22 December 2011

PAS Minta SPR Jamin Penggunaan Dakwat Kekal Mampu Elak Pengundian Berulang

KUALA LUMPUR: PAS hari ini meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi jaminan bahawa penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum akan datang mampu mengelakkan pengundian berulang.

Ketua Penerangannya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata jaminan tersebut termasuklah memilih dakwat kekal yang bermutu tinggi bagi memastikan dakwat yang dicalit tidak mudah dipadamkan dengan apa-apa juga bahan kimia serta tahan lama.

"Kita sememangnya mengalu-alukan pengunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum akan datang dan berharap ia tidak melanggar syarak.

"Jadi kita berharap penggunaan dakwat kekal ini mampu memulihkan keyakinan rakyat terhadap perjalanan pilihan raya di negara ini. SPR perlu yakinkan pengundi bahawa ia tidak melanggar syarak serta tidak boleh dimanipulasi dan tidak boleh dihapuskan dengan mudah menggunakan bahan kimia," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof pada Isnin lepas dilapor berkata bahawa dakwat kekal 'silver nitrate' akan digunakan pada pilihan raya umum ke-13 kelak.

Abdul Aziz berkata dakwat tersebut adalah berlainan dengan dakwat kekal yang disyorkan pada pilihan raya umum 2008, tetapi tidak digunakan ketika itu selepas keberkesanan kaedah itu dipersoalkan pelbagai pihak.

Beliau berkata dakwat kekal yang mengandungi 'silver nitrate' itu telah dihantar ke Jabatan Kimia pada 9 Disember lepas untuk diteliti kandungan dan kesesuaiannya digunakan di negara ini dan seterusnya akan dihantar ke Majlis Fatwa Kebangsaan untuk memastikan ia sesuai digunakan orang Islam.

Pada Ogos 2007, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan untuk membenarkan penggunaan dakwat khas yang dicadangkan oleh SPR bagi menanda jari pengundi pada pilihan raya umum akan datang kerana tidak melanggar hukum syarak. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment