25 September 2011

Bapa jerit minta tolong


BATU PAHAT 24 Sept. - "Buka pintu ini Boboi, cepat tolong ayah, panas!".

Itu jeritan terakhir seorang bapa, Hasan Dg. Patangga, 68, kepada anak bongsunya, Ahmad Borhan, 15, sebelum warga emas itu ditemui rentung dalam rumahnya di Kampung Parit Jabar Laut, Senggarang di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian pukul 1.30 pagi itu, Hasan yang bekerja mengambil upah di kebun kelapa sawit itu maut apabila rumahnya yang diperbuat daripada papan hangus terbakar.

Ketika kejadian, hanya Hasan bersama isterinya, Rohana Md. Amin, 53, yang mengalami penyakit angin ahmar dan anak bongsunya berada di rumah.

Bagaimanapun, Rohana dan Ahmad Borhan berjaya menyelamatkan diri.

Dua lagi anak pasangan itu iaitu Norashima, 20, menuntut di Kolej Teknikal Yayasan Melaka dan Nor Ummi, 17, di Sekolah Menengah Vokasional Inderapura, Kulaijaya.

Tambah menyedihkan arwah menjadi tempat keluarga itu bergantung untuk mencari rezeki kerana keadaan kesihatan Rohana ditambah pula keadaan Nor Ummi yang menghadapi masalah penglihatan.

Menurut Rohana, dia terdengar letupan kuat seperti mercun sebelum melihat api dan asap menyelubungi rumah.

Dia yang panik bergegas mengejutkan suami dan Ahmad Borhan yang tidur di bilik lain.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad mengesahkan kejadian itu manakala Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rengit, Akob Sidik menyatakan punca kejadian masih dalam siasatan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr. Mohd. Puad Zarkashi turut melawat dan menyampaikan bantuan sebanyak RM25,000 kepada keluarga Rohana untuk meringankan beban ditanggung mereka. - Utusan

No comments:

Post a Comment