13 December 2011

Suami isteri dakwa diganggu polis tanpa asas

Sepasang suami isteri mendakwa mereka diganggu selepas ditahan oleh pihak polis dan disaman kerana disyaki mengedar dadah.

Ejen insurans Lim Hen Sek, 26, dan isterinya Ang Ling Zher, 25, mendakwa dua anggota polis, yang hanya dikenali sebagai "Yusuf" dan "Faizal" mengkasari mereka tanpa sebarang asas.

Pada aduannya kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Lim berkata beliau mula dicaci dan diberi layanan buruk apabila dia mula mencatatkan nombor pengenalan polis berkenaan.

Kedua-dua pasangan itu bersama dua lagi rakan dalam perjalanan ke rumah mereka di Bandar Mahkota Cheras pada 3 Disember lalu selepas membeli-belah di The Curve. Pada kira-kira jam 8.15 malam, polis memberikan isyarat kepada kenderaan mereka supaya berhenti.

"Seorang anggota polis yang bernama Yusuf mengarahkan saya keluar dari tempat duduk pemandu dan secara tiba-tiba bertanya, 'Pernahkah awak melanggar undang-undang?' Saya hairan dengan soalan itu dan hanya mendiamkan diri.

"Yusuf kemudian meminta MyKad dan lesen memandu saya. Ketika dia memeriksa dokumen saya, seorang lagi pegawai polis, bernama Faizal, menghampiri rakan saya Ee Chin Chuan, yang duduk bersebelahan saya dan meminta kad pengenalannya," kata Lim.

Menurutnya, anggota polis itu kemudiannya memeriksa kereta mereka tetapi tidak menjumpai apa-apa barangan yang dilarang dan mula menjalankan pemeriksaan badan ke atas Ee.

Katanya, rakannya kemudian diminta mengosongkan poketnya dan anggota polis menjumpai beberapa keping gambar pekerja asing yang disimpan oleh Ee untuk tujuan pendaftaran permit kerja mereka. - Malaysiakini

No comments:

Post a Comment