks yang melibatkan Soi Lek dan dia sendiri mengakui bahawa dia menjalinkan hubungan seks di luar perkahwinan dengan seorang wanita dan dirakam dalam video,” katanya.

Menurut beliau, perancangan Umno untuk memfitnah Ketua Umum PKR melalui video seks terbaru semakin ditolak rakyat apabila individu-individu yang telah dibuktikan terbabit dalam skandal seks sebelum ini tampil untuk menjadi juara moral dan integriti.

“Rabu lalu ramai rakyat Malaysia ketawa apabila mantan ketua menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik yang terpaksa meletakkan jawatan politik kerana terbabit dalam kes rogol kanak-kanak bawah umur muncul kononnya untuk memastikan bakal pemimpin negara mempunyai moral.

Moral dan integriti

“Hakikatnya, individu-individu ini tidak layak untuk bercakap mengenai moral dan integriti. Mereka juga tidak wajar dibenarkan menukar prinsip keadilan bahawa yang menuduh perlu membawa bukti dan seseorang itu tidak bersalah sehinggalah dibuktikan sebaliknya.

Ujar Tian Chua, “kenyataan Soi Lek semalam secara jelas ingin meletakkan beban bukti kepada Anwar sedangkan kumpulan yang menuduh beliau mempunyai rekod yang buruk di dalam politik.

“Kalau benar individu-individu ini mahu bersyarah mengenai moral, maka mereka perlu menunjukkan teladan yang baik kepada pimpinan muda dan rakyat Malaysia,” terangnya.

“Oleh itu, saya mengulangi desakan yang telah dibuat oleh rakan-rakan saya supaya, Soi Lek meletakkan semua jawatan politik dan bersara terus sebagai tanda dia insaf selepas skandal seksnya tersebar luas.

“Saya juga menyeru supaya Rahim meletakkan semua jawatan dalam kerajaan terutamanya sebagai Pengerusi Risda keranapenglibatannya dengan kes rogol kanak-kanak bawah umur masih kekal dalam ingatan rakyat sehingga kini.

“Jika Soi Lek tidak sanggup menunjukkan teladan yang baik, dia tidak wajar campur tangan dalam skandal video seks yang didalangi

Umno ini kerana rekod moralnya sangat memualkan,” ujar Tian Chua. - FMT

* BN masih angkat pemimpin yang lucah. Bagaimana mereka dapat buang kelucahan dalam masyarakat...

Ezam tidak berminat bertanding dalam pilihan raya


BANTING 27 Mac - Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Senator Ezam Mohd Nor berkata, beliau tidak berminat untuk bertanding pada pilihan raya Umum akan datang.

Katanya, beliau akan menolak sekiranya ditawarkan oleh Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.

Ini kerana, katanya beliau, sudah serik dengan senario politik semasa yang dilihat telah banyak mengikis nilai moral manusia.

"Sehingga hari ini saya tidak ada perancangan ke arah itu (bertanding), bagaimanapun walaupun tidak bertanding saya akan tetap berjuang dan berusaha sedaya upaya membantu BN melawan mereka (pembangkang) dan membantu merampas kembali Selangor,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Bugis dan Mesyuarat Agung Kelima Persatuan Kebajikan Pekerja Bugis Sabah (PKPBS) di sini hari ini. - Bernama

* Nasib seorang pengkhianat. Pakatan Rakyat tidak akan mengundi dia, BN juga tidak akan mengundi dia. Seolah-olah langit dan bumi tidak menerima seorang pengkhianat...

Ular masuk ruang tamu


TELUK INTAN: Tindakan berani dua beranak cuba menghalau dan menangkap seekor ular sawa sepanjang enam meter yang memasuki rumahnya membawa padah apabila salah seorang daripada mereka dibelit reptilia berkenaan.

Bagaimanapun, tindakan pantas si bapa mengetuk kepala ular berkenaan menyebabkan ular itu melepaskan belitan ke atas anak lelakinya.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam di Kampung Air Tenang, Sungai Tukang Sidin, Chikus itu, seorang remaja, Alfaizan Anwar, 21, bersama bapanya, Anwar Arshad, 53, berdepan saat mencemaskan apabila seekor ular seberat 70 kilogram memasuki ruang tamu rumahnya ketika sedang menonton televisyen.

Anwar berkata, dia mula panik apabila ular berkenaan bertindak agresif sebelum membelit anaknya ketika cubaannya menghalau dan menangkap ular itu.

Beliau berkata, terperanjat melihat kejadian itu, dia memberanikan diri mengetuk kepala ular itu menyebabkan reptilia melepaskan belitan terhadap Alfaizan.

"Pada mulanya, saya mendengar seperti bunyi pelik sebelum menoleh ke belakang dan melihat seekor ular sedang berada di ruang tamu.

"Saya dan anak sedang menonton televisyen ketika kejadian sebelum menyedari kewujudan ular berkenaan," katanya ketika ditemui di kediamannya di sini semalam.

Katanya, dia dan anak terpaksa berhempas pulas selama dua jam untuk menewaskan ular itu.

Anwar berkata, dia yakin ular berkenaan sedang kelaparan dan mungkin memburu beberapa ekor kucing yang di belanya di dalam rumah.

Katanya, kejadian itu adalah kali kedua ular sawa memasuki rumah penduduk di kampung ini. "Sebelum ini, ular sawa sepanjang lebih tujuh meter di tangkap ketika binatang berbisa itu cuba membaham kambing peliharaan di belakang rumah. "Bagaimanapun, saya bersama penduduk kampung berjaya menangkap dan menyerahkan ular itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut," katanya. - Mymetro

Diancam mafia


KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri kini hidup dalam kebimbangan selepas diancam seorang wanita yang mengaku mafia sebuah kondominium mewah di Wangsa Maju, dekat sini.

Wanita itu juga mendakwa mempunyai ramai pengikut dalam satu pertubuhan.

Berikutan ancaman berkenaan, pasangan terbabit kini ibarat pelarian di negara sendiri kerana sering berpindah-randah, terutama selepas segala perlakuan yang dilakukan wanita berkenaan seolah-olah tidak dapat dihentikan.

Apa yang menakutkan pasangan itu ialah selepas rumah mereka di Wangsa Maju beberapa kali dipecah masuk yang menyebabkan semua barangan membabitkan pakaian dalam yang baru dipakai lesap selain cebisan najis ditinggalkan dalam perkarangan rumah.

Tidak cukup dengan itu, kenderaan mangsa turut dirosakkan selain petak letak kereta ditabur dengan selut dikhuatiri diambil daripada tanah perkuburan.

Berikutan itu, pasangan berusia lingkungan 30-an dan 40-an itu hanya berserah kepada Allah kerana bimbang mereka disihir, terutama selepas si isteri sering mengalami gangguan sambil berharap pihak berkuasa bertindak terhadap sembilan laporan polis yang dibuat sebelum ini.

Mangsa yang hanya mahu dikenali Misya bimbang dengan keselamatan diri kerana selepas membuat laporan masing-masing pada 15/8/2010; 14/12/2010; 17/1/2011, 19/1/2011; 1/2/2011, 2/2/2011, 3/2/2011 (dua laporan) dan terakhir 2/3/2011 di Balai Polis Wangsa Maju bagai tiada kesudahan.

Difahamkan wanita terbabit adalah orang tengah yang menguruskan sewa rumah didiami mangsa yang dipercayai mengupah pihak tertentu untuk mengusir pasangan berkenaan keluar daripada kediaman mereka.

“Tiada sebab kami harus keluar kerana sewa rumah dijelaskan, namun mungkin kerana ada penyewa lain yang menawarkan harga tinggi, kami dihalau sedangkan mengikut kontrak tempoh sewa sah sehingga setahun, iaitu sehingga Jun tahun ini.

“Semakin banyak laporan dibuat semakin ganas tindakannya dan kami semakin terancam serta tertekan dengan pelbagai ugutan. Tak tahulah di mana silapnya, malah pernah satu ketika wanita berkenaan membawa bersama seorang anggota pihak berkuasa berpakaian seragam menceroboh masuk ke rumah sewa kami itu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya selepas dia menghubungi peguam yang meminta waran masuk rumah ditunjukkan, anggota itu kemudian memohon maaf.

“Tindakan itu (masuk ke rumah bersama suspek) amat mengecewakannya.

“Saya tidak tahu dia benar-benar polis atau siapa yang jelas dia beruniform lengkap, sepatutnya sebagai anggota penguat kuasa dia harus bersikap adil dan bukannya memihak kepada mana-mana pihak,” katanya.

Berikutan itu, pasangan berkenaan kini sudah keluar daripada kediaman berkenaan, namun mendakwa masih diekori pihak tertentu yang menyebabkan mereka tidak tenteram.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad ketika dihubungi, berkata pihaknya akan mendapatkan semula laporan yang dibuat mangsa untuk memudahkan siasatan.

“Ada masanya jika kes membabitkan pertelingkahan soal sewa-beli ia hanyalah kes tuntutan sivil dan kita menyerahkan kepada kedua-dua pihak menyelesaikan kes di mahkamah.

“Bagaimanapun, sekiranya laporan berkenaan mempunyai unsur jenayah, kita akan menjalankan siasatan dan saya akan meneliti laporan yang dibuat mangsa untuk mendapatkan gambaran mengenai dakwaan pasangan itu,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad. - myMetro

Kes Eskay lawan Merong Mahawangsa jadi tumpuan

Kes projek jambatan bengkok yang melibatkan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah lawan Merong Mahawangsa Sdn Bhd dan pengarah eksekutifnya Datuk Yahya A Jalil, bermula sebagai satu kes mahkamah biasa awal bulan, tetapi ia kini menjadi tumpuan pelbagai pihak.

Ini ekoran pengakuan Eskay sebagai sebahagian daripada 'Datuk T' yang terbabit dalam pendedahan video seks yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Eskay (kiri dalam foto) dikatakan marah dengan ketua umum PKR itu kerana enggan memberi keterangan menyokongnya dalam kes samannya terhadap Merong and Yahya.

Berikutan peguam Eskay sendiri, CV Prabhakaran, telah menafikannya, maka kes ini mungkin boleh memberi klu mengapa Eskay begitu marah dengan Anwar dan mahu menjatuhkan ketua pembangkang itu.

Berikut ialah sorotan kes tersebut, di mana Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk VT Singham akan mengumumkan keputusannya pada 5 Mei depan:

Kes ini telah difailkan Eskay pada 2002 dan sebelum ini telah didengar oleh dua orang hakim, sebelum dipindahkan kepada Singham.

Eskay, yang merupakan pengarah syarikat Aman Agropreneurs Sdn Bhd, berkata dalam kenyataan tuntutannya bahawa pada sekitar 1998, Yahya (kanan) telah menemuinya untuk mendapatkan bantuannya memperolehi projek jambatan bengkok bagi menggantikan Tambak Johor.

Eskay berkata, dia telah dijanjikan 16.66 peratus saham dalam Merong Mahawangsa Sdn Bhd , di mana Yahya merupakan pengarah eksekutifnya, untuk mencari dana memandangkan dia mempunyai hubungan rapat dalam kerajaan serta di sebarang laut ketika berada di sana. - Malaysiakini

Bekas mufti saran perhimpunan anti-politik lucah

Bekas mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengajak semua pihak menganjurkan satu perhimpunan besar bagi menyatakan kebencian rakyat terhadap politik lucah dan kotor.

"Semua pihak tanpa mengira agama, parti dan kaum hendaklah menyatakan bantahan mereka terhadap budaya kotor dan jelek di kalangan politikus dan media di negara ini," tulis Dr Mohd Asri dalam blognya.

"Kita menentang politik lucah dan politik selak kain," katanya.

Berikut itu, katanya, semua politikus tanpa mengira parti hendaklah menghentikan amalan mendedahkan aib peribadi musuh politik yang bukan membabitkan kezaliman terhadap rakyat.

"Ia adalah amalan jijik dan kotor. Sama ada dalam Umno, PKR, PAS, DAP dan lain-lain, amalan ini hendaklah dihentikan segera. Ia dosa dan jijik; sama ada kerana memfitnah, ataupun mendedah aib peribadi orang.

"Ia bukan lambang kekuatan minda pendedah tersebut, sebaliknya hanyalah sekadar mengambil kesempatan dari kelemahan orang lain atau setelah memangsakan orang lain," tulisnya lagi.

Menurut Dr Mohd Asri, bahasa, perbuatan dan isyarat lucah dan kotor hendaklah tidak disebarkan kepada masyarakat awam negara ini, kerana ia akan menyebabkan generasi baru terkesan dengan nilai-nilai negatif.

"Maka orang politik hendaklah bersopan dalam bahasa dan pertuturan. Mereka hendaklah bersih dari unsur-unsur kotor yang merupakan lambang pemikiran yang selekeh dan peribadi yang rendah. Mereka menjadi contoh kepada rakyat. Namun, sopan tidak menafikan ketegasan," katanya.

Media pula, tegasnya, hendaklah menjadi wacana yang bermaruah, bukan penyumbang atau penggalak kepada budaya lucah dan kotor dalam politik.

Media yang menggalakkan fitnah, atau pendedahan unsur lucah, tambahnya, hendaklah dipulau oleh masyarakat bermaruah.

"Ahli politik yang kita mahu ialah mereka yang mampu mencetuskan idea ke arah kebaikan negara, mampu memimpin rakyat dengan pemikiran yang bernas dan menzahirkan nilai-nilai diri yang positif.

"Mereka yang kontang idea, tiada nilai karismik dalam kepimpinan, gersang nilai budi dan adab hendaklah diusir dari pentas politik kita.

"Mereka yang sebeginilah yang akan cenderung mencari kelemahan peribadi musuh disebabkan gagal membina kekuatan diri," tambahnya.

Oleh itu, katanya, rakyat hendaklah bangkit menentang semua bentuk kezaliman dan penindasan hak, tanpa mengira agama, kaum dan parti.

"Bebas dari fanatik kepartian, tetapi menjadi manusia yang berprinsip dalam menegakkan kebenaran," tegasnya lagi. - Malaysiakini

Yen Yen: Kami tak peduli Nazri, tak minta mohon maaf pun

GEORGE TOWN, 27 Mac — Naib Presiden MCA Datuk Seri Dr Ng Yen Yen mengulangi bahawa parti itu tidak meminta Datuk Seri Nazri Aziz meletak jawatan atau memohon maaf di atas kenyataan kontroversinya mengenai MCA, MIC dan Gerakan.

Ng (gambar)yang juga Menteri Pelancongan berkata setiap orang berhak menyuarakan padangan mereka dan pada masa yang sama harus mematuhi etika Barisan Nasional.

“Bagi MCA, orang yang pandangannya paling penting bagi kami ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Jadi kami tak ambil peduli kenyataan Nazri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam bagi mengumpul dana Yayasan Perubatan 1MCA, di sini malam tadi.

Beliau mengulas laporan Nanyang Siang Pau baru-baru ini yang memetik Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu membandingkan kedudukan MCA sekarang sebagai “isteri yang dizalimi tetapi enggan meminta cerai.”

Buat masa ini, Ng berkata parti itu memberi sepenuh tumpuan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Dalam satu kenyataan semalam juga, Nazri berkata percakapannya semasa sesi temu ramah dengan akhbar tersebut baru-baru ini telah disalah tafsir oleh wartawan berkenaan sehingga menyinggung perasaan parti komponen dalam Barisan Nasional (BN).

Justeru, katanya, soal meminta maaf tidak timbul kerana laporan yang disiarkan itu tidak betul.

“Saya anggapkan hubungan Umno dan MCA ibarat sebuah perkahwinan yang kukuh... kahwin lebih 50 tahun ada bergaduh, macam-macam aduan. Sebuah perkahwinan yang lama tetapi tidak bercerai.

“Saya tidak suruh keluar pun. Itu mesej saya, ini perkahwinan lama, bergaduh tetapi tidak bercerai,” katanya. - TheMalaysianInsider

Pelajar UM muncul juara Akademi Al-Quran musim kelima


PUTRAJAYA, 27 Mac — Penuntut Universiti Malaya, Mohd Syahriansyah Apin, 25, dinobatkan sebagai juara Akademi Al-Quran Musim Kelima pada pusingan akhir yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini malam tadi.

Pusingan peringkat akhir yang disiarkan secara langsung oleh TV9 itu menyaksikan pelajar Fakulti Pendidikan Islam tersebut menewaskan tiga peserta lain iaitu Muhamad Nasir Mohamad Salleh, Mohamad Husaini Mahmur, Mohamad Salleh dan peserta tunggal wanita Suhailah Zulkifly.

Mohd Syahriansyah yang berasal dari Sabah membawa pulang hadiah utama dengan nilai keseluruhan RM150,000 yang turut meliputi wang tunai RM30,000, pembiayaan pengajian, senaskhah al-Quran bertinta emas, pakej umrah dan haji, serta perabot jati.

Sementara itu tiga peserta yang ditewaskan beliau, masing-masing menerima hadiah wang tunai RM2,000, yuran pengajian serta pakej umrah dan haji.

Penyampaian hadiah dilakukan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. — Bernama

Ajdabiya ditawan


AJDABIYA: Pejuang pemberontak Libya - yang mendapat bantuan tentera Bersekutu - akhirnya berjaya menawan bandar strategik Ajdabiya, semalam.

Laporan awal menyatakan, anggota keselamatan yang setia kepada Muammar Gaddafi tidak dapat berbuat apa-apa ketika pemberontak masuk ke bandar petroleum berkenaan.

Sambil berarak, pejuang pemberontak turut bertakbir dan menunjuk tanda ‘V’ sebagai isyarat kemenangan.

Bandar penting itu sebelum ini menjadi antara kubu utama tentera Gaddafi.

Ajdabiya juga menjadi lokasi penting tentera terbabit menyusun gerakan dalam usaha mereka menawan kubu terpenting pemberontak di Benghazi.

Kejayaan menguasai Ajdabiya itu adalah kesan penting pertama dilihat selepas tentera Bersekutu melancarkan serangan udara ke lokasi tentera dalam usaha mereka menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya.

Sekurang-kurangnya dua mayat pejuang pro-Gaddafi dilihat terlantar di jalan sambil dikerumuni orang ramai yang mengambil gambar.

Menurut media, kedatangan pemberontak itu turut dialu-alukan penduduk selepas mereka mendakwa menjadi mangsa penindasan tentera Gaddafi.

Ajdabiya adalah bandar pertama jatuh semula ke tangan pemberontak sejak tentera Bersekutu melancarkan serangan awal pagi Ahad lalu.

Sementara itu, satu letupan kuat menggegarkan pangkalan tentera di pinggir Tripoli awal pagi semalam.

Letupan itu menyebabkan kemudahan radar tentera di Tajura terbakar. - AFP

Tolonglah ambil tindakan!

TAK ada cerita gempak ke minggu ni, Joyah? Eh, siapa cakap tak ada malah cerita paling panas dan sensasi yang Joyah nak kongsi ni.

Kisah seorang pelakon baru yang penuh bangga pakai baju sampai nak terkeluar sebahagian buah dadanya.

Joyah sebenarnya tak berminat langsung nak tulis nama dia di kolum Joyah ni pasal Joyah tak kenal pun dia. Entah dari ceruk mana dia datang, alih-alih cari publisiti murah berpakaian seksi.

Sebab itu Joyah minta abang grafik Pancaindera yang kacak hanya tunjukkan wajah pelakon itu sahaja dan bukan bahagian “aset” yang tersembul keluar itu agar tidak ditatap oleh pembaca bawah umur atau terlebih umur.

Satu hal yang kelakar selepas isu pakaiannya menjadi kontroversi apabila jawapan yang diberikan pelakon ni sangat tak logik.

“Saya memohon maaf kepada yang tidak menyenangi apabila melihat saya berpakaian seperti ini. Saya tidak sempat mencuba terlebih dahulu pakaian ini kerana baru mendapatnya daripada pereka fesyen pada pagi tadi.”

Helo cik adik, budak tadika pun tahu membezakan mana satu pakaian terbuka atau sopan walaupun setakat tengok dan belum mencubanya.

Bagi Joyah senang saja, kerana ada satu dua pelakon berkelakuan tak senonoh macam nilah yang menyebabkan bidang seni terus dipandang hina dan dipanggil kelas ketiga.

Cuma Joyah dok pelik pihak berkuasa tak nak ambil tindakan ke dengan gejala artis wanita yang semakin berani pakai baju yang tersembul sana sini. Kain di bawah pula mesti singkat sampai ke paha.

Setakat asyik bagi amaran berbuih-buih, baik tak payahlah. Memang patutlah segelintir artis wanita di negara ni tak takut pun nak seksi tak bertempat.

Apa nak takut? Kalau pakai pun bukan mereka kena gam ke atau dipanggil mana-mana pihak berkuasa untuk diberi kaunseling. Setuju tak? - Utusan

(Video) Eskay Ke Thailand Kumpul Bahan Jatuhkan Anwar, Kata Mahti

26 March 2011

Video seks: Anwar, Khalid didesak letak jawatan.

SHAH ALAM: Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) mendesak Ketua Umumi PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletak jawatan sebagai penasihat ekonomi kerajaan negeri itu.

Desakan ini timbul berikutan munculnya video seks yang dikaitkan dengan Anwar bersama wanita pelacur warga China.

Pengerusi Gaps, Hamidzun Kamaruddin berkata: “Datuk T menyatakan pelakon utama dalam video adalah seorang pemimpin kanan PKR yang juga penasihat ekonomi kerajaan negeri Selangor.”

Kami tak yakin bahawa lelaki dalam video itu bukan Anwar,” kata pengerusi Gaps, Hamidzun Kamaruddin ketika ditemui wartawan hari ini.

Hamidzun turut mempersoalkan sama ada Lelaki Y yang muncul di dalam perbicaraan liwat Anwar adalah lelaki di dalam video tersebut.

Beliau turut menyeru kepada pihak polis dan Datuk T agar klip video tersebut dijadikan tatapan umum rakyat Selangor.

“Kami ada hak untuk menonton video tersebut kerana ia melibatkan maruah pemimpin ekonomi negeri kami.”

Gaps yang mewakili 15 badan bukan kerajaan berdemonstrasi di hadapan Quality Hotel di sini sambil melaungkan kata-kata berikut selama 15 minit:

“Hidup hidup, hidup rakyat.” “Tangkap tangkap, tangkap Anwar.”

Sementara itu, Gaps turut mendesak agar Menteri Besar (MB) Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletakkan jawatan sebagai menteri besar.

“Kini MB berganding bahu pula bersubahat dengan pelaku aksi video seks.”

Hamidzun turut mendakwa bahawa Khalid menderhaka kepada sultan di dalam isu pelantikan setiausaha kerajaan negeri.

Selain itu, Khalid dituduh terlibat di dalam skandal kewangan dan salah guna kuasa Yayasan Selangor, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dan Talam Corporation. - FMT

* Kata di Selangor tidak ada orang bodoh...

'Di manakah Anwar Ibrahim?' PKR kemuka bukti


Pejabat PKR hari ini tampil memberi urutan catatan Twitter dan Facebook oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membuktikan ketua umum parti itu berada di rumah dan berhubung menerusi alam siber ketika rakaman sebuah video lucah dikatakan berlangsung di sebuah hotel.

Dua akhbar kawalan Umno, Utusan Malaysia dan New Straits Times hari ini mendakwa tidak ada catatan Twitter atau Facebook Anwar pada 21 Februari antara jam 10.23 hingga 10.45 malam – masa yang dikatakan adengan seks membabitkan pemimpin kanan pembangkang dirakamkan di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Pengarah Strategi Komunikasi PKR Rafizi Ramli dalam satu kenyataan menyertakan bukti dari petikan skrin akaun Facebook Anwar yang menunjukkan beliau menghantar pesanan ke akaun Twitter dan disambut oleh pengikutnya pada 21 Februari lalu.

Tertera adalah catatan yang dimaksudkan:

1040 malam: “Inshaallah”
1049 malam: “That's d Najib's plan. Our task: pursue reform agenda”
1050 malam: “Varsity students: Conscience of the majority”
1052 malam: “Modus operandi of rogue leaders”
1058 malam: “Bisa”
1103 malam: “Waras”
1103 malam: “Ada ruang bias ja”
1105 malam: “Ngak. Tapi ada sampaikan kuliah di UGM”
1108 malam: “RT @gst183 Revolution is the festival of d oppressed”

Jelas Rafizi, masa yang dicatatkan di Facebook adalah dua minit lebih lambat dari masa pesanan sebenar di akaun Twitter kerana menggunakan khidmat 'Selective Tweets'.

Sembilan pesanan

Rafizi berkata, Anwar menghantar sembilan pesanan ke akaun Twitternya di antara jam 10.38 hingga 11.06 malam.

Waktu rakaman video berkenaan adalah antara 10.20 hingga 10.41 malam.


“Semua laporan setakat ini oleh mereka yang menonton rakaman tersebut tidak menyebut mengenai si pelaku sedang melakukan seks sambil memegang telefon untuk menghantar pesanan ke akaun Twitter,” jelas beliau.

Malah Rafizi menegaskan pesanan-pesanan yang dihantar dan dilampirkan jelas adalah pesanan yang dibuat oleh Ketua Pembangkang itu sendiri kerana lenggok bahasa dan interaksinya dengan pengikut-pengikutnya diketahui umum.

“Oleh yang demikian, mustahil si pelaku yang dirakam di dalam video adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Rafizi berkata ada pihak termasuk blog upahan Umno mendakwa wujud perbezaan masa sejam di antara catatan di laman Facebook dan laman Twitter.

Bohong besar

Itu kata beliau adalah pembohongan besar yang direka cipta kerana hakikatnya adalah Anwar di rumah dan berinteraksi melalui Twitter pada masa yang didakwa.

“Saya sertakan dua petikan skrin yang diambil dari laman Twitter dan Facebook Datuk Anwar yang menunjukkan bahawa pesanan yang dibuat melalui laman Twitter akan dihantar ke laman Facebook dua minit kemudian.

Oleh itu kata beliau, penjelasan-penjelasan ini sudah cukup untuk membuktikan kepada rakyat Malaysia betapa hinanya akhbar-akhbar milik Umno itu yang tanpa segan silu menyiarkan fitnah tanpa usul periksa, asal dapat menyebarkan dakyah tuan punyanya iaitu Umno.

“Dengan pendedahan ini, PKR mendesak Utusan Malaysia memohon maaf dan sekiranya enggan berbuat demikian, PKR akan mempertimbangkan tindakan lanjut untuk diambil terhadap Utusan Malaysia dan penulis blog Umno tersebut,” katanya.

Dalam laporan muka depannya hari ini bertajuk “Di Manakah Anwar Ibrahim” akhbar kawalan Umno itu mendakwa Ketua Pembangkang 'hilang' kira-kira dua jam pada 21 Febuari lalu, kerana tidak ada catatan dalam Twitter dan Facebooknya.

Niat jahat

Rafizi berkata, laporan itu jelas berniat jahat, dan bertujuan untuk menyambung fitnah dan serangan Umno ke atas Anwar dan Pakatan Rakyat.

Menurut Rafizi, tembelang Utusan Malaysia yang melambangkan rendahnya kawalan mutu kewartawanan.

“Malah isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hanya menjawab ringkas dengan menyatakan rasa terkejut dengan skandal terbaru suami beliau,” katanya di dalam blog http://novandri.blogspot.com.

Menurut Datuk T yang mendedahkan rakaman video seks Isnin lalu ia dirakamkan di sebuah hotel di ibu negara pada 21 Februari lalu. - Malaysiakini



* Pakatan Rakyat perintah, utusan akan bangkrup. Mereka tahu dan mereka terus fitnah...

Drebar teksi kena 20 rotan


SHAH ALAM: Seorang pemandu teksi dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini, selepas mengaku salah atas dua pertuduhan memiliki 524.6 gram (g) ganja di Kuala Langat, dekat sini, tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah Sheikh Hassan Badjenid menjatuhkan hukuman itu terhadap Hellmi Yahya, 33, dan memerintahkan hukuman itu berjalan mulai tarikh dia tangkap iaitu pada 23 Mac tahun lalu. Dia mengaku salah atas pertuduhan pilihan pertama iaitu memiliki 333g ganja di Apartmen Seri Trompet, Lingkaran Sri Kembangan, Seksyen BB7, Bukit Beruntung, Kuala Langat, jam 12.15 tengah malam, 24 Mac tahun lalu. Lelaki yang baru beberapa tahun berumahtangga itu didakwa mengikut seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama. Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, dia bernasib baik kerana pertuduhan asal terhadapnya adalah dakwaan mengedar dadah mengikut Seksyen 39B(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. Hellmi turut mengaku salah atas pertuduhan kedua iaitu memiliki 191.6g ganja di Jalan Sungai Buaya, Sungai Jarom, Kuala Langat, jam 8 malam, pada 23 Mac tahun lalu. Siti Khadijah menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan 10 sebatan untuk setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan secara serentak. Terdahulu, peguam bela mewakili tertuduh, Nik Muammer Hurrie Mohamad Sukri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan mengambil kira latar belakang anak guamnya. - HMetro

Bawa geng pukul tauke pusat snuker


SELAYANG: Seorang lelaki yang ingin meminta hutang RM20 daripada dua lelaki membawa padah apabila dia dan isteri dibelasah rakan itu menggunakan parang, buluh dan cota di Pusat Snuker Taman Selayang Baru, di sini, malam kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 9.30 malam menyebabkan mangsa, Muhammad Faizul Fadarshah, 26, cedera di lengan kiri akibat ditetak dan menerima lima jahitan di kepala manakala, isterinya, Fatimah Che Kathbudeen, 21, cedera di tangan.

Kejadian berlaku di pusat snuker yang juga milik pasangan itu selepas mangsa meminta hutang RM20 daripada dua lelaki itu.

“Saya minta wang itu kerana mereka selalu berhutang dan merosakkan barangan snuker dalam premis saya.

“Pada mulanya mereka tidak mahu membayar hutang berkenaan kerana tiada wang, tetapi selepas berbincang, mereka meminta diri untuk pulang mengambil duit sebelum muncul 10 minit kemudian bersama kira-kira 15 lelaki lain,” katanya ketika ditemui di Hospital Selayang, di sini, semalam.

Menurutnya, kumpulan itu kemudian terus menyerang mangsa bertubi-tubi.

Katanya, dia dan isteri cuba melawan namun tidak berdaya apabila mereka menggunakan pelbagai senjata berbahaya.

Sementara itu, Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan kes berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan. “Pelanggan lain tidak berani membantu kerana mereka begitu agresif memukul kami.

“Saya kemudian dibantu rakan dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut sebelum ditempatkan di wad,” katanya.

Muhammad Faizul berkata, isterinya turut membuat laporan di Balai Polis Gombak berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan kes berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan. - myMetro

* Penjenayah semakin berani...