20 December 2011

RM400 juta dilulus untuk bas henti-henti

PUTRAJAYA 19 Dis. – Kerajaan hari ini meluluskan dana berjumlah RM400 juta bagi membantu syarikat bas henti-henti yang sedang menghadapi masalah kewangan dalam meneruskan operasi mereka.

Mengumumkan demikian, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dana yang diluluskan itu akan diurus oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang merancang untuk mengagihkan sejumlah RM100 juta pada suku pertama 2012.

“Untuk fasa pertama, dana bantuan itu akan digunakan untuk membantu syarikat-syarikat yang bermasalah di Selangor diikuti dengan negeri-negeri lain seperti Negeri Sembilan dan Pahang.

“Dana ini juga merupakan langkah interim yang diharap dapat menyelamatkan perkhidmatan bas henti-henti demi kepentingan rakyat yang terlibat,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan melalui SPAD akan memulakan rundingan dengan pengusaha bas terlibat untuk membincangkan kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah yang timbul.

Najib berkata, ia penting untuk mencari penyelesaian jangka panjang bagi membolehkan pengusaha terlibat terus beroperasi berteraskan kepentingan pihak pengusaha dan juga pengguna.

Beliau menjelaskan, antara kaedah yang akan dibincangkan adalah penggunaan dana yang diluluskan sebagai subsidi mengikut per kilometer.

Menurutnya langkah itu perlu memandangkan beberapa syarikat bas yang menjalankan operasi bas henti-henti terutamanya di Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang kini menghadapi masalah untuk mengekalkan perkhidmatan disebabkan masalah kewangan.

“Kerajaan menyedari impak perkhidmatan bas kepada pengguna pengangkutan awam dan sehubungan itu, SPAD akan terus komited untuk mencari penyelesaian komprehensif bagi menangani masalah yang timbul.

“Langkah-langkah itu adalah selaras dengan prinsip rakyat didahulukan yang sentiasa menjadi pendekatan kerajaan,” kata beliau. - Utusan

No comments:

Post a Comment