20 December 2011

Khusrin: Kakitangan Awam Selangor boleh ‘terima’ atau ‘tolak’ SBPA

SHAH ALAM, 20 Disember : Kira-kira 23,000 kakitangan awam Kerajaan Negeri Selangor yang akan terlibat dalam sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) seperti diumumkan kerajaan pusat pada 7 Disember lepas mempunyai pilihan samada untuk menerima atau menolak skim tersebut.

Bercakap kepada TV Selangor/ Selangor Kini, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Khusrin Munawi berkata kakitangan awam terbabit akan diberi penjelasan berkenaan pelaksanaan sistem itu dalam masa terdekat bagi memastikan mereka faham berkenaan sistem baharu ini.

“Saya serahkan kepada individu terlibat untuk menerima atau menolak, kita tidak boleh memaksa kerana pilihan pada tangan mereka yang melibatkan masa hadapan mereka sendiri, dan jika dirasakan skim ini memberi manfaat kepada mereka, saya nasihatkan mereka agar menerima skim SBPA itu,” katanya.

Menurut Khusrin, beliau difahamkan terdapat rasa tidak puas hati di kalangan kakitangan awam terbabit berhubung penetapan tangga gaji dan penempatan kakitangan awam apabila SBPA dilaksanakan.

“Daripada segi gaji, akan ada kenaikan, itu satu keputusan yang baik cuma yang tidak puas hati ialah masalah penempatan tangga gaji yang sama pada pegawai yang senior dan junior, itu respon yang saya terima.

“Daripada segi penggabungan jawatan seperti pemandu yang bertujuan untuk memberikan multi-tasking pegawai kerajaan itu tidak membuat satu kerja sahaja, tetapi boleh melaksanakan pelbagai tugas, itu memang baik, tetapi daripada segi penerimaan kakitangan itu sendiri yang masih belum faham,” katanya.

Beliau juga menasihatkankaki tangan awam kerajaan negeri bersabar dan memahami skim ini dengan cermat dan menganggap skim ini lebih baik dari yang sebelumnya.

Khusrin juga menegaskan tidak akan wujud perubahan besar dalam pelaksanaan dasar dan polisi kerajaan negeri apabila skim SBPA dilaksanakan kelak.

“Cuma daripada segi mungkin masa akan datang daripada segi penilaian prestasi yang berbeza, daripada segi penempatan untuk kelayakan kenaikan pangkat yang berbeza,” katanya.

SBPA peruntukan gaji secara ’single point’ tanpa Kenaikan Gaji Tahunan kepada Kumpulan Premier dan konsep Jadual Gaji Minimum-Maksimum kepada Kumpulan Pengurusan Tertinggi dengan Kenaikan Gaji Tahunan diberi mengikut pencapaian prestasi akan dilaksanakan.

JPA juga berkata akan melaksanakan Dasar Pemisah (Exit Policy) kepada penjawat awam yang berprestasi rendah dan mereka yang memilih untuk meninggalkan perkhidmatan, dan peningkatan umur persaraan wajib dari 58 tahun ke 60 tahun.

Sebelum ini juga, Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dilaporkan berkata tidak akan menerima tawaran SBPA sehingga satu pertemuan dibuat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. - SelangorKini

* 'Masalah penempatan tangga gaji yang sama pada pegawai yang senior dan junior' <-- PHD orang Melayu sungguh tinggi. PHD (Perasaan Hasad Dengki)...

No comments:

Post a Comment