23 September 2011

U Mobile unjur sejuta pelanggan bagi jalur lebar 42 Mbps

KUALA LUMPUR: U Mobile Sdn Bhd mengunjur dapat menarik sejuta pelanggan setiap tahun dengan perkhidmatan jalur lebar 42 Mbps (megabit sesaat), jalur lebar mudah alih terpantas di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Kaizad Heerjee berkata bahagian pasaran syarikat di Malaysia agak rendah berbanding saingan lain. "U Mobile adalah syarikat baru dan saya gembira untuk menyatakan kami pada kedudukan yang baik sebagai peneraju dalam pasaran data tanpa wayar," katanya dalam pengumuman di sini hari ini mengenai tawaran perkhidmatan jalur lebar 42 Mbps di Lembah Klang, Seremban dan Port Dickson. Kaizad berkata, perkongsian U Mobile dengan ZTE Corp akan menyaksikan peningkatan konsisten daripada 42 Mbps kepada 84 Mbps dan seterusnya 100 Mbps di Malaysia.

"Bagi baki tahun ini, U Mobile akan terus memberikan perkhidmatan yang mampu milik dan berkualiti serta kekal komited untuk memenuhi permintaan canggih pengguna yang cekap teknologi," katanya.

Ketua bahagian komersil data mudah alihnya, Kevin Henry, berkata syarikat akan cuba untuk melancarkan produk atau perkhidmatan baru setiap dua minggu.

"Kami merancang untuk membawa produk ini ke Sabah dan Sarawak tahun depan," katanya.
Beliau berkata, syarikat akan membenarkan pelanggan untuk 'menyewa' modem 42Mbps serendah RM20 sebulan apabila mereka memilih produk di pusat perkhidmatan U Mobile atau pengedar sah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment