20 December 2011

Masa bantahan dihapus

PUTRAJAYA 19 Dis. - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menghapuskan masa bantahan selama sejam pada hari penamaan calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, keadaan itu bermakna pegawai pengurus pilihan raya akan diberi tanggungjawab sepenuhnya untuk menentukan kelayakan seseorang calon untuk bertanding dalam pilihan raya.

''Ini bermakna calon lawan tidak lagi boleh membangkitkan soal-soal teknikal tetapi tugas tersebut akan dipikul sepenuhnya oleh pegawai pengurus.

''Kalau pihak tertentu ada bukti bahawa calon itu tidak layak bertanding dan ia tidak disedari pegawai pengurus, maka mereka boleh bawa petisyen ke mahkamah selepas pilihan raya," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar.

Abdul Aziz turut mengumumkan calon yang telah dinamakan tidak lagi dibenarkan menarik diri pada saat-saat terakhir.

''Keadaan ini akan memudahkan SPR mencetak kertas undi lebih awal dan tidak perlu menunggu selama tiga hari untuk melihat sama ada terdapat calon yang mahu menarik diri," katanya.

Beliau berkata, SPR turut membenarkan pengundi golongan orang kelainan upaya (OKU) seperti orang buta atau cacat dibantu oleh orang yang dipercayainya untuk mengundi.

''Orang yang boleh dipercayai itu bagaimanapun mesti terdiri daripada warganegara Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas," katanya.

SPR turut bersetuju untuk mempamerkan daftar pemilih baru selama 14 hari berbanding tujuh hari seperti sedia ada.

''SPR juga membersihkan daftar pemilih pada setiap hari dan kami meminta parti politik supaya tidak menghebohkan kepada media sekiranya terdapat satu atau dua kesilapan.

''Maklumkan kepada kita, SPR bersedia memperbetulkan mana-mana kesilapan yang tidak disengajakan," kata Abdul Aziz.

Tambah beliau, pihaknya telah bersetuju untuk mengubah tempat duduk wakil calon untuk memantau proses buang undi. - Utusan

No comments:

Post a Comment