31 October 2011

Mat rempit dakwa KM Pulau Pinang rasis

Kira-kira 200 mat rempit mengadakan tunjuk perasaan di bangunan bersejarah jam besar Pulau Pinang yang berhampiran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menuntut ‘litar perlumbaan’ dibina bagi kegunaan mereka.

Kumpulan, yang diketuai oleh Ahmad Shahabuddin - wakil Pertubuhan Islam Gabungan Amal - berbaris di sepanjang kawasan itu dengan motosikal mereka kira-kira jam 1 tengahari dan membunyikan hon selama kira-kira 15 minit sebelum disuraikan oleh polis.

Tindakan mereka dipercayai didalangi politik kerana kebanyakan penunggang berkemeja-T berwarna kuning dengan tertera perkataan ‘LGE rasis’ - merujuk kepada ketua menteri Lim Guan Eng - dan projek 'Selamatkan Pulau Pinang'.

Mereka juga membawa sepanduk yang berbunyi “Kami mahu litar lumba”.

Topi kaledar

Lima penunjuk perasaan, termasuk Shahabuddin, ditahan polis yang telah mengekori sebahagian daripada ahli kumpulan itu dari bangunan Komtar, tempat pentadbiran negeri.

Adalah difahamkan bahawa mat rempit itu bermula dari Jalan Pulau Pinang dan bergerak ke Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dan Dewan Undangan Negeri melalui Jalan Street Light.

Semasa tangkapan itu, berlaku pergelutan kecil di antara polis dan penunjuk perasaan yang terus menjerit. Ada juga yang mencampakkan topi kaledar.

Sebahagian bangunan Komtar sebelum ini telah dicemari dengan grafitti tulisan “Guan Eng tipu Melayu” tetapi tidak dapat dipastikan sama ada kumpulan mat rempit itu yang bertanggungjawab.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata kumpulan berkenaan merancang untuk menyerahkan memorandum kepada Lim berhubung beberapa isu yang melibatkan mereka.

"Kami benarkan mereka untuk menyerahkan memorandum itu kerana ini negara demokrasi. Tetapi jika (himpunan itu) tidak aman, ia boleh menimbulkan keadaan huru-hara dan menyebabkan kehilangan hartabenda," kata Gan.

Mereka yang ditahan akan disiasat kerana menyertai perhimpunan haram di bawah Seksyen 27 (5) Akta Polis.

Kata Gan, selain Sabaruddin, empat individu lain ditahan bagi membantu siasatan dan akan dibebaskan selepas keterangan diambil. - Malaysiakini

Ridhuan Tee: Tolak ansur akan 'ditolak beransur-ansur'


Pensyarah Kanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Dr Ridhuan Tee Abdullah menegaskan perlu ada penegasan dalam melaksanakan Islam, termasuk dalam isu pelaksanaan hukum hudud.

"Tidak boleh terlalu bertolak ansur kerana, jika tidak, kita akan ditolak secara beransur-ansur," kata penceramah terkenal itu.

Katanya, jika perkara itu dibiarkan, orang Melayu dan Islam yang dilindungi perlembagaan akan diratah dan dimamah oleh "gerakan hak asasi manusia" yang diibaratkannya sebagai "wabak komunis".

"Percayalah, jika orang bukan Islam, sudah lembut dengan Islam, sudah tentu persepsi mereka terhadap Islam sudah mula kendur. Ini tidak, sebut sahaja Islam, akan ditentang daripada pelbagai sudut, sedangkan Islam tidak bersangkut-paut pun dengan mereka.

"Lebih-lebih lagi, kita tidak pernah campurtangan dalam hal ehwal agama mereka. Kenapa mereka begitu berani? Pasti ada gerakan lain di sebalik keberanian ini," tulis Ridhuan dalam blognya yang mengulas isu pelaksanaan hudud yang cuba dilaksanakan Kelantan.

Mantan ketua polis negara Tan Sri Rahim Noor (kanan) dilapor memberi amaran berhubung kebangkitan gelombang hak asasi manusia yang dibimbanginya akan "merombak dan menghakis dasar yang dipersetujui bersama."

Menyokong kenyataan Rahim itu, Ridhuan mendakwa ramai yang berselindung di sebalik gerakan itu melalui "perancangan jahat" untuk menghapus dan melunturkan kesucian agama Islam.

"Jika gerakan ini tidak dibendung, tidak mustahil nanti ia akan merosakkan sesebuah peradaban sesuatu bangsa dan negara, terutama negara yang berasaskan kepada sistem kenegaraan Melayu ini. Gerakan ini sedang berlaku di Malaysia.

"Atas nama kebebasan, mereka mahukan kita mengiktiraf apa jua yang dirasakan sesuai dengan cita rasa dan keseronokan manusia, termasuklah memurtadkan Melayu Islam yang dilindungi oleh perlembagaan," coretnya lagi. - Malaysiakini

* Ditaktor sahaja lawan hak asasi manusia...

Karpal: Penjenayah bebas di bawah hukum hudud

Pengerusi kebangsaan DAP Karpal Singh menolak cadangan kerajaan negeri Kelantan bahawa undang-undang sivil harus setegas seperti undang-undang hudud .

Karpal, seorang peguam yang berpenfgalaman luas, berkata bahawa ia tanggapan salah untuk mentafsirkan bahawa hukum hudud atau undang-undang yang tegas seperti hukuman mati boleh menghalang seseorang daripada membuat kesalahan.

Katanya, penyokong hukum akan berhujah, tidak seperti undang-undang jenayah, standard pembuktian adalah sangat tinggi bagi kes-kes jenayah.

Walaupun standard pembuktian bagi undang-undang jenayah adalah "tanpa sebarang keraguan yang munasabah", undang-undang hudud adalah berdasarkan "kepastian", katanya.

"Sebagai contoh, empat orang saksi Islam cukup syarat diperlukan untuk membuktikan kes-kes zina mengikut undang-undang hudud. Ini adalah mustahil dan tidak sesuai untuk negara ini," kata Karpal, pada sidang akhbar di Pulau Pinang, semalam.

"Ia akan menjadi mustahil untuk membuat dakwaan. Penjenayah akan bebas kerana adalah mustahil bagi pihak pendakwa membuktikan kes kerana mememerlukan empat saksi beragama Islam yang cukup syaratnya.

"Malah, akan berlaku lebih banyak jenayah di negara ini apabila penjenayah tahu betapa sukarnya untuk membuktikan kes dan menghukum mereka. Perkara ini perlu dijelaskan kepada semua orang," kata Karpal lagi.

* Tak hairan kafir tolak hudud. Ini Umno...

30 October 2011

MLM: Tiada Penyingkiran Di Minggu Pertama

SHAH ALAM: Tiga kumpulan peserta yang mendapat markah terendah iaitu Caer (30 peratus), Lanun (30 peratus) dan Anje (30 peratus) terselamat daripada disingkir pada pertandingan Maharaja Lawak Mega (MLM) yang berlangsung di Royal Theater Selangor, di sini, Jumaat.

Pengumuman yang dibuat oleh juri iaitu, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan ternyata melegakan mereka untuk meneruskan pertandingan pada minggu kedua.

Ini membuka peluang kepada ketiga-tiga peserta tersebut untuk bersaing semula dengan tiga peserta yang mendapat markah tertinggi iaitu Boboi (61 peratus), Bawal Power (59 peratus) dan Pimai (59 peratus) termasuklah 11 peserta lain iaitu Syok, Bawel, Rap, Saehu, Comel, Osbon, Adlin, Gebu, 3G, JH dan Hiro.

Bagi minggu pertama itu, kesemua peserta diberi peluang membuat persembahan bebas sebagai tanda perkenalan mereka kepada penonton.

Dua peserta dari Indonesia iaitu Bawel dan Saehu dilihat memberi saingan hebat kepada peserta-peserta lain Malaysia termasuklah dua peserta dari Singapura (Syok dan Gebu) dan rakan senegara mereka, Caer.

Peserta negara, Boboi, Adlin dan JH turut memberi saingan sengit kepada peserta-peserta lain.

Menurut Chef Wan, untuk minggu pertama, masih terlalu awal lagi untuk memberi kritikan kepada peserta tetapi melihat, penyertaan tiga buah negara memberikan saingan hebat buat semua lebih-lebih lagi bagi peserta Malaysia.

"Saya faham, kali pertama pelawak 'otai' menyertai pertandingan, situasinya agak berbeza. Saya dapat lihat ada beberapa peserta tempatan yang menyerlah dan ada yang tidak.

"Bagaimanapun, melihat persembahan Bawel dan Saehu, mereka begitu yakin dan mereka seperti mempunyai latihan yang cukup.

"Kadang-kadang orang kita terlalu mencuba untuk buat lawak sedangkan kata-kata yang bersahaja seperti Boboi dan JH juga boleh membuat penonton ketawa. Ini memberikan saingan hebat buat para peserta.

"Bagi saya, pesembahan yang paling teruk pada minggu ini ialah Comel," katanya selepas tamat pertandingan tersebut.

Selain Chef Wan, penyanyi Datuk Siti Nurhaliza dan bekas pemain bola sepak negara, Zainal Abidin Hassan juga menjadi juri tetap MLM manakala penyanyi Singapura, Imran Ajmain sebagai juri undangan.

Sementara itu, Siti berkata, dia melihat peserta-peserta tempatan dari kalangan pelawak 'otai' sahaja yang berjaya menghiburkan penonton.

"Saya faham, bukan mudah untuk buat lawak. Malah saya juga mempunyai masalah sama bila ingin interaksi menghiburkan penonton.

"Cuma apa yang saya harap, di penghujung pertandingan nanti, kita dapat lihat peserta-peserta terbaik dari tiga negara ini bersaing," ujarnya.

Pertandingan MLM menggabungkan pelawak dan pelakon komedi berportfolio tinggi daripada tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Mereka akan berentap untuk merebut gelaran juara MLM dan akan membawa pulang hadiah utama sebanyak RM350,000.

Para peserta akan diadili dengan konsep 70 peratus daripada markah juri manakala 30 peratus undian penonton.

MLM bersiaran pada setiap Jumaat, pukul 10 malam, menerusi saluran Astro Warna (132). - Mstar

* Tukar segera Chef Wan. Dia rosakkan program lawak ini...

PPSMI: Hadapi risiko PRU jika terus nafi kami, PAGE beri Najib amaran

KUALA LUMPUR, 30 Okt — Barisan Nasional (BN) akan berhadapan dengan risiko kehilangan undi dalam pilihan raya umum ke-13 jika terus menghalang pelajar daripada mempelajari matematik dan sains dalam Bahasa Inggeris, demikian menurut pertubuhan bukan kerajaan PAGE hari ini.

PAGE menegaskan pihaknya mahu dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang berusia 10 tahun di sekolah-sekolah kebangsaan dijadikan opsyen di sekolah rendah dan menengah.

“Jika ia (keputusan mengenai PPSMI) adalah bersifat politik, beri kami opsyen PPSMI di sekolah-sekolah rendah dan menengah kebangsaan dan kami akan berikan anda majoriti dua pertiga, yang anda terus menyukarkan kami untuk lakukan.

“Jangan biarkan kami beri undi kepada pembangkang,” kata Pengerusi PAGE Datin Noor Azimah Abdul Rahim (gambar) dalam satu kenyataan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Noor Azimah berkata PAGE akan menghantar surat rayuan kepada Najib esok.

“Kami tidak mahu pentadbiran Najib diperingati atas keputusan memansuhkan PPSMI, kerana tidak mendapatkan semula undi majoriti dua pertiga (di Parlimen) dan menjadikan kanak-kanak kita satu lagi generasi yang ketinggalan,” kata beliau dengan tegas.

Noor Azimah menekankan bahawa keputusan kerajaan memperkenalkan PPSMI sebelum ini bukannya menyebabkan kecacatan, sebaliknya ia akan meningkatkan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk bersaing dengan negara-negara lain sekiranya dasar itu dipertahankan.

Beliau juga mengkritik Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang semalam berkata sistem pendidikan negara ini akan kucar-kacir jika kerajaan membenarkan pemilihan bahasa pengantar sama ada Bahasa Melayu ataupun bahasa Inggeris.

Muhyiddin berkata keputusan kerajaan untuk memperkenalkan dasar Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan memansuhkan PPSMI harus dihormati dan diterima baik semua pihak.

Katanya, ini kerana sistem pendidikan negara akan menjadi kucar-kacir sekiranya kerajaan memberi kebebasan kepada ibu bapa memilih bahasa pengantar untuk anak-anak mereka mempelajari sains dan matematik di sekolah.

“Sukar bagi Kementerian Pelajaran untuk merancang cara bagaimana sebuah sekolah mahukan Bahasa Inggeris, manakala yang sebuah lagi mahukan Bahasa Melayu dan bagaimana pula untuk menyediakan guru-gurunya.

“Pada hari ini kita tahu sesetengah guru Bahasa Inggeris kita pun tidak berapa cekap ... jadi kalau sesetengah sekolah nak Bahasa Inggeris (tetapi) sekolah itu tidak mempunyai guru Bahasa Inggeris yang baik (maka) ia tidak akan tercapai,” katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran memberi jaminan bahawa kepentingan penguasaan Bahasa Inggeris tidak akan diketepikan setelah PPSMI dimansuhkan.

Sambil menyifatkannya sebagai tidak boleh diterima, Noor Azimah berkata, guru-guru seharusnya boleh menggunakan Bahasa Melayu atau Inggeris memandangkan dasar PPSMI sudah pun dilaksnaakan selama sembilan tahun.

“Jika bilangan jumlah yang memilih Bahasa Inggeris adalah kecil, maka mudah untuk menyediakan guru-guru. Alasan-alasan yang diberikan seharusnya diselesaikan, bukannya diletakkan di bawah permaidani selepas kerajaan telah membelanjakan RM3 bilion.

“Kami mahukan satu penjelasan,” katanya lagi.

Noor Azimah menambah sistem pendidikan semasa hanya memecahkan kanak-kanak mengikut sekolah berasaskan kaum dan kewujudan sekolah-sekolah antarabangsa menyebabkan keadaan semakin buruk disebabkan pemilikan kekayaan.

Tegas beliau, PPSMI bukan hanya berkenaan mempelajari Bahasa Inggeris menerusi sains dan matematik, tetapi menyediakan konteks dalam penggunaan bahasa dalam amalan seharian. - TMI

* Tak payah layan golongan ini. Beraninya mereka nak undi PAS...

Ibrahim Ali: ‘PAS jangan terlalu angkuh, sama-sama kita tengok siapa terbujur’

KUALA LUMPUR, 30 Okt — Ahli Parlimen Datuk Ibrahim Ali menasihatkan PAS tidak terlalu “angkuh dan takbur” kononnya ia boleh menang di bahagian Parlimen Pasir Mas yang menjadi rebutan antara tiga parti termasuk calon bebas sejak beberapa pilihan raya umum lalu.

“PAS makin bongkak . . . takbur . . . mana mereka tahu siapa menang siapa kalah? PAS ini sudah ganti Tuhan ke?” kata wakil rakyat ini ketika diminta mengulas mengenai kenyataan kepimpinan PAS kawasan Pasir Mas bahawa parti Islam itu pasti Ibrahim, yang pada pilihan raya umum 2008 menang atas tiketnya tetapi mengiytiharkan dirinya sebagai wakil bebas dan seterusnya menyerang mereka, akan kalah jika bertanding semula di kerusi tersebut.

Justeru kata Ibrahim (gambar), pada pilihan raya umum 2004, PAS mendakwa akan menang besar di Kelantan tetapi hanya dapat mengekalkan kerajaan negeri dengan perbezaan dua kerusi hasil bantuannya.

“Tapi nyawa ikan dengan majoriti dua kerusi (Dewan Undangan Negeri) DUN . . . nasib baik saya bantu dengan bertanding bebas... pilihan raya umum 2008, PAS tidak tahu akan berlaku tsunami politik. Kalau PAS tahu, pasti PAS tidak beri laluan kepada saya,” kata beliau lagi.

Ibrahim memberitahu, “puak PAS ini kepala besar, cuma otak kurang dan lebih jijik, takbur.”

Ibrahim yang juga Presiden Perkasa menambah, beliau tidak kisah menang atau kalah, tetapi kalau satu lawan satu pasti PAS akan kalah teruk kali ini.

“Nasihat saya, jangan terlalu bongkak, angkuh dan takbur. Sama-sama kita tengok, kalau panjang umur, siapa yang terbujur,” katanya lagi.

Ibrahim menambah, PAS sememangnya berharap Barisan Nasional (BN) tidak memberi laluan kepadanya pada pilihan raya umum kali ini.

“PAS tahu, jika satu lawan satu, dengan saya, insya-Allah, kita tengok siapa berputih mata. Sebab itu, PAS harap bukan (saya) Tok Him calon.

“Maka PAS lancar perang saraf. Tapi perang saraf yang mengelabah,” katanya lagi sambil menambah, “PAS Kelantan (seolah-olah) sakit tenat dengan pelbagai penyakit.”

Dalam satu laporan dibawa Harakahdaily semalam, Yang Dipertua PAS Pasir Mas Hanipa Ahmad berkata, Ibrahim akan kalah jika bertanding semula di bahagian tersebut pada pilihan raya umum ke-13.

Hanipa berkata, jentera pilihan raya parti kawasan tersebut tidak gentar walau siapa pun calon yang bertanding dari Barisan Nasional (BN) di bahagian Parlimen Pasir Mas.

Katanya, pihaknya yakin kerana pada asalnya kawasan Parlimen Pasir Mas adalah ‘kubu’ parti itu.

Ibrahim tewas pada 2004 tetapi menang empat tahun kemudian apabila bertanding atas tiket PAS.

Selepas pilihan raya umum 2008 Ibrahim mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat bebas.

Hanipa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Pengkalan Pasir berkata, isu kerusi Pasir Mas ditandingi Ibrahim dengan menggunakan tiket PAS pada 2008 “itu kira (sudah) selesai.”

“Sekarang ini kita berkemungkinan besar dalam pilihan raya umum ke-13 akan berhadapan dengan Datuk Ibrahim Ali yang akan menggunakan ‘dacing’ (lambang BN). Itu kemungkinan besar. Jadi kita sudah bersip sedia untuk menghadapi segala kemungkinan,” katanya lagi.

Pada Mac 2008, Ibrahim memenangi kerusi Pasir Mas dengan majoriti 8,991 undi dengan menewaskan calon BN Ahmad Rosdi Mahmad.

Pada 2004, kerusi Pasir Mas dimenangi oleh Ismail Noh dari PAS dengan memperoleh 17,526 undi, Abd Rahim Abd Rahman yang mewakili BN mendapat 16,275 undi dan Ibrahim pula 6,198. - TMI

* Bawak banyak mengucaplah Brahim...

Elton John: PAS jangan tiru Taliban, kata Asri

Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegur desakan dalam PAS untuk menghalang konsert rock Elton John di Pahang pada bulan depan atas alasan penyanyi gay itu menggalakkan maksiat.

Dr Asri berkata, halangan itu tidak perlu dan cukup sekadar meminta kerajaan tidak membenarkan orang Islam menyertainya.

"Lagipun itu diadakan di Genting (Highland), tempat arak dan judi (untuk) non-Muslim," katanya.

Pada 25 Oktober lalu, agensi berita antarabangsa AFP melaporkan seorang pemimpin Pemuda PAS menggesa kerajaan mengharamkan konsert Elton John pada 22 November kerana ia didakwa akan merosakkan akhlak umat Islam.

Ketua Pemuda PAS Pahang Shahril Azman Abdul Halim Al-Hafiz dilapor menegaskan homoseksual haram dalam Islam dan apa yang dilakukan John adalah maksiat.

Bercakap kepada Malaysiakini semalam, Dr Asri menasihatkan parti Islam itu "jangan tiru Taliban", sebaliknya mencontohi pendirian Islam yang matang, sederhana dan praktikal.

"Anggaplah konsert itu untuk non-Muslim. Jika itu yang mereka (PAS) mahu," katanya.

Dalam masa yang sama, katanya, masih banyak seminar dan diskusi tentang pemikiran kerajaan Islam modern yang perlu diadakan PAS.

Penyanyi warga British itu secara terbuka mengakui gay dan berkahwin sesama jantina pada 2005 selepas undang-undang Britain membenarkan perkara itu.

Penganjur konsert Tune Live ketika dihubungi AFP enggan mengulasnya. - Malaysiakini

* Sama sekali tidak setuju dengan pandangan Asri. Apa yang diharamkan oleh Allah itu tidak baik untuk semua manusia...

Negeri Sembilan julang Piala Malaysia ketiga, atasi Terengganu 2-1

SHAH ALAM, 29 Okt ― Negeri Sembilan menjulang Piala Malaysia buat kali ketiga malam ini dengan menewaskan Terengganu 2-1 pada pertemuan yang agak seimbang di Stadium Shah Alam di sini.

Pasukan itu yang ketinggalan 0-1 di awal babak kedua menjaringkan dua gol menerusi S Kunalan dan Hairuddin Omar. Hairuddin juga diumumkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.


Pemain pasukan Negeri Sembilan menjulang Piala Malaysia edisi 2011 malam tadi.
Kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan pada separuh masa pertama.

Gol tunggal Terengganu dijaringkan oleh Ashaari Shamuddin pada minit ke-59.

Negeri Sembilan, yang memasuki final tiga kali berturut-turut, menyumbat jaringan ekoran kesilapan dilakukan oleh penjaga gol Terengganu Sharbinee Allawee.

Pertemuan malam ini, yang diselubungi kontroversi berkaitan harga tiket, merupakan final yang keenam bagi skuad Rusa.

Pasukan Negeri Sembilan menjadi juara Piala Malaysia pada tahun 1948 dan 2009.

Piala disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin. - TMI

29 October 2011

Prof Aziz Bari terima peluru, nota ugutan bunuh

KUALA LUMPUR, 29 Okt — Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Prof Dr Abdul Aziz Bari yang sedang disiasat oleh tiga pihak berhubung kenyataannya tentang titah Sultan Selangor menerima peluru dengan ugutan bunuh hari ini.
Aziz menerima sebutir peluru yang dihantar menerusi sampul surat ke rumahnya di Bandar Baru Selayang dekat sini kira-kira 11.45 pagi tadi.

“Saya menerima sampil surat dengan sebutir peluru, dengan nota berkata ‘jangan kurang ajar dengan Sultan, maut nanti’,” kata Aziz kepada The Malaysian Insider.

Aziz berkata beliau akan berhubung dengan peguamnya untuk tindakan susulan termasuk membuat laporan polis.

“Saya ada majlis di Ipoh, saya akan membuat laporan polis nanti... anda boleh menghubungi peguam saya untuk maklumat lanjut,” kata beliau yang disiasat oleh pengurusan UIA, polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung kenyataannya tentangt titah Sultan Selangor awal bulan ini. - TMI

Peninju Israel 'bolos', PAS tuntut penjelasan kerajaan

Naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menuntut penjelasan kerajaan berhubung pendedahan peninju Israel, Ilya Grad yang mendakwa telah memasuki Malaysia dengan bantuan menteri belia dan sukan untuk menyertai kejohanan The Challenger Muay Thai untuk stesen TV AXN.

Mahfuz berkata, perkembangan itu mengejutkan, apatah lagi apabila peninju kelas middleweight itu mendakwa bahawa pasportnya tidak dicop.

"Sebarang kemasukan rakyat ke negara Israel diharamkan, malah rakyat Malaysia masuk ke (Israel) juga diharamkan.

"Bagaimana (Grad) boleh masuk dengan (dakwaan) restu menteri, malah tanpa melalui proses imigresen sebenar? Ini menunjukkan betapa longgarnya pintu sempadan, boleh bolos begitu saja.

"Jadi kementerian luar negeri, kementerian dalam negeri harus beri kenyataan kenapa perkara ini boleh berlaku. Apakah benar dakwaan dia masuk dengan keizinan daripada menteri belia dan sukan?," katanya lagi ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

"Sekiranya benar perkara itu berlaku, ia menunjukkan bahawa menteri berkenaan telah "merosakkan dasar negara," kata Mahfuz lagi yang turut menuntut penjelasan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berhubung dakwaan tersebut.

Bekas juara muay thai Israel itu mendakwa telah memasuki Malaysia pada satu tarikh sebelum ini untuk menyertai kejohanan The Challenger Muay Thai yang dirakamkan di dalam kampus Universiti Putra Malaysia, Serdang untuk stesen TV AXN.

Difahamkan, rakaman program pada Jun itu baru saja dikeudarakan oleh stesen TV berkenaan baru-baru ini.

Dalam satu tulisan di blog tinju Muay Thai Authority pada 15 Oktober, Grad menceritakan bahawa dia tidak sabar untuk mengibarkan bendera Israel ketika berada di Malaysia.

Beliau yang memasuki Malaysia melalui Thailand ditahan selama 25 jam di satu pintu masuk negara sebelum berjaya mendapatkan bantuan Persekutuan Muay Thai Malaysia, "dengan sokongan menteri sukan Malaysia."

Sesudah itu, barulah dia kemudiannya mendapatkan dokumen yang diperlukan untuk memasuki Malaysia, katanya di blog yang banyak memaparkan kegiatan dan pertandingan sukan itu.

"Dengan begitu sahaja saya melepasi sempadan itu dengan pas khas – pas yang sememangnya khas kerana pasport Israel saya tidak dicop," katanya lagi. - Malaysiakini

Banduan minta izinpakai tudung di penjara

MINNEAPOLIS, Amerika Syarikat (AS) - Majlis Berkaitan Hubungan Islam-Amerika di Minnesota meminta Jabatan Syerif memberi kemudahan kepada banduan untuk memakai tudung selepas seorang wanita Islam yang didapati bersalah berhubung dakwaan keganasan terpaksa membuka tudungnya semasa berada dalam tahanan.

Tertuduh, Amina Farah Ali, 35, dan rakannya, Hawo Mohamed Hassan didapati bersalah pada minggu lalu kerana menyalurkan wang kepada kumpulan pengganas Al-Shabab di Somalia.

Peguam wanita itu, Dan Scott berkata, anak guamnya mahu memakai tudung kerana mematuhi ajaran Islam. Menurutnya, Amina perlu menutup aurat apabila berada di sisi lelaki yang bukan muhrim.

"Dia mahu memakai pakaian tradisinya (tudung). Ia amat penting baginya," kata Scott.

"Dia kini dipenjara. Justeru, apa yang dia mahu tidak semestinya dia dapat. Tetapi dia berhak mengamalkan ajaran agamanya," tambah peguam itu.

Mengulas isu tersebut, Syerif Daerah Sherburne, Joel Brott berkata, Amina tidak boleh memakai tudung di penjara atas faktor keselamatan.

Pakaian awam termasuk tudung katanya, tidak dibenarkan dipakai di penjara kerana ia mungkin digunakan sebagai senjata atau menyembunyikan identiti banduan.

Namun, ujar Brott, pihaknya sedang berunding dengan pihak berkuasa persekutuan sama ada untuk memberikan pengecualian kepada Amina atau sebaliknya. - AP

Kerani bergaji RM399 menang kuiz RM3.07 juta

NEW DELHI - Seorang kerani kerajaan dengan gaji bulanan cuma AS$130 (RM399) menjadi peserta pertama yang pernah memenangi AS$1 juta (RM3.07 juta) dalam rancangan kuiz popular di negara berkenaan.

Kemenangan Sushil Kumar dalam kuiz Who Wants to Be a Millionaire versi India menjadikannya ikon kepada jutaan belia di India yang mahu membebaskan diri mereka daripada belenggu kemiskinan.

Kejayaan pemuda berusia 26 tahun yang berasal dari pedalaman negeri Bihar, timur India itu mirip plot filem popular 2008, Slumdog Millionaire.

Filem tersebut yang memenangi beberapa anugerah Oscar, mengisahkan tentang seorang pemuda miskin yang menjadi kaya selepas memenangi kuiz berkenaan.

Kumar dan isteri yang baru lima bulan dikahwininya menangis semasa hos rancangan itu, Amitabh Bachchan, menyerahkan cek AS$1 juta kepada mereka selepas dia berjaya menjawab semua soalan dengan betul.

"Anda mencipta sejarah. Kecekalan dan keazaman anda membolehkan anda pergi begitu jauh dalam program ini," kata Bachchan.

Program yang dirakam pada Selasa lepas itu akan ditayangkan di India pada minggu depan.

Bercakap mengenai kemenangannya, Kumar berkata, dia terpaksa menonton rancangan kuiz itu di rumah jiran kerana tidak mampu membeli set televisyen.

Menurutnya, dia akan menggunakan sebahagian wang kemenangan tersebut untuk menduduki peperiksaan pentadbiran awam bagi menjamin masa depan yang lebih cerah.

Sebahagian lagi wang tersebut akan digunakan untuk membeli kediaman baharu buat isterinya, membayar semua hutang ibu bapanya dan dijadikan modal untuk adik-beradiknya membuka perniagaan kecil. - AP

Kes bunuh model: Lelaki terlepas hukuman gantung

PUTRAJAYA - Seorang pekerja landskap diperintah menjalani hukuman penjara maksimum 20 tahun oleh Mahkamah Rayuan di sini semalam atas tuduhan pindaan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh seorang model sambilan yang cuba meliwatnya tujuh tahun lalu.

Mahkamah berpendapat wujud provokasi secara mengejut pada hari kejadian di mana mangsa cuba meliwat tertuduh ketika sedang tidur.

Ismawi Ishak, 26, sebelum ini disabit dan dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 28 September tahun lepas kerana membunuh Mohamad Azhary Mohamed Osman, 26, di rumah mangsa di Jalan Anggerik 1/7, Bandar Aman Jaya, Sungai Petani, Kedah, di antara pukul 12.01 tengah malam dan pukul 7.17 pagi 4 Mei 2004.

Bagaimanapun, Ismawi terlepas tali gantung apabila panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Abdul Malik Ishak membenarkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman mati.

Panel tersebut, yang turut dianggotai oleh Hakim Datuk Azhar Ma'ah dan Datuk Mohtaruddin Baki, kemudian meminda tuduhan daripada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 304(a) Kanun yang sama atas kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.

Mahkamah kemudian memerintahkan Ismawi menjalani hukuman penjara itu mulai tarikh tangkapan pada 9 Mei 2004.

Dalam keputusannya, Abdul Malik berkata, pakar patologi memberi keterangan bahawa berdasarkan 27 kesan luka akibat tetakan dan tikaman ke atas mangsa, boleh disifatkan ia adalah serangan berupa hilang kawalan kerana terlalu marah.

Semasa kejadian, perayu yang berusia 19 tahun dikatakan menumpang tidur di rumah mangsa apabila mangsa menanggalkan seluar tertuduh dan menyentuh tubuh serta cuba meliwatnya dan perbuatan itu telah menimbulkan kemarahannya.

Terdahulu, peguam Ismawi yang dilantik oleh mahkamah, K. Vikneswaran menggesa mahkamah meminda tuduhan itu kerana ia bukan pembunuhan yang dirancang tetapi sebaliknya anak guamnya hilang pertimbangan dan marah apabila mangsa cuba meliwatnya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Rafidah Zainuddin berkata, kesan luka ke atas mangsa sudah cukup membuktikan niat Ismawi untuk membunuh mangsa. - Bernama

Lelaki bunuh gadis didakwa

BANTING - Seorang penganggur yang melarikan diri dari tahanan polis tujuh tahun lalu berhubung satu kes bunuh dan tanam seorang remaja akhirnya berjaya dibawa ke Mahkamah Majistret Telok Datok di sini semalam untuk menghadapi tuduhan tersebut.

Kher Thian Hock, 37, yang dipercayai turut berukar identiti baharu didakwa membunuh See Sheau Fang, 18, pada 2004 iaitu tahun yang sama tertuduh melarikan diri dari Balai Polis Tanjung Sepat selepas ditahan berhubung kematian remaja itu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Tian Hock semasa pertuduhan dibacakan di hadapan Pendaftar Mahkamah Majistret Sepang, Rozaidi Yaacob.

Tian Hock didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan sebuah rumah di Jalan Wira 24, Taman Perwira, Sijangkang dekat sini di antara pukul 9.30 pagi dan pukul 5.30 petang pada 28 Februari 2004.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri dari tahanan di Balai Polis Tanjung Sepat di antara pukul 6.30 pagi dan pukul 7.30 pagi 13 Mac 2004 setelah ditahan untuk disiasat berhubung kes bunuh itu.

Bagi kesalahan itu, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun.

Pendakwaan dikendalikan oleh Cif Inspektor Ridhuan Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Rozaidi kemudian menetapkan 8 November ini untuk sebutan semula.

Laporan akhbar pada 9 Mac 2004 menyiarkan mayat seorang gadis yang dilaporkan hilang sejak 26 Februari 2004 ditemui ditanam dalam lubang sedalam 1.52 meter di tempat letak kereta yang disimen di sebuah rumah teres, Taman Perwira, Sijangkang dekat sini.

Mayat Sheau Fang, 18, ditemui dalam keadaan kaki dan tangannya diikat serta tubuhnya dibalut dengan plastik.

Bagaimanapun, empat hari kemudian, salah seorang daripada lima lelaki yang ditahan berhubung kes bunuh tersebut telah melarikan diri dari lokap Balai Polis Tanjung Sepat, Banting.

Thian Hock, 29, melarikan diri melalui bumbung balai polis berkenaan setelah berjaya memecahkan siling bilik air lokap pukul 7.15 pagi.

Suspek berjaya ditahan semula pada 5 Oktober lalu di Masai, Johor berhubung dakwaan terlibat dalam kes melarikan sebuah kereta mewah selepas dipercayai menggunakan identiti dan kad pengenalan baharu. - Kosmo

SPR perluas undi pos

IPOH – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bercadang membenarkan pemilih yang berkhidmat dalam beberapa sektor pekerjaan seperti media, perubatan, penerbangan dan cari gali minyak mengundi secara pos atau mengundi awal bersama polis dan tentera pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, cadangan itu akan dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya yang sebelum ini turut menilai beberapa cadangan lain seperti pengunaan dakwat kekal atau biometrik.

“Jika cadangan dipersetujui, rang undang-undang pindaan peraturan dan undang-undang berkaitan termasuk membolehkan pengundian awal akan dibentangkan di Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program taklimat PRU-13 kepada 24 pegawai pengurus dan 105 penolong pegawai pengurus pilihan raya negeri ini di sini semalam.

Abdul Aziz berkata, jika sempat kesemua cadangan itu boleh dilaksanakan pada PRU-13.

“Kita faham ada beberapa kumpulan media yang tidak dapat pergi mengundi kerana tugas, jadi adakah kita nak biarkan begini? Oleh itu, kita fikir patut buat perubahan supaya mereka ini mengundi pos atau mengundi awal dan cadangan ini akan dibawa ke dalam jawatankuasa berkenaan nanti.

“Sebenarnya, bukan saja media tetapi juga petugas di pesawat seperti pramugari dan pramugara, jururawat dan petugas di pelantar minyak,” katanya.

Beliau berkata, SPR sedang menjalankan kajian berkenaan cadangan-cadangan itu sama ada sesuai dilaksanakan tetapi ia bergantung kepada pindaan peraturan dan undang-undang. - Kosmo

* Talian hayat Umno...

Budak maut dirempuh guru

KEPALA BATAS - Seorang kanak-kanak menemui ajal dalam keadaan menyayat hati apabila kepalanya dikatakan pecah selepas dirempuh dan digilis sebuah kereta dalam kejadian di luar Sekolah Kebangsaan Pasir Gebu di sini semalam.

Kejadian pukul 12.10 tengah hari itu menimpa Nor Afina Khalida Zamri, 3, ketika dia sedang duduk di atas motosikal bersama bapanya, Mohd. Zamri Hashim, 36. Ketika itu, dua kakaknya, Nor Ellys Najwa, 9, dan Nor Alia Farhana, 7, baru hendak menaiki motosikal tersebut.

Tanpa diduga, motosikal itu terus dirempuh sebuah kereta dipandu seorang guru sebuah sekolah di Kuala Muda yang terbabas menyebabkan Nor Afina tercampak sebelum digilis kenderaan terbabit.

Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Supritendan Suhaimi Mohd. Noor berkata, kereta itu hanya berhenti selepas bergesel dengan sebuah lagi kenderaan yang diletakkan di luar sekolah.

Katanya, sebaik diperiksa, mangsa yang tinggal di Kampung Permatang Rawa di sini didapati tidak lagi bernyawa akibat cedera parah di kepala.

"Dua kakak mangsa mengalami luka di beberapa bahagian badan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kepala Batas manakala Mohd Zamri tidak cedera.

"Pemandu kereta itu yang cedera turut dirawat di hospital itu sebelum dia ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan cuai dan membahayakan," katanya.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakau Tua di sini semalam. - Kosmo

Jangan boikot, kurangkan beli

KUALA LUMPUR - Tindakan memboikot pembelian ayam bukan penyelesaian terbaik dalam isu kenaikan harga ayam sebaliknya persatuan pengguna mencadangkan agar pengguna mengurangkan pembelian dan pemakanan ayam.

"Jika kita makan ayam lima kali seminggu kita kurangkan tiga kali itu sudah cukup... susah jika kita tidak mahu makan terus sebab ayam antara makanan utama kita rakyat Malaysia," kata Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk N. Marimuthu ketika dihubungi Bernama semalam.

Beliau berkata, jika pengguna dapat mengurangkan pembelian dan pemakanan ayam, permintaan terhadap ayam dalam pasaran akan berkurangan seterusnya dapat menurunkan harga ayam.

Kenaikan harga ayam selepas musim perayaan mungkin disebabkan harga siling ayam yang ditetapkan pada musim perayaan kerana pengusaha dan penjual ayam memerlukan satu mekanisme untuk meraih kembali keuntungan mereka, katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna agar mengambil resit pembelian ayam jika harga yang dikenakan terlalu tinggi dan membuat aduan kepada kementerian berkenaan dengan disertakan resit pembelian.

Marimuthu berkata, penguatkuasaan terhadap harga siling ayam juga perlu sentiasa dilakukan agar harga ayam tidak membebankan pengguna pada masa ini dan masa depan.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Ma'amor Osman berkata, tindakan memboikot pembelian dan pemakanan ayam akan menjejaskan peniaga kecil ayam di negara ini.

"Peniaga kecil ini beli ayam bayar tunai kepada penternak, bila boikot peniaga kecil ini terbeban dengan stok yang banyak. Peniaga besar tidak terjejas sangat kerana mereka ada cara simpan stok ayam untuk tempoh lama," katanya.

Beliau berkata, selain memantau harga ayam di pasaran, kerajaan juga perlu memantau kos penternakan ayam kerana kos itu mampu memberi kesan yang besar kepada harga ayam di pasaran.

Katanya, tindakan mengimport ayam juga bukan penyelesaian terbaik kerana harga ayam di negara seperti Thailand, Singapura dan Indonesia jauh lebih mahal selain turut melibatkan isu halal. - Kosmo

Amil serah diri kerana keluarga malu

JOHOR BAHRU - Disebabkan malu wajahnya disiarkan di akhbar, bekas imam di sebuah masjid di Kulaijaya di sini akhirnya menyerah diri kepada polis semalam bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan wang zakat fitrah tahun lepas.

Menurut Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor, Supritendan Mohd. Luthfi Ismail, bekas imam itu, dikenali sebagai Redzuan Mohd. Said itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulaijaya kira-kira pukul 8 pagi semalam.

Katanya, suspek bertindak demikian apabila dihubungi ahli keluarga yang memujuk agar dia menyerah diri setelah malu wajahnya disiarkan di televisyen dan akhbar.

"Hasil siasatan awal polis mendapati suspek mengaku selama ini dia berada di Ipoh, Perak dan bekerja sebagai guru tahfiz.

"Dia kini ditahan untuk membantu siasatan dan reman akan dibuat esok (hari ini).

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak media kerana membantu kami menyiarkan maklumat sehingga suspek sendiri membuat keputusan menyerah diri kepada polis," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kosmo! semalam melaporkan polis sedang memburu suspek yang dipercayai terlibat dengan penipuan wang zakat tahun lepas.

Suspek yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) sebagai Amil Fitrah bagi kawasan Kulaijaya disyaki gagal menyerahkan kembali wang kutipan zakat sebanyak RM18,000.

Sementara itu, Pengerusi MAIJ, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, satu mesyuarat akan diadakan minggu hadapan untuk mencari sistem terbaik bagi mencegah insiden penipuan wang zakat daripada berulang.

Katanya, meskipun kes penipuan yang membabitkan suspek merupakan kes terpencil, namun ia secara tidak langsung menjejaskan nama baik banyak pihak.

"Seingat saya, ini merupakan kes pertama seumpamanya yang berlaku di MAIJ tetapi kami akan mengambil tindakan lanjut bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang.

"Saya akan memanggil semua pegawai saya minggu hadapan dan mengadakan mesyuarat bagi memperkemas sistem kutipan dan penyerahan wang zakat," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut Zainal, pada mesyuarat terbabit, pihaknya akan cuba mencari jalan mendapatkan kembali wang kutipan zakat yang dilaporkan hilang itu.

Katanya, kutipan zakat sepatutnya diserahkan kepada MAIJ sebaik sahaja selesai tempoh bayaran tetapi disebabkan cuti perayaan dan kesibukan, wang tersebut seringkali lewat diserahkan.

"Mungkin selepas ini kami akan tetapkan wang kutipan diserahkan seminggu sekali dan tidak perlu menunggu sehingga habis tempoh kutipan ataupun mana-mana amil yang dipertanggungjawabkan tidak boleh menyimpan wang melebihi RM10,000 atau sebagainya," katanya.

Sementara itu di Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berharap semua Majlis Agama Negeri berhati-hati dalam memilih dan seterusnya melantik golongan amil bagi mengutip wang zakat pada masa akan datang.

Menurutnya, walaupun setiap tahun diadakan semakan berkenaan pemilihan golongan amil oleh setiap negeri tetapi ia perlu dilakukan dengan lebih teliti bagi membendung masalah ini berulang.

"Soal songlap duit ia tidak kira siapa, jadi pihak majlis agama kena berhati-hati pada pelantikan golongan amil pada masa akan datang," katanya di sini semalam. - Kosmo

Parti Islam: Tunisia tidak akan paksa wanita pakai hijab


TUNIS, 28 Okt — Parti Islam Tunisia yang memenangi pilihan raya umum hujung minggu lalu, yang pertama selepas kebangkitan rakyat menegaskan, ia tidak akan memaksa pemakaian hijab oleh kaum wanita kerana kesemua usaha ke arah itu di negara-negara Arab telah gagal.

Rachid Ghannouchi, pemimpin parti Ennahda berkata, wanita akan diberi kerja dalam kerajaan perikatan yang partinya akan membentuk tidak kira “sama ada mereka memakai hijab ataupum sebaliknya.”

Kerajaan baru negara itu akan dibentuk dalam masa 10 hari lagi. — Reuters

Keluarga TBH lapor polis supaya siasat trio SPRM

Keluarga mendiang Teoh Beng Hock hari ini membuat laporan polis untuk mendesak supaya siasatan dijalankan ke atas individu yang dibabitkan dalam siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) ke atas kematian pembantu politik itu.

Peguam, Gobind Singh Deo (kanan) berkata, keluarga Teoh mengambil langkah berkenaan susulan daripada kenyataan menteri undang-undang, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di parlimen, Isnin lalu.

Nazri dalam ucapannya di Dewan Rakyat berkata tiada siasatan jenayah dijalankan kerana tiada laporan polis dibuat ke atas tiga orang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dibabitkan dalam siasatan RCI itu. - Malaysiakini

Kerja untuk Najib? Karut, kata Campbell

Bekas ketua komunikasi Perdana Menteri British Tony Blair - Alastair Campbell keras menafikan dakwaan penglibatannya dengan Datuk Seri Najib Razak untuk membantu kerajaan memenangi pilihan raya umum akan datang.

Campbell menulis dua kali di Twitter dalam tempoh 16 jam bahawa dakwaan itu adalah “Bull****” (mengarut), sebagai menjawab soalan tiga pengguna, dipercayai rakyat Malaysia.

Menurut portal Sarawak Report, Campbell (gambar, kiri) baru-baru ini dilihat di ibu negeri Kazakhstan dan Malaysia bagi menjalankan kerja-kerja perundingan.

Memetik sumber, portal itu melaporkan beliau sebagai orang di sebalik Najib sejak beberapa bulan lalu untuk menampilkan imej lebih mesra, seperti janji untuk reformasi undang-undang tahanan dan konsep 'Najib Cool'.

Semalam, Campbell menulis di Twitter berkata beliau tidak pernah melawat Malaysia atau bekerja untuk Najib.

Tulisan itu ekoran dakwaan pengguna Twitter bahawa beliau bekerja untuk kerajaan yang "korup".

Campbell pernah menerajui kempen ‘Cool Britannia’ untuk Blair (kanan) pada sekitar 1990an.

Beliau juga terkenal kerana menyakinkan rakyat Britain melalui usaha perhubungan awam untuk menyokong pencerobohan ke atas Iraq. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub mengingatkan, jika benar dakwaan dalam Sarawak Report itu, tindakan Najib mengupah orang asing untuk menaikkan imejnya adalah membazir, sia-sia dan tidak adil.

"Jika benar Najib mengupah Alastair Campbell yang pernah menjadi ketua komunikasi bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair untuk menaikkan imejnya dan wang rakyat digunakan untuk tujuan itu, ia bukan sahaja membazir dan sia-sia, malah amat tidak adil menggunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi dan partinya," kata Salahuddin Ayub.

Dalam kenyataannya hari ini, anggota parlimen Kubang Kerian itu juga mempersoal ke mana perginya pakar tempatan yang "hebat-hebat" untuk tujuan itu. - Malaysiakini

28 October 2011

Batal pindaan Akta Kerja atau hadapi kesan masa PRU, MTUC beri Najib amaran

SUBANG JAYA, 28 Okt ― Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini memberi amaran keras kepada Datuk Seri Najib Razak bahawa undi melibatkan 5.7 juta pekerja akan menjadi penentu dalam arah aliran sokongan ketika pilihan raya umum ke-13 melainkan pindaan Akta Kerja 1955 yang menjadi kontroversi sekarang ditarik balik.

“Kami minta perdana menteri mendengar permintaan kami, suara kami bagi pihak 5.7 juta pengundi (pekerja).

“Ada 5.7 juta pekerja yang berdaftar. Ini isyarat kami kepada beliau,” kata Setiausaha Agung MTUC Abdul Halim Mansor pada sidang media di sini hari ini.

Badan induk kesatuan sekerja yang dianggotai 390 gabungan mewakili 802,323 ahli telah merancang untuk mengadakan piket peringkat nasional pada 3 November ini.

MTUC mengesahkan bahawa piket itu, yang kedua selepas tindakan di kawasan bangunan Parlimen pada 3 Oktober lalu, akan diadakan 20 lokasi di seluruh negara.

Pergerakan itu mendakwa Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2011 yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 6 Oktober lalu akan memberi laluan mudah kepara para pelabur dan majikan mengambil rakyat Malaysia sebagai pekerja kontrak berbanding tenaga kerja kekal. - TMI

* Tindakan ugut untuk mengundi Pakatan Rakyat pada PRU akan datang dilihat suatu tindakan yang sangat berkesan...

27 October 2011

Ambiga: Rahim Noor umpama diktator, tak faham perlembagaan

KUALA LUMPUR, 27 Okt ― Datuk Ambiga Sreenevasan mengecam Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor sebagai “diktator” yang tidak faham semangat Perlembagaan kerana bekas ketua polis negara itu sanggup menyamakan gerakan hak asasi manusia negara ini dengan komunis.

Pengerusi gabungan menuntut pembaharuan pilihan raya ini berkata, ucapan Rahim pada perhimpunan agung tahunan Perkasa semalam menunjukkan beliau kurang faham tentang hak asasi manusia dan status fahaman komunis pada hari ini.

“Ia satu pandangan yang hanya dipegang oleh diktator-diktator dan rejim-rejim yang menindas mahu membisukan suara berlawanan,” kata beliau (gambar) The Malaysian Insider.

Semalam, Rahim menyamakan gerakan hak asasi manusia di Malaysia dengan fahaman komunis dan keadaan itu akan membawa kepada tindakan mempersoalkan perkara-perkara diterima semua kaum, antaranya kontrak sosial.

“Setiap abad ada gelombangnya dan kita tidak boleh melanggar gelombang ini.

“Sekarang ini gelombang hak asasi manusia. Sebelum ini gelombang marxisme, sosialisme,” kata Rahim.

Sambil melabel gerakan hak asasi manusia sebagai “agama baru”, Rahim memberi amaran bahawa aktivis kebebasan sivil menganggap Amerika Syarikat dan United Kingdom sebagai ‘laman spiritual’ mereka dan melebarkan pengaruh mereka.

“Sekarang kita melihat banyak perkara dipersoalkan disebabkan gelombang hak asasi manusia,” kata Rahim sambil menambah kumpulan aktivis mula mempersoalkan kontrak sosial.

Sehubungan itu, Ambiga, bekas presiden Majlis Peguam berkata Rahim harus memahami Perlembagaan Persekutuan yang menyediakan kebebasan fundamental dan hak asasi manusia.

“Terbukti bahawa bekas ketua polis negara ini tidak sedar yang Malaysia juga berada dalam Majlis Hak Asasi Manusia dan kita menganggotai majlis dengan membuat janji dan komitmen kukuh berkaitan hak asasi manusia,” kata Ambiga.

Bersih 2.0 meneruskan perhimpunan meskipun pihak berkuasa mengenakan pelbagai sekatan dan halangan termasuk mengharamkan gabungan itu.

Perhimpunan itu menghimpunkan sekitar 50,000 orang di ibu negara dan hampir 1,700 pula ditahan polis.

Susulan perarakan itu, pada awal Ogos lalu pentadbiran Najib mengumumkan pembentukan jawatankuasa pilihan khas Parlimen bagi membincangkan pembaharuan sistem pilihan raya.

Pada Sabtu lalu, gabungan pertubuhan bukan kerajaan Islam mengadakan Himpunan Sejuta Umat di Stadium Shah Alam khusus untuk membincangkan isu pemurtadan. Ia dihadiri sekitar 5,000 orang.

Di akhir tempoh perkhidmatannya sebagai ketua polis negara, Rahim mengakui telah mencederakan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditahan di Bukit Aman. - TMI

* Itu sebab dia tumbuk orang tangan terikat...

Pakar: Hudud tak boleh dilaksana cara kekerasan


Pakar undang-undang Profesor Abdul Aziz Bari hari ini membidas Profesor Madya Ridhuan Tee Abdullah yang berkata bahawa undang-undang hudud harus dilaksanakan oleh "kekerasan".

Menurut Abdul Aziz (kanan), yang merupakan seorang pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa, kenyataan Ridhuan tidak disokong dari sudut pandangan undang-undang mahupun agama.

Beliau yang digantung oleh UIA tetapi ditarik balik Isnin lalu, berkata pandangan alim ulama Islam berpendapat hukum hudud hanya boleh dilaksanakan ke atas umat Islam sahaja.

Oleh itu, katanya, pandangan Ridhuan pada Selasa lalu bahawa undang-undang hudud perlu dilaksanakan secara kekerasan bagi mendidik bukan Islam dilihat kurang bersesuaian dengan kedudukan beliau sebagai seorang tokoh akademik.

Walaupun Abdul Aziz mengakui Ridhuan mungkin tidak cekap dalam hujah undang-undang kerana ia bukan bidang pengkhususannya, namun, kata pakar undang-undang itu, hudud tidak boleh dibincangkan tanpa mengambil kira perlembagaan persekutuan.

"Apa-apa yang kita katakan tentang hudud, kita perlu untuk berhujah atas dasar perlembagaan, bukan kerana (perlembagaan itu) adalah suci ... tetapi semata-mata kerana ia adalah undang-undang asas negara ini," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah bahawa Ridhuan, yang mengajar di fakulti kenegaraan dan tamadun di Universiti Pertahanan Nasional, juga harus sedar bahawa era undang-undang yang mengenakan pada orang lebih.

"(Ridhuan) mungkin memikirkan beberapa undang-undang yang menindas - sesuatu yang mahu dipaksakan ke atas rakyat tanpa persetujuan mereka.

"Tetapi tempoh itu susah berakhir dan kini rakyat lebih memahami tentang hak-hak mereka; dan agama Islam itu sendiri adalah mengenai kebebasan dan membuat pilihan bukannya mengenai kekerasan dan paksaan," katanya.

Menurut Abdul Aziz, contoh yang baik mengenai konsep Islam yang menerima tentangan hebat tetapi hari ini diterima meluas di negara ini adalah sistem perbankan Islam. - Malaysiakini

* Tak payah nak dolak dalih. Umno mmg tolak hudud...

Kelly Clarkson Belum Pernah Jatuh Cinta


PENYANYI Kelly Clarkson (gambar) mengaku belum pernah jatuh cinta kerana dirinya tidak pernah memiliki perasaan yang kuat terhadap mana-mana lelaki.

Menurut Kelly, kesibukannya di pentas muzik juga menjadi salah satu alasan mengapa dia belum merasakan indahnya jatuh cinta.

"Hingga saat ini, saya belum menemui lelaki yang boleh membuat perasaan saya benar-benar jatuh cinta. Lagipun saya rasa tidak mempunyai waktu untuk bercinta dengan lelaki yang disukai," ujarnya seperti yang dipetik daripada Female First, Rabu.

Meski begitu, Kelly tetap optimis dan percaya suatu saat nanti akan bertemu dengan lelaki apabila usianya menginjak 30 tahun.

"Saya yakin saatnya pasti tiba nanti. Semoga saya dikurniakan perkahwinan yang kekal abadi," harapnya. - Mstar

Ibu bapa persoal bayaran RM10


JOHOR BAHRU - Sekumpulan ibu bapa di Kota Masai, Pasir Gudang di sini menuntut penjelasan daripada pihak pengurusan sebuah sekolah agama di kawasan terbabit yang didakwa mengenakan bayaran tambahan tidak munasabah untuk setiap pelajar.

Menurut mereka, sekolah terbabit mengenakan bayaran RM10 setiap bulan untuk setiap pelajar sejak sepuluh tahun lalu.

Seorang bapa, Zainorin Sajat, 39, berkata, mereka inginkan penjelasan terperinci ke mana wang tersebut disalurkan memandangkan bayaran tersebut agak membebankan kerana perlu dibayar setiap bulan.

Katanya, setiap kali mengajukan soalan kepada pihak pengurusan sekolah, mereka diberi alasan yang tidak jelas dan jika ada ibu bapa yang tidak menjelaskan bayaran terbabit, kad laporan prestasi anak-anak mereka akan disekat oleh pihak sekolah.

"Pada mulanya, mereka kata wang tersebut digunakan untuk membayar sewa rumah kedai yang dijadikan kelas serta pelbagai kos lain tetapi selepas bangunan sekolah siap awal tahun ini, kami masih dikenakan bayaran sama.

"Jika benar wang tersebut digunakan untuk membayar sewa, tunjukkan kami semua butiran pembayaran," katanya kepada pemberita di Pasir Gudang semalam.

Sementara itu, seorang lagi bapa, Azarudin Johar, 41, mendakwa, meskipun RM10 dilihat agak kecil, namun dia agak terbeban kerana tiga anaknya belajar di sekolah terbabit.

"Bayangkan, jika RM30 setiap bulan terpaksa saya bayar untuk tiga anak yang bersekolah di sana, berapa pula yang terpaksa saya bayar setiap tahun.

"Ini tidak kira dengan bayaran yuran tahunan yang wajib dibayar setiap kali pendaftaran. Tahun hadapan, saya akan lebih terbeban kerana seorang lagi anak saya akan mula bersekolah di situ," katanya.

Dalam pada itu, Penyelia Pusat Aduan Rakyat Zon Permas dan Johor, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya akan membuat surat yang ditandatangani ibu bapa untuk meminta agar wang tambahan tersebut dimansuhkan.

"Surat tersebut akan saya bawa ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang," katanya. - Kosmo

Gadis hilang mati dibunuh


KOTA TINGGI – Misteri kehilangan seorang gadis sejak petang kelmarin terjawab apabila dia ditemui mati akibat dibunuh di ruang dapur sebuah rumah jirannya di kuarters Ladang Kambau, Tanjung Sedeli kira-kira 40 kilometer dari sini semalam.

Mayat Nurul Atikah Samsiah, 15, yang lengkap berbaju T dan berseluar sukan ditemui dengan kesan lebam di seluruh muka dan anggota badan.

Difahamkan, mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibawa ke situ berdasarkan terdapat kesan seretan di lantai dapur dan di kawasan sekitar. Rumah itu hanya terletak selang tiga pintu dari kediaman gadis malang tersebut.

Rumah itu sering kosong dan hanya didiami oleh seorang pekerja bujang yang hanya datang untuk memasak.

Datuk mangsa, Muhammad Kasim, 62, berkata, mangsa yang menetap di situ bersama ibu bapanya dikatakan hilang sejak pukul 2 petang kelmarin.

Katanya, mayat mangsa ditemui pukul 6.30 pagi semalam oleh penduduk yang melancarkan operasi mencari sejak kehilangannya dihebahkan.

“Saya terus membuat laporan di Balai Polis Tanjung Sedeli sebaik dimaklumkan mengenai penemuan mayat cucu saya oleh ibunya, Rahimah. Ketika itu saya berada di Kampung Sungai Perepat kira-kira 10 kilometer dari Ladang Kambau,” ceritanya yang enggan mengulas lanjut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Abdul Samad Salleh memberitahu, pihaknya telah menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, pihaknya menganggap kes itu selesai dengan penahanan pekerja ladang berusia 41 tahun tersebut. - Kosmo

26 October 2011

Perkasa: Kami penentu sokongan PRU, akan tolak calon hina Islam dan Melayu


KUALA LUMPUR, 26 Okt ― Perkasa percaya pertubuhan bukan kerajaan berusia tiga tahun itu akan menjadi penentu keputusan pilihan raya umum ke-13 dengan memobilisasi sokongan ahlinya, khususnya dalam menentukan nasib calon dan parti yang telah memperlekeh Islam dan orang Melayu.

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berkata, pihaknya sudah pun menyediakan senarai wakil rakyat yang melakukan ‘kesalahan’ itu dan sudah bersedia untuk menghantar mesej kepada 300,000 ahli menjelang pilihan raya umum.

“Sebelum ini orang ramai berfikir (sokongan) orang India adalah penting meskipun bilangan mereka adalah kecil kerana mereka menjadi penentu.

“Meskipun mereka kecil bilangan, mereka akan menjadi faktor penentu. Begitu juga Perkasa. Sudah pasti kami akan memainkan peranan ini,” kata beliau kepada pemberita selepas Perhimpunan Agung Tahunan Kedua Perkasa di sini hari ini.Ibrahim berkata Perkasa hanya akan memfokus kerusi-kerusi yang dipertahankan oleh wakil rakyat yang pernah menyinggung Islam dan orang Melayu, yang dimenangi dengan perbezaan undi kecil pada Mac 2008.

Katanya, Perkasa yakin akan membawa perubahan dan impak besar memandangkan ada ahli antara 500 hingga 600 orang di setiap kerusi Dewan Undangan Negeri.

Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas ini menambah Perkasa tidak menentang mana-mana parti atau kaum tetapi hanya menyasarkan sesiapa sahaja yang menyinggung perasaan orang Melayu dan Islam.

“Mereka tidak harus fikir hanya mereka sahaja yang ada undi. Mereka tidak harus fikir hanya memproleh undi daripada kumpulan mereka sahaja. Ahli Perkasa bukan satu jumlah yang kecil,” katanya.

“Perkasa akan menolak calon-calon yang anti-Melayu, anti-Islam dan yang menggugat kedaulatan nasional. Jadi, semua calon harus ingat, jaga kata-kata mereka,” katanya lagi.

April lalu, Perkasa mengancam akan meminta ahli-ahlinya tidak mengundi calon dari MCA dan Gerakan jika kedua-dua komponen Barisan Nasional (BN) itu gagal menjaga kepentingan dan hak orang Melayu.

Ibrahim berkata MCA dan Gerakan tidak akan menang sebarang kerusi tanpa undi orang Melayu dan menggesa mereka berkawan dengan Perkasa. - TMI

* Perkasa akan berkubur selepas PRU nanti kerana kepala-kepalanya akan ditolak oleh rakyat akibat tindakkan mereka mengkhianati pengundi mereka...

Zul Noordin dilantik naib presiden PERKASA


Perhimpunanan agung PERKASA hari ini melantik ahli parlimen Kulim-Bandar Baru, Datuk Zulkifli Noordin sebagai naib presidennya yang baru.

Zulkifli dilantik melalui usul tergempar yang dikemukakan oleh ahli dewan tertinggi PERKASA Muhammad Zahid Md Arip.

Usul berkenaan diluluskan sebulat suara.

Zulkifli (empat dari kanan) mengisi jawatan berkenaan yang sebelum ini dikosongkan Datuk Mokhtar Samad.

Muhammad Zahid ketika membentangkan usul tergempar itu berkata, peguam tersebut merupakan bekas penyokong ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PERKASA memperuntuk empat lagi jawatan naib presiden yang kini diisi Abang Naseer Abang Hadari, Musli Oli, Dr Zubir Harun dan juga Dr Ashraf Wajidi Dasuki.

Terdahulu, Zulkifli dilihat hadir sebagai jemputan ketika perasmian perhimpunan pada pagi, selain bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin serta seorang lagi bekas angggota kabinet Datuk Khalid Yunus.

Zulkifli sebelum ini dipecat sebagai anggota PKR dan beliau kemudian mengisytiharkan dirinya anggota parlimen bebas.

Kali terakhir PERKASA merombak jawatankuasanya pada Mac lalu, yang dikaitkan banyak pihak dengan peletakan jawatan bekas ketua Wira Arman Azha Abu Hanifah.

Selain itu, ketua pengarang kumpulan Utusan Melayu, Datuk Abdul Aziz Ishak dan juga ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah juga hadir sebagai jemputan. - Malaysiakini

* Penjahat kawannya penjahat...

Penulis Blog Mohd Hafiz Menang Anugerah APICTA 2011

KUALA LUMPUR: Penulis blog Muhammad Hafiz Ismail memenangi Anugerah Terbaik Perdana Menteri di Anugerah MSC Malaysia Asia-Pasifik ICT Alliance (APICTA) 2011, menerusi blognya, "Life Through My Eyes' (www.apistakkisah.blogspot.com).

Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) dan Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia adalah penganjur bersama anugerah tersebut.

Dalam satu kenyataan bersama pada Selasa, MSC Malaysia dan MDeC berkata Muhammad Hafiz menewaskan hampir 250 pencalonan lain.

Menurut kenyataan itu, 246 syarikat tempatan, individu dan pelajar menghantar penyelesaian teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) buatan Malaysia mereka untuk bersaing dalam 19 kategori dan 35 pencalonan dipilih sebagai sama ada pemenang atau merit dalam kategori masing-masing.

Antara pemenang ialah:E-Kerajaan Terbaik (IRIS AXESS P5000) IRIS Corp Bhd; Keselamatan Terbaik (Secure Token ST3) SecureMetric Technology Sdn Bhd;Aplikasi Kewangan terbaik (Digital Transaction Banker) eBworx Bhd;Syarikat Baharu Terbaik Open Dynamics Sdn Bhd dan Projek Perisian/Perkakasan Pelajar Institut Pengajian Tinggi Terbaik (Health3) Asia Pacific University College of Technology & Innovation.

Menurut kenyataan itu, para pemenang akan bersaing di peringkat antarabangsa di Anugerah International APICTA di Pattaya, Thailand, lewat tahun ini.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili berkata anugerah tersebut merupakan wadah yang menekankan hasrat kerajaan untuk menjana kreativiti dan inovasi bagi menerajui kekayaan, kualiti dan kesejahteraan masyarakat untuk negara.

"Malahan, Laporan Bank Dunia 2010 menyenaraikan inovasi sebagai satu daripada tiga pembaharuan yang perlu untuk memacu keluaran dalam negara kasar Malaysia sebanyak lima peratus atau lebih lagi tahun ke tahun," katanya. -BERNAMA

* Naikkan cikgu ini cepat. Takut semangat dia jatuh di sekolah...

Remy Ishak Mengaku Bercinta Dengan Tiz Zaqyah

KUALA LUMPUR: Pelakon drama rantaian popular Nur Kasih, Remy Ishak, 29, mengaku bercinta dengan gandingannya, Tiz Zaqyah, 22.

Remy berkata, dia bukan ingin menyembunyikan hubungan tersebut kepada umum seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak sebaliknya tidak mahu menggembar-gemburkan kepada umum tentang hubungan yang belum tentu menjadi jodohnya.

"Sekarang, saya sedang berpacaran dengan Tiz. Saya tak mahu kecoh kerana kami masih lagi di tahap berkenalan dengan lebih rapat.

"Lagipun, kami tidak mahu orang luar mengharapkan sesuatu dan di penghujungnya jodoh kami tidak panjang.

"Lainlah kalau dah nak kahwin, semestinya saya akan beritahu kepada semua. Bagaimanapun, bagi yang tahu tentang hubungan kami, tahulah, saya tak kisah," katanya yang ditemui di lokasi penggambaran filem muzikal 29 Februari, di Stadium Merdeka.

Kisah hubungan cinta Remy dan Tiz mula menjadi bualan hangat sejak mereka dilihat berpegangan tangan ketika menyaksikan acara MotoGP di Sepang pada tahun lalu dan sering dilihat bersama.

Terbaru, Tiz berjumpa Remy di sebuah lokasi penggambaran dan mereka saling suap-menyuap ketika makan bersama.

Sementara itu, bercerita mengenai filem yang diterbitkan oleh KRU Studios itu, Remy memegang watak sebagai Budi yang lahir pada tarikh 29 Februari dimana dia akan lebih matang setiap empat tahun.

Kata Remy filem ini agak mencabar buatnya kerana dia perlu melakonkan watak yang hidup sejak tahun 1890-an hingga 2012 dimana dia perlu melalui perubahan zaman yang agak ketara.

"Bukan mudah untuk membawakan watak ini dan ia sangat mencabar kerana perjalanan hidup Budi memerlukan perubahan imej sebanyak lima kali. Macam-macam gaya rambut yang digayakan.

"Selain itu saya juga perlu menyanyi. Ini tidak sama seperti nyanyian saya dalam teater Natrah sebaliknya saya perlu menyanyi mengikut emosi watak bagi setiap babak," ujarnya.

Selain Remy, filem 29 Februari arahan Edry Abdul Halim turut dibintangi Jojo Goh, Izzue Islam, Dian P.Ramlee, Ramli Hassan, Johan Abdullah, Naim Daniel, Riz Amin serta Achong bakal ditayangkan pada pertengahan tahun depan. - Mstar

Perjalanan ‘maut’, guru curah bakti

PENAMPANG 25 Okt. – Pertama kali mendengar mengenai lawatan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi ke dua buah sekolah di Penampang, penulis merasakan ia pasti biasa dan kurang mencabar.

Ini kerana pada firasat penulis, sekolah yang akan dilawat tidaklah terlalu jauh dan mencabar kerana terletak di Daerah Penampang, bersebelahan dengan Kota Kinabalu.

Namun segala-galanya berubah apabila kami memulakan perjalanan pada pukul 1 petang, menaiki kenderaan pacuan empat roda penduduk Kampung Sugud yang bermula dengan merentas sungai dan melalui jalan balak.

Malah tidak sampai 10 minit perjalanan, dua daripada lima pacuan empat roda yang disewa berkenaan mengalami kerosakan.

Kerosakan awal yang tidak dijangka itu menyebabkan kira-kira 30 peserta lawatan terpaksa berhimpit-himpit termasuk duduk mencangkung di belakang pacuan empat roda lain bersama beg dan barangan keperluan.

Keadaan ini membuatkan para petugas media berasa agak gusar kerana terpaksa melalui jalan berbukit, licin dan berisiko, menaiki kenderaan yang terlebih muatan pula.

Degupan jantung semakin kencang apabila seorang pegawai kementerian memaklumkan bahawa tiada kenderaan sokongan kerana hanya pacuan empat roda penduduk kampung sahaja yang ‘berani’ melalui jalan balak berkenaan.

Sepanjang melalui jalan balak menerusi cerun bukit selama dua jam itu, ia amat mencabar seumpama ‘perjalanan maut’ yang boleh mengundang risiko hanya pada bila-bila masa.

Kegagalan kereta pacuan empat roda dinaiki penulis mendaki bukit dan hampir-hampir terbalik sebelum terbabas ke tebing, tambah merunsingkan kami.

Pada masa itu, hanya kepada tuhan kami bertawakal dan berdoa agar tiada sebarang kesilapan pemanduan yang boleh mengundang tragedi yang tidak diingini.

Namun, perjalanan dua jam yang membuatkan semua anggota badan peserta mula terasa sakit berakhir pada kira-kira pukul 3.30 petang apabila kami tiba di tebing sebatang sungai yang berarus deras.

Bagaimanapun, perjalanan kami masih belum sampai ke destinasinya. Sebaliknya ia merupakan permulaan ujian berjalan kaki pula.

Semua peserta terpaksa berjalan kaki melalui denai di tebing bukit, mendaki dan menuruni bukit selain melintasi beberapa batang sungai dengan rakit dan juga melalui jambatan gantung uzur.

Berjalan kaki pada masa itu membuatkan semua peserta terpisah kepada beberapa kumpulan berdasarkan kepada stamina masing-masing.

Pada masa itu, kumpulan Mohd. Puad mendahului peserta lain manakala kumpulan penulis yang disertai oleh jurugambar Berita Harian, jurugambar Jabatan Penerangan, wartawan New Straits Times dan beberapa wakil kementerian berada di belakang sekali kerana ‘tidak cukup stamina’.

Semasa perjalanan, penulis menyedari laluan kami pada masa itu amat berbahaya kerana melalui cerun bukit yang licin - sedikit sahaja kesilapan boleh menyebabkan terjatuh ke bawah yang pastinya boleh menukar perjalanan kepada tragedi.

Sepanjang perjalanan menyaksikan ada antara kami yang tergelincir, malah seorang peserta kehilangan tapak kasut dan terpaksa berjalan tanpa tapak kasut.

Perjalanan kali ini juga begitu meletihkan sehingga menyebabkan ada di antara kami yang mengalami kekejangan.

Namun, setelah tiga jam berjalan kaki termasuk dalam kegelapan hutan, rombongan akhirnya sampai ke destinasi iaitu SK Buayan pada pukul 7.30 malam.

Selain gembira dengan kejayaan itu, fikiran penulis pada masa itu terbayangkan bagaimana kesusahan dialami guru-guru yang juga terpaksa melalui laluan sama. Selain itu mereka juga berisiko bertembung dengan haiwan liar dan berbisa.

Dalam satu majlis yang diadakan di sekolah itu pada sebelah malamnya, Mohd. Puad berkata, biarpun terpaksa melalui laluan berbahaya dan meletihkan, ia sebenarnya menjadi pembakar semangat kepadanya untuk terus melawat kawasan pedalaman.

Katanya, dengan cara itulah beliau akan dapat menghayati dan melihat sendiri keadaan sekolah di kawasan pedalaman seterusnya berusaha memajukan tahap pendidikan di kawasan terbabit.

“Jadi apabila mengetahui pelajar yang duduk jauh di sini terpaksa ambil periksa di SK Tampasak Tegudon, timbul tanggungjawab bagi saya untuk membela anak-anak tuan-puan.

“Malah di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerajaan sentiasa memberi perhatian besar kepada pendidikan khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.

Tegas Mohd. Puad, perjalanan yang mencabar dan berisiko itu tidak pernah mematahkan semangat warga kementerian untuk terus melakukan lawatan bagi meningkatkan prasarana luar bandar.

Katanya, pada masa akan datang, pihaknya merancang melawat lebih banyak sekolah pedalaman di seluruh negeri. - Utusan

* Bukan sekadar cakap sahaja tetapi kosong dari segi tindakan...

Tiga bidang perkukuh kerjasama Malaysia-Singapura

SINGAPURA 25 Okt. – Malaysia dan Singapura mencapai persetujuan untuk meningkatkan lagi kerjasama dalam tiga bidang utama iaitu pendidikan teknikal, pelancongan dan alam sekitar.

Persetujuan itu dicapai dalam pertemuan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rakan sejawatannya, Teo Chee Hean sempena lawatan rasmi selama dua hari ke republik ini.

“Singapura mempunyai pengalaman yang baik dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan yang boleh digunakan sebagai model untuk meningkatkan lagi kemahiran dan ia boleh dikongsi dalam usaha kita menghadapi cabaran pada masa ini,” katanya pada sidang akhbar bersama Chee Hean di sini.

Beliau berkata, pelbagai peluang dalam bidang pendidikan boleh diterokai oleh generasi muda yang secara tidak langsung mampu meningkatkan hubungan rakyat kedua-dua negara.

Mengenai sektor pelancongan, Timbalan Perdana Menteri berkata, kedua-dua negara juga boleh meningkat dan menerokai pelbagai peluang yang dikenal pasti berpotensi besar untuk kepentingan bersama termasuk projek di pusat peranginan terkenal, Desaru yang boleh dibangunkan bersama oleh Khazanah Nasional Berhad dan Temasek Limited.

Beliau turut mencadangkan penubuhan jawatankuasa kerja untuk mengkaji bagaimana Singapura berjaya mempromosikan sektor pelancongan serta menarik pembabitan lebih aktif pihak sektor swasta bagi kepentingan kedua-dua negara.

Selain itu, Muhyiddin berharap kedua-dua pihak meningkatkan lagi pelaburan dan pembangunan di wilayah Johor Selatan termasuk di Desaru yang berpotensi besar untuk dibangunkan khususnya dalam kalangan pelabur Singapura.

Sementara itu, Chee Hean memberitahu, Singapura dan Malaysia bersetuju melaksanakan dua projek ikonik bersama antara Khazanah dan Temasik, masing-masing satu di Singapura dan Medini di wilayah Iskandar Malaysia, Johor.

Ditanya bilakah kedua-dua projek itu akan dimulakan, beliau berkata, usaha ke arah itu sedang dilakukan dan kini menunjukkan perkembangan positif. – UTUSAN

Turunkan harga tiket akhir Piala Malaysia


PUTRAJAYA 25 Okt. – Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang terkejut dengan peningkatan harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia sebanyak hampir 70 peratus mahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengkaji semula keputusan itu.

Beliau yang kecewa dengan pengumuman mengejut tersebut turut mengingatkan FAM bahawa peminat perlu diutamakan di mana kehadiran peminat yang ramai akan memudahkan pihak penganjur sukan mendapat tajaan.

‘‘Saya tidak akan terlalu kecewa sekiranya ia diumumkan lebih awal, kenaikan harga tiket secara mendadak ini akan menimbulkan kemarahan peminat yang merancang melihat perlawanan akhir secara beramai-ramai bersama ahli keluarga dan kawan.

‘‘Lebih-lebih lagi perlawanan akan diadakan di Stadium Shah Alam yang mutunya dipertikaikan sebagai bukan padang yang terbaik,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan program pembangunan belia dan sukan di sini hari ini.

FAM sebelum ini mengumumkan harga tiket RM50 dijual bagi semua peminat sukan yang ingin menonton perlawanan akhir Piala Malaysia yang dijadualkan di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Ketika Piala Malaysia sebelum ini yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, FAM menjual tiket berharga RM30 untuk tempat duduk terbuka dan RM50 bagi tempat duduk utama.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata, FAM perlu mengkaji pendekatan penjualan tiket terbaru yang diamalkan di luar negara termasuk kaedah jualan tiket guna Internet yang dilakukan Queens Park Rangers (QPR).

‘‘Pihak QPR umpamanya telah memperkenalkan kaedah jualan tiket yang mirip kepada penjualan tiket kapal terbang AirAsia di mana peminat yang membeli tiket lebih awal akan mendapat diskaun lebih besar.

‘‘Indonesia pula menyediakan pelbagai jenis tiket dengan harga yang berlainan, ini kerana terdapat peminat yang sanggup beli tiket murah dan duduk di tempat yang tidak strategik semata-mata untuk memberi sokongan dan merasai suasana di stadium,” katanya. - Utusan

CUEPACS saran 1.3 juta ahli protes


KUCHING 25 Okt. — Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyarankan 1.3 juta penjawat awam di negara ini melakukan protes secara senyap terhadap kenaikan harga barang terutama ayam mulai bulan depan.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, protes boleh dilakukan dengan mengurangkan kekerapan ke pasar selain mencari alternatif yang lebih murah bagi membantah tindakan peniaga menaikkan harga barangan tanpa sebab munasabah.

"Penjawat awam belum mendapat manfaat gaji naik dan bonus, peniaga dah mula ambil kesempatan,” katanya selepas taklimat isu semasa CUEPACS dengan ketua-ketua jabatan dan penjawat awam negeri ini di Bangunan Sultan Iskandar di sini hari ini.

Kata beliau, masanya telah tiba bagi semua penjawat awam bersatu dan menggunakan hak mereka sebagai pengguna.

Fenomena kenaikan harga barangan terutama ayam berlaku di seluruh negara termasuk di negeri ini dan kesannya semakin dirasai pengguna.

Pengarah Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Sarawak, Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman sebelum ini dilapor berkata, harga ayam di Sarawak kini antara RM9.50 dan RM11.50 sekilogram bergantung kepada lokasi, susulan kekurangan bekalan sejak bulan lepas.

Bagaimanapun, beliau menjangka harga ayam kembali ke paras biasa iaitu antara RM7.50 dan RM8 sekilogram pada pertengahan bulan depan apabila bekalan kembali normal. — BERNAMA

* Tindakan sia-sia...

25 October 2011

Ibu bapa merana dibebani hutang anak


KUALA LUMPUR - Sepasang suami isteri merayu kepada anak lelaki mereka yang dipercayai berhutang sekeliling pinggang supaya pulang ke rumah ekoran diganggu oleh ah long sejak Ogos lalu.

Menurut mangsa, Chan Wooi, 73, keluarganya kini sentiasa diselubungi kebimbangan kerana sering diganggu ah long melalui telefon yang meminta supaya menjelaskan hutang anak lelakinya itu.

"Saya tidak membuat sebarang pembayaran kerana tidak tahu sama ada anak saya betul-betul berhutang dengan mereka.

"Tambahan pula saya tidak tahu jumlah sebenar hutang tersebut," katanya kepada pemberita di Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam Parti Gerakan di sini semalam.

Katanya, apa yang menakutkan adalah apabila ah long terbabit mula bertindak ganas kerana permintaan supaya membayar hutang itu tidak dilayani dan bertindak menyimbah cat merah ke atas rumah dan kenderaan mereka pada 19 Oktober lalu.

"Selepas berbuat demikian, mereka menelefon saya dan mengugut saya bahawa sekiranya saya masih enggan melangsaikan hutang anak saya, mereka tidak akan jamin apa yang akan berlaku kelak," ujarnya.

Dia menganggarkan anaknya itu, Chan Siew Keong, 43, berhutang lebih seratus ribu untuk menjalankan perniagaan spa kecantikannya.

Isteri Wooi, Chong Moy Thye, 72, pula berkata, anaknya itu merupakan seorang anak yang baik dan taat kepada ibu bapa sebelum ini.

Namun sikapnya mula berubah sejak lapan tahun yang lalu apabila dia ingin memulakan perniagaan sendiri.

"Anak saya telah meminjam wang sebanyak RM60,000 daripada saya sejak beberapa tahun yang lalu. Namun dia tidak pernah membayar balik malah kini telah menghilangkan diri tanpa sebarang berita," jelasnya.

Kedua-duanya merayu Siew Keong yang hilang sejak Ogos lalu kembali dan tampil untuk menyelesaikan masalah ini.

Di samping itu, mereka meminta kepada pihak ah long terbabit supaya jangan mengganggu mereka lagi kerana mereka tidak mempunyai wang untuk menjelaskan hutang tersebut. - Kosmo

UM sasar 100 universiti terbaik


KUALA LUMPUR - Universiti Malaya (UM) yang merupakan universiti tertua di negara ini bertekad untuk muncul antara 100 universiti terbaik di dunia pada tahun 2015.

Naib Canselor UM, Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon berkata, ketika ini universiti tersebut telah melonjak pada tangga ke-167 berbanding tangga 207 pada tahun lalu yang dikeluarkan oleh Quacquarelli Symonds (QS) iaitu sebuah syarikat penarafan yang berpangkalan di London.

Katanya, pengiktirafan tersebut membuktikan UM kini berada pada landasan yang betul dalam meningkatkan kecemerlangan bagi bersaing dengan institut pengajian tinggi terkemuka lain.

"Bagi mencapai tekad itu, UM kini menggerakkan beberapa penyelidikan yang terbaik untuk bersaing dengan universiti terkemuka lain di samping menerbitkan jurnal berimpak tinggi.

"Ini janji kami (warga UM) kepada kerajaan dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk menjadi antara 100 universiti terbaik menjelang 2015," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Beliau sebelum itu mewakili UM pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama MIMOS Berhad yang diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Wahab Abdullah.

Turut hadir ialah Pengerusi MIMOS Berhad, Datuk Suriah Abdul Rahman.

Ghauth memberitahu, melalui kerjasama tersebut, kedua-dua pihak akan berkongsi kepakaran dalam menjalankan penyelidikan bagi menghasilkan projek berimpak tinggi yang akan memberi manfaat kepada industri tempatan.

Katanya, kerjasama ini akan memberi fokus kepada enam projek iaitu Dengue and Drug Design, Dentistry, Energy Harvester, Malaysian Biodiversity Resources, Optical Tweezers and Intelligent Learning Platform for Tomorrows Doctors.

"Melalui kerjasama ini juga, seramai enam penyelidik daripada MIMOS Berhad akan melanjutkan pengajian mereka dalam ijazah doktor falsafah di UM," jelasnya.

Tambah beliau, melalui perkongsian infrastruktur dan kemudahan antara UM dan MIMOS Berhad akan menjimatkan perbelanjaan modal bagi kedua-dua organisasi selama lima tahun bernilai RM100 juta. - Kosmo

* Penuntut dan pensyarah asing yang tidak berkualiti janganlah ambil...

Nik Aziz: Golongan nasionalis punca gejala murtad


KUALA LUMPUR, 25 Okt – Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan gejala murtad, yang menjadi agenda khusus Himpunan Sejuta Umat (Himpun) Sabtu lalu, berlaku di negara ini disebabkan tindakan tidak melaksanakan pemerintahan Islam oleh golongan nasionalis.

Nik Aziz (gambar) berkata, fahaman nasionalis menyebabkan manusia akan merasa lekeh kepada Islam dan akan mengagung-agungkan fahaman kebangsaan.

Himpun meluluskan deklarasi 10, antara lain menggesa kerajaan mengadakan undang-undang khusus mencegah murtad.

“Di Malaysia ini punca murtad adalah kerana nasionalis. Golongan nasionalis ini buat manusia rasa lekeh kepada Islam kerana mereka tolak Islam ambil kebangsaan.

“Daripada rasa lekeh ini timbul masalah menggelongsor luruh daripada Islam. Ini kita panggil murtad,” kata beliau dipetik Harakahdaily hari ini.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata PAS adalah parti pertama di negara ini yang memperjuangkan Islam.

Jika ada pihak yang mendakwa PAS tidak berusaha menentang murtad, beliau berkata, tomahan itu salah kerana penubuhan parti itu sendiri mahu mempertahankan Islam.

“PAS orang pertama mempertahan Islam. Bila Islam itu diperjuangkan, maka segala perkara membawa manusia kepada Islam kita akan gunakan dan segala perkara yang memberi mudarat kepada Islam, PAS akan tentang,” kata Nik Aziz lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan golongan pendakwah di negara ini agar jangan hanya melihat tugas dakwah sekadar menyeru masyarakat memakai serban dan jubah, malah lebih penting katanya adalah menegakkan pemerintahan Islam secara keseluruhan.

“Sekarang ini golongan pendakwah banyak, tetapi mereka berkisar hanya pada pakai seban sunah nabi, berjanggut sunnah nabi dan berjubah sunah nabi.

“Kita tinggal perkara paling penting sekali iaitu memerintah dengan Islam yang juga sunah nabi. Ekonomi cara Islam, budaya cara Islam, sosial cara Islam dan politik cara Islam,” katanya. - TMI

* Masing-masing ada peranan meningkatkan syiar Islam...

Angka maut gempa meningkat


ERCIS, Turki 24 Okt. - Lebih 270 orang maut dan beratus orang lagi masih hilang serta dikhuatiri terbunuh dalam gempa bumi di timur negara ini semalam.

Pekerja perkhidmatan kecemasan dan mereka yang terselamat berusaha memindahkan runtuhan menggunakan penyodok dan tangan selepas bangunan-bangunan dan jalan raya runtuh dalam gempa sekuat 7.2 pada skala Richter itu, sejak kejadian berkenaan berlaku.

Di bandar Ercis, penyelamat cuba mengeluarkan seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun yang terperangkap di bawah runtuhan konkrit.

''Sabar, sabar,'' kata mereka kepada budak yang menangis itu.

Tangan seorang dewasa yang memakai cincin perkahwinan dapat dilihat beberapa sentimeter dari depan muka kanak-kanak itu.

Menteri Dalam Negeri, Idris Naim Sahin berkata, seramai 120 orang maut di bandar ini dan 100 orang lagi terbunuh di bandar Van, kira-kira 100 kilometer selatan Ercis.

Jumlah kematian tersebut dijangka terus meningkat.

Idris kini menyelia usaha mencari dan menyelamat di Ercis berkata, 1,090 orang cedera manakala beratus-ratus lagi masih hilang.

Usaha menyelamat terganggu apabila bekalan elektrik terputus ekoran kabel elektrik ke bandar dan kampung di kawasan padang rumput Anatolia berdekatan sempadan Iran rosak dalam kejadian itu.

Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan berkata, jumlah orang yang terperangkap dalam runtuhan bangunan di bandar-bandar yang dilanda gempa bumi itu masih belum diketahui.

Beliau melahirkan kebimbangan keadaan lebih buruk akan berlaku ke atas penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar.

''Bangunan di sana diperbuat daripada bata jemur, ia lebih mudah runtuh ekoran gempa bumi. Kemungkinan semua bangunan di sana runtuh dan musnah,'' ujarnya di Van semalam. - Reuters

Dadah: Warga Jepun ke tali gantung


SHAH ALAM — Seorang bekas jururawat warganegara Jepun menangis teresak-esak selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atasnya kerana kesalahan mengedar dadah jenis Methamphetamine atau syabu dua tahun lepas.

Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati bahawa pembelaan tertuduh, Mariko Takeuchi, 37, dari Tokyo, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Wanita itu didakwa mengedar 3,493 gram Methamphetamine di kaunter pemeriksaan kastam, Unit Khas Penumpang T, Balai Ketibaan Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9.55 malam, 30 Okt 2009.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Siti Mariah mendapati tertuduh bersalah dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati mengikut peruntukan Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952. — Bernama

Jururawat dibakar suami meninggal dunia

KUALA LUMPUR — Jururawat wanita yang dipercayai dibakar suaminya di Kampung Baru di sini pada 17 Okt lepas meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini awal hari ini.

Jurucakap hospital mengesahkan kematian jururawat berusia 28 tahun itu kira-kira pukul 4.00 pagi selepas seminggu menerima rawatan.

Adik lelaki mangsa yang enggan menyatakan namanya memberitahu pemberita di perkarangan hospital bahawa Allahyarham akan dikebumikan di Bukit Payung, Terengganu malam ini.

Dalam kejadian itu, Allahyarham yang bekerja di HKL, terbakar hampir 80 peratus pada badan dan muka dipercayai akibat perbuatan suaminya sendiri kerana cemburu.

Suspek yang juga berusia 28 tahun dikatakan telah menyimbah petrol dan meletakkan bom petrol di bilik air rumahnya dan sebaik saja isterinya memasuki bilik air untuk mandi, suspek mencampakkan puntung rokok menyebabkan api tercetus lalu membakar mangsa.

Suspek kemudian ditahan reman mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan/kecederaan parah.

Pasangan itu mempunyai dua anak lelaki, masing-masing berusia dua dan empat tahun.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi berkata polis sedang mengumpul maklumat untuk menentukan dakwaan sama ada di bawah kesalahan mencedera atau membunuh. — Bernama

Cubaan Samun Ahli Perniagaan, Polis Tahan Tiga Suspek

PETALING JAYA: Tiga lelaki yang melarikan diri selepas cuba menyamun ahli perniagaan bergelar 'Datuk' di hadapan sebuah kolej di Subang Jaya dekat sini petang semalam, ditahan polis malam Isnin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Subang Jaya Supt Tan Ah Chua berkata suspek yang berusia antara 35 dan 52 tahun itu ditahan di sekitar kawasan kolej tersebut kira-kira 9 malam.

Tiga lelaki itu merupakan perancang yang berkomplot dengan dua lelaki lain, yang ditahan selepas ditembak pengawal peribadi ahli pernigaan barangan lusuh berkenaan.

"Hasil siasatan mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah dan kami masih menunggu tempoh reman ke atas mereka," katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, Selasa.

Beliau berkata suspek disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan dengan sengaja mendatangkan cedera ketika melakukan samun.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang semalam, ahli perniagaan berusia 48 tahun itu yang diiringi seorang pengawal peribadinya, ke tempat berkenaan bagi urusan jual beli barangan lusuh dengan dua suspek yang menaiki sebuah lori.

Dua suspek terbabit menyamar sebagai penjual barangan lusuh yang kononnya mahu menjual barang milik mereka kepada ahli perniagaan itu.

Ketika ahli perniagaan dan pengawal peribadinya berbincang di tepi jalan, dua daripada tiga suspek lain yang tiba dengan sebuah kereta Proton Iswara Aeroback hitam meluru keluar menyerang pengawal peribadi itu dengan parang dan kapak, menyebabkannya cedera di lengan kiri dan peha kanan.

Pengawal itu yang memiliki pistol, kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah empat suspek berkenaan menyebabkan dua cedera, manakala dua lagi melarikan diri bersama suspek yang menaiki kereta tersebut. - BERNAMA